Thursday, February 28, 2013

Awak, Sayang Tidak Semestinya Memiliki.


Awak.
Terlampau sayang.
Awak jadi gila bayang.
Sudah tidak kenal malam siang.
Hanya wajah dia terpancar bagai wayang.

Awak.
Semua orang berhak menyukai.
Setiap orang boleh memilih siapa yang dekat di hati.
Tetapi, tidak semua dapat memiliki.
Dan dia, bukan untuk awak dampingi.

Awak.
Betapa awak berusaha.
Ternyata dia tetap bukan awak punya.
Bergaduh, saling tersembur darah, pecah muka.
Tetap ditakdirkan - dia hak pada yang lebih utama.

Awak.
Mungkin dulu awak cinta.
Mungkin dulu awak suka.
Mungkin dulu awak bahagia.
Mungkin dulu awak gembira.
Bersama dia.

Awak.
Tapi ternyata semuanya dusta.
Itu permainan yang dia cipta.
Dalam sedut semua rasa suka.
Habis kering adrenalin, dia tinggalkan duka.
Untuk awak hidup merana.
Sebagai balasan pernah menyakiti dia.

Awak.
Bila tiba waktu begini.
Sejauh mana awak laungkan perlu dia kembali.
Dia terus bergerak menjauhi.
Langsung tidak berpaling walau sekali.
Di jiwanya sudah terpalit rasa benci.
Sudah tiada ruang di hati.

Awak.
Sayang sekalipun tidak berguna.
Bila awak pernah buat dia kecewa.
Jatuh bangunnya tidak bermakna.
Sudah penat dia dan awak panggung drama.
Memenuhi jalan cerita entah apa-apa.
Penuh rasa dendam, memusnahkan impian segala.

Awak.
Sayang tidak semestinya memiliki.
Kadangkala apa yang digenggam terlepas terbang tinggi.
Begitu juga hati.
Boleh mati.
Dikhianati.

[Sumber gambar]

Tuesday, February 26, 2013

Awak, Bukan Bersama.


Awak.
Siapa kata bila cinta harus bersama?
Siapa mampu tentukan hala tuju jiwa?
Walaupun sekuat mana mencuba.
Mungkin terjadi perpisahan diakhirnya.

Awak.
Tiada siapa dapat menduga.
Sekuat mana berusaha.
Sekental mana tenaga.
Jika bukan milik, penghujungnya tidak bersama.

Awak.
Selamat berbahagia.
Dia hanya mampu lihat sahaja.
Kirim doa, menumpang gembira.
Atas dasar sayangkan awak, dia lepaskan cinta.

Awak.
Kalaupun satu hari nanti awak lupa.
Dia cuma berharap awak akan jadi setia.
Dengan manusia lain yang awak pilih mengganti dia.
Yang tidak mampu jadi terbaik akhirat dunia.

Awak.
Dia relakan awak pergi.
Kerana kesakitan itu sudah tidak mampu ditanggungi.
Betapa kuat dia paksa, dia sudah tidak mampu berdiri.
Untuk berjalan dia sakit, apatah lagi mahu berlari.
Lari dari kenyataan dia terpaksa hadapi.

Awak.
Jalan yang pilih memutuskan semua hubungan.
Antara awak dan dia hanya kenangan.
Tiada lagi panggilan.
Tiada lagi pesanan.
Sejarah buangan.

Awak.
Kalaupun awak tidak bahagia.
Dia harap awak tidak kembali kepadanya.
Lebih baik awak lari dan tunjukkan wajah suka.
Supaya dia tidak kesal melepaskan awak pergi dari cinta.

Awak.
Selamat jalan.
Doa agar tidak bertemu di persimpangan.
Dia benci diselebungi kesakitan.

[Sumber gambar]

Friday, February 22, 2013

Lelaki Hebat.

Buat lelaki paling hebat.
Buat cinta pertama.
Buat dia yang disayangi selamanya.


Selamat ulang tahun ke lima puluh dua.
Anak ini mungkin tidak pandai menzahirkan kasih sayang, menunjukkan rasa cinta pada keluarga dan sering menimbulkan masalah, tapi insyaAllah, akan sentiasa berusaha memenangi kasih sayang, menjadi anak yang terbaik dan tidak akan berpaling dari janji taat setia.

Buat wali saya.
Buat Abah yang sentiasa menyayangi saya.

Terima kasih tidak cukup untuk segala jasa. Aksara yang saya coretkan bukan apa-apa bahkan tidak bermakna barangkali. Tetapi, itu sahaja yang saya mampu luahkan untuk manusia yang sentiasa memikirkan saya - anak sulung yang kadangkala bagus, kadangkala perangai serupa apa.

Buat Abah.

Maaf atas segalanya.
Terima kasih kerana menghadiahkan Along senyuman paling manis setelah Along pulang dari JB semalam. Senyuman Abah tatkala tengok kek kecil dan manisan yang dibawa untuk Abah sudah cukup buat Along lega dan gembira. Maaf tidak dapat bersama hari ini sebab perlu bertugas luar kawasan lagi.

Semoga yang terbaik buat Abah.
Amin.

Nota kaki :
18 - 21 Februari 2013 = JB.
22 - 24 Februari 2013 = Segamat
25 - 28 Februari 2013 = Muar

- sent via iPad

Thursday, February 21, 2013

Bayang #4


Sembur air pada wajah.
Kurang cerah.
Ambil air sebaldi dan simbah.
Hilang resah.

Itu bukan apa dia mahukan.
Semua kenangan sudah dia humban.
Semua cerita sudah dia tulikan.
Yang dia tahu, dia ingin teruskan kehidupan.

Walau kau datang dalam bayang.
Dia tahu kau sekadar mainan wayang.

Dia sudah mengerti.
Kau sudah lama mati.
Dalam jiwa, dalam hati.
Kau bukan lagi makhluk duniawi.

