Showing posts with label Siri Lelaki. Show all posts
Showing posts with label Siri Lelaki. Show all posts

Monday, February 20, 2012

Lelaki #03 : Bersama Dengan Wanita Lebih Berusia






Tidak semena-mena dihentam bila menulis tentang lelaki. Macam aku kata sebelum ini, benda ini semua hasil pemerhatian dan apa yang kawan lelaki aku nyatakan. Jadi, tulisan aku adalah berbentuk peribadi, sama ada pendapat dari kawan aku, ataupun aku sendiri. Pastinya kalau ia disandarkan dengan fakta, aku akan nyatakan dari mana fakta itu dikumpul. Noktah.

Perkara di atas sering dianggap tabu dalam masyarakat kita. Padahal, ia adalah normal dalam erti kata, jodoh itu rahsia Maha Pencipta. Tidak semestinya, bersama dengan mereka yang sebaya atau lebih berusia (bagi lelaki dalam kes ini) akan memastikan mereka bahagia. Mungkin bersama dengan wanita yang sedikit berusia adalah jodoh mereka selama ini. Tetapi anehnya, masyarakat kita menghukum dengan terus meletakkan kesalahan atas bahu wanita tersebut. Hebat bukan? Lelaki biasanya akan kurang dikecam, berbanding wanita yang dicemuh walaupun apa yang berlaku sebenarnya bukan suatu kesalahan.

Nah, perkahwinan, pernikahan adalah benda yang baik, yang mulia, kenapa harus dihentam bagaikan melakukan maksiat? Alangkah orang yang buat maksiat pun kita tegur secara berhemah dan berhikmah, apatah lagi yang mahu melunaskan benda baik, kenapa harus ditegah?

[Sumber gambar]

Dan, benda begini bukanlah sedikit berlaku dalam kehidupan aku. Ramai sahaja dikalangan kawan-kawan aku yang bersama, dalam erti kata lain, bercinta atau bernikah dengan wanita yang lebih berusia daripada mereka. Yang sudah berkahwin lebih enak kerana, benda baik sebegitu, menutup mulut masyarakat yang entah kenapa, terus menghukum bagai nak gila, tanpa menyedari bahawa junjungan besar kita semua, Rasulullah s.a.w. berkahwin dengan Saidatina Khadijah yang jauh usianya dengan baginda. Aku mungkin naif dalam membicarakan hal sedemikian rupa, tapi daripada cerita yang selalu kita baca, kita tahu bahawa perkahwinan itu bahagia sehingga ke penghujung hayat Saidatina Khadijah.

Jadi, apabila seorang rakan bertanyakan hal yang sama dengan aku, aku jujurnya gembira kerana dia memilih untuk melangsungkan pernikahan dengan wanita yang dia cinta, dengan restu keluarga - dan itu aku anggap sebagai bonus yang sangat berharga. Mari kita sama-sama perhalusi (dan juga berikan pandangan pada rakan ini, jika boleh) apa yang perlu dia lakukan, dan aku gelar dia Beto disebabkan muka dia ala Beto Kusyairy, pelakon kegemaran aku itu. Heh.

