Friday, December 11, 2015

Wanita #02 : Kenapa Sekarang, Bukan Dulu?


"Siapa telefon kau?"
"Kawan aku"

(senyap)
"Hmmm"

"Apahal kau?"
"Dia macam meluahkan dia suka aku"

"What?! Kau dah bertunang dah"
"Aku tahu"

"Habis tu apa masalah kau?"
"Sebab kenapa dia tanya aku sekarang, bukan dulu?"

"Hey, wake up!"
"What?"

"Kau dah bertunang. Kau sayang tunang kau. Kau yang pilih"
"Aku tahu"

"So what?"
"Masalahnya, kenapa sekarang? Masa aku dah ada orang"

"Sebab kau tak tahu. Sebab dia tak cakap"
"Yeah, aku tahu"

"Dah, lupakan"
"Dia kawan aku"

"Yes. Kawan sahaja. Kau dah nak kahwin lepas ni"
"Aku tahu."

"Aku nak tanya sikit."
"Apa dia?"

"Kalau dia luahkan perasaan dia dari dulu, kau akan terima?"
"Terima"

"Why?"
"Sebab aku dulu pernah terdetik hati suka dia"

"Really?"
"Yup! Tapi dia macam takde perasaan pada aku"

"So, kau kecewa?"
"Nope. Aku ada teman lelaki lain lepas tu"

"Dia?"
"Aku tak pernah ambil tahu"

"Kenapa?"
"Aku tak nak hati aku begini. Gundah tak tentu hala"

"Kau tunang orang"
"Aku tahu"

"Lupakan"
"Kalau aku boleh"

"Boleh"
"Ye la"

"Enough"
"Got it"


[Sumber gambar]


Thursday, December 10, 2015

Lelaki #01 : Aku Fikir Kau Tunggu Aku


"Just aku terfikir, kau patut tunggu aku"
"Kau kawan aku selamanya babe"

(senyap)
"Kau tak pernah meluahkan"

(senyap)
"Doakan sahajalah aku"

"Bye"
"Bye"

********


"Hoi!"
"Apa?"

"Dia dah bertunang"
"Seriously?"

"Yup!"
"Kau kata dia pun suka kau?"

"Aku fikir macam tu"
"Perasaan kau je rupanya"

"Aku nampak dia cinta, putus, cinta, putus selama ni"
"Jadi kau fikir dia cuma flirt?"

"Aku ingat dia tengah belajar nak move on sebab si pengecut tu"
"Malangnya tak"

"Aku rasa bodoh"
"Hoh!"

"Apa?"
"Dia baru tunang"

"Aku bukan jenis potong jalan"
"Kau kecewa"

"Sikit"
"Ye la tu"

(senyap)
"Hoi, nak keluar tak?"

(senyap)
"Ada game best ni"

(senyap)
"See? Kau frust"

(senyap)
"Dah le. Aku gerak dulu"

(senyap)
"Chow!"

"Aku tak boleh kawan dengan dia lagi kan?"
(senyap)

"Kenapalah dia tak tunggu aku?"
(senyap)

[Sumber gambar]

Wednesday, December 09, 2015

Wanita #01 : Mungkin Kau Terlewat


"Hey"
"Hai"

"Kau apa khabar?"
"Baik. Kau?"

"Baik. Kau buat apa sekarang ni?"
"Macam biasa. Kerja"

"Aku nampak SNS kau"
"Kenapa?"

"Gambar kau. Macam ada majlis"
"Oh, yang baju biru tu?"

"Yup! Majlis apa?"
"Aku bertunang"

"Bertunang? Serius? Dengan siapa?"
"Dengan tunang aku lah"

"Hmmm"
"Kenapa babe?"

"Aku ingat kau tunggu aku"
(senyap)

"Aku fikir kau akan tunggu aku sebab aku suka kau"
"Er, kau tak pernah cakap pun"

"Aku fikir kau akan tahu"
"Aku langsung tak tahu"

"Takpelah. Tahniah. Just tahniah"
"Thanks"

"Kau patut bahagia sebab kau pilih kan?"
"Hmm"

"Just aku terfikir, kau patut tunggu aku"
"Kau kawan aku selamanya babe"

(senyap)
"Kau tak pernah meluahkan"

(senyap)
"Doakan sahajalah aku"

"Bye"
"Bye"

[Sumber gambar]



Wednesday, December 02, 2015

Women’s Style Guide


Fesyen bukanlah suatu perkara yang boleh diambil ringan malah ia merupakan gaya hidup bagi setiap individu. Tidak kiralah sama ada individu tersebut mempunyai pekerjaan yang berkaitan dengan dunia fesyen mahupun hanya seorang guru di sekolah (macam aku ini). Pendek kata, semua wanita khususnya haruslah mengetahui perkara-perkara asas dalam berfesyen serta apakah yang harus dielakkan ketika mengenakan sebarang busana.

Entri kali ini akan berkisarkan mengenai women’s style guide dan akan membantu para wanita yang mungkin memerlukan sedikit panduan berfesyen serta boleh dikatakan sebagai panduan untuk diri aku sendiri #notetomyself.



Pertama sekali, kenali tona kulit anda. Adakah anda mempunyai tona yang cerah? Gelap? Ataupun sawo matang? Ini adalah amat penting untuk mengetahui warna pakaian apakah yang boleh dipakai agar tampak sesuai dengan tona kulit anda. Jika anda mempunyai kulit yang gelap, elakkan memakai warna-warna yang terlalu terang atau warna kulit anda akan kelihatan terlalu kontra berbanding dengan warna pakaian. 

Kalau aku yang berkulit tidak berapa cerah ini, jika pakaian aku terang (kadangkala dalam kerjaya aku, pakaian rasmi yang diminta untuk dipakai bukanlah atas kehendak atau citarasa aku, tetapi mengikut majoriti) – aku akan cuba padankan dengan warna lain yang bersesuaian supaya tidaklah menjadi modal untuk dibahan oleh orang lain. Keyakinan diri itu sangat penting, dan pakaian itu mampu membawa kegembiraan kan?




Kedua, kenali bentuk badan anda. Adakah anda mempunyai bentuk badan tinggi lampai? Kecil molek? Atau sedikit berisi? Jangan pakai pakaian yang terlalu ketat dan elakkan corak jalur melintang jika anda mempunyai bentuk badan yang berisi. Bagi anda yang kecil molek pula, pilih pakaian yang bercorak jalur menegak untuk kelihatan lebih tinggi.  

Perkara kedua ini sangat penting bagi aku memandangkan aku semakin hari semakin lari dari berat badan ideal aku selepas menjadi seorang ibu (ini bukan alasan sebenarnya, tetapi lebih dipengaruhi oleh jadual kehidupan aku) – jadi pemilihan pakaian aku, haruslah bersesuaian dan selesa. Lebih-lebih lagi aku bekerja dengan manusia, pemilihan pakaian yang selesa dan memberikan impresi yang baik itu perlu.




Seterusnya, tahu etika berpakaian. Anda harus tahu ke mana tempat yang ingin anda tujui atau atas tujuan apa. Elakkan berpakaian kurang sopan di majlis-majlis formal atau di pejabat. 

Perkara ketiga ini memang ada dalam garis panduan pekerjaan aku. Seperti yang semua orang ketahui, kerjaya aku sebagai guru, lebih-lebih lagi mempengaruhi pemilihan pakaian aku. Tidak boleh memakai pakaian yang mencolok mata di hadapan murid (selain daripada pegangan agama), sudah tentu ianya dititik beratkan kerana murid-murid mempunyai ruang untuk melihat sama ada orang dewasa di sekeliling mereka memberikan contoh yang baik ataupun tidak. Tatkala semua orang memakai pakaian yang sopan, mana mungkin anda muncul melanggar etika kan?




Dan yang terakhir, bijak memadankan warna. Anda harus bijak bermain dengan kombinasi warna untuk mendapatkan penampilan yang bergaya. Elakkan memakai pakaian yang kedua-duanya berwarna cerah atau anda akan kelihatan seperti badut!

