Showing posts with label Guru Pembina Negara Bangsa. Show all posts
Showing posts with label Guru Pembina Negara Bangsa. Show all posts

Monday, August 09, 2010

Adik - Adik Yang Bakal Memulakan Tugas Sebagai Guru, Sila Jangan Malukan Abang Dan Kakak Kamu.


Diam.

Hidup adalah kegelapan jika tanpa hasrat dan keinginan. Dan semua hasrat -keinginan adalah buta, jika tidak disertai pengetahuan . Dan pengetahuan adalah hampa jika tidak diikuti pelajaran. Dan setiap pelajaran akan sia-sia jika tidak disertai cinta.  

(Kahlil Gibran)

Aku mendengar sahaja luahan hati seorang kenalan tentang sikap guru-guru muda yang sedang menjalani latihan mengajar di sekolahnya. Aku agak terkilan kerana ada di antara guru-guru muda itu aku kenali. Alhamdulillah, salah seorang junior aku di situ berkelakuan baik dan menepati apa yang dikehendaki dalam sistem pekerjaan kami.

Aku pernah menulis, berpesan juga secara lisan kepada junior-junior aku, yang lebih senang aku bahasakan sebagai adik-adik walaupun ternyata ada yang sebaya ataupun lebih tua daripada aku. Tidak mengapa, umur itu sekadar angka dan tugas menegur atau mengingatkan itu lebih utama. Cuma aku sangat berharap, tidak ada yang akan terasa hati dengan teguran aku dari pengalaman aku sendiri.



Bertegur sapa walaupun sekadar memberi salam ataupun senyuman.
Tidak perlu untuk kamu duduk berbual berjam-jam lamanya dengan rakan guru di sekolah disebabkan semua orang juga perlu melunaskan tugasan yang telah diamanahkan kepada mereka. Cukup sekadar bertegur sapa walaupun hanya memberikan salam atau senyuman kepada mereka yang lebih tua daripada kamu. Adakah itu sesuatu yang terlampau sukar untuk dilaksanakan?

Aku teringat zaman aku menjalani Latihan Mengajar suatu ketika dahulu. Aku meletakkan diri aku umpama murid kepada guru-guru yang lebih dewasa daripada aku. Bila berselisih bahu, aku akan memberikan salam. Kalaupun salam itu tidak terluah, aku akan melemparkan senyuman, sebagai tanda aku menyedari hakikat wujudnya guru tersebut di kawasan tersebut. Tidak sukar, bahkan ia akan mewujudkan satu suasana yang sihat di sekolah, di tempat kerja.

Komunikasi dan hubungan mesra.
Hubungan mesra di sini bukanlah bermaksud perlu membuat kecoh dan terlampau bising ataupun punyai sesuatu yang istimewa terjalin. Wujudnya komunikasi yang baik antara rakan sekerja akan menimbulkan hubungan mesra yang mampu memberikan suasana yang sihat di tempat kerja. 

Sebagai contoh, kalau ada seorang guru yang mempelawa kamu ke majlis jamuan yang sedang diadakan di dalam bilik guru dan kebetulan waktu itu kamu sedang mempunyai masa terluang, terima ajakan tersebut dengan senyuman dan ucapan terima kasih. Nikmati jamuan dalam waktu yang kamu rasakan sesuai. Bukan ambil makanan dan duduk makan seorang diri di meja kamu. Salahkah bersosial sebentar bersama rakan sekerja walaupun kamu hanya sekadar praktikal? Itu adab namanya.

Pendiam bertempat.
Tidak dapat dinafikan, ada sesetengah orang yang tersangat pendiam. Jujurnya, aku tidak punya masalah dengan orang begini, cuma, sila pendiam bertempat. Kalau orang bertanya sesuatu kepada kamu, sebagai pemanis bicara, bertanyakan asal usul ataupun sesuatu yang boleh kamu jawab, jawablah dengan sebaiknya. Dan pastikan, janganlah hanya dia yang bertanya. Wujudkan komunikasi yang seimbang. Ini tidak, hanya guru senior yang bertanyakan kepada kamu, kamu menjawab sepatah, sepatah, pasti dia akan agak terasa dengan kamu.

Batasan guru-murid.
Wujud dengan nyata batasan guru dan murid, tetapi janganlah sampai kamu diskriminasi murid tersebut. Seorang pensyarah aku pernah menyatakan, guru dan murid ibarat kawan. Kita memberikan ilmu dengan cara baik, perkongsian ilmu, biarlah mereka dapat menerimanya dengan cara baik. Tetapi, walau bagaimanapun kamu rapat dengan murid tersebut, jangan sampai alpa garis yang terbina, hubungan antara guru dan murid.

