Showing posts with label Siri - Ini Cerita Seorang Perempuan.. Show all posts
Showing posts with label Siri - Ini Cerita Seorang Perempuan.. Show all posts

Saturday, April 13, 2013

#26 : Ini Cerita Seorang Perempuan.


Rumahmu tak akan menjadi sebuah sangkar, melainkan tiang utama sebuah kapal layar.
(Kahlil Gibran)

Metamorfosis adalah sesuatu yang mustahil akan berlaku pada aku selagi kaki aku terikat di dalam kepompong. Takdir barangkali, aku mahu lari keluar dengan meminta kerja jauh dari sangkar emas, tetapi aku tetap terpuruk di dalamnya untuk membina kerjaya. Senyum kanyur.

Kerana metamorfosis aku tidak akan bermula. Senyap dan sunyi dunia aku bila aku tidak dapat berhubung dengan manusia lain secara maya. Aku bina dunia aku sendiri, mengikut acuan yang aku mahukan, dengan rangkaian yang aku senangi dalam usaha membina keluarga kecil yang mengerti kemahuan aku. Belum berjaya barangkali kerana orang sering tersilap dengan jantinanya.

Aku baca akan puisi-puisi yang pernah aku coretkan sebelum ini. Penuh emosi dan menjadi diri sendiri. Kelemahan dan kelebihan manusia dan segumpal darah bernama hati menjadi intipati.

Aku menulis tentang cinta, kasih sayang, persahabatan dan juga acapkali sesuatu yang bersadur kemarahan, kebencian serta kesakitan yang dilayangkan kepada aku tanpa manusia-manusia itu sedari.


Jasmani.
Emosi.
Rohani.
Intelek pekerti.
Masih adunan terbaik menjadi diri.
Bukan aku kata, tapi itu yang telah terpateri.
Kita, menilai yang baik dan buruk, yang terbaik kita adaptasi.

http://distilleryimage2.s3.amazonaws.com/cfb8e7109ea211e290cd22000a1f90d7_7.jpg
Instagram Aku | Asian Dolce Latte |  Lebih baik minum Javachip Frappucino ataupun Nescafe.

Diam dan ketawa. Aku kadangkala membiarkan emosi tinggal sebagai nama sahaja. Aku tutup jiwa dan marga daripada disinggahi perlip yang aku tidak mahu merosakkan sebuah nyawa yang mahal harga.

Kesakitan yang pernah aku lalui dihimpit pelbagai rasa buatkan aku kadangkala terlalu keras sehingga tiada jalan penyembuhan yang nyata. Selalunya emosi aku campak ke tepi dan aku hidup darah sendiri sebagai pemanis bicara salutan nyawa hamba.

Ada sesuatu yang tidak kena dengan diri. Ada sesuatu yang entah bagai memberhentikan nafas dan kalam dari membiarkan tinta terus menari. Ada jiwa yang meronta mahu kembali, mengogoi mahukan diri yang lama kembali. Renungan jauh ke masa silam mengetuk sekeping jiwa yang mula hitam penuh dengan celaka yang entah bagaimana hendak dimusnahkan dengan tangan sendiri.


Friday, March 15, 2013

#25 : Ini Cerita Seorang Perempuan


Salam.

Sempena hari Jumaat yang mulia ini (15/3/2013) --- aku nak tanya beberapa soalan dan kenyataan kepada kalian semua.

1. Apa salahnya aku menulis di blog sehinggakan setiap apa yang aku tulis perlu kau cakapkan pada ibu bapa aku di sekolah mereka?

--- Aku pasti ada lebih banyak lagi urusan berkenaan sekolah, tugasan dan perkara lain berkaitan kerja boleh dibincangkan. Kenapa tak gunakan waktu bertemu muka untuk bertanyakan hal kerja dari sibuk mahu bercerita tentang aku?

