Thursday, January 31, 2013

Luka.


Yang sakit.
Yang jatuh.
Itu kan awak?

Kenapa perlu heret mereka yang tidak bersalah?
Kenapa perlu palitkan kesan darah?
Kotor, bersepah.

Yang jatuh.
Yang sakit.
Harus bangkit.
Walaupun perit.
Bukan jadi viral berjangkit.

Bila awak luka.
Awak fikir melukakan itu bakal bikin gembira?
Apa punya durjana.

Cukuplah awak luka sendiri.
Ambil ubat dan duduk diam sini.
Rawati kesakitan yang mencengkam diri.
Bukan bikin onar hingga ada yang tersakiti.

Kesakitan awak tidak perlu dipindahkan.
Pada orang lain yang tiada kaitan.
Cari punca masalah berkenaan.
Hapuskan sakit secara perlahan.
Bukan mulakan pembunuhan.

Sendiri terluka.
Bukan bermaksud bermulanya episod duka.
Siapa tahu ia bakal bawa gembira?

http://farm4.staticflickr.com/3549/3417505816_910291e2f2.jpg
[Sumber gambar]

Wednesday, January 30, 2013

Senyuman Payah.


Ada saatnya, senyuman kau begitu berat sekali.
Sekeliling kau bagaikan hakim jatuhkan hukuman sesuka hati.
Tanpa mahu dengar rayuan kau lagi.
Itu mungkin saat jatuhnya diri.
Tapi jangan biarkan kau sakit sendiri.

Bangkit.
Bangun walau sakit.
Tahan diri walau perit.
Jika mendesah payah, laungkan jerit.

Kau mungkin tidak sama.
Sebagaimana semuanya bermula.
Tetapi pengakhiran boleh diubah jadi beza.
Tidak semestinya perancangan awal itu sempurna.
Kau, mereka, kita semua adalah manusia.

Ada entiti sakit di belakang.
Kau boleh lari dan halang.
Kau boleh sembunyi perhati bayang.
Kau boleh berdepan dan tunjuk muka garang.
Kau boleh pukul dan junjung piala - menayang!

Payah.
Mungkin sedikit susah.
Mungkin ada rasa mahu sesah.
Tapi, itu buktinya kau masih manusia walaupun parah.

Tuhan itu ada.
Di mana-mana.
Jika manusia zalimi kau, doakan mereka.
Usah kau tabur jiwa dengan amarah dunia.
Pastikan hati tidak dibajai syaitan durjana.
Kau boleh pilih hidup lebih gembira.

Bangun.
Masa untuk bangun.
Jangan biarkan diri terpegun.

Senyuman kau untuk kau kuat.
Biarkan siapa mahu cabar dunia bagai palat.
Hati kau tidak akan cacat.
Hanya sebab manusia mengumpat.

Payahkan senyuman itu?
Tapi itu akan buat kau kuat selalu.
Tanda kemenangan jitu.
Bila kau tinggalkan kawasan itu.
Yang penuh manusia berperangai hantu.

Senyumlah.
Kau boleh buat punyalah.

Shafaza Zara.
30 Januari 2013.
0615 - Altamis Awraq.

http://farm8.staticflickr.com/7276/6920897126_20b8d79fb5.jpg
[Sumber gambar]

Sunday, January 27, 2013

Nama Dia Di Tempat, Masa Lain.


Salam semua.
Sebelum mulakan tulisan kali ini, sukalah mahu kongsi khabar gembira bahawa Kitab Terfaktab 3 : Sarkastik Cinta sudah selamat dilancarkan di Grafa Cafe semalam. Walaupun hakikatnya aku tidak dapat menghadiri majlis tersebut, alhamdulillah, khabarnya majlis berlangsung dengan baik dan menggembirakan. Apa yang lebih menggembirakan adalah melihat mereka yang digemari berhimpun bersama demi menjayakan majlis tersebut.

Baiklah.
Cukup tentang cerita itu buat masa ini memandangkan aku tidak dapat menghadirkan diri tetapi kalian boleh tempah ataupun lihat gambar sekitar majlis di laman FB Terfaktab. Paling comel tentulah barisan penulis-penulis Terfaktab yang memakai pakaian sekolah. Boleh tanya cara tempah atau lihat gambar tersebut di sini.

Seterusnya, ada beberapa perkara yang ditimbulkan semalam dan buatkan aku rasa nak menjawabnya. Mula-mula aku rasa tidak perlu tetapi memandangkan seseorang sangat berusaha untuk menimbulkan perasaan ingin tahu yang melampau, baiklah - dia menang. Menang dalam erti kata, aku akan beritahu dia perkara yang dia mahu dan ingin tahu (secara tidak sengaja). Begitulah mungkin.

[Sumber gambar]

Sesetengah daripada kita perlu menerima hakikat bahawa manusia yang kita sukai ataupun cintai bukan milik kita. Mungkin dalam perhubungan ada peringkat di mana kita sebagai manusia - berlaku kesilapan hingga mengakibatkan hubungan itu terputus, terlerai dan sebagainya. Jadi, apabila putus hubungan sebegitu rupa, terdapat kemungkinan anda dan dia akan bertemu di tempat ataupun masa yang anda sendiri tidak ketahui. Yang lebih menariknya dengan teknologi zaman sekarang, nama si dia itu mungkin anda temui bertaburan di laman sosial dan sebagainya.

Tambah lebih menarik jika si dia anda adalah manusia yang kita panggil sebagai "social-media-influencer" , maka tidak dapat tidak, anda akan lihat dia hampir di mana-mana apabila anda menggunakan laman sosial dan yang sewaktu dengannya. Jadi, apa yang anda harus lakukan?

Berikut adalah situasi yang digambarkan oleh mereka-mereka yang bertanya dan aku akan cuba jawab berdasarkan rasional aku. Petang dengan suasana suram begini, logik akal kadangkala hanya membawa melayang ke tempat pembaringan. Deng!

1. Bercinta dengan blogger - jadi bila dah putus, nampak nama dia dekat blog orang lain sebab kekasih baru dia pun blogger.

Oh. Benda begini biasa. Yang bukan blogger pun, bila putus cinta boleh buka blog secara tiba-tiba bagi meluahkan rasa sebal dan sebagainya. Kalau ternampak nama dia, gambar dia dalam blog kekasih baru dia, mudah sahaja. Jangan baca blog kekasih baru dia. Pangkah terus, abaikan. Nanti kau makan hati seorang diri, dia tetap bahagia.

2. Kalau kawan bekas kekasih asyik bercakap tentang dia, berbual tentang dia macam dahulu kala masa asyik berpacaran.

Suruh kawan dia tukar topik lain. Tak pun kau sahaja cakap benda lain ataupun suruh kawan dia senyap. Kalau kawan dia bukan dari kelompok kau (maksudnya dalam kalangan kawan kau sendiri) - tak perlulah nak bergaul sangat jika tiada keperluan. Biasa-biasa sahaja. Kalau kawan kau dan dia dalam kelompok yang sama (sama sekolah, universiti, tempat kerja) - maka pandai-pandailah membawa diri agar nama dia tak muncul dalam perbualan.