Aku menjalani Latihan Mengajar pada tahun 2007, pada usia lebih kurang 20 tahun. Murid yang aku ajar, berusia 13 hingga 17 tahun waktu itu. Jaraknya hanya 3 tahun, nampak sangat muda kan? Sehingga ada murid aku yang mahu memanggil aku kakak. Tetapi yang pastinya, itu tidak terjadi. Mana mungkin aku membiarkan murid aku memanggil aku begitu? Hatta, sepupu aku sendiri pun, memanggil aku cikgu di sekolah waktu itu.

Murid kebiasaannya boleh menerima pengajaran yang kita sampaikan jika punya hubungan baik dengan guru yang mengajar. Walaupun mereka tidak dapat menerima sepenuhnya isi pengajaran, tetapi yang pastinya, mereka, insyaALLAH, akan berminat dalam apa jua yang kita sampaikan.

Dan itu, hanya sedikit yang mampu aku coretkan buat tatapan adik-adik yang sedang menjalani Latihan Mengajar ataupun bakal memulakan tugas sebagai seorang guru selepas ini. Sekadar teguran daripada seorang kakak yang tidak sanggup mendengar nama universiti kesayangannya diinjak disebabkan kecuaian adik-adik. Jangan kamu lupa, walau siapa pun kamu di sekolah saat ini, orang tetap akan menyebut kamu hasil keluaran universiti mana, dan aku belum cukup tebal telinga kalau mendengar nama universiti tercinta disebut-sebut oleh kesalahan begitu rupa.

Zara : Ini bukan penulisan untuk menunjuk pandai atau apa. Cuma, graf kecintaan aku pada universiti dan kerjaya aku tidak pernah berubah tetapi semakin bertambah. Tidak suka mendengar sesuatu yang memburukkan tempat yang mendidik aku menjadi dewasa.


Sunday, May 23, 2010

Lima Tahun Yang Lepas, Siapa Yang Berguling Bila Disuruh Jadi Guru? - Ayat Abah Makan Dalam


Salam.
Hari Guru sudah hampir seminggu disambut.
Tetapi aku tetap mahu menulis mengenai itu.
Ketawa.

Pulang dari sekolah tempoh hari, Abah sudah tiba di rumah. Oh, sekolah Abah memang pulang awal disebabkan dua sesi, manakala sekolah aku dan Mak punya satu sesi sahaja. Abah ketawa geli hati tengok aku keluar masuk mengambil hadiah yang aku dapat dari dalam kereta.


Sebahagian daripada apa yang aku terima.

Abah : Apa cerita kat sekolah tadi?
Aku : Macam-macam. Ada anugerah, ada sukan, ada jamuan.
Abah : Banyak dapat hadiah?
Aku : Adalah juga.
Abah : Suka?
Aku : Sukalah juga.
Abah : Lima tahun lepas suruh ambil pendidikan, berguling tak nak. Bila dapat sambut hari guru, suka dapat hadiah.
Aku : Eh, itu cerita dulu.
Abah : Dulu nak sangat jadi jurutera.
Aku : Eh, kalau jadi jurutera pun ada hari yang sambut.
Abah : Hari apa?
Aku : Hari pekerja.
Abah : Tu cikgu pun sambut.
Aku : Abah cemburu dapat hadiah sikit kan?
Abah : Dah tua, hadiah pun sikit. Tapi yang mahal-mahal punya.
Aku : Tapi Abah tak dapat macam ni kan?
Abah : Yang mana?
Aku : Ni.


Hadiah paling besar dan menarik aku dapat.

Abah : Eleh, kalau guna pun, Along kena guna kat rumah kan?
Aku : Ceh!

Ceh!
Abah sindir aku dengan tajam. Ketawa.
Memang lima tahun yang lepas aku berguling tatkala Emak mahu aku memilih bidang perguruan dari satu hingga lapan. Sudahlah matrikulasi dipilih oleh Emak, aku mahu buat pilihan sendiri untuk ke universiti. Sejak di Tingkatan Lima, aku sudah memasang impian mahu ke UTM. Tak mahu yang lain, aku tetap mahukan UTM. Jadi, pemilihan ke universiti selepas matrikulasi memang UTM sahaja terbayang di kepala aku.

Mak : Ambil pendidikan.
Aku : Eh, kenapa? Along budak Fizikal, nak ambil kejuruteraan.
Mak : Ambil pendidikan.
Aku : Along nak masuk UTM. Nak ambil pendidikan.
Mak : UTM ada pendidikan tak?
Aku : Itu kan universiti yang penuh dengan kursus kejuruteraan
Mak : Cuba tengok dulu.
Aku : Alamak, ada!
Mak : Baguslah. Pilih UTM, Pendidikan yang pertama. Bahagian apa yang Along mahu, pilih. Nak Kimia sangat, ambil Kimia. 
Aku : Baik.

Dan, setelah lima tahun, aku sudah menjadi seorang guru. Minat yang aku pupuk sendirian sejak di Tahun Satu disebabkan aku dibenarkan memilih kimia sebagai teras pembelajaran aku. Gembira yang amat sebab aku mendengar kata mereka suatu ketika dulu. 

Eh, kalau mereka tiba-tiba mereka menyediakan bakal suami buat aku bagaimana pula? Oh tidak! Mereka dahulu pun bukan diaturkan oleh keluarga, maka aku pasti mereka tidak akan buat begitu pada aku (moga-moga). Ketawa.

Nota Kaki :
1. Sampai ke hari Khamis, masih ada pelajar yang letak hadiah buat aku di atas meja atau berikan terus di dalam kelas. Tersipu-sipu menerima pemberian mereka.
2. Walaupun sejuk melanda hingga ke tulang hitam, hati bercahaya atas suntikan semangat Empunya Marga. Sayang, aku rindu kamu!
3. Belum memulakan menulis Legasi Cinta Alisia. Alahai.

Zara : Memasuki dunia tanpa musim tempat kau dapat tertawa, tapi tak seluruh gelak tawamu, dan menangis, tapi tak sehabis semua air matamu.(Kahlil Gibran)

[Pertandingan] Tekan sini untuk mengetahui lebih lanjut tentang syarat penyertaan.(Tarikh Tutup : 31 Mei)

Tuesday, May 18, 2010

Cikgu, Saya Datang Meminang Cikgu Sebagai Hadiah Hari Guru Boleh?


Salam semua.
Apa khabar kalian semua?
Oh, aku masih dalam keadaan otak masuk air.
Menunggu memang satu penyeksaan tetapi ia sesuatu yang membahagiakan.
Sungguh.

Teringat pada perbualan dengan teman wanita suatu ketika dulu.

"Aku rasa aku kosong", kata B.

Aku : Aku rasa kosong bukan satu masalah.

B : Kenapa terlalu positif sejak akhir-akhir ini?

Aku : Hidup aku dipenuhi manusia terbaik.

B : Siapa?

Aku : Ramai, antaranya adalah mereka yang membaca ini.

B : Empunya Marga itu siapa? Bunga Jiwa itu siapa?

Aku : Orang yang sama, Pemilik Jiwa manusia beku ini.

*******

Semalam, sedang aku duduk di dalam dewan ketika majlis persembahan pelajar sambil menulis di Twitter dan Mukabuku, salah seorang anak murid aku galak mengusik. Aku memang mengajar kelas dia. Tatkala majlis anugerah berlangsung, dia yang menjerit kuat nama aku. Aku senyum sahaja, teletah anak murid ini kadangkala mencuit hati juga.

Murid : Cikgu, saya takde hadiah untuk cikgu.

Aku : Tak mengapa. Tak penting pun. Awak cakap Selamat Hari Guru pun dah cukup.

Murid : Apa kata saya datang rumah cikgu?

Aku : Datang rumah saya? Kenapa?

Murid : Alang-alang datang hantar hadiah, biar saya datang hantar rombongan meminang cikgu terus, sebagai hadiah hari guru.

Aku : Ceh!

*******
Bila mendengar perutusan serta ucapan yang berjela-jela sebelum tiba saat yang dinanti iaitu ikrar dan nyanyian lagu dengan bersemangat, sempat bermain-main di belakang dengan rakan-rakan di barisan aku. Oh, jangan tiru aksi kami yang nakal ini. Beri perhatian di dalam dewan ya? Ketawa.


Pisau : Liyana
Pen hitam : Fahrina
Kit Kat : Zara


Oh, ini barang dalam poket kecil beg aku ini.
Entah apa-apa sahaja yang aku letak dalam beg sekolah.

"Tubuh mempunyai keinginan yang tidak kita ketahui. Mereka dipisahkan kerana alasan duniawi dan dipisahkan di hujung bumi. Namun jiwa tetap ada di tangan cinta, teruslah hidup sampai kematian datang dan menyeret mereka kepada Tuhan..."
(Kahlil Gibran)

Nota Kaki :
1. Sudah melampiaskan rindu pada seseorang walaupun hanya sekeping pesanan ringkas.
2. Senyum bila bicara dengan seorang bapa tadi. Terima kasih kerana sudi mendengar luahan anak dara yang sedang tidak teratur otaknya ini.
3. Bakal memulakan garapan baru bila punya masa nanti.
4. Sibuk menyusun kertas peperiksaan.

Zara : Empunya Marga muncul dan membuatkan aku tersenyum sendirian. Oh, hari ini pepriksaan Tingkatan Empat dan Lima sudah bermula. 

Monday, May 17, 2010

Penerima Anugerah Guru Wanita Popular Dan Guru Baru Wanita Popular 2010 Adalah Milikku


Salam semua.
Upacara Hari Guru telah berjalan dengan gilang gemilang siang tadi.
Aku masih keletihan akibat sesuatu saat ini.
Tinggalkan kalian dengan gambar ini sahaja.
Maaf.


17 Mei 2010
Penerima Anugerah Guru Wanita Popular.
Penerima Anugerah Guru Baru Wanita Popular.
Tapi kalah di tangan Guru Lelaki Paling Kacak yang berjaya menggondol Guru Paling Popular 2010.
-_-"

*******

Bila orang bertanya tentang hati dan sebagainya, aku cuma mampu merenung jauh dan ketawa. Apa yang mereka fahami tentang hati aku? Aku akui, hanya sesetengah daripada sahabat aku yang benar-benar memahami apa yang tersirat dan tersurat dalam hati ini. Hampir bertahun keseorangan tanpa seseorang istimewa, banyak mengajar aku apa yang dinamakan sebagai kehidupan itu sendiri. Terlalu banyak yang dilalui, kebanyakannya keseorangan atau hanya bersama teman-teman seperjuangan, aku harus akur yang hidup aku dalam gelanggang dunia ini terlalu naif tetapi istimewa.

Apakah aku terlalu tamak? Kehidupan itu telah indah dengan sendirinya. Apakah aku kurang bersyukur? Aku ingin menganggap semua yang berlaku adalah satu ujian, sama ada aku akan tabah atau tidak dalam menjalani sesuatu yang dipanggil kehidupan.

Apa perlu aku merungut sendiri?. Aku melalui kegembiraan sebagai penghujung remaja yang bakal menginjak ke usia dewasa dalam beberapa bulan sahaja lagi, insyaALLAH. Aku melalui kehidupan yang indah dan ceria bersama keluarga, teman-teman kuliah, suasana dan persekitaran di mana aku merasakan di situ tempat di mana aku sesuai berada.

Cinta? Mengapa aku sering diajukan pernyataan tersebut? Pemikiran manusia masih dangkal barangkali. Pertanyaan begitu membuat aku mengingati apa yang pernah ku baca, lupa di mana coretan itu, tetapi dari Kahlil Gibran, beliau pernah menyatakan, "Jangan kau kira cinta yang datang dari keakraban yang lama, cinta adalah anak kecocokan jiwa dan jika itu tidak pernah ada, cinta tidak akan tercipta".

Hidup ini adalah mimpi buat diri aku. Aku menjalani kehidupan yang aku impikan, melanjutkan pelajaran ke tempat yang aku inginkan, apa yang aku ingin gapai, syukur kepada Yang Maha Esa, Dia telah memudahkan segala urusan aku. Aku di kelilingi oleh manusia-manusia yang memahami serta mengerti apa yang perlu dikobankan dalam menjalani sesuatu impian.

Cinta itu penawar. Benar barangkali cinta itu penawar. Kerana asakan cinta, manusia menjadi kuat, menjadi lebih tabah dalam menjalani kehidupan. Sesuatu yang indah, apa perlu lagi kita merosakkan dengan sikap yang tiada ertinya dalam kehidupan kita sendiri?. Hidup ini bukan hanya ada kita, tetapi, masyarakat serta semua komponen yang tidak harus kita lupakan.

Ampuh sekali kata-kata masyarakat terhadap nilai kehidupan seseorang itu. Itu sikap manusia, yang paling penting, bagi diriku, ambil sahaja yang membina, yang positif. Yang meruntuhkan itu, tidak perlu walaupun sedikit. Sikap yang negatif akan meracuni diri, itu adalah pasti.

Pernah aku menyatakan, aku bukan manusia yang dianugerahi kecantikan tetapi dibidas oleh seorang sahabat. Dia menyatakan aku cantik, dalam apa yang Tuhan telah jadikan. Nah! Aku terpempan dengan kata-kata itu, benar katanya. Manusia ini dijadikan dengan sebaik-baiknya, mengapa aku harus merungut lagi?