Sejauh mana kau kini menyapa.
Dia sudah lupa.
Raut wajah dan rasa.
Kerna kau tidak pernah ada.
Untuk dia, selamanya.

Kau tinggal bayang.
Yang tidak pernah diundang.
Jangan pernah lagi datang.
Kerna kau sebaris jalang.

Heh bangun!
Hari sudah siang.
Jangan biar fikiran terus telanjang.
Persiapkan diri untuk hadapi sepak terajang.
Dan belajar tinggalkan bayang.

Bangkit dari ranjang.
Menuju tikar sembahyang.
Usah risaukan dia datang berbayang.
Buang rasa bimbang.

http://farm5.staticflickr.com/4128/4968313216_42c4a4bd74.jpg
[Sumber gambar]

Wednesday, February 20, 2013

Bayang #3


Lari.
Lari.
Lari.

Puas dia lari dari sinaran matahari.
Supaya dia tidak nampak bayang sendiri.
Kerana kau hadir mengekori.
Seperti cuba pegang bayang dia yang berdiri.

Pecut.
Pecut.
Pecut.

Dia bukan penakut.
Dia bukan pengecut.

Kehadiran kau membayangi.
Tinggalkan dia dari sisi.
Bebaskan dia dari belenggu kau yang sudah mati.
Tinggalkan dia dan pergi.

Dia tidak ingin kau lagi.
Walaupun mati hidup kembali.

[Sumber gambar]

Tuesday, February 19, 2013

Bayang #2


Kau datang lagi.
Bila dia tak perlukan kau di sisi.

Pergi.
Pergi.
Pergi.

Tinggalkan dia sendiri.
Untuk apa kau kembali?
Untuk teruskan penipuan sana sini?
Untuk berhujah membela diri?

Padahal kau bukan untuk dia lagi.
Kau sudah ada kehidupan baru warna warni.
Dia bukan untuk kau peduli.

Kau, sila pergi.

[Sumber gambar]

Monday, February 18, 2013

Bayang #1


Kau.
Tak bolehkah kau pergi?
Jauh dari sini.

Kau muncul macam iklan tivi.
Panjang, pendek, sesekali.
Tapi kau tetap datang hampiri.
Tak bolehkah kau mati?

Mudah kan?
Macam orang tekan punat tivi.
Butang merah atas sekali.
Kau hilang lagi.

http://farm5.staticflickr.com/4102/4763301973_8a61f6ac60.jpg
[Sumber gambar]


Sunday, February 17, 2013

Hujung Minggu.


Sabtu.
Pagi.

"Bidang kerja dah tak sama."
"Maksudnya?"

"Banyak benda nak kena buat. Pening kepala."
"Kerja makin banyak?"

"Makin banyak pun ya. Sakit kepala nak siapkan"
"Habis tu, tengah buat kerja ke ni?"

"Ya. Tengah buat kerja"
"Tapi hari ni Sabtu!"

"Dah kerja nak buat camne?"
"Pergi pejabat?"

"Tak. Kerja dari rumah"
"Oh, baik"


Sabtu.
Malam.

"Esok nak keluar dengan budak LR"
"Oh, baik"

"Esok awak buat apa?"
"Pergi sekolah"

"Sekolah? Ada apa sekolah?"
"Latihan olahraga. Persediaan dengan budak-budak"

"Tapi esok Ahad! Ahad sekolah apanya?"
"Awak pun kerja hari Sabtu"

"Tapi saya kerja dari rumah"
"Kalaulah padang itu boleh dibawa tepi rumah kan?"


http://distilleryimage4.s3.amazonaws.com/525582a46ba511e2b45222000a1f97b0_7.jpg
[Instagram aku] : Kenangan 15 September 2012 - Habiskan masa dengan bekerja sambil menunggu orang bekerja.

Ahad
Pagi.

"Saya pergi sekolah dulu"
"Jaga diri"


Ahad.
Tengah hari.

"Saya dah balik dari sekolah"
"Saya keluar dulu"


Bila nak kenal hari cuti ni?
Alahai.


Saturday, February 16, 2013

#24 : Ini Cerita Seorang Perempuan.


Salam.
Sudah separuh Februari dilalui sejak kali terakhir aku menulis dalam siri ini. Ternyata kesibukan dengan pekerjaan dan menguruskan hal peribadi sangat memakan tenaga diri. Alhamdulillah, aku punya keluarga, kawan-kawan, kenalan yang meringankan sedikit beban dengan nasihat dan bantuan mereka.

(sedang khayal mendengarkan Just Give Me Reason : Pink ft Nate Ruess)

Februari setakat ini masih berjalan dengan baik. Sekurangnya untuk aku walaupun aku rasa separa badan melayang (tetapi berat badan bertambah - macam mana tu?) atas urusan kerja sekolah dan peribadi. Jadual aku seperti yang dijangka sudah mula dipenuhi dengan pelbagai perkara. Dari urusan pengajaran sehinggalah kepada sukan dan perkhemahan, satu demi satu sudah masuk ke dalam takwim peribadi. Gembira? Sudah tentu walaupun aku tahu ada benda lain yang perlu aku korbankan.

Bertindan.
Sejak awal bulan, ada beberapa agenda atau program yang bertindan dan aku perlu bertindak bijak (walaupun nampak bodoh dan rugi) demi menjaga hati beberapa pihak. Setiap kali ada program yang bertindan dengan sekolah dan kepentingan peribadi, setakat ini nampaknya aku masih mendahulukan sekolah walaupun peluang yang aku sudah terlepas ini adalah benda yang aku dah tunggu selama tiga tahun. Ya, tiga tahun tapi atas kesilapan teknikal sebelah pihak, aku terlepas peluang dan aku duduk berkhidmat di sekolah (dan aku gembira juga lihat keputusan yang membanggakan).

