Sunday, September 30, 2012

Tiada Nama.


Q : Kenapa kau suka beli buku/zine/cerpen/novel penulis yang tiada nama ataupun bukan dari penerbit yang terkenal?

Aku : Sebab aku suka membaca & siapa tahu sekarang mereka tiada nama terkenal - suatu hari nanti mereka berada di puncak, aku sebagai salah seorang daripada pembaca mereka yang terawal. Buku/zine/cerpen/novel mereka sekarang adalah RARE.

Q : Tapi mereka tiada nama.

Aku : Kau salah. Mereka ada nama. Nama yang diberi oleh ibu bapa mereka, nama yang mereka beri untuk diri mereka sendiri dan mereka bakal punya nama yang peminat mereka bakal berikan.


[Sumber gambar]


Aku bahkan menganggap diri aku sebagai penulis walaupun hanya sekadar penulis di blog. Ya, aku penulis tanpa nama besar yang kalau menghasilkan buku sekalipun tiada siapa yang peduli (setakat ini aku ada Kitab Terfaktab #1, Hero, Kitab Terfaktab #2, KOPI dan BOLA - termasuk satu zine - Jiwa). Siapa sahaja yang mahu peduli beli sebab aku - tiada!

Jadi, apabila ada kawan-kawan yang disukai menghasilkan buku, mengapa tidak menyokong mereka dengan mengambil latar kira hasil penulisan mereka sebelum ini dan heh! Aku suka baca semua benda. Apa aku peduli dengan benda lain? :D

Belon Merah.


Kopi : Dah tahu sangat awak Frapu.

Frapu : Tahu apa?

Kopi : Ada benda yang tak kena.

Frapu : Mana ada.

Kopi : Baiklah.

Frapu : (diam)

Selang beberapa minit :
 

http://distilleryimage1.s3.amazonaws.com/0d35736a052411e295f322000a1e953b_7.jpg
[Sumber gambar]

Heh!

Friday, September 28, 2012

Awak, Maafkan Dia.


Awak.
Sejak kebelakangan ini dia kurang jiwa.
Kurang stabil dengan urusan kerja.
Kurang dapat luangkan masa.
Paling menjengkelkan, dia mudah terasa.

Awak.
Mungkin awak kenal dia tidak lama.
Mungkin usia percintaan belum matang lagi agaknya.
Maka awak kurang mengenali dia.
Jadi sekilas perbuatannya awak kurang peka.
Tapi, itu bukan salah awak - hanya dia hilang atma.

Awak.
Sikap degilnya masih terbawa.
Sifat berdikarinya tidak dapat dikikis dari jadi pelindung utama.
Sikap lantang bersuara.
Sifat sembunyikan kesakitan yang dirasa.

Awak.
Hadam sendiri mungkin sudah biasa.
Selesaikan sendiri mungkin sudah lali baginya.
Jari menekan senyuman bagi tanam rahsia.
Itulah sebab kenapa dia masih wujud sebagai manusia.
Dengan telan kesakitan pahit rasa bagai gula.

Awak.
Maafkan dia.
Bukan dia mahu berahsia.
Tapi hati awak mahu dia jaga.
Dia enggan awak terluka.
Dengan dia yang cepat terasa.
Hatta dengan benda berkaitan kerjaya.
Dia rasa dirinya cukup celaka.

Awak.
Jangan risau satu perkara.
Kebendaan atas dunia bukan perkara utama.
Walaupun awak mungkin risau dengan sikap berdikari dia.
Tapi yakinlah bahawa dia hanya sayang awak sahaja.
Lebih tepat, hanya awak yang dia cinta.
Ya, awak yang mungkin membaca.

Awak.
Katakan awak terbaca.
Dia mahu beritahu satu perkara.
Dia rindu dengar suara.
Segera.

[Sumber gambar]
Zara : Kadangkala kita jadi terlampau mementingkan diri sendiri bila enggan mahu pasangan kita terluka dengan sikap kita yang cepat terasa bila keruh, mendung jiwa tidak dapat diluahkan segala. (Shafaza Zara, 28 September 2012)

Thursday, September 27, 2012

Impian Mati.


Bila benda yang dirancang dengan baik tidak berjalan dengan baik - ucapkan selamat tinggal kepada impian yang mati tersebut. Biarkan ia tertanam dan kegembiraan yang tidak menjadi terkubur begitu sahaja. Itu lebih baik daripada terus hidup dalam mimpi yang tidak pasti dan hanya sendiri yang mengharapkan segalanya akan baik-baik sahaja. Apa guna simpan cerita dan bahagia dalam minda sendiri tanpa mampu dikongsi dengan manusia lain? Barangkali hanya lebih baik diam dan biarkan halusinasi terus mengeluarkan cerita dan mengatur bunyi satu demi satu - bermain sendiri.

[Sumber gambar]

Selamat tinggal.
Hidup baik-baik.
:)

Wednesday, September 26, 2012

Makanan Pantang Perempuan Sewaktu "Dating"


[#SedangMendengar : Kelly Clarkson - Dark Side]

Semalam usai penat mendengarkan taklimat pilihanraya, waktu makan tengah hari pun tiba. Tetapi malangnya, makanan yang tidak mencukupi menyebabkan aku mencari pilihan lain dengan satu tekad - Lepas pergi selesaikan urusan bank, marilah kita makan benda yang paling banyak diperkatakan di Twitterjaya sejak kebelakangan ini : Burger Samurai McDonalds.

Kebetulan ternampak beberapa budak sekolah perempuan yang sedang makan bersama pasangan masing-masing (mungkin sebab waktu balik sekolah) - masing- masing hanya minum dan makan kentang goreng berbanding dengan teman lelaki (atau kawan baik kot?) yang makan burger dengan berselera. Sama ada mereka sudah kenyang makan di sekolah ataupun punya alasan lain, aku terus teringat beberapa makanan yang digariskan oleh kawan-kawan aku sebagai pantang semasa keluar bersama teman lelaki.

01 - Burger.
Tak kira apa sahaja jenis burger walaupun burger itu hanya setingkat sahaja (maksudnya sekeping daging) sehinggalah membawa kepada burger yang besar pinggan. Burger adalah TIDAK sesekali dalam menu pilihan mereka dengan alasan perlu mengangakan mulut dengan besar untuk menggigit burger. Kelihatan kurang sopan di mata teman lelaki dan juga mungkin masyarakat. Kemungkinan untuk selekeh juga tinggi disebabkan mayonis, sos dan entah apa lagi itu. 

