Showing posts with label Sesi Sekolah 2011. Show all posts
Showing posts with label Sesi Sekolah 2011. Show all posts

Friday, February 25, 2011

Ujian Pertama : Penyeludup Adalah Perniagaan Antarabangsa


Setiap tahun, ujian pertama adalah pengukur, tanda aras bagaiman proses pembelajaran telah berlangsung untuk jangka masa dua purnama, lebih kurang sebab cuti sekolah menimbun tak ingat dunia. Aku akui, cuti itu menarik, tetapi kalau sampai masa budak dah tak ingat apa yang disumbatkan sejak hari pertama, mahu gila nak betulkan semula. Kan?

http://farm4.static.flickr.com/3613/3365104343_a9bd0156a1.jpg
[Gambar : Waktu begini, aku memang longlai sedemikian rupa. Sadis kan? Ketawa]

Menanda kertas ujian adalah satu terapi yang sangat diperlukan selepas berhempas pulas membuat soalan. Percayalah cakap aku, membuat, menyediakan soalan adalah lebih sukar berbanding menjawab soalan. Jadi, aku lebih suka menjawab atau mencari jawapan berbanding membentuk soalan ujian yang ternyata menyebabkan aku separa nanar.
Ketawa.

Berbuih aku mengajar di dalam kelas, tapi penyeludup adalah satu bentuk perniagaan luar negeri ataupun antarabangsa? Hebat betul kan?

Bila aku panggil ke depan, macam-macam pula dalihnya. Memang aku ketawa besar tapi aku lebih rela kertas jawapan kosong dari dapat  jawapan pelik begini. Baiklah, kita anggap dia kreatif dan sangat berseni (aku sedang berusaha untuk berfikiran positif dan terbuka ni).

Aku : Ni sejak bila penyeludup jadi perniagaan antarabangsa ni?
Budak : Dalam drama selalu macam tu cikgu.
Aku : Oh, dalam drama eh?
Budak : Cerita 'omputih' kan macam tu cikgu.
Aku : =.=

http://a6.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-ash4/184269_10150414850415543_885375542_17351012_4804391_n.jpg
[Gambar] Sejak bila pula 'airport' adalah jenis perniagaan luar negeri? Sejak bila? Import adalah.
Ya, baiklah, kita gunakan 'airport' untuk 'import'. =_=

http://a4.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/179860_10150414850490543_885375542_17351013_6379811_n.jpg
[Gambar] Sila tengok tempat yang aku bulatkan. Kekurangan tenaga katanya sebagai alasan tidak siap.
Aduhai. Tenaga terakhir telah digunakan untuk menulis ayat itu agaknya.

Aku : Banyak salah, nanti buat pembetulan.
Budak : Kena buat ke cikgu?
Aku : Buat.
Budak : Cikgu doakan saya ada tenaga nak buat cikgu.
Aku : Mesti ada tenaga. Balik makan nasi. Minggu depan kalau tak siap, kena awak nanti.
Budak : Kalau ada tenaga, saya buat nanti cikgu.
Aku : Malangnya saya sentiasa bertenaga kalau nak denda orang.

Sebab itulah kalau menanda kertas jawapan murid, aku lebih suka menonton drama Korea ataupun apa-apa siri penyiasatan supaya kepala otak aku tidak jumud pada satu perkara sahaja. Gila kalau aku terlampau fokus pada satu benda sebegitu rupa (walaupun hakikatnya seronok baca dan ketawa seorang diri macam orang gila).

Nota Kaki :
1. Mungkin tidak akan ke Skudai esok.
2. Keletihan dan rindukan hujan.
3. Cubaan aku untuk terus senyum dan berjalan menjauh nampaknya menghadapi ujian kecil dari dalam. Hati, jangan degil dan terpesong dari apa yang ditetapkan serta dipateri.

Zara : Menukar kulit baru untuk blog sebagai suka-suka. Kacak tak?

Monday, January 17, 2011

Perkara Pantang Apabila Aku Mengajar Di Dalam Kelas


Salam semua.
Ya, aku dah kembali setelah kehilangan semua pautan akibat menukar dari 32-bit kepada 64-bit. Baiklah, akibat kecuaian diri sendiri yang tidak menyimpan data atau pautan semua blog kegemaran dan apa yang diperlukan, dalam erti kata yang mudah, Sean dalam keadaan baru semula dalam masa kurang daripada sebulan selepas kali terakhir menjalani pemeriksaan kesihatan oleh bapa angkat dia, Si Busuk. Eh, bapa angkat ke pakcik angkat?
Ketawa.

Ehem, cantik teman wanita Busuk.
Bila nak kahwin?
Senyum.

Aku ditanya mengenai pekerjaan aku dan seperti biasa, apabila bertemu dengan rakan-rakan, mereka akan ketawa riang melihatkan aku yang masih bertahan dalam kerjaya ini walaupun kalau diimbau kembali, adalah mustahil aku berada di sini seperti yang dijangka dan diperhati. Ketawa.

