Showing posts with label Biseksual Itu Bukan Aku.. Show all posts
Showing posts with label Biseksual Itu Bukan Aku.. Show all posts

Tuesday, December 27, 2011

Awak Suka Dia Tapi Dia Homoseksual




Awak.
Awak suka dia.
Awak suka perhatikan dia.
Awak suka segalanya tentang dia.
Awak suka sebab dia kawan baik awak selamanya.
Awak suka dia lebih daripada kawan awak yang lain sebenarnya.
Tapi malangnya, dia suka sesama jantina.

Awak.
Awak suka dia.
Awak berkawan dengan sia sudah lama.
Mulanya awak menolak hakikat kawan baik tidak boleh bersama.
Awak tolak kenyataan lelaki dan perempuan tidak boleh berkawan berdua.
Tapi, sampai bila awak mampu tipu perasaan sendiri yang berleluasa?

http://farm7.staticflickr.com/6183/6073608566_67e8edd0c3.jpg
[Sumber gambar]

Awak.
Awak tidak mahu kehilangan dia.
Awak mahu dia kekal sebagai kawan sampai bila-bila.
Tapi hati awak tidak mampu menanggung rahsia.
Dada awak hampir pecah menahan rasa.
Mulut awak kaku menyimpan rahsia.
Awak tengok dia bergelak ketawa.
Awak tidak sanggup rosakkan keadaan gembira.
Dengan meluahkan perasaan dan sendiri terluka.
Sebab awak tahu, mustahil dia untuk suka.
Pada awak yang berlainan jantina.

Awak.
Dia boleh luahkan segala benda.
Dia bercerita tentang hidup dia.
Awak mampu menjadi pendengar setia.
Awak bahkan menasihatkan dia cara bagaimana mahu hapus derita.
Walaupun awak tahu apa yang awak buat mungkin berdosa.
Tapi awak tidak sanggup lihat dia berduka.
Menjalani hidup dengan siapa yang dia cinta.
Walaupun awak jelas, bukan awak orangnya.

Awak.
Awak memilih untuk membisu.
Awak mahu biarkan dia buat apa yang dia mahu.
Asalkan awak tidak kehilangan tempat di sisi dia yang awak rindu.
Asalkan awak tidak diketepikan bagai manusia yang mengganggu.
Awak sanggup asalkan awak kekal jadi manusia yang dia tunggu.
Ya, sebagai tempat dia mengadu.

http://farm7.staticflickr.com/6005/6004702701_15eb4fce2e.jpg
[Sumber gambar]

Awak.
Awak pernah terfikir untuk menukar orientasi.
Daripada biasa kepada yang mungkin lebih kurang secocok dengan dia yang awak sukai.
Tapi awak tidak sanggup dikeji.
Tapi awak tidak sanggup dicaci.
Tapi awak tidak sanggup dimarahi.
Tapi awak tidak sanggup dimaki.
Dan awak tidak sanggup mendapat kemurkaan Ilahi.
Bahkan awak tahu, itu tidak mampu menjadikan dia berpaling pada awak dengan senang hati.

Awak.
Awak pernah cuba berikan gambaran isi hati.
Tapi dia hanya ketawa dan tersenyum nampak gigi.
Dia kata awak mungkin sedang bermimpi.
Mengapa dia harus meninggalkan manusia yang dia cintai?
Mengapa dia harus meninggalkan kehidupan yang dia sukai?
Dan dia mahu awak kekal di sisi.
Hanya awak yang tidak menghakimi.
Hanya awak yang tidak tunjuk wajah simpati.
Seperti manusia lain yang mencebik dia bagaikan viral pembawa mati.

Awak.
Setiap hari awak panjatkan doa tanpa lelah.
Agar dia mahu tersedar dan berubah.
Agar dia bangkit dari kegelapan yang mendesah.
Agar dia lupakan kehidupannya kini dan mulakan hari yang cerah.
Tanpa rasa gundah.
Tapi kegilaan dia umpama dadah.

http://farm7.staticflickr.com/6143/6003357099_e36a35d72b.jpg
[sumber gambar]

Awak.
Awak tidak mahu berputus asa.
Awak masih mahu menunggu dia.
Awak masih mahu terus bersama.
Walaupun awak yang tetap akan terluka.
Tapi awak tidak mampu untuk tinggalkan dia begitu sahaja.
Sebab awak tahu dia tidak akan punya sesiapa.
Tiada teman lain, tiada keluarga.
Hanya awak sahabat yang dia punya.

Awak.
Tetap masih mahu menunggu.
Walaupun hati sudah terguris seribu.
Walaupun jiwa semakin beku.
Walaupun badan telah kaku.
Walaupun kulit mula menggerutu.
Asalkan persahabatan awak dan dia tidak terganggu.