Beto : Aku nak cakap satu benda.
Aku : Apa dia?
Beto : Aku bercinta dengan perempuan yang lebih tua dari aku.
Aku : Jadi?
Beto : Kenapa kau tak terkejut?
Aku : Sebab aku tak nampak masalahnya.
Beto : Dia tua empat tahun dari aku.
Aku : Jadi?
Beto : Aku dah ajak dia kahwin, keluarga aku dah berikan persetujuan.
Aku : Tahniah! Perkahwinan benda baik, jadi apa masalah kau?
Beto : Si dia setuju, keluarga dia pun setuju. Masalahnya, aku dan dia masih tidak punya alasan kukuh untuk beritahu orang sekeliling tentang kami.
Aku : Sekejap. Adakah ini perhubungan rahsia?
Beto : Tak juga. Keluarga aku, kawan-kawan aku tahu dia wujud.
Aku : Jadi, apa yang jadi masalah?
Beto : Perkahwinan libatkan keluarga. Bukan setakat keluarga aku, keluarga dia, tapi sanak saudara, pakcik makcik dan segala jurai keluarga. Senang kata, keluarga kecil dan besar terlibat.
Aku : Baiklah. Teruskan.
Beto : Aku belajar lagi. Si dia dah kerja. Mesti orang akan tanya, apa sebab kami nak kahwin, macam mana aku nak tanggung dia, sedangkan aku sendiri pun belajar ditanggung oleh biasiswa.
Aku : Aku pernah dengar dalam televisyen, pandangan seorang ustaz tentang ini. Dia kata, kalau tak silap aku lah, tanggungan kewangan itu, kalau atas persetujuan, boleh sahaja ditangguhkan sehingga habis belajar dan mendapat pekerjaan sebagai contohnya. Kalau si dia kau setuju, itu akan bawa kebaikan pada kamu berdua.
Beto : Dia tak kisah pun hal kewangan, sebab dia pun tanggung hidup dia selama ini. Tiada masalah. Tapi pandangan orang? Mesti orang kata, aku yang makan duit isteri aku nanti.
Aku : Walaupun hakikatnya, mungkin tidak?
Beto : Biasiswa aku mampu buat aku hidup dalam keadaan senang jugalah. Nak bagi dia pun ada kalau aku berjimat sedikit.
Aku : Baiklah. Seterusnya?
Beto : Aku boleh suruh dia tunggu, dia pun mungkin boleh menunggu. Tapi, berapa lama dia mampu nak menunggu? Bukan masing-masing makin muda.
Aku : Dan dia akan lebih berusia, kau kena nampak tu Beto.
Beto : Aku anggap dia sebaya dengan aku.
Aku : Kau anggap dia sebaya, hakikatnya tidak. Di mata masyarakat pun tidak.
Beto : Itu sebab kenapa aku mahu menyegerakan perkahwinan. Aku sayang dia, suka dia, cinta dia. Aku tak mahu, bercinta begitu lama, tapi akhirnya terbuang begitu sahaja.
Aku : Faham benda itu.
Beto : Dan aku masih lagi tak tahu apa perlu aku beritahu saudara mara aku kalau mereka bertanya, kenapa aku mahu berkahwin, walaupun aku masih belajar.
Aku : Kau takut orang mengata benda yang tak betul?
Beto : Mungkin. Sebab kalau boleh, aku nak sahaja nikah dengan cepat, jadikan dia halal bagi aku, aku halal bagi dia, tapi perkahwinan bukan benda mudah. Dia akan hadapi masalah yang sama dengan aku.
Aku : Silap tu.
Beto : Apa yang silap?
Aku : Dia akan hadapi perkara yang lebih berat daripada kau.
Beto : Maksud kau?
Aku : Dia dah kerja, dia lebih tua daripada kau, orang akan lebih lemparkan benda macam-macam pada dia. Sebab dia dalam kedudukan seorang perempuan yang lebih matang, orang akan bertanya terlampau banyak benda pada dia, serta mengharapkan dia buat keputusan yang lebih baik, sebagai contohnya.
Beto : Perkahwinan bukan benda baik?
Aku : Benda baik, tapi kau sendiri tahu pandangan skeptikal masyarakat.
Beto : Usia itu sekadar angka.
Aku : Betul. Tapi dari usia, masyarakat kita menilai tahap kematangan seseorang walaupun itu tidak semestinya tepat.
Beto : Itulah pasal. Nak kahwin, buat benda baik pun orang jadikan sukar.
Aku : Sebab perkahwinan benda yang tidak mudah sebenarnya. Ada banyak yang perlu diselesaikan, dibincang, diperhalusi dan ia bukan sekadar penyatuan dua jiwa, bahkan dua keluarga yang akan ada risiko yang kita sendiri tidak akan pasti.
Beto : Faham. Jadi bagaimana?
Aku : Jujurnya, aku doakan yang terbaik buat kamu.
Beto : Aku perlu cari sebab yang baik untuk diberitahu pada keluarga. Si dia pun perlu buat benda yang sama.
Aku : Banyakkan berdoa. Benda baik begini, pasti akan dipermudahkan kalau tujuan kamu baik. Niat kamu ikhlas untuk mulakan sesuatu yang baik juga.
Beto : Kalau dari segi fizikal, aku rasa tiada siapa yang  sedar akan usia kami, rupa paras kami.
Aku : Kenapa?
Beto : Sebab aku lagi tinggi, muka aku lagi matang dari dia. Kalau kau tengok si dia aku, macam aku abang, dia adik. Muda kot muka dia, lepas tu dia pendek sikit. Silap, pendek banyak.
Aku : Kemain mengata bakal isteri sendiri.
Beto : (ketawa) Bukan mengata, aku cuba untuk positifkan otak aku.
Aku : Positif sangat ke tu?
Beto : Bercakap dengan kau buat aku lega.
Aku : Kenapa?
Beto : Entah. Sebab aku rasa kau faham situasi aku.
Aku : (ketawa) Aku mengesan sesuatu dalam ayat itu.
Beto : (ketawa) Kalau kau faham, baguslah.
Aku : Sebab kau kawan aku.
Beto : Sebab kau kawan aku juga, aku berani cakap benda begini dengan kau.
Aku : Terima kasih Beto. Berusahalah ya?
Beto : Baik.