Kawan : Kau belum masuk surat khabar lagi.
Aku : Apa dia?
Kawan : Kau belum mengganas di sekolah.
Aku : (=.=) Apa kau ingat aku penjenayah?
Kawan : Keganasan kau masa sekolah masih digeruni, dah jadi cikgu belum ada aksi?
Aku : (=.=) Aku tidak mengganas seperti zaman belajar.
Kawan : (ketawa) Rasa nak sangat tengok kau di sekolah.
Aku : (=.=) Silakan datang kalau berani.
Kawan : (ketawa) Perempuan ganas!
Aku : (ketawa)

http://farm5.static.flickr.com/4077/4931714506_4ecbb2856a.jpg
[Gambar : Agak-agak kau berani ke tidak aku pakai pewarna bibir sebegini?]

Ya, mereka semua memang selalu ulang dialog di atas sejak aku habis Tingkatan Lima bila aku berminat untuk mengisi borang BPG. Oh, tetapi tidak terpilih dan melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Johor sebelum menyambung pengajian di UTM Skudai dalam jurusan pendidikan. Jadi jangan sibuk tanya aku, adakah aku budak KPLI atau DPLI. Sesungguhnya bukan ya?
Senyum.

Kembali kepada tajuk yang dipaparkan, ada beberapa pantang di dalam kelas aku apabila pengajaran berlangsung. Oh, apa kau ingat amalan ilmu-ilmu atau petua sahaja yang ada pantang? Dalam kelas aku juga ada pantang, cuma tidaklah akan diserbu oleh Death Eater jika menyebut nama Lord Voldermort. Sudah mula merepek disebabkan dua hari tidak dilimpahi cahaya helios.

1. Bercakap, berbual secara kuat di dalam kelas.
Ini benda paling pantang. Bercakap sesama sendiri, berbual dengan orang sebelah, orang depan, orang belakang, kiri, kanan malahan di hujung kelas sekalipun amatlah tidak digalakkan kerana suara aku akan serta merta bertukar nyaring dan menyindir tepat ke muka. Sementelahan itu, sikap sarkastik aku dari dulu, kalau aku mengajar, dan ada orang bercakap, aku akan diam dan tengok orang yang bercakap.

Budak : (berbual)
Aku : (berhenti mengajar dan renung budak yang rancak berbual)
Budak-budak lain : (semua tengok pada budak yang aku sedang pandang)
Budak : (berhenti berbual dan tengok aku tanpa rasa bersalah)
Aku : Dah habis bercakap?
Budak : Dah cikgu.
Aku : Kalau belum habis, awak boleh angkat meja dan kerusi awak, duduk di luar, berbual sampai awak berdua gigit lidah sendiri.
Budak : Tak nak cikgu.
Aku : Kalau tak nak, boleh tengok apa saya nak sampaikan? Terima kasih.

http://farm3.static.flickr.com/2460/3598197018_df3f52887f.jpg
[Gambar : Nak bercakap juga? Sila bercakap dengan tangan saya]

Itu untung ditegur sedemikian.
Selalunya jika kesalahan berulang, aku dengan tidak sengaja, terbaling (aku dah kata tidak sengaja, kau lihat imbuhan TER- di situ), buku atau kapur atau pemadam papan hitam atau apa sahaja yang boleh dicapai oleh aku. Setakat ini hanya tiga benda sahaja itu pernah aku baling - pemadam papan hitam aku baling keluar kelas minggu lepas akibat marah dengan kebiadapan budak.

Tak seronok sebenarnya ada rasa marah semasa mengajar.
Perasaan akan menjadi lain dan keikhlasan untuk memberikan yang terbaik akan berkurangan.
Disebabkan itulah aku memang sedaya upaya menzahirkan diri untuk tahan marah dan perasaan.
Jangan meledak menjadi letupan.

2. Bersentuhan, bercuitan, berpegang tangan.
Baik lelaki atau perempuan, ada sahaja yang sambil bercakap, sambil bercuit-cuit, bertolak-tolak padahal aku sedang mengajar di depan. Bergurau senda hingga aku rasa nak makan seorang demi seorang hingga sendawa. Boleh begitu? Ketawa. Tak ingin aku makan budak-budak ini, banyak lagi makanan lain yang menyelerakan. 
Alahai.

http://farm4.static.flickr.com/3148/2929657330_03f89577da.jpg
[Gambar : Kau nak berpegang tangan begini? Boleh. Biar saya pateri dua-dua jari tu dulu]

Aku jujurnya pelik apabila budak lelaki bercakap sesama sendiri sambil bercuitan. Bukan aku tidak biasa melihat gaya mesra manusia, tetapi tidak begitu kena dengan cara dan budaya Malaysia barangkali. Bercakap, ketawa dan saling bertolakan itu mungkin, tapi bercuit-cuit sudah agak janggal di mata aku. Yang perempuan tidak perlu kata banyak, pergerakan tangan bagaikan sedang berpidato di khalayak ramai. Semakin dibiarkan, semakin kuat intonasi suara, semakin pantas gaya tangan seiring dengan bicara.
Sakit kepala.

