Perempuan bising kembali lagi. Tiada lagi puisi tiada cerita, tiada senandung indah untuk manusia disekeliling barangkali bila senyuman direnggut oleh kehilangan tenaga dan beberapa lagi benda yang buatkan dia hanya tahu bahawa kerja memberikan kepuasan (dan walaupun sakit dengan tekanan - dia masih mampu ukirkan hiasan mata setiap pagi untuk bekerja) - oh jangan lupa senyuman manis demi mengelakkan jantung sakit dan tekanan darah mencanak naik.
Jadi, apa sahaja perkhabaran agaknya?
01 - Dua minggu lepas, berat badan kembali kepada berat badan unggul. Sibuk dengan kerja macam orang gila dan bertugas untuk cabaran (beberapa aktiviti luar) - berat badan jatuh dengan menarik hati sekali tengok penimbang. Dan untuk beberapa lama, berat badan itu buat diri sendiri tersenyum dan mengerti betapa kesukaran menahan nafsu terhadap sesuatu mampu memberikan keputusan yang menggembirakan. Tetapi celakanya, sejak akhir-akhir ini, cuaca panas melampau dan itu menaikkan nafsu makan (walaupun nasi masih lagi pantang tentunya). Usai mandi, timbang berat badan dan adakah usaha setahun setengah ini akan sia-sia?
Gila!
Julai sudah hampir tiba dan badan perlu kembali semula ke berat badan unggul untuk aktiviti yang ditunggu sejak sekian lama. Bolehkah dalam masa kurang seminggu dua dengan kesibukan ini untuk kembali bekerja kuat dan menurunkan berat badan semula?
[Sumber gambar] - Ya, aku memang sayang badan aku tetapi bila ia menghalang aku untuk melakukan aktiviti yang aku suka, maka, aku perlu buat sesuatu demi kasih sayang aku pada mereka. (menangis) |
02 - Untuk benda yang aku hitung hari sejak dua bulan lepas, dan bertambah keterujaan sejak awal minggu ini, aku terpaksa lepaskan demi memenuhi tanggungjawab dalam pekerjaan aku. Kecewa sudah pasti dan separuh hari aku tadi aku asyik terbayang-bayang dan mengajar diri aku untuk menilai keputusan yang aku buat dengan melepaskan apa yang aku mahukan sudah tentunya akan ada hikmah yang aku mungkin tidak nampak (buat masa ini). Jadi, selamat tinggal Perlis dan Kedah. Tiada rezeki untuk aku menjejakkan kaki ke dua buah negeri seperti yang dirancangkan atas dasar tugasan lain yang mendadak muncul.
Kenapa aku bising sangat sebab Perlis dan Kedah ini? Mudah sahaja, aku mahu bertemu dengan manusia tertentu yang membantu aku selama ini (selain daripada berkhidmat dalam tugasan aku di sana) tetapi ya, aku perlu diamkan dan redha sahaja. Nasib baik aku masih belum menghubungi mereka.
03 - Surat yang aku terima pagi tadi di sekolah buatkan keterujaan aku dalam perkara nombor 02 tadi melonjak ke tahap gembira. Tetapi malangnya, orang tua-tua benar dalam menyampaikan kata-kata hikmah. Ada benda yang kita tidak boleh terlalu gembira kerana ia mungkin akan lenyap tanpa kita dapat jangka. Panggilan telefon yang aku terima pada waktu tengah hari menjadikan surat yang aku terima pada waktu pagi sebagai pilihan yang aku perlu tolak. Malangnya, bukan setakat surat itu aku harus tolak, tetapi aku perlu melupakan hasrat ke Perlis dan Kedah juga.
Tetapi, aku sudah beritahu diri sendiri bahawa panggilan telefon itu mungkin akan membantu keyakinan diri aku lebih daripada tahap sekarang ini (sudah tentunya dengan tugasan yang aku patut sedar nilai berbanding dengan apa yang aku mungkin lepaskan) - jadi aku bercadang untuk menghargai apa yang aku dapat walaupun ada benda yang aku perlu lupakan. Benda baik kadangkala kita kena faham bila perlu dikorbankan.
04 - Aku merahkan beberapa jari dan ketawa dengan kebodohan sendiri. Untuk apa aku mengoles inai di jari tatkala tekanan yang aku hadapi tidak berkurangan, bahkan merencatkan apa yang aku susun atur demi mencari kegembiraan yang nyata? Aneh.
Bukankah aku sendiri juga aneh?
2 comments:
lama xsinggah sini. harap sihat2 selalu..inai di jari tu xlama lagi naik pelamin la nt hihi
biasa la...
bila dh tension dan x tahu nak buat apa...
kita akan buat sesuatu di luar jangkaan kita....
kebetulan pula, saya pun baru je buat satu kerja gila beberapa hari lepas...
harap kak z boleh beri kritikan sikit....
hihihihihi (nak bagi pujian pun boleh)
http://takky-journeyofmylife.blogspot.com/2012/06/resepi-gila-aku.html
Post a Comment