Minggu keempat dalam Februari bakal bermula - dengan tiada satu hari pun aku bakal berada di rumah. Ya, bekerja di luar lagi, meninggalkan tugasan di sekolah untuk berkhidmat di jabatan selama empat hari dengan membawa pelajar dan tiga hari berikutnya aku masih tidak tahu di mana lokasi aku - sama ada di Kluang untuk kejohanan catur negeri mengiringi pelajar aku ataupun di Segamat untuk perkhemahan sekolah sendiri. Punyalah tidak pasti mana yang aku patut ikuti. Yang ini sungguhlah tersepit sebab ia melibatkan murid-murid juga. Kalaulah tak bertindan, mesti aku sangat gembira sebab kedua-duanya mampu gembirakan pihak sekolah.

Haish!

Buku nota.
Memandangkan diri aku adalah sangat serabut disebabkan aku menguruskan diri sendiri dan memikirkan banyak perkara tanpa ada pembantu peribadi (ewah!) - aku kembali kepada zaman manual diri. Aku tulis segala benda yang aku perlu buat dan aku uruskan di dalam buku dan tidak dalam gajet yang aku ada. Maaf Altamis sayang. Maaf iDraki tercinta. Aku lebih percaya dengan apa aku tulis guna tangan walaupun aku ternyata kembali ke zaman sedikit kuno. Hah!

Tetapi, serius ada kebaikan dengan perkara ini.

Memandangkan aku dalam kekangan kewangan - sebab tidak guna membazir untuk benda yang tidak berapa penting (lebih murah tetapi cantik dan menarik adalah keutamaan), maka masa aku di hadapan Sean adalah lebih banyak. Manusia macam aku malas menerawang dari satu kedai ke satu kedai, tetapi aku bertanya pada orang serta gunakan enjin carian Google untuk cari benda yang aku mahukan. Dan aku ada senarai setiap tempat yang murah dan berbaloi serta mempunyai latar belakang yang boleh dipercayai.

Jadi, setelah membuat persiapan yang agak rapi, pagi tu aku bergerak ke sebuah kedai yang ada dalam senarai. Cawangan di bandar kediaman. Sebelum aku keluar rumah, aku periksa sekali lagi senarai harga dan maklumat yang aku ada. Biasalah, skema. (sambil betulkan tudung depan cermin)

Selepas jumpa kedai yang aku cari bersama dengan sepupu, mulakan urusan dengan orang yang langsung tak angkat telefon masa aku buat panggilan - marilah kita masuk dan berurusan. Jam menunjukkan hampir jam 12 tengah hari dan orang macam baru buka kedai. Tak mengapalah, kalau mereka sudi terima kita masuk, dah cukup bagus.

Aku : Saya datang ni nak buat urusan tempahan.
Wanita 1 : Boleh. Ni contoh barangan kami.
Aku : Saya dah tengok di laman web, dah tahu apa saya nak.
Wanita 1 : Oh, dah tengok.
Aku : Saya dah ada rekaan sendiri juga.
Wanita 1 : Oh, kalau ada sendiri punya, kena tambah RM 80.
Aku : Eh, kenapa?
Wanita 1 : Memang macam tu harga.
Aku : Dalam laman web tak tulis macam tu pun.
Wanita 2 : Oh, lain ke? Sekejap, saya telefon HQ.

(Wanita 2 telefon HQ)
Aku : Berapa harga kalau saya nak tempah dalam 1000 ke atas?
Wanita 1 : Ni senarai harganya.
Aku : Eh, kenapa harga macam ni? Saya tengok pagi tadi sebelum datang lain.
Wanita 1 : Ada harga baru ke?
Aku : Ada. (sambil keluarkan buku nota aku)
Wanita 1 : Oh, kalau awak nak harga begini kena pergi HQ.
Aku : Pergi Melaka?
Wanita 2 : Kalau ada rekaan sendiri, akak kena pergi Melaka.
Aku : Serius?
Wanita 1 : Kami cawangan je.
Aku : Tak mengapalah. Terima kasih.

Aku rasa dua wanita tu mesti bengang berurusan dengan aku yang keluarkan nota terperinci tentang apa yang aku mahukan - siap dengan senarai harga untuk berapa jumlah yang aku mahukan, yang aku ambil di laman sesawang mereka. Maaflah. Aku memang sangat begitu sehingga ada kawan aku yang kebetulan ternampak buku aku itu terkesima. Dia kata aku macam buat nota bahan dan barang.

Ha ha ha.
Aku dari dulu sampai sekarang adalah sangat penakut apabila membuat urusan yang melibatkan wang yang boleh dikatakan banyak (banyak pada aku sebab pendapatan aku sederhana sahaja) dan melibatkan ramai pihak. Takut tertinggal, takut terlupa, takut terhutang dan sebagainya, maka buku nota adalah sangat sesuai dengan aku (dan sebab aku dah koyakkan bahagian iklan dalam buku ini - maka aku rasa lebih bahagia). Heh!

Dan aku ada tambahan nota dalam buku ini sekarang. Nombor telefon rakan-rakan di UTM Skudai dulu. Hello budak Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (Kimia) - SPC sekalian. Aku tahu ada di antara kalian yang baca ini. Aku rindu kamu semua!

Santai Kerja.
Dalam perkhabaran lain, aku dah lupa apa waktu santai memandangkan walaupun hujung minggu sepatutnya digunakan untuk berehat - aku dah gunakan untuk bekerja juga. Ternyata bukan aku seorang sebab aku sudah punya regu yang gunakan waktu hujung minggu untuk bekerja - dari urusan pejabat hinggalah urusan peribadi. Jadi, memang sesuai sangat, kerja dan buat urusan sehingga berjam-jam, menguruskan hal sekolah, pejabat, peribadi sambil minum kopi bersama - tetapi otak dan tangan masih cuba selesaikan macam-macam urusan kerja. 

http://distilleryimage10.s3.amazonaws.com/515c45586dea11e2b0f022000a9f1369_7.jpg
[Instagram aku] : Terima kasih untuk minuman yang menepati selera aku (kami) wahai Badiah sayang.

