Kadangkala peluang itu sudah terhidang depan mata, cuma tidak mahu digunakan. Bila dia punya peluang untuk mencari yang lain selepas kekasih yang dia suka berselingkuh dengan manusia lain, dia tidak pernah ambil kesempatan. Di sebalik kenakalan dia yang suka mengusik sana sini, dia malangnya tidak pernah terfikir untuk menggantikan manusia yang sering membuatkan dia terluka dan kecewa. Sialan, dia pernah mengutuk dirinya yang sentiasa berfikiran terbuka hatta manusia itu membunuhnya bukan sekali dua. Tapi, celakanya, dia masih setia menunggu walaupun tanpa khabar berita.
[Sumber gambar] |
Dalam mencari keseronokan lain tanpa perlu dia terbuai dengan kesakitan, banyak peluang untuk dia bersama manusia lain yang dapat dia lihat. Hatinya memberontak mahu mencuba, mana tahu dia dapat menghukum kekasihnya (padahal dia sedar yang dia bakal mati sendiri disebabkan si kekasih tidak akan memberikan reaksi) - dia akhirnya hanya mampu melihat peluang itu pantas berlalu tanpa dia sempat menyentuhnya. Ah, dia mungkin lebih rela membiarkan peluang itu pergi berbanding dia meletakkan diri sama hina dengan manusia yang dia kenali mengkhianati cinta. Bahagianya, dia tidak pernah menghukum manusia-manusia yang sentiasa bikin onar pada jiwanya. Lebih banyak dia diam, lebih banyak dia sakit sendirian, lebih kental hatinya bila saat perpisahan itu akan tiba (walaupun dia sendiri tidak akan tahu bila - dia bukan jenis melepaskan cinta sesuka hati - contoh kenapa dia dikatakan bebal walaupun terlampau banyak kali dikhianati.
Sialan.
Peluang depan mata.
Mahu teruskan atau lepaskan sahaja?
Dia diamkan sahaja. Sebab dia percaya akan nilai setia (walaupun sesetengah orang menyumpah dia kerana bodoh mahu kekal setia pada manusia yang tidak pernah kenal erti cinta dan hanya tahu bertuhankan nafsu semata-mata) dan dia mahu terus sahaja jadi setia walaupun dia yang bakal musnah di penghujungnya. Kawannya pernah bertanya, kenapa dia mahu terus setia. Jawapannya mudah seperti dia lepaskan angin busuk ke udara.
"Jangan ambil mudah pada manusia yang baik dan setia. Kerana, suatu hari nanti pasti akan ada seseorang yang akan datang untuk mengambil benda yang tidak dihargai dan akan menyayanginya lebih daripada yang kau mampu untuk bayangi"
1 comment:
can i re-post this entry?
Post a Comment