Salam semua.
Minggu ini aku mengajar tentang tajuk Keturunan dan Variasi di Tingkatan 4, selain daripada tajuk Pembiakan di Tingkatan 3. Mengajar tentang Keturunan dan Variasi di Tingkatan 4 (kelas ini bagus dan memberikan kerjasama yang baik di dalam makmal), banyak soalan dan perkongsian bersama di dalam kelas bersama mereka.
Memandangkan aku sudah pernah mengandung dan melahirkan anak, jadi, bila mengajar tajuk berkaitan dalam mata pelajaran Sains, sedikit sebanyak ia membantu kepada penerangan aku, di mana, aku sendiri menjadikan diri sebagai contoh realiti. Heh! Dibantu juga oleh pengalaman rakan-rakan aku yang lain. Jadi, ada murid tanya aku :
"Cikgu, sakit tak bersalin?"
Bolehlah aku kongsikan rentetan peristiwa dalam bentuk garis masa.
[31 Julai 2014]
Pagi itu, dari Segamat (kampung suami), aku singgah di Poliklinik BS disebabkan hari itu genap 38 minggu usia kandungan aku. Disebabkan 2 minggu sebelumnya ada kesan darah dalam air kencing aku, maka, atas nasihat doktor, aku periksa lagi sekali air kencing. Didapati hasilnya kurang baik dan jururawat mencadangkan agar aku teruskan makan ubat.
Disebabkan aku kurang berpuas hati (sebenarnya aku takut), maka aku singgah HPSF sebelum ke majlis perkahwinan sepupu aku. Ya, sepupu aku, Maryam nikah dan kahwin pada hari itu, tetapi aku sibuk ke klinik, hospital dan sebagainya. Jumpa doktor dan ujian air kencing dibuat sekali lagi. Mak telefon aku banyak kali bertanyakan keberadaan aku sebab aku belum tiba lagi di majlis perkahwinan sepupu.
Hasil ujian air kencing menunjukkan normal, tiada darah atau protein. Sama ada sebab aku dah minum air masak banyak sangat ataupun ujian sebelumnya salah - itu aku dah tam ambil peduli. Yang aku tahu, nak sampai cepat ke majlis sepupu aku, walaupun akhirnya tiba jam 1 petang.
Bergambar, makan macam biasa, walaupun orang tegur kaki aku bengkak bagai, petang itu sebelum pulang ke rumah, kami sempat singgah ke 2 rumah terbuka. Oh ya, ini Raya Ke-4.
Tiba di rumah, dah Maghrib. Jadi, aku memang bercadang, nak mandi, solat dan selepas itu, tidur sebab terlampau penat seharian.
Tetapi, ternyata, impian aku tinggal impian.
[31 Julai 2014 : 07.50 malam]
Usai solat, aku baru melabuhkan punggung di birai katil dan bercadang nak baring, bunyi "pop" kedengaran dan aku basah dengan air. Melambak-lambak. Dalam fikiran aku :
"Gosh! Air ketuban pecah!"
Jerit panggil suami yang sedang mandi, panggil Mak Abah dan sesiapa sahaja di luar bilik ketika itu, kebetulan pintu bilik tak bertutup, adik aku jengah bertanya kenapa. Bila aku maklumkan tentang air ketuban dah pecah, adik aku bergegas panggil Mak. Suami yang keluar dari bilik air terus bersiap untuk menghantar aku ke hospital. Lawaknya, Abah boleh keluarkan Naza Ria, tetapi Mak pantas menghalang suruh guna Saga. Mana mungkin nak panjat Naza Ria dengan keadaan dah lencun bagai. Sepanjang perjalanan, Mak menenangkan aku (yang masih terkejut tetapi tiada rasa sakit langsung), dan Abah memandu dalam kelajuan 60km/j. Santai sungguh.
[31 Julai 2014 : 08.20 malam]
Tiba di HPSF. Terus disorong ke labor room. Diperiksa bukaan sudah 4cm. Masih tiada rasa sakit. Air ketuban masih keluar. Jantung bayi semua baik. Tekanan darah juga baik. Maka, aku dihantar ke labor room untuk bersedia untuk melahirkan. Ramai doktor keluar masuk periksa sama ada pesakit sudah mahu melahirkan atau tidak. Mulut aku terkumat kamit membaca doa yang Mak ajarkan pada aku. Di dalam bilik yang aku ditempatkan, ada doa yang sama. Maka, aku baca perlahan-lahan sambil memikirkan bila ada rasa mahu bersalin.