3. Mata melingas tengok jam dan asyik tanya bila nak rehat.
Cukup suka bila masuk ke kelas yang tiada jam dinding. Ini bermaksud, budak bergantung kepada jam di tangan cikgu atau tangan sendiri atau tangan rakan-rakan mereka. Kebanyakannya akan memilih jam yang paling cepat supaya mata pelajaran cepat habis dan lebih-lebih lagi jika waktu itu sebelum rehat, mereka akan memastikan jam paling cepat akan digunakan (apa kau ingat jam aku salah ke budak-budak?)

Budak : Cikgu, hari ini dapat rehat awal tak?
Aku : Kenapa nak rehat awal?
Budak : Tadi pagi tak makan.
Aku : Siapa yang bising, jangan harap saya beri keluar. Saya boleh duduk di sini dengan awak semua sampai habis rehat.
Budak : (semua diam dan mungkin paksa diri untuk tekun bagi tiga puluh lima minit berikutnya)
Aku : (sengih)

http://farm3.static.flickr.com/2754/4334456172_f4d32f68f4.jpg
[Gambar : Budak-budak memang suka lagu Ana Raffali - Tolong Ingatkan Aku bila rehat hampir menjelma. Mereka akan mula mengira bila saat dapat keluar dari kelas]

Aku : Baiklah, kelas sampai di sini sahaja.
Budak - budak : (separuh dah sampai depan pintu)
Aku : Ada saya kata boleh keluar?
Budak-budak : (patah balik ke meja masing-masing)
Aku : Jangan lupa nak buku minggu depan, macam biasa. Terima kasih semua.
Budak - budak : Terima kasih cikgu (berlari mencicit ke kantin)

Masing-masing macam mangsa kebuluran padahal paginya aku nampak setiap seorang makan nasi lemak sebungkus selepas perhimpunan. Cepat betul dihadam agaknya (sambil geleng-geleng kepala).

4. Tak siap tugasan yang diberikan.
Bikin panas.
Bila kita kata kerja sekolah - dia kata kena buat di sekolah sebab kerja sekolah.
Bila kita kata kerja rumah - dia kata kena buat di rumah sebab kerja rumah.
Senang aku panggil tugasan, jadi peduli apa aku hendak dibuat di mana asalkan kerja aku akan dilangsaikan dan ada bila diminta.

http://farm2.static.flickr.com/1340/5132612818_b7355f7b86.jpg
[Gambar : Pernah bila kau minta hantar buku latihan, yang muncul adalah buku contengan penuh rojak?]

Bab ini adalah yang paling sadis dan menguji keimanan. Jarang dapat seluruh kelas menghantar buku yang aku minta. Pasti ada sahaja yang memenuhkan carta alasan yang boleh sampai termuntah-muntah mahu didengar. Benda yang sama berulang setiap kali, dari zaman aku sekolah bertahun-tahun lepas sampai ke hari ini.

Aku : Kenapa tak hantar?
Budak 1 : Buku lupa bawa.
Aku : Oh, hilang ingatan. Orang seterusnya?
Budak 2 : Tertinggal di rumah.
Aku : Siapa nak baca? Haiwan ternakan? Seterusnya?
Budak 3 : Buku hilang cikgu.
Aku : Dah jual ke bakar dalam tong sampah? Seterusnya?
Budak 4 : Kawan pinjam, tapi kawan tak datang hari ni.
Aku : Kalau saya suruh awak cari di rumah dia boleh?

Begitulah alasan akan berjela-jela.
Tahun ini aku bercadang tidak mahu mengugut sahaja seperti selalunya.
Mahu terus denda.
Ketawa.

5. Biadap.
Ini satu perkara yang sangatlah tidak boleh diterima. Setakat ini, sekumpulan murid Tingkatan Satu yang telah berjaya mencabar etika dan kesabaran aku sebagai seorang guru. Biadap dalam kelas aku, itu satu. Tidak pernah senakal-nakal murid lain sepanjang aku mengajar membuatkan darah aku menyangga hingga ke kepala. Kalau ada sekalipun, masih terkawal dan tidaklah menyerbu darah merah ke muka. Ini melampau hingga aku hilang kesabaran.

[Gambar : Kalaulah aku boleh melancarkan serangan tanpa belas kasihan kan? Baiklah, itu sesuatu yang sungguh mustahil sebenarnya]

Oh, akan berdepan dengan mereka lagi.
Apa perlu aku buat?
Seperti selalunya, ketap gigi dalam-dalam dan lemparkan senyuman bersahaja.
Ah, hati aku bukan rumah terbaik untuk menyimpan dendam kerana ia akan terbaja dengan subur oleh percikan syaitan dan iblis durjana. Baik sahaja aku buang fikiran yang menyesakkan bukan?
Senyum.

6. Tidur di dalam kelas.
Tiada siapa yang dapat enak membuai mimpi di dalam kelas aku. Kau tidur, aku datang kejut, aku goncang, goyang sampai kau bangun. Kalau tak bangun juga, aku akan suruh orang lain kejut. Tak bangun juga aku jerit biar tersentak. Biasanya cara ini berkesan. Jika tidak bangun juga, mungkin aku akan siramkan dengan air atau bacakan Yasin secara berjemaah di sekeliling mejanya sekiranya perlu.

http://farm4.static.flickr.com/3192/2476371119_bb497215ff.jpg
[Gambar : Setakat tahun lepas, semua yang tidur berjaya dikejut dan disuruh basuh muka di bilik air dalam masa kurang dari lima minit]

Walaupun ada orang kata lebih baik dibiarkan mereka tidur dari bangun dan mengacau orang, aku beranggapan yuran yang sudah dibayar adalah amanah yang perlu dipelihara dan dijaga. Gaji yang aku dapat setiap bulan sepatutnya hasil mengajar budak-budak ini menjadi manusia, maka seharusnya, kalau tidur, aku membangunkan mereka agar pengajaran aku dapat dilaksanakan.

Baiklah.
Itu perkara yang aku pantang dan amat jaki jika berlaku di dalam kelas aku. Lain orang mungkin lain gayanya. Aku tetap dengan apa yang aku pegang dari dulu. Itu sahaja.

Nota Kaki :
1. Isnin dan Selasa akan pulang lewat disebabkan ada latihan merentas desa.
2. Aku sudah lupa kehangatan matahari disebabkan cuaca sejuk sejak dua hari ini.
3. Tidak tidur lagi untuk kesekian kalinya minggu ini. Ah, persetankan dengan kesihatan diri, aku punya misi yang lebih penting dalam melunaskan kemarahan diri.

Zara : Semakin lama aku menyedari bahawa apa yang aku perlukan bukanlah apa yang aku lalui saat ini. Detikan dan kata-kata seseorang pada aku di hujung talian telefon mengingatkan aku betapa hidup aku berubah secara mendadak sehingga tiada apa yang diperjuangkan pertengahan tahun lalu dalam genggaman. Kosong. Hilang.

Tuesday, January 11, 2011

Makcik, Boleh Melawat Mereka Dan Keluarga Di Hospital?


Empat Januari Dua Kosong Satu Satu.
Hari kedua sesi persekolahan.
Dentuman kuat dan suara nyaring siren kereta kecemasan menyusul kemudian.
Corak gembira satu keluarga robek.

Anak remaja yang dengan gembira mahu ke sekolah.
Umurnya belum empat belas tahun pun lagi.
Tangan kanan patah.
Tangan kiri patah.
Kaki kanan patah.
Kaki kiri patah.
Tulang pinggulnya beralih.

Si abang yang baru lepas menghadapi SPM harapan membantu keluarga.
Semangat tinggi mahu menyambung belajar.
Belum lapan belas tahun anak itu.
Patah tangan kanan.
Patah kaki kanan.
Patah kaki kiri.
Kau tahu?
Dia bekas pelari.

Si ibu cuma ada empat cahaya mata.
Yang sulung perempuan, baru sambung belajar.
Yang bongsu berusia sepuluh tahun.
Anak kedua dan ketiga lelaki sedang terkedang di unit rawatan rapi.
Angkara siapa?
Kecuaian kamu makcik.
Aduhai.

http://farm4.static.flickr.com/3318/3561636932_f6e3de7c8f.jpg
[Gambar : Tidak tercuitkah walau sedikit hati kamu wahai manusia?]

Si ibu berlinangan air mata.
"Cikgu, orang yang langgar anak saya langsung tak datang jengah"
Aku - terdiam.
"Cikgu, dia kata dia tak salah. Dia tak sengaja"
Aku - duduk dengar.
"Cikgu, dia potong sebuah kereta dan bila dia nak potong sebuah lori, dengan kereta yang laju, dia langgar anak saya dari arah bertentangan di laluan yang betul, dia kata dia tak salah"
Aku - tekun, beri perhatian.
"Cikgu, ada kawan anak saya nampak yang orang yang langgar tu boleh pergi pasar lambak (ini macam pasar malam) pagi tadi. Macam mana dia boleh pergi dan berbelanja masa anak saya tengah begini?"
Kejamnya manusia.

Hari ini kebetulan berniat mahu menderma darah kerana seseorang sedang berjuang dalam arena yang aku hanya mampu kirim doa. Malangnya, niat tidak kesampaian kerana aku tiba lambat di hadapan bank darah. Kebetulan, terjumpa dengan sebuah keluarga murid yang mahu menziarahi keluarga anak murid yang ditimpa musibah. Mencari dari unit rawatan rapi hinggalah ditemui di wad biasa, kedatangan aku disambut dengan senyuman nipis si ibu yang gundah gulana.