Awak.
Sampai bila awak mampu bertahan?
Sampai bila awak mampu jadi seorang kawan?
Sampai bila awak mampu menahan perasaan?
Sampai bila awak mampu hidup dalam keadaan kasihan?
Sampai bila awak mampu tanggung penderitaan?
Awak tidak perlu berikan jawapan.
Duduk diam dan fikirkan.
Hidup awak, awak yang tentukan.

Nota Kaki :
1. Berjaya melengkapkan impian mahu menderma darah dengan pusingan lengkap normal setahun empat kali. Alhamdulillah.
2. Walaupun kurang tidur, apa yang ditunggu dapat juga diperolehi.

Zara : Orang yang paling kita sayang, itu sebenarnya paling susah nak hargai kita. (Shafaza Zara, 25 Disember 2011)

Sunday, March 06, 2011

Salahkah Bercinta Dengan Suami Orang?


Salam semua.
Dalam keadaan sedih akibat Sean tiada di sisi. Tiada Sean di atas katil pagi ini buatkan aku rasa seperti isteri yang bangun tapi suami tidur rumah perempuan lain. Haish. Parah sungguh ni. Eh, Sean kan homoseksual? (sambil termenung di birai katil)

Menggunakan komputer riba milik Abah adalah langsung tidak sama dengan Sean. Dengan Sean, walaupun dia homoseksual, kami sudah bersama sejak 10 Disember 2007. Walaupun kedua-duanya berlari di atas pelantar yang sama, aku selalu merasakan Sean lebih hebat. Dia guna 64bit berbanding yang ini cuma 32bit. Baiklah, merepek panjang pun tidak berguna. Sean tiada di sisi.
Kesat air mata.
Tarik nafas.

http://farm4.static.flickr.com/3275/2796629149_f5475f5837.jpg
[Gambar : Konon boleh lega kalau minum kopi, padahal, semakin mengingati]

Setelah separuh hari dihabiskan di sekolah adik akibat sebab yang tidak dapat dielakkan (serta, terima kasih kepada diri sendiri yang telah bertukar menjadi lelaki bertanggungjawab apabila sudah pandai menyimpan nombor telefon bengkel kawan-kawan), balik ke rumah dengan laju memeriksa pesanan yang diterima di Twitter dan surat elektronik dengan menggunakan telefon. Ya, itulah satu-satunya alat perhubungan sekarang ini. Kalau nampak aku guna Twitter dengan Gravity, maksudnya aku sedang terbaring bergolek-golek di atas katil mengakses sistem. Nasib baik rumah guna Internet tanpa wayar.

Dalam lambakan pesanan itu, ada sesuatu yang menarik perhatian aku. Pesanan dari seorang kenalan lama sewaktu di zaman pengajian dahulu. Rasanya tidaklah begitu rapat, cuma kembali bertegur sapa disebabkan dia membaca blog aku secara tidak sengaja. Seperti yang dia minta, aku titipkan nombor telefon sebagai balasan surat elektronik yang panjang berjela. Kurang dari setengah jam, lagu Grenade oleh Bruno Mars berkumandang di dalam bilik.