2. Aku tidak pasti sama ada apa aku tuliskan perlu dikhabarkan kepada keluarga aku memandangkan blog adalah sebahagian daripada terapi aku --- terapi dari segi aku melepaskan tekanan kerja, kehidupan aku di dalam tu.

Ya, hidup aku cuma rumah --- sekolah --- blog (lebih tepat Internet) dan aku tiada ruang sosial lain. Itu sahaja rutin aku setiap hari. Mengganggu kamu? Sehingga perlu dicanangkan kepada keluarga aku? Aku bukan pandai untuk keluar berpeleseran dengan teman-teman bahkan untuk pengetahuan, aku tiada kawan di kawasan kediaman aku. Semua kawan-kawan sekerja aku kebanyakannya sudah berumah tangga dan mereka dengan urusan keluarga mereka.

Aku?
Duduk di rumah. Keluar bila perlu jika ada urusan penting. Keluar bila keluarga aku pinta. Selebihnya masa aku digunakan untuk buat tugasan aku di sekolah (yang kadangkala perlu dilunaskan di rumah) --- atau duduk berehat, membaca buku serta melayari Internet. Itu sahaja dunia aku.

Dan kau, mahu renggut?
Dengan canang cerita tidak perlu?


3. Aku menulis sekadar suka-suka. Bila ada peluang keluar karya dengan mana-mana penerbitan, aku sekadar mencuba. Keluarga aku tak suka aku menulis. Aku berusaha selama ini agar mereka menerima kegemaran aku. Menerima hobi aku ini.

Tahukah kalian?
Setiap kali ada pesta buku, majlis-majlis berkaitan buku, pelancaran buku dan sebagainya, aku duduk depan keluarga aku, mohon kebenaran dari mereka untuk melepaskan aku keluar sehari (atau jika perlu bermalam, aku bermalam di rumah saudara) --- demi memenuhi cita-cita aku, kegemaran aku.

Alangkah ke pelancaran buku Kitab Terfaktab 3 - Sarkastik Cinta pun aku tidak pergi disebabkan mereka tidak berikan kebenaran. Aku duduk sahaja di rumah, buat kerja yang disuruh keluarga dan menyedapkan hati, tak mengapa tak pergi, tak mengapa tak pergi sebab sebelum ni aku dah pergi untuk KT1 dan KT2.

Untuk Antologi KLCC (bersama FIXI) pada April nanti pun aku tak dibenarkan pergi dan aku sudah belajar untuk bertolak ansur antara kemahuan diri dan kepentingan membuatkan keluarga gembira dengan mengikut kemahuan mereka. Tidak mengapa aku tolak ke tepi apa aku suka asalkan mereka redha dengan perbuatan aku.

Tapi, terima kasih, terima kasih, terima kasih --- kepada mulut-mulut kalian yang entah bagaimana terlebih mengambil berat (barangkali) --- dalam perbualan aku dan bonda aku tadi, beliau suruh aku tutup blog aku dan berhenti menulis. Kalau boleh, beliau mahu blog ini ditutup atau diperibadikan supaya tiada siapa lagi boleh baca dan dia boleh senang hati tidak dengar apa-apa cerita lagi dari mereka-mereka di luar sana.

Beliau kata --- beliau malu setiap kali kawan-kawan atau kenalan dia tegur dia dan cakap apa aku tulis di blog. Terima kasih kepada mulut-mulut berkenaan yang menyebabkan aku bakal hilang satu lagi benda yang aku suka.

Terima kasih yang tidak terhingga.
Setiap jasa kalian yang menyumbangkan kepada perbualan yang mengeruhkan hubungan didahulukan dengan ucapan terima kasih yang amat sangat.


:)

Nota Kaki :

Kau perlu tahu bahawa Mak dan Abah aku adalah dunia aku. Mereka manusia yang paling aku sanjung walaupun aku mungkin anak yang tidak sempurna dan sering membawa masalah buat mereka. Jadi apabila dunia aku sudah kau usik dan hati mereka terusik serta tersentuh --- aku sebagai anak ini bagaimana?
 

http://farm3.staticflickr.com/2330/2208699418_a6b8d59914.jpg
[Sumber gambar]


Saturday, February 16, 2013

#24 : Ini Cerita Seorang Perempuan.


Salam.
Sudah separuh Februari dilalui sejak kali terakhir aku menulis dalam siri ini. Ternyata kesibukan dengan pekerjaan dan menguruskan hal peribadi sangat memakan tenaga diri. Alhamdulillah, aku punya keluarga, kawan-kawan, kenalan yang meringankan sedikit beban dengan nasihat dan bantuan mereka.

(sedang khayal mendengarkan Just Give Me Reason : Pink ft Nate Ruess)

Februari setakat ini masih berjalan dengan baik. Sekurangnya untuk aku walaupun aku rasa separa badan melayang (tetapi berat badan bertambah - macam mana tu?) atas urusan kerja sekolah dan peribadi. Jadual aku seperti yang dijangka sudah mula dipenuhi dengan pelbagai perkara. Dari urusan pengajaran sehinggalah kepada sukan dan perkhemahan, satu demi satu sudah masuk ke dalam takwim peribadi. Gembira? Sudah tentu walaupun aku tahu ada benda lain yang perlu aku korbankan.

Bertindan.
Sejak awal bulan, ada beberapa agenda atau program yang bertindan dan aku perlu bertindak bijak (walaupun nampak bodoh dan rugi) demi menjaga hati beberapa pihak. Setiap kali ada program yang bertindan dengan sekolah dan kepentingan peribadi, setakat ini nampaknya aku masih mendahulukan sekolah walaupun peluang yang aku sudah terlepas ini adalah benda yang aku dah tunggu selama tiga tahun. Ya, tiga tahun tapi atas kesilapan teknikal sebelah pihak, aku terlepas peluang dan aku duduk berkhidmat di sekolah (dan aku gembira juga lihat keputusan yang membanggakan).

Minggu keempat dalam Februari bakal bermula - dengan tiada satu hari pun aku bakal berada di rumah. Ya, bekerja di luar lagi, meninggalkan tugasan di sekolah untuk berkhidmat di jabatan selama empat hari dengan membawa pelajar dan tiga hari berikutnya aku masih tidak tahu di mana lokasi aku - sama ada di Kluang untuk kejohanan catur negeri mengiringi pelajar aku ataupun di Segamat untuk perkhemahan sekolah sendiri. Punyalah tidak pasti mana yang aku patut ikuti. Yang ini sungguhlah tersepit sebab ia melibatkan murid-murid juga. Kalaulah tak bertindan, mesti aku sangat gembira sebab kedua-duanya mampu gembirakan pihak sekolah.

Haish!

Buku nota.
Memandangkan diri aku adalah sangat serabut disebabkan aku menguruskan diri sendiri dan memikirkan banyak perkara tanpa ada pembantu peribadi (ewah!) - aku kembali kepada zaman manual diri. Aku tulis segala benda yang aku perlu buat dan aku uruskan di dalam buku dan tidak dalam gajet yang aku ada. Maaf Altamis sayang. Maaf iDraki tercinta. Aku lebih percaya dengan apa aku tulis guna tangan walaupun aku ternyata kembali ke zaman sedikit kuno. Hah!

Tetapi, serius ada kebaikan dengan perkara ini.

Memandangkan aku dalam kekangan kewangan - sebab tidak guna membazir untuk benda yang tidak berapa penting (lebih murah tetapi cantik dan menarik adalah keutamaan), maka masa aku di hadapan Sean adalah lebih banyak. Manusia macam aku malas menerawang dari satu kedai ke satu kedai, tetapi aku bertanya pada orang serta gunakan enjin carian Google untuk cari benda yang aku mahukan. Dan aku ada senarai setiap tempat yang murah dan berbaloi serta mempunyai latar belakang yang boleh dipercayai.