[Sumber gambar]

Aku percaya, setiap daripada kita pastinya ada menghadapi situasi begini. Kalau pun bukan diri sendiri, orang berdekatan mungkin ada juga. Sebagai contohnya, seorang rakan aku, berkahwin dengan lelaki yang lebih muda daripada dia selepas diperkenalkan oleh saudara terdekat yang kasihan dengan dia yang sudah tiga kali putus tunang dengan orang lain. Alhamdulillah, dia bahagia, sudah punya anak dua, dan tiada sebab pada aku untuk masyarakat berkata yang tidak baik pada dia. Dia gembira, dan ya, mempunyai kehidupan yang lebih baik, tentunya.

Dalam situasi yang baik, niat yang baik, sudah tentulah sesetengah daripada masyarakat kita (dan ya, kita juga merupakan sebahagian daripada masyarakat) akan melihat contoh yang buruk yang pernah berlaku atau sedang berlaku. Tidak perlu aku tulis, sebab benda begitu ada sahaja dipaparkan di akhbar, televisyen, blog dan sebagainya, tetapi aku percaya tiada salahnya kita tengok dari aspek positif dan yakin dengan keputusan yang dibuat oleh pasangan sebegini dan juga keluarga mereka yang memberi restu dengan niat yang baik, menggalakkan anak masing-masing memulakan kehidupan berkeluarga. Walaupun aku belum punya keluarga, aku pasti, keluarga akan berikan kebenaran dan kebebasan bagi seseorang anak itu, jika mereka yakin dengan anak mereka kan?

Cukuplah dengan ayat-ayat yang menghiris hati seperti "anak ikan" - "kougar" pada mereka yang memilih untuk mengikat perhubungan mereka dengan cara baik. Siapa kita, kita semua untuk menafikan jodoh seseorang. Kalau itu yang terbaik dan ditakdirkan buat mereka, apakah perlu menghentam tanpa asas yang langsung tidak kukuh? Doakan yang terbaik buat mereka itu kan lebih baik? Sebagaimana kita boleh tersenyum melihat lelaki berusia yang berkahwin dengan wanita lebih muda (sehingga pangkat anak atau cucu), kenapa kita tak boleh buat benda yang sama pada lelaki muda yang berkahwin dengan wanita yang sedikit berusia?

Sekadar satu pandangan peribadi.
Itu sahaja.

Nota Kaki :
Kisah silam kita semua hanyalah satu kisah lampau yang punya alasan tersendiri, kerana ia mungkin bukan yang terbaik untuk dijadikan suatu kisah masa hadapan yang baik. Jadi, tidak perlulah, kita terlampau mengenang kisah lampau, jika hanya untuk menyakitkan.

Zara : Hidup kita mungkin aneh. Tiada apa yang perlu dibisingkan. Jika sesuatu itu sudah ditakdirkan menjadi milik kita, ia akan tetap menjadi milik kita. Dengan manusia yang tepat, masa yang tepat dan alasan terbaik. (Shafaza Zara, 20 Februari 2012)

Wednesday, February 15, 2012

Lelaki #02 : Bapa Mahu Menantu Lulusan Setaraf




Dalam "Lelaki #01" - kita telah membicarakan mengenai lelaki yang sedang mencari pasangan yang sekufu dari segi pekerjaan ataupun mungkin juga kewangan. Seperti yang aku nyatakan di dalam tulisan tersebut, itu hak lelaki tersebut untuk memilih pasangan hidup dia. Aku cuma berkongsi dan sedikit mengulas mengenai syarat yang dia kenakan untuk mencari pasangan hidup dia. Sebagai seorang yang mengikuti perkembangan dia, selepas apa yang kawan aku ceritakan, aku jujurnya memahami juga kalau orang tidak mahukan bakal isteri mereka seorang guru atau pensyarah. Selera manusia kan lain-lain?

Jadi, selepas menulis "Lelaki #01" - tidak aku sangka pula ada ramai juga pembaca lelaki Dunia Sebelah Zara. Ingatkan perempuan sahaja yang baca blog yang tidak seberapa ini. Sebab mungkin bahasa yang agak melankolik dan juga sedikit berunsur sastera (bak kata pembaca, gaya Zara!) - aku fikir hanya sesetengah sahaja yang akan meminjamkan mata mereka menjengah blog ini. Alhamdulillah, ada juga pembaca yang sudi berkongsi cerita mereka dengan aku. 

http://farm3.staticflickr.com/2368/2933376975_2779baf2fb.jpg
[Sumber gambar]

Aku dihubungi oleh seorang kawan. Perkenalan kami unik sebenarnya. Melalui alam maya, dan sudah melebihi dua tahun. Berkawan atas kawan atas kawan, tapi kelakarnya, kawan aku pun entah di mana, dia yang tinggal di sisi aku dan saling bertukar cerita. Sudah lebih setahun memulakan alam pekerjaan selepas menamatkan pengajian di luar negara dan kini bertugas sebagai seorang yang boleh dikatakan mempunyai jawatan tinggi, setaraf dengan kelulusan yang didapati dengan bersusah payah.

M : Zara, saya ada baca blog awak.
Aku : Yang mana?
M : Pasal lelaki tu.
Aku : Oh, terima kasih.
M : Tulis pasal saya pula.
Aku : Tulis apa?
M : Awak kan tahu yang saya masih bujang lagi kan?
Aku : Tahu. Kenapa? Nak suruh buat iklan cari jodoh ke? Saya kenakan harga tinggi.
M : Choi! Bukanlah.
Aku : (ketawa) Habis tu nak apa?
M : Saya ada suka orang sama jabatan, menarik jugalah perempuan tu.
Aku : Dan?
M : Saya ada cakaplah dengan keluarga bila mereka tanya saya.
Aku : Dan?
M : Bapa saya kata tak nak. Dia nak bakal menantu dia lulusan luar negara juga, macam saya.
Aku : Oh, bapa awak yang nak?
M : Sebab dia kata, nanti tak adalah orang yang macam mengata saya ke apa ke. Tapi, saya tak peduli tu semua. Apa sangat lulusan luar negara, sama je macam orang lain. Yang penting ada kerja, budi pekerti baik ke kan.
Aku : Itu mungkin ada benarnya.
M : Bapa kata takkan saya tiada kawan perempuan masa belajar. Masalahnya, kawan sekelas saya bukan ada perempuan Melayu. Kebanyakan budak negara lain dan mereka kawan sekuliah, sekelas. Tak pernah pula belajar 4 tahun bersama dan saya rasa suka. Kawan saya kan semua lelaki.
Aku : Saya ingat lagi awak dituduh homoseksual sebab tu.
M : (ketawa) Tapi saya tak. Saya suka lagi perempuan.
Aku : Perempuan pejabat awak tu lulusan apa?
M : Universiti Malaysia je. Tapi jawatan lebih kurang sama la. Oh, saya lagi tinggi, tapi bagus apa lelaki lagi baik dari perempuan kan?
Aku : Mungkinlah. 
M : Saya geram sangat. Kenapa mesti nak tengok lulusan mana?
Aku : Cakaplah dengan bapa awak elok-elok.
M : Dah cakap. Bukan dia nak dengar.
Aku : Pujuk baik-baik.
M : Dia keras kepala. 
Aku : Sama macam awak.
M : Sekurang-kurangnya saya nampak apa saya nak adalah berlandaskan agama, bukan setakat tengok sijil belajar yang entah-entah boleh dibeli tu.
Aku : Apa kata awak suruh perempuan pejabat awak beli ijazah atas talian luar negara?
M : Sewel Zara.
Aku : Lulusan luar negara juga jadinya nanti kan?
M : (ketawa) Pandai otak nak buat jahat.
Aku : Kadangkala perlu.