Tetapi percayalah, kadangkala kita terpaksa untuk berpakaian sedemikian atas dasar tugasan (mengeluh). Walau bagaimanapun, di luar bidang lain, yang dapat kita buat piihan sendiri, kita haruslah bijak memadankan warna supaya kita akan selesa dengan penampilan diri sendiri. Kenapa tidak jadi diri sendiri dan buatkan kita bergaya dalam masa yang sama? Bukankah dengan berpakaian yang menarik, keyakinan diri kita akan meningkat dan dalam masa yang sama kita sendiri akan gembira?

Pilihlah gaya yang mampu membuatkan diri kita gembira untuk menikmati hari yang lebih baik dalam hidup ini. Kerana senyuman dan hati yang gembira itu akan membawa kita kepada kehidupan yang lebih positif dan bahagia. - Zara (02 Disember 2015)



Wednesday, July 08, 2015

Kalau Tak Kerana Kau Bakar Dia.


Sejak kebelakangan ini, aku selalu terdengar lagu "Terima Kasih Kekasih" dalam radio. Mula-mula memang aku keliru sebab aku tak faham apa yang dimaksudkan. Bila ada seseorang kongsi lirik dia di laman sosial, baru aku tahu apa yang dinyanyikan. Aku cuma dengar semata. Aku tertarik dengan bahagian ini :

Terima kasih kekasih kekasih 
Yang telah mengoyakkan jantungku  
Terima kasih kami menghargai  
Kalau tak kerana kau bakarku  
Ku takkan jumpa cinta yang baru -

Aku rasa, benda sama dirasakan oleh manusia-manusia yang dikhianati oleh pasangan mereka, tidak kira tentang apa, rasa bersyukur pada satu tahap, jika tidak kerana dikhianati, disakiti oleh pasangan (yang mungkin telah jadi bekas pasangan), mereka telah jumpa cinta baru yang lebih membahagiakan. Disebabkan mereka pernah dikhianati, tidak dihargai, maka, mereka sangat menghargai keadaan apa yang mereka ada sekarang ini. Selalunya manusia begini berjumpa dengan seseorang yang lebih baik kerana mereka telah melalui perkara yang menyakitkan sebelum ini. 

Trauma?
Mungkin juga jika kesan yang ditinggalkan terlampau mendalam. Kita tidak akan pernah tahu masalah yang mereka hadapi disebabkan kekecewaan yang mereka hadapi. Jika mereka bertemu seseorang yang baru dan jika anda adalah pasangan yang mengecewakan mereka suatu ketika dahulu, adalah lebih baik anda mendoakan yang terbaik buat mereka. Bukan menyeret mereka lagi ke arah kesengsaraan atau kesakitan.

Anda tidak pernah tahu.
Jika anda menyakiti seseorang yang cintakan anda sepenuh hati, mungkin anda akan mengalaminya sendiri dalam hubungan yang akan datang. Ketahuilah, jika tidak terkena kepada anda, ia mungkin akan terjadi kepada keluarga, rakan-rakan atau sesiapa sahaja yang rapat dengan anda. Jika ia berlaku, anda perlu fikir kembali. Adakah anda pernah mengoyakkan hati dan jantung sesiapa?

Dan untuk yang kecewa.
Ketahuilah perasaan itu boleh diatasi. 

[Sumber gambar]





Wednesday, June 17, 2015

Projek Tadarus Al-Quran 2015


Salam semua.
Untuk tahun 2015, Projek Tadarus Al-Quran kembali lagi. 
Boleh rujuk pautan ini, untuk melihat pembahagian pada tahun-tahun lepas. Tahun ini, sebagai penambahan, pembaharuan seiring dengan teknologi (dengan lebih memudahkan), aku bercadang menggunakan medium WhatsApp/Telegram sebagai ruang "update" setelah selesai pembacaan.




Borang penyertaan boleh diisikan menggunakan borang di pautan INI. Masukkan maklumat dan aku akan hubungi kalian (jika berminat)

Terima kasih dan selamat menyambut Ramadhan :)



Sunday, May 31, 2015

Sebab Kamu Selalu Ada


Kadangkala, orang yang kita baru bertemu sekali dalam hidup (atau langsung tidak pernah bertemu), itulah yang menjadi kenalan paling lama kita bertahan. Yang muncul sekali sekala, bila perlu untuk bertanya khabar, yang itulah juga kekal setia.

Barangkali benar.
Yang lihat kita sentiasa, yang berpapasan setiap hari tidak melihat kita sebagaimana mereka yang jauh mampu menilai kita. Yang kita sembunyikan dapat mereka hidu dan tebak tanpa tersasar bidikan. Mungkin depan mata, kita sentiasa mengukir senyuman paling cantik, hias wajah dengan ketawa gembira walaupun hakikat jiwa, kita menanggung masalah yang bukan sedikit pula.

Nah!
Sebab kamu selalu ada.
Sebab kamu jauh, maka kamu pandai baca jiwa.
Sebab kamu sesekali bertegur sapa, maka kamu pandai meneka.

Kita semua ada kawan sedemikian rupa. Yang bila dia (atau mereka) muncul, kita mampu bercerita semua benda. Yang tidak kita sembunyikan walau sebesar hama. Bertuahnya kerana kita tidak bertemu mereka setiap hari, maka kita mampu luahkan rasa hati. Menangisnya kita, hanya mereka yang fahami.

[Sumber gambar]


Sunday, April 19, 2015

Cara Tenangkan Diri Sendiri


Aku rasa bila umur mula menginjak ke nombor yang lebih besar, manusia akan jadi lebih sensitif. Aku rasa aku pun mula termasuk dalam golongan itu. Kalau selama ini aku boleh pura-pura ketawa kalau aku sakit hati sekalipun, tapi kebelakangan ini aku dah kurang mampu. Muka aku terus mencerminkan apa hati aku rasa. Hakikatnya dulu pun mudah tersentak, tapi sekilas boleh terus ubah macam cool.

Malangnya aku mungkin dah kurang cool.
Malangnya, dengan manusia, susahnya aku mendidik hati agar berlapang dada apabila disakiti. Aku cuba segala zikir, segala doa agar aku baik-baik sahaja, tapi bila terfikir semula hal berkenaan, aku jadi sakit semula. Bengang juga dengan diri sendiri, tetapi aku masih usaha lagi. Usaha untuk pujuk hati sendiri memandangkan kalau aku sakit hati macam mana pun, bukan golongan berkenaan akan tahu. Aku juga yang menanggung sendiri rasa sakit macam selalu.

Berita baiknya, selain daripada membaca buku, aku sudah ada kegemaran baru sejak beberapa bulan lepas. Sesiapa yang mengikuti aku di Instagram (@lordzara), mungkin sudah nampak apa yang boleh dihadiahkan buat aku nanti masa bulan Ogos. Heh! Bukan begitu, cuma kegemaran aku yang pantas dan menenagkan : sudah aku temui.

Hoyeah!

https://igcdn-photos-h-a.akamaihd.net/hphotos-ak-xfp1/t51.2885-15/1516305_875544719173879_1333843203_n.jpg
Hari ke-12 #listersgottalist

https://igcdn-photos-a-a.akamaihd.net/hphotos-ak-xaf1/t51.2885-15/11079028_365110607022176_234119634_n.jpg
Hari ke-13 #listersgottalist

https://igcdn-photos-b-a.akamaihd.net/hphotos-ak-xaf1/t51.2885-15/11142106_1563404917253857_1624220724_n.jpg
Hari ke-14 #listersgottalist

https://igcdn-photos-f-a.akamaihd.net/hphotos-ak-xaf1/t51.2885-15/11084857_880428052014373_1879797987_n.jpg
Hari Ke 15 #listersgottalist
https://igcdn-photos-b-a.akamaihd.net/hphotos-ak-xaf1/t51.2885-15/11084710_471521896335665_1630916876_n.jpg
Hari ke-16 #listersgottalist
https://igcdn-photos-a-a.akamaihd.net/hphotos-ak-xaf1/t51.2885-15/11116924_613086378791800_1355191461_n.jpg
Hari ke-17 #listersgottalist

https://igcdn-photos-c-a.akamaihd.net/hphotos-ak-xfa1/t51.2885-15/11094458_813472862067402_1999193735_n.jpg
Hari ke-18 #listersgottalist

Aku temui kegembiraan baru dengan menulis dalam ruang yang terhad, dengan menghias #feltdori aku dengan pelekat dan washi tapes. Jadi setiap kali aku rasa marah, geram, aku akan keluarkan planner aku dan mula menulis perkara yang menggembirakan aku. Heh.

Apa pula yang anda buat untuk tenangkan diri?

Saturday, March 07, 2015

Pengalaman Bersalin Anak Pertama


Salam semua.
Minggu ini aku mengajar tentang tajuk Keturunan dan Variasi di Tingkatan 4, selain daripada tajuk Pembiakan di Tingkatan 3. Mengajar tentang Keturunan dan Variasi di Tingkatan 4 (kelas ini bagus dan memberikan kerjasama yang baik di dalam makmal), banyak soalan dan perkongsian bersama di dalam kelas bersama mereka.

Memandangkan aku sudah pernah mengandung dan melahirkan anak, jadi, bila mengajar tajuk berkaitan dalam mata pelajaran Sains, sedikit sebanyak ia membantu kepada penerangan aku, di mana, aku sendiri menjadikan diri sebagai contoh realiti. Heh! Dibantu juga oleh pengalaman rakan-rakan aku yang lain. Jadi, ada murid tanya aku :

"Cikgu, sakit tak bersalin?"
Bolehlah aku kongsikan rentetan peristiwa dalam bentuk garis masa.

[31 Julai 2014]
Pagi itu, dari Segamat (kampung suami), aku singgah di Poliklinik BS disebabkan hari itu genap 38 minggu usia kandungan aku. Disebabkan 2 minggu sebelumnya ada kesan darah dalam air kencing aku, maka, atas nasihat doktor, aku periksa lagi sekali air kencing. Didapati hasilnya kurang baik dan jururawat mencadangkan agar aku teruskan makan ubat.

Disebabkan aku kurang berpuas hati (sebenarnya aku takut), maka aku singgah HPSF sebelum ke majlis perkahwinan sepupu aku. Ya, sepupu aku, Maryam nikah dan kahwin pada hari itu, tetapi aku sibuk ke klinik, hospital dan sebagainya. Jumpa doktor dan ujian air kencing dibuat sekali lagi. Mak telefon aku banyak kali bertanyakan keberadaan aku sebab aku belum tiba lagi di majlis perkahwinan sepupu.

Hasil ujian air kencing menunjukkan normal, tiada darah atau protein. Sama ada sebab aku dah minum air masak banyak sangat ataupun ujian sebelumnya salah - itu aku dah tam ambil peduli. Yang aku tahu, nak sampai cepat ke majlis sepupu aku, walaupun akhirnya tiba jam 1 petang.

Bergambar, makan macam biasa, walaupun orang tegur kaki aku bengkak bagai, petang itu sebelum pulang ke rumah, kami sempat singgah ke 2 rumah terbuka. Oh ya, ini Raya Ke-4.

Tiba di rumah, dah Maghrib. Jadi, aku memang bercadang, nak mandi, solat dan selepas itu, tidur sebab terlampau penat seharian.

Tetapi, ternyata, impian aku tinggal impian.

[31 Julai 2014 : 07.50 malam]
Usai solat, aku baru melabuhkan punggung di birai katil dan bercadang nak baring, bunyi "pop" kedengaran dan aku basah dengan air. Melambak-lambak. Dalam fikiran aku :

"Gosh! Air ketuban pecah!"
Jerit panggil suami yang sedang mandi, panggil Mak Abah dan sesiapa sahaja di luar bilik ketika itu, kebetulan pintu bilik tak bertutup, adik aku jengah bertanya kenapa. Bila aku maklumkan tentang air ketuban dah pecah, adik aku bergegas panggil Mak. Suami yang keluar dari bilik air terus bersiap untuk menghantar aku ke hospital. Lawaknya, Abah boleh keluarkan Naza Ria, tetapi Mak pantas menghalang suruh guna Saga. Mana mungkin nak panjat Naza Ria dengan keadaan dah lencun bagai. Sepanjang perjalanan, Mak menenangkan aku (yang masih terkejut tetapi tiada rasa sakit langsung), dan Abah memandu dalam kelajuan 60km/j. Santai sungguh. 