Jadi, setelah membuat persiapan yang agak rapi, pagi tu aku bergerak ke sebuah kedai yang ada dalam senarai. Cawangan di bandar kediaman. Sebelum aku keluar rumah, aku periksa sekali lagi senarai harga dan maklumat yang aku ada. Biasalah, skema. (sambil betulkan tudung depan cermin)

Selepas jumpa kedai yang aku cari bersama dengan sepupu, mulakan urusan dengan orang yang langsung tak angkat telefon masa aku buat panggilan - marilah kita masuk dan berurusan. Jam menunjukkan hampir jam 12 tengah hari dan orang macam baru buka kedai. Tak mengapalah, kalau mereka sudi terima kita masuk, dah cukup bagus.

Aku : Saya datang ni nak buat urusan tempahan.
Wanita 1 : Boleh. Ni contoh barangan kami.
Aku : Saya dah tengok di laman web, dah tahu apa saya nak.
Wanita 1 : Oh, dah tengok.
Aku : Saya dah ada rekaan sendiri juga.
Wanita 1 : Oh, kalau ada sendiri punya, kena tambah RM 80.
Aku : Eh, kenapa?
Wanita 1 : Memang macam tu harga.
Aku : Dalam laman web tak tulis macam tu pun.
Wanita 2 : Oh, lain ke? Sekejap, saya telefon HQ.

(Wanita 2 telefon HQ)
Aku : Berapa harga kalau saya nak tempah dalam 1000 ke atas?
Wanita 1 : Ni senarai harganya.
Aku : Eh, kenapa harga macam ni? Saya tengok pagi tadi sebelum datang lain.
Wanita 1 : Ada harga baru ke?
Aku : Ada. (sambil keluarkan buku nota aku)
Wanita 1 : Oh, kalau awak nak harga begini kena pergi HQ.
Aku : Pergi Melaka?
Wanita 2 : Kalau ada rekaan sendiri, akak kena pergi Melaka.
Aku : Serius?
Wanita 1 : Kami cawangan je.
Aku : Tak mengapalah. Terima kasih.

Aku rasa dua wanita tu mesti bengang berurusan dengan aku yang keluarkan nota terperinci tentang apa yang aku mahukan - siap dengan senarai harga untuk berapa jumlah yang aku mahukan, yang aku ambil di laman sesawang mereka. Maaflah. Aku memang sangat begitu sehingga ada kawan aku yang kebetulan ternampak buku aku itu terkesima. Dia kata aku macam buat nota bahan dan barang.

Ha ha ha.
Aku dari dulu sampai sekarang adalah sangat penakut apabila membuat urusan yang melibatkan wang yang boleh dikatakan banyak (banyak pada aku sebab pendapatan aku sederhana sahaja) dan melibatkan ramai pihak. Takut tertinggal, takut terlupa, takut terhutang dan sebagainya, maka buku nota adalah sangat sesuai dengan aku (dan sebab aku dah koyakkan bahagian iklan dalam buku ini - maka aku rasa lebih bahagia). Heh!

Dan aku ada tambahan nota dalam buku ini sekarang. Nombor telefon rakan-rakan di UTM Skudai dulu. Hello budak Sarjana Muda Sains serta Pendidikan (Kimia) - SPC sekalian. Aku tahu ada di antara kalian yang baca ini. Aku rindu kamu semua!

Santai Kerja.
Dalam perkhabaran lain, aku dah lupa apa waktu santai memandangkan walaupun hujung minggu sepatutnya digunakan untuk berehat - aku dah gunakan untuk bekerja juga. Ternyata bukan aku seorang sebab aku sudah punya regu yang gunakan waktu hujung minggu untuk bekerja - dari urusan pejabat hinggalah urusan peribadi. Jadi, memang sesuai sangat, kerja dan buat urusan sehingga berjam-jam, menguruskan hal sekolah, pejabat, peribadi sambil minum kopi bersama - tetapi otak dan tangan masih cuba selesaikan macam-macam urusan kerja. 

http://distilleryimage10.s3.amazonaws.com/515c45586dea11e2b0f022000a9f1369_7.jpg
[Instagram aku] : Terima kasih untuk minuman yang menepati selera aku (kami) wahai Badiah sayang.