Kecuali kau pula yang sibuk nak tahu kisah dia dengan pasangan baru dia.
(angkat kening)

3. Kalau kekasih baru dia sibuk bercerita tentang dia - pos gambar dia dan sebagainya di laman sosial.

Kalau kau hati tegar dan mampu lihat, kau buat sahaja begitu. Kalau kau hati yang tak tahan dan keinginan untuk membunuh tinggi sebab masa kau berpasangan dengan dia kau tak mampu buat begitu atas dasar kau sendiri yang tahu - makanya, kau boleh halang diri kau dari tengok itu semua. Pernah dengar "block" atau "report as spam"? Sila buat benda begitu daripada diri kau tertengok dan panas hati sendiri.

4. Kalau kekasih baru dia sengaja bakar hati kau dengan menggembar gembur cerita dia dan bekas pasangan kau?

Abaikan sahaja.
Apalah sangat dengan perbuatan kekasih baru dia yang mungkin kebudak-budakan? Ala. Macam kita semua kecil-kecil dulu, lepas dapat benda yang kita suka selepas tunggu lama kan kita menunjuk pada kawan-kawan? Ala. Anggap begitu sahajalah. Lagi pula, untuk apa kau rendahkan tahap kau sehingga sama begitu pula?

Jangan.

Tapi kalau kau tak tahan sangat, kau pun tunjuklah pasangan baru kau. Kalau itu boleh buat kau lega. Kalau itu boleh buat kau rasa kau menang. Tapi jangan sampai kau sakit hati sendiri pula.

Itu sahaja.
Tekak aku masih gila mahu minum kopi.
Kopi, bukan Kopi.

Saturday, January 26, 2013

Blogger Pilihan .COM - 26 Januari 2013


Salam.
Walaupun aku tak dapat menghadiri #TerfaktabParty sempena pelancaran Kitab Terfaktab 3 (Sarkastik Cinta) serta beberapa acara lain pada hari ini, sekurangnya, air mata aku yang mengalir akibat merayu kebenaran untuk pergi ke majlis-majlis berkenaan terhapus dengan berita yang diberitahu oleh seorang pembaca di FB aku (Terima kasih Ez Husna). Terus aku suruh adik aku belikan surat khabar hari ini. Utusan Malaysia 26 Januari 2013.

http://distilleryimage11.instagram.com/1791f1b0676411e282fd22000a9d0df2_7.jpg
[Instagram aku] - Utusan Malaysia 26 Januari 2013.

Terima kasih atas segala sokongan kepada penulisan aku di Dunia Sebelah Zara serta hasil cetakan yang dapat dikongsi kebaikannya bersama (harapnya). Terima kasih sudi baca blog yang dimulakan pada 1 Januari 2009 ini - sentiasa berikan aku sokongan dan galakan untuk aku menulis.

Adik balik bawa surat khabar ni, aku menjerit keseronokan - Mak muncul dari dapur nak baca. Komen ahli keluarga?

Mak :
1. Kau panggil Mak sebagai Puan Mulia?
2. Segan nampak kau masuk paper ni. Macam mana kalau kawan2 kau baca?
3. Apa yang kau tulis dalam blog, buku kau tu ada bawa kebaikan tak? Nanti di akhirat, ditanya apa yang tangan tu buat, harapnya jawapannya buat benda serta tulisan yang berikan manfaat kepada masyarakat.
4. Kalau kau ada bakat menulis, tulislah benda yang bawa kebaikan pada orang.

Abah :
1. Kenapa kau tulis sekolah dekat nombor 4? Patutnya sekolah tu nombor 1 - sebab sekolah tu keutamaan.

Adik :
1. Kenapa Along tak pakai cermin mata?
2. Muka kau nampak tak sama pun.

Kopi :
1. Kenapa tak pakai cermin mata?
(lepas tu apa dia cakap lagi aku pun tak ingat. Maaf awak)

Bak kata kawan-kawan aku yang lain, cantik macam mana pun gambar, aku tetap dengan jam yang sebongkah besar itu yang menunjukkan sangat budak aktiviti luar serta tiada ciri-ciri keperempuanan walaupun baju dan tudung sudah perempuan.

Selain itu juga, gelang tengkorak serta "studded" langsung tak tinggal. Dah jadi identiti. Maafkan aku kalau nampak selekeh yang amat. Tapi, yang penting - muka aku nampak normal walaupun adik kata besar gila. Guna lensa lebar ni. Eh. Hahahaha.

Apa pun, terima kasih sekali lagi buat semua pembaca. Aku janji akan berikan tulisan yang lebih menarik pada masa akan datang buat kalian semua.

Thursday, January 24, 2013

Hadapi Bakal Mertua : Tolong Dia.


Salam semua.
Selamat bercuti panjang buat mereka yang memilih untuk mengambil cuti pada hari Jumaat selepas cuti umum Maulidur Rasul pada hari ini. Buat mereka yang berada dalam negeri yang mengambil cuti umum Thaipusam, anda bakal bercuti sehingga Isnin. Moga masa terluang diisi dengan benda berfaedah hendaknya. Sedikit malang untuk aku - majlis pelancaran KT3 tidak dapat aku hadiri atas sebab peribadi.

Jadi, kebetulan tadi aku sibuk berurusan dengan beberapa pihak - menyelesaikan hal berkaitan sistem data dan sebagainya, aku menerima satu emel daripada gadis yang bernama L. Dia tulis L, makanya aku pun tak tahu apa nama betul dia. Seperti yang dibenarkan, aku cetak paparan emel tersebut.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhQTh2ehGLytCufASvM1j_YjGhiRGAI01srW3wJ_7rdypZDXlz-Fx3GFmKySh_WfFkOy9n-t8ShiU486oO-XiCB3yAZfrV26pOBTpxAHKBLgDI5jUCK8ASwwksQyzAjJAHGXWxuHgr9c_Y/s800/Email%2520L.png
[Kalau tekan jadi besar kot?]

Disebabkan aku tak pasti sama ada gambar di atas boleh dilihat atau tidak, makanya aku salin balik apa yang ditulis oleh L dalam emel-nya. Ia seperti yang boleh dibaca dibawah ini :

Askum kak.

Apa khabar kak? Sory sbb anta email pd kak. Sy cari2 gk emel kak selama ni. X jmpa, pas2 sy tgk kt profile blog ada, sy try. if kak dpt emel ni, tlg jwb la ye? Bleh pggl sy L.

Sy nk tnya pndpt kak ttg 1 bnda ni. Sy ni dh tng tp future FIL sy cm tak ska sy. Sy mula2 xtaw knpa dorg lyn sy tak sebaik fam x-bf sy lain tp sy sabarkn dri gak. Bila sy tnya pd tng sy (act, b4 tng lg sy dh tnya dh) - dia ckp bakal MIL sy x ska sy sbb fzkl sy. Bkl MIL sy x ska sy yg klt gelap (sy drh cmpuran 1Malaysia) - ps2, sy ni pendek, bdn chubby2 then sy ni cma degree.