Kenalan : Kau dah baca apa aku tulis?
Aku : Dah.
Kenalan : Apa pendapat kau?
Aku : Kau serius dengan keputusan kau?
Kenalan : Ya. 
Aku : Soalan ini mungkin agak klise, tapi dah tiada lelaki bujang ke?
Kenalan : Dah banyak kali bercinta dengan lelaki bujang, tapi malangnya tiada penyudah yang baik.
Aku : Mungkin kau terjumpa orang yang salah.
Kenalan : Berapa lama lagi aku asyik kena jumpa orang yang salah sebelum aku jumpa yang betul? Aku dah jumpa banyak sangat dah, sampai aku tak larat.
Aku : Kalau kau dah kata begitu, tapi kau tak kesian dengan isteri dia?
Kenalan : Isteri dia yang beri keizinan.
Aku : Setelah dia tahu kamu bersama kan?
Kenalan : Memang, tapi sekurang-kurangnya kami berterus terang.
Aku : Kau dah habis fikir? Benda ni masa depan kau, masa depan keturunan dan sebagainya, tiada jalan patah balik. Kalau kau patah balik sekalipun, keadaan dah tak sama.
Kenalan : Aku nak tanya satu benda.
Aku : Apa dia?
Kenalan : Kenapa orang mesti pandang rendah pada orang yang kahwin dengan suami orang?
Aku : (ketawa) Bukan pandang rendah, cuma, masyarakat kita masih ada stigma pada orang sedemikian rupa. Alasan yang diberikan oleh orang yang berkahwin dengan suami orang ini kadangkala sukar diterima. Mungkin sebab harta atau apa sahaja.
Kenalan : Aku nak kahwin dengan dia sebab cinta.
Aku : Siapa yang kahwin bukan atas dasar cinta? Kecuali orang yang kena kahwin paksa.
Kenalan : Dia dah kahwin beberapa tahun, belum dapat zuriat. Isteri dia benarkan dia kahwin lagi. Kebetulan dia dan aku pernah menjalinkan cinta monyet zaman sekolah dulu. Salahkah?
Aku : Maaf, aku tak boleh hukum kau salah atau betul. Itu terpulang pada kalian. Cuma...
Kenalan : Cuma apa?
Aku : Dah bersedia nak menghadapi keluarga? Masyarakat?
Kenalan : Nak takut apa pada mereka? Bukan mereka yang beri aku makan.
Aku : Memang bukan mereka yang beri kau makan, pakai - cuma itulah, kita hidup bermasyarakat, benda-benda begini kita perlu ambil kira. Kalau tak kisah itu semua, terpulang. Aku cuma tanya sebab aku tak nak kau tertekan sendirian di kemudian hari.
Kenalan : Aku percaya aku boleh hadapi semua ini. Aku dan dia bersedia. Kami juga sudah buat perjanjian antara kami bertiga, aku, lelaki itu dan isteri dia.
Aku : Oh, sampai begitu sekali.
Kenalan : Untuk menjamin keadilan, begitu lebih baik aku rasa.
Aku : Terpulang.
Kenalan : Jadi, kau akan mendoakan kami?
Aku : Untuk kau pilih yang terbaik, semoga pilihan kau tepat, jalan yang dilalui dipermudahkan, aku hanya dapat doakan yang baik-baik sahaja.
Kenalan : Kau takkan pandang rendah pada aku kan Zara?
Aku : Dengan harapan rumahtangga kau harmoni dan poligami itu membawa keberkatan pada kalian semua. Kalau keadilan dapat ditegakkan, aku tumpang gembira dengan itu semua.

[Gambar : Aku cuma dapat kirimkan doa walaupun ada orang kata, orang yang cuma dapat kirimkan doa adalah orang yang tak mampu buat apa-apa untuk tolong kita. Eh, sekurang-kurangnya doa tahu?]

Aku bukan orang yang layak untuk menyatakan boleh atau tidak kahwin dengan suami orang (mungkin juga isteri orang) disebabkan aku sendiri tidak punya pengalaman sedemikian dan minta dijauhkan. Biarlah kalau kepunyaan aku, hanya kepunyaan aku dan aku memang tabik kepada orang yang sanggup berkongsi rasa dengan wanita lain dalam melayari bahtera rumahtangga. Kalau ianya dibina dengan persetujuan bersama, dengan rukun yang baik, aku percaya, tidak mustahil untuk kekal bahagia sehingga beberapa keturunan sekalipun.

Cuma, kalau kebahagiaan itu dibina atas penderitaan dan air mata orang lain, sendiri mahu ingat ya? Hukum karma itu berlaku walaupun konsepnya mungkin ada yang mengatakan dari agama lain. Yang penting, isinya, benda baik dibalas baik, benda jahat, buruk padahnya. Tidak, bukan aku menulis disebabkan dendam atau apa, cuma, aku percaya dengan janji Maha Pencipta Yang Maha Bijaksana. Kau mungkin boleh mengaku diri kau hebat dan pandai, tapi siapa Yang Maha Genius? Bukan kau.
Senyum.

[Gambar : Aku cuma mampu berharap agar setiap orang menemui kegembiraan yang mereka cari dan dambakan dalam hidup ini. Aku? Cukuplah dengan apa yang aku nikmati saat ini]

Nota Kaki :
1. Untuk rekod, cuti sekolah bulan tiga, ada lebih kurang lima belas orang kenalan yang akan menamatkan zaman bujang masing-masing. Tahniah.
2. Esok majlis maulidur rasul peringkat kawasan tempat mengajar.
3. Terima kasih yang sudi berinteraksi dengan aku di halaman Dunia Sebelah Zara. Maaf kalau aku terlewat sedikit membalas komentar ataupun apa yang kalian titipkan. Oh, buat yang bertanya sama ada boleh berkongsi pautan blog mereka di situ atau tidak, silakan sahaja. Senyum.

Zara : Hidup ini bagaikan masa menunggu kenderaan awam. Bila kita menunggu terlalu lama, tiada satu apa pun yang datang. Bila kita mahu berlalu pergi, ajaibnya beberapa kenderaan datang ke sisi. Aneh bukan?

Saturday, January 15, 2011

Apa Perlu Buat Jika Bekas Kekasih Muncul Semula?


Salam semua.
Perbualan aku dengan dua orang gadis secara maya petang tadi berkisar tentang percintaan yang diuji dan sebagainya. Kedua-duanya tidak aku kenal secara realiti, bahkan mereka mengenali aku melalui blog yang serba biasa ini. Ah, kehidupan tidak selalunya cerah, itu pasti.
Senyum.

Aku ditebak dengan soalan yang membuatkan aku tersenyum simpul sebelum menaip jawapan jujur yang aku sendiri tahu betapa sukarnya melalui keadaan sebegitu. Ah, kisah silam dulu-dulu.

Gadis : Kak Zara, apa akan kak buat jika bekas kekasih muncul semula?
Aku : Terpulang pada dia nak muncul atau tidak, bergantung pada niat dia.
Gadis : Kalau dia nak bersama Kak Zara semula?
Aku : Tiada ruang patah balik tentunya (simbol senyum)

Dan aku percaya, setiap orang yang pernah melalui kehilangan, ditinggalkan, meninggalkan juga punya ruang sendiri untuk berfikir sama ada terus mengejar bayang-bayang atau teruskan dengan kehidupan baru yang lebih baik walaupun masa depan mungkin masih lagi samar. Mungkin.

[Gambar : Ada sesiapa yang rasa bersalah hingga mahu pegang kotak begini di tepi jalan?]

Disebabkan sudah ditanya, maka seperti biasa, aku mahu menjawab secara santai sahaja. Segala apa yang ditulis adalah pandangan peribadi. Janganlah sampai ada yang gelap mata pula apabila membaca. Ini bukan penulisan ambil batu, baling orang dan sembunyi tangan tahu? 
Ketawa.
Jadi, apa yang perlu dibuat jika bekas kekasih kamu muncul semula?

1. Buat tidak tahu.
Ini yang paling senang kan?
Dalam bahasa kasarnya, buat bodoh.
Dah kata dia bekas kekasih kau, dia muncul, hati kau melonjak-lonjak gembira macam dapat barangan dari Stor Epal (baca : Apple Store) kenapa? Kau berdegar-degar cakap dengan orang yang hati kau dah tiada pada dia, tapi bila dia ajak jumpa, kau bersiap mengalahkan pertemuan kali pertama. Apa barang?

Dia : Saya ada berdekatan dengan pejabat awak. Mari jumpa sekejap.
Kau : Siapa telefon ni?
Dia : Awak tak kenal siapa saya? Dah buang nombor telefon ke?
Kau : Awak salah telefon orang ni.
Dia : Sampai hati.
Kau : Hati saya memang sampai, kalau tidak dah lama ganti yang baru.

http://farm4.static.flickr.com/3008/2533906002_30a8243a3d.jpg
[Gambar : Walaupun mungkin ada hati yang tergigit, kau perlu kuat aku rasa. Tidak, bukan aku rasa, tapi aku percaya yang kau harus kuat tahu?]

Tapi, kalau kau keluar juga jumpa dengan dia atas alasan kasihan ataupun simpati dan sebagainya, cuma dengar dengan teliti, apakah jantung kau masih berdebar sewaktu bersama dia? Kalau tiada getaran langsung (maksud aku dari segi perasaan), apakah yang mungkin tinggal? 
Senyum.
Kau tentukan.

Pernah kau rasa hati kau kosong tanpa sebarang paluan?
Aku tahu itu.

2. Beritahu dia yang kau sudah berpunya.
Ini yang selalu dilakukan oleh orang di sekeliling aku. Dari zaman persekolahan sehinggalah sudah bekerja ini. Mungkin ini cara kedua termudah yang dapat difikirkan. Kau kenalkan kekasih baru pada si dia itu bila dia muncul tiba-tiba kembali dalam hidup kau dengan niat mahu kembali ke sisi di saat kau sedang bahagia bersama teman baru.

[Gambar : Jalan hidup kau, kau tentukan]

Dulu, masa zaman persekolahan, zaman guna telefon awam (baca : public phone), kawan selalu minta tolong telefon kekasih mereka jika tidak mahu punya apa-apa lagi. Aku selalu menjadi pilihan disebabkan suara dan perwatakan aku seperti lelaki (apa kau ingat aku dulu manis dan ayu? - Macamlah sekarang manis dan ayu). Ketawa.