Si ibu : Cikgu datang lagi, terima kasih cikgu.
Aku : Eh, tiada masalah makcik. Kebetulan memang ada urusan tadi.
Si ibu : (berbisik) Adik dia dah dipindahkan ke JB, abang dia tak tahu ni. Doktor pesan jangan beritahu, takut tertekan.
Aku : Oh, baik. Dah masukkan besi?
Si ibu : Belum lagi. Dia kurang sihat, tadi demam dan ada batuk-batuk.
Aku : Adiknya dah sedar?
Si ibu : Belum lagi cikgu. Abahnya yang teman ke JB.
Aku : Sabar ya makcik?
Si ibu : Orang yang langgar langsung tak menjengah cikgu.
Aku : Tak datang juga?
Si nenek : (menyampuk) Biarkan cikgu. Nanti Allah berikan pengajaran pada dia.

http://fc07.deviantart.net/fs23/i/2007/335/e/8/i_hurt_myself_today_by_Buschibxo.jpg
[Gambar : Tak boleh bayangkan masih ada manusia yang lebih dingin daripada aku]

Diam.
Mungkin makcik akan kata makcik trauma.
Tapi makcik, hormatilah perasaan si ibu dan keluarganya.

Makcik juga punya anak kan?
Sama sekolah dengan anak si ibu itu pula.
Bagaimana boleh tegar hati seorang wanita lihat wanita lain menderita?
Bukan calang-calang ujian ini.
Diam lagi.

Entah berapa kali pengsan.
Entah berapa kali pitam.
Entah berapa malam si ibu dan si bapa serta seluruh ahli keluarga mereka bermalam di lantai sejuk hospital. Menunggu dengan penuh debaran khabar anak-anaknya. Seorang di hujung dengan keadaan tidak sedarkan driri dan seorang lagi hanya mampu mengebilkan mata, rengsa tanpa keluhan. 

Makcik, adakah makcik tahu bagaimana dua anak itu di sekolah?
Pendiam.
Baik.

Tergamak betul.
Manusia atau bukan?
Alahai.

Makcik.
Pergilah ke hospital sementara masih ada masa.

Tambahan :
- Makcik itu memandu kereta.
- Budak berdua itu menaiki motosikal.
- Si abang yang membawa motosikal, dan si adik membonceng di belakang.
- Kejadian berlaku di jalan raya yang lurus dan tegak.
- Si adik masih belum sedarkan diri sejak dia tiba di hospital selepas kejadian.
- Aku adalah bekas guru tingkatan si adik tahun lepas (Tingkatan 1) dan guru pasukan rumah serta PBSM untuk si abang.

Nota Kaki :
1. Cuti esok (11 Januari 2011) sempena Hari Hol Almarhum Sultan Iskandar.
2. Ada berita sedih daripada si dia - nak menangis. Sayang, kamu kena lebih gigih tahu?
3. Ada orang ajak keluar pula.

Zara : Kadangkala manusia menolak untuk menjadi manusia kan? Aneh.

Friday, January 07, 2011

Cik Shahrul, Cik Suhana, Cik Sha - Nama Baru Aku Hari Ini.


Salam semua.
Minggu sesi perkenalan Tingkatan Satu sudah berakhir hari ini.
Salah satu tugasan yang diamanahkan oleh kaunselor adalah mendapatkan tandatangan setiap guru di sekolah - dan budak-budak Tingkatan Satu ini bertempiaran mencari sejak hari Selasa. Hari ini sudah Jumaat kan?

Macam-macam gelagat dan aku tentunya orang yang tidak pernah masuk asrama dan senang kata tidak pernah dibuli di sekolah memang gemar benda begini. Timbul ilham untuk sengaja membuli mereka.

http://farm4.static.flickr.com/3570/3365367460_fb46ba002a_z.jpg?zz=1
[Gambar : Agak-agak kalau nak nakal kan? Ketawa]

Budak : Cikgu, nak minta tandatangan.
Aku : Siapa nama saya?
Budak : Entah.
Aku : Saya tak nak tandatangan.

Berani kau nak minta tandatangan aku dengan tidak tahu nama aku?
Jangan harap ya?
Terima kasih.

Budak : Kak, nak tanya. Kak cikgu ke?
Aku : Tak. 
Budak : Habis kak siapa?
Aku : Kak kerja pejabat. Bukan cikgu.
Budak : Terima kasih.

Tiba-tiba menyamar jadi kakak kakitangan sokongan pula kan?
Ketawa.

Budak : Cikgu, boleh tak tandatangan di sini? (sambil hulur senarai nama)
Aku : Siapa nama saya?
Budak : Ni, nombor 29.
Aku : Nama saya yang panjang-panjang ni tulis nombor 29 ke? Saya bukan robot. Terima kasih.

