Showing posts with label Karya Picisan Zara. Show all posts
Showing posts with label Karya Picisan Zara. Show all posts

Tuesday, December 23, 2014

Terus Tulis



Ada satu ketika.
Saat semua orang sudah maju mengejar cita-cita.
Aku tertinggal di belakang, mematikan kata.
Menghumban aksara.

Ada satu ketika.
Aku lihat semua teman meneruskan perjuangan.
Ternyata aku kehilangan.
Ilham coretan.

Seringkali aku hanya menulis bila dipinta.
Disogokkan dengan tema.
Dibekalkan dengan rangka.
Supaya aku mampu melunaskan cerita.

Pernah terlintas di minda.
Barangkali aku sudah tua.
Untuk bersaing menelusuri abjad, melakar karya.
Tapi, aku tersedar atas satu perkara.

Apa yang aku mahukan selama ini hanya perkongsian.
Bukannya sanjungan.
Hatta lambakan pujian.
Bahkan yang aku dengar hanya cercaan.
Tapi, untuk siapa semua coretan?

Kan aku masih punya diri sendiri.
Yang tidak akan pernah lupa kaki atas Bumi.
Yang tidak akan alpa usap kepala dan tiup semangat pada hati.




Rumah Kecil.
1605 : 23 Disember 2014


Monday, December 22, 2014

Teja #02



http://a420coop.com/wp-content/uploads/2013/05/depression_1-ad78d208bfd0907a122c249a74cd8f6ff184705e-s6-c101.jpg

**********
“Pain produces progress. So if you truly love me, you will try to hurt me as much as you can. If you really want me to grow as a person, you will water me with betrayal, abuse, neglect, derision, thievery, and possibly even torture.” 
― Jarod Kintz
**********

“Kau tetap nak kahwin dengan Malim?”
“Apa salahnya?”

“Kau jangan jadi gila Teja. Kau tengok lebam-lebam di badan kau tu”
“Aku salah. Malim hukumlah aku”

“Ni bukan hukum. Ni macam dera dah ni”
“Seri, aku boleh bertahan. Aku sayangkan Malim. Tu cuma cara dia tunjukkan cinta”

“Kau akan menyesal suatu hari nanti”
“Kau jangan doakan aku camtu. Jarod Kintz kan pernah kata kesakitan akan menghasilkan progress”

“Pergi jahanam dengan falsafah kau. Kau akan kesal nanti Teja sebab biarkan diri kau hanyut dengan manusia macam Malim tu”
“Seri!”

Seri menghempas pintu bilik dengan kuat. Entah apa yang merasuk temannya, dia sendiri tidak mengerti. Teja, gadis manis yang pendiam, jatuh hati dengan Malim, rakan sekerjanya. Tetapi, Malim yang dikenali Teja sejak enam bulan yang lepas adalah manusia yang tidak sedar dek untung. Sudahlah kalau bayaran rumah sewa lewat pun, Teja yang membayarkannya, tergamak jantan itu pukul Teja sesuka hati apabila hatinya rawan dengan masalah peribadi. 

Yang lebih tidak difahami Seri, Teja dengan senang hati menerima apa sahaja yang dilakukan oleh Malim terhadapnya. Cinta memang buta, tapi Seri fikir Teja yang membutakan mata hatinya sendiri. Setiap apa yang dinasihatkan, hanya berakhir dengan gelengan dan senyuman Teja.

Bunyi ketukan di pintu memadamkan lamunan Seri. Mesti Teja berdiri di luarnya. Memujuknya setiap kali Seri menghambuskan diri dari kamar. Hatinya sering kali berbolak balik. Teja perlu diajar supaya lebih mengerti apa yang bakal terjadi jika dia terus kekal degil begini.

“Seri”

Seri kekal bungkam di atas katil. Biarkan Teja memanggil selama yang dia mahukan. Seri enggan ambil peduli. Acapkali dia harus beralah dengan Teja, rasakan kali ini, Seri mahu tunjukkan dia juga keras kepala.

“Kau dah tidur ke Seri? Aku minta maaf. Aku sayang Malim, aku sayang kau juga. Good night Seri.”


(bersambung)

Sunday, December 14, 2014

Teja #01


http://a420coop.com/wp-content/uploads/2013/05/depression_1-ad78d208bfd0907a122c249a74cd8f6ff184705e-s6-c101.jpg
[Sumber Gambar]


“We're staying together," he promised. "You're not getting away from me. Never again.” 
― Rick Riordan

**********

        “Teja!”
“Apa lagi?”

“Balik pada aku”
“Tak nak!”

“Kau jangan degil Teja!”
“Cukuplah selama ini aku bodoh”

“Apa maksud kau?”
“Kau ni bodoh ke, Malim?”

“Kurang ajar!”

Serentak dengan herdikan Malim, Teja terbaring di atas lantai. Penampar Malim berbekas di pipi Teja yang mulus. Acapkali begini. Bergaduh, bertikam lidah dan akhirnya Teja juga jadi mangsa. Selama ini dia mampu bersabar, tapi bukan kali ini. Teja tahan air mata dan cuba bangkit. Malim meluru ke arah Teja dan menampar muka Teja berulang kali.

“Sakitlah bodoh!”
“Diam betina!”

Teja ketap bibir dan biarkan Malim yang sudah hilang akal dengan kemarahannya yang membuta tuli. Sedikit sahaja lagi. Sedikit sahaja lagi penderitaan ini akan berakhir. Dia enggan mahu terus sakit lagi.


(Bersambung)


Thursday, February 09, 2012

Barista Cinta : Kopi - Antologi Cerpen Fixi




Salam semua.
Lama tidak mencoret sesuatu di laman peribadi sendiri ini. Kekangan waktu dan tatkala mengatur semula kehidupan yang berantakan. Ah, benda bersifat peribadi janggal sekali mahu dikongsi untuk tatapan umum sementelahan banyak mata yang membaca dan ada juga mereka daripada kalangan yang dikenali. Perit dalam erti kata tidak mampu meluahkan perasaan, tetapi abaikan sahaja kerana bagaimana mahu beraksi jika lakonan dihidu kurang memberangsangkan?

Aneh sahaja kalau gerak tidak selari dengan cara pembawakan diri.
Kontang akal fikiran dalam memberikan sesuatu yang bermakna buat hati.
Namun, sama sekali aku tahu aku tidak pernah sendiri.
Kehidupan ini tidak terlampau kejam bila kita kenal diri.
Ah, aneh-aneh sahaja penulisan aku kali ini.

http://farm8.staticflickr.com/7171/6843182943_c8b9220435.jpg
[Flickr : Tekan untuk bacaan lebih jelas]

Seperti yang kamu semua dapat lihat dalam paparan di atas, itu adalah muka pertama tulisan aku untuk antologi cerpen yang bakal dilancarkan oleh Fixi dalam bulan Mac nanti. Merupakan cerpen ke sebelas daripada sembilan belas buah cerpen lain, yang ditulis oleh sembilan belas penulis lain. Antologi cerpen yang bertajuk KOPI ini boleh dilihat di laman Mukabuku yang disediakan. [pautan]

Jujurnya, mendapat peluang menulis untuk Fixi adalah satu peluang berharga walaupun mungkin akan ada suara sumbang yang menyatakan ia cuma sekadar cerpen. Tapi bagi aku, itu adalah satu tangga lagi yang aku daki selepas Kitab Terfaktab #1 dan Hero. Sebagai penulis blog, aku cuma seorang amatur dalam penulisan. Aku tulis mengikut kata hati aku, mengikut apa aku suka tanpa ada latihan secara bersijil. Tapi, pengalaman itu banyak membantu kita dalam hidup bukan?