http://farm1.staticflickr.com/98/249845749_2b73f27b92.jpg
[Sumber gambar] - Bukan kawan aku.
Pada aku, si bapa mungkin punya alasan tersendiri. Alasan yang mungkin kita sendiri tidak akan faham kenapa dia meletakkan syarat untuk mempunyai menantu graduan luar negara juga. Mungkin juga mahu setaraf dengan si anak agar masyarakat tidak mengecam atau mengata, tetapi, apa yang ada pada nilai sijil sebenarnya? Adakah perlu diletakkan di dalam dulang hantaran dan menutup masyarakat yang tidak bertapis mulut sampai bila-bila?

Nota Kaki :
Kali pertama sakit sampai tidak boleh berdiri.

Zara : Jodoh itu suatu rahsia yang kita sendiri tidak akan mengerti. (Shafaza Zara, 15 februari 2012)


Monday, February 13, 2012

Lelaki #01 : Tak Nak Isteri Cikgu




Bila aku menulis tentang pelbagai isu ataupun dilema yang dihadapi oleh perempuan, ada pula yang pembaca lelaki yang bertanya, kenapa tak ada tentang lelaki. Ehem, aku kan biasanya tulis sesuatu secara umum, boleh sahaja diguna pakai oleh kedua-dua jantina. Mana ada bezakan sangat kan? Dan sebenarnya, apa yang aku tulis selama ini, ada sahaja tentang lelaki, mungkin sebab aku tak dedahkan jantina, maka ada yang tidak sedar. Tapi tidak mengapa.

*betulkan selendang*
Sejak bila aku pandai bezakan lelaki dan perempuan ni? Walaupun kadangkala alter-ego menjelma tatkala berkicau, aku masih layan dua-dua jantina serupa kan? Sampai hati betul kata aku bezakan, padahal orang selalu tak boleh bezakan jantina aku tahu?

http://farm6.staticflickr.com/5011/5471342717_806957f8c1.jpg
[Sumber gambar]

Kebetulan ada seorang rakan datang kepada aku, membawakan satu amanat yang diberikan kepada dia oleh rakan sekerja. Bila dia sebutkan permintaan kawan dia itu, aku terus ketawa. Ketawa dalam erti kata, bagaimana aku mahu menolong dia, bila kawannya buat permintaan yang agak menyukarkan diri mahu menolong. Nak tolong, tapi banyak betul syarat yang dikemukakan. Heh.