Bab yg degree 2 sy ok lg kak, sbb sy tgh wt Master smbl kerja. Mmg pyh, pnt tp sbb sy xnk bkl suami sy tgung smua bnda, sy kerja gk smbl bljr. Xnk la org kta sy mkn duit lelaki. Duit hntrn pun cuma biasa2. Parent sy xksh, sy pn ok je asalkan bnda baik ni tercapai. Sy x mnta hntran tggi pn sbb sy x nk FIL sy mkn x suka sy. Sy sdr diri jg la sbb sy byk kurang.

Bla tbe part fzkal 2, sy mmg gagal kwl diri kak. Sy kcwa sgt. Sbb fzkl tu kn Allah bg, jd sy ni nk ubh cmne? Sy mmg glap. Tp sy ok je dgn klit sy slma ni. Sbb sy tgk dri sy as a part of my fmly. Siblings sy pn lbh krg cm sy. Xkn sy nk minum krim pencerah, whitening 2 smua kn dmi nk puaskn hti org? Sy pnh gk buat dlu gtu ( I mean pkai krim smua tu msa study dgree) tp xde nya jd. Naturally, sy mmg gelap kn?
Syukur, my skin xde mslh.

Pendek, rendah, tu mmg dlm gen fmly. Xkn sy kna pkai heels here & there even msk rmh org? Sy nk wat cmne kak? Its killing me. I dont mind ppl hate me if I'm rude, silly or whatsoever - but, my physical appearances are what Allah gave me. Why people really bother about those? :(

fyi kak, bkl FIL sy org yg kuat agama while me jz moderate. they go to religion classes every single day, not even missed classes, kuliyyah, or any events related to religion (as been mentioned by my future hubby) - but somehow, why they dont practice what they preached or learn? Kn agama ajar kita terima baik semua org, plus, bnda2 fzkl ni smua Allah bg. It makes me sad. My fiancee askd me 2b patience. Tp sy xblh kak. Down sgt.

Help me kak. U can write in your blog. U can even printscreen my email if u want. I jz cant take this pain anymore. Org yg kata lebih beragama dr sy (I admit, I'm not that good as them) - tp pndg rendah pd benda yg Tuhan bg.

Xtau la if I should teruskn majlis ni or not. :(

Thanks kak.

Baiklah.
Sebelum aku berikan pendapat aku sendiri mengenai hal ini, kepada L - lain kali tolong eja dengan baik. Pening kepala kak baca singkatan perkataan. Bukan salah, cuma kak yang takut tersalah baca apa yang kamu cuba sampaikan. Jadi beginilah, buat L - mungkin kamu boleh baca tulisan kak Zara, yang bertajuk "#HS : Bagaimana Memikat Hati Bakal Mertua".

Di situ, telah diberikan pendapat peribadi aku yang mungkin sedikit sebanyak berkaitan dengan isu yang diceritakan oleh L di atas. Sebab kalau yang berkaitan dengan ciri fizikal dan sebagainya, aku rasa, pendapat aku dalam tulisan sebelumnya sudah banyak menjawab isu ini.

Berikut adalah jawapan aku pada L, mengikut perenggan bagi memudahkan aku (dan dia harapnya) untuk lebih fikirkan semula apa yang dikongsikan kepada aku (dan anda semua) di luar sana.

Sy nk tnya pndpt kak ttg 1 bnda ni. Sy ni dh tng tp future FIL sy cm tak ska sy. Sy mula2 xtaw knpa dorg lyn sy tak sebaik fam x-bf sy lain tp sy sabarkn dri gak. Bila sy tnya pd tng sy (act, b4 tng lg sy dh tnya dh) - dia ckp bakal MIL sy x ska sy sbb fzkl sy. Bkl MIL sy x ska sy yg klt gelap (sy drh cmpuran 1Malaysia) - ps2, sy ni pendek, bdn chubby2 then sy ni cma degree.

Bab yg degree 2 sy ok lg kak, sbb sy tgh wt Master smbl kerja. Mmg pyh, pnt tp sbb sy xnk bkl suami sy tgung smua bnda, sy kerja gk smbl bljr. Xnk la org kta sy mkn duit lelaki. Duit hntrn pun cuma biasa2. Parent sy xksh, sy pn ok je asalkan bnda baik ni tercapai. Sy x mnta hntran tggi pn sbb sy x nk FIL sy mkn x suka sy. Sy sdr diri jg la sbb sy byk kurang.

Tahniah sebab sambung belajar. Tahniah kerana kuat untuk memajukan diri sendiri bahkan aku pasti bekerja sambil belajar tentunya bukan sesuatu yang mudah. Selain itu, memikirkan bahawa belanja kahwin bukan sahaja perlu datang daripada pihak lelaki tetapi juga tanggungjawab perempuan, adalah sesuatu yang boleh dibanggakan. Tak ramai orang yang sedar perkara tersebut. 

Tentang bab fizikal dan sebagainya tu - seperti yang aku nyatakan dalam tulisan aku sebelum ini, benda begitu adalah terpulang kepada bagaimana seseorang itu menafsirkan, menerima kelebihan dan kekurangan orang lain dalam hal begini. Memang betul, fizikal kita adalah kurniaan Allah, tetapi kita tak boleh menolak hakikat bahawa manusia ada selera mereka masing-masing. Sebab itu ada yang kata, (contohnya) bahawa Aaron Aziz itu kacak, tetapi ada sekumpulan lain kata Faizal Tahir lebih kacak. Begitulah, pandangan manusia sukar diubah.

fyi kak, bkl FIL sy org yg kuat agama while me jz moderate. they go to religion classes every single day, not even missed classes, kuliyyah, or any events related to religion (as been mentioned by my future hubby) - but somehow, why they dont practice what they preached or learn? Kn agama ajar kita terima baik semua org, plus, bnda2 fzkl ni smua Allah bg. It makes me sad. My fiancee askd me 2b patience. Tp sy xblh kak. Down sgt.

Help me kak. U can write in your blog. U can even printscreen my email if u want. I jz cant take this pain anymore. Org yg kata lebih beragama dr sy (I admit, I'm not that good as them) - tp pndg rendah pd benda yg Tuhan bg.

Xtau la if I should teruskn majlis ni or not. :(

Yang ini adalah sesuatu yang agak sukar mahu diberikan pendapat. Sebab tahap iman seseorang itu, hanya Allah sahaja yang tahu. Sukar untuk kita tafsirkan sama ada amalan seseorang itu adalah berkadar langsung dengan imannya ataupun tidak. Itu yang pernah Allahyarham Ustaz aku ceritakan dalam kelas sekolah agama. Kita tak akan pernah tahu. Sebab itu jugalah, ada aku pernah dengar bahawa akhlak manusia ini, hati dan perbuatan mereka akan terjaga apabila amalannya dibuat dengan ikhlas dan penuh taqwa. 

Jujurnya, aku bukan orang yang layak untuk memberikan komentar tentang perkara begini, cuma itulah - aku (akak) rasa, L - kamu perlu menerima sesuatu itu dengan pemikiran yang positif. Bersangka baik sahajalah dengan sikap begitu. Mungkin kamu yang tersalah dengar ataupun mereka punya alasan tersendiri mengapa melihat kamu dari sudut fizikal semata-mata.