Tapi aku, kali pertama aku keluar (Januari 2007) - aku makan burger McDonalds. Peduli apa aku dengan pantang larang ke apa tu. Pada aku, kalau lapar dan kebetulan kau sedang belajar - lebih baik ambil makanan yang mengenyangkan berbanding terpaksa pura-pura kenyang bila teman lelaki mengajak makan burger. Kalau kau buat macam tu, kau juga lapar kan? Perempuan yang halang diri dia makan burger depan teman lelaki sebab takut selekeh, aku harap kau tak terlepas nikmat makan ni.

Untuk rekod, aku pergi makan #DAMBurger (15 September 2012) depan Kopi - aku makan sahaja burger yang besar dan bertingkat. Selamba.

http://farm7.staticflickr.com/6206/6087543121_55ac379739.jpg
[Sumber gambar]

Tapi ada teman lelaki yang memahami, dia tak ajak makan burger. Memahami apa itu aku kurang pasti. Heh!

02 - Makan ayam/daging.
Ada yang tak boleh makan ayam. Bukan sebab teman lelaki adalah vegetarian. Tetapi memang dia takut makan ayam - takut ayam itu hidup semula sewaktu makan. Dalam erti kata lain, ayam akan terpelanting masa dipotong. Heh. Kalau yang makan ayam goreng, takut juga nak pegang dengan tangan - nanti minyak dan sebagainya. Sudahnya, kalau teman lelaki bawa ke KFC sebagai contohnya, mahu makan apa sudah mula terbayang dalam kepala perempuan begini memandangkan ayam adalah pantang dalam menu pilihannya.

Kalau gunakan tangan (lebih tepat jari) adalah lebih baik berbanding sudu-garfu-pisau pada pendapat aku. Mengurangkan risiko terpelanting ataupun bunyi sudu dan pinggan saling berperang menghadap makanan. Heh! Tapi kalau yang dibawah ini, guna kutleri ya sayang sekalian.

https://fbcdn-sphotos-f-a.akamaihd.net/hphotos-ak-ash3/s720x720/581473_10152074198870543_822777376_n.jpg
Koleksi peribadi : Pilihan Kopi & Frapu - 9 September 2012

03 - Makanan berkuah.
Daripada soto membawa kepada pasta dan sebagainya - sebarang benda berkuah dielakkan dengan alasan takut terpercik pada baju. Lebih-lebih lagi kalau tempat tersebut tiada alas napkin, terus sahaja tidak mahu makan makanan sedemikian. Aduhai perempuan, kadangkala kita kena kasihan juga dengan lelaki yang menemani kita makan tahu? Selera mereka perlu dihormati sebagaimana mereka melayan juga kehendak kita makan.

04 - Makanan berlada.
Kalau namanya orang Malaysia, benda yang pedas itu sudah menjadi satu menu yang diambil secara berleluasa. Jadi, ada yang takut mahu makan sambal atau asam pedas disebabkan takut tertinggal biji lada di gigi dan sebagainya. Maklumlah, kadangkala sos cili Thai pun ada juga biji yang memang sengaja tidak hancur itu kan?

Buat masa ini, itu sahaja yang aku dapat ingat kembali apa yang diperkatakan oleh kawan-kawan aku dahulu. Mungkin ada benda yang mahu dikongsi juga?

Zara : Aku setakat ini makan semua benda. Walaupun benda itu adalah makanan pantang dalam regim makanan aku - tapi kalau keluar bersama - "Let's call it as cheat day diet!" Heh!

Monday, September 24, 2012

Awak, Bila Sesat.


Awak.
Perjalanan dengan awak baru sahaja bermula.
Tetapi apa yang dirasai bagaikan sudah lama.
Bagaikan sudah lama bersama.
Banyak sudah warna.

Awak.
Dalam masa yang singkat, kita belajar banyak benda.
Tentang kegemaran, tentang perangai yang tidak sama.
Tentang gaya hidup yang mungkin sama.
Ataupun kegilaan yang gila.

Awak.
Bersama awak memenuhi impian dia.
Impian mahu buat banyak benda.
Dengan manusia yang dia suka.
Sesuatu yang istimewa.

Awak.
Ada orang anggap awak dan dia pelik.
Tetapi dia senyum sahaja pada kata-kata jelik.
Dia tahu semuanya baik.
Ah, enggan mahu layan benda merapik.

Awak.
Bila keluar bersama.
Awak dan dia masing-masing guna teknologi yang dipercaya.
Dia memandu dan awak teman dia.
Dia bukan bagus sangat tapi dia cuba.
Dan awak duduk sebelah, beri semangat dan bercerita.

Awak.
Kadangkala teknologi juga memperdaya.
Yang betul dikatakan dusta.
Yang salah dikatakan laluan sebenarnya.
Dan awak dan dia sama-sama lalui segala.
Masuk simpang sini, keluar entah laluan mana.

Awak.
Dia jenis manusia gelabah puyuh gila.
Awak pula jenis tenang dan rasional kepala.
Dia pening dan awak senyum sahaja.
Awak kata - pilih sahaja laluan nombor tiga.
Biasa takkan sesat punya.

Awak.
Dia tahu dia bersama dengan orang yang benar rasa.
Bila sesat - awak lebih tenang dari dia.

http://24.media.tumblr.com/tumblr_mahhrzhHDL1qf8eydo1_500.jpg
[Sumber gambar : Tumblr]

Nota Kaki :
Kadangkala kita perlu sesat hanya untuk habiskan lebih banyak masa bersama.

Friday, September 21, 2012

Awak, Itu Tidak Mudah.


Awak.
Itu tidak mudah.
Itu tidak kena langsung dengan wajah.
Ya, ia payah.
Ya, ia susah.

Awak.
Ia buat dia berfikir.
Adakah dia betul dalam menafsir?
Ataupun dia adalah manusia kikir.
Yang dalamannya fakir.
Ah, tenggelam jiwa dalam pasir.

Awak.
Bagaimana dia mahu meluahkan?
Apabila segalanya tersepit tanpa jawapan.
Apabila kepalanya diasak dengan pelbagai persoalan.
Dia enggan menyakitkan.
Dia enggan melukakan.
Kerana dia tahu erti penderitaan.

Awak.
Itu semua sukar baginya.
Kalau awak kata dia bahagia.
Dia harap awak benar dalam melihat jiwa.
Dia hanya berharap agar segalanya baik sahaja.
Kerana untuk awak, dia tidak akan putuskan doa.
Untuk teman yang pernah hadir dalam atma.

Awak.
Dia mohon ampun kalau ada kesilapan.
Jika dia pernah buat kesalahan.
Benda yang dia langsung tidak banggakan.
Dia hanya mampu pinta kemaafan.
Dari seorang manusia yang banyak kelemahan.
Pada awak seorang manusia yang manis senyuman.

Awak.
Dia mungkin salah.
Kerana tidak mampu bertahan kuat macam galah.
Kerana dia mungkin lemah.
Ada yang mencemuh dia goyah.
Tapi tiada siapa yang tahu apa menjadikan jiwa melayah.
Dia belajar pasrah.

Awak.
Itu tidak mudah.
Apa yang berlaku bukan bermaksud kalah.
Tapi tiada yang benar, tiada yang salah.
Hanya masing-masing mengalah.
Dan percaya tunduk lihat dahan yang patah.

http://farm5.staticflickr.com/4113/5213070394_6ab8ab011e.jpg
[Sumber gambar]

Nota Kaki :
Manusia kadangkala menganggap bahawa kehidupan ini adalah cermin. Apa yang mereka lihat pada seseorang itu adalah apa yang mereka mahu percaya - sedangkan kadangkala kenyataannya adalah jauh berbeza. (Shafaza Zara, 21 September 2012)


Wednesday, September 19, 2012

Awak, Manusia Memang Tidak Sempurna.


Awak.
Bila awak kata yang awak suka dia, dia hanya tersenyum.
Bibir bergerak, senyuman menguntum.
Mahu bicara tetapi lidah terkulum.

Awak.
Awak mencari manusia yang sempurna.
Yang cantik paras rupa.
Yang indah tutur kata.
Yang langsung tiada cela.
Yang kaya dengan harta.
Dan menidakkan kehadiran dia.
Yang tidak memenuhi ciri awak suka.

Awak.
Paras rupa boleh bawa ke mana?
Bukankah bila umur meningkat, ia bakal dimamah masa?
Bukankah dengan peredaran waktu, ia akan ditelan usia?
Sebanyak mana suntik dadah bagi tegang segala.
Awak tak boleh nafikan yang ia tidak sama.
Dengan kecantikan kali pertama.

Awak.
Indah bahasa.
Manis bicara.
Siapa yang tidak suka?
Tapi bagaimana kalau ia hanya bila menghadap bersama?
Di belakang penuh dengan sumpah celaka.
Di sisi penuh dengan kata nista.
Ah, kalau terlampau manis, hanya undang bahaya.

Awak.
Bagaimana awak mahu yang tiada cela?
Adakah manusia biasa langsung tiada dosa?
Kalau tidak besar, yang kecil mungkin ada.
Adakah awak cukup baik untuk minta begitu rupa?
Sampai kelemahan orang awak jadikan bahan senda.
Adakah itu tanda hebatnya awak sebagai manusia?
Sudah boleh sampai tahap lawan Yang Maha Esa?

Awak.
Harta memang boleh buat gembira.
Tanpa harta manusia mungkin melarat dihina.
Tapi harta bukan segalanya.
Awak mencemuh dan kata itu sangat klise bagai drama.
Tapi adakah awak tahu harta juga boleh bikin celaka?
Dengan harta yang banyak - manusia boleh lupa asal usul mereka?
Dan hubungan bukan apa yang dipanggil berharga.
Tetapi lebih kepada pemerdagangan manusia.

Awak.
Memang tidak salah mahu mencari yang bagus belaka.
Bahkan itu dituntut dalam agama.
Bahkan itu juga fitrah manusia.
Mana ada yang suka yang lemah segala?
Mestilah mahu mencari yang kelemahan diri terpelihara.
Dapat melengkapkan diri yang kurang sempurna.

Awak.
Tetapi, perlukah awak hina dia sedemikian rupa?
Hanya kerana dia tidak memiliki ciri yang awak suka?
Dengan anggapan yang awak terlalu sempurna.
Awak lupa.
Ada lagi yang lebih hebat dari awak di atas sana.

[Sumber gambar]

Nota Kaki :
Kadangkala hati akan mati dengan cepat tanpa diketahui.

Zara : Kalau kau tidak kenal hati sendiri, bagaimana mahu orang lain kenal kau dengan ikhlas? (Shafaza Zara, 19 September 2012)

Monday, September 17, 2012

Awak, Itu Kita Panggil Kebiasaan.


Awak.
Apa khabar awak di sana?
Saya harap awak sihat sejahtera.
Bersama dia yang awak suka.

Awak.
Banyak benda yang berlaku tanpa diduga.
Siapa sangka persahabatan bertukar cerita.
Siapa sangka perhubungan terlerai juga.
Siapa sangka kemusnahan akan tiba bila bahagia mula.

Awak.
Dalam persahabatan ada hubungan.
Dalam hubungan ada perkongsian.
Dalam perkongsian ada persamaan.
Dalam persamaan ada kebiasaan.
Yang akhirnya sudah jadi rutin harian.

Awak.
Kekalnya benda begitu bukan masalah.
Bahkan kadangkala boleh bikin hari jadi indah.
Siapa yang tidak gemar jadi perhatian kasih sayang tumpah.
Siapa yang tidak gembira bila hati tidak lagi gundah.

Awak.
Kebiasaan itu benda yang manis.
Kenapa mahu abaikan benda yang hidupkan suasana bagai magis.
Kebiasaan itu tidak mengundang tragis.
Mengapa kebiasaan mahu dilihat sebagai pengundang tangis?
Ah, sadis.

Awak.
Ada benda yang bila dikongsi kita akan iri.
Ada benda yang bila dikongsi kita akan sakit hati.
Ada benda yang bila dikongsi kita akan dilukai.
Ada benda yang bila dikongsi kita akan rasa dikhianati.
Ada benda yang bila dikongsi kita akan rasa dicurangi.

Awak.
Ada sejarah yang sepatutnya disimpan.
Ada kisah yang sepatutnya sudah jadi bahan pameran.
Ada cerita yang tidak lagi jadi bahan pendengaran.
Ada tulisan yang tidak perlu lagi jadi coretan.
Itu juga kebiasaan.

Awak.
Sebagaimana segalanya bermula dengan baik.
Pastinya semuanya mahu diakhiri tanpa rasa jelik.
Kerana kita semua tahu bagaimana rasa dipandang pelik.

Awak.
Mungkin ada benda yang akan mengekori ke mana sahaja.
Mungkin ada benda yang tidak dapat dibuang sekelip mata.
Mungkin ada benda yang akan kekal selamanya.
Mungkin ada benda yang bakal hilang dalam perjalanan masa.

Awak.
Teruskan sahaja kalau benda itu suntik bahagia.
Sebab itu akan buat awak gembira.
Walaupun hakikatnya itu benda yang pernah dikongsi bersama.
Kebiasaan awak dan saya.
Kini diberi kepada dia.