Kawan : Nak minta tolong.
Aku : Tolong apa?
Kawan : Ada kawan aku nak cari isteri.
Aku : Menarik.
Kawan : Aku tak tahu nak cakap dengan siapa, cakap dengan kau mungkin membantu.
Aku : Baik, aku dengar.
Kawan : Aku nak tolong pun tak tahu sebab tempat kerja aku mana ada perempuan. Kalau ada perempuan pun, dah kahwin. 
Aku : Teruskan.
Kawan : Tambahan, aku sendiri belum ada calon isteri. Dari aku cari untuk dia, baik aku carikan untuk diri sendiri.
Aku : Jadi kau nak suruh aku tolong carikan untuk kawan kau ni?
Kawan : Kalau kau ada kenal sesiapa yang nak, tolonglah.
Aku : Ada syarat ke?
Kawan : Tak ada pula. Dia ni kerja bagus. Jurutera, gaji empat angka, dah kerja 4 tahun, lulusan ijazah, muka pun boleh tahan kacak.
Aku : Ada gambar? Nak tengok.
Kawan : Sekejap aku tunjuk. (hulur telefon)
Aku : Boleh tahan pun nak suruh orang carikan. Serius tak ada syarat? Nanti ada syarat tiba-tiba, menyusahkan, serta memalukan kita nanti weh.
Kawan : Sekejap aku telefon dia.
Aku : Baiklah.
.
.
.
[menunggu]
.
.
.
Kawan : Baik, dah tanya. Ada syarat rupanya.
Aku : Apa dia?
Kawan : Dia tak nak cikgu atau pensyarah. Nak doktor atau jurutera sahaja.
Aku : (ketawa) Kali pertama aku dengar lelaki tak nak orang dalam bidang pendidikan.
Kawan : Dia kata sebab banyak sangat saudara mara dia kahwin dengan cikgu atau pensyarah, dia tak nak sama dengan mereka.
Aku : Itu menarik.
Kawan : Dan dia kata, sebab doktor atau jurutera sesuai dengan dia. Sebab gaji tak jauh beza, berbanding dengan cikgu atau pensyarah. Lagi satu kata dia setaraf. Cikgu atau pensyarah mungkin tak setaraf dengan dia.
Aku : Itu lagi menarik untuk didengar dan dibahan.
Kawan : Lagi satu dia kata cikgu atau pensyarah banyak sangat jumpa orang, nanti tak ada masa di rumah. Pergi kursus, mesyuarat, dan macam-macam aktiviti, payah.
Aku : Pelik betul budak tu.
Kawan : Dia tak nak cikgu, kau boleh tolong ke tak?
Aku : Beritahu dia, kebanyakan kawan aku yang ambil bahagian jurutera tak kerja jadi jurutera. Jadi pensyarah ataupun masuk bidang lain. Doktor pula biasanya kahwin dengan doktor juga.
Kawan : Dah dia nak jurutera atau doktor sahaja.
Aku : (ketawa) Aku harap kalau dia dapat isteri nanti, jangan isteri dia berhenti kerja jurutera atau doktor dan pilih untuk jadi cikgu atau pensyarah. Baru padan muka dia. 
Kawan : Dah tu memang tak boleh tolong?
Aku : Nanti aku tengokkan kalau ada.
Kawan : Tengokkan kalau ada sekali untuk aku.
Aku : Kau kes lain, lagi payah.
Kawan : Bolehlah. Kenalan kau lagi ramai.
Aku : Nantilah.


http://farm6.staticflickr.com/5177/5520244154_4b8d9163ab.jpg
[Sumber gambar]

Aku jujurnya ketawa bila dengar lelaki tidak mahu bakal isteri seorang guru atau pensyarah. Tidak, bukan aku kata kerjaya aku bagus sangat. Tidaklah, walaupun aku pernah menulis tentang "Kenapa Lelaki Patut Segera Meminang Seorang Guru?" sebelum ini. Aku cuma rasa sebab musabab yang dia senaraikan agak kurang menyenangkan. Ke aku sahaja yang rasa begitu?

Entahlah.

  • Sebab banyak sangat saudara mara dia kahwin dengan cikgu atau pensyarah, dia tak nak sama dengan mereka. - Baiklah. Sebab tak nak sama dengan orang lain. Senang kata sebab nak istimewa berbanding saudara mara dan sepupu sepapat yang mempunyai pasangan yang bekerja sebagai cikgu atau pensyarah. Oh, kita masih dalam permainan bezakan pasangan yang saudara mara kita kahwini atau nikahi. Serupa budak kecil yang tak boleh sama pakaian dengan budak lain yang sebaya. Tak mengapa. Alasan peribadi.

