Saturday, February 16, 2013

#24 : Ini Cerita Seorang Perempuan.


Salam.
Sudah separuh Februari dilalui sejak kali terakhir aku menulis dalam siri ini. Ternyata kesibukan dengan pekerjaan dan menguruskan hal peribadi sangat memakan tenaga diri. Alhamdulillah, aku punya keluarga, kawan-kawan, kenalan yang meringankan sedikit beban dengan nasihat dan bantuan mereka.

(sedang khayal mendengarkan Just Give Me Reason : Pink ft Nate Ruess)

Februari setakat ini masih berjalan dengan baik. Sekurangnya untuk aku walaupun aku rasa separa badan melayang (tetapi berat badan bertambah - macam mana tu?) atas urusan kerja sekolah dan peribadi. Jadual aku seperti yang dijangka sudah mula dipenuhi dengan pelbagai perkara. Dari urusan pengajaran sehinggalah kepada sukan dan perkhemahan, satu demi satu sudah masuk ke dalam takwim peribadi. Gembira? Sudah tentu walaupun aku tahu ada benda lain yang perlu aku korbankan.

Bertindan.
Sejak awal bulan, ada beberapa agenda atau program yang bertindan dan aku perlu bertindak bijak (walaupun nampak bodoh dan rugi) demi menjaga hati beberapa pihak. Setiap kali ada program yang bertindan dengan sekolah dan kepentingan peribadi, setakat ini nampaknya aku masih mendahulukan sekolah walaupun peluang yang aku sudah terlepas ini adalah benda yang aku dah tunggu selama tiga tahun. Ya, tiga tahun tapi atas kesilapan teknikal sebelah pihak, aku terlepas peluang dan aku duduk berkhidmat di sekolah (dan aku gembira juga lihat keputusan yang membanggakan).

Minggu keempat dalam Februari bakal bermula - dengan tiada satu hari pun aku bakal berada di rumah. Ya, bekerja di luar lagi, meninggalkan tugasan di sekolah untuk berkhidmat di jabatan selama empat hari dengan membawa pelajar dan tiga hari berikutnya aku masih tidak tahu di mana lokasi aku - sama ada di Kluang untuk kejohanan catur negeri mengiringi pelajar aku ataupun di Segamat untuk perkhemahan sekolah sendiri. Punyalah tidak pasti mana yang aku patut ikuti. Yang ini sungguhlah tersepit sebab ia melibatkan murid-murid juga. Kalaulah tak bertindan, mesti aku sangat gembira sebab kedua-duanya mampu gembirakan pihak sekolah.

Haish!

Buku nota.
Memandangkan diri aku adalah sangat serabut disebabkan aku menguruskan diri sendiri dan memikirkan banyak perkara tanpa ada pembantu peribadi (ewah!) - aku kembali kepada zaman manual diri. Aku tulis segala benda yang aku perlu buat dan aku uruskan di dalam buku dan tidak dalam gajet yang aku ada. Maaf Altamis sayang. Maaf iDraki tercinta. Aku lebih percaya dengan apa aku tulis guna tangan walaupun aku ternyata kembali ke zaman sedikit kuno. Hah!

Tetapi, serius ada kebaikan dengan perkara ini.

Memandangkan aku dalam kekangan kewangan - sebab tidak guna membazir untuk benda yang tidak berapa penting (lebih murah tetapi cantik dan menarik adalah keutamaan), maka masa aku di hadapan Sean adalah lebih banyak. Manusia macam aku malas menerawang dari satu kedai ke satu kedai, tetapi aku bertanya pada orang serta gunakan enjin carian Google untuk cari benda yang aku mahukan. Dan aku ada senarai setiap tempat yang murah dan berbaloi serta mempunyai latar belakang yang boleh dipercayai.

Jadi, setelah membuat persiapan yang agak rapi, pagi tu aku bergerak ke sebuah kedai yang ada dalam senarai. Cawangan di bandar kediaman. Sebelum aku keluar rumah, aku periksa sekali lagi senarai harga dan maklumat yang aku ada. Biasalah, skema. (sambil betulkan tudung depan cermin)

Selepas jumpa kedai yang aku cari bersama dengan sepupu, mulakan urusan dengan orang yang langsung tak angkat telefon masa aku buat panggilan - marilah kita masuk dan berurusan. Jam menunjukkan hampir jam 12 tengah hari dan orang macam baru buka kedai. Tak mengapalah, kalau mereka sudi terima kita masuk, dah cukup bagus.