Cinta itu mengubah tingkah laku kita. Cinta itu barang kali telah merubah sikap aku sendiri. Aku menjadi manusia yang lebih bijak dalam menilai perasaan, pandangan serta harapan yang telah disandarkan kepada aku. Mungkin disebabkan cinta pertama yang telah kecundang, aku rebah seketika, ianya lebih kepada aku menilai diri ini. Cinta yang aku pertahankan terkulai, apakah daripada kesilapan aku atau si dia?

 Aku mahu mengurangkan menuding jari, barangkali ia berpunca daripadaku, siapa tahu aku bakal diuji begini tatkala gembira?. Jadi, apabila ianya terjadi sedemikian rupa, sepotong kata-kata daripada bapa telah menjadikan aku bertambah dewasa. Air mata menjadi terlalu murah pada waktu itu.

Apa yang bapa pesan padaku? - "Jika cinta itu datang kerana Yang Maha Esa, jika aku kehilangannya sekalipun, nescaya dia akan kembali. tetapi, jika cinta yang datang adalah kerana hawa nafsu, mungkin aku akan bersedih buat sementara, itu lumrah, tetapi aku akan belajar untuk melupakan dengan cepat dan tidak akan merasakannya lagi". Pesanan bapa sentiasa menjadi azimat buat diriku kini.

*******

Nota Kaki :
1. Sedang menenangkan pemikiran yang berkecamuk kerana sesuatu.
2. Gembira dengan apa yang aku lakukan sekarang.
3. Kesakitan dan kepahitan sedang aku hadam dengan perlahan.
4. Sedang merindukan seseorang sambil menzahirkan diri kerana aku terlalu percaya pada takdir yang tercipta.

Zara : Senyum sendirian melihat beberapa kepingan kenangan beku masa. Itu antara mengapa aku terus kekal tabah di dalam dunia yang semakin tua ini. Tegarkah hati, kuatkah iman? Aku cuma mampu berdoa dan berusaha serta istiqamah dalam apa jua yang aku lakukan.

Sunday, May 16, 2010

Jangan Ambil Bidang Pendidikan. Membazir Usaha Awak Dapat Cemerlang SPM. Jangan Jadi Cikgu.


Teringat apa yang seorang kaunselor nyatakan pada aku usai mengambil keputusan SPM 2003.

"Awak jangan ambil pendidikan. Kerjaya tu tak sesuai untuk awak. Jangan bazirkan usaha awak selama ini dengan jadi guru. Ambil bidang lain. Buang masa kalau awak ambil pendidikan" 

Nah, selepas 6 tahun ayat itu bergema dalam kepala aku, aku hanya mahu dia tahu aku gembira tidak mendengar nasihat dia dahulu. Senyum. Setiap kali aku melalui sekolah lama dan terserempak dengan dia di mana-mana, aku hanya akan tersenyum dan dia tidak akan memandang muka aku lama-lama. Aku sendiri tertanya, adakah dia kesal dengan nasihat yang pernah dia berikan pada aku?



Terlampau banyak kenangan aku sewaktu menjadi seorang pelajar di sekolah suatu ketika dulu. Aku pasti kalian juga begitu kan?

Cinta.
Jujurnya, aku tidak pernah mengecapi keindahan ini sewaktu di zaman persekolahan. Mungkin juga kerana sehingga kini aku tidak dikurniakan dengan rupa paras igauan mana-mana jejaka, maka tiada sesiapa yang sudi menghulurkan salam cinta buat aku. Ketawa. Aku dulu manusia ganas yang dahagakan darah dan ilmu pengetahuan. Dihina akibat paras rupa tidak pernah buat aku runtuh, tapi bila isu pelajaran disentuh, pasti aku bangkit dan membunuh dengan tabah.

Oh, aku mungkin hanya menyukai seseorang dalam diam. Kegilaan yang aku salurkan dengan impian untuk mengalahkan dia dalam setiap aspek, dan aku berjaya hanya dua atau tiga kali. Aku menang dalam SPM, aku berjaya mendapat gelaran Tokoh Maulidur Rasul dan aku berjaya mengatasi dia dalam peperiksaan sekolah agama. Yang lain, aku kalah satu mata dibelakang. Sentiasa.

Coklat Dan Kek Bulan.
Ada seorang sahaja yang pernah dapat ini daripada aku. Kegilaan aku yang tidak tahu entah sebab apa.

Sejarah.
Ratu Sejarah dari Tingkatan Satu hingga Tiga tewas bila masuk ke menengah atas. Mungkin sebab aku hanya suka baca tanpa ada kebolehan mengolah di Kertas Dua pada mulanya. Kisah disebaliknya boleh dibaca di sini.