Lagi pula L, kamu boleh buktikan pada mereka bahawa walaupun mungkin kamu punya kekurangan dari paras rupa (mengikut penilaian mereka) tetapi kamu mungkin punya kelebihan dalam beberapa perkara lain. Dengan status akademik yang bagus, dengan pekerjaan yang baik, hantaran yang rendah - mungkin kamu juga seseorang yang bagus akhlak, berbudi pekerti dan pandai masak? Siapa tahu kan?

Tentang sama ada kamu patut teruskan majlis ataupun tidak, sila banyakkan berdoa. Dapatkan pandangan ibubapa kamu tentang perkara begini. Dapat difahami bahawa anak selalu enggan melibatkan keluarga dalam soal begini tetapi, biarkan mereka tahu supaya sekurangnya, mereka dapat gambaran apa yang kamu sedang hadapi. Dilema begini harus sahaja mendapat perhatian mereka yang lebih berpengalaman dalam sepak terajang dunia.

Dan aku mahu berkongsi apa yang pernah Kak Fynn Jamal (terima kasih Kak Fynn) kongsikan dengan aku sewaktu aku bertanyakan sesuatu perkara dengan dia. Sesuatu yang aku rasa sungguh baik untuk diamalkan, dipegang supaya bila kita menghadapi masalah, sekurangnya - kita tahu apa yang perlu dilakukan. Moga segala urusan dipermudahkan. 

rabbi yassir walaa tu'assir,
rabbi tammim bilkhairi.
tuhanku permudahkanlah dan jgn dipersusahkan,
tuhanku tamatkan dengan sebaik2 tamat.

wamayyattaqillah yaj 'allahu makhraja
wayarzuquhu min haithu laa yahtasibu
wamayyattawakkal 'alallah fahua hasbuhu
innallaha baalighu amrihi
qad ja'alallah li kulli syai inqandra.

dan barangsiapa bertaqwa kepada allah, nescaya akan diadakannya jalan keluar
dan dibagikan rezeki dari jalan2 yang tak disangka2
dan barangsiapa bertawakkal kepada allah, maka dia akan merasa cukup dan dicukupkan
sesungguhnya allah melaksanakan urusan yang dikehendakkannya
sesungguhnya allah memberi ketentuan pada setiap sesuatu.

ya hayyu ya qayyum
birahmatika astagheethu
aslihli sha'ni kullaha
walaa takiluni ila nafsi
turfata 'ainin

wahai tuhan yang maha hidup dan kekal dan pemelihara,
dengan rahmatmu aku mencari perlindungan dengan kasihanmu
perbetulkan aku dalam setiap urusanku
dan janganlah kau biarkan silapku yang berserah pada nafsu
walam dalam sekelip mata.

Terima kasih kerana membaca.
Maaf jika ada pendapat aku yang kurang tepat ataupun mungkin menyinggung mana-mana pihak di luar sana. Sesiapa yang mahu mengutarakan pandangan masing-masing, boleh berkongsi dengan meninggalkan komentar.

Wednesday, January 23, 2013

Awak, Jalan Cerita Tidak Sama.


Awak.
Jalan cerita sudah tidak sama.
Kehidupan sudah berbeza.
Bila awak dan dia tidak bersama.
Putus harapan, ikatan jiwa.

Awak.
Hidup sudah tidak sama.
Kegemaran sudah tidak lagi serupa.
Benda yang dulu bahagia, hanya tinggal duka.
Saat yang dulu manis, sudah masam macam cuka.
Awak dan dia tidak lagi boleh bersama.

Awak.
Masih mahu terus menunggu tangga?
Melihat dia turun setapak demi setapak ikut garis cahaya.
Memerhatikan dia melangkah berjaga-jaga.
Melihat senyuman dia yang curi lihat biasan kaca.
Yang buat awak separa gila.

Awak.
Bukankah awak tahu dia sudah ada yang punya?
Ikatan yang kukuh dan awak tiada tempat di hatinya.
Bukan awak lagi bayang dalam anak mata.
Bukan awak lagi dalam helaan nafas nyawa.
Awak kekal tinggal sebagai sejarah semata.

Awak.
Masih mahu terus menunggu dia?
Yang cintanya diserahkan kepada pencuri jiwa.
Yang senyumannya sudah dihala pada seorang sahaja.
Yang dia korbankan segalanya.

Awak.
Masih mahu ucapkan kata setia?
Masih mahu ingatkan sumpah janji taruhan nyawa?
Dia bukan untuk awak lagi - itu laungannya.

Awak.
Awak mahu menunggu dia?
Adakah sanggup mengambil hak orang yang lebih utama?
Adakah sanggup merosakkan bahagia?
Adakah sanggup menghancurkan cinta?
Adakah sanggup melihat titisan air mata?
Adakah sanggup menyorak musnah harapan mereka?

Awak.
Awak masih manusia.
Awak masih lagi punya rasa.

Awak.
Sanggup lihat hak awak dirampas begitu sahaja?
Sanggup lihat perasaan awak musnah dengan orang ketiga?
Sanggup lihat impian awak musnah dengan kisah duka?

Awak.
Sudahlah, berhenti.
Henti dari terus menyorak janji.
Bila dia depan mata awak tak ambil peduli.
Bila dia jauh awak layan ikut suka hati.
Bila dia bukan milik awak lagi, awak pandang sinis lagi.
Bila dia sudah jadi milik orang lain, awak separuh mati.

Awak.
Cukuplah.
Jodoh itu rahsia Allah.
Jangan pernah mengalah.
Kalau hari ini dia bukan milik awak, bukan ertinya awak kalah.
Mungkin ada lebih baik yang awak temui bila kali lepas awak salah.

Awak.
Teruskan hidup yang layu.
Jangan keras sangat macam kayu.
Berhenti dengar lagu "Ku Menunggu"
Berhenti bersiul lagu "Ku Tunggu Jandamu"
Cukuplah tu.
Sayu.
Pilu.
[Sumber gambar] - Bukan gambar aku.

Sunday, January 20, 2013

#HS : Bagaimana Memikat Hati Bakal Mertua?


Salam.
Aku dapat soalan begini dalam Formspring dan juga FB. Jujurnya, aku bukanlah orang yang layak ditanya soalan sebegini sebab aku sendiri kurang pasti sama ada jawapan aku dapat membantu ataupun tidak. Salah satu sebab aku katakan demikian adalah bakal mertua masing-masing pastinya punya kehendak tersendiri, maka pendapat aku mungkin tidak mencapai apa yang kalian yang bertanya mahukan.

Jadi, aku mahu berkongsi pandangan peribadi dan juga apa yang aku dengar dari kursus yang aku hadiri pada hujung minggu ini. Sebarang pandangan dan tambahan pendapat, boleh kalian tulis di ruangan ulasan sebab aku pasti, yang lebih berpengalaman pastinya lebih banyak pandangan bernas mereka sendiri.