Awak.
Selamat menjalani hidup ceria.
Memulakan perjalanan hidup baru yang bahagia.
Terima kasih atas kenangan beku masa.

http://farm7.staticflickr.com/6195/6073057411_530a2ca592.jpg
[Sumber gambar]

Nota Kaki :
Mengapa mesti cemburu pada kenangan yang sudah lama mati dan dibiarkan sepi? Bukankah boleh mulakan ceritera baru dengan kisah yang lebih enak untuk masa hadapan? Gerak sahaja ke hadapan kerana itu lebih baik untuk kesihatan.

Zara : Bila sesat tapi awak masih mampu tersenyum dan tenangkan saya yang menggelabah - saya tahu saya bersama dengan orang yang betul. Terima kasih untuk hujung minggu yang mendamaikan serta memberikan kenangan indah. (Shafaza Zara, 17 September 2012)

#14 : Ini Cerita Seorang Perempuan.


Siapa sangka disebalik kepenatan ke sana ke mari - dengan pekerjaan yang menuntut lebih daripada dua puluh empat jam, hujung minggu pertama dan kedua dapat diluang bagi menikmati sedikit hidup seperti manusia biasa. Kepenatan hilang sekelip mata apabila melihat senyuman bahagia dan wajah yang menenangkan atma. Ah, kalau mahu marah sekalipun, itu tanda mahu bermanja. Heh!

Itu menjadikan sesuatu itu lebih istimewa. Dihidangkan dengan kegembiraan yang sendiri sahaja rasa serta syukur sahaja - teknologi mampu memudahkan urusan yang sukar dicapai sekelip mata. Sekurang-kurangnya, aku tahu bahawa segalanya berjalan dengan baik tanpa perlu campur tangan orang lain yang hanya pandai menilai dan meneka tetapi tidak tahu apa yang berlaku disebalik cerita. Lebih gembira demikian aku rasa.

Menjalani kehidupan yang lebih baik dengan senyuman tanpa perlu mengetapkan bibir menahan sebak ataupun kecewa - jujurnya aku rasa bahawa apa yang aku lalui kali ini janggal tanpa terima kasih buat mereka yang meninggalkan kesan yang bukan sedikit sepanjang aku melalui apa sahaja. Ya, teman baik - teman rapat atau sesiapa sahaja (ternyata orang macam aku pun ada orang benci sehingga sanggup menulis beberapa tulisan untuk menghentam) aku. Nah! Senyum sahaja, bukankah hidup sudah baik-baik sahaja?

[Sumber gambar] - Untuk awak, selamat tinggal dan selamat memilih jalan hidup sendiri. Saya hanya mampu mendoakan yang terbaik untuk awak kerana awak adalah salah seorang teman akrab yang saya ada selama beberapa tahun ini.

Sudah tiba masa untuk awak berhenti dari paksa diri.
Berhenti daripada berusaha untuk belajar sesuatu yang bukan penting bagi awak.
Terima kasih atas usaha.

Sunday, September 16, 2012

Gumiho.


Dia bukan setegar gadis-gadis lain yang gilakan Kpop. Benda begitu bukanlah sesuatu yang sungguh semasa bagi dia. Sejak dia di zaman universiti – zaman pinjam VCD kawan hinggalah beli VCD menggunakan kertas yang diselitkan di bawah pintu dan menghantar pesanan pada orang, menunggu di bawah kolej kediaman – sudah dia lalui. Jadi bila dia lihat BBNU semua baru mahu gilakan Korea – Kpop ini semua, dia gelak keji sahaja.

Gumiho – musang yang mempunyai sembilan nyawa – khabarnya cantik sehingga mampu buatkan manusia terpana dan terdapat sebiji manik di dalam diri yang menyembuhkan penyakit serta kesakitan. Gumiho kalau menangis boleh menyebabkan hujan tatkala cuaca sangat panas (wah! Kalaulah Gumiho itu benar wujud). Dia mengambil watak gumiho sebagai pengganti namanya bila berbicara. Bukannya sebab dia gilakan Korea, tapi ada sesuatu pada gumiho yang dia sangat suka.

[Sumber gambar]

Gumiho dia lain dari gumiho yang orang sangka dalam drama. Gumiho seperti dia perlukan Lucifer dan Luna pada waktu siang dan malam. Malangnya, Lucifer dan Luna dia hilang dan muncul entah bila masa, bila suka. Jadi, gumiho macam dia hanya menangis sendirian pada waktu malam supaya tidaklah ada orang lain ketahui kesakitannya menarik ekor (hingus?) bila dia menangis teruk macam orang gila.

Kesakitan yang dia rasa menemukan dia dengan manusia muka matang-tapi-umur kecil- dan menyukai kanak-kanak berbanding gadis berdada ranum dan penuh. Pedo namanya. Gumiho suka pada Pedo yang bertunjangkan arsitektur dalam jiwa tetapi menjadikan aksara mainan atas dunia (tidak termasuk fetisy nakal bersahaja).

Mungkin itu takdirnya.
Gumiho akan bergabung dengan manusia arsitektur.
Goncang kepala.

Peliharaan Adam Awraq.
1345 : 08 Mei 2012

Nota Kaki :
Hajat itu barangkali terkubur buat masa ini.

Thursday, September 13, 2012

Pulang.


Setelah mengira sana sini.
Akhirnya sudah tiba waktu yang dinanti.
Sekejap sudah berlalu empat hari.
Seperti angin bertiup pergi.

Serasa mahu berlari.
Mendakap jiwa terbang tinggi.
Mencicip kopi.
Seperti pasangan suami isteri.

Ah ketagihan melampau kini.
Segelas sehari bukan apa-apa lagi.
Mungkin sudah terlalu tepu barangkali.
Tanpanya sudah separa mati.

Eh, adakah awak menanti?
Saat untuk berjumpa kembali?
Adakah menunggu di sisi?
Ataupun sudah depa tangan dan mahu peluk kini?

http://farm1.staticflickr.com/47/132273991_4a4b2762c6.jpg
[Sumber gambar]

Itu sudah cukup buat dia gembira nanti.
Eh, hari ini hari WASH wahai KOPI.

Wednesday, September 12, 2012

Pesanan.


Malam terakhir yang dihabiskan bersama sehingga larut pagi dipenuhi dengan pesanan. Adakah awak sudah memenuhi setiap pesanan yang dia minta walaupun awak mungkin terlupa dengan tidak sengaja. Tidak mengapa, dia akan ingatkan awak satu demi satu supaya kalau lupa - nanti dia akan denda cubit telinga.

Dari awak untuk dia :

01. Selamat bertugas. Buat baik-baik sahaja.
02. Jangan main mata. Ha ha ha.

Dari dia untuk awak : 

01. Bila rindu - awak hanya perlu buka kanvas kosong dan tulis sesuatu.
02. Awak yang bertugas jauh juga perlu jaga diri. Bunuh awak kalau awak seleweng tahu?
03. Jangan minum banyak sangat espresso - nanti 'high' siapa susah tu?

http://24.media.tumblr.com/tumblr_m9wyr5wi751rfvmy8o1_500.jpg
[Koleksi peribadi KOPI]

Bila lagi boleh duduk minum kopi bersama?
Habiskan sedikit ruang masa.

Dan hari ini sudah masuk dua purnama.
Belajar untuk buat kopi yang sedap rasa.

Tuesday, September 11, 2012

Entah Apa.


Pesanan-pesanan luncur masuk.
Dia hanya angguk.
Tersengguk.

Budak nakal, degil entah apa-apa.
Kerja dia kali ini menuntut lebih dari yang dia sangka.
Tanggungjawab lebih besar dari yang dijangka.
Tetapi dia tetap suka.

Sekitar kawasan yang dia tidak pernah jumpa.
Dia hanya terfikirkan satu perkara.
Alangkah baiknya kalau kopi ada.
Untuk dinikmati rasa.

[Sumber gambar]

Bila lagi dapat hirup kopi bersama?
Dia jengah takwim dan urut dada.
Serasa jauh sahaja.

Monday, September 10, 2012

Gila Mungkin.


Baru beberapa jam tidak menggunakan rutin normal bersama, aku sudah mahu menyalahkan sana sini walaupun kesilapan kecil yang bukan apa-apa. Ah, benci benar bila benda yang mudah bertukar menjadi porak peranda hanya kerana rutinnya tidak serupa. Sakit juga bila meninggalkan iDraki iFtiqar di rumah walaupun aku ternyata memerlukan kehadiran dia. Bagaimana mungkin mahu bertahan dengan hanya ada Altamis yang barangkali akan mati pada bila-bila masa sahaja?

Gila.
Nasib baik ada kenangan yang terakam dalam kepala dan minda. Aku tayangkan satu demi satu supaya mengurangkan rasa menggila. Barangkali itu lebih baik daripada aku berlari dan mengalirkan air mata hanya kerana terpaksa mengurangkan rutin yang sudah kebal dalam jiwa. Ah, celakanya!

http://farm2.staticflickr.com/1130/1356605747_d02c71ef30.jpg
[Sumber gambar]

Berjauhan.


Urusan kerja.
Urusan kerja.
Urusan kerja.

Itu mantera yang didikir dalam kepala.
Itu yang dilaung-laung dalam jiwa.
Itu tugas utama.

Urusan kerja.
Berjauhan empat hari lamanya.
Tapi ada orang kena keluar dua hari juga.
Jadi boleh kata perlu tabah agaknya.

Urusan kerja.
Hujungnya sudah dekat amat rasanya.
Dengan kawasan yang dua hari masa.


Tabahkan sahaja jiwa.
Moga pemandangan luar ini bawa ceria.
Moga pengalaman ini bawa pelbagai cerita.
Yang indah-indah sahaja.

Sunday, September 09, 2012

Jarak.


Balik dari urusan yang menggembirakan. Melalui sesuatu yang membuatkan hati gembira dan wajah tersenyum riang dengan ikhlas buat kali pertama - mungkin itu biasa bagi orang lain tapi bukan aku yang hinggapnya gembira boleh dibilang dengan kerlipan mata. Kebahagiaan itu pasti ada untuk setiap orang dan aku percaya, kalaupun aku dikatakan terlewat - aku sentiasa berdoa agar masa itu tiba.

Bermula dari jam sebelas pagi lebih dengan senyuman yang menghilangkan rasa penat dibawa dengan jalan yang sibuk tidak tentu hala dalam negeri kecil berjiran daerah - aku cuma mampu kata pengalaman itu buat aku banyak ketawa. Dengan terlepas simpang kalau ikut peta tapi aku bertegas dengan keputusan mengikut pengalaman aku yang main hentam tidak kira suka. Bahagia. Itu lebih penting aku kira.

Misi utama dicapai dalam matahari terpacak atas kepala. Berkira-kira juga jika itu keputusan yang bijak atau tidak tapi serah sahaja kepada kepalanya. Kalau baik dan dipersetujui - jalankan sahaja apa yang dilihat dan dirasai hari ini. Kalau tidak, tangguhkan dulu dan teruskan pencarian hingga ketemu lagi. Pastinya apa yang dilihat hari ini sudah memikat hati - pandangan mata, jatuh ke hati dan bila depan mata secara realiti - terus terbenam dalam sanubari. Heh!

Selesai misi utama - misi seterusnya hanya menghabiskan masa dengan bakar lemak serta menambah lemak lagi (oh oh oh - setelah buang aplikasi pengira kalori terus bertambah gila). Tapi tidak mengapa. Peluang bukan datang selalu dan pastinya - gunakan sahaja masa yang ada. Selepas itu buat kali pertama atas meja yang menarik - minuman rasmi bertemu. Kata panggilan bukan lagi hanya sekadar mainan aksara tapi sudah terluah dengan kehadiran minuman bahagia (serta menjadi dadah). Heh!

Dan begitulah selepas itu drama muncul tanpa dipinta. Berlari seperti dalam pertandingan antarabangsa - mungkin boleh diikhtiarkan untuk muncul dalam kaca tivi bersama jika stamina selepas minuman pahit-manis-bersusu-bercoklat bergaul dalam usus dapat dikekalkan dengan kegilaan yang entah apa-apa. Ah, tapi benda pahit jadi manis selepas segalanya tiba kemuncaknya. Senyuman dan kebahagian itu pastinya bukan sesuatu yang percuma - tapi bayarannya juga lebih dari sekadar lambaian perlahan dan hati bahagia.

Gembira.
Suka.
:)

http://farm3.staticflickr.com/2091/2394108399_fd0b33c17b.jpg
[Sumber gambar]

Dalam perkhabaran lain, aku gembira apabila diberitakan bahawa kau sudah luahkan perasaan secara terbuka kembali pada manusia yang kau suka. Tidak perlu risau ataupun gusar jika kau memiliki hak orang lain kerana dia bukan lagi hak sesiapa - bahkan mutlak sudah milik kau. Dilepaskan oleh empunya kerana dia sedar - sejauh mana dia bertahan - dia hanya membunuh diri dan perasaan diri kerana melayan kegemaran diri sendiri hanya menanam rasa duka.