Itu salah satu yang aku suka sebenarnya.

Jadi, tentang Barista Cinta.
Itu salah satu tulisan aku yang mungkin kalian akan lihat terdapat perbezaan dengan cara aku menulis di Kitab Terfaktab ataupun Hero. Pastinya dengan mengangkat Kopi sebagai tema dalam penulisan, ia sedikit sebanyak merangsang adrenalin penggemar kopi (lebih tepat lagi penagih tegar kafein!) macam aku dalam menulis. Usah ditanya berapa banyak aku sedut dan hirup kafein dalam melunaskan penulisan ini. Itu adalah rahsia.

Diam.
Aku sedang minum Kopi lagi.

Nota Kaki :
Jari bengkak akibat terhentak meja dalam keadaan tidak mampu mengawal amarah.
Celaka badan.

Zara : Bergerak ke hadapan? Tinggalkan benda yang menyakitkan jiwa? Kau sedang bercakap mengenai aku dan perhubungan kah? Itu benda mudah. Benda yang sangat mudah bila kau ada sebab yang sangat kukuh untuk melunaskannya. (Shafaza Zara, 9 Februari 2012)


Sunday, December 11, 2011

Ini Kisah Aku : Selamat Tinggal Semua.



Dalam hidup, aku tidak dapat bagi hati orang puas.
Walaupun semua mereka mengatakan berfikiran bebas.
Aku mencuba walaupun terpaksa berpura buas.
Tapi manusia, tidak hargai walaupun cuba hingga berlengas.
Ah, hati pula jadi panas.

Ini kisah aku.
Seorang manusia beku.
Yang kalau kau lihat tidak pernah pilu.
Yang kalau kau baca tidak pernah ada sendu.
Yang kalau kau perhati tidak pernah retak seribu.
Tapi kenalkah kau pada aku?

Ini kisah aku lagi.
Kisah manusia yang orang geli.
Kisah manusia yang orang tidak simpati.
Kisah manusia yang orang gemar mengeji.
Kisah manusia yang orang hinakan kalau abdi.
Kisah manusia yang orang anggap tiada nilai di sisi.

Aku masih lagi diri yang aku suka.
Tubuh yang aku sayang belum pernah mengkhiati jiwa.
Alhamdulillah, Yang Maha Esa masih berikan aku nyawa.
Peluang untuk bernafas di atas dunia.
Tanpa aku perlu rasa rengsa.

Ini kisah aku.
Manusia yang kau hina sebab malu.
Manusia yang kau keji sebab kau rasa perlu.
Manusia yang kau pandang rendah sebab tiada apa yang jadi milikku.

Tapi aku masih lagi teruskan senyuman.
Sebab aku tahu hidup atas dunia kadangkala penuh kekejaman.
Hidup juga mungkin dipenuhi dengan kesedihan.
Tapi aku memilih untuk buang penderitaan.
Aku perlukan kegembiraan.
Secebis kebahagiaan.

Dan itulah aku.
Manusia yang kau benci dahulu.
Manusia yang beku.
Manusia yang kau tidak akan pernah tunggu.
Sebab kau sudah curahkan dengan gelapnya biru.

Tapi aku masih suka diri ini.
Walaupun kau menyanggah benci.
Aku masih sayang senyuman ini.
Aku masih sayang diri.
Dan aku tidak akan pilih mati.
Walaupun kau paksa aku bunuh diri.
Dan pergi.

http://farm8.staticflickr.com/7163/6490776229_c2b1f2d7b8.jpg
[Koleksi peribadi - Flickr : Pelancaran #Hero]

Nota Kaki :
Kaki besar saiz tujuh, lapan sembilan.

Zara : Dia masih lagi manusia yang mencari arah.

Thursday, October 27, 2011

Awak Seronok Dengan Kecurangan Dia.




Awak.
Kemarahan menular?
Hati sedang terbakar?
Perasaan bagai dikelar?
Kesetiaan itu bunyinya kelakar?
Maka, selamat datang ke dunia sebenar.

Awak.
Sakit hati?
Jiwa bagaikan ditikam dengan belati?
Bukankah hati itu lembut bagai roti?
Dilenyek dalam air, bagaikan dilanggar lori?
Peroi, reput bagaikan tiada sukatan nutrisi.
Bagaimana rasa mahu membunuh kini?
Selamat datang ke dunia realiti.

http://farm3.static.flickr.com/2472/3561306161_ca39aac368.jpg
[Sumber gambar]

Awak.
Bagaimana rasa dikhianati?
Bagaimana rasa disakiti?
Bagaimana rasa impian itu hanya satu mimpi?
Bagaimana rasa ajakan kahwin itu hanya satu cara penipuan tersembunyi?
Bagaimana rasa kata-kata manis itu hanya satu cara melencongkan perbuatan keji?
Bagaimana rasa hati kini?

Awak.
Sakit?
Perit?
Mahu menjerit?
Keluar berakit?
Meluncur rempit?
Hidup sempit?
Nafas tahan berdikit?

Awak.
Ada manusia yang memang tidak tahan.
Ada manusia yang membiarkan diri dengan godaan.
Ada manusia yang suka sentiasa melayan.
Ada manusia yang dengan mudah tunjukkan rasa kasihan.
Ada manusia yang suka ambil ringan.
Ada manusia yang gemarkan penipuan.
Ada manusia yang anggap percintaan itu satu permainan.
Ada manusia yang rasa bangga dengan kecurangan.
Ada manusia yang mainkan cinta macam bentuk pelancongan.

Awak.
Cemburu?
Badan macam ditembak bertalu-talu?
Kesan belerang penuh di badan, berterabur peluru.
Hati bagaikan ditusuk sembilu?
Bengkak dan berbulu.
Kesetiaan awak dibalas begitu.
Bagaimana rasanya sekarang, dia masih yang satu?
Ataupun sudah tiba masa angkat kaki, dan berlalu?

http://farm4.static.flickr.com/3622/3576600913_a01691fbbd.jpg
[Sumber gambar]

Awak.
Masa untuk biarkan dia kekal dalam permainan.
Tahan hati dari terus merancang pembunuhan.
Biarkan dia terus bergetanyang bagaikan Dementor menyebar kesejukkan.
Sebab jauh mana dia pergi, dia tetap tersungkur ke bawah, depan.
Ya, depan awak bukan?

Awak.
Pujuk rayu dia ibarat manisan.
Tahan.
Apalah sebaris ayat penuh pujaan.
Sedangkan dia bermain hati yang sedang bertahan.


Awak.
Masa untuk kekal dalam permainan.
Masa untuk biarkan dia terus bergelak ketawa macam syaitan.
Masa untuk biarkan dia teruskan kecurangan.
Masa untuk biarkan cemburu menular bagai penyakit membunuh kesihatan.
Sebab kali ini cemburu ini ada alasan.
Kan?