Sebelum menulis dengan lebih panjang, pastinya setiap daripada kita tahu apa kehendak bakal mertua masing-masing itu. Mungkin daripada pasangan, kita tahu serba sedikit kegemaran ataupun perkara yang kurang digemari oleh bakal mertua. Makanya, itu terpulang bagaimana mahu dilunaskan atau diselesaikan.

1. Jika bakal mertua kurang gemar dengan imej anda.

Ini senang bak kata penceramah yang aku hadiri. Kalau dia kurang gemar dengan imej kita yang kurang baik di mata dia, berubahlah mengikut apa yang dia mahukan. Sebagai contoh, mungkin pakaian kita tidak menutup aurat (setakat membungkus aurat - bak kata Puan Mulia, sobs) - makanya, kita boleh ubah imej begitu dan berusahalah menutup aurat mengikut apa yang dimahukan. Tapi, kalau anda sudah menutup aurat, sekali bakal mertua mahukan menantu yang seksi seksa - aku rasa tak perlu kot nak ikut?

Kepada yang lelaki, mungkin bakal mertua kurang gemar dengan rambut panjang, pakaian yang tidak terurus ataupun jambang serta janggut atau misai yang berselirat - anda boleh kemaskan. Masa bersanding tak perlulah ikat tocang dan sebagainya. Hormati mereka walaupun itu mungkin imej yang telah anda pelihara sejak zaman persekolahan. Ah, demi gembirakan bakal mertua, apa salahnya kan? Lepas kahwin, boleh simpan rambut panjang lagi. Eh.

2. Jika bakal mertua kurang gemar dengan bentuk fizikal anda.

Benda begini sukar mahu ditafsir sebenarnya memandangkan setiap orang memang mempunyai citarasa tersendiri. Ada yang menganggap terlampau cerah itu serupa Edward Cullen - jadi mereka tak suka sebab macam orang sakit kononnya. Ada yang gelap pun tak disukai sangat sebab kononnya nanti dapat cucu gelap, tapi bagaimana kita mahu jadi Tuhan dalam diri kita sendiri kan?

Dalam bab warna kulit, mungkinlah boleh diubah (kot?). Pakailah krim pencerah, mandi susu dan segala apa yang dijual di pasaran tu kalau perlu. Yang dikatakan terlampau cerah berkilat bagaikan Edward Cullen boleh pergi berjemur dan mendapatkan kulit yang sedikit garing bagi memenuhi permintaan bakal mertua itu. Mana tahu sebab kulit dia sawo matang, dia takut tengok kulit orang yang terlampau cerah (agaknyalah).

Ha ha ha.

Kalau bab gemuk, kurus itu pula - itu boleh diubah juga tetapi dah kalau rangka badan besar, apa yang kita semua nak buat? Dah kalau keturunan memang berbadan besar, sekecil-kecil kita pun, masih orang lihat besar. Jadi bagi yang bertanya soalan sebegini, aku cuma kata, marilah bersyukur sebab kita sihat. Nikmat sihat yang kita dapat itu lebih utama daripada asyik sibuk nak puaskan hati orang. Kalau kita berusaha, dan sampai situ sahaja kita mampu lakukan, kenapa kita tak mahu berbangga dengan pencapaian diri?

Dah. Senyum cepat.

Kalau dia tak suka benda fizikal yang dikurniakan Allah, macam mata besar sangat, mata sepet sangat, hidung kembang, hidung kecil, hidung besar, dahi luas, pendek, tinggi dan lain lagi - takkan kalian nak pergi buat pembedahan pula? Dah kira berdosa mengubah kejadian Allah kan?

3. Jika bakal mertua tidak gemar dengan kerjaya anda.

Mesti ada sebab kenapa mereka tak suka. Jadi, dapatkan punca dahulu. Kenapa tak suka. Mungkin mereka ada sejarah tersendiri kenapa mereka tak gemar benda begitu. Kalau pekerjaan anda halal dan mampu untuk meneruskan kehidupan selepas berkahwin serta ada usaha memajukan diri, aku rasa benda begitu dah mencukupi. Tapi, kalau bakal mertua anda merasakan sebaliknya, sedapkanlah hati anda bahawa dia mencari yang terbaik untuk anaknya. Ya, siapa tak mahu yang bagus untuk anak masing-masing kan?

Jadi, anda boleh mulakan mencari pekerjaan lain ataupun berusaha memajukan diri dengan menyambung pelajaran (jika bakal mertua bising dengan kelulusan akademik anda) - jika ia masih dalam kemampuan anda, dipersilakan untuk menyedapkan hati bakal mertua sebelum anda dengan rasminya menjadi menantu mereka.

4. Jika bakal mertua tidak gemar anda tanpa sebab.

Ini paling payah. Tak tahu punca bagaimana nak selesaikan pula kan? Cubalah risik, tanya pada pasangan anda, apa yang bakal mertua tak berkenan sangat dengan anda. Mungkin anda bukan bakal menantu pilihan, dia dah ada orang lain mahu dijodohkan dengan anaknya. Mungkin juga dia malu anda tidak setaraf untuk dia bawa ke majlis-majlis besar dan sebagainya. Cubalah tanya, mungkin itu dapat membantu anda mendapatkan sebab dan alasan mengapa dia tidak menyukai anda.

Kata Ustaz penceramah semalam, kalau orang tak menyukai kita tanpa sebab ataupun alasan tersendiri, mungkin kita ada masalah dalam diri yang perlu diselesaikan ataupun orang begitu yang ada masalah dalam hati dan pemikirannya. Tapi untuk bersangka baik, marilah kita muhasabah diri sendiri sebab mesti kita ada sesuatu yang tidak disukai oleh mereka.

Selain itu, jangan buruk sangka dengan bakal mertua. Dengan setakat pandangan pertama, sessekali bertemu, sudah tentu kitabtak boleh melabel mereka bagaimana. Selain itu, menerima kekurangan mereka, kelebihan mereka adalah perlu. Siapalah kita berbanding orang lain? Sudah tentu melayani mereka sebagaimana melayani kedua ibu bapa adalah digalakkan. Lebih-lebih lagi jika mereka sudah menjadi mentua kita nanti.

Bagus ceramah tu semalam/div>

http://farm6.staticflickr.com/5171/5388758551_557a318464.jpg
[Sumber gambar]

Tapi bak kata Puan Mulia pada aku, kalau suatu hari nanti aku punya bakal mertua - aku mesti berusaha agar aku diterima oleh mereka seadanya, menghormati mereka sebagaimana aku menghormati keluarga aku sendiri serta berdoa agar mereka menerima aku, mengalukan aku ke dalam keluarga mereka. Banyak perkara yang aku perlu sentiasa belajar sebab setiap orang tidak sama dan walaupun susah atau senang, aku yang perlu hadapinya sendiri nanti, tanpa campur tangan dia lagi.

Sedih pula bila teringat apa Puan Mulia cakap.
Sobs.

Saturday, January 19, 2013

Awak, Usia Bukan Ukuran.


Awak.
Adakah dunia ini gelanggang?
Untuk awak bikin hati orang tunggang langgang?
Hanya sebab awak mahu julang.
Kononnya awak paling gemilang.

