Showing posts with label Zombijaya. Show all posts
Showing posts with label Zombijaya. Show all posts

Saturday, December 24, 2011

[Ulasan] : Tabu dan Kelabu - Novel Fixi




[Tulisan asal : 22 Disember 2011]
[Disiarkan kembali : 24 Disember 2011]

Salam semua.
Selepas Jerat, Ngeri dan Zombijaya, Tabu dan Kelabu juga aku dapat dari Fixi dengan percuma. Ya, aku menerima lambakan bungkusan pada hari sebelumnya, tetapi ia tidak sama dengan keriangan aku mendapat bungkusan daripada Fixi. Memang betul orang ketagih ini memang lain macam gerak gayanya. Heh. Ditambah dengan kicauan aku di Twitter sudah ada manusia dengan ketawa unik (dan pelik) serta berkait rapat dengan Fixi sekali - sudah tentulah itu kegembiraan yang tidak dapat digambarkan. Heh. Hello Nedd, Adib, Mamu, Papa - Geng #idebewe. Oh, tidak lupa juga Sufian - bakal pembekal mesin kopi.


Jadi, sebelum aku menulis lebih dalam tentang ulasan buku ini, lebih baik aku terangkan bagaimana aku boleh dapat dua novel ini dengan percuma. Ya, dari pertandingan menulis yang diadakan oleh Fixi. Tabu aku menang selepas menulis tentang imam porno (heh!) dan Kelabu aku menang selepas menulis tentang, er, bagaimana mahu sifatkan tulisan itu agaknya ya? Kamu boleh baca Tabu dan Kelabu versi aku dengan menekan pautan. 


http://farm8.staticflickr.com/7001/6547459235_afd2a95b63.jpg
[21 Disember 2011] - Koleksi peribadi aku sendiri - Flickr

*******

http://fixi.com.my/wp-content/uploads/9789671038482-194x300.jpg
[Sumber gambar]

Bibi tahu dia cantik. Dia bukan BBL (Big Beautiful Lady) biasa. Hidupnya selesa dengan rakan baik yang sentiasa di sisi, dan juga kekasih gelap warga asing yang sangat setia.

Malangnya, keselesaan itu berakhir apabila dia berhadapan dengan dua misteri. Misteri ketika dia cuba mengenalpasti identiti pemilik telefon bimbit yang dia temui, dan misteri tentang kematian mengejutkan rakan baiknya.

Bibi cuba membongkar. Cuba menyelami rahsia yang disimpan oleh si mati dan cuba menyelinap zon TABU yang mungkin akan mengancam kebahagiaan dan keselamatan dirinya sendiri.

Ya, Bibi bukan BBL biasa. Di sebalik pakaian yang besar itu, tubuhnya sarat menyimpan 1001 cerita!

******

TABU adalah novel kedua Shaz Johar selepas Kougar. Jika sesiapa pernah membaca Kougar, sudah tahu tentang gaya Shaz Johar dan pastinya mahu mendapatkan lebih daripada dia (Terima kasih kepada Poskod - aku dapat baca sesuatu daripada Shaz sementara menunggu Tabu tiba).

Dalam TABU, kita di bawa melihat kehidupan Bibi, wanita yang bertubuh besar. Hidup dalam keadaan yang kurang menyenangi tubuh badan sendiri, berusaha untuk langsing dan berhadapan dengan pelbagai masalah sejak dia menemui telefon bimbit yang tertinggal di dalam LRT. Dengan sikap teman lelaki berbangsa asing dari Kenya yang belajar di Semenyih, ibu yang mendesak supaya berkahwin, kecelaruan dan keraguan dalam hubungan cinta dan juga konflik dalam tempat kerja yang melibatkan perempuan lain bersaiz besar dan tentu sekali kewangan. Benda biasa dalam kehidupan sekarang ini - tetapi di tangan Shaz Johar, segalanya nampak berbeza.

Bibi - yang sudah agak berputus asa mahu menguruskan badan disebabkan teman lelaki Kenya, Mosi yang sukakan perempuan bertubuh gempal dipertemukan dengan benang takdir dengan Nadim - seorang guru yang bertugas di Sabah (kebetulan pemilik telefon dalam LRT - yang setelah dikenalpasti selepas saringan soalan). Kehadiran Nadim, Mosi, Anne yang bersaiz dua kali ganda dari Bibi menjadikan cerita ini penuh warna. Pelbagai kejadian berlaku dan ya, hayat kerja Bibi di syarikat dia berakhir dengan tragedi - Anne dan kehadiran sepasukan bomba. Ia disusuli dengan kematian Kim, kawan baik Bibi sendiri yang disyaki membunuh diri.

Banyak lagi sebenarnya dengan kehadiran polis bernama Akil yang bertanggungjawab mengendalikan kes Kimi, Firdaus - polis mualaf yang masih minum minuman beralkohol dan bagaimana Bibi pergi ke Sabah dan sehingga ke akhirnya, kita boleh melihat ada sedikit persamaan antara Tabu dan Kougar. Oh, ada juga watak Kisha dan Budi dalam Tabu.

Dan kenapa aku kata Tabu mempunyai sedikit persamaan dengan Kougar (selain ditulis oleh orang yang sama dan juga kemunculan watak Kisha dan Budi)? 
1. Subjek utama penceritaan adalah wanita.
2. Subjek utama penceritaan adalah wanita yang sudah terlajak usia.
3. Subjek utama penceritaan adalah wanita yang kerjanya biasa-biasa, kewangan yang tidak berapa kukuh dan mempunyai ibu yang kuat mendesak tentang jodoh. Oh, bezanya Kisha ada adik beradik, Bibi adalah anak tunggal.
4. Adegan senggama disampaikan dengan samar walaupun ya, pembaca boleh meneka. 
5. Subjek utama mempunyai masalah dengan lelaki dalam hidup mereka.
6. Pengakhiran tergantung yang membuatkan kita mahu mencari jawapan tentang apa yang berlaku pada mereka. Seperti juga Kisha, kisah Bibi tergantung dan pembaca perlu meneka, apakah dia jumpa cinta yang dicarinya?

TABU - adalah satu taboo kerana kita boleh melihat isu yang diutarakan adalah sangat jelas apa yang menjadi 'racun' dalam masyarakat (bagi sesetengah aspek dan pihak) :
1. Perempuan berbadan besar.
2. Perempuan lanjut usia dan belum berkahwin.
3. Hubungan intim tanpa ikatan pernikahan.
4. Bunuh diri.
5. Curang dengan pasangan.
6. Pihak berkuasa yang memakan undang-undang sendiri.
7. Kehadiran golongan asing yang melambak di negara kita.

Dan bila membaca dua novel tulisan Shaz Johar ini, aku tertanya-tanya, apakah nasib aku akan seperti Kisha ataupun Bibi? Betapa sukarnya menjadi wanita yang menginjak usia tanpa ikatan perkahwinan dengan banyak mulut yang akan mengata. (Eh, kau baru 24 Zara!)


********

http://fixi.com.my/wp-content/uploads/9789670374048-194x300.jpg
[Sumber gambar]

Senang kalau hidup dalam dunia hitam putih. Baik-buruk, betul-salah, cinta-benci…lelaki-perempuan.

Apa jadi pada yang di tengah-tengah? Apa jadi pada orang-orang macam aku?

Bila Jun datang pada aku, menawarkan posisi sebagai ‘boyfriend kontrak’, aku tak tolak. Salah aku ke kalau aku kata “ya” pada awek cun? Salah aku ke kalau aku lagi pandai layan dia daripada boyfriend dia sendiri?

Salah aku ke kalau aku jatuh cinta pada dia?

Aku Amir. Jemputlah masuk ke dunia aku, di mana hitam dan putihnya tak berapa jelas. Mungkin hanya lepas tu, korang akan faham macamana rasanya berada di dunia aku. Dunia KELABU.

*******

KELABU tulisan seorang doktor perubatan. Dengar macam akan ada banyak istilah perubatan kan? Tapi tidak. Tahniah kepada Nadia Khan (atau aku lagi suka tulis Nedd - boleh kan?) yang buatkan aku tenggelam dalam pembacaan dan asyik untuk mengenali dengan lebih mendalam watak Amir. Di sebalik Amir yang lincah mengambil gambar dan dikaitkan dengan seribu satu drama dalam hidupnya, ada sesuatu yang menyeronokkan serta menggemparkan sebenarnya.

Ya. Walaupun berjanji dengan Jun bahawa mereka bersama dengan ikatan kontrak, Amir sebenarnya terjebak dengan lebih jauh - jatuh cinta dengan Jun. Disebalik pelbagai cerita tentang Jun, Amir masih bersama dengan dia. Jun, seperti juga cinta pertama Amir, Suhani membuatkan Amir menderita dengan cara mereka yang tersendiri. Oh, ini kamu semua perlu baca, kalau aku terangkan, pasti sudah tiada keseronokan.

