Monday, May 28, 2012

Pintu #02


Dalam hidup ada terlampau banyak peluang. Cuma kita mungkin tidak akan pernah tahu bila ia akan datang ataupun mungkin kita hanya akan sedari selepas ia hilang. Dalam banyak peluang dan pintu yang terbuka, kita mungkin tidak dapat menjangka, yang mana satu bakal membawa kebahagiaan, dan mana pula yang bakal bawa sengsara. 

Kita mungkin akan mengetuk setiap daripada pintu untuk melihat apa yang ada di dalamnya, atau dengan senang hanya melihat papan yang tercatat diluar tanpa perlu membuang masa membuka pintu dengan tenaga. Ah, ada pintu yang mampu dibuka dengan mudah, ada pula yang kita perlu berlenjan untuk mendapat kuncinya atau sekadar dipecahkan menggunakan tenaga.

http://farm1.staticflickr.com/3/3619387_2793dc519b.jpg
[Sumber gambar]

"Bila sekali kau melangkah keluar daripada hidup aku, pintunya akan tertutup. Selamanya atau sementara, itu bergantung bagaimana kau meninggalkannya"
(Shafaza Zara, 28 Mei 2012)

Saturday, May 26, 2012

Hajat #01


Dia belum lagi jadi milik sah lelaki tersebut tapi aku sudah mengalirkan air mata setiap kali terpandang dia. Mungkin aku takut kehilangan tempat untuk meluahkan perasaan, tempat berkongsi sejak aku pindah ke kawasan ini pada tahun 1998. Kini sudah 2012 - usia persahabatan kami sudah menjangkau empat belas tahun tanpa kami sendiri sedari. Air mata aku mengalir murah depan dia semalam, sewaktu dia baring di hadapan aku.

"Kau kenapa sedih sangat ni?"
"Entah"

"Kita tetap akan macam dulu"
"Aku tak tahu"

"Tiada apa yang akan berubah"
"Mungkin, tapi banyak benda tak akan sama lagi"

"Tapi benda yang akan datang mungkin lebih menarik"
"Aku harap begitu juga"

"Aku nak kau kahwin dengan lelaki yg cinta kau, bukan kau yang terlalu cintakan dia"
"Emm..."

"Kalau boleh bukan budak yang sering buat kau sakit, yang kau sentiasa kejar dia"
"Hmm..."

"Dengar tak ni?"
"Dengar"

"Dengar tapi kau tak faham kan?"
"Faham, tapi tengoklah macam mana dulu"

"Aku cuma nak kau bahagia"
"Aku bahagia dengan hidup aku"

[Sumber gambar]

Buat sahabat kesayangan, selamat menjalani kehidupan sebagai seorang isteri. Aku mungkin akan hilang kau yang kekal dalam ingatan sebagai seorang gadis yang tidak pernah mengalah dalam hidup dan sentiasa kuat dalam apa sahaja - tapi, aku mengalu-alukan kau yang bakal menjadi seorang isteri dan ibu dalam hidup aku. Mungkin benar yang kita akan cipta memori baru dengan status perkahwinan berbeza selepas ini.

Zara : Cinta tidak semestinya memiliki dan dimiliki. (Shafaza Zara, 26 Mei 2012)

Tuesday, May 22, 2012

Berpisah.


Manusia macam dia sudah terlampau lali dengan kesakitan yang diterima daripada manusia yang dia cinta walaupun dia tidak pernah jumpa perkataan gembira. Satu peringkat dia sudah jadi manusia tanpa perasaan dan hanya mengikut alunan perasaan dalam perhubungan.

Kalau si kekasih mencari dia, dia akan melayan.
Kalau dia mencari dan dia tidak dihiraukan, dia hanya fikir hidup perlu diteruskan.

Kalau si kekasih tidak mencari, dia akan duduk diam kesepian.
Kalau dia tidak mencari, dan si kekasih muncul, dia akan betulkan cepat perasaan.

Dengan berbuat demikian, hubungan yang sekian lama dibina, mampu meneruskan jangka hayat walaupun dia sendiri tidak mengerti (lagi) - apakah itu cinta ataupun sekadar memuaskan kehidupan untuk dia mempunyai seseorang untuk disayangi. Bila difikirkan kembali, itu mungkin setakat ada manusia untuk disayangi sedangkan dia sendiri masih mencari ruang dan tidak dapat menjawab persoalan sama ada dia disayangi oleh sesiapa atas dunia ini. Keanehan tentang itu hanya dapat dia hadam seorang diri. 

Walang jiwa dia, mana ada siapa mahu mengerti. Hanya dia yang tadah telinga, tahan kantuk mata melayan seorang demi seorang bercerita. Bila tiba giliran dia? Duduk termangu merenung paparan kosong - memuaskan nafsu sendiri dengan mencari sumber hiburan dengan galak. Celaka perasaan air mata mengalir deras menonton cerita jenaka. Sialan, dia pernah jerit sendirian hingga saudaranya bertempiar masuk ke bilik - terfikir mungkin sesiapa menyerang dia.