Guru : Bapa awak kan ajar Sejarah?
Aku : Ya cikgu.
Guru : Kenapa awak tak boleh buat juga?
Aku : Payah nak ingat cikgu.
Guru : Kenapa masa PMR boleh dapat A tapi sekarang asyik 7, 8 dan 9?
Aku : Entahlah cikgu.
Guru : Emak awak ajar Pendidikan Islam kan?
Aku : Ya cikgu.
Guru : Pendidikan Islam boleh dapat A, tapi mengapa sejarah tidak boleh? Apa nak jadi? Bapa ajar Sejarah, tapi anaknya lingkup sebegini.

Dan itu semua sudah berbalas dengan megah. Air mata yang tumpah di tubir mata guru itu tatkala mengambil keputusan peperiksaan aku sudah cukup membayar segala kesakitan aku mendengar ayat-ayat marah setiap kali dia nampak muka aku dan kertas Sejarah yang penuh dengan dakwat merah. Bila keputusan keluar, dia melangkah penuh payah dan wajah penuh gundah pada aku. Aku sudah kemam mulut, takut menghambur segala nista dari mulutnya.

Guru : Tahniah.
Aku : Ha?
Guru : Pelajar terbaik sekolah dan terima kasih kerana beri saya A1 untuk Sejarah.
Aku : Alhamdulillah.

Juraian air mata itu sudah cukup buat aku aku tidak mampu berkata apa-apa. Harga yang cukup mahal atas segala kata-kata yang pernah dia sindir aku selama setahun setengah. 

Sarung kaki bendera penjajah.
Pernah sehari suntuk dari pagi hingga pulang dari sekolah aku tidak memakai sarung kaki. Dirampas oleh cikgu disiplin akibat sarung kaki putih itu mempunyai bendera Amerika di atasnya. Mendongkol aku terpaksa memakai kasut tanpa sarung kaki. Balik rumah, rendam kaki dalam baldi dan gosok dengan berus lebih dari tiga kali. 

Beberapa bulan selepas itu, menemani kawan mencari barang di meja guru tersebut, aku nampak sarung kaki aku masih tergulung di dalam laci mili guru tersebut. Tiada nafsu mahu ambil semula. Ketawa sendirian disebabkan laci itu penuh dengan sarung kaki pelbagai warna, hanya aku sahaja yang berwarna putih, tapi ada logo bendera.

Apa pula antara kenangan yang kalian ingat?
Itu cuma sebahagian daripadanya.

Nota Kaki :
1. Aku memang menyukai persekitaran sekolah.
2. Hari ini Ahad, maka aku memang bercuti.
3. Menggarap soalan dan bukan novel atau cerpen. Aduhai Zara.

Zara : Sedang menghafal lagu dengan gigih untuk esok. Siapa yang suka dengan lagu di blog ini? Sila tekan 'LIKE' di bawah ini. Ketawa.

[Pertandingan] Tekan sini untuk mengetahui lebih lanjut tentang syarat penyertaan.  

Selamat Hari Guru Zara : Sekali Guru, Selamanya Guru. Kalau Mati, Orang Akan Tetap Sebut Cikgu Juga!


Salam hujung minggu semua.
Hari ini 16 Mei 2010.
Selamat Hari Guru buat semua guru tidak kira di mana anda berada.


Selamat Hari Guru Buat Abah dan Bonda.
Guru terbaik sepanjang hidup aku di atas dunia dan menjadi panduan aku berusaha untuk berjaya seperti mereka yang sudah menjadi guru lebih dari dua puluh tiga tahun. Doakan Along tabah untuk tiga puluh enam tahun mendatang juga.

Selamat Hari Guru 2010 - Guru Pembina Negara Bangsa.
Buat kali pertama tahun ini aku akan menyambut Hari Guru secara rasmi. Ya, rasmi wahai teman-teman sekalian. Setelah melaporkan diri pada 26 Oktober 2009, sudah hampir enam bulan aku melayari kehidupan sebagai seorang guru yang banyak mematangkan diri untuk menjadi lebih dewasa serta tabah menghadapi pelbagai cabaran di dunia. [pembacaan telus]

Sejujurnya kerjaya ini memang dekat di hati aku. Melihat Abah dan Bonda yang sudah menjadi guru lebih daripada dua puluh tiga tahun membuatkan aku kagum dengan ketabahan mereka menghadapi kerenah yang pelbagai dalam sektor pekerjaan ini. Bangun seawal pagi untuk menyumbangkan sesuatu buat anak didik telah memotivasikan aku sejak dari kecil walaupun hakikatnya minat ini aku pupuk secara perlahan setelah menjejakkan kaki di Kampus Selatan.