Sekejap.
Mana santainya?

Alahai.
Ini pun aku masih bekerja lagi.

Selamat berhujung minggu semua. Aku tinggalkan kalian dengan ucapan terima kasih tidak terhingga kerana menyokong tulisan aku, menyokong aku secara peribadi dan berkongsi banyak perkara dengan aku di sini, FB dan juga Twitter. Terima kasih sangat.

Friday, February 15, 2013

[Ulasan] : Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman - Dr. Shah Ibrahim


Salam semua.
Selalunya aku mengulas buku atau novel. Tapi kali ini aku akan menulis tentang sebuah novel grafik yang bertajuk "Catatan Pengembaraan Seorang Flowerman" - karya sulung Dr. Shah Ibrahim. Buat pengetahuan semua,  novel grafik ini adalah berdasarkan kisah benar beliau sendiri dan ya, beliau juga yang lukis sendiri (dah kata novel grafik beliau kan?). Heh.

Rentetan peristiwa.

12 Februari 2013.
Aku terima email dari penulis buku ini yang bertanya sama ada aku sudi membaca dan membuat ulasan tentang karya sulungnya ini.

13 Februari 2013.
Aku terima email lagi yang menyatakan bahawa buku ini dalam perjalanan ke rumah.

14 Februari 2013.
Buku ini sampai - dihantar oleh encik posmen yang setiap kali akan tersengih sebab muka aku adalah muka orang yang tak keluar rumah, tapi ada sahaja barang yang sampai. Aku mulakan baca sekitar lepas Asar dan habis dibaca sebelum Maghrib.

http://distilleryimage1.instagram.com/47d60180769211e2a2f822000a1f97e4_7.jpg
[Instagram aku]

Ulasan :

1. Kulit.

Setiap kali aku dapat buku, aku akan perhatikan kulitnya terlebih dahulu. Dari satu segi, keadaan fizikal kulit buku yang keras/tebal - sangat mengundang untuk dibaca. Aku tak akan sentuh tentang unsur letakan grafik dan sebagainya, tetapi tajuk yang menarik boleh mengundang minat pembaca. Mungkin dari aspek tulisan tajuk itu - bakal buatkan kita dekat untuk meneliti tajuk disebabkan tulisan berkerawang. Heh.

http://distilleryimage11.instagram.com/f63f0e60770a11e290a322000a9f1438_7.jpg
[Instagram aku] - Kulit belakang buku. Nampak kapsyen bawah gambar? Boleh dapat gambaran? Bagus.

Selain daripada kulit buku yang menarik perhatian, aku rasa yang buatkan aku teruja mahu baca buku ini (sebagai peminat novel grafik) - adalah kertas yang digunapakai. "Glossy paper" yang tebal. Jadi, bila kau selak halaman demi halaman - kalah baca majalah fesyen. Kertasnya sahaja sudah buat kau teruja mahu membaca dan ya, sebab selalunya kalau baca novel grafik, aku ada masalah nak buka halaman seterusnya (sebab kertas biasa, dan kau perlu lembapkan jari sedikit) - tapi buku/novel grafik ini tidak perlu. Mudah dibuka atau diselak ke halaman seterusnya.

2. Isi.

Dari segi pengisian aku boleh katakan yang novel grafik ini membawa kita kepada satu kisah suka-duka-pahit-manis yang dilalui oleh penulis/pelukis itu sendiri sepanjang pengajian beliau di Leeds University. Dari masalah yang dihadapi ketika menjalankan penyelidikan hinggalah kepada keadaan yang dialami untuk menyiapkan tesis.

Tetapi.

Fokus utama selain daripada kisah pembelajaran beliau, adalah kisah percintaan yang aku boleh katakan sedikit tragis walaupun pada mulanya sangat menarik.Aku percaya ada kalangan kita yang melalui fasa sedemikian dalam hidup - ada orang yang kita selalu pandang, ataupun pernah terserempak dan akhirnya setelah beberapa tahun, terjumpa semula. Menimbulkan minat dan seterusnya perlu dibaca sendiri novel grafik ini.

http://distilleryimage5.instagram.com/21f16dae76a311e2b7d622000a1f968a_7.jpg
[Instagram aku] - Salah satu adegan dari novel grafik ini.

Selain daripada jalan penceritaan (yang aku masa baca terfikir nak ajak beliau menulis/melukis di Terfaktab) - aku suka dengan penceritaan berdasarkan kisah benar dengan gambar-gambar kenangan serta menyerupai travelog (dengan maklumat menarik) yang walaupun kau tidak pernah menjejakkan kaki di negara Eropah, tetapi boleh dibayangkan.

http://distilleryimage0.instagram.com/aa1bc5cc76a211e290cd22000a1f90d7_7.jpg
[Instagram aku] - Antara halaman dalam novel grafikini : Eiffel Tower - aku ada masalah untuk suka tempat ni selepas banyak benda terjadi dalam hidup :)

Pengisian dalam novel grafik ini adalah berdasarkan pengalaman beliau sendiri. Aku jujurnya rasa ia sesuai dibaca oleh semua golongan masyarakat, lebih-lebih lagi oleh pencinta novel (sebab tak perlu susah-susah nak imaginasi, semua dah siap terlukis) dan memandangkan ia ditulis/dilukis oleh pemegang Doktor Falsafah, ramai pelajar yang mengalami jatuh bangun sewaktu belajar, boleh membaca buku ini. Mana tahu masa baca kau akan - "Hey, ini macam situasi aku!".

3. Pandangan peribadi.

Ha ha ha.
Aku sengaja selitkan ini disebabkan aku membawa novel grafik ini dalam keadaan pelbagai. Secara keseluruhannya aku suka tetapi ada bahagian di mana watak lelaki yang muncul di sebelah Lily buat aku tersentap dan teringatkan kisah silam. Jadi sedikit sebanyak, aku memang emosi dan boleh katakan hampir nak marah setiap kali nama tempat tu muncul. Perjalanan beliau dari UK ke Paris juga membuatkan aku sedikit emosi sebab ada sedikit menghantui aku dari kisah silam. Heh.