Amir ada kawan baik yang memahami bernama Shah. Shah yang bersama dia sejak di Jerman, yang memberikan nasihat, yang bersama dalam keadaan susah dan senang. Amir juga punya Maya - kawan merangkap pengusul kerja pada dia memandangkan Amir adalah jurugambar bebas. Konflik muncul bila Amir membaca pesanan Maya di dalam telefon genggam Shah, dan juga membaca pesanan Shah kepada Maya. Rahsia yang selama ini dipendam oleh Shah terbongkar.

Dan dalam kecelaruan, Amir mula mencari dirinya kembali. Dirinya yang penuh drama, penuh cerita suka duka dengan kehadiran Dato' Rizwan (Abah), Tok, Tok Wan, Natalia, Rania dan terima kasih kepada Amran yang banyak membantu kepada perubahan Amir dalam pencarian diri dia pada saat menuju ke puncak cerita. 

Jadi, bagaimana dengan pengakhiran cerita?
KELABU sebenarnya mengimbas nostalgia. Nostalgia pernah berada dalam situasi krisis identiti yang sukar sebenarnya ditafsirkan. Pencarian mengenal diri sendiri serta melalui pelbagai dugaan dan cabaran sepanjang perjalanan sebenarnya membantu dalam membentuk kepada keperibadian seseorang itu. Dan ya, Kelabu menunjukkan betapa hubungan kekeluargaan itu amatlah penting dalam pembentukan manusia itu sendiri.

KELABU hadir di saat isu seksualiti merdeka, perkahwinan homoseksual sedang hangat diperkatakan kembali. Krisis identiti antara yang menyumbang kepada perkara begini dan juga tidak lupa kepada suasana persekitaran. Oh ya, perlu diingatkan bahawa KELABU adalah novel keluaran Fixi yang paling tebal setakat ini. Mengalahkan Jerat.  Dan ya, sebagaimana hasil tulisan dua penulis wanita sebelum ini, Kelabu juga tiada adegan senggama. Mih mih mih.

********

Baiklah.
Setakat itu sahaja.

Nota Kaki :
1. Khabarnya novel Pecah karya Nizambakeri akan keluar dalam bentuk filem tidak lama lagi. Tahniah Nizam!
2. Ada yang bertanya macam mana aku boleh membaca buku dengan pantas. Jawapan mudah - sudah terlatih sejak kecil dan buku memang sebahagian dari hidup aku. Selain kafein, aku penagih tegar buku. Otak aku merakam penceritaan yang aku baca.

Zara : Hari ini perlu ke sekolah. Keputusan PMR bakal keluar, dan aku jujurnya sangat berdebar.

Tuesday, October 25, 2011

[Ulasan] : Ngeri dan Zombijaya - Novel Fixi





Terima kasih kepada Buku Fixi.
Ketagihan aku terhadap buku dapat dilunaskan dengan jayanya. Ya, ketagih aku pada buku sama dengan ketagihan aku pada Nescafe. Rangsangan adrenalin dari kafein itu sama tahapnya dengan buku. Inzal. Ya, boleh inzal kalau dapat membaca. Itu adalah kenapa dalam beg aku pastinya ada sebuah buku ke mana sahaja aku pergi. Lupakanlah teknologi di mana semua orang nak baca buku elektronik ( baca : e-book), aku lebih suka pegang buku secara fizikal. Sudah semestinya mencium buku tersebut - bau kertas buku adalah nikmat. Fetish buku? Diam.


Sebagai orang yang ketagih kepada buku, dapat (ya, dapat) Ngeri dan Zombijaya dalam tangan adalah seperti dapat hadiah. Mudah untuk belikan orang macam aku hadiah, buku sudah cukup. Oh, buku yang bertajuk "The Gift" oleh Cecilia Ahern aku sudah ada. Jadi, jangan terfikir mahu buat lawak dengan berikan buku itu dengan kata, ini kan hadiah? Satu salinan bagi sebuah buku sudah cukup. Eh, di mana aku tadi? Ya, ulasan buku-buku dari Fixi ini.

*******

http://fixi.com.my/wp-content/uploads/97896710384513-e1316108217739.jpg
[Sumber gambar]

Joanne, Samuel dan Rehan tiga sekawan mahasiswa filem yang bercita-cita besar untuk maju sehingga ke Hollywood. Kegilaan mereka: menghasilkan skrip-skrip yang menampilkan pembunuhan sadis.