Kawan : Kau tolonglah.
Aku : Tolong apa?
Kawan : Tolong mengaku pada dia ni kau teman lelaki aku.
Aku : Eh, kenapa?
Kawan : Sebab aku dah ada orang lain.
Aku : Kira bersubahat ni.
Kawan : Bolehlah (sambil goncang-goncang bahu)
Aku : Ya lah.

Kawan hulur ganggang telefon (dah berapa lama tak guna telefon awam agaknya?)

Kawan : Kau cakap dengan dia.
Aku : Kau cakap dululah.
Kawan : Awak, ni pakwe saya nak cakap.
Aku : Hello, kau kawan X ke?
Lelaki : Aku pakwe dia.
Aku : Salah. Aku pakwe dia yang baru. Jangan kacau dia lagi.
Kawan : Kau dah dengar kan? Jangan kacau aku lagi. (letak ganggang)
Aku : Dah boleh balik ke tak ni?
Kawan : Dah. Terima kasih.

[Gambar : Lepas habis bercakap mesti bunyi duit syiling masuk menderu-deru, dan ada kertas dialog tertinggal. Sengal betul.]

3. Buat macam kenalan biasa.
Kalau sudah dapat melupakan segala peristiwa, sila layan macam kawan biasa dan tidaklah boleh mengundang apa-apa perasaan lagi. Oh, aku gunakan cara ini untuk bekas kekasih. Disebabkan sudah tidak punya rasa dan apa-apa lagi, perbualan itu boleh seperti kawan biasa dan kekerapan berhubung adalah mencecah sifar. Macam aku pernah katakan pada Busuk, aku biasanya akan ingat sesuatu yang sungguh signifikan dengan aku. Kalau tak signifikan?

Sendiri mahu faham ya?
Ketawa.

[Gambar : Ada orang lain yang sudah bawa hati saya pergi jauh dari bumi tercinta. Maaf]

Harus diingat bukan melayan.
Kalau melayan, nanti jatuh cinta semula siapa susah?
Jangan buat gila tahu?

Dah.
Itu sahaja yang aku boleh fikir setakat ini.
Mahu menulis ini juga sudah mengambil banyak masa disebabkan aku menghilangkan kebosanan dengan menggunakan Twitter. Ah, itu taman permainan aku.
Senyum.

[Gambar : Apa yang penting adalah hal semasa. Toleh ke belakang untuk lihat masa silam, jadikan pengajaran boleh. Jangan toleh ke belakang dan mahu mengejarnya semula tanpa berfikir panjang]

Titik Titis Bicara

Senyum.
Ukir wajah.
Letak warna.
Ceria.

Muram.
Bibir melengkung.
Wajah suram.
Duka.

Bicara.
Manis, ayuh jamah semua.
Pahit, telan seorang, cicip bersama.
Masin, tuang laju bagi tawar.
Masam, tahan sama, mungkin nanti tukar rasa.

Ketawa.
Biar besar-besar, kuat-kuat.
Tangis.
Biar perlahan-lahan, teresak-esak.
Senyum.
Biar lebar-lebar, pastikan ikhlas.

Mendung, pinggir ke tepi.
Harapan palsu sebab diri masih rindu matahari.
Pasti.

Shafaza Zara Syed Yusof
26 Mei 2010
[daripada penulisan aku di sini]

Macam aku nyatakan.
Hidup kau, kau tentukan.
Jangan pernah ulangi kesilapan.
Kau sendiri tahu apa itu kesakitan.
Kau sendiri tidak mampu hulur ucapan kemaafan.
Kau lebih kenal diri bukan?

Nota Kaki :
1. Hujan dan mendung sepanjang hari.
2. Ukir senyuman walaupun ternyata aku hampir 48 jam tidak melelapkan mata.
3. Adakah orang itu masih berjuang di dewan peperiksaan?

Zara : Kadangkala gentar membaca pesanan gadis-gadis di Mukabuku. Sudah aku nyatakan yang aku punya si dia, maka, orientasi seksual aku sudah jelas dan nyata ke arah mana bukan? Alahai. Jangan tiba-tiba kata jatuh cinta dengan aku serta merta. Itu gila!

Saturday, June 12, 2010

Sheikh! Siti! - Sh Itu Sharifah! Jangan Main Suka Panggil Nama Aku. Alahai | Aku Suami Orang?


Salam semua.
Hari Sabtu yang cerah dan ceria.
Perlawanan pembukaan yang mengujakan walaupun ada yang aku kurang berpuas hati.
Mexico (1) - Afrika Selatan (1)
Uruguay (0) - Perancis (0)

Aku menerima panggilan telefon pagi tadi dari satu syarikat telekomunikasi. Oh, berkaitan dengan promosi dan yang selalu aku kena berulang lagi. Buat pagi Sabtu aku telah dicemari dengan insiden mahu memanaskan punggung dan hati. Lepas dia perkenalkan diri dari syarikat mana dan tujuannya, perbualan berlanjutan.