Jadi, aku hanya titipkan doa bahagia buat kau yang sudah terang-terangan mengakui dan buat pengakuan terbuka kepada masyarakat di luar sana tentang kehadiran dia. Tabik hormat atas dasar kau bakal memikul tanggungjawab yang bukannya mudah tapi aku percaya kau bakal berjaya (harapnya) sehingga ke penghujungnya. Setiap ceritanya mungkin diakhiri dengan cerita yang tidak gembira tetapi aku percaya - bila dia pilih kau diantara berjuta - kau pastinya yang paling dia suka.

Jarak dalam hubungan bukan apa-apa. Aku pernah lalui yang beribu (berpuluh ribu mungkin lebih tepat) dan mengharunginya dengan sedikit berjaya - tetapi aku harap kau juga lebih berjaya daripada aku yang memutuskan bahawa ada benda lain yang lebih perlu. Beberapa ratus kilometer mudah dicapai khabarnya - sekurang-kurangnya ada ruang dan taaruf yang lebih utama.

Ah, selamat berjaya!
Buat kau yang belum pernah derita.
Aku hanya doakan kau bahagia.
Gembira.

Senggama.


Pada waktu malam dia beradu sendirian, buku yang bergelimpangan di sisi dia hanyalah satu daripada alat-alat yang dia tidak sedar wujudnya. Otak dia kerja siang malam hinggakan kesakitan adalah sebahagian daripada nikmat yang selama ini dia lupa untuk hargai.

Cuaca panas dan dia tersentak bangun jam dua pagi. Kebiasaan bodoh yang sudah lama dia tinggalkan kerana terjaga sendirian pada waktu berkenaan hanya mengundang duka yang berpanjangan. Bukan dia tidak boleh solat tengah malam – cuma dia lebih gemar lakukan dalam jam empat pagi kerana dia boleh bangun terus dan bersiap untuk rutin pagi, kebiasaan diri.

[Sumber gambar]

Duduk di meja kosong sambil coretkan entah apa-apa di atas kertas kosong menjadikan dia sekosong meja kelabu yang belum lagi bertukar warna. Sebuah buku dicapai dan entah mengapa, tulisan itu tidak lagi menarik perhatiannya. Mengapa sampah begini boleh dijual dengan hebat atas rak buku berbanding dia yang bekerja dengan rakan-rakan sekepala? Aneh.

Naskah-naskah yang dipulangkan oleh penerbit berterabur bila dia menendang bucu meja. Bodoh, sakit sahaja yang dia rasa – bahkan mahu mengemas lagi, malas sudah rasa. Aksara yang saling menghubungkan antara frasa berceratuk mengatur barisan yang entah apa-apa. Laju menderu bagaikan ada Dementor yang menyedut nafas dan perasaan gembira.

Ternyata, memberikan peluang neuron bersenggama di waktu awal pagi hanya bikin dia separa gila. Kepala direbahkan di atas meja, timbunan kertas dibiarkan sahaja. Biarlah aksara mengelinjang henjut – tikam menikam dalam minda. Dia perlukan rehat seketika.


Ruang Altamis Awraq.
0240 : 07 Mei 2012.


Saturday, September 08, 2012

Sama.


Dua gadis duduk bersebelahan sambil memerhatikan pengunjung ke pasar raya besar tanpa sempadan bayaran. Setiap dari mereka yang keluar masuk pastinya akan membawa beg besar yang mungkin boleh diteka isinya berdasarkan jenama yang tertera di beg yang dibimbit mereka. Ah, mana tahu masuk ZARA tapi bawa kasut jenama BATA? Manusia kan boleh menipu dengan gaya.

[Sumber gambar]

Gadis pertama pandang gadis kedua. Isyarat mata yang ditunjukkan membuatkan gadis kedua mengeluarkan telefon dari tas tangan berjenama Jimmy Choo. Dia pantas melarikan jari di atas skrin sentuh dan menghantar pesanan ke nombor yang diletakkan nama “Sayang”

Selang beberapa minit, telefonnya berbunyi dan si gadis kedua senyum kecil. Pesanan yang diterima ditayangkan di muka gadis pertama. Gadis pertama ketawa kecil dan mengeluarkan telefonnya pula. Lincah jari menulis menggunakan Samsung Galaxy Note dan hantar ke penerima dengan nama “Jejaka”. Dibiarkan sahaja buat beberapa ketika sambil menyedut Frappucino bersaiz venti – ini semua gara-gara dia baca Venti tulisan Redza Minhat yang kacak.

Telefon bergetar menandakan pesanan masuk. Gadis pertama ketawa riang dan menayangkan pesanan di muka gadis kedua yang turut ketawa bersama. Apa pesanan yang mereka berdua terima?

                 “Mestilah saya rindu awak sayangku. Selamanya, selamanya, selamanya”

Ya, dari lelaki yang sama kerana mereka saksi kecurangan manusia bertelur dua tetapi gagal gunakan akal dengan sempurna.

Friday, September 07, 2012

Baju.


Setiap kali dia keluar, baju yang tersarung di tubuh gempal (dan mungkin sudah semakin susut, kata sesetengah orang) itu menarik perhatian yang bukan sedikit. Bukan sebab dia memikat mata yang memandang, cuma dia sering dipandang pelik oleh masyarakat berikutan nama kerjaya yang dia pikul setakat ini. Tidak, dia tiada niat mahu berhenti – barangkali kerana dia terlampau sayang dengan takdir yang satu-satunya tidak pernah mengkhianati dia. Apa yang dia mahu harapkan lagi pada dunia yang penuh pura?

Suatu hari dia berkunjung ke pesta buku. Statusnya dikatakan antarabangsa, tapi apa yang dia lihat cuma penerbit tempatan dan sesetengah sahaja daripada kelompok nusantara barangkali. Dia dengan misi tertentu dan pastinya beg sandang digalas tinggi untuk dipenuhkan dengan buku. Ternyata, kegilaan dia masih seperti dia dapat hadiah ulang tahun daripada bapa. Tapi bapa tidak segarang bonda yang mengugut mahu bakar bahan bacaan dia yang suka – lalai kata bonda bila dia bersungguh membaca komik berbanding buku teks yang minimal dari segala ceria kecuali aksara yang pastinya berjuta.

http://farm5.staticflickr.com/4138/4815858640_ddbc17a38e.jpg
[Sumber gambar]

Tiba di satu tapak penerbit buku, dia keluarkan telefon genggam putih dari kocek seluar dan meneliti pesanan bonda. Ada beberapa tajuk dan naskah yang perlu diburu. Dia menghampiri rak-rak dan ruang-ruang sambil memilih buku idaman bonda, walaupun dia hampir sahaja pasti perjalanan dia pulang ke selatan pastinya merengkek dengan naskah yang bakal memakan tenaga. Ah, demi bonda, persetankan kesakitan bisiknya.