Awak.
Satu demi satu rasa indah singgah.
Satu demi satu awak tinggalkan resah.
Keperluan mendesah.
Ah!

Awak.
Umur sentiasa jadi penanda.
Bila yang datang lebih berusia.
Awak mula takut orang mengata.
Awak mula runsing awak jadi bahan cerita.
Walaupun hati awak suka.
Tapi mengenangkan mulut manusia.
Awak kecewakan mereka semua.

Awak.
Umur itu hanya angka.
Bila yang muncul lebih muda.
Awak rasa dia main-main pula.
Timbul isu kematangan manusia.
Apakah dia mampu bersama tempuhi segala.
Ataupun hanya sekadar main rasa suka gila.

Awak.
Bila yang datang sebaya.
Awak mula risau tekanan pula.
Apa mungkin siapa lebih matang atau besar kepala.
Bagaimana mahu buat keputusan segala.
Adakah awak yang bakal tanggung semua.
Ataupun dia yang lebih tahu segala.

Awak.
Jangan kecewakan manusia lagi.
Semuanya awak tolak tanpa simpati.
Jangan sampai tiba hari.
Awak akan ditolak mati.
Itu hari rugi.
Sepi.

Awak.
Pilih demi kebaikan diri.
Bukan atas dasar simpati.
Usia bukan ukuran kematangan diri.

http://farm3.staticflickr.com/2677/4121819934_eca89996ed.jpg
[Sumber gambar]

Shafaza Zara.
19 Januari 2013.

Wednesday, January 16, 2013

Awak, Dia Belajar Melupakan.


Awak.
Apakah awak masih luangkan masa?
Untuk manusia yang bukan lagi istimewa?
Untuk manusia yang sudah lari dari sempurna?
Untuk manusia yang awak pernah cinta.

Awak.
Dia berterima kasih.
Atas segala penat jerih.
Sewaktu awak dan dia menyulam kasih.
Ada saat gembira, dia ingat, masih.
Ada saat duka, dia ingat lagi, sedih.

Awak.
Bila dia sudah bergerak.
Dia sudah enggan toleh curi pandang jejak.
Sedikit pun dia enggan lihat corak.
Biarlah segalanya hilang, rosak.
Kerana dia mahu lepaskan perasaan retak.

Awak.
Sesekali awak dan dia bertemu.
Tanpa sengaja, berselisih pintu.
Tanpa disedari, berselisih bahu.
Tanpa sebarang bicara, mulut terkunci membisu.
Lidah sememangnya kelu.
Kawal hati dari terus jadi pilu.

Awak.
Dia ingat setiap benda tentang awak.
Setiap satunya, bukan secara rawak.
Setiap ketawa, setiap kisah lawak.

Awak.
Dia tidak istimewa.
Untuk mana-mana manusia.
Dia hanya mampu jadi diri dia.
Yang kalau ada, hanya dia yang suka.
Yang kalau perlu, hanya diri dia rasa.
Bukan orang lain yang datang dan pergi sesuka mereka.

Awak.
Dia jatuh dan bangun kembali.
Dia sudah lupa bilangan dia paksa berdiri.
Dia tidak mengingati bila kali terakhir dia dihargai.
Tetapi pastinya, dia sentiasa kenal diri.
Untuk teruskan senyuman dalam hati.

Awak.
Dia belajar untuk melupakan.
Supaya tiada kesan.
Supaya tiada hati yang penuh calaran.

Awak.
Dia hanya mahu awak hidup baik-baik.
Selamanya.


[Sumber gambar]

Sunday, January 13, 2013

#22 : Ini Cerita Seorang Perempuan.


Semalam sudah enam purnama.
Pusing sana sini bercerita, masih aneh dengan rasa.
Bekerja tapi lupa juga banyak benda.
Terlampau banyak perkara diabaikan sebab mengejar masa.

Pagi Ahad kedua dalam 2013. Aku sedar yang aku tak banyak menulis di blog sejak akhir-akhir ni disebabkan kesibukan tugasan. Kekeringan ilham untuk menulis mungkin menyumbang sekali. Entahlah.

Seperti Kopi cakap dengan aku, dia sedar yang aku sibuk sangat dengan kerja bila tanda-tanda berikut muncul :

1. Aku makan tak tentu hala, tak tentu masa - tak macam aku yang dia kenal. Hahaha.

2. Aku mula abaikan buku-buku yang berderet untuk dibaca. Maksudnya buku melambak, tapi disebabkan kerja aku melambak - aku dah kurang membaca.

Itu mungkin dua tanda yang dia nampak. Tanda yang lain mungkin juga aku kurang muncul di laman sosial kecuali aku rasa perlu, tidak ke acara sosial yang melibatkan buku, pandang buku dengan pandangan sayu serta mata lesu dan terakhir sekali - berat badan bertambah tapi aku kurang gila nak kurangkan semula.

Akhir-akhir ini, aku kembali tidur bersepah - sekejap di meja depan komputer, sekejap atas katil tanpa bantal dan selimut, sekejap atas permaidani dengan buku serta kertas bertaburan - aku makin tua agaknya. Heh!

Jadi, cubaan kedua aku sepanjang 2013 dah bermula ini adalah kembali membaca dengan kelajuan yang seiring dengan kekuatan mata dan tenaga. Kerja aku humbankan ke tepi seketika dan cuba untuk tenggelam membaca. Pilihan hari ini adalah dari koleksi Big Bad Wolf yang Kopi beli dan dia sudah habis baca.

The Girl Who Played Go oleh Shan Sa. Bila aku tanya kenapa dia beli buku ni, jawapan dia adalah sebab buku ni ada permainan GO. Tetiba teringat cerita Korea. Heh! Apa pun, tulisan biru halus tu adalah tulisan dia. Kali pertama aku tengok orang tulis secara berformat. Kalau aku, kat mana perkataan aku tak faham, di situ juga aku conteng.


http://distilleryimage0.instagram.com/0ade2fc45d1911e2aeda22000a1f973b_7.jpg
[Instagram aku] - Tulisan halus tu tulisan Kopi.

Selamat hujung minggu semua.

Nota Kaki : Maaf buat yang hantar email untuk #Jiwa dan #Jiwa2. Aku dah berhentikan penghantarannya. Terima kasih atas sokongan kalian selama ini.

Wednesday, January 09, 2013

#WW22 : Bawa Bekal Ke Sekolah.


9 Januari 2013.

Bekalan hari ini. Apa yang ada, lenjan lebur dalam kuali. Untuk tahun 2013, dah 3 hari bawa bekalan sepanjang minggu ini. Masak awal pagi, tapi sempat makan dekat jam satu petang. Nasib baik tak basi. Ha ha ha.

