Saturday, April 16, 2011

Perempuan Itu Tidak Pernah Kesepian.


Terjaga di tengah malam.
Cahaya berbalam-balam berwarna biru. Dia menarik nafas perlahan dan duduk berteleku sebentar. Seluruh tubuh sakit-sakit sejak kebelakangan ini. Kegilaan dia sudah tidak ditafsirkan lagi apabila kerja sudah jadi makanan ruji sendiri. Dia hanya tahu ketawa bila lihat tangan menggeletar apabila memandu dan kerongkong mendambakan kafein yang tinggi. Mata dapat dikekang, tetapi tubuh dia lunyai bagi menunaikan tugas dan memenuhi kepuasan kendiri.

Aneh.
Emosi dia sendiri bercampur baur. Selalunya, ketabahan dia akan bergerak tinggi selaras dengan pertambahan hari. Ketawa riang dia akan menutup celahan yang boleh bawa kecelakaan pada diri. Tidak, dia menolak untuk menjadi lemah kerana kelemahan bakal membunuh dia dalam diam. Adrenalin laju dan dia senang dengan kepayahan untuk mencapai impian dan mengukir ikhlas senyuman.

Gambar : Kepayahan hari ini adalah untuk kesenangan hari esok.

Panggilan dari seorang teman membuatkan dia sebenarnya tersenyum dalam menahan tangisan di tubir mata yang entah bagaimana mahu terbit tatkala dia sedang kepenatan. Ah, jiwanya masih lagi mudah tersentuh kalau ada sesiapa yang mengambil berat. Pertanyaan kawan itu tentang emosi dia membuatkan jawapan yang dilontarkan entah apa-apa. Dia sendiri bahkan pening dan celaru dengan apa yang dia rasa. Cuba meletakkan diri sendiri dalam kasut orang lain kadangkala tidak seindah yang dia cuba terjemahkan. Cuma, mungkin benar, apa yang diluahkan adalah coretan rasa dia sendiri - saat yang paling dalam.

Rungutan.
Satu demi satu luahan, kejian ataupun entah apa-apa lagi yang dia lihat dalam meladeni hidup sebagai seorang manusia. Rungutan demi rungutan dia terima setiap hari membuatkan dia sungguh mengiyakan bahawa manusia tidak akan pernah puas. Ada pasangan tapi pasangan ditinggalkan demi mencari yang lain dengan alasan tidak menggembirakan walaupun pernah hidup susah senang bersama, dan entah macam-macam lagi. Dia membaca dan memberikan pandangan walaupun yang bertanya seperti tidak tahu apa itu terima kasih. Bahkan menjawab dan menyatakan dia salah pula. Dia ketawa sahaja bila dapat tindak balas sedemikian. Dia percaya, manusia tidak layak merungut apabila mereka tidak berbuat apa-apa untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Kan lebih enak kalau berikan yang terbaik dan berusaha demi kebaikan diri?
Salahkah?

Ah!
Alangkah uji kaji kimia juga sukar untuk mendapatkan hasil yang sepatutnya, apatah lagi manusia yang entah apa-apa seperti dia. Tidak seimbang barangkali dan untuk memuaskan hati semua orang, dia sudah mulai jahat dan memilih siapa yang patut dia gembirakan. Diri sendiri sudah jadi yang paling utama, tatkala dia sedar, membiarkan diri diinjak adalah merupakan perbuatan paling curang dan tidak setia yang pernah dia buat pada diri sendiri. Kasihan, hati yang penuh calar dan duka, dia biarkan sakit lagi demi manusia lain. Celaka!

Gambar : Sentiasa ingat bahawa kita kena memandang ke atas apabila ada yang mahu menjatuhkan, tegakkan kepala kita dan sentiasa berfikiran positif. Cubalah!

Senyum.
Ada sebaris ayat yang membuatkan dia tersenyum girang walaupun ternyata, dia tidak mampu berbuat apa-apa. Dia raup muka dan senyum sahaja. Aneh, dia sudah tidak punya rasa apa-apa lagi. Semuanya sudah diserahkan kepada penulis takdir yang lebih hebat, Yang Maha Berkuasa. Dia sudah tidak mahu membunuh saraf dan neuron sebuah marga. Ternyata, kesakitan dan keanehan dengan hanya melihat gambar dan mengingatkan suara pada suatu masa sudah bikin hati dia gulau penuh dengan tanda tanya dan kebingitan suara.

