Thursday, May 09, 2013

Perjalanan 30 : #14


Satu demi satu dilalui dengan menahan kekuatan daripada digunakan di tempat yang tidak sepatutnya. Cuba memahami bahawa dalam memilih jalan hidup yang sedikit berbeza dengan orang lain, aku perlu tabah dalam memilih apa yang aku mahu atau aku percaya.

Sehingga kebenaran itu dibukakan buat aku --- aku cuma diam dan kirimkan doa agar segalanya bakal baik-baik sahaja. Barangkali aku sudah terlalu tegar atau tepu dengan segala benda yang dihadapi buat masa ini. Bila punya ruang untuk aku rehat, aku rebahkan diri di pembaringan dan enggan mahu ambil tahu tentang apa-apa.

Biarlah.
Badan sudah terlalu banyak kali digunakan sehingga tahap layu. Lembik, dan tidak berdaya tetapi atas sebab tidak mahu menghampakan permintaan orang lain, digagahkan juga. Masih bangun dengan bertongkatkan lengan dan tampal senyuman bagaikan tiada apa yang terbazir dalam setiap pergerakan. Biarlah.

Senyuman yang paling berharga sudah lama hilang ditelan masa. Yang tinggal barangkali senyuman paksa demi meneruskan kelangsungan hidup. Sudah lama tidak ketawa kerana benar-benar gembira. Tidak dapat dijangka dengan wujudnya manusia yang perlu dihadap sepanjang usia --- keletihan itu lebih sukar dibendung. Perasaan berbaur dengan rasa hormat yang semakin menipis tetapi berusaha untuk dikekalkan. Positif itu penting tetapi bila diuji berulangkali - ah, alangkah pemadam juga menipis bila dilanyak setiap kali, apatah lagi hati manusia kan?

Ujian bakal menjelma lagi.
Entah kuat atau lemah nak menghadapi benda begini.
Buat masa ini ---
Kekalkan senyuman dan doa perasaan negatif mati.
Dan biarkan mulut itu berhenti.


http://farm1.staticflickr.com/67/198319939_1f35c62c2d.jpg
[Sumber gambar]

No comments: