Wednesday, June 06, 2012

Ketagihan.


Setiap orang ada ketagihan masing-masing. Setiap daripada kita ada sesuatu yang perlu diambil setiap hari atau bila masa-masa bila kita suka, hanya disebabkan kita perlukan sesuatu itu. Dari penagih dadah yang gilakan dadah hingga kepada anak kecil yang mungkin ketagih (obses mungkin) - pada putih getah berwarna hijau, ketagihan adalah makhluk yang duduk dalam setiap manusia. Keinginan mahukan sesuatu yang dibayangi dengan ilusi indah jika memperolehi apa yang dimahukan seringkali membunuh setiap kesakitan yang datang tidak diundang.

Dia manusia yang ketagih. Ketagih dia bukan pada hanya suatu benda. Ketagihan dia banyak, tetapi malangnya - benda yang paling dia suka, yang mampu merangsang adrenalinnya teruja lebih daripada biasa (dan bukan dadah murah) sangat sukar diperolehi. Kalau ada sekalipun, muncul hanya sesekali sekala dan malang bertimpa, kemunculan bagaikan iklan biskut terkenal suatu ketika dahulu itu - tidak mampu melunaskan ketagihan dia - kekuatan dia mampu bertahan semata-mata demi dadah itu. Sialan, badan dia sudah jahanam teruk digunakan untuk bertahan. Dimasukkan bahan-bahan lain yang dia suka, tapi apa yang jahanamnya, yang satu itu juga yang mampu buatkan dia tenggelam dalam khayalan tanpa sedar benda tajam sedang menghiris pembuluh darah merah.

[Sumber gambar]

Dia masih menunggu lagi, kalau-kalau dadah itu dapat diperolehi walaupun dia tahu semakin sukar. Ketagihan dia pada benda itu memuncak dan pastinya setiap perbuatan dia, sudah mula menjadi tidak terkawal. Bagaimana mahu dia waraskan pemikiran jika apa yang dia pertaruhkan semakin lama semakin membunuh dia bagaikan kanser ganas yang menggila? Dia bukannya mampu bertahan lama, walaupun dia tahu dia ada cara lain bagi mengalihkan tumpuannya. Dia cuma enggan bazirkan apa yang sudah lama dikorbankan - bukan kerana dia setakat sayang dan suka sahaja. Bukan setakat itu yang mengikat dia. Bukan.

Dia ketagih dengan rasa cinta.
Malangnya, dia tidak akan jumpa lagi bila debu hilang dalam udara.
Begitu juga antara manusia itu dan dia.
Musnah dan mati ditelan masa.

No comments: