Friday, October 05, 2012

Awak Dan Dia Kurang Masa Berkualiti?


Awak.
Dalam seminggu banyak benda berlaku.
Dalam tujuh hari, banyak jumpa benda baru.
Alangkah dalam sehari, hidup boleh menjadi lesu.
Apatah lagi dengan gaya hidup tidak menentu.

Awak.
Hujung minggu pertama habiskan masa berdua.
Awak dan dia menghadiri acara.
Melakukan aktiviti bersama.
Walaupun hanya dengan minum kopi sama rasa.
Itu pun sudah lebih baik daripada tiada.

Awak.
Hari kedua yang dipanggil hujung minggu.
Lebih baik mungkin digelar permulaan minggu baru.
Awak dan dia entah kenapa seperti tidak sebulu.
Awak penat dan habiskan tidur memenuhi waktu.
Dia pula bekerja sambil menunggu.
Awak muncul sekali dua dan hilang selepas itu.
Dia senyum sahaja walaupun hati sedikit menggerutu.

Awak.
Permulaan hari kerja.
Kesibukan melanda.
Perkara semalam sudah dilupa.
Hujung minggu yang hangat dan sejuk terbuai leka.
Entah apa silapnya.
Berlalu dengan begitu sahaja.
Mungkin sibuk kerja ataupun urusan entah apa.
Masing - masing, awak dan dia.

Awak.
Dari sehari ke sehari.
Seperti kurang masa berkualiti.
Mungkin sebab sibuk kerja hingga lupa diri.
Yang masih wujud adalah ucapan selamat pagi.
Itupun kadangkala dia culas sebab sibuk menguruskan peribadi.
Sebelum ke tempat kerja sambil berlari.

Awak.
Dia termenung sambil fikir satu perkara.
Sudah lama dia tidak dengar suara.
Sudah lama dia tidak ucap selamat malam sebelum tutup mata.
Sudah banyak benda yang tidak dibuat bersama.
Mungkin sebab awak dan dia sibuk bekerja.
Sesekali ada bertukar pesanan dalam celahan masa.

Awak.
Apa mungkin dia lupa.
Semua tentang awak, semua perkara.
Kadangkala dia sunyi hingga buat perkara gila.
Suntikan dadah banyak hanya untuk buat dia gembira.
Mengingati masa yang diluangkan bersama.
Kadangkala mahu menjerit atau melaung juga ada.
Ah, hanya awak yang dia suka.
Susah juga bila awak tiada.

Awak.
Awak juga mungkin sedari.
Bahawa awak dan dia kurang masa berkualiti.
Awak tanya dia - dan dia jawab dengan senang hati.
Bahawa dia sudah terbiasa dari dulu sendiri.
Bila dunia dia kosong, dia akan isi.
Walaupun dia terpaksa kosongkan poket kiri.
Hanya untuk minum kopi.
Demi mengingati.
Awak dalam diri.

Awak.
Dia tanamkan dalam otak dia satu benda.
Masa berkualiti bukan bermaksud berhubung sentiasa.
Tetapi masa yang diluangkan walaupun seketika.
Itu yang dia rasa.
Awak pula?

http://farm6.staticflickr.com/5172/5398330887_721b54ea4b.jpg
[Sumber gambar]
Nota Kaki :
Ini bukan tentang kisah aku.

Zara : Adakah awak tahu bahawa masa minum kopi bersama adalah masa yang saya mahu curi daripada awak walaupun seketika cuma? (Shafaza Zara, 5 Oktober 2012)

Thursday, October 04, 2012

Awak Mungkin Kurang Mengerti.


Awak.
Awak mungkin masih kurang mengerti.
Mengapa sikap dia berubah sebegini.
Sekejap nampak bahagia sampai ada yang iri.
Sebentar lagi sudah berubah bagai kecil hati.

Awak.
Dengan awak mungkin dia senyum semata.
Senyum dengan niat sembunyikan muka kecewa.
Moga apa yang diperjuangkan tidak kelihatan duka.
Senyuman sahaja yang menghapuskan sakit luka.
Jadi, dia memilih untuk senyum sahaja.
Asalkan awak nampak dia gembira.

Awak.
Dia mungkin jadi seperti sesetengah manusia.
Di mulut kata tidak, padahal hati menjerit ya.
Mengambil dadah sehingga terawang untuk suntikan bahagia.
Demi senyuman yang dia mahu pelihara.

Awak.
Dia tidak pernah mahu jadi satu beban.
Itu yang dia paling jaga dalam perhubungan.
Dia tidak mahu menyusahkan.
Sesiapa yang menjadi pasangan.
Lebih-lebih lagi awak yang hadir sebagai teman.

Awak.
Apa yang dia mahu katakan lagi?
Dia tiada masalah dengan hati.
Itu dia boleh ubati.
Tampal itu ini.
Pujuk sendiri.

Awak.
Dia sayang sungguh.
Walaupun kadangkala dia nampak bodoh.
Walaupun dia selalunya nampak hodoh.
Tapi hanya awak yang dia suka,oh!

Awak.
Pernahkah awak tahu betapa awak yang dia suka?
Sukanya dia hingga mengalirkan air mata.
Walaupun dia tidak pasti beberapa perkara.
Itu air mata duka.
Ataupun hujanan gembira.
Yang penting, awak ada.
Sentiasa.
Dalam hidup dia.