[31 Julai 2014 : 08.20 malam]
Tiba di HPSF. Terus disorong ke labor room. Diperiksa bukaan sudah 4cm. Masih tiada rasa sakit. Air ketuban masih keluar. Jantung bayi semua baik. Tekanan darah juga baik. Maka, aku dihantar ke labor room untuk bersedia untuk melahirkan. Ramai doktor keluar masuk periksa sama ada pesakit sudah mahu melahirkan atau tidak. Mulut aku terkumat kamit membaca doa yang Mak ajarkan pada aku. Di dalam bilik yang aku ditempatkan, ada doa yang sama. Maka, aku baca perlahan-lahan sambil memikirkan bila ada rasa mahu bersalin.

Semasa doktor keluar masuk, kebetulan aku nampak kawan sekelas aku semasa di sekolah menengah yang bertugas sebagai doktor. Ya Allah, bersyukurnya aku jumpa seseorang yang aku kenal disebabkan suami aku tak boleh menemani aku. Prosedurnya, kalau bersalin di HPSF, suami perlu masuk kelas. Suami aku tak ambil kelas di HPSF (sebab kami sendiri tidak tahu di mana akan bersalin). Kami ambil kelas dari jam 8 pagi - 5 petang di Putrajaya. Malangnya, pihak HPSF memaklumkan bahawa kena ambil kelas di HPSF juga kalau nak tengok isteri bersalin. Jadi, dia tunggu di luar sahaja. Faham bahawa lain hospital, lain prosedur.

Disebabkan ada kawan aku itu, dia benarkan suami aku masuk untuk jumpa aku sebentar. Bukan untuk teman. Jumpa, berikan kata-kata semangat dan keluar. Jadilah kan? Dari tak dapat jumpa langsung. Selepas itu, aku terbaring sambil selawat, baca doa dan tunggu bukaan. Bila bukaan dah 6cm, aku masih belum rasa sakit.

[31 Julai 2014 : 10.00 malam]
Sebenarnya aku segan juga sebab kawan aku yang doktor itu yang periksa aku, tapi jujurnya aku buang rasa malu itu dan meletakkan kepercayaan kepada dia. Sifat percaya itu mengatasi malu aku. Lantaklah aku terkangkang begitu depan dia, sebab aku tahu semuanya berbalik kepada dasar profesionalisme. Terima kasih sangat Aped. Tanpa kau, aku rasa aku cuak sendiri.

Bila hampir kepada 7 atau 8cm (aku lupa), masih belum ada rasa sakit, ubat sudah dimasukkan ke dalam drip aku. Untuk merangsang rasa sakit. Mula-mula memang tiada rasa sakit. Doktor sendiri cakap dengan aku, kalau tiada rasa sakit/memulas, aku tak boleh nak teran bayi keluar. Jadi, aku menunggu rasa sakit itu. Biar datang supaya aku boleh meneran keluar bayi.

Bukaan dah 10cm. Sakit itu sekejap-sekejap cuma. Bila sakit datang, aku diminta untuk meneran keluar bayi. Bila makin lama, makin mengantuk sebab aku memang letih daripada siang. Kawan aku berikan aku semangat supaya tolak sedaya upaya aku semasa sakit. Malangnya, rasa sakit itu sekejap sahaja dan kemudian hilang.

[1 Ogos 2014]
Bacaan jantung bayi semakin menurun, prosedur vakum terpaksa dibuat. Aku sendiri hampir tak sedar apa mereka lakukan sebab yang aku ingat jam sudah melepasi jam 12 malam, aku memang mengantuk. Yang aku ingat, dari tiga orang dalam bilik itu, sudah bertambah menjadi 5-6 orang.