[Sumber gambar]

Air mata dia pernah tumpah untuk manusia itu. Bukan sekali dua - bukan disebabkan gembira. Semuanya disebabkan berita yang tidak pernah indah untuk dia sebagai manusia. Pedulikan dengan jelingan manusia yang hanya terfikir mengapa manusia kuat seperti dia boleh rapuh hanya disebabkan rasa suka yang boleh dibeli dengan harta (bagi sesetengah manusia), rasa cinta yang boleh ditempah dengan paras rupa (bagi sesetengah manusia juga) - tapi dia hanya perlukan manusia yang setia bersama dan bukan menabur janji palsu bersulamkan kecurangan semata.

"Awak, masa untuk kita pergi"
"Pergi ke mana?"

"Tempat yang kita tahu"
"Maksudnya?"

"Awak dengan hidup awak, saya dengan hidup saya"
"Tapi, kita dah janji kan?"

"Apa guna kalau hanya saya pegang pada janji?"
"Awak kata awak akan sentiasa beri saya peluang"

"Peluang saya awak dah guna lebih dari sekali"
"Saya ingat ada tiga kali"

"Bahkan awak sudah guna lebih dari itu"
"Awak"

"Saya sayang awak"
"Sebab sayang awak suruh saya pergi?"

"Sebab sayang, maka saya biarkan awak cari bahagia yang awak pilih sendiri"
"Walaupun bahagia saya hanya dengan awak?"

"Awak tak pernah pilih saya"

Sewaktu melepaskan manusia yang dia sayangi, dia tahan air mata jangan tumpah ke pipi. Sakit mana sekalipun dia lepaskan manusia itu pergi, dia lebih rela daripada menahan teguh sekuat hati tapi akhirnya dia yang mati emnahan derita tidak bertepi. Mungkin ini bukan jalan terbaik dalam hidup, tapi selagi dia mampu hidup tanpa ada kesal dalam hati, mengapa tidak bukakan peluang si kekasih itu bercinta dengan manusia lain yang sudah mengambil tempatnya secara terang-terangan?

Dia adalah manusia yang tidak akan bina kebahagiaan atas air mata orang lain, walaupun air mata dia sendiri mengalir deras mengenangkan dia perlu melepaskan manusia yang dia sayangi demi manusia celaka yang merobek hati dan jiwanya. Cukup sudah dia dikatakan bodoh oleh manusia sekeliling dia, dia enggan si jalang buka mulut untuk mencerca. Bukankan derita sudah jadi makanan ruji dia?

Berpisah?
Bukan dia tidak pernah.

Monday, May 21, 2012

Lembut.


Luar nampak kasar. Segalanya tidak ada yang lembut, hatta mungkin seulas bibir yang sentiasa mengukirkan senyuman entah palsu atau ikhlas. Dia tidak dapat menidakkan fakta sehingga hari ini, saat dia masih menarik nafas perlahan atas dunia - ada manusia yang tidak dapat menafsirkan jantinanya. Mereka mungkin keliru dengan kekasaran dia yang lahir sebagai seorang wanita tetapi hidup sebagai seorang jejaka. Aneh, dia mungkin lelaki yang menghuni jasad perempuan tanpa dia sendiri sedari. Heh.

Malangnya, kekasaran dia, kegarangan dia masih ada kelemahan. Dia paling takut untuk mengecilkan hati manusia lain hatta hati dia sendiri yang menjadi taruhan cedera. Dalam kasar, dia masih ada kelembutan yang dia enggan tunjukkan pada manusia tetapi sekali sekala - mungkin terdedah tanpa dia sedar bahawa dia sedang diperhati. Sekali terdedah, dia akan sembunyikan diri, hilang menyepi bagaikan tidak ada apa yang terjadi.

[Sumber gambar]

Kemarahan dia disalurkan di tempat yang dia sedari kalau boleh enggan tolehkan wajah dosa. Licik barangkali dia sembunyikan segala kesakitan supaya depan manusia lain dia dapat teruskan lakonan. Kesakitan dimamah diam-diam dan air mata enggan dihamburkan tangisan. Siapa dia mahu meraung atas dunia tatkala masih ramai lagi mangsa kebuluran, perang yang ditindas di sana sini? Dia enggan menangis lalu kemarahan disalurkan tanpa kenal erti berhenti walaupun seketika. Dia tidak mahu simpan bunga-bunga syaitan terlampau lama.

"Sayang, awak sudah tidak sayang saya?"

"Sayang. Kalau tidak sayang, saya tidak mungkin ada di sini"

"Awak pernah terfikir untuk tinggalkan saya lagi?"

"Tidak. Langsung tak pernah. Kenapa? Awak pernah terfikir begitu?"

"Pernah dan banyak kali"

Manusia itu pandang dia dengan wajah tidak percaya, dan dia ketawa geli hati kerana dia terhamburkan sikap nakal dia pada manusia yang dia renung penuh kasih sayang selama ini. Kesakitan tatkala dia pegang erat botol air berselirat dengan wayar mesin yang berdetik kuat buatkan dia hilang diri tetapi masih mahu teruskan suatu hubungan yang mungkin akan membunuh dia bila-bila masa, dan bukannya putus bekalan dadah yang membantu dia terus hidup atas dunia ini. Ah, kasar-kasar dia, rupanya masih ada sikap lembut yang dia tidak dapat hadam sehingga kini.

Lembut hati!