Sunday, May 13, 2012

Emak.

Hari ini semua yang bergelar emak, mama, ibu dan apa sahaja gelaran buat mereka yang melahirkan serta membesarkan diraikan. Bukanlah hari lain mereka diketepikan, tetapi hari ini lebih khusus supaya anak-anak yang kadangkala terlupa kewujudan mereka akan tersentak dan mengingati mereka. Tidak salah hidup ataupun sudah pergi meninggalkan kita.

Manusia memang akan hargai bila dah tiada depan mata mungkin - itu yang sering semua orang kata. Tapi, kita boleh memilih untuk jadi diri yang sebenar dan tidak perlu ikut orang lain. Pandir gila bila itu semua mahu ikut orang lain tidak tentu hala.

Entah bagaimana aku boleh terfikir andai satu hari nanti aku bergelar emak atau apa sahaja. Ini mungkin delusi yang aku sendiri dibawah pengaruh ubat cuba untuk eksperimentasi. Aku bakal jadi ibu yang skema tapi gila. Bagaimana seorang yang tidak layak bergelar bonda mahu angan-angan sedemikian rupa?

Gila.
Ada satu saat aku terfikir mahu jadi seorang wanita sempurna yang bergelar isteri serta seorang ibu, kononnya. Tapi itu sahaja lamunan tatkala aku jadi gadis kesayangan seorang jejaka yang setia. Bila aku sudah tidak diikat sesiapa dan dapat lepas lari dari mereka yang berkot putih atau gadis genit yang setia menyuntik tatkala kesakitan bermaharajalela - aku menyusuri laluan ibu melahirkan dan menjenguk- jenguk bayi-bayi yang nyenyak tidur dalam kotak-kotak mereka. Ah, itu sesuatu yang jauh untuk dicapai aku dan aku, ibarat kanak-kanak yang kepingin gula - hanya mampu melekatkan pipi yang tidak merah pada cermin yang memisahkan dua dunia. Aman dan tenang tanpa hingar bingar manusia dewasa yang tekun berbuat dosa. Nah, aku mungkin sahaja salah seorang dari dewasa yang pernah iri pada dewasa lain tatkala aku membesar.

Bodoh.
Bergetanyang di luar kamar ibu melahirkan hanya bikin aku separa gila. Aku tidak boleh jadi seperti mereka - barangkali buat masa terdekat atau selamanya. Keinginan gila aku suatu ketika dulu hanya impian anak nakal bagi menutup mulut jalang yang bertanya sama ada aku mampu jadi isteri atau ibu yang baik suatu hari nanti. Sialan, aku hanya mampu ketawa bagaikan sindiran itu tidak bawa kesan sampingan.

Polos.
Wajah anak-anak itu polos dalam dakapan ibu mereka. Moga suatu hari nanti mereka tidak lupa siapa yang melahirkan - yang mengandung bawa perut berat selama hampir atau lebih sembilan bulan. Siapa yang bertarung nyawa di atas katil meneran keluar mereka bagi menghirup udara atas dunia - atau biarkan diri dibelah pisau atas meja semata-mata demi kasih sayang menyelamatkan satu nyawa.

Aku tak layak jadi saksi itu semua. Bahkan aku belum layak untuk mendapat gelaran paling mulia itu - mungkin bukan pada saat ini, mungkin juga untuk selamanya.

Buat semua yang bergelar manusia yang melahirkan - termasuk Puan Mulia yang tidak pernah jemu membesarkan setengah dozen anaknya - selamat hari ibu, emak atau apa sahaja gelaran agung bagi manusia hebat seperti mereka.

Walaupun kita ada ada hari ibu, setiap hari juga hari indah bersama mereka bukan? Walaupun kadangkala mereka marah, membebel dan bising - setiap dari kita akan rindukan itu semua.

Zara : Moga tiada puak yang sibuk mahu mencanang haram menyambut hari ibu pula. Aku sudah bosan lihat fakta merepek kerana aku seperti anak lain yang sayangkan emaknya - hanya mahu ibu gembira.

No comments: