Kembar selalu tanya aku.
Kenapa aku seperti mewujudkan dinding antara diri aku dengan manusia lain. Aku peramah, senang didekati tetapi sukar untuk difahami. Bila kembar menyatakan sedemikian, aku menyedari sesuatu. Kembar, seperti juga Busuk (dan Nakama kadangkala), dapat melihat jauh ke dalam diri aku yang berusaha keras mengasingkan diri daripada sakit lagi.
[
Gambar : Kau ingat kenapa aku sentiasa renung langit?]
Sakit.
Aku dibawah pengaruh lambakan pil berwarna biru lagi.
Biarlah.
Senyum.
Dinding Tidak Kelihatan.
Aku mungkin manusia yang sentiasa telus dan berusaha membuatkan orang lain gembira walaupun hakikatnya aku sendiri yang cedera. Disebabkan pernah tercedera dengan teruk suatu ketika dahulu, aku mengubah diri aku menjadi lebih meredhai apa yang aku lalui. Walau sakit sekalipun, asalkan orang disekeliling aku tersenyum gembira, aku akan teruskan juga. Ah, bukankah aku perlu senyum supaya semuanya sentiasa baik? Hakikatnya, kesakitan itu semakin lama, semakin memakan diri dan ternyata, aku yang tanggung sendiri.
Senyum.
Sakit sendiri.
Ubat sendiri.
Sembuh sendiri.
Itu prinsip diri.
[
Gambar : Kau tanya mana bahagian yang sakit? Ini kau tahu? Hati yang sakit.]
Kembar : Kenapa awak bina dinding antara awak dengan orang lain?
Aku : Dinding?
Kembar : Ya, awak bina dinding dari didekati orang lain. Sebab pernah terluka dahulu?
Aku : Mungkin. Entah. Hati saya macam kaca.
Kembar : Maksudnya?
Aku : Hati saya macam kaca. Penuh calar balar, penuh parut hodoh menahan sakit dan sengsara. Saya bertahan dan saya takut, kalau satu hari nanti kaca ini pecah, saya akan lukakan diri sendiri dan orang sekeliling saya. Kalau saya sendiri tidak mengapa, tapi bagaimana dengan orang lain?
Kembar : Faham.
Disebabkan itu juga, bila aku didekati dengan baik oleh sesiapa sahaja, aku membuka ruang sedikit demi sedikit agar aku juga boleh menjalani hidup seperti manusia biasa. Jika orang hulurkan persahabatan, aku menerima dengan hati terbuka, dan aku akan menggila bila aku dikhianati semula. Ramai, aku punya ramai kawan di alam realiti dan maya, tapi teman yang memahami?
Blog ini tempat aku mencurah rahsia hati.
Blog ini tempat aku simpan kemas coretan buat mereka yang mengerti.
Blog ini bukan sekadar tempat aku bermain seni.
Blog ini lebih kepada perwakilan diri.
Sebab itu kau perlu tahu kenapa aku marah dan benci bila orang plagiat blog ini.
Sebab ia tentang diri aku sendiri.
Tidak Memilih Kawan, Menjauhi Lawan.
Sesiapa yang kenal aku di alam realiti dan juga maya, tahu aku tidak pernah memilih kawan. Bahkan orang sering bertanya kepada aku, bagaimana aku boleh kenal dengan mereka-mereka yang mungkin sungguh asing daripada aku. Aku seorang yang mudah. Orang buat baik dengan aku, aku juga buat baik dengan orang. Orang buat jahat dengan aku, balasannya aku akan fikirkan mengikut keadaan. Mudah kan?
[
Gambar : Kalau orang boleh berkawan dengan aku, kenapa aku tidak boleh berkawan dengan orang?]
Dan kau perlu tahu sesuatu.
Tidaklah penting mungkin bagi kamu.
Tapi penting untuk aku.
Kalau aku sudah menyukai seseorang itu (sebagai contoh budak rambut lawa), aku memang suka sepenuh hati. Aku tidak kira apa yang terjadi pada diri.
Senyum.
Itu contoh sahaja.
Keluarga Kekuatan Diri.
Begitu juga halnya dengan keluarga.
Itu antara penyebab kenapa aku perlu kuat.
Walaupun kekuatan aku sering diuji dengan perbalahan kecil dan ujian berskala sederhana daripada keluarga, aku mengerti tanpa mereka, aku mungkin sampah yang tiada nilai di dunia.
Air mata tumpah.
Tengah hari tadi aku tewas.
Aku kalah.
Kemarahan aku membuak seiring dengan kesakitan aku.
Pertahanan diri aku dicerobohi dengan kata-kata yang memakan diri.
Aku sedar yang aku bukan baik.
Aku manusia jahat.
Orang lain semua malaikat dan aku syaitan.
Tidak.
Anak-anak saudara Puan Mulia adalah yang terbaik, rajin dan boleh diharap.
Aku ini adalah musibat yang langsung tidak akan kenal erti suka dan gembira.
Aku ini anak jahanam yang tidak pernah berjaya.
Aku kan si celaka yang tidak pernah memberikan apa-apa,
Siapa aku mahu dibandingkan dengan mereka yang lebih baik dan mulia?
Aku bukan ada nilai signifikan ataupun bermakna.
Aku cucu penuh cela.
Kisah aku dijaja.
Dari mulut orang tua kepada yang lebih muda dan lebih muda.
Bila berjumpa, semua mata serong memandang aku yang terpinga-pinga.
Ah, nasib baik masih ada yang bocorkan rahsia.
Baru aku tahu nilai aku pada mereka.
Senyum.
Kesat air mata.
Kenapa aku terlampau mengikut hati?
Biarlah orang lain mahu benci.
Aku patut mati sendiri.
Aku tidak pernah kata aku baik.
Aku tidak pernah mendabik dada kononnya aku telah berjaya.
Bahkan aku bukan apa-apa.
Aku tiada nilai dalam keluarga.
Tapi salahkah aku mahu sedikit bahagia?
Salah!
Walaupun kau dilamar pekerjaan dahulu berbanding mereka, kau tetap ada cela.
Kau pemalas, kau penuh cacat di setiap aspek pada pancaindera mereka.
Senyum, duka.
Pahitkan?
Aku telan sahaja.

[
Gambar : Biarkan aku bermain dan kenal kebaikan dan kekurangan aku sendiri]
Senyum.
Kuatkan diri.
Girangkan hati.
Kau tahu kan?
Aku senyum bukan kerana semuanya baik.
Tapi aku percaya semuanya akan baik kalau aku senyum.
Cukuplah.
Aku sudah lali dengan jarum halus penuh sakit dan benci.
Nota Kaki :
1. Tadi aku menangis sambil ketawa walaupun aku tahu hati aku bengkak menahan rasa hati.
2. Sejuk.
3. Aku amat perlukan tidur selepas mengambil ubat secara berlebihan, tapi matatidak mahu mengikut kehendak tubuh. Aku tidak mengerti.
Zara : Kadangkala aku tahu aku perlu mengalah. Tahan segala marah. Sebab mengalahnya aku bukan beerti aku kalah. Tapi lebih kepada kemenangan mutlak suatu hari nanti. Buat masa ini, biarlah mereka semua bergendang dan menari. Aku kurung jiwa dalam satu almari.