Monday, March 24, 2014

Kawal Gila.


Disebabkan kami masih lagi hidup berdua, kehidupan kami lebih kepada pagi keluar pergi kerja - petang balik semula ke teratak kecil bilik tiga - malam dihabiskan dengan berbual segala benda yang terjadi di tempat kerja. Barangkali sebab kehidupan kami dari sebelum kahwin sehinggalah sekarang begitulah coraknya, jadi kawan baik kami (yang tidak dapat dipisahkan) dari dulu sampai sekarang memanglah buku dan Internet.

Dasar.

Jadi, selepas menghadiri majlis kahwin seorang kenalan di Shah Alam, kami menuju ke Big Bad Box Sale di MIECC. Dengan niat nak beli dua novel terbaru FIXI, kami terjebak dengan kotak Big Bad Box yang berharga RM 99.90. Perlahan-lahan di tengah-tengah orang lain bagaikan memunggah segala jenis buku, kami tenang-tenang pergi ke kawasan yang kami dah fikirkan masa pusing-pusing tengok keadaan buku.

Pilih - letak dalam kotak - susun elok - tutup kotak - bawa balik.

http://distilleryimage5.ak.instagram.com/c531f7f6b1a111e3b22c1241d1e00121_8.jpg
Instagram Aku

Hujung minggu aku, selain daripada berusaha buat kerja sekolah, menguruskan rumah, pergi majlis kahwin, aku mulakan aktiviti membaca yang semakin lama semakin lambat (disebabkan suasana tempat kerja baru yang aku belum biasa lagi).

Malam tadi, selepas habis dua novel terbaru FIXI aku selesaikan, aku mula capai buku lain dalam kotak #BigBadBoxSale yang kami angkut dari MIECC. Suami aku pandang aku. Dia senyum dan usap kepala aku. Dia cakap :

"Jangan baca buku laju sangat. Habis buku sekotak tu awak kerjakan nanti kurang seminggu ni. Slow2 baca."

Ha ha ha.
Baiklah suami.
Saya cuba kawal gila saya.

Lord Zara : Aku ada jumpa satu buku yang menarik sewaktu di BBBS ni. Sesuai dengan keadaan diri ketika ini. Hahaha.

Saturday, March 22, 2014

Sembilan Belas.


Benda yang paling mana-mana perempuan (biasa) benci dengar adalah berat badan tiba-tiba meningkat tanpa disedari. Tambahan pula, dengan suara kuat diumumkan dalam satu bilik yang dihuni dengan ramain manusia lain, syukur juga lantai diperbuat daripada simen. Kalau daripada tanah, barangkali sudah digali dan sembunyikan muka.

Heh!

Itu salah satu ujian yang aku tempuhi dalam perjalanan pekerjaan di tempat baru. Barangkali dengan suasana yang menuntut aku kerja dengan tidak kira masa, aku jadi sedikit mengabaikan rejim pemakanan biasa aku disamping minda lebih memikirkan apa yang aku patut ambil sebagai makanan tambahan bagi meningkatkan daya tahan (serta memenuhi permintaan pengamal perubatan).

Benda begini adalah benda bukan rutin buat aku. Bahkan kali pertama berhadapan dengan kesukaran untuk menolak dan saling berbolak balik dengan pendirian sendiri. Aku mahu penuhi keinginan mengurangkan berat badan yang mendadak sebelum menemui pengamal perubatan pada pertemuan akan datang, tapi dalam masa yang sama aku perlu fikirkan khasiat yang bagus untuk badan. Ditambah lagi dengan kekangan masa, godaan juadah tak kira masa --- hidup tanpa nasi aku yang berjalan baik dahulu, malangnya aku tak boleh laksanakan ketika ini.

Tunggu.
Aku perlu dapatkan penimbang peribadi.
Jadi, naik turun pasaran saham (eh!) berat badan boleh diperhati.

http://shechive.files.wordpress.com/2013/09/morning-coffee-19.jpg?w=500
[Sumber gambar]

Lord Zara : Enaknya lihat orang mencicip minuman adiktif kegemaran aku. Sekarang aku hanya mampu perhati dan hidu aromanya sahaja. Dapat bau dari cawan orang sebelah pun sudah bikin aku gembira.