Itu sahaja. 

4. Cara pembelian.

1. Boleh beli secara terus daripada Dr Shah Ibrahim di laman sesawang beliau - MrFlowermanStudio (sini) . Cara pembayaran dan bagaimana berurusan semuanya telah dinyatakan di sana.

Harga (termasuk penghantaran pos laju)
Semenanjung : RM 40.
Sabah dan Sarawak : RM 44.

2. Belum ada di kedai-kedai buku lagi atas alasan tertentu pihak kedai bila karya sulung dan penerbitan pertama sesebuah syarikat. Biasalah kan benda begini? Tapi nanti aku mahu cuba anjurkan pada Terfaktab Media, kalau mereka sudi mahu memasarkan novel grafik ini.

3. Selain itu, kalian boleh membaca ataupun melihat sendiri hasil lukisan Dr. Shah Ibrahim ini di laman FB beliau - Mrflowermanstudio

http://distilleryimage4.instagram.com/2849800c770b11e2b7ab22000a1f90e7_7.jpg
[Instagram aku] : Nampak ada tandatangan beliau? Kenapa tiada xoxo macam Lily? Eh.

Thursday, February 14, 2013

Awak, Hati Yang Pecah Kembali.


(lagu latar : Taylor Swift - I Knew You Were Trouble)

Awak.
Orang kata kita akan jumpa orang salah.
Supaya kita tidak akan pernah mengalah.
Walaupun diselubungi rasa bersalah.

Awak.
Permainan awak terlampau kejam.
Sana sini awak luahkan sayang siang malam.
Dalam satu waktu, sini luah, sana diam.
Setiap tahap awak lalu sambil pejam.

Awak.
Tidak pernah ada rasa kesal?
Buat ramai manusia hidup dalam sesal.
Dosa awak, awak punya pasal.
Setiap mereka terdetik sedih pernah kenal.

Awak.
Dia senyum bila dia kenang kembali.
Alasan awak bila tidak dapat hadirkan diri.
Penuh dengan alasan tidak punya cuti.
Dengan surat sokongan buat sendiri.
Baru kini dia faham kenapa awak sentiasa menyendiri.
Tiada teman yang memahami.

Awak.
Mungkin dia tidak akan melupakan.
Setiap saat yang pernah dihabiskan.
Setiap detik yang pernah dibazirkan.
Menunggu awak secara tidak berkesudahan.

Awak.
Dia ajar diri dengan pelbagai alasan.
Setiap satunya tidak pernah masuk akal fikiran.
Dia berikan awak peluang setiap kali awak buat rayuan.
Setiap kali awak datang dan selubungi dengan pujukan.
Dia kalah setiap kali ayat awak penuh manisan.

Awak.
Satu demi satu peluang diberikan.
Yang awak janjikan hanya penipuan.
Dia menunggu pesanan.
Dia menunggu panggilan.
Awak tidak datang hingga hanya satu mampu fikirkan.
Awak sudah dijemput kematian.

Awak.
Awak sering mengingatkan dia.
Jangan pernah biarkan maklumat peribadi tersebar pada dunia.
Jangan pernah buka cerita.
Jangan pernah kongsi terlampau banyak pada alam maya.
Jangan pernah masukkan gambar ikut suka.

Awak.
Tapi awak lupa.
Sejauh mana awak dan dia berjaga.
Ada manusia lain yang galak bercerita.
Buka satu demi satu rahsia yang tersimpan di dada.
Tanpa sedar ia menarik perhatian mata.
Walaupun hakikatnya awak cukup berahsia.

Awak.
Suatu ketika dulu dia tidak pernah terdetik penyesalan.
Tetapi terlampau banyak kisah berlambakan.
Setiap kata awak dulu hanya lidah pinjaman syaitan.
Awak buaikan perasaan.
Rupanya kisah awak dan dia hanya penipuan.
Awak punya mereka yang lain ambil peranan.

Awak.
Dia dan awak hanya salah satu jalan penceritaan.
Dia dan awak hanya salah satu episod percintaan.
Dia dan awak hanya salah satu kisah penipuan.
Untuk awak teruskan kehidupan.
Ibarat parasit sedut kebahagian.
Ibarat Dementor sedut kegembiraan.
Untuk jadikan tenaga tambahan.

Awak.
Dia sudah lama terima.
Yang awak bukan untuk dia.
Kisah awak dan dia sudah tinggal sebuah cerita.
Tetapi kenyataan baru yang dia dipaksa lihat buat dia terkesima.
Terlampau lama dia ditipu dan tutup mata.
Awak dan mereka main drama.
Penuh pura-pura.

Awak.
Hati yang sudah cantik terjaga.
Berkecai semula.
Hilang sudah dia rasa mahu persahabatan mulia.
Kerana penipuan awak sudah buka mata.
Dan dia rasa bebal juga.
Kerana terlampau percaya.

Awak.
Dia tahu perkara paling cerah.
Awak dan dia hanya tinggal sejarah.
Walaupun awak kerat lidah.
Walaupun awak cederakan lengan hingga berdarah.

Awak.
Selamat cari mangsa seterusnya.
Dia mahu cari bahagia.
Untuk dia.

http://farm8.staticflickr.com/7225/6872042234_5ef3405c9b.jpg
[Sumber gambar]

Nota Kaki :
Buat yang menulis pada aku di FB supaya aku tulis kisah/puisi cinta sempena hari orang terlebih ambil berat tentang kasih sayang dan cinta ini - malangnya aku tulis kisah tentang menyedihkan seseorang yang cukup rapat dengan aku. Moga dia kuat dan sesiapa yang punya kisah serupa - moga kalian juga kuat untuk melangkah ke hadapan.

Sunday, February 10, 2013

Awak, Itu Peringatan - Bukan Ungkitan?


Awak.
Selamat datang ke dunia realiti.
Tempat di mana awak berpura baik, sembunyi hati.
Laman maya jadi taruhan buang tahi.
Baling batu dan terus sembunyi.

Awak.
Gelanggang maya sudah awak cerobohi.
Lantang segala aksara hasil tusukan papan kekunci.
Jaguh maya - berselindung dengan barisan huruf berdiri.
Tanpa awak sedar ada mata yang memerhati.
Oh, bukan si Kiah Propa rancangan Galaksi.
Tapi dari mereka yang punya ikatan khabarnya sampai semati.

Awak.
Tujuan awak masih kabur.
Barisan perkataan, pesanan awak tampak berterabur.
Sukar untuk pastikan sama ada awak cuba menghambur.
Tetapi jelas yang awak sakit dubur.

Awak.
Peluru tabur awak gunakan.
Dengan alasan tiada yang tepat sebagai sasaran.
Hanya sekadar kosongnya laungan.
Oh, satu kesilapan.
Itu bukan mengungkit, tapi peringatan.
Itu yang awak katakan.

Awak.
Itu bukan untuk sesiapa.
Kononnya.
Tapi awak sudah tujukan secara terbuka.
Kononnya hanya bagi mereka yang tidak akan dapat baca.
Barangkali tidak mereka yang awak unjurkan kepadanya.
Tetapi masih dapat dijaja.
Masih dapat jadi bahan berita.
Masih lagi gempar - gegak gempita.

Awak.
Mudahnya meruntuh dari membina.
Menuntut ilmu tinggi, awak pasti pernah dengar atau baca.
Merantau ke sana ke mari, awak pasti pernah terjumpa.
Sayangkan ilmu yang dipelajari tidak dapat diguna.
Akal terjual, ilmu langsung tidak berharga.
Takkan ilmu setinggi gapaian angkasa.
Tetapi kebebalan sama tinggi sehingga tak tercapai dek tangga?

Awak.
Betapa ada yang masih mahu melindungi.
Melihat itu semua - tetapi masih tolak tepi.
Memandangkan awak anak kecil yang perlu diajari.
Melihatkan awak bertindak ikut suka hati.
Kebosanan buat awak lupa diri.
Kejumudan buat otak awak tidak berfungsi.

Awak.
Tapi yang mereka nampak satu ugutan.
Lebih kepada satu amaran.
Lebih kepada anak kecil hilang mainan.
Lebih kepada si nakal yang benci suasana aman.
Mahu bikin hingar supaya ada yang bakal beri perhatian.

Awak.
Dia juga punya perasaan.
Setiap aksara awak bawa kesakitan.
Setiap perkataan bawa penghinaan.
Setiap ayat menghiris maruah menjadi kepingan.
Sekali lagi itu bukan satu ungkitan.
Tapi adalah peringatan.
Ya, awak katakan.

Awak.
Rupanya kasih sayang kita beli dengan kekayaan.
Rupanya dasar hormat kita beli dengan wang berkoyan.
Rupanya senyuman manis itu hanya sembunyi kebenciaan.
Oh, itu rupanya tonggak ikatan.
Longgokan harta tak habis makan.

Awak.
Gelanggang awak sudah buka.
Dari dia yang tidak tahu apa-apa.
Sehingga jadi bahan cerita.

Awak.
Permainan bakal bermula.
Dari dia yang terpinga-pinga.
Orang mula tadahkan dia dengan berita.
Dia baca, telaah setiap aksara.
Terpahat, lekat satu demi satu dalam kepala.
Oh, ini rupanya.

Awak.
Dia akan datang nanti.
Untuk bertemu dan lunaskan hutang yang awak perlu kemaskini.
Untuk setiap hadiah yang perlu dibayar kembali.
Untuk setiap sedekah yang dipulang sekali dengan pokok, bunga dan isi.
Untuk setiap makanan yang bertahun sudah jadi tahi.
Untuk setiap titisan peluh yang menitis atas bumi.
Untuk setiap minuman yang dikencing duduk atau berdiri.
Setiap satunya akan dibayar nanti.
Supaya di hari pembalasan tidak ditagih lagi.

Awak.
Bila dia datang awak jangan lari.
Jangan main sembunyi-sembunyi.
Dia mahu tunaikan janji.
Yang awak tagih tanpa hirau mata, kepala, jiwa yang memerhati.

Awak.
Kalau lembaran kertas tidak mencukupi.
Kalau halaman sosial sudah terbatas aksara mampu diisi.
Kalau talian telefon langsung tidak dapat dihubungi.
Kalau jahanam semua sudah alat komunikasi.
Usah khuatir, susah hati.
Dia akan terus menghadap depan rumah nanti.

Awak.
Biar selesai tanpa ada siapa sakit hati.
Biar tamat tanpa ada spekulasi.
Biar dia tanggung sampai mati.

Awak?
Buktikan sebaliknya dengan apa yang awak katakan.
Buktikan yang awak tidak akan jadi seperti mereka yang awak ingatkan.
Ya, buktikan.
Sebab itu kan bukan ungkitan.
Itu cuma peringatan.
Yang awak nyatakan.

Awak.
Sediakan buku kira-kira dahulu.
Dia bersedia dan menunggu.
Buku kira-kira itu.

http://farm2.staticflickr.com/1341/900673849_7bb4d8b362.jpg
[Sumber gambar]

Zara : Untuk yang meminta supaya aku tuliskan ini untuk dia, terima kasih kerana menulis begitu panjang memberikan pendapat dan berkongsi sesuatu untuk aku kongsikan dengan pembaca pula.

Thursday, February 07, 2013

Awak, Itu Bukan Tipu Atau Palsu.


Awak.
Dia datang lagi.
Dalam keadaan yang tidak diundang - mesti.
Apatah lagi dalam keadaan cuba mengelak benci.
Entah mengapa, dia asyik kembali.