Awak.
Permainan dia terlampau nyata.
Jangan anggap nampak sebelah mata.
Jangan mengalah kerana takut dianggap cemburu buta.
Ini masanya awak tunjuk jagoan juga.
Biarkan dia nikmati kembali apa awak rasa.
Biar kali ini berputih tulang, jangan putih mata.
Anehkah kalau membalas dendam itu manis bagai gula?
Jangan ketawa.
Awak sedang berperang dengan masa.
Demi cinta.

Awak.
Selamat berjuang.
Semoga jangan kalah di medan perang.
Baliklah dengan kemenangan supaya dapat dijulang.
Bukan dengan kekalahan dan dianggap jalang.
Tapi apalah sangat berbanding manusia keji dan curang?

Nota Kaki :
Aneh-aneh melihat orang jumud dalam mengutarakan pendapat. Menulis sesuatu berdasarkan fakta dan pertanyaan dianggap menempah neraka. Ah, manusia semakin gila?

Zara : Kadangkala kita harus terima bahawa sesetengah orang akan hidup dalam hati dan jiwa kita buat selamanya walaupun mereka tidak akan ada dalam hidup kita seperti yang kita mahukan (Shafaza Zara, 2011)

Thursday, August 25, 2011

#25 #Ramadhan : Kita Semua Layak Disayangi


Ada orang menyatakan bahawa dia sentiasa sendirian dalam hidup ini. Terpuruk keseorangan tanpa ada yang menemani dan sebagainya. Gagal rasa menyayangi dan disayangi. Tetapi adakah anda tahu bahawa setiap manusia layak disayangi?

[Sumber gambar]

Buka minda.
Kuatkan hati.
Anda tahu bahawa anda tidak keseorangan dalam hidup ini.

https://fbcdn-sphotos-a.akamaihd.net/hphotos-ak-snc7/300439_10150753037755543_885375542_20283291_7359420_n.jpg


Untuk orang yang mahu membaca.
Itu sahaja.

Nota Kaki :
Dihambat kesibukan sebelum cuti bermula.

Zara : Adam dah balik ke sisi. 

Sunday, August 14, 2011

#14 #Ramadhan : Awak Sayang Dia.


Awak sayang dia.
Awak sayang dia sepenuh jiwa.
Awak sayang dia kalah awak sayang nyawa.
Awak sayang dia sebab pada awak dialah segalanya.

Awak cinta dia.
Awak cinta dia sampai tahap buang manusia.
Awak cinta dia hingga lupa segala benda termasuk kerja.
Awak cinta dia tanpa gentar halangan termasuk bantahan keluarga.

Awak suka dia.
Awak suka dia sangat hingga tidak tidur lena.
Awak suka dia tiada tolok banding kegilaannya.
Awak suka dia walaupun dia mungkin punya perasaan berbeza.

[Sumber gambar]

Tapi itulah dia manusia.
Manusia yang sering mengejar bahagia.
Manusia yang sentiasa mahukan gembira.
Manusia yang tidak pernah menginginkan istilah duka.

Anehnya benda yang dipanggil sebagai rasa.
Kita boleh mengingati berbaris serta beratus lirik lagu yang kita dengar biasanya.
Tetapi malangnya, sesetengah dari kita sukar mengeluarkan ingatan apabila kertas ujian di hadapan mata.
Sama seperti perasaan, kita simpan dalam ruang atma.

Sesuatu yang sangat pelik sebenarnya sering dilakukan oleh manusia. Benda yang manusia lupa, apabila mereka jatuh tersungkur dalam hidup, apa yang mereka perlu lakukan. 

Bangun. Ya, bangun. Macam kita terjatuh di atas tanah merah selepas main kejar-kejar dengan kawan sewaktu kecil. Walaupun mungkin kita menangis sebab sakit ataupun malu diejek oleh kawan-kawan lain, tetapi kita tetap bangun dan bangkit dengan bingkas bukan? Jadi, kenapa apabila sudah dewasa, sudah tegar untuk marah orang lain yang ketawa pada kita, kita enggan bangun apabila terjatuh?

Kenapa mahu terus kekal duduk di tempat itu?
Perlukah duduk dan tidak mahu bergerak langsung macam batu?
Sebab mahu mengikut pepatah yang menyatakan "Tempat jatuh lagikan dikenang, apatah lagi tempat bermain?" - Begitu?

Jangan pernah memberikan sebab kepada sesuatu untuk menjatuhkan kita. Setiap sesuatu yang berlaku pastinya ada hikmah, ada sebab yang tersembunyi di sebaliknya, cuma kita sebagai manusia dangkal untuk mencari apa sebenarnya yang tersirat. Kalaupun kita mencari dan tidak terjumpa sekalipun, pastinya sesuatu yang terjadi itu menjadikan kita manusia yang lebih baik, lebih berguna.
Bukan sebaliknya.

[Sumber gambar]

Awak tetap sayang dia.
Awak tetap cinta dia.
Awak tetap suka dia.

Dalam hidup setiap perempuan, ada seorang lelaki yang pastinya yang dia tidak dapat lupakan. Dalam hidup seorang lelaki, ada seorang perempuan yang pastinya dia tidak pernah dapat memiliki.

Sekurang-kurangnya mungkin itulah yang sesetengah daripada kita hadapi.
Tetapi adakah kita mahukan waktu berhenti dan kita menangisi nasib yang terjadi?
Sudahlah, jangan pernah menolak untuk terus berdiri.
Kenapa mesti enggan mahu berlari?

Setiap kali kita menghadapi masalah, kenal apa itu masalah dengan cara sendiri.
Ingatkan kepada diri sendiri bahawa setiap masalah itu ada laluan keluarnya yang kita boleh cari.
Setiap musibah dilalui ada senyuman di penghujung hari.
Dan kita kena sentiasa bersedia untuk menghadapi.

Awak tetap sayang dia.
Awak tetap cinta dia.
Awak tetap suka dia.
Tapi sampai bila?

Kenapa awak tidak mahu untuk belajar sayang diri awak sendiri?
Kenapa awak tidak mahu kenal diri sendiri?
Kenapa awak tidak mahu kenal hati sendiri?
Awak tidak akan rugi.

Nota Kaki :
Ambil peluang yang terbentang dalam hidup. Hidup itu sendiri merupakan suatu peluang. Kenapa mesti dipersiakan dan enggan mahu menyahut cabaran demi masa hadapan yang kita impikan?

Zara : Kita mampu untuk menterjemahkan semua benda yang buruk kepada benda lebih baik dalam hidup ini supaya kita boleh terlepas dari belenggu hidup sebagai banduan dalam kehidupan sendiri. Jadilah arkitek membina masa hadapan dan impian peribadi. (Shafaza Zara, 2011)

Friday, June 24, 2011

Ikut Hati Memang Mahu Maki


Kalau ikutkan hati, ikutkan nafsu, mungkin bukan di sini.
Bukan sampai tahap ini.
Kawal diri.

Kalau ikutkan hati, ayat pasti penuh maki.
Tapi, masih lagi kenal segi.
Tabahlah hati.

Kalau ikutkan amarah yang seronok berjimba, senggama minda sampai mati.
Biar kering segala neuron saraf - macam tunggul patah gigi.
Hina, kering, senyap, sepi.