Ucapan terima kasih yang tidak terkira buat mereka-mereka yang bergelar pendidik sejak aku dilahirkan sehingga kini. Sungguh, tidak mengira ia adalah pembelajaran formal di dalam kelas atau santai dengan sesiapa sahaja, selagi kamu menyumbangkan sedikit ilmu pengetahuan kepada aku, ya, aku kira mereka adalah seorang guru.

Ucapan Dari Teman-Teman.
Sahabat-terbaik-pijak-kepala (Si Busuk Pali)
Panggilan pertama dari Si Busuk untuk mengucapkan Selamat Hari Guru Buat aku yang sedang mamai, tertidur akibat keletihan yang amat sangat. Sumpah, aku memang terharu wahai sahabat. Dan, ucapan kamu di Twitter sangat mengujakan. Itu baru betul-betul sahabat pijak kepala sampai bila-bila. Sila suntik aku dengan semangat bila aku rebah tanpa tenaga. Persahabatan tanpa prejudis, itulah kita. Terima kasih Busuk!


Hazami Bahrin Daniel - Bapa Pada 3 Anak Angkat Aku.
Hazami, terima kasih atas video yang kau letak di Mukabuku aku. Walaupun aku masih tidak mengerti apa kaitan Hari Guru dengan lagu 'Warisan Wanita Terakhir' - mungkinkah disebabkan ada Faizal Tahir di dalam video itu? Atau disebabkan dinyanyikan oleh Teacher's Pet. Apapun, terima kasih teman.

Adik lelaki terbaik - Lorince LHS Abdullah.
Ada cuti khas untuk Kak Zara kamu ini ya? Kalau ada, Kak Zara tidak mahu esok. Esok ada majlis sambutan hari guru peringkat sekolah, mahu duduk ramai-ramai dengan guru-guru lain tahu? Terima kasih adik comel merangkap jurugambar peribadi sewaktu konvokesyen. Bila nak menembak gambar Kak Zara lagi?



Teman-teman di Mukabuku, Blog dan Twitter.
Terima kasih atas semua ucapan. Mahu menulis satu demi satu tidak terlarat pula. Apa pun,terima kasih yang tidak terhingga atas ucapan kalian semua. Buat aku terharu dan bersemangat untuk menjadi guru terbaik.

Ucapan Khas.
Buat mereka-mereka yang bergelar guru, ini landasan perjuangan kita. Anak murid adalah pelanggan kita. Sama ada mereka setia atau tidak, yang pasti ia akan bergantung bagaimana kita memberikan yang terbaik buat mereka. Jika diberikan layanan yang baik, insyaALLAH, kalau tidak sekarang, pasti akan ada sedikit balasannya nanti. Moga kebaikan dan ilmu yang kita curahkan mendapat keberkatan daripada Yang Maha Esa.

Teman-teman seperjuangan, jangan pernah mengalah. Ini laluan kita. Ini gaya hidup kita.
Teringat apa yang dikatakan oleh seorang bapa saudara.
"Bila jadi cikgu, untungnya sampai bila-bila. Kalau mati, orang akan sebut Cikgu juga dihadapan. Siapa meninggal? Cikgu Zara. Kalau pekerjaan lain, apa orang sebut Jurutera Zara?"

Nota Kaki :
1. Mendapat hadiah pertama hari guru dari anak kecil yang aku ajar kelas tambahan.
2. Tangan sibuk membalas ucapan selamat hari guru.
3. Selamat hujung minggu, bila mahu menulis tentang Alisia ni Zara?

Zara : Selamat Hari Guru semua! Sama-sama nikmati lagu di blog Zara.

[Pertandingan] Tekan sini untuk mengetahui lebih lanjut tentang syarat penyertaan.  

Saturday, May 15, 2010

Selamat Hari Guru 2010 - Guru Pembina Negara Bangsa [Pertandingan Kembara Mencari Cinta]


Salam hujung minggu semua.
Selamat Hari Belia Negara buat semua hari ini.
Ya, 15 Mei 2010 adalah Hari Belia Negara.

Tema : Belia Kreatif Pemacu Pembangunan Negara.
Aku ada menulis tentang ini di penulisan ini.

Desiran angin bertiup menuju utara,
Hempasan ombak mencuit marga.
Selamat Hari Belia Negara 2010 di Putrajaya,
Belia Kreatif Pemacu Pembangunan Negara.

Selamat Hari Guru 2010 - Guru Pembina Negara Bangsa.
Buat kali pertama tahun ini aku akan menyambut Hari Guru secara rasmi. Ya, rasmi wahai teman-teman sekalian. Setelah melaporkan diri pada 26 Oktober 2009, sudah hampir enam bulan aku melayari kehidupan sebagai seorang guru yang banyak mematangkan diri untuk menjadi lebih dewasa serta tabah menghadapi pelbagai cabaran di dunia.