Awak.
Dia datang berbual seperti selalu.
Tanpa ada rasa segan silu.
Tanpa rasa malu.
Walaupun hati awak dipukul pilu.
Apa manusia ini tidak sedar apa berlaku?

Awak.
Memang dia pencetus segala kisah sedih.
Dia pernah buat jiwa awak mendidih.
Buat hati awak pedih.
Dia mungkin tidak sedar yang awak lembut bagai dadih.
Dan cuba untuk terus menyisih.

Awak.
Dia mungkin tidak mengerti.
Bahawa dia layak dibenci.
Tetapi awak kawal diri.
Bagai tiada apa yang terjadi.

Awak.
Dia datang meneruskan perbualan.
Awak terima dengan senyuman.
Hati awak merungut tanpa keikhlasan.

Awak.
Itu bukan menipu.
Itu bukan menyamar palsu.
Itu cubaan daripada hati penuh rasa ngilu.
Dia datang dan awak tidak pernah ada kekuatan menghalau lalu.
Perlu terima walaupun hati membeku.

Awak.
Bila kesabaran pecah.
Jangan sampai berdarah.
Selagi boleh, bertahanlah.
Jangan sampai tumpah darah merah.
Untuk manusia pencetus masalah.

Awak.
Dia masih manusia.
Awak juga.

[Sumber gambar]

Tuesday, February 05, 2013

Awak, Sampai Bila Mahu Drama?


Awak.
Maaf.
Tak layak guna awak.
Guna kau lebih bagus.

(berdehem dan mula semula)

Kau.
Penipuan apa lagi yang mahu ditayang?
Tangisan apa lagi yang mahu berbayang?
Ketawa kau penuh gelinjang.
Tanpa kau sedar penipuan sudah terlanjang.

Kau.
Datang depan dia penuh air mata.
Menangis tidak tentu hala.
Ceritakan segala keburukan manusia yang kau puja.
Tanpa sedar kau dan dia berkongsi cerita.
Punya latar belakang serupa.
Dia tersenyum cuma.

Kau.
Hempas gelas di tangan.
Berderai kaca bertaburan.
Dia senyum lantas panggil pelayan.
Melihat kau yang tidak mampu kawal perasaan.
Atas segala kecurangan hingga berlaku perpisahan.

Kau.
Kau kata kekasih kau manusia paling durjana.
Mempermainkan hati kau yang khusus buat cinta.
Tapi kau lupa satu perkara.
Bagaimana kau dan si kekasih mampu bersama?
Bukankah dengan merampas dari dia?
Bukankah dengan menipu dia selama beberapa purnama?

Kau.
Dia senyum tengok kau meracau.
Sedikit pun hatinya tidak gulau.
Apatah lagi mahu jiwa kacau.
Kekasih yang sudah jadi bekas kekasih adalah milik kau.
Sudah dilepaskan supaya matanya tidak ditipu silau.

Kau.
Dia masih duduk senyum lagi.
Bukan dia tidak bersimpati.
Cuma dia mahu kau ingat kembali.
Bagaimana semuanya bermula - apa yang dilalui.
Permulaannya bagaimana dan bagaimana ia dikahiri.

Kau.
Hari tu kau datang menangis separa gila.
Kini kau sedang bergembira.
Kau lupakan segala episod duka.
Dengan manusia yang dia pernah suka, tapi kau ambil cinta.
Dia tersenyum sahaja.

Kau.
Tangisan kau hari tu bukan kali pertama.
Entah berapa kali - dia malas mahu mengira.
Dia menunggu kau datang lagi menyapa.
Kerana dia tahu kau pasti mahu panggung cerita.
Hiasi dunianya dengan cerita.
Dengan tangisan sebagai perisa.
Penuh drama.

Kau.
Hari tu kau kata kekasih itu sampah.
Hari tu kau kata habis manis, terus bersepah.
Kau kata dia manusia kau paling menyampah.
Sekarang sudah jadi lain pula - terus angkat jadi amanah?

Kau.
Berhenti jaja cerita.
Kalau kau bahagia, kau layan sahaja.
Kalau kau derita, bukankah kau pemulanya?

Kau.
Dia hanya mahu perhati.
Kerana ada sesuatu yang dia pasti.
Kau bakal muncul lagi.

Dia?
Senyum sahaja.
Bukan dia kalah maksudnya.
Sebab untung mengalah pada mula.
Dan pengakhiran - julang piala di udara.

[Sumber gambar]
Altamis Awraq.
0600 - 5 Februari 2013.

Monday, February 04, 2013

Awak, Tidak Semestinya Dengan Dia.


Awak.
Mengapa mahu lagi ditunggu dia?
Yang sudah tiada lagi cinta.
Yang sudah makan rasa gembira.
Manisan sudah tukar cuka.

Awak.
Mengapa lagi mahu dikejar hingga gila?
Apabila awak sudah cukup berusaha?
Tetapi dia enggan mahu setia.
Tetap mencari cinta baru ikut suka.

Awak.
Mengapa biarkan maruah diinjak?
Mahu tunggu sampai diri diterajang, disepak?
Mahu tunggu sampai diri ditampar, disepak?
Mahu tunggu sampai mati kena pijak?

Awak.
Kalau dia sudah tidak mahu.
Berhentilah jadi penunggu.
Tidak perlu buang waktu.
Untuk manusia begitu.

Awak.
Buang sahaja rasa simpati.
Tanpa awak, dia masih boleh hidup sendiri.
Tanpa awak, dia masih kekal berdiri.
Tanpa awak, dia  boleh cari cinta lain lagi!
Apa perlu awak terus menanti?

Awak.
Tak perlu korbankan segala demi dia.
Bukan dia pandang awak siapa.
Dia tidak ingat bantuan awak masa dia jatuh papa.
Dia lupa masa susah awak sanggup jual segala.
Supaya dia dapat bangun dari jatuhnya.
Sekarang dia sudah bagus, awak dia buang begitu sahaja.