Jadual waktu perut dah jadi aneh. Mungkin sebab jus yang diminum - perut jadi normal semula. Sebelum tidur malam dah jadi macam emak-emak, sebab dalam kepala fikir satu benda.
"Eh, esok nak masak apa?"

http://distilleryimage7.instagram.com/5f424b8e5a4b11e2a7ab22000a1f97eb_7.jpg
[Instagram aku]

Bila difikirkan kembali (sewaktu aku menghadap bekalan di atas seorang diri dengan ditambah kesejukan dalam tempat kerja) - zaman sekolah aku dari sekolah tadika sehingga ke Tingkatan Lima, setiap hari aku bawa bekal makanan ke sekolah. Ya, setiap hari disebabkan Puan Mulia memang masak awal pagi untuk kami sekeluarga. Masak pagi di sini bermaksud bekalan untuk sarapan dan juga masakan tengah hari bila kami pulang ke rumah dan perlu makan sebelum ke sekolah agama. 

Masa aku dalam Darjah 1 hingga 5, bekalan duit aku ke sekolah hanya dua puluh sen. Aku dalam Darjah 1 pada tahun 1994. Apa yang boleh dibeli dengan dua puluh sen? Entah, aku jarang pergi kantin disebabkan bekalan yang disediakan adalah mengenyangkan. Betul. Jadi dua puluh sen aku hanya digunakan di sekolah agama petang. Beli makanan ringan yang jika boleh, satu harga 10 sen, jadi boleh dapat dua. Ha ha ha.

Bekalan makanan sewaktu sekolah rendah di kediaman lama dulu sering jadi tumpuan rakan-rakan ketika waktu rehat. Mana dapat nasi ayam, nasi minyak, nasi lemak, nasi tumis di kantin sekolah? Tapi dalam bekalan yang aku bawa dari rumah - itu antara menu yang disediakan oleh Puan Mulia. Bawa duit tak mewah, tapi makanan kira mewah dan semuanya disediakan di awal pagi sebelum beliau keluar mencari rezeki dan kami semua ke sekolah.

Bila aku dalam Darjah 6, duit belanja sudah jadi 50 sen. Itu pun aku masih bawa bekal lagi dan 50 sen itu dijimat supaya boleh digunakan sebagai belanja sekolah agama. Kadangkala sekolah agama pun bawa bekal nasi tengah hari - jika ada benda lain yang mahu dibeli menggunakan duit tersebut. Aku ingat bawa bekal cuma di sekolah rendah, tapi sampai sekolah menengah pun masih bawa bekal.

Dari Tingkatan 1 sampai Tingkatan 5, duit belanja aku setiap hari adalah seringgit. Pandai-pandailah mahu jimat kalau teringin mahu makan ataupun beli sesuatu yang lain. Kadangkala bekalan aku sudah makan di awal pagi, jadi dengan duit seringgit, aku beli beratur di kantin dengan menu yang sudah tersedia dalam kepala.

Nasi goreng/mee goreng = 50 sen.
Nugget/keropok lekor = 30 sen.
Air sirap/kordial sejuk = 20 sen.
Jumlah = 100 sen = seringgit.

Habis dah duit. 
Heh!

Bila naik Tingkatan 5, Abah mula bagi aku RM 5. Tapi RM 5 adalah untuk seminggu. Sama sahaja satu hari adalah RM 1 juga. Cuma bila aku ada kelas tambahan, aku akan dapat tambahan duit sedikit, kiranya sehari RM 2. Apa yang aku buat adalah bawa bekal. Bekalan makanan dimakan pada waktu rehat, manakala duit yang ada diperuntukkan untuk beli makanan waktu petang. Pilih makanan paling murah dan mengenyangkan (polisi aku dulu, sampai sekarang kadangkala). Ha ha ha.

Bila mengajar di sekolah, sesekali aku bawa bekalan juga. Untuk tahun 2013 ini, sejak dari hari pertama minggu kedua aku bawa bekalan sendiri. Ada beberapa sebab, antaranya adalah jadual aku agak padat di waktu pagi, jadi bekalan makanan adalah cara terbaik untuk aku dapat juga makan walaupun lambat serta ada sebab sedikit peribadi yang tak perlu dikongsi. Heh!

Tapi, orang yang menerima tabik hormat daripada aku adalah Puan Mulia. Tahun ini bakal masuk tahun ke dua puluh tujuh beliau mengajar dan beliau masih bawa bekalan nasi setiap hari. Ya, sebab dia perut nasi dan untuk mengelakkan dia terkena gastrik, perut dia sensitif makanan pedas - maka, bekalan yang dimasak sendiri di rumah adalah sangat baik untuk dia.

Sekejap.
Esok nak masak apa eh?


Monday, January 07, 2013

Pengecut


Kenapa mesti jadi pengecut dan penakut jika itu betul yang kau mahukan dalam hidup? Apa perlunya kau cari gaduh, timbulkan masalah dengan orang lain sedangkan kau boleh hidup baik-baik dalam kelompok kau?

Hidup ini cantik. Susah mananya pun hidup seseorang itu, masih ada benda yang buatkan mereka masih kental dan tabah untuk meneruskan kehidupan kecuali mereka sudah berputus asa dan cabut nyawa sendiri. Tapi, kenapa kau perlu tunjuk kuat dan gagah dengan menindas orang lain? Menghina mereka sehingga mereka jatuh. Buat mereka berjauh hati dan tinggal terpuruk sendiri, sepi enggan bangkit kembali.

Adakah itu kemenangan yang kau cari? Dengan pandang rendah orang lain dan cerca mereka? Kau mungkin hebat atas dunia. Kau mungkin hebat dengan penyokong serta pendukung kau atas dunia. Dengan terbahak, kau kental sebarkan cerita buruk, tabur fitnah dengan penuh rasa bangga seperti kau adalah mangsa.

Kau lupa satu benda. Setiap daripada kita akan dihitung nanti di sana. Sekecil mana pun suatu perkara, tidak akan terlepas daripada hisab Maha Pencipta. Kau boleh lakukan apa sahaja dan mereka diam merelakan segala.

Itu bukan tanda kau kuat, gagah perkasa tetapi tanda mereka sudah enggan mahu campur urusan dunia. Kau boleh teruskan dansa. Mereka mahu hidup dalam dunia indah dan menikmati manisnya senyuman gembira.


http://farm9.staticflickr.com/8449/7917044908_5008387b67.jpg
[Sumber gambar]


"Senyuman awak manis. Alangkah indahnya kalau senyuman awak yang saya pandang setiap pagi dan malam? Hari saya pastinya akan baik-baik sahaja"

Setiap dari kita punya impian, harapan dalam kehidupan. Kalau tidak tinggi melangit, yang rendah pun menarik juga. Itulah, kita semua memang tinggal dalam impian dan harapan. Jiwa itu masih belum tercemar. Selamatkan dia, moga senyuman dia tidak akan mati lagi begitu sahaja. Adakah anda sudah bersedia untuk hadapi apa sahaja?


Zara : Awak tahu apa yang menjadikan hidup ini payah? Ia apabila awak bunuh perasaan berbaik sangka dengan manusia lain di sekeliling awak. (Shafaza Zara, 7 Januari 2012)


Saturday, January 05, 2013

#21 : Ini Cerita Seorang Perempuan.


Hari terakhir dalam minggu pertama sekolah. 2013 berlalu dengan pantas. Minggu ini dengan tema warna merah disebabkan kasut yang aku suka warna merah. Mudah.