Tapi itulah.
Kalau ikut hati.

http://farm3.static.flickr.com/2422/3665169303_3b015a8a71.jpg
[Sumber gambar]

Aku masih kenal tulang penyangga diri.
Masih basah lagi lidah dan bibir dengan ajaran guru yang tidak terperi.
Sebab itu aku masih boleh ketawa sambil tutup muka alas pipi.

Nota Kaki :
Aku masih suka lelaki wahai manusia keji. Tidak perlulah kau menyalak kuat bagaikan aku rampas kekasih kau yang aku pandang sepi. Ah.

Zara : 25 hingga 26 Jun 2011 akan berada di Rompin, Pahang.

Monday, June 20, 2011

Yang Haram Cuma Babi Dan Arak Kan?


Kehidupan yang entah apa-apa dilalui dengan gembira. Menikmati setiap detik yang hadir secara bersungguh dan memikirkan betapa nikmat ini bukan semua orang dapat. Tidak semua orang menikmati keindahan yang sama bahkan tidak ada manusia yang serupa pengalaman hidup dan cara mereka menterjemahkannya. Aneh barangkali melihat bagaimana manusia boleh mematikan riwayat hidup mereka dengan mudah tanpa memikirkan apa yang sepatutnya yang mereka lakukan demi kelangsungan hidup.

http://farm5.static.flickr.com/4053/4360741172_036237b080.jpg
[Gambar : Letakkan semua benda yang menyebabkan kita sedih ke tepi dan ingat segala yang menggembirakan. Lupakan segala masalah dan hargai segala nikmat yang ada]

Diam.
Tanpa rela, tanpa banyak bicara dia lebih gemar duduk membaca dan menelaah segala benda. Lihat sekeliling sama ada apa yang dilakukan selama ini bermakna ataupun tidak. Ah,dia masih lagi manusia biasa. Duduk panjatkan segala macam permintaan pada Yang Maha Kuasa sudah jadi kebiasaan - cuma dia tidak tahu, bila permintaannya bakal dikabulkan.

Kawan : Kau diam sahaja.
Dia : Mana ada?
Kawan : Betul.
Dia : (sengih) Perasaan kau sahaja.
Kawan : Betul ni.

Dia dah terbang hilang.
Terbang meninggalkan daerah kesayangan sebuah hati yang pernah dicemari dengan pelbagai noda dan dosa serta kesakitan yang berpanjangan. Termenung jauh kesepian dalam mengubati hati yang sering luka dengan gelagat manusia yang tidak pernah henti dalam menabur benih benci tidak berkesudahan.

*******
[Certot dari sini]

“Karl!”

“Ya ayah”


“Ambil ni”, sambil hulur seuncang benda yang bergemerincing, Kamil usap kepala anak yang baru pandai membaca dan mengira di tadika.  Karl buka uncang, ketawa girang sambil tangan tunjuk jempol pada bapanya. Kamil senyum sahaja.

“Karl, sekolah belajar apa hari ini?”

“Matematik, kira-kira. Cikgu Khairiah kata kalau belajar Matematik, beli barang kat kedai tak kena tipu.” 

 Kamil mengekek ketawa mendengar celoteh anak kecil itu. Terbayang muka Cikgu Khairiah yang sawo matang dan tersenyum setiap kali dia hantar Karl ke tadika.

“Ayah, ada kawan Karl pinjam benda ni nak buat Matematik kat rumah dia”, Karl tunjuk kepingan berwarna hijau, merah, putih dan biru itu kepada ayahnya. Dia  hanya tersenyum sambil terfikir, apa agaknya yang difikirkan oleh ibu bapa budak itu di rumah bila nampak anaknya mengira guna kepingan buruk yang di bawa balik untuk Karl, anak yang tak kenal ibunya sejak lahir.

“Karl, masuk tidur, esok nak sekolah”

“Nanti ayah, nak siapkan kerja sekolah”

“Jangan lupa pungut benda yang bersepah nanti ni”

“Baik ayah”


Kamil beransur ke bilik. Kepala cecah bantal yang entah bila kali terakhir dicuci. Jadi bapa tunggal (istilah yang dia sendiri guna lepas isterinya lari), Kamil rasa dia sudah buat yang terbaik buat anaknya.
*******

“Ayah!”

Karl lari-lari anak pada Kamil yang setia menunggu di bawah pokok manga tadika setiap hari. Belum pernah gagal dia. Wajah Karl yang bengkak menangis diperhatikan, air mata yang mengalir dikesat perlahan.

“Kenapa Karl?”

“Kawan Karl, Kaizen kata benda yang Karl buat mengira ni haram. Dia kata bapak dia kata haram. Haram ke ayah?”

“Tak. Tak haram”

“Yang haram cuma babi dan arak kan ayah? Kasino tak kan?”


Kamil usap kepala Karl. Anak itu belum cukup besar untuk mengerti bapanya kerja di kasino. Kepingan yang dia buat mengira setiap malam itu “chips”. Benda bersusun di kasino – tempat kerja dia.

http://farm3.static.flickr.com/2620/3877559292_44eb24b5e4.jpg
[Sumber gambar]

Selingan : Cerita pendek sepanjang 300 patah perkataan ini aku tulis untuk pertandingan yang dianjurkan oleh Fixi. Malangnya gagal meraih sebarang tempat. Masih banyak perlu diperbaiki nampaknya. Yang menang memang hebat, tetapi aku akan tetap berusaha untuk menjadi yang terhebat. Mengalah itu payah.

Nota Kaki :
1. Bolehkah aku minta tolong kalian suka (baca : LIKE) dan tweet penulisan ini sebelum jam 12 malam 20 Jun 2011? Terima kasih. 
2. Maaf sudah lama tidak menulis, baru pulang dan minggu ini aku langsung tidak lekat di rumah.
3. Minggu sibuk bakal bermula lagi.

Zara : Bila kali terakhir kita bertegur sapa agaknya ya?

Monday, June 13, 2011

Sejuta Kali Tengok, Sejuta Kali Doa.


Dia sangka segalanya indah.
Kepingan demi kepingan bersusun di dalam mata dia. Satu demi satu muncul dalam gerakan paling perlahan yang mampu dia rasa. Malangnya, segala pergerakan dia rasakan celaka. Ya, celaka. Kebahagiaan, kegembiraan yang dia nantikan malangnya muncul hanya sementara. Senyuman dan tawa riang hilang dalam sebaris kata penuh tempikan amarah yang membuatkan dia terpinga-pinga. Jahanam manakah yang menjatuhkan maruah dan bersorak megah?

Angkuhnya dunia.
Sialan.
Ludah.

http://farm5.static.flickr.com/4042/4330956650_a14f0df65c.jpg
[Gambar : Rahsia untuk gembira adalah lakukan apa yang kita gemari. Dan rahsia untuk berjaya adalah sukakan apa yang kita lakukan. Mudah bukan? (Shafaza Zara, 2011)]

Nuansa atma dia penuh gemuruh amarah serta merta.
Celakanya manusia yang baru pulang lihat lembayung maha kuasa. Saat tempikan bergema, muka penuh nafsu amarah dan hidung merah panas berjelaga, dia tahu saat itu bermulanya kisah duka yang bakal berantaian entah ke mana. Nikmat yang baru dia kecapi bersama dengan mereka yang dia cinta sepenuh jiwa dan sanggup berkalang nyawa hilang begitu sahaja. Mulutnya mahu mula mengeji tapi mengenangkan wajah sayup yang pernah bergadai memastikan dia muncul di dunia ini, dia patuh dan bergerak penuh perlahan - mendengar arahan.