  • Sebab gaji tak jauh beza, berbanding dengan cikgu atau pensyarah. - Ini isu sensitif bagi sesetengah orang. Bab duit memang tak boleh buat main dengan sesiapa. Tanyalah orang yang dah bekerja, bab duit, soal gaji memang sesuatu yang kurang menyenangkan. Lebih-lebih lagi bila orang bandingkan dua kerjaya yang langsung tidak sama. Nak bandingkan gaji jurutera dengan cikgu atau pensyarah, memanglah jauh beza. Lebih-lebih lagi kalau kau kerja dengan kilang-kilang yang hebat sebagai contohnya, mestilah gaji kau lebat. Sifir yang mudah.

  • Lagi satu kata dia setaraf. Cikgu atau pensyarah mungkin tak setaraf dengan dia. - Mungkin betul juga ini. Nanti kalau orang tanya dia, mungkin dia akan segan nak sebut nama pekerjaan isteri dia kan? Bunyi nama kerjaya aku, sebagai contoh - "cikgu" atau pun pensyarah (yang dianggap cikgu juga). Berbanding kalau sebut kerja doktor atau jurutera, bunyinya agak gah kan? Baru boleh bangga nak sebut dengan kuat dan lantang. Heh. Tapi untung juga sebenarnya bila lelaki begini dah tetapkan yang dia tak nak isteri yang tidak setaraf dengan dia. Mungkin dia nak melindungi wanita yang bakal dikahwini daripada diejek atau dicerca oleh kalum keluarga dia, agaknya.

  • Cikgu atau pensyarah banyak sangat jumpa orang, nanti tak ada masa di rumah. Pergi kursus, mesyuarat, dan macam-macam aktiviti, payah. - Tak tahu pula aku yang cikgu atau pensyarah asyik kursus dan mesyuarat tanpa henti. Setakat dalam pengetahuan aku, mengikut pemerhatian kerjaya sendiri, kawan-kawan, kenalan dan sebagainya, benda ini berjadual. Kalau ada dan perlu, baru perlu dihadiri. Kalau kita terlibat, baru hadiri. tak pernah dengar pula orang ada mesyuarat sepanjang tahun. Sekejap, kerja sebagai jurutera atau doktor tak payah jumpa orang ke? Bukankah pelanggan, pembekal, kontraktor dan sebagainya itu manusia? Pesakit, jururawat, pelawat dan sebagainya itu juga manusia bukan? Doktor dan jurutera tidak ada mesyuarat atau kursus (atau seminar, simposium, bengkel) ke? Rasa macam ada je kawan aku beritahu hari tu.

Macam aku katakan tadi. Hak dia lah kan bagaimana mahu memilih bakal isteri. Dah itu syarat yang dia tetapkan, dan mungkin dia akan rasa bahagia begitu. Terpulanglah pada dia. Nanti sahaja aku tengok dalam senarai aku, kalau ada rakan yang boleh dikenalkan. Kalau tidak, terpaksalah kawan aku cari kawan dia yang lain untuk membantu rakan dia yang tidak mahu beristerikan seorang guru atau pensyarah. Kami di lapangan pendidikan dan bekerja sebagai tenaga pengajar ini, bukanlah apa sangat kan?

Heh.

Nota Kaki :
Selamat datang ahli keluarga baru aku yang bernama Idraki Iftiqar. Selepas Sean, Adam Awraq, Iman Kenzo, Altamis, aku sudah ada bayi baru tiba. Indah rasa dunia. 

Zara : Kadangkala kegembiraan dan kebahagiaan itu perlu dibeli bila kita tidak dapat secara asli daripada tempat yang kita rasa kita mampu mengecap bahagia. Kita bayar dengan harga yang mahal sekalipun, kita masih mampu tersenyum kerana bahagia dan gembira itu jadi milik kita. (Shafaza Zara Syed Yusof, 13 Februari 2012)