Ada orang tanya aku kenapa aku acapkali pakai aneh-aneh sahaja ke sekolah. Jujurnya, aku rasa aku normal dan biasa seperti orang lain. Yang membezakan mungkin aku gemuk sedikit, tinggi terbantut dan kulit tak cerah (walaupun aku rasa ok je). Yang lain, aku segalanya gembira walaupun orang lain kurang gembira dengan aku.

Aku bekerja dengan mereka-mereka yang aku suka, persekitaran yang membahagiakan, kawan-kawan yang bagus dan anak2 murid yang buatkan aku semangat separa gila untuk buktikan apa yang aku jangka adalah tidak sama.

Tamak sesekali tak bunuh ataupun mengurangkan jiwa aku sebagai manusia. Bahkan aku jujurnya lebih bersungguh menjadi manusia dari sebelumnya :)

Hari ini ada yang mengherdik tidak tentu hala atas sebab yang sangat kecil sampai hati luka, terhiris berdarah. Biarlah. Biarlah. Manusia itu bukan sesiapa. Kata - kata yang terhambur itu akan kekal dalam ingatan aku. Betapa manusia itu tidak pernah puas - biarkan sahaja dia tenggelam dengan gembira yang dia sendiri cipta.

Aku?
Pilih untuk hindarkan diri sahaja. Rezeki manusia bukan dipegang oleh manusia lain.

http://distilleryimage6.instagram.com/2a608fce563211e2a97322000a1fb158_7.jpg
[Instagram aku]

Dalam banyak manusia yang kita kenal, ataupun yang mungkin rasa mereka kenal kita - pastinya ada terselit rasa menyampah tidak tentu hala walaupun tidak pernah ada pertemuan, bersua muka.

Biarkan mereka. Sebab daripada kita ada sebab untuk hidup atas dunia. Walaupun mereka kata kita takut dengan perasaan kita sendiri, tetapi aku ada satu pertanyaan untuk semua. Pernahkah kau rasa diri kau kurang segala benda berbanding orang lain?

Pernah? Aku pernah.

Jadi, apa yang aku buat adalah, berdiri di hadapan cermin, tenung diri aku sendiri dan tanya, apa yang aku kisahkan dengan orang lain sedangkan Allah jadikan manusia itu sebaiknya.

Apa aku buat adalah, senyum pada diri aku dalam bayangan cermin, tepuk bahu, usap rambut dan beritahu diri sendiri bahawa aku akan mampu laksanakan banyak benda, asalkan aku berusaha, dengan redha Mak & Abah, aku tidak perlu mengalah dengan manusia.

Usaha. Usaha. Usaha.

Sebab aku tidak mahu kalah dengan perasaan kecewa. Kau yang kata kami-kami yang mahu bangkit demi diri sendiri adalah manusia yang paling rasa tidak selamat atas dunia. Sekurangnya kami tidak pernah rasakan dunia ini neraka.

Zara : Senyuman dan persahabatan yang kau agungkan rupanya sebagai satu cara kau mengambil kesempatan. Anehnya pemikiran kau. (Shafaza Zara, 5 Januari 2012)

Friday, January 04, 2013

Usia Muda.


Ala.
Apa salahnya dengan usia muda?
Saat untuk cuba semua benda.
Masa untuk rasa.
segalanya.

Usia muda.
Siapa yang beri erti muda?
Orang lain guna pengukur apa?
Guna pangkat, guna usia?
Ala, usia cuma angka.
Pangkat hanya sementara.

Ah!
Memang kau sangka kau muda.
Sebab kau bandingkan diri dengan orang dewasa.
Kau gelar kami golongan tua.
Tapi, tapi - kami yang tua pernah juga muda.
Pernah juga mahu cuba segala.

Kau benci kami.
Kami gelak suka hati.
Apalah sangat dengan sifat benci.
Kami sudah biasa dengan si muda yang belum berdikari.
Yang pastinya si muda datang dan pergi.
Kami yang dewasa masih menanti.
Ya, kalian masih si muda yang menagih masa kami.

Ala.
Kami tak kisah kalau kalian sudah mahu rumahtangga.
Kami lebih mengalukan apa yang baik dan bagus di sisi agama.
Tapi itulah, usia muda itu masih punya banyak masa.
Nasihat kami kalian enggan mahu siapkan telinga.
Kata ibu bapa penjaga kalian ludahkan muka.
Ah siapalah kami agaknya?
Kami cuma orang dewasa.

Ya.
Kami orang dewasa yang mungkin dibenci.
Tapi setakat ini kami masih belum mengkhianati.
Entahlah orang lain, aku masih begini.
Senyum sahaja layan diri.


http://farm1.staticflickr.com/55/179041467_6ba22a4df8.jpg
[Sumber gambar]
Emosi sana sini.
Luahkan rasa hati.
Gembira, kasih, benci.
Kami masih lagi menanti.
Tekun dan senyum sabarkan diri.

Itulah kami.
Bukan kuat, kukuh bagaikan jati.
Tapi sekurangnya kami tidak kenal erti kecil hati.
Setakat ini.

Zara : Kadangkala dalam kesedihan, kita hanya mampu senyum kerana kita sedar segalanya bakal baik-baik sahaja. (Shafaza Zara, 4 Januari 2013)

Thursday, January 03, 2013

Kami.


Walau ada berderetan orang lain.
Sahabat itu tidak akan hilang ditiup angin.

Ada siapa sahaja yang buat ketawa.
Tidak pernah sama dengan yang jatuh bangun bersama.

Tidak akan pernah sama.
Kerana kami tetap berbeza.

Kau tahu siapa kau.
Moga tahun ini lebih baik buat kita.

:)

[Sumber gambar]




Wednesday, January 02, 2013

Sudah Empat.


Kalau kahwin, anak mungkin dah boleh ke sekolah.
Kalau bayi, dah berlari barangkali.
Hihihi.

Selamat ulang tahun sayang.
Semoga kita berjuang untuk tahun ini juga.
Ya, saya sayang kamu.
Tulus.

http://distilleryimage8.instagram.com/42031466541711e2b55e22000a9f09fb_7.jpg
[Instagram aku]

Selamat ulang tahun.
Dunia Sebelah Zara.

Nota Kaki 1 : Terhad untuk masa sehari sahaja. (1 Januari 2013)

Nota Kaki 2 : (5. 55 pagi : 2 Januari 2013)

Disebabkan ramai yang terlepas pandang pos ini (orang cuti tahun baru la Zara!), aku buka semula dengan beberapa syarat :

1. Berikan 4 sebab kenapa kau baca blog ini. Terpulang nak tulis di ruangan komen atau di - email. Kalau tulis di blog, pastikan ada nama kau supaya aku boleh kesan balik di email.

2. Buat pantun 4 kerat tentang blog ini juga. 4 kerat sahaja. Boleh? (kekening)

3. Hantar email pada aku seperti yang dinyatakan di gambar atas. (sebelum 4 Januari 2013)

Mudah?

Zara : Siapa yang lambat, acilah denda sedikit kan? Kan?