Nafas mendesah.
Laju - dan syaitan sedang memalukan gendang menaikkan amarah.
Telinga berdesing, kepala berpusing dan jiwa jahat dia mula meruncing.

Tapi, suatu suara penuh kasih sayang menegur dia dari tepi.
Dia berpaling, lihat wajah yang penuh cahaya itu, dia berbelah bagi.
Sanggupkah dia lihat manusia itu malu di sini?
Tidak sama sekali hatta dia perlu mati.
Kendurkan rasa hati.
Dia undur diri.
Hati?

Tawa dan tangis dia bergaul dalam minda.
Pilih satu sudut terpuruk dan dia lepaskan segala.
Amarahnya dikeluarkan dalam bentuk air mata.
Kau tidak kalah bisik hatinya.
Kau cuma bertarung dengan jiwa.
Jangan pernah kalah dengan manusia yang penuh sifat cela.
Walaupun dia mengerti dia masih lagi seorang manusia.
Celaka.

http://farm3.static.flickr.com/2792/4181897997_bdfd30c07a.jpg
[Gambar : Kita tidak akan tahu apa dan bila sesuatu itu akan berlaku. Ia akan berlaku secara tiba-tiba dan itulah sebenarnya kehidupan - penuh kejutan dan itulah bagaimana sesuatu itu harus disesuaikan. - (Shafaza Zara, 2011)]

Dengar suara yang paling dia rindu - suara yang mendamaikan jiwa.
Dengar suara yang paling dia rindu - suara yang membuaikan rasa.
Dengar suara yang paling dia rindu - suara yang sentiasa menitipkan pesanan jadi manusia.
Dengar suara yang paling dia rindu - suara yang tidak pernah gagal memanjatkan doa.
Dengar suara yang paling dia rindu - suara yang berjaya buat dia kawal rasa benci marah menggila.

Inikah apa yang dia rasa?
Amarah yang bakal mengheret terus ke neraka?
Kejamkah dia menghukum manusia yang bikin hatinya nanar dan gila?
Dia senyap, tertanya-tanya.

Orang baling dia dengan batu.
Dia kira satu persatu.
Duduk diam berteleku.
Dia pungut dan mulakan sesuatu yang jitu.
Bina satu tapak kukuh agar tiada musuh mahu serang kubu.
Dia sekarang bina kota pertahanan penuh dengan rasa sakit tepat ke ulu.
Ya, agar tiada orang yang memusnahkan apa yang dia perlu.

Dia sedar satu perkara.
Dalam hidup dia sedang berlumba.
Jika dia mencari kebaikan dan kegembiraan, dia akan bertemu dengan suka.
Jika dia memilih kejahatan dan kesedihan. dia pastinya akan berduka.
Dan itu yang pastinya dalam hidup manusia.
Kita memilih untuk rasa.
Bahagia?
Celaka?

http://farm3.static.flickr.com/2662/3950782843_983f818826.jpg
[Gambar : Hidup bukannya semata-mata untuk tiba ke tempat yang mahu dituju, tetapi bagaimana kita menikmati perjalanan ke arah situ. (Shafaza Zara, 2011)]

Diam membisu.
Barisan aksara dilihat satu persatu.
Pesanan itu membuatkan dia buka kembali mata dan terfikirkan sesuatu.
Ya, dia manusia beku.

Kenapa dia harus lihat manusia lain terlampau hebat dari dia? Darjat dan kedudukan akademik pandangan tinggi manusia bukan ukuran kematangan mereka. Jeritan dan tempikan itu masih bergema dalam minda, dalam kepala. Dia tunduk, senyum dan tahan air mata. Dia benci mahu menyeka. 

Ukir senyuman dan dia menyedari sesetengah manusia sebenarnya terlalu dungu dalam mengawal diri dan nafsu. Amarah manusia lain serta dia tidak perlu bersadur dan bersatu. Orang kata kita perlu melupakan perkara yang lepas. Ah, pepatah sendiri menyatakan barang yang lepas jangan dikenang. Tapi dia mahu membantah. Tidak benar sebenarnya bahawa kita perlu melupakan perkara yang sudah berlalu. Sebenarnya, kita perlu lupakan manusia di dalam peristiwa tersebut dan ambil pengajaran yang pastinya sangat berharga.

Retorik manusia.
Dia lupa dia juga masih makhluk bernyawa.
Dan dia mahu laksanakan metamorfosis dia secara menggila.
Hanya dibawah kesedaran dia.
Ketawa.

Nota Kaki :
Kerja dan kesibukan sudah bermula semula. Dan itu amat perlu bagi seorang gila (kerja) seperti dia.

Zara : Hidup ini adalah lebih kepada perubahan. Ya, berubah kepada kebaikan atau keburukan. Kadangkala semuanya menarik dan cantik, kadangkala ianya mungkin menyakitkan dan membawa dukacita, tetapi selalunya ia melibatkan keduanya.

Saturday, June 11, 2011

Jangan Buat Dia Menangis


Langit mendung.
Awan gelap berarak.
Dia tetap setia pandang langit. Telefon genggam yang berbunyi langsung dia tidak hiraukan. Ah, apalah makna melihat telefon genggam yang pastinya tidak akan bawa kegembiraan pada dia? Bunyi pesanan ringkas bertujah-tujah masuk tetapi tiada satu pun yang dilihat atau dipandang. Aneh-aneh sahaja perasaan kerana cuaca tidak menentu. Aku tunggu hujan. Ah, perlukah menyanyi dan bersenandung demi menikmati rahmat yang itu?

http://farm5.static.flickr.com/4036/4456145801_fe249ff4f6.jpg
[Sumber gambar]

Hidup ini ternyata suatu mukim yang aneh.
Manusia sering tidak dapat menerima siapa kita disebalik kekurangan kita, kelemahan kita tanpa mengetahui apa perasaannya jika bersama kita di waktu gembira dan bahagia. Ya, rencam manusia normal, mereka melihat yang buruk terlebih dahulu sebelum mahu menoleh ke arah kebaikan yang mungkin bakal mereka perolehi jika bersama. Senyum. Itu benda yang selalu terjadi bukan?

Kurang masuk akal sebenarnya apabila kita melepaskan sesuatu benda yang kita mahukan dan tunggu terlampau lama, tetapi tidak masuk akal juga kita mahu terus berpegang dan bertahan tanpa apa-apa yang dapat kita pegang, sandarkan dan rasai. Mungkin ada yang menyatakan ia sifat pengecut, tetapi mungkinkah dengan beralah sedikit, kita akan dapat sesuatu yang lebih baik di kemudian hari?

Kita bersenandung.
Pelbagai irama yang keluar.
Curahan perasaan yang sekejap membunuh, sekejap mencurahkan warna yang kita sendiri tidak pasti. Kita tunggu hujan datang untuk membasuh segala kesakitan yang kita alami. Pergi mati dengan segala kesan sampingan. Jahanam dengan perasaan yang menyeksakan diri. Air mata terlarut di dalam basahnya air hujan lebih penting daripada segala perasaan yang mencengkam.