Awak.
Ini bukan soal mengungkit.
Cukuplah lepaskan anjing tersepit.
Kalau dia baik, mungkin dia terus lari balik selepas menyalak sakit.
Kalau tidak, tangan awak mungkin akan digigit.
Sekarang ini - awak rasa perit.
Dia menyalak atau menggigit?

Awak.
Setiap manusia ada harga.
Boleh dengar lagu Katy Perry kalau awak lupa.
Janganlah jual lelong diri sendiri pula.
Hargai diri kita.
Cukuplah duka.

Awak.
Kalaupun dunia berpusatkan dia.
Awak masih punya banyak benda.
Dari Yang Maha Esa hingga keluarga.
Untuk apa menanti dia?
Orang luar tanpa ikatan bermakna.
Bahkan merosakkan jiwa.

Awak.
Cukuplah.
Sayangi diri sendiri - bukanlah payah.
Cuma berhenti dari cari masalah.
Dari dia yang banyak helah.

Awak.
Berhenti persiakan masa.
Masih banyak orang di luar sana.
Yang mencari pasangan setia.
Untuk mendirikan rumahtangga.
Bukan setakat jadi mainan di waktu gembira.

Awak.
Percaya janji Tuhan kan?
[Sumber gambar]


Friday, February 01, 2013

#23 : Ini Cerita Seorang Perempuan.


Hari ini sudah 1 Februari.
Semakin lama semakin pendek masa yang dipinjamkan untuk berada dibawah jagaan mereka yang melahirkan, membesarkan serta mendidik sehingga sekarang ini dan aku percaya mereka tidak akan menolak untuk terus bersama kerana hubungan itu akan sentiasa ada dan aku tidak akan pernah lari dari mereka. Sudah tentu, doa untuk terus kekal dalam lingkungan yang sama situasi yang sama sentiasa aku pohonkan dari Yang Maha Esa.

Bila mana masa semakin suntuk, aku cuba untuk hargai setiap detik yang dilalui. Mungkin aku kurang pandai untuk tunjukkan secara terang-terangan, tetapi disebalik setiap tindakan, aku cuba beritahu mereka bahawa aku masih lagi kepunyaan mereka dan sentiasa akan menjadi kepunyaan mereka walaupun hakikat itu mungkin akan berubah apabila masa itu tiba. Ternyata, aku seorang yang tidak dapat membayangkan segala apa yang diberitahu oleh guru sewaktu sekolah agama dahulu - aku perlu (akan) hadapi dalam masa yang bakal ditentukan lagi.

Sudah tentu aku sangat berterima kasih dengan mereka. Memberikan aku peluang untuk memilih jalan dalam hidup aku sendiri buat pertama kali - memberikan kepercayaan yang bukannya mudah, alangkah memilih kursus pengajian juga ditentukan - tetapi kali ini, keputusan yang bakal mengubah kehidupan aku sepenuhnya (?) - tetapi aku harap aku kekal sama - diberikan ruang untuk aku memilih, menentukan apa aku mahukan, dengan mengambil kira perasaan aku.

Ternyata, celaka sungguh pemikiran aku suatu masa dahulu - tatkala kawan-kawan masa zaman persekolahan dan pengajian dapat berkongsi semua benda dengan ibubapa mereka dan aku berasa sedikit kecewa kenapa aku tidak boleh melakukan sedemikian (maaf Abah Emak) - sudah ditebus dengan sejak aku mula bekerja dan aku mampu berbicara dengan lebih baik dengan mereka. Benda yang memang sepatutnya dibualkan pada usia yang seharusnya boleh dibincangkan dengan secara terbuka (nampaknya aku bergerak menerusi zaman, orang lain yang lebih maju dari aku dahulu). Eh.

http://distilleryimage10.s3.amazonaws.com/63173cb46b9511e2802422000a9e0927_7.jpg
[Instagram aku]

Dipinjamkan aku banyak benda dari aku lahir ke dunia sehinggalah sudah berusia 25 tahun ini - tiada kata yang mampu diucapkan selain Alhamdulillah, memberikan aku peluang yang bukan sedikit untuk belajar dan terus belajar tentang semua benda yang wujud atas dunia. Mengenali, berkenalan, dikenali dan sebagainya - sehingga mendapatkan persetujuan daripada mereka yang membesarkan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

Bongkaknya manusia kalau mereka boleh kata yang mereka mampu hidup tanpa manusia lain. Sekurangnya, kalau aku dulu pernah jadi 'lone wolf' di zaman pengajian, aku tidak pernah menolak kepentingan manusia lain dalam hidup aku. Bagaimana aku mampu untuk belajar tanpa pensyarah? Bagaimana aku mampu untuk makan tanpa peniaga makanan? Bagaimana aku mampu untuk membuat salinan buku tanpa ada mesian pencetak yang dipunyai oleh manusia juga?

Nah!
Mana boleh lakukan sedemikian rupa. Begitu juga apabila aku mula memikirkan, apakah aku mampu untuk terus hidup sendirian tatkala satu demi satu perjalanan cerita menemui noktah sebelum sempat bermula. Adakah senyuman masih boleh diteruskan tatkala anak-anak rakan sudah mula menemui aku dan memanggil aku cikgu? Adakah senyuman masih boleh terukir tatkala anak-anak kepada anak murid aku juga memanggil aku cikgu? Heh!

Sukar untuk aku bayangkan untuk melalui usia sedemikian rupa - walaupun banyak perancangan dalam kepala sekiranya aku perlu melalui itu semua. Hello, kalau Plan A tidak berjaya, kita ada sampai plan Z. Kalau Plan Z tidak berjaya, kita boleh buat Plan macam nombor pendaftaran kenderaan.

Apa pun, Februari sudah tiba.
Semoga yang baik-baik sahaja untuk kita semua.
Jaga diri.