Tiba di kaunter bayaran, gadis yang menjaga kaunter pandang dia atas bawah, atas bawah. Dia hanya memaniskan muka dan menjelaskan bayaran sambil mengukir senyuman. Usai keluar dari tapak penerbit berkenaan, dia menyumpah halus dalam hati yang sedang menjeruk perasaan. Apa salah pakai jeans, t-shirt longgar dan selendang berbelit di kedai buku agama? Dia bukan bogel kan?

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012
06 Mei 2012
Nota Kaki :
Ini tulisan aku yang tidak akan terbit. Heh.

Thursday, September 06, 2012

Beza #02.


Bukankah dia pernah kata bahawa perbezaan yang menyatukan manusia? Perbezaan yang mendekatkan dua manusia yang langsung tidak pernah kenal diri ataupun rupa? Ya, perbezaan yang mengikat dua hati yang selama ini hanya saling melihat tapi tidak pernah memerhati. Dalam diam, bertahun tapi rupanya hati mereka sedang berkongsi tanpa mereka sedari.

Mereka saling tidak sama.
Baik dari fizikal yang bagai bumi dengan angkasa.
Ataupun dari segi limpahan jiwa.

Dia pernah tumpah air mata.
Kerana takut kehilangan rasa.
Hilang pergi tanpa dia sempat jamah bayangnya.
Entah apa lagi yang dia risau dan berjaga-jaga.

Awak.
Kalau dia kata suka, apa yang bermain dalam otak?
Bukan dia mahu berlagak.
Tetapi manusia macam dia kadangkala tidak tahu berlawak.
Yang ada hanya jadi manusia patuh tidak bergerak.

[Sumber gambar]

Kadangkala benda yang nampak lama lebih bermakna.
Daripada benda baru tetapi tidak diguna.

Gambar.



Dalam hidup ada momen celaka. Momen yang bikin kau mahu hentak kepala bila mengenangkan betapa kau meluangkan masa, menghabiskan tenaga demi manusia yang langsung tidak pernah mahu berhenti palingkan wajah lihat kau walaupun sedetik cuma. Alasannya mahu berlaku adil pada semua – maka membuang kau bagaikan pancutan sperma ataupun aliran darah haid yang jatuh ke tuala wanita – hanyalah seperti buang benda yang tidak berguna.

Tangisan kuat kau sepanjang malam dengan menakupkan wajah di bantal tiada siapa yang peduli. Kesakitan kau alirkan dengan gigit hujung bantal, jerut hujung jari dengan selimut sekuat hati – agar kesakitan itu merentap segala kekuatan kau supaya lemah dan tidur lena supaya mampu kekal berdiri keesokan hari. Seperti pelakon yang hebat, bangun dari ranjang dengan mata membengkak – mandi, gosok gigi, solat dan mula tepuk muka perlahan agar tiada siapa yang menyedari kesakitan yang disembunyikan.

Kau renung meja tempat kau humban segala benda, kerja dan apa sahaja yang kau sendiri tidak ambil kisah sejak momen celaka menjelma. Dari buku hinggalah ke gelas minuman keras tapi diisi dengan air masak Cuma – mata kau tertancap pada satu kenangan beku masa kiriman manusia yang sudah melupakan kewujudan kau dihatinya. Babi, kau mahu buang sahaja tapi mengenangkan kau mungkin tidak akan dapat lagi benda sebegitu, kau biarkan sahaja tergeletak aneh atas meja yang tidak kena dengan suasana. Tapi kau sudah peduli apa bukan?

http://farm2.staticflickr.com/1376/1104868071_8ccb2a30d1.jpg
[Sumber gambar]

Kau duduk dan renung gambar. Kau capai bingkai dan terbalikkan. Terbuka penutup belakang, terhambur segala kepingan gambar yang bersusun. Memang kau tidak pernah gagal lihat gambar tersebut – cuma momen itu membunuh. Setiap helaian kenangan beku masa itu hanya menghadirkan derita. Sialan bila kau terpandang mercu yang paling kau mahu pergi dalam dunia selepas tawaf mengelilingi Kaabah sudah dijamah si celaka bersama dengan jalang yang kau tahu kewujudannya. Aneh, kau simpan banyak mercu tersebut kerana kau suka, tapi kau sudah mula membencinya.

Telefon kau sudah lama sepi. Sengaja kau buka nombor baru – biarkan talian lama tidak dijengah sesiapa lagi. Melarikan diri daripada manusia yang hanya pandai bikin jiwa sunyi barangkali anehnya tidak terdesak sewaktu kau hilang arah dan diri. Sudah mangli dengan suasana khali. Biarlah senyap dan sunyi.

Gambar berderetan sedozen kau pandang sepi. Mata yang bengkak kau oleskan dengan penyejuk mata berbola. Lisa Surihani sebagai duta jenama – tetapi kau beli bukan sebab suka dia. Kau cuma pengguna yang percaya dengan saranan media dan iklan di kotak kaca penipu (dan kau salah seorang mangsa kapitalis barangkali – dengan percaya sogokan peti tivi)

Gambar dari pokok-pokok bogel tanpa dedaun dan hanya dilitupi putih salji hinggalah tulip mekar merah di antara warna kuning-biru-jingga dan entah apa lagi – bingkai kau humbankan ke hujung ranjang merah sepi. Deraian kaca buat hati kau riang kembali. Kaca bersepah kau pungut dan hiriskan di tangan kiri. Sakitnya sudah tidak kau rasa lagi.

Titisan darah jatuh satu demi satu ke atas gambar-gambar yang bertaburan. Di antara banyak gambar pemandangan yang cantik-aneh-kenangan – darah menitis juga pada satu gambar dua manusia yang pernah menyimpulkan rasa hati bagaikan kembar yang berkongsi rahim dan uri. Darah makin deras dan kau sudah mendengar deruan mati.


Perpustakaan Altamis Awraq
1746 : 11 Mei 2012.

Nota Kaki :
Ini dari tulisan aku yang projeknya terbengkalai.

Wednesday, September 05, 2012

Beza #01.


Ada banyak beza antara kita.
Beza yang terlampau nyata.

Awak kopi putih yang simpan butir bicara.
Dia kopi hitam yang suhu tidak mampu diteka.

Awak suka terjemah dalam tulisan pendek kira suku kata.
Dia kalau boleh mahu hambur segala ayat dalam bentuk aksara.

Awak suka perhati diam - renung lembut muka.
Tapi dia jelir-jelir lidah bagaikan anak kecil hilang gula.

Awak tidak gemar pakai kemeja.
Tapi dia setiap kali nampak akan buat muka teruja.