Aku : Saya datang ni nak buat urusan tempahan.
Wanita 1 : Boleh. Ni contoh barangan kami.
Aku : Saya dah tengok di laman web, dah tahu apa saya nak.
Wanita 1 : Oh, dah tengok.
Aku : Saya dah ada rekaan sendiri juga.
Wanita 1 : Oh, kalau ada sendiri punya, kena tambah RM 80.
Aku : Eh, kenapa?
Wanita 1 : Memang macam tu harga.
Aku : Dalam laman web tak tulis macam tu pun.
Wanita 2 : Oh, lain ke? Sekejap, saya telefon HQ.

(Wanita 2 telefon HQ)
Aku : Berapa harga kalau saya nak tempah dalam 1000 ke atas?
Wanita 1 : Ni senarai harganya.
Aku : Eh, kenapa harga macam ni? Saya tengok pagi tadi sebelum datang lain.
Wanita 1 : Ada harga baru ke?
Aku : Ada. (sambil keluarkan buku nota aku)
Wanita 1 : Oh, kalau awak nak harga begini kena pergi HQ.
Aku : Pergi Melaka?
Wanita 2 : Kalau ada rekaan sendiri, akak kena pergi Melaka.
Aku : Serius?
Wanita 1 : Kami cawangan je.
Aku : Tak mengapalah. Terima kasih.

Aku rasa dua wanita tu mesti bengang berurusan dengan aku yang keluarkan nota terperinci tentang apa yang aku mahukan - siap dengan senarai harga untuk berapa jumlah yang aku mahukan, yang aku ambil di laman sesawang mereka. Maaflah. Aku memang sangat begitu sehingga ada kawan aku yang kebetulan ternampak buku aku itu terkesima. Dia kata aku macam buat nota bahan dan barang.

Ha ha ha.
Aku dari dulu sampai sekarang adalah sangat penakut apabila membuat urusan yang melibatkan wang yang boleh dikatakan banyak (banyak pada aku sebab pendapatan aku sederhana sahaja) dan melibatkan ramai pihak. Takut tertinggal, takut terlupa, takut terhutang dan sebagainya, maka buku nota adalah sangat sesuai dengan aku (dan sebab aku dah koyakkan bahagian iklan dalam buku ini - maka aku rasa lebih bahagia). Heh!

Dan aku ada tambahan nota dalam buku ini sekarang. Nombor telefon rakan-rakan di UTM Skudai dulu. Hello budak Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (Kimia) - SPC sekalian. Aku tahu ada di antara kalian yang baca ini. Aku rindu kamu semua!

Santai Kerja.
Dalam perkhabaran lain, aku dah lupa apa waktu santai memandangkan walaupun hujung minggu sepatutnya digunakan untuk berehat - aku dah gunakan untuk bekerja juga. Ternyata bukan aku seorang sebab aku sudah punya regu yang gunakan waktu hujung minggu untuk bekerja - dari urusan pejabat hinggalah urusan peribadi. Jadi, memang sesuai sangat, kerja dan buat urusan sehingga berjam-jam, menguruskan hal sekolah, pejabat, peribadi sambil minum kopi bersama - tetapi otak dan tangan masih cuba selesaikan macam-macam urusan kerja. 

http://distilleryimage10.s3.amazonaws.com/515c45586dea11e2b0f022000a9f1369_7.jpg
[Instagram aku] : Terima kasih untuk minuman yang menepati selera aku (kami) wahai Badiah sayang.

Sekejap.
Mana santainya?

Alahai.
Ini pun aku masih bekerja lagi.

Selamat berhujung minggu semua. Aku tinggalkan kalian dengan ucapan terima kasih tidak terhingga kerana menyokong tulisan aku, menyokong aku secara peribadi dan berkongsi banyak perkara dengan aku di sini, FB dan juga Twitter. Terima kasih sangat.

9 comments:

didie noxious said...

tiap kali entri k.zara mesti nak komen walaupun skadar :)

♛ LORD ZARA 札拉 ♛ said...

Terima kasih my dear :)

cokiedacomot said...

suka juga dengar lagi pink tu ^^

~Ati_Hime~ said...

Wah! Cantik kasut! :-)

takky said...

pekerja wanita 2 x up-date dgn cotation brg jualan mereka...

Anonymous said...

selamat bekerja. rajin-rajin...

syafiqa said...

mohon ajau chemist.

err

Orked said...

tempah ap dear? kad??

Sya br foLLow sini. Free, visit/fOLLOw Sya jugak ek~
sya-orked.blogspot.com

Hafiz Aziz said...

Untuk urusan "things to do" aku jug lebih selesa dengan pen dan kertas.