Pemanggil : Boleh cakap dengan Cik Sheikh?
Aku : Apa?
Pemanggil : Oh maaf. Cik Siti ya ni?
Aku : Siti mana?
Pemanggil : Kalau begitu, Cik Fatimatul kah ni?
Aku : Sh di depan nama saya itu adalah Sharifah ya? Dan saya bercakap.
Pemanggil : .....

Setiap kali pun mesti nak salah sebut nama aku kan? SH itu Sharifah, bukan Sheikh atau Siti. Ini yang nak mengamuk kata orang kurang pengetahuan am. Ketawa. Bukankah nama penuh aku tercatat di situ? Ada nama Abah yang bermula dengan Syed. Alahai.

Sesuatu yang kelakar juga berlaku pagi tadi. Sumpah, aku masih mahu ketawa.


Ada orang sangka aku betul-betul suami orang lah!


Akhirnya orang tu menyedari aku ini perempuan sebenarnya.

Alahai, dimaafkan kerana dia menggunakan telefon dan juga mungkin kepenatan akibat menjaga nenda dia di hospital juga. Moga nenda kamu dan nenda aku cepat sembuh ya kawan? Tapi sungguh buat aku ketawa kerana ada yang tidak menyedari nama aku yang terpampang jelas itu adalah seorang perempuan. Oh, mungkin juga status nakal itu mengelirukan. Senyum.

Nota Kaki :
1. Mendapat panggilan telefon dari PPD. Diminta untuk menyertai cabaran mendaki gunung dan berbasikal di Kluang Isnin ini. Eh, boleh ke tak ni? Aku mahu pergi!
2. Perlu melunaskan tugasan hakiki secepat mungkin.
3. Masih belum dapat menyiapkan novel atau cerpen bersiri lagi. Maaf semua.

Zara : Menunggu kedatangan seorang kawan. Perlu menjalani pemeriksaan kesihatan secepat mungkin atas sebab yang sangat penting. Oh, ada majlis perkahwinan juga yang perlu dihadiri. Hadiah sudah siap dibalut.

Saturday, February 27, 2010

Mari Bercium Secara Tidak Langsung Dengan Menggunakan Secangkir Kopi Cinta Dan Bibir Yang Basah Menikmati Sisipan Aroma Bahagia.


Badan terlampau penat dengan urusan dunia.
Mujur dapat berehat bersama dengan seorang yang aku cinta.
Ya, dan kami mempunyai jantina yang serupa.
Mahu tuduh aku biseksual, silakan sahaja.
Ketawa.

Duduk bersama dan lihat gelagat manusia.
Perbualan berkisar tentang indahnya cinta.
Ada datuk dan nenek berpegang tangan, minum bersama.
Ada keluarga yang makan semeja ketawa gembira.
Ada pasangan yang saling menyilang kaki dan bergurau senda.
Ada yang duduk seorang diri sambil menyudu gula.

http://www.templates.com/blog/wp-content/uploads/2009/02/2the-love-coffee-by-vanessa.jpg

Dia : Kita minum berdua tidak mengapa?
Aku : Sudahnya, kamu menjemput siapa?
Dia : Entah, mungkin lelaki dewasa yang aku puja. Kamu?
Aku : Mungkin lelaki muda yang aku suka.
Dia : Asalkan bukan pelajar kamu.
Aku : Bukan, walaupun umurnya mungkin sama.
Dia : Kamu memilih berdasarkan nafsu?
Aku : Tidak. Jangan terlalu ambil endah, ini mungkin omongan kosong sahaja.
Dia : Kalau tidak berkhayal manakan datang impian?
Aku : Impian itu sumbernya mimpi.
Dia : Pantas menjawab laksana sudah bersedia.
Aku : Katanya hidup atas bumi yang makin tua.
Dia : (ketawa)

Jari dia pantas mengangkat kopi di hadapan mata.
Menghirup penuh nikmat dadah perangsang kategori kedua.
Aku menoleh dan tertawa.

Dia : Mengapa?
Aku : Muka penuh nikmat.
Dia : Sudah tentu, ini kegemaran.
Aku : Kamu tahu sesuatu?
Dia : Apa dia?
Aku : Orang kata, kalau kita minum dari cawan orang lain, macam kita bercium secara tidak langsung dengan pemilik cawan itu. 
Dia : Benarkah?
Aku : Itu kata orang. Aku sendiri tidak tahu.
Dia : Eh, ini cawan siapa?
Aku : Cawan aku, air aku.
Dia : Jadi kita sudah bercumbu secara tidak langsung?
Aku : Oh, jijiknya aku rasa.
Dia : (Ketawa.)