Main suka hati tunjuk nombor 29 dalam senarai dan suruh aku tandatangan? Memang nama aku tapi kau nak suruh aku tulis tanpa sebut nama betul aku? Jangan mimpi ya budak-budak.
Ketawa.

Budak : Cikgu, nak minta tandatangan cikgu sebab kaunselor suruh.
Aku : Ya, boleh.
Budak : (hulur kertas) Ni cikgu.
Aku : Siapa nama saya?
Budak : Puan Zahrah.
Aku : Salah, itu bukan saya.

Bila masa pula aku berkahwin dan dikurniakan gelaran Puan?
Kalau di kem perkhemahan, aku senang dipanggil begitu disebabkan mengikut etika dan protokol.
Di sekolah?
Tidak boleh.
(Bunyi siren salah - Tetttttt!)

Budak : Cikgu, cikgu, tandatangan sini.
Aku : Nama saya?
Budak : Fatimatul Zahrah.
Aku : Habis yang depan ada SH tu?
Budak 1 : Shahrul Fatimatul Zahrah?
Aku : Shahrul?! (ketawa kuat-kuat). Salah! Saya tak nak tandatangan.
Budak 2 : Cik Suhana Fatimatul Zahrah kan?
Aku : Suhana? Salah.
Budak 3 : Cik Sha Fatimatul Zahrah?
Aku : Salah! Saya tak nak tandatangan sampai awak dapat cari nama betul saya.
Budak 4 : Nama panjang sangat.
Aku : Awak nak salahkan mak bapa serta nenek saya yang berikan nama saya ke?
Budak : Tak-tak.
Aku : Jadi jangan nak sesuka hati cakap saya macam tu.

Selalu betul menjadi masalah nama depan aku kan?
Boleh tengok SINI tentang apa yang terjadi sebelum ini.
Sheikh, Siti -  dan kini aku ada Shahrul, Suhana dan Sha?
Ketawa.
Gila.

Oh, komentar nama aku panjang sangat?
Ikut suka hati siapa yang beri nama itu kan?
Baru seminggu masuk sekolah dah perangai begitu, memanglah budak.
Cantik.
Aku dah letakkan dalam senarai yang perlu diberi perhatian dan pengawasan.

Budak : Cikgu, saya dah tahu nama cikgu.
Aku : Apa dia?
Budak : Cik Sharifah Fatimatul Zahrah Bin Syed Yusof.
Aku : Sejak bila saya jadi lelaki?
Budak : Eh, maaf. Maaf cikgu. Binti.
Aku : Mari, saya tandatangan.
Budak : Terima kasih cikgu.

Seronok sebenarnya begini.
Gila dan membuatkan aku melepaskan tekanan seminggu bekerja dengan tanpa rasa apa-apa.
Yang aku tahu, gembira.
Paling penting, situasi pagi tadi adalah seperti gambar di bawah ini.
http://images.theage.com.au/2010/03/19/1238259/p6-600x400.jpg
[Gambar : Cullen, apa kau ingat kau seorang boleh diserbu peminat? Aku pun ada, lelaki dan perempuan tahu? Ketawa]

Kebetulan dekat dengan Tingkatan 2 dan 3, budak-budak lain mengusik aku dengan bising dari tingkat atas. Sudahlah hujan renyai-renyai dan budak-budak yang mengerumuni aku tidak mahu berganjak. Sudah aku suruh ke tepi pun, masing-masing tidak mahu gerak. Sekarang sudah selsema sedikit. =_=

Budak : Ada artis la.
Aku : Dengki ke?
Budak : Nak tandatangan juga boleh cikgu?
Aku : Nak kat mana?
Budak : Kat baju, kat dada ke (ketawa-ketawa)
Aku : Saya tandatangan dekat dahi nak?
Budak : Ceh!

[Gambar : Lega hari ini sudah hari Jumaat. Senyum]

Nota Kaki :

1. Kali pertama mahu merancang pos penulisan di blog. Selalunya aku akan terus menulis dan siarkan. Kali ini berbeza dan aku sedang berusaha menyiapkan projek kolaborasi bersama kawan itu. Ah, dia masih belum balas pesanan aku.
2. Perlu menyiapkan beberapa perkara hujung minggu ini.
3. Keletihan yang teramat sangat melunaskan perkara berkaitan kerja.
4. Usikan nakal Pengetua tentang membenarkan aku bercuti kalau aku mahu berkahwin sahaja membuatkan aku ketawa. Alahai.

Zara : Menikmati keseronokan melalui titian kerjaya yang semakin sebati dengan naluri aku yang sukakan manusia dan kegembiraan setiap insan. Ah, teringat apa yang dinyatakan oleh bekas pensyarah aku. "Shafaza, kamu mencari manusia dalam manusia bila kamu mengajar. Itu kelebihan yang sukar dicari kini dalam bidang pendidikan"

Wednesday, January 05, 2011

"Yang Saya Tahu, Tahun Ini Kita Rampas Balik Piala!"