Tahun ini, sama seperti tahun lepas, masih menggunakan tema yang sama iaitu Guru Pembina Negara Bangsa.
Soalan yang pasti akan ditanya adalah, apa maksud negara bangsa. Aku tinggalkan kalian untuk mencari dengan jelas maksud disebaliknya. Sebelum itu, izinkan aku menyatakan apa yang ditakrifkan berdasarkan Wikipedia - Negara Bangsa.

Negara bangsa ialah satu konsep atau bentuk kenegaraan yang memperoleh pengesahan politiknya dengan menjadi sebuah entiti berdaulat  bagi satu-satu bangsa sebagai sebuah (unit) wilayah yang berdaulat. 

Jika berjaya dilaksanakan, ia menandakan bahawa rakyatnya  berkongsi satu bahasa, budaya dan nilai - yang bukan merupakan ciri-ciri negara yang telah wujud sebelumnya. Sebuah dunia dengan negara-negara bangsa juga akan melaksanakan tuntutan terhadap penentuan nasib sendiri dan autonomi bagi setiap bangsa, yang menjadi fokus utama fahaman nasionalisme.



Sejujurnya kerjaya ini memang dekat di hati aku. Melihat Abah dan Bonda yang sudah menjadi guru lebih daripada dua puluh tiga tahun membuatkan aku kagum dengan ketabahan mereka menghadapi kerenah yang pelbagai dalam sektor pekerjaan ini. Bangun seawal pagi untuk menyumbangkan sesuatu buat anak didik telah memotivasikan aku sejak dari kecil walaupun hakikatnya minat ini aku pupuk secara perlahan setelah menjejakkan kaki di Kampus Selatan.

Ucapan terima kasih yang tidak terkira buat mereka-mereka yang bergelar pendidik sejak aku dilahirkan sehingga kini. Sungguh, tidak mengira ia adalah pembelajaran formal di dalam kelas atau santai dengan sesiapa sahaja, selagi kamu menyumbangkan sedikit ilmu pengetahuan kepada aku, ya, aku kira mereka adalah seorang guru.

Ucapan Khas.
Buat mereka-mereka yang bergelar guru, ini landasan perjuangan kita. Anak murid adalah pelanggan kita. Sama ada mereka setia atau tidak, yang pasti ia akan bergantung bagaimana kita memberikan yang terbaik buat mereka. Jika diberikan layanan yang baik, insyaALLAH, kalau tidak sekarang, pasti akan ada sedikit balasannya nanti. Moga kebaikan dan ilmu yang kita curahkan mendapat keberkatan daripada Yang Maha Esa.

Pertandingan Sempena Hari Guru 2010 : Cikgu Zara dilanjutkan hingga 20 Mei 2010. Eh, Kembara Mencari Cinta - adakah satu tema pertandingan aku?
Kembara Mencari Cinta adalah tema pertandingan ini. Ketawa. Tidaklah wahai sahabat sekalian, itu adalah nama novel di dalam cerita Adamaya. Seperti yang pernah aku war-warkan sebelum ini, pertandingan ini sedang berlangsung dan berita baik untuk semua yang mungkin punya kekangan masa, aku sudah melanjutkan masa hingga 20 Mei 2010. Ya, masih ada beberapa hari lagi untuk menghantar penyertaan. Sangat-sangat dialukan.

 

Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putra putri negara kita

Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua

Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta

Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan

Aku sangat menyukai lagu itu dan telah dihafal sejak zaman persekolahan. Memang gilakan? Senyum. Gembira dengan keadaan diri yang memilih laluan kerjaya yang membuatkan aku tenang dan mengenali lebih jelas tentang siapa aku dalam dunia ini.
Nota Kaki :
1. Berada di sekolah hari ini - sekolah ganti.
2. Mata bengkak seperti panda disebabkan bertugas malam tadi. Ya, tidur di surau sekolah.
3. Pelajar mahu aku menyanyikan lagu juga sempena Hari Guru Isnin ini. *Pitam*
4. Sesiapa yang belum membaca Legasi Cinta Alisia Bab 20?

Zara : Kepenatan selepas gotong-royong perdana. Sudahlah dengan mata bengkak yang terpaksa disolek secara gelap untuk mengelakkan murid merenung nakal, bertambah lagi dengan menghayun cangkul sebentar tadi. Betul-betul buat aku tersenyum bila Pengetua mengajar menanam pokok dengan betul tadi. Ah, lulusan Sains Pertanian. 

[Pertandingan] Tekan sini untuk mengetahui lebih lanjut tentang syarat penyertaan.