Nota Kaki : Zine EX-Boifren dari Azreen Yusof dah tiba.

Tuesday, October 02, 2012

Awak, Gembira Itu Dalam Jiwa.


Awak.
Aneh-aneh sahaja dia.
Tapi sebelum mula.
Dia mahu ucap sepatah kata.
Selamat pulang cinta.

Awak.
Selalunya ayat awak seketul - seketul.
Bila dia baca, rasa mahu pukul.
Tidak bolehkah awak tulis betul-betul?
Dia mahu baca terus, bukan pungut masuk bakul.
Dia faham awak pendiam betul.
Tapi apa awak tulis tadi buat dia terpana macam tunggul.
Eh, awak tulis panjang sampai dia tidak lagi wajah sugul.
Ikat rambut bentuk sanggul.

Awak.
Dia terbaca yang awak sebut awak gembira.
Dia nampak yang awak kata awak suka.
Bila dia tanya, awak kata sebab dia.
Bila dia bersungguh, awak kata itulah sebabnya.
Sebab dia - awak rasa gembira dan bahagia.
Tapi dia rasa ada benda terselindung disebalik kata.

Awak.
Tatkala dia sudah habis urusan, awak masih di tempat kerja.
Dia tanya, dan awak bilang sudah selesai segala.
Mahu pulang selepas solat terus ke teratak keluarga.
Dia senyum sahaja.
Usai solat, awak tanya pada dia.
Bolehkah awak menulis sesuatu di ruang cerita.
Dia benarkan sahaja dan mengusik jangan lupa di ruang bersama.
Awak ketawa.

Awak.
Dia dapat pesanan awak mahu pulang.
Terus sahaja dia buka ruang tulisan bersama yang dia sayang.
Ada sepuluh baris ayat memenuhi ruang.
Ah awak, ada air mata terus bergenang.
Tulisan awak buat dia bertambah sayang.
Benar awak, dia hanya ada awak seorang.

Awak.
Bahagia itu ada dalam jiwa.
Dia dapat rasa yang awak ada.
Adakah awak juga merasakannya?

[Sumber gambar]

Nota Kaki :
Kerja luar dari kawasan jajahan takluk pemerintahan selama dua hari.

Monday, October 01, 2012

Awak, Itu Bukan Takut.


Awak.
Sejak akhir-akhir ini banyak benda aneh.
Persoalan yang awak kemukakan buat hati pedih.
Mahu menjawab tapi rasa sedih.
Walaupun hakikatnya hati mendidih.
Macam rempah sedang direnih.

Awak.
Awak kata dia takut.
Awak kata mereka kecut.
Hanya disebabkan mereka tidak menyebut.
Awak hentam mereka seperti balingan sabut.
Bersembunyi di timbunan, menyelit di balik rumput.
Awak jerit lagi, tapi tidak bersahut.

Awak.
Dia bukan takut.
Untuk apa dia gentar dengan istilah pengecut?
Untuk apa dia layankan awak yang mencurut?
Bising nyaring seperti cencurut?

Awak.
Dia percaya setiap manusia ada rahsia.
Dia percaya setiap manusia ada cerita.
Tidak semua benda boleh diberikan segala.
Tidak semua perkara sedap didengar telinga.
Tidak semua kisah enak ditatap mata.
Awak masih tak mengerti apa makna?

Awak.
Bukan dia tidak mahu hebah.
Tapi untuk apa dia buka cerita yang belum sah.
Kalau apa jadi nanti, dia yang serba salah.

Awak.
Untuk apa dia rasa bersalah.
Sedangkan dia hanya simpan rahsia yang tidak salah.
Bukan dia takut benda itu dihebah.
Cuma dia enggan segalanya menjadi helah.
Bagaimana dia mahu sembunyi resah?

Awak.
Bukan awak berada di tempat dia.
Bukan awak melalui kehidupan yang sama.
Bukan awak yang menatap cemuhan umpama neraka.
Bukan awak yang menanggung sakit pedih cela.
Tapi dia.

Awak.
Kalau awak belum pernah sakit, sila ke tepi.
Dia enggan hilang kesabaran diri.
Bukan dia mahu memaki.
Dia lebih mahu tenangkan hati.
Kerana dia mahu memahami.
Apa yang sebenarnya dilalui.
Apa yang sedang terjadi.

Awak.
Cukuplah mahu buat cerita.
Apakah awak tidak tahu apa itu karma?
Hukumannya nanti awak enggan mahu percaya.
 

http://farm7.staticflickr.com/6072/6096132670_61acdfecc6.jpg
[Sumber gambar]


Nota Kaki :

Ada seorang teman di Twitter berkongsi ini, dan aku rasa mahu berkongsi di sini juga.

Bila kita berkahwin kita berkahwin dengan 3 orang.

1. Dia yang kita sangka
2. Diri dia sebenar
3. Siapa dia jadi selepas berkahwin dgn kita.

Yang ketiga ini paling penting disebabkan kita tidak akan tahu pada mulanya dan hanya akan tahu apabila sudah menjalani kehidupan bersama.

Zara : Dan aku percaya yang kita perlu menerima kesemuanya sebagaimana kita menyukai diri kita sendiri.