Semasa doktor keluar masuk, kebetulan aku nampak kawan sekelas aku semasa di sekolah menengah yang bertugas sebagai doktor. Ya Allah, bersyukurnya aku jumpa seseorang yang aku kenal disebabkan suami aku tak boleh menemani aku. Prosedurnya, kalau bersalin di HPSF, suami perlu masuk kelas. Suami aku tak ambil kelas di HPSF (sebab kami sendiri tidak tahu di mana akan bersalin). Kami ambil kelas dari jam 8 pagi - 5 petang di Putrajaya. Malangnya, pihak HPSF memaklumkan bahawa kena ambil kelas di HPSF juga kalau nak tengok isteri bersalin. Jadi, dia tunggu di luar sahaja. Faham bahawa lain hospital, lain prosedur.
Disebabkan ada kawan aku itu, dia benarkan suami aku masuk untuk jumpa aku sebentar. Bukan untuk teman. Jumpa, berikan kata-kata semangat dan keluar. Jadilah kan? Dari tak dapat jumpa langsung. Selepas itu, aku terbaring sambil selawat, baca doa dan tunggu bukaan. Bila bukaan dah 6cm, aku masih belum rasa sakit.
[31 Julai 2014 : 10.00 malam]
Sebenarnya aku segan juga sebab kawan aku yang doktor itu yang periksa aku, tapi jujurnya aku buang rasa malu itu dan meletakkan kepercayaan kepada dia. Sifat percaya itu mengatasi malu aku. Lantaklah aku terkangkang begitu depan dia, sebab aku tahu semuanya berbalik kepada dasar profesionalisme. Terima kasih sangat Aped. Tanpa kau, aku rasa aku cuak sendiri.
Bila hampir kepada 7 atau 8cm (aku lupa), masih belum ada rasa sakit, ubat sudah dimasukkan ke dalam drip aku. Untuk merangsang rasa sakit. Mula-mula memang tiada rasa sakit. Doktor sendiri cakap dengan aku, kalau tiada rasa sakit/memulas, aku tak boleh nak teran bayi keluar. Jadi, aku menunggu rasa sakit itu. Biar datang supaya aku boleh meneran keluar bayi.
Bukaan dah 10cm. Sakit itu sekejap-sekejap cuma. Bila sakit datang, aku diminta untuk meneran keluar bayi. Bila makin lama, makin mengantuk sebab aku memang letih daripada siang. Kawan aku berikan aku semangat supaya tolak sedaya upaya aku semasa sakit. Malangnya, rasa sakit itu sekejap sahaja dan kemudian hilang.
[1 Ogos 2014]
Bacaan jantung bayi semakin menurun, prosedur vakum terpaksa dibuat. Aku sendiri hampir tak sedar apa mereka lakukan sebab yang aku ingat jam sudah melepasi jam 12 malam, aku memang mengantuk. Yang aku ingat, dari tiga orang dalam bilik itu, sudah bertambah menjadi 5-6 orang.
Prosedur vakum pun tak lepas. Kawan aku datang pada aku, beritahu bahawa aku terpaksa menjalani pembedahan C-sect juga. Pakar kanak-kanak masuk dan terangkan pada aku bahawa pembedahan terpaksa dilakukan untuk selamatkan bayi, selamatkan aku juga. Aku tandatangan semua yang perlu sambil disorong ke dewan pembedahan. Pakar bius, pakar bedah semua ada untuk pembedahan kecemasan (saat ini memang bersyukur juga tidak bersalin di hospital swasta disebabkan kes kecemasan).
Bila semua dah bersedia, bius semua dah mula memberi kesan, aku ingat lagi perasaan pisau ditoreh (walaupun tak sakit, tapi boleh rasa pisau lalu), dan semua di kanan kiri aku berinteraksi dengan aku. Aku yang kalah dengan sejuk penghawa dingin mula menggigil sejuk, mereka berikan aku sesuatu untuk kekal suam.
[1 Ogos 2014 : 2.24 pagi]
Alhamdulillah. Muhammad lahir ke dunia. Pagi Jumaat. Syawal ke-5. Berkongsi Ogos dengan Bonda. Dia ditunjukkan kepada aku dalam keadaan aku yang lemah, mengantuk tetapi sangat bersyukur kerana semuanya baik-baik sahaja. Muhammad terus dibawa pergi untuk diperiksa pakar kanak-kanak dan ditempatkan di NICU.
The rest is history.
Jadi, bila anak murid aku bertanyakan bagaimana sakitnya bersalin, aku boleh kata aku merasa sakit bersalin normal dan pembedahan sekaligus dalam pengalaman pertama. Bak kata jururawat yang menjaga aku (sebab aku duduk bersila semasa nak susukan Muhammad buat kali pertama),
"Puan jangan lupa yang Puan berjahit atas bawah ya?"
Lepas itu, aku trauma sendirian. Aku tak ingat pun aku ada kena jahit di bawah sebab aku mengantuk yang amat sangat. Heh!
Muhammad dah 7 bulan. |
Nota Kaki : Terima kasih kepada semua doktor, jururawat dan petugas di wad bersalin, dewan pembedahan, NICU di HPSF. Kalian memang memberikan layanan yang terbaik.