[Gambar] : Tahukah kamu bahawa setiap daripada kita melalui jalan yang unik dan istimewa dalam hidup? Tiada orang lain yang lebih bagus daripada kita yang melalui jalan kepunyaan kita. Bukankah hidup kita, kita yang tentukan? (Shafaza Zara, 2011)

Tahukah kau satu perkara?
Bujang, sendirian itu bukanlah satu status. Itu adalah perkataan terbaik dalam menunjukkan seseorang itu kuat, tabah dalam mengharungi kehidupan dia tanpa perlu bergantung harap pada orang lain. Mungkin akan tiba masanya dia akan menemui pasangan yang sesuai di dalam hidup, tetapi apakah tahap kebergantungan dia mahu kalian pertikaikan?

*******

Sekadar mahu berkongsi tulisan aku di Cetusan Marga Zara. Ya, tulisan ini sudah dikongsi lebih seratus kali dalam masa kurang tujuh jam selepas disiarkan. Sungguh, aku terkejut.


Saya rindu awak.
Awak rindu saya tak?

Saya rindu banyak benda tentang awak.
Awak, apa yang awak rindu tentang saya?

Saya rindu nak dengar suara awak.
Awak, pernah tak rasa rindu nak dengar suara saya?

Saya rindu mahu lihat awak.
Awak, rasa tak rindu nak lihat saya?

Saya rindu nak berbual dengan awak.
Awak, awak berbual dengan siapa sekarang ni?

Saya mahu lupakan kerinduan saya pada awak.
Awak mesti dah tiada rasa rindu pada saya kan?

Saya rindu awak sebab awak pernah hidup dalam diri saya.
Tapi saya tak pasti awak rasa begitu atau tidak.

Saya rindukan diri saya.
Rindu diri saya sebelum kenal awak.

http://farm1.static.flickr.com/182/390550642_b78dfe5d06.jpg
[Sumber gambar]

Dan itu penutup sebuah kisah.
Cuma satu aku pinta, jangan buat dia menangis.
Itu sahaja.

Nota Kaki :
Terfikir untuk kembali ke laluan asal - menulis buku. Mungkinkah bakal terlaksana?

Zara : Benda paling penting dalam hidup adalah belajar dengan apa yang telah kita lalui dan berusaha untuk jadi manusia lebih berguna selepas ini. Bukan terus menangisi.

Friday, June 10, 2011

Mari Lari Dari Rumah


Bila kita bersedia untuk memudahkan segala benda, jangan pernah untuk membandingbeza dengan orang lain. Jadilah diri kita yang sebenar dalam mencapai kebaikan yang kita tahu dan kita sedar dengan sebaiknya. Di saat segalanya selesai dan terjawab, itulah ketikanya kita mendapat penghargaan dan pengiktirafan yang bukan sedikir daripada orang sekeliling kita.

Sedar ataupun tidak, sesetengah daripada manusia sekeliling kita hanya berbual, mencari kita hanya mereka menghadapi masalah, memerlukan sesuatu dan apabila hajat mereka tercapai, secara ajaibnya, mereka akan menghilang begitu sahaja. Ya, bila kehidupan mereka sudah bertambah baik, mereka hilang begitu sahaja.


Dan itu yang membuatkan sebahagian daripada manusia (ya, mungkin kita-kita ini), yang lebih gemar menjadi penipu, pembelit, kaki temberang, kaki muslihat, dan sebagainya - hanya dengan tujuan untuk orang lain kagum dengan diri mereka. Sukar menjadi diri sendiri yang kononnya tidak akan mempunyai kelebihan semata-mata takut untuk menghadapi dunia. Ya, mungkin dunia akan menghakimi kita secara buruk, secara negatif dengan siapa diri kita, tetapi bukankah menjadi diri sendiri itu lebih menarik?

Gambar : Pengalaman adalah perkara yang kita dapat apabila kita tidak dapat apa yang kita mahukan. Dan pengalaman itu sebenarnya sesuatu yang lebih berharga untuk kita dapatkan dalam hidup (Shafaza Zara, 2011)

Sekejap.
Kenapa aku tulis benda-benda begini sekarang?
Oh, sebab aku sedang memberikan tumpuan kepada pembacaan aku. Memang begini kalau aku sudah tenggelam dalam dunia yang aku sukai. Aku selalu terfikir, indahnya kalau ada orang beri aku hadiah buku. Berikan aku satu set buku dari rangkaian penulis yang aku gemari ataupun apa sahaja bahan bacaan yang aku suka kelek ke sana ke mari. Dan ya, buat yang sudah lama mengenali aku, memang aku suka cium bau buku. Sebelum membaca, aku akan cium buku, nikmati sedikit demi sedikit dan memandangkan aku seorang yang membaca dengan pantas, aku sudah hampir habis enam buah buku dalam minggu ini. Ya, gila kan? Semuanya aku beli secara atas talian ataupun ke kedai buku berhampiran.

Kita semua pernah terjatuh.
Mungkin ada parut yang tinggal daripada kesan kita terjatuh itu.
Tetapi tahukah kita bahawa parut yang tinggal itu bukan kesan sebagai tanda peringatan betapa sengsara dan sakitnya kita, tetapi ia sebagai peringatan, betapa kuatnya kita melalui dan menghadapi kesakitan pada suatu masa dahulu. Ya, kalau kita pernah lari dari rumah, cedera dan sebagainya, kita tetap kembali pada rumah yang kita tinggalkan.

Gambar : Hargailah kehidupan kita sendiri. Kerana kita hanya punya satu kehidupan.

Tidak.
Tulisan ini bukan mahu mengajak kalian semua lari dari rumah, cuma mahu kita fikirkan sesuatu perkara. Adakah kita tidak akan kembali pada rumah yang kita tinggalkan? Adakah kita mahu cuba sesuatu yang melampaui keupayaan tanpa mahu menoleh ke belakang dan melihat apa yang pernah kita naungi selama ini?

Aku memilih untuk duduk diam sebentar.
Mahu lihat kembali bagaimana aku memulakan segalanya.
Dari sekecil-kecil perkara.
Ya. 

Sebolehnya, aku menulis yang pendek-pendek sahaja seperti dahulu layaknya. Saat aku mula bertatih kembali, mengenal betapa bahasa kebangsaan aku mula terhakis apabila kesibukan membuatkan pertuturan dan pergaulan aku dengan bahasa ibunda sudah jadi entah apa-apa. Ya, kembali kepada di mana aku bermula dan aku sedang mahu menulis sedemikian rupa. Maaf kalau rumahnya penuh cacat cela. Nah, aku kan masih lagi segumpal sampah tanpa makna?


Lari dari rumah?
Tidaklah.
Aku cuma keluar sebentar dari Dunia Sebelah Zara.
Lari ke sebelah sana.

Aku hanya mahu mulakan semula.
Itu sahaja.

Nota Kaki :
Buku-buku terakhir yang aku tunggu sudah tiba. Dari MPHOnline dan juga #CEKIK dari  Fixi.

Zara : Tangan yang pernah menyeka kesakitan aku pada suatu ketika dahulu adalah lebih bermakna dan penting daripada beberapa tangan tidak terkira yang datang memberikan tepukan gemuruh dengan apa yang aku nikmati sekarang.