Menoleh untuk mencoret makna bahagia.
Kami manusia yang biasa-biasa.
Kami simpan kenangan untuk membekukan masa.
Kami takut lihat dunia yang semakin musnah, tanda kiamat bakal menjelma.
Tuhan, kami mahukan kekuatan untuk menghadapinya.

Zara : Sedang dihimpit kesibukan yang tidak terperi lagaknya. Mencari erti kehidupan yang semakin menghilang di saat diri mahu menongkah arus dunia. 

Aspirasi aku pada cinta dan seni.
[Sila tekan INI dan cari ruangan komen di bawah sekali]
[Sila tekan INI untuk meneka dan menang 10 pound. Sila pilih nombor 14 ya?] 
[Sila tekan SINI kalau kamu mahu menyertai Perhimpunan Terbesar Penulis Blog di Malaysia]

Friday, February 26, 2010

Sejak Bila Zara Menyapu Bersih Anugerah Homoseksual, Biseksual Dalam Arena Penulisan Blog Sejagat? Tiada Istilah Seluar Dalam Basah Di Sini.


Tuan-tuan dan puan-puan.
Sila jangan menceroboh dengan keji Kotak Luahan Cinta aku di tepi kanan blog ini.
Aku akui aku pernah menghalang (baca : banned) alamat Internet Protokol (baca : IP adress) manusia jahanam yang dengan suka hati meninggalkan kata caci nista di situ.
Tapi disebabkan sistem kotak luahan cinta aku itu akan menghalang semua IP yang bermula dengan nombor yang sama, maka ada antara kalian yang tidak dapat meninggalkan pesanan. Jangan khuatir, aku sudah hapuskan penghalang. Maka selepas ini, kalau orang mencarut sekalipun, aku redha sahaja.
Baiknya hati aku.
Ketawa.

Buat golongan sasaran yang entah mengapa cuba membakar aku dengan gigih, aku mohon maaf sekali lagi. Aku bosan dengan drama dunia yang kamu mahu sajikan. Drama yang berskala rendah dan dihasilkan dengan niat untuk mengeji kedudukan aku yang tidak terkenal ini buat aku rasa sengsara.
Sengsara untuk mengawal diri daripada menyumpah kamu wahai pembuang najis yang tidak bertamadun serta tidak bertimbang rasa.

Aku tidak pernah mendiskriminasi orientasi seks orang lain.
Kawan-kawan aku juga ada yang mempunyai orientasi begini.
Tetapi, itu bukan bermakna aku juga begitu.
Jadi, sila hati-hati.
Dengan penggunaan kata-kata kamu menuduh aku begini.
Silap langkah, ada hati yang mati.
Ketawa geli hati.

Cukuplah kamu buat aku ketawa secara menggila.
Kalaulah aku jumpa kamu semua di dunia nyata, aku akan libas kamu secara melintang dan menegak dengan gembira.
Oh, aku juga mungkin akan tinggalkan tanda Z di bahagian belakang kamu agar kamu kekal mengingati betapa indahnya menghina aku yang sukakan seni, pelukan, ciuman dan cinta.
Ketawa.
Nafas tarik tinggi, hela.
Hembus ke bawah, ludah ke tanah, nyata.

Kata carian ke blog aku semakin gila.
Aku memang ketawa berdekah hingga jatuh dari dakapan kekasih bertuala kelabu dalam tab mandi merah.
Kucing kekasih mengiau manja tanda amarah.
Nyata, kalian ini memang bikin aku ceria.

Seluar Dalam Basah.

http://i.ytimg.com/vi/70xKFih59EI/0.jpg
[Bukan kepunyaan aku. Mahu tahu pemiliknya sila tekan sini dengan gembira]

Eh, terlampau banyak penulisan mengenai seluar dalam di blog aku ya?
Mungkin juga.
Tetapi kamu memang buat aku malu.
Hampir kesemua kata carian adalah berasaskan kepada seluar dalam.
Ya, sila pitam.

Buat mereka yang masih bertanya tentang lokasi di mana pertemuan pada 6 Mac 2010 ini akan diadakan, menurut Bapak Gula-Gula, paling lambat, hari Isnin ini akan diberitahu keputusannya. Jadi, kita semua nantikan bersama.
Senyum.

Tiada istilah penulisan hebat.
Tiada istilah saya penulis baru.
Tiada istilah saya tidak punya blog.
Tiada istilah blog saya entah apa-apa.
Kalian semua dijemput hadir tentunya.

