Sunday, April 15, 2012

Setia 2.2



Kadangkala si gadis sendiri tidak mengerti, dia dikhinati oleh manusia yang menghampiri dia atas nama cinta. Sejauh mana dia mahukan cinta yang baik-baik sahaja dan belajar untuk setia pada manusia yang dia suka, dan menyukai dia kembali - lelaki yang hadis semuanya sama. Menyayangi dia dan akhirnya meninggalkan dia tanpa sebab musabab yang dia sendiri ketahui. Kali pertama melalui kesakitan itu, dia menyimpulkan mungkin dia seorang yang tidak bergaya. Maka, dia, syukurlah punyai otak yang boleh dikatakan bijak - menggunakan teknologi maklumat dan wacana ilmu - untuk memperbaiki diri serta penampilan kendiri. Daripada seseorang yang boleh dikatakan selekeh, dia jadi gadis yang boleh dikatakan sedap dipandang mata.

Dengan si jejaka, gadis tidak tahu apa salah dia. Dikhinati, dipermainkan tapi dia masih mampu bersabar dan telan derita. Dia lihat berbanding dengan perempuan lain yang dipilih oleh jejaka untuk menggantikan dia, kebanyakannya dia menang berbanding mereka. Sekurang-kurangnya dia tidak pernah meminta apa-apa daripada jejaka, apa yang dia mahu, dia gunakan duitnya sendiri, hasil titik peluh dia bekerja dan menyimpan untuk diri sendiri. Perempuan lain yang muncul, mengikis jejaka dan jejaka gembira dengan benda begitu. Si gadis terfikir - adakah kerana dia terlampau berdikari, maka jejaka tidak suka begitu, begini? Entah, gadis sudah mahu berhenti, daripada terus mengingati.

Tetapi, celakanya badan. 
Rupanya hati dia masih mampu ditawan.
Rupanya pemikiran dia masih mampu dijinakkan.
Jejaka datang membawa perkhabaran.
Keluarganya mahu merisik dan menjalankan majlis pertunangan.
Dan si gadis tetap jadi pilihan.
Perempuan lain hanya persinggahan.
Gadis senyap tanpa jawapan.
Kosong bagaikan Najwa Latif punya nyanyian.

[Sumber gambar]

"Kenapa awak datang balik?"

"Salahkah saya datang?"

"Awak sudah ada perempuan lain"

"Dia cuma kawan. Saya anggap dia kawan."

"Dia kata awak kepunyaan dia"

"Dan awak terus percaya? Bukankah kita sudah berjanji berdua?"

"Dan awak hilang begitu sahaja"

"Awak patut tunggu saya punya cerita"

"Serta biarkan diri saya sendiri tanggung derita?"

"Hanya awak yang saya mahu di dunia hingga syurga"

"Kalau masuk syurga"

"Saya tak harap untuk heret awak bersama ke neraka"

"Saya tak nampak kenapa saya perlu ikut awak kembali"

"Awak akan tetap bersama saya"

"Kenapa awak kata begitu?"

"Sebab saya kenal hati awak. Awak nampak kasar, tapi awak penuh cinta"

"Cinta yang saya korbankan masa, harta, nyawa"

"Dan tiada perempuan lain buat begitu untuk saya"

"Sebab saya bodoh"

"Bukan. Sebab awak cinta sejati yang semua lelaki sanggup mati"

"Malangnya, tiada lelaki begitu saat ini"

"Saya sanggup untuk itu"


Dan entah bagaimana, mereka boleh kembali bersama sekali lagi. Untuk kali ke berapa, dia berikan si jejaka itu peluang bagi menebus dosa silam yang buat kali pertama - dia dengar sebuah kemaafan paling tulus diminta dengan nama Allah serta ibu yang melahirkan sebagai cagaran. Si gadis diam kerana dia tahu, hatinya tidak berada dalam keadaan stabil seperti dahulu kala. Kesakitan sudah mula menjalar masuk - kesihatan dia yang dulu dia abaikan bila dia terpaksa bersihkan segala cela yang si jejaka tinggalkan mula menuntut hak kembali. Si gadis senyapkan sahaja diri - dia mahu lihat sejauh mana keadaan jejaka setelah peluang diberi.

Satu minggu.
Dua minggu.
Tiga minggu.

"Perempuan itu datang lagi"

"Bukankah saya kata dia kawan?"