Tahun ini aku mahu menang.
Tahun ini memang aku harapkan sangat dapat julang piala itu.
Terlepas di tangan musuh tradisi adalah sangat memilukan. Lebih-lebih lagi menjadi bahan ketawa peserta yang bertanding disebabkan kami sangat bersemangat. Eh, setakat selang beberapa mata tahun lepas apa kau ingat aku puas hati ke?

Baiklah.
Kalau berbicara mengenai semangat kesukanan, aku mungkin boleh dianggap antara yang menggila di atas padang tahun lepas (dan pastinya akan bersambung tahun ini). Keghairahan aku pada semangat kesukanan begitu tinggi dan sorakan serta deretan pingat sungguh memuaskan hati. Sekejap, kenapa aku bersikap seperti Dementor pula ni?

http://farm3.static.flickr.com/2634/4164281440_3837db70c6.jpg
[Gambar : Dementor menghisap kegembiraan dan semangat dalam diri manusia. Kalaulah aku boleh hisap benda tu semua dari pasukan lain, mesti enak kan? Gila.]

Sebelum ini bertiga.
Kini sudah berempat.
Kalau dulu kita ada perang tiga pembesar.
Kini empat pembesar bakal bertembung bagi merebut piala yang satu.
Laksamana, Temenggung dan Bendahara kini ditemani Syahbandar.
Merah, biru dan hijau kini sudah buka gelanggang untuk kuning.
Diam.

Pemilihan dan pengundian serta rombakan rumah pasukan dijalankan siang tadi yang menyaksikan pelari-pelari, pelontar-pelontar dan pelompat-pelompat aku sudah entah ke mana perginya. Mereka yang menyumbangkan emas buat pasukan tahun lepas sudah terlepas ke pasukan lain. Ada yang meracau berjumpa dengan aku mahu kembali ke pangkuan Laksamana (Merah), tapi apakan daya bila aturannya sudah termaktub berdasarkan undian. Tetapi tak mengapa, ada beberapa atlet pasukan lain yang mewakili hingga tahap negeri berada di pasukan aku (jadilah kan, dari tiada? - Sila bersyukur Zara!)

Budak : Tahun ini rumah merah mesti kalah lagi cikgu.
Aku : Kenapa pula?
Budak : Sebab ramai budak merah yang bagus semua dah pergi pasukan lain.
Aku : Saya pun dapat banyak budak bagus.
Budak : Kalah nanti (ketawa)
Aku : Saya peduli apa? Rumah merah punya harapan nak menang tahun ini macam harapan Manchester United nak menang liga tahu? Cerah!
Budak : Ceh! Samakan dengan MU.
Aku : Mestilah!

[Gambar : Sila betulkan telinga masing-masing bila ketua rumah pasukan merah mahu memulakan sidang mesyuarat. Dengar-dengar]

Aku : Perhatian semua. Kita akan mulakan mesyuarat pertama rumah sukan kita pada tahun ini. Selamat datang ke pasukan Laksamana ataupun rumah merah. Baiklah, sebelum saya meneruskan agenda, boleh saya tahu, siapa yang sebelum ini memang rumah Laksamana?
Budak : (tak sampai suku yang angkat tangan)
Aku : Oh, jadi yang lain adalah dari pasukan lain ya? Selamat datang dan sila redha.
Budak : Baik cikgu!
Aku : Kita akan membuat pemilihan pengerusi, naib pengerusi dan sebagainya hari ini dan menetapkan jumlah yuran yang perlu dipungut pada tahun ini. Boleh?
Budak : Boleh!
Aku : Cepat siap, kita akan cepat balik.
Budak : Yeah! (bersorak)
Aku : Misi kita pada tahun ini adalah mendapatkan balik piala yang terlepas dari genggaman. Seperti yang diketahui, dulu pasukan lain yang memenanginya.
Budak : Rumah biru, Temenggung menang.
Aku : Benda yang pahit, saya memang tak nak ingat, boleh?
Budak : (ketawa) Boleh pula begitu cikgu?
Aku : (ketawa) Memang. Kita mulakan dengan memilih pengerusi ya?
Budak : Ya!
Aku : Apa yang saya tahu, tahun ini kita rampas balik piala!

[Gambar : Apa kau nak ingat piala tahun lepas pergi ke tangan Temenggung - Rumah Biru? Macam Manchester United kalah pada Chelsea tahu? Panas darah]

Kan aku dah kata, aku mesti mahu menang kan?
Ketawa.
Semangat mestilah menggila.

Hidup Laksamana!
Hidup rumah merah!
Hidup Zara!
Eh?

Nota Kaki :
1. Memang ada pekeliling yang menyatakan guru yang mengajar Pendidikan Jasmani dan murid yang ada kelas tersebut pada hari berkenaan dibenarkan memakai pakaian sukan sepanjang hari. 
2. Semakin menyukai mata pelajaran Pendidikan Jasmani.
3. Sukar untuk menelah perasaan dan hati sendiri - terlampau banyak calar dan luka yang bertimpa-timpa.
4. Tinggal berempat dalam rumah membuatkan rumah semakin sunyi dan hanya dicemari oleh bunyi telefon dan peti televisyen empat segi.
5. Oh, aku ada jiran baru di meja kanan kini.

Zara : Adakah kau tahu sakitnya menunggu dan berkejar-kejar mendapatkan sesuatu yang dirindu? Tidak. Kau tidak pernah tahu dan tidak akan ambil tahu. Membiarkan diri letih dan lesu semata-mata mahu melepaskan rindu sudah menjadi sesuatu yang terlampau biasa bagi aku.

Monday, January 03, 2011

"Kak, Mana Kelas Perdagangan Ya?" - Aku Cikgu La!


Salam semua.
Hari ini dah mula sekolah untuk sesi dua puluh sebelas.
Senyum.

Macam-macam ragam budak, baik yang lama ataupun yang baru. Yang lama mestilah menjerit-jerit bising setelah lama tak bertemu dan aku seperti biasanya, masuk ke kelas baru dengan peraturan baru yang lebih kejam dan sarkastik.

Budak : Tahun ni denda apa pula cikgu?
Aku : Tahun ini  mungkin saya akan kurangkan zapin.
Budak : Yeah! (bersorak gembira)
Aku : Cuma tahun ini, kalau seorang tak bawa buku, saya halau satu kelas keluar, boleh?
Budak : Apa?
Aku : Kata bersatu padu bagai, penuh perpaduan. Jadi lepas ini, kalau seorang tak bawa buku, satu kelas belajar di luar.
Budak : Tak adil cikgu!
Aku : Semua orang kena saling mengingatkan untuk siapkan kerja dan bawa buku ya?
Budak : Kalau dua orang tak bawa?
Aku : Kan saya dah kata, seorang tak bawa, semua kena. Dua ke, tiga ke, sepuluh orang tak bawa, memanglah sah-sah kena duduk luar kelas.
Budak : Macam tu cikgu?
Aku : Kalau yang tak bawa buku lelaki, maka, perempuan duduk atas lantai menulis, lelaki menulis sambil berdiri. Kalau perempuan tak bawa buku, terbaliklah dari tadi.
Budak : Kalau dua-dua tak bawa?
Aku : Cantiklah. Semua belajar berdiri di luar kelas.
Budak : Baik!

Ya.
Kadar kekejaman tahun ini akan meningkat disebabkan ada mengajar budak PMR. Maka, ketegasan amatlah perlu bagi memastikan kerja kursus semuanya dapat disiapkan sebelum pemeriksa datang menjengah sekolah. Baiklah! Semangat Zara!


[Muka jam 12 tengah hari - Maafkan beliau yang selekeh ini. Oh, muka awal pagi semasa bersiap? Tanya si dia Encik Arnab sebab dia orang pertama tengok muka aku tadi melalui Skype. Ketawa]

Mestilah mengambil gambar sendiri.
Nak suruh anak murid ambilkan?
Gila.
Tiada orang nak ambilkan gambar aku.
Sedih.
(Apa kau artis ke, sampai orang nak ambil gambar kau?)
Ketawa.

Dan pembahagian kelas Kemahiran Hidup untuk Tingkatan Satu telah selesai.
1. Kemahiran Teknikal.
2. Sains Pertanian
3. Perdagangan dan Keusahawanan.

Setelah selesai dibahagi-bahagikan, budak-budak Tingkatan Satu bertempiaran secara berhemah mencari kelas yang sepatutnya mereka berada. Aku, kelas Perdagangan sedang menunggu bersama beberapa orang murid lain yang sudah masuk ke kelas. Sengaja berdiri di depan pintu bagi memudahkan budak mengenalpasti atau bertanya arah kelas mereka.

Budak : Kak, mana kelas Perdagangan?
Aku : Akak?!
Budak : Eh, silap-silap. Cikgu, mana kelas Perdagangan?
Aku : Macam mana awak belajar di sekolah rendah ni?
Budak : Maaf cikgu, maaf. Mana kelas Perdagangan?
Aku : Ni, kelas saya ni. Masuk.
Budak : Terima kasih cikgu.

Kakak?
Baiklah.
Saya nak daftar sekolah semula.
Boleh?
Pitam.

Nota Kaki :
1. Semalam ada rancang sesuatu dengan seorang rakan yang pendiam. Moga boleh terlaksana.
2. Hari ini kaki penat, banyak berjalan ke sana ke mari dalam sekolah.
3. Banyak ketawa.

Zara : Melalui satu hari dengan penuh kekuatan, membuatkan aku tahu, tidak sia-sia kehilangan pelangi suatu ketika dahulu, kerana hari ini aku telah genggam erat matahari kepunyaan sendiri.