Wednesday, June 08, 2011

Di Mana Garisan Mula Semula?


Hidup ini bagaikan satu perlumbaan.
Kita ada garisan mula.
Kita ada garisan penamat.
Sepatutnya.

Tetapi bagaimana kalau dalam perlumbaan itu kita terberhenti di mana-mana? Di antara garisan permulaan dan garisan penamat. Di mana kita harus mulakan segalanya kembali? Kembali ke garisan mula dan kembali di dalam laluan dengan pincang dan perlahan, ataupun mundur setapak dua ke belakang dan lari kembali di mana kita jatuh dan cuba untuk berdiri?

http://farm3.static.flickr.com/2386/2193327230_681fabf784.jpg
Gambar : Orang yang paling kuat adalah orang yang tidak menunjukkan kekuatan mereka di hadapan kita, tetapi menang besar tanpa pengetahuan sesiapa. (Shafaza Zara, 2011)

Mencari.
Dia masih mencari di mana perlu bangkit semula.
Dia tahu dia patut bangun semula.
Bukan untuk sesiapa, tapi untuk kebaikan diri dia.

Pada pendapat kamu, di mana dia patut mula?
Atau lebih tepat lagi, apa yang patut dimulakan semula?
Legasi Cinta Alisia?
Runut Irama Jiwa Kita?

Keliru.
Mahu bangun semula.
Benci dengan diri yang tiada punya naluri gembira.
Mati jiwa bahasa.
Ah, kacau.

Sukar untuk buat pilihan.

Bulu-bulu bertaburan di atas lantai.
Rambut-rambut juga.
Malahan kulit-kulitnya sekali.
Aduhai...
Luluh hati.

Pelbagai warna di atas meja.
Kuning, merah, hijau dan ada juga coklat.
Kesemuanya berbulu, berambut dan berkulit.

Yang berwarna coklat paling menyedihkan.
Air bergenang keluar dari tepinya.

Yang hijau hanya dipandang sepi.
Falsafah terlalu hijau digunakan di sini.
Terlalu muda, terlalu mentah untuk dijamahi oleh sesiapa.

Yang kuning?
Yang merah?
Kuantitinya beransur-ansur merosot.
Cepat sahaja berbanding yang lain yang nampaknya masih tidak berganjak.

Bulu-bulu bertaburan.
Rambut-rambut bersepahan.
Kulit-kulit bergelimpangan.

Ketawa galak mengiringi suasana.
Tisu-tisu putih juga melayang ditiup sang angin dari kipas yang ligat berputar.
Tisu dicapai, bibir dikesat.
Adakah tisu juga akan dibiarkan melayang?

Habis manis sepah dibuang.
Pepatah itu jelas tergambar disini.
Aduhai.

Itu sahaja.
Noktah.
Novel-novel ini boleh dibaca di SINI.

Zara : Akan sentiasa ada orang yang lebih cantik, lebih pandai, lebih segalanya daripada kita. Tetapi semua orang tersebut, tidak akan menjadi KITA.






Saturday, May 21, 2011

Kau Sayang Dia Sebab Perlukan Dia Atau Sebaliknya?


#sedang mendengarkan : Taylor Swift - Kembali ke Disember (Baca : Back To December)

Kadangkala kita perlukan seseorang itu sebab dia sebahagian daripada kita, tapi kita selalu terlupa, adakah disebabkan kita sayang dia, maka kita perlukan dia, ataupun kita perlukan dia disebabkan kita sayang dia? [Lepas ditegur, aku baru perasan yang ayat aku salah. Maka yang betul adalah ini = Adakah disebabkan kita sayang dia, maka kita perlukan dia, ataupun kita sayang dia disebabkan kita perlu dia?] Itu membawa kepada dua pengertian berbeza yang pastinya.

Gambar : Orang yang kurang matang akan menyatakan saya cintakan awak kerana saya perlukan awak, tetapi orang yang matang akan menyatakan saya perlukan awak kerana saya cintakan awak. Jadi mana satu antara kita?

Kelemahan manusia adalah terlalu bergantung kepada manusia lain sehingga tanpa disedari mengakibatkan lebih banyak kesakitan dalam usaha memperbaiki sesuatu yang pincang. Anehnya, kita kurang menyedari kepedihan yang dialami bila melalui kepayahan begitu.

Kawan : Kau pernah rasa rindukan seseorang?
Aku : (ketawa) Soalan apakah ini?
Kawan : Jawab sahajalah.
Aku : Pernah.
Kawan : Susahkan bila kita rindu orang ni?
Aku : Susah ke? Kalau orang itu hidup lagi, pastinya banyak cara nak hubungi dia. Gunakan sahajalah dan lepaskan rasa rindu tu.
Kawan : Tapi kalau orang yang kita rindu itu tak rindukan kita?
Aku : (ketawa) Ini kelakar.
Kawan : Kenapa?
Aku : Sebab kau tak tahu hati orang. Mana kau tahu dia tak rindu kau juga?
Kawan : Sebab bila aku kata aku rindu, dia senyap je.
Aku : Mungkin dia segan? Ataupun aku rasa benda begini tak perlulah sentiasa diluahkan guna kata-kata kan?
Kawan : Rasa macam bodoh pula bila aku rindu orang begini. Aku je yang sayang dan perlukan dia agaknya.
Aku : Kau sayang dia sebab perlukan dia atau kau perlukan dia sebab kau sayang dia?
Kawan : Ada beza ke?
Aku : Ada.
Kawan : Aku perlukan dia sebab aku sayang dia. Kalau aku tak sayang dia, buat apa aku perlukan dia?
Aku : Jawapan orang matang.
Kawan : Eh, kalau orang minta gambar kau, apa kau buat?
Aku : Bergantung siapa orang tu.
Kawan : Katakanlah kalau orang tu minat kau, apa kau akan buat?
Aku : Senang sahaja. Aku akan jawab begini, "Google sahaja gambar saya". (ketawa)
Kawan : Keji gila perangai.
Aku : (ketawa) Sebab kita tak tahu adakah orang yang minat kita itu, kita minat atau tidak. Tapi selalunya, orang yang minat kita adalah orang yang kita kurang minat dan orang yang kita minat adalah orang yang langsung tak pandang kita.
Kawan : Macam menyindir.
Aku : Choi! Mana ada. Itu benda ironi yang manusia selalu buat.

Gambar : Kadangkala ada orang yang singgah di hati kita dan meninggalkan jejak yang dalam tetapi malangnya, mereka hanya tinggalkan kesan tapak kaki yang tidak dapat ditanggalkan apabila mereka berlalu pergi. (Shafaza Zara, 2011)

Kadangkala kita merenung sebuah hati yang kosong tanpa isi serta membuat kita tertanya-tanya, apakah ada peluang kita menyelinap masuk dan tinggal di dalamnya. Seperti juga kau duduk termenung di luar pintu sebuah rumah, tangan teragak-agak mahu menekan loceng atau mengetuk pintu rumah tersebut. Adakah ada ruang yang istimewa untuk kita?

Awak, ingat lagi kata kunci kita berdua?
Kata kunci hati kita berdua.
Awak ingat lagi?

Masa kita mula-mula kenal, awak cuma nampak permukaan jiwa saya.

Masa mula-mula kita kawan, awak cuma nampak luaran hati saya.
Tapi awak terima dan awak mula tamak.

Awak berdiri di luar hati saya.

Awak ketuk perlahan-lahan.
Awak datang setiap masa, setiap hari.
Awak tanya, bila agaknya awak dapat masuk ke pintunya.

Awak datang setiap hari sehingga saya kehilangan diri.

Awak marah saya - awak kata saya menyelinap masuk ke dalam hati awak tanpa perlu usaha.
Saya termangu - saya dalam hati awak, jiwa awak?
Awak merayu - berikan awak kunci, kata laluan atau apa sahaja agar awak bisa masuk ke dalam.

Saya berikan awak kata laluan.

Awak buka dengan perlahan.
Awak mula berikan sepenuh tumpuan dengan tinggal di situ.
Awak baca setiap helaian manuskrip dalam hati saya.
Lembaran demi lembaran awak baca.

Awak, bila tiba halaman yang sukar untuk difahami, mengapa awak berdiam diri?

Mengapa awak tidak mahu lebih mengerti?
Mengapa awak tidak mahu bertanya kepada saya, tuan punya diri?

Awak, hati yang awak masuki adalah hati saya.

Kamus yang awak perlukan adalah saya.
Awak, adakah awak masih mahu membaca lagi?
Atau mahu berpaling pergi?

(tulisan aku dari penulisan ini)

Pincang?
Ya, tulisan hari ini pincang.

Nota Kaki :
Sesuatu yang diinginkan sudah punya dalam tangan.

Zara : Kekuatan untuk mencintai adalah anugerah terbesar yang diberikan Tuhan kepada manusia, sebab kekuatan itu tidak akan pernah direnggut dari manusia penuh berkat yang mencinta. (Kahlil Gibran)

Wednesday, May 04, 2011

Ini Tidak Perlukan Tajuk


Dia terjaga dalam kesuraman lampu tidur yang sudah berkhidmat lebih sedekad dan tidak pernah merungut walaupun sedikit. Dinding yang dilimpahi cahaya berembang dilihat aneh kesejukannya. Bahkan hujan yang sedang turun dengan lebatnya di luar tidak mampu menandingi keringnya hati seorang manusia dingin yang sudah melupakan apa itu kesukaran dan kepayahan dalam menjalani kehidupan. Anak itu, anak yang aneh. Anak yang tidak kenal lagi apa erti penderitaan sejak dia sudah mangli dengan semuanya.

Gambar : Kehidupan itu sendiri sudah cukup indah. Kenapa tidak mahu berhenti sebentar dan hargainya? Tidak kira bagaimana sukarnya hidup itu, cubalah untuk terus tersenyum. (Shafaza Zara 2011)

Satu demi satu rentetan peristiwa muncul di layar minda tatkala dia mengenangkan betapa syukurnya dia kerana masih bernyawa. Sesuatu yang dipinjamkan oleh Yang Maha Kuasa dan entah bila akan ditarik semula. Ah! Rapuhnya manusia itu sendiri. Bagaikan api lilin yang memancar, manusia itu juga yang perlu menjaga apinya daripada padam dalam meneruskan kelangsungan hidup. Dia sendiri sudah pernah melalui cabaran yang bukan sedikit dan dia tahu, akan banyak lagi ujian yang menunggu sepanjang jalan kehidupan itu sendiri. 

Bila orang bertanya tentang hati dan sebagainya, dia cuma mampu merenung jauh dan ketawa. Apa yang mereka fahami tentang hati dia? Dia akui, hanya sesetengah daripada sahabat dia yang benar-benar memahami apa yang tersirat dan tersurat dalam hati ini. Bertahun berseorangan tanpa seseorang istimewa, banyak mengajar dia apa yang dinamakan sebagai kehidupan itu sendiri. Terlalu banyak yang dilalui, kebanyakannya keseorangan atau hanya bersama teman-teman serta keluarga, dia harus akur yang hidup dia dalam gelanggang dunia ini terlalu naif tetapi istimewa.

Apakah dia terlalu tamak? Kehidupan itu telah indah dengan sendirinya. Apakah dia kurang bersyukur?. Dia ingin menganggap semua yang berlaku adalah satu ujian, sama ada dia akan tabah atau tidak dalam menjalani sesuatu yang dipanggil kehidupan. Tapi dia lebih mahu memilih ketabahan sebagai pelindung kekuatan hatinya. Sebagai tempat dia mampu berdiri dan beraksi di atas pentas dunia. Dia tidak mahu apa-apa lagi kegilaan yang memesongkan dia.

http://farm4.static.flickr.com/3428/3770854222_fc76ae8a78.jpg
Gambar : Kalau kita sendiri tidak tahu akan nilai diri, jangan mengharapkan ada orang lain akan mengiranya buat kita.

Cinta Manisan Warna Warni

Lena dibuai mimpi
Perjalanan mengembara satu dimensi yang tidak bertepi.
Tapi aku tahu kau bernaung dalam rimbunan diri.
Tersimpan rapi dalam kamar hati.

Bisikan kasih sayang menjadi suntikan yang paling ampuh.
Kau tidak memanjakan seperti yang ku mimpikan.
Kerana kau punya cara tersendiri untuk meluahkan.
Dan ia lebih hebat dari apa yang menjadi impian.
Kau wajah kesayangan.

Cinta ibarat manisan berwarna warni.
Pelbagai percikan meliputi laluan yang dipilih.
Kita senyum dan gunakan semuanya mewarnai kanvas indah.
Hiasi megah sebuah takhta.
Untuk diduduki bersama.
Susun atur taman bahagia.

Manis.
Kita telan satu persatu.
Perlahan sambil renung masa depan bersama.
Jiwa bertaut, cinta bersatu.
Tangan belum mampu mampu menggapai.
Namun kasih subur dan semakin utuh.

Pahit.
Kita mamah sendirian.
Kongsi segala kepahitan sambil sadur rasa manis dalam minda.
Yakin pahit itu ubat kepada manis.
Percaya kepahitan pasti akan sirna.
Dugaan itu warna simpang kiri empayar kita.
Pahit itu kita telan.
Wajah ukir senyuman.

Bisikan lembut.
Aku cinta kau.
Kekang tubir mata dari mengalirkan air mata.
Tidak, bukan sebab kesedihan.
Terharu dalam doa yang dititip buat Tuhan.
Perasaan ini bukan satu seksa.
Ini kiriman bahagia dari Yang Maha Esa.
Dan aku bertuah memiliki engkau Jiwa.

Pahit, manis itu kita yang rasa.
Warkah aku titipkan pada bayu.
Moga ditiupkan ke dalam dada.
Seorang insan yang aku gelar Jiwa.

Doa buat sang pencinta.
Moga sentiasa dalam rahmat dan kasih sayangNya.

Sayang, mahu hadam manisan lagi?

Shafaza Zara Syed
Ranjang merah Teratak Keluarga.
28 April 2010 5.30 pagi
Nota Kaki :
1. Kesibukan melanda lagi. Maaf.
2. Puisi pendek itu sekadar catatan yang mahu dideklamasikan dua minggu lagi kepada umum. Kenapa agaknya ya?

Zara : Tahukah kamu apa benda paling berharga dalam hidup kamu sebagai seorang manusia?