Zara : Tatkala ini sedang menyiapkan kertas ujian pertama Perdagangan dan Keusahawan Tingkatan Satu dan Dua, Sains Tingkatan Empat tentunya. Oh, nasib baik Sejarah Tingkatan Satu sudah ada orang lain yang buat. Lega. Boleh aku berkejar menulis untuk projek terbaru aku bersama mereka.

Aspirasi aku pada cinta dan seni.
[Sila tekan INI dan cari ruangan komen di bawah sekali]
[Sila tekan INI untuk meneka dan menang 10 pound. Sila pilih nombor 14 ya?] 
[Sila tekan SINI kalau kamu mahu menyertai Perhimpunan Terbesar Penulis Blog di Malaysia]

Saturday, February 20, 2010

Pengakuan Eksklusif : Ada Teman Lelaki Dan Teman Wanita Bukan Bermakna Zara Adalah Seorang Biseksual. Mencari Laman Sesawang Bank Sperma?


Wanita muda yang suka bermain (baca : playgirl)
Gilakah aku kerana diberi gelaran sebegitu.
Diam.
Tampal senyum pada muka.

Sesiapa yang sudah biasa dengan persekitaran Dunia Sebelah Zara pasti telah mengerti bahawa sesungguhnya aku sering (dan amat gemar) menterjemah segala perkataan yang di dalam bahasa kedua ke dalam bahasa kebangsaan Malaysia. Ya, itu memang tujuan mengapa aku menulis di sini. Jika aku mahu menggunakan juga tatabahasa yang diperlukan, aku akan menggunakan tanda tertentu untuk menunjukkan bagaimana ia perlu dibaca dan digunakan.

Diam.
Istilah aku adalah seorang biseksual adalah sesuatu yang agak dangkal untuk dilemparkan oleh manusia yang tidak mengenali siapa itu Zara dan apakah yang sebenarnya berlaku dalam Dunia Sebelah Zara. Teman wanita adalah kawan-kawan perempuan yang aku cinta, manakala teman lelaki adalah kawan-kawan lelaki yang aku suka.

Oh ya, mengapa aku menggunakan perkataan teman wanita dan teman lelaki?
Teman adalah manifestasi tinggi dalam erti kata melampaui maksud kawan itu sendiri. Kawan adalah terlalu umum dan kurang menampakkan ada ikatan yang dikongsi lebih dekat, tautan dua hati itu sendiri. Oh, kalau seseorang itu layak digelar sahabat, makanya dia lebih hebat dalam menyulam rasa dalam segumpal darah pekat.

Penaakulan aku tentang persahabatan bukanlah kayu ukur tepi jalan.
Sekali kamu mengaku kamu kawan aku, dan aku kawan kamu, aku tetap akan berdiri teguh di belakang kamu dan bersedia menghadapi apa jua cabaran bersama.
Tetapi awas, sekali kamu khianati aku, kamu tiada tempat lagi di sini.
(Tunjuk hati)

http://www.freelayouticons.com/graphics/1172531586-18.jpg

Memang aku seorang yang gemarkan kasih sayang, cinta, pelukan dan ciuman.
Itu memang aku (sudahkah menjawab soalan undian?)
Siapa yang pernah bertemu aku, pasti ketawa sahaja kalau aku panggil mereka sayang.
Siapa yang pernah bersama aku, pasti gelak besar kalau diberikan pelukan dan ciuman ketika saling bersalaman.
Sungguh aku mahu ketawa berdekah-dekah bila membaca komen yang aku dapat dalam penulisan sebelum ini. Alahai, aku ini dikatakan sebagai tidak bermaruah pula.
Ketawa.
Senyum mesra.
Angkat kening, geleng kepala.

Pagi Sabtu sudah buat aku ketawa.
Sampai aku terlupa jadual untuk bermesra dengan laman sesawang bank sperma.
Eh silap, dengan laman sesawang khas herba.
Aku tidak mencari sperma ya?
Ketawa.

Memang pelik dengan kata-kata carian kalian ini.
Aku hanya mahu tersenyum mesra dan bahagiakan hati.
Ah, ada sesiapa yang sukakan lagu dalam blog ini?
Sila angkat tangan kanan tinggi-tinggi.

Zara : Melalui hari yang indah bukan bermaksud kamu insan bertuah. Tetapi melayari kehidupan dengan hati yang tabah menunjukkan kamu bukan sahaja indah tetapi bertuah sekali. Senyum dengan gelagat masyarakat yang membunuh kamu dengan kata-kata.


Gambar ini adalah simbol aspirasi aku pada kopi dan cinta. Tidak ada kena mengena dengan hidup atau mati. Yang penting, teruskan mengundi di sini  dan sini.