"Dia kata dengan saya dia tidak akan berhenti menyukai awak"

"Boleh tak awak abaikan dia?"

"Macam mana saya mahu buat bila dia cari saya?"

"Dia gila"

"Dia kata Mak dia suruh tetap dapatkan awak"

"Awak jangan layan perempuan celaka itu"

"Celaka pun awak pernah suka dia"

Satu purnama.
Dua purnama.

Keadaan kembali pulih, tapi si gadis masih tiada jawapan tentang peminangan atau perkahwinan. Dia mengelakkan diri setiap kali si jejaka buka mulut mahu bertanya. Di pihak ayah dan ibunya - dia enggan mahu buka mulut berkongsi cerita. Dia pernah malu bila bapanya bertempik dia kembali pada jejaka selepas apa yang berlaku kali pertama. Gadis pernah dengar ibu bersungut di belakang bila dia dengar si gadis kembali pada si jejaka yang merobek hati gadis anaknya. Tapi jauh di sudut hati - dia tahu keluarga dia mahu dia bahagia. Dia mencari bahagia walaupun ternyata dia pertaruhkan hati serta jiwa. Kadangkala dia rasa diri dia bodoh - dia sengaja menempah bala bencana.

Satu minggu.
Dua minggu.
Tiga minggu.

Si jejaka menghilangkan diri kembali. Senyap sunyi tanpa khabar berita. Kalau dihantar pesanan suara, dia hanya akan balas dan mengatakan segalanya baik sahaja dan dia perlukan masa untuk diri sendiri atas urusan kerja. Si gadis sudah enggan mahu sibuk seperti dahulu kala. Bila perlu sahaja dia akan tanya sebab si gadis tahu, si jejaka hanya akan cari dia bila dia perlukan sesuatu dalam hidupnya. Bila sepi, dia akan datang mencari. Bila si gadis sibuk, si jejaka pusing mencari. Biarkan hati berbunga riang dan kemudian dengan kejam biarkan dia mereput mati kembali.

Si gadis sudah mangli.
Tapi dia belum fikir mahu berhenti.
Selagi seseorang belum mati.

Zara : Hidup boleh jadi lebih menggembirakan dan kurang mengecewakan apabila kita menyedari bahawa apa yang kita miliki saat ini adalah sesuatu yang sudah ditentukan oleh Yang Maha Berkuasa - benda yang kita pernah mahu tetapi tidak dapat memiliki mungkin hanya akan bawa bencana yang kita tidak akan dapat jangka. (Shafaza Zara, 15 April 2012)

9 comments:

Unknown said...

mungkin... mungkin kerana lelaki sukakan perempuan yang kejam...
hurmm..
*emosi tbe2*

Primadona said...

Kisah ini membuatkan saya teringat kembali dengan filem Tentang dia yang pernah popular satu ketika dahulu serta dinyanyikan oleh Melly Goeslow feat Evan.

Sofia Nin said...

Terpukul. Hoho. Tapi semua cerita itu dah ada akhir, semoga akhir ini benar benar akhir :)

Hazreen Nbj said...

coretan ni rasa sangat dekat ngan saya, adakah sebab saya sendiri sedang mengalaminy? heh...

Mrs. Hanani said...

pesanan buat sigadis, sila tinggalkan dia..

Anonymous said...

pernah mengalaminya dan sedang mengalaminya. cuma bezanya si jejaka sedang terluka dgn si gadis tatkala si gadis meluahkan sesuatu yg tidak dia jangkakan. salah si gadis yang cuba untuk mempertahankan hubungan itu tapi sakit tatkala si jejaka menghilangkan diri atau si jejaka yang kata dirinya mencari ketenangan diri?

-N-

uchica said...

seriusly..sentap dgn entri nie..sakit..because i had feel it...dulu...sekarang..dan mgkin juge sampai bile2...:')

uchica said...

cube untuk bertahan..:')

NoorVictory said...

Hanya kawan. Ayat yg paling mnyakitkan. Hanya kawan tapi komen sampai beratus-ratus, hanya kawan tapi perempuan itu sampai nak block2 kita, sepupu sepapat, kawan2 semua nak diblock. Hanya kawan. Yang kita, menunggu dgn sabar tanpa sedar kiat diperbodohkan.

Sedih. Sangat.