Dia mahu lenyap dari titisan air mata.
Tanpa sesiapa yang menemani membuatkan dia menjadi lebih tabah walaupun kedegilan hati masih menguasai. Tabahlah wahai bakal sang kekasih (kalau ada) atas sikap dia yang kadangkala membuat kamu terluka. Dia acapkali berubah menjadi sesuatu yang lebih keji. Kalau kamu terluka, maafkan dia ini. Maafkan hati dia. Hati sedang bergoncang merindui sesuatu yang dia sendiri tidak temui - tangan mahu menggapai, malangnya tidak kesampaian. Kepala bergoyang dipenuhi air dan angin serta udara.

Aneh.
Dia memang pelik.

Dia berundur dengan iringan semangat dan jiwa yang merdeka.
Dia mengalah bukan kerana dia kalah tetapi lebih kepada menghormati mereka yang dia sayang. Pergi dan mungkin akan kembali. Jika dia tidak kembali ke sini tatkala semboyan merdeka menjeritkan namanya, sila cari dia di dataran cinta yang masih membara. Eh, maksudnya di mana-mana sahaja yang dia sering berpeleseran membuang segala kesakitan. Hutan belantara, gunung ataupun apa sahaja.
Dia kan aneh?

Kental sebuah semangat. Ajari dia manusia yang bijaksana. Dia mencari erti merdeka dalam diri seorang hamba yang diikat oleh Tuannya. Keajaiban adalah milik Tuhan, bukan dia yang bisa meleraikan ikatan yang tidak bisa terungkai dengan air mata darah sekalipun. Dalam ketawa riang, dia tahu, menahan kesakitan dan hidup disalut kegembiraan adalah yang terbaik boleh diberikan kepada diri.

Gambar : Dalam sesuatu hubungan, tidak semestinya kita mempunyai semua benda yang serupa. Benda yang berlainan itu bahkan menjadikan hubungan itu menarik.

Dia tidak pernah sunyi.
Dia tidak kenal erti sepi.
Yang dia tahu, dia mahu kekal berdiri.

Nota Kaki :
Kepenatan yang menjalar menyebabkan adrenalin manusia dalam diri entah bagaimana mula memuncak dan menurun sepantas ia naik. Senyum sahaja dengan penuh mesra pada manusia sekeliling dia.

Zara : Kalau hati kau pernah disakiti dan dilukai, tetapi masih mampu memaafkan dan menyayangi manusia itu seperti dahulunya walaupun tanpa ada apa-apa ikatan, itu sesungguhnya adalah cinta yang sejati.

9 comments:

Syafiq Rosli said...

nice zara..sayu je baca

dindingkosong said...

hebat sangat part ni "Zara : Kalau hati kau pernah disakiti dan dilukai, tetapi masih mampu memaafkan dan menyayangi manusia itu seperti dahulunya walaupun tanpa ada apa-apa ikatan, itu sesungguhnya adalah cinta yang sejati."
hebat....

Cik Puan Kocik said...

hebat zara!

Sy amat suka cara penulisan awak. tersendiri. penuh erti. tersirat dan bermakna.

Penulisan awak byk mendalami 'penderitaan hati' wanita ...pada pendapat saya!

Teruskan penulisan hebat ini dari pelbagai sudut! Awak betul2 buat saya teruja ...

Raouf Sora said...

kak zara: akak slalu ingtkn sy...
Hidup ini memang payah ,namun jangan sesekali jiwa menyerah kalah..walau sesusah manapun hidup yang dilalui ,biarlah tetap teguh iman di hati..jangan sesekali mempersoalkan kenapa diriku diduga sebegini rupa ,namun katakanlah ALLAH sedang mengujiku untuk mningkatkan darjat keimananku kepadaNYA..usah diminta 'ringankan ujian ' namun pintalah 'beratkan iman dlm mghadapi ujian '..~:)

Biey said...

nice one !!

Jom terjah Entri baru !!
Perbezaan SPEED DIAL sekarang dan pada tahun 1939..

shafinaz (: said...

Senyuumm :)

Unknown said...

thanks...Now,saya dah jumpa jawapan..

"Kalau hati kau pernah disakiti dan dilukai, tetapi masih mampu memaafkan dan menyayangi manusia itu seperti dahulunya walaupun tanpa ada apa-apa ikatan, itu sesungguhnya adalah cinta yang sejati."


saya dah temui cinta sejati tapi belum temui jodoh..

:)

Diyana Azman said...

tp zara, bagaimana dengan hati sendiri...???

suffer8zine said...

wahhh entri yg hebat!

Terkini Kucing Lahirkan Anak Anjing