Prosedur vakum pun tak lepas. Kawan aku datang pada aku, beritahu bahawa aku terpaksa menjalani pembedahan C-sect juga. Pakar kanak-kanak masuk dan terangkan pada aku bahawa pembedahan terpaksa dilakukan untuk selamatkan bayi, selamatkan aku juga. Aku tandatangan semua yang perlu sambil disorong ke dewan pembedahan. Pakar bius, pakar bedah semua ada untuk pembedahan kecemasan (saat ini memang bersyukur juga tidak bersalin di hospital swasta disebabkan kes kecemasan).

Bila semua dah bersedia, bius semua dah mula memberi kesan, aku ingat lagi perasaan pisau ditoreh (walaupun tak sakit, tapi boleh rasa pisau lalu), dan semua di kanan kiri aku berinteraksi dengan aku. Aku yang kalah dengan sejuk penghawa dingin mula menggigil sejuk, mereka berikan aku sesuatu untuk kekal suam. 

[1 Ogos 2014 : 2.24 pagi]
Alhamdulillah. Muhammad lahir ke dunia. Pagi Jumaat. Syawal ke-5. Berkongsi Ogos dengan Bonda. Dia ditunjukkan kepada aku dalam keadaan aku yang lemah, mengantuk tetapi sangat bersyukur kerana semuanya baik-baik sahaja. Muhammad terus dibawa pergi untuk diperiksa pakar kanak-kanak dan ditempatkan di NICU.

The rest is history.

Jadi, bila anak murid aku bertanyakan bagaimana sakitnya bersalin, aku boleh kata aku merasa sakit bersalin normal dan pembedahan sekaligus dalam pengalaman pertama. Bak kata jururawat yang menjaga aku (sebab aku duduk bersila semasa nak susukan Muhammad buat kali pertama),

"Puan jangan lupa yang Puan berjahit atas bawah ya?"

Lepas itu, aku trauma sendirian. Aku tak ingat pun aku ada kena jahit di bawah sebab aku mengantuk yang amat sangat. Heh! 

https://igcdn-photos-e-a.akamaihd.net/hphotos-ak-xaf1/t51.2885-15/10932400_1625047877731180_1870755205_n.jpg
Muhammad dah 7 bulan.

Nota Kaki : Terima kasih kepada semua doktor, jururawat dan petugas di wad bersalin, dewan pembedahan, NICU di HPSF. Kalian memang memberikan layanan yang terbaik.

Sunday, February 22, 2015

#BM 01 - Bukan Dunia Sendiri.


Kadangkala bila kesibukan melanda, banyak benda yang bakal dilupakan. Daripada semudah-mudah perkara sehingga yang bakal buat diri bingung apabila ditanya. Barangkali, apa yang dilalui selama ini bukan sahaja mengajar dengan baik, tetapi mendidik dengan tegas. 

Sakit melihatkan orang yang ditegur dengan cara berhemah, memandang teguran dengan niat yang lain. Ini bukan anak kecil yang mahu mengata, langsung berlari pergi demi menghilangkan bukti. Sudah dewasa bukan? Ayuh, jawab apa yang ditanyakan dan teruskan kehidupan seperti biasa dengan usaha mahu membaiki kesalahan.

Usah cari tentera gelap dan pahlawan palsu demi menegakkan diri.

https://igcdn-photos-c-a.akamaihd.net/hphotos-ak-xaf1/t51.2885-15/10950547_1544311589187146_1887878149_n.jpg
Kegemaran menghilangkan tekanan.

Aku menunggu jawapan.
Jika betul kau manusia yang bukan hanya hidup dengan jilatan.
Jika benar kau manusia yang ada harga diri yang bukan mainan.
Jika sesungguhnya kau ikhlas dalam perjuangan yang kau canangkan.
Dan, jika kau tetap mahu makan hasil perdangangan yang aku kira perlu kau tahu nilainya di sisi Tuhan.