Ah, awak dan dia aneh-aneh sahaja.
Mungkin orang akan kata bagai bumi dan angkasa raya.

Tapi dia peduli apa?
Dia harap awak begitu juga.

http://farm8.staticflickr.com/7021/6687939923_123f2a9b4b.jpg
[Sumber gambar]

Hirup kopi diam-diam.
Dia tunggu awak datang walaupun tengah malam.

Sembunyi Rindu.


Ada hati yang mahu luahkan.
Tapi dibiarkan bagai tiada apa yang berlaku.
Hati dibentak dan permainan dimulakan.
Perasaan disembunyikan - entah ego atau apa, tiada siapa tahu.

Kenapa mahu sembunyikan perasaan?
Hati meronta rindu, tapi luarannya - kasar sahaja perlakuan.
Mulut mahu nyatakan rindu - tapi tidak selari perbuatan.
Nah, timbul ketidaksefahaman.
Muncul pertikaian.

Pujukan demi pujukan.
Rayuan demi rayuan.
Tapi hati tetap mahu dikeraskan.
Mahu kekal sembunyikan perasaan.

Kenapa tidak mahu mengaku?
Bukankah lebih baik tidak jadi manusia beku?
Sekurang-kurangnya dia tahu.
Bahawa itu rindu.

http://farm5.staticflickr.com/4024/4388768728_5bb0960e2e.jpg
[Sumber gambar]

Sebab rindu itu sesuatu yang tidak dijangka.
Kadangkala depan mata makin membuak rasa.
Kadangkala berjauhan hanya mengundang lebih sengsara.
Kenapa tidak luahkan sahaja?
Supaya masing-masing tahu rasa.
Bukan dengan bersikap kasar demi sembunyikan jiwa.

Kalau rindu beritahu sahaja.
Boleh dinikmati kopi itu bersama.
Berdua.

Saturday, September 01, 2012

Hina Kerja Cikgu Rupanya #01


Ada seorang rakan penulis berkongsi dengan aku - satu artikel yang pastinya sudah tersebar luas merata tempat barangkali (dan aku mungkin lambat - disebabkan aku melayan tetamu berkunjung, maafkan aku) tentang betapa dia memandang rendah pada kerjaya yang aku sanjung tinggi ini. Ya, kerjaya yang aku pilih sebagai sumber pendapatan disamping aku dapat berbakti sedikit kepada masyarakat. 

Jadi, sekilas pendapat aku tentang isu ini?
Aku akan senaraikan satu persatu (pendapat peribadi selepas membaca kali pertama secara permukaan semata).

01 - Penulis berkenaan ada masalah dengan guru-guru dia sewaktu dia membesar. Mungkin dari zaman dia tadika hinggalah dia menamatkan pengajian di peringkat universiti. Oh, jangan lupa. Pensyarah juga adalah dalam kategori guru disebabkan mereka mendidik walaupun mereka di dalam kategori lain berbanding kami. Aku secara dasarnya memandang tugasan mereka - mendidik. 

02 - Cikgu tidak perlu kehidupan sosial? Jadi, orang yang bukan guru sahaja boleh bersosial? Aneh di situ ya. Aku tak nampak kenapa cikgu tidak boleh bersosial - tidak boleh punya blog, laman sosial dan sebagainya. Kerja lain silakan sambil bekerja sambil kemas kini status disebabkan kerjaya anda kebal. Sebagai cikgu, kami tidak dibenarkan berbuat demikian dan biarlah kami menulis status kami di papan hitam sahaja. Eh.

03 - Cikgu juga tidak boleh ada pekerjaan sampingan disebabkan mereka telah makan gaji yang lebih tinggi sedikit daripada mereka yang memerah tenaga lebih 12 jam di sektor industri? Oh, jadi masih ada lagi golongan jumud yang merasakan bahawa yang menjadi cikgu ini kerjanya membawa kain, alat solek, tudung, dan sebagainya ke sekolah untuk berjual? Salahkah mereka yang masih dedikasi ini (seperti yang dikenali ramai dan terbukti mereka hebat) untuk berbuat demikian? Kadangkala ada yang bawa barang yang dititip oleh saudara atau jiran tetangga. Sekadar membantu. Bukan mereka punya pun.

04 - Penulis berkenaan putus cinta dengan guru. Ah, ini mungkin juga. Manalah tahu kan disebabkan dia salah seorang penggemar blog yang memaparkan "Definisi Cinta Infiniti Sejak 2010" (angkat kening). Mungkin kecewa dengan sikap bekas kekasih yang seorang guru - serta sibuk dengan kelas tambahan serta jualan langsung menjual barang secara atas talian - maka hubungan mereka putus di tengah jalan. Barangkali juga. Boleh difikirkan ini.

05 - Penulis berkenaan juga merasakan bahawa para guru (pendidik sekalian - dengan nada semangat) - harus berhenti menulis blog dan bermain Mukabuku. Aku percaya penulis berkenaan tergolong dalam golongan yang baca blog liburan, santai sambil menukar "tab" antara blog dengan Mukabuku dengan jari pantas menekan "Like" - "Like" - serta "Share" artis-artis kegemaran dia. Barangkali dia sedang sibuk menonton "Oppa Gangnam Style" di Youtube untuk dibuat bersama dengan para pekerja dibawah seliaannya? Jadi, dia merasakan setiap kali orang melayari Internet juga buat benda yang sama?

Barangkali dia tidak tahu wujud kumpulan di Mukabuku yang berkongsi pendapat dan sumber maklumat pengajaran? Tidak termasuk blog dimana kami boleh muatnaik dan muat turun soalan serta bank soalan percuma yang disediakan oleh guru-guru yang hebat? Mereka juga menggunakan Internet. Serta medium laman sosial untuk berkongsi.

Ah, bagaimana ini? Haruskah aku berhenti menulis blog?


[Sumber gambar]

Itu hanya sekilas pendapat aku.
Pendapat lagi panjang, nanti sahaja. Aku mahu pendapat kalian (kalau sudi berkongsi tentang perkara ini).
 

Jadi, sebelum berpisah. Ingat satu perkara sekalian.
Ada "untung" juga jadi cikgu ini. 
Sebab kau boleh jadi muda sentiasa.
Eh.

Nota Kaki : Aku yang datang dari jurusan pendidikan - major Kimia, minor Matematik - tapi mengajar PJK, Sains, Pendidikan Sivik Kewarganegaraan, KH Perdagangan, Sejarah - dan kau anggap kalau satu cikgu tu tahu satu benda, sampai mati pun dia tahu satu benda sahaja? Aku percaya kau ponteng dulu masa sekolah ini. :)