Skrip-skrip mereka selalunya ditolak oleh profesor, yang merasakan ceritanya tak berasaskan logik. Namun, segalanya berubah menjadi menggerunkan apabila berlaku siri pembunuhan sebenar yang mirip skrip-skrip mereka.

Trio itu saling mencurigai. Apabila pembunuhan semakin mendekati persekitaran universiti, keadaan bertukar cemas. Adakah pembunuh NGERI itu sememangnya salah seorang daripada mereka?

*******

NGERI adalah hasil garapan Gina Yap Lai Yoong. Kisah di dalam Ngeri membawa kita menelusuri kehidupan pelajar kolej dan sedikit cabaran yang biasanya kita hadapi dalam melayan karenah demi memuaskan hati pensyarah ataupun tutor di kolej atau universiti.

Dan ya, kisah di dalam Ngeri membuatkan aku terfikir, jika ia benar-benar berlaku, alangkah menakutkan. Setiap adegan di dalam skrip yang dibuat oleh Samuel dilaksanakan secara realiti oleh pembunuh sebenar dan ya, secara jujurnya, dalam rancangan pembunuhan yang kita biasa tonton di televisyen - belum ada pembunuhan sedemikian rupa. Mungkin ada kalau aku terlepas beberapa episod, tetapi kalau betul-betul diadaptasi, pastinya akan jadi episod menarik dalam siri sedemikian. Criminal Minds sebagai contohnya. 

Kalau Pecah oleh Nizambakeri lebih kepada sesuatu untuk CSI, Ngeri boleh menjadi satu episod pembunuhan panjang dan berterusan oleh penjenayah bersiri yang tidak sama corak pembunuhannya. Pastinya Dr. Reid dalam Criminal Minds pening kepala. Hotch mungkin terpaksa mengerah semua ahli pasukannya membuat profil penjenayah sadis sedemikian rupa. Pembunuhan anak penjual  burger dalam peti sejuk, mat rempit yang menang kejuaraan ala Pinochio, pencarian harta karun dengan mayat dipotong-potong kepada beberapa bahagian, dan akhir sekali profesor mereka menjadi mangsa.

Ada debaran, dan bagi penggemar cerita misteri dan suka berteka-teki dengan diri sendiri, silakan membacanya untuk mengetahui siapakah sebenarnya pembunuh yang cukup terancang ini. Dan ya, seperti juga Jerat yang ditulis oleh wanita, tiada adegan senggama di dalam ini. Cukup dengan senggama minda aku rasa. Lebih inzal dan ya, sesuai diletak di rak perpustakaan sekolah.

Oh, Gina sangat mesra di Twitter. Jadi kalau mahu bertanya apa-apa kepada dia, boleh cari dia di sana juga.

*******

http://fixi.com.my/wp-content/uploads/97896710384752-e1318519799631.jpg
[Sumber gambar]

Selamat datang ke Malaysia. Negara yang kaya dengan adat ketimuran. Tetapi apakah yang akan berlaku jika rakyat kita tiba-tiba dikelilingi zombi?

Kalendar lama bertukar baru. Aliff baru mengajak Sofia berkahwin. Ana bakal memulakan hari pertama sebagai cikgu. Kamarul akan bertanding dalam program TV realiti. Dan Nipis seronok di dalam dunianya sendiri.

Mereka tidak tahu yang suasana mereka kenali bakal berakhir. Aman-damai menjadi kacau-bilau. Tamadun hancur. Rutin harian berubah. Semua perlu mengadaptasi dalam dunia baru ini.

Berapa orangkah yang akan mati? Adakah yang mati akan kekal mati? Dan apakah yang menunggu mereka di Putrajaya nanti? Selamat datang ke ZOMBIJAYA.

*******

Kalau hari itu aku ditebak dengan soalan di Mukabuku, apakah itu Twitterjaya (komuniti di Twitter sebenarnya), sekarang kita ada Zombijaya. Maka satu kawasan yang dipenuhi oleh zombi. Lupakan seketika ketawa dan gelak besar semasa menonton Zombi Kampung Pisang kerana Zombijaya ini membuatkan kau akan duduk tekun membaca sambil membayangkan suasana. Lagu yang sesuai dipasang adalah lagu Thriller oleh Michael Jackson ataupun Geli Mat (?). Baiklah, tak lawak, tapi ini keadaan di mana suatu tempat yang aman damai, secara tiba-tiba merebak wabak zombi.

Dalam Zombijaya, tidak dinyatakan dengan jelas bagaimana wabak zombi ini boleh muncul, tetapi aku rasakan ia bermula apabila Aliff digigit oleh anjing liar. Sepatutnya juga wabak itu hanya pada Aliff sahaja, tetapi akibat dia bersenggama (ya, dalam ini Zombijaya ada) dengan Ana, dan Ana juga bersenggama dengan Kamarul, maka wabak ini tersebar antara mereka berdua. Tetapi Kamarul tidak terjangkit. Aneh. Adakah disebabkan dia makan Viagra?

Aliff yang mula nampak dan teringin akan daging segar sentiasa - menggigit ketuanya dalam satu acara lintas langsung yang dipesongkan secara halus dengan kegiatan homoseksual dan suasana politik kita. Ya, Zombijaya adalah satu karya sinikal yang kalau kau mengambil tahu hal semasa, kau akan tahu ia menggambarkan suasana apa.

Ana pula, sebagai orang kedua yang menggigit tengkuk (leher) Ali, anak muridnya yang bergaduh disebabkan pensel dan seterusnya menggigit punggung guru besar dan menjangkitkan wabak ini ke seluruh sekolah. Sanjiv yang terkejut, menyelamatkan diri dan dia antara watak yang kekal hingga ke hampir-hampir penghujung cerita. 

Kamarul - dengan program realiti , menyindir secara halus dengan kebanjiranrancangan sedemikian rupa di kalangan kita semua. Rancangan realiti yang sepatutnya disertai oleh kamarul sebelum dia berhajat untuk berpatah balik semula ke Kuala Lumpur selepas tercetusnya kejadian zombi adalah 'Emperor Kelakar'. Rasa macam loceng berdering di telinga?

Nak aku menulis bagaimana keadaan sewaktu pergolakan dalam Zombijaya? Tidak perlu rasanya, kerana lebih baik kalau kamu baca sahaja tetapi sesuatu yang aku suka dalam Zombijaya, setiap adegan diceritakan dengan teliti dan diselitkan dengan unsur semasa secara sarkastik pun ya. Secebis mengenai Twitter - di mana berita kematian disebar sesuka hati tanpa tahu hujung pangkal dan kebenaran dan apabila kehadiran zombi di war-war di Twitter, orang meragui kesahihan berita. 

Nipis muncul sebagai seorang yang longgar skru otaknya, tetapi dia mampu bertahan dengan pelbagai cara. Di saat genting dan huru hara, manusia akan diuji dengan pelbagai perkara. Yang baik, mungkin jadi celaka, yang jahat, mungkin akan lebih baik - tetapi tidak mustahil akan ada yang jadi lebih kejam dan sadis demi kelangsungan hidup dan juga nafsu yang bermaharajalela.

Sedikit cetusan dan aku sudah berteka-teki dengan penulisnya, Adib Zaini di Twitter - siapakah watak terakhir yang muncul dengan sebaris ayat penuh tanda tanya. Kesan melecur di badan watak tersebut, aku mungkin boleh mengagak, tetapi biar aku simpan sahaja.  Aku perlu mengulang baca aku rasa demi mencari jawapan dan ya, aku baca novel setebal 307 halaman ini dalam masa kurang daripada 3 jam. Ah, aku memang begini kan? Nikmat buku itu aku perah sehingga ke akhirnya.

*******

Baiklah.
Mungkin setakat itu sahaja.
Kalau kamu berminat untuk mendapatkan buku di atas, boleh sahaja layari laman sesawang Buku Fixi dan dengan pembelian secara atas talian, kamu boleh mendapatkan beg Fixi dengan pembelian lebih RM 50. Er, aku tiada beg tersebut. 

http://fixi.com.my/wp-content/uploads/beg.jpg
[Sumber gambar]

Jadi, dapatkanlah sekarang.
Oh ya, kalau nak beli di Uya Distro juga boleh. Tapi tiada beg di atas. 

Nota Kaki :
1. Kitab Terfaktab sudah ada cetakan kedua. Segera hubungi Lejen Press dan Uya Distro untuk membuat tempahan.
2. Novel Amerika karya Ridhwan Saidi juga menarik. Mahu aku buat ulasan juga?
3. Oh, perlukah aku beritahu yang aku ada semua novel-novel keluaran Fixi ini? Ya, semuanya. 

Zara : Ada orang sedang berjauh hati. Adakah hati itu perlu sama dengan suhu di mana kamu berada sekarang ini?