Sekejap.
Mana santainya?

Alahai.
Ini pun aku masih bekerja lagi.

Selamat berhujung minggu semua. Aku tinggalkan kalian dengan ucapan terima kasih tidak terhingga kerana menyokong tulisan aku, menyokong aku secara peribadi dan berkongsi banyak perkara dengan aku di sini, FB dan juga Twitter. Terima kasih sangat.

Friday, February 01, 2013

#23 : Ini Cerita Seorang Perempuan.


Hari ini sudah 1 Februari.
Semakin lama semakin pendek masa yang dipinjamkan untuk berada dibawah jagaan mereka yang melahirkan, membesarkan serta mendidik sehingga sekarang ini dan aku percaya mereka tidak akan menolak untuk terus bersama kerana hubungan itu akan sentiasa ada dan aku tidak akan pernah lari dari mereka. Sudah tentu, doa untuk terus kekal dalam lingkungan yang sama situasi yang sama sentiasa aku pohonkan dari Yang Maha Esa.

Bila mana masa semakin suntuk, aku cuba untuk hargai setiap detik yang dilalui. Mungkin aku kurang pandai untuk tunjukkan secara terang-terangan, tetapi disebalik setiap tindakan, aku cuba beritahu mereka bahawa aku masih lagi kepunyaan mereka dan sentiasa akan menjadi kepunyaan mereka walaupun hakikat itu mungkin akan berubah apabila masa itu tiba. Ternyata, aku seorang yang tidak dapat membayangkan segala apa yang diberitahu oleh guru sewaktu sekolah agama dahulu - aku perlu (akan) hadapi dalam masa yang bakal ditentukan lagi.

Sudah tentu aku sangat berterima kasih dengan mereka. Memberikan aku peluang untuk memilih jalan dalam hidup aku sendiri buat pertama kali - memberikan kepercayaan yang bukannya mudah, alangkah memilih kursus pengajian juga ditentukan - tetapi kali ini, keputusan yang bakal mengubah kehidupan aku sepenuhnya (?) - tetapi aku harap aku kekal sama - diberikan ruang untuk aku memilih, menentukan apa aku mahukan, dengan mengambil kira perasaan aku.

Ternyata, celaka sungguh pemikiran aku suatu masa dahulu - tatkala kawan-kawan masa zaman persekolahan dan pengajian dapat berkongsi semua benda dengan ibubapa mereka dan aku berasa sedikit kecewa kenapa aku tidak boleh melakukan sedemikian (maaf Abah Emak) - sudah ditebus dengan sejak aku mula bekerja dan aku mampu berbicara dengan lebih baik dengan mereka. Benda yang memang sepatutnya dibualkan pada usia yang seharusnya boleh dibincangkan dengan secara terbuka (nampaknya aku bergerak menerusi zaman, orang lain yang lebih maju dari aku dahulu). Eh.

http://distilleryimage10.s3.amazonaws.com/63173cb46b9511e2802422000a9e0927_7.jpg
[Instagram aku]

Dipinjamkan aku banyak benda dari aku lahir ke dunia sehinggalah sudah berusia 25 tahun ini - tiada kata yang mampu diucapkan selain Alhamdulillah, memberikan aku peluang yang bukan sedikit untuk belajar dan terus belajar tentang semua benda yang wujud atas dunia. Mengenali, berkenalan, dikenali dan sebagainya - sehingga mendapatkan persetujuan daripada mereka yang membesarkan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

Bongkaknya manusia kalau mereka boleh kata yang mereka mampu hidup tanpa manusia lain. Sekurangnya, kalau aku dulu pernah jadi 'lone wolf' di zaman pengajian, aku tidak pernah menolak kepentingan manusia lain dalam hidup aku. Bagaimana aku mampu untuk belajar tanpa pensyarah? Bagaimana aku mampu untuk makan tanpa peniaga makanan? Bagaimana aku mampu untuk membuat salinan buku tanpa ada mesian pencetak yang dipunyai oleh manusia juga?

Nah!
Mana boleh lakukan sedemikian rupa. Begitu juga apabila aku mula memikirkan, apakah aku mampu untuk terus hidup sendirian tatkala satu demi satu perjalanan cerita menemui noktah sebelum sempat bermula. Adakah senyuman masih boleh diteruskan tatkala anak-anak rakan sudah mula menemui aku dan memanggil aku cikgu? Adakah senyuman masih boleh terukir tatkala anak-anak kepada anak murid aku juga memanggil aku cikgu? Heh!

Sukar untuk aku bayangkan untuk melalui usia sedemikian rupa - walaupun banyak perancangan dalam kepala sekiranya aku perlu melalui itu semua. Hello, kalau Plan A tidak berjaya, kita ada sampai plan Z. Kalau Plan Z tidak berjaya, kita boleh buat Plan macam nombor pendaftaran kenderaan.

Apa pun, Februari sudah tiba.
Semoga yang baik-baik sahaja untuk kita semua.
Jaga diri.

Sunday, January 13, 2013

#22 : Ini Cerita Seorang Perempuan.


Semalam sudah enam purnama.
Pusing sana sini bercerita, masih aneh dengan rasa.
Bekerja tapi lupa juga banyak benda.
Terlampau banyak perkara diabaikan sebab mengejar masa.

Pagi Ahad kedua dalam 2013. Aku sedar yang aku tak banyak menulis di blog sejak akhir-akhir ni disebabkan kesibukan tugasan. Kekeringan ilham untuk menulis mungkin menyumbang sekali. Entahlah.

Seperti Kopi cakap dengan aku, dia sedar yang aku sibuk sangat dengan kerja bila tanda-tanda berikut muncul :

1. Aku makan tak tentu hala, tak tentu masa - tak macam aku yang dia kenal. Hahaha.

2. Aku mula abaikan buku-buku yang berderet untuk dibaca. Maksudnya buku melambak, tapi disebabkan kerja aku melambak - aku dah kurang membaca.

Itu mungkin dua tanda yang dia nampak. Tanda yang lain mungkin juga aku kurang muncul di laman sosial kecuali aku rasa perlu, tidak ke acara sosial yang melibatkan buku, pandang buku dengan pandangan sayu serta mata lesu dan terakhir sekali - berat badan bertambah tapi aku kurang gila nak kurangkan semula.

Akhir-akhir ini, aku kembali tidur bersepah - sekejap di meja depan komputer, sekejap atas katil tanpa bantal dan selimut, sekejap atas permaidani dengan buku serta kertas bertaburan - aku makin tua agaknya. Heh!

Jadi, cubaan kedua aku sepanjang 2013 dah bermula ini adalah kembali membaca dengan kelajuan yang seiring dengan kekuatan mata dan tenaga. Kerja aku humbankan ke tepi seketika dan cuba untuk tenggelam membaca. Pilihan hari ini adalah dari koleksi Big Bad Wolf yang Kopi beli dan dia sudah habis baca.

The Girl Who Played Go oleh Shan Sa. Bila aku tanya kenapa dia beli buku ni, jawapan dia adalah sebab buku ni ada permainan GO. Tetiba teringat cerita Korea. Heh! Apa pun, tulisan biru halus tu adalah tulisan dia. Kali pertama aku tengok orang tulis secara berformat. Kalau aku, kat mana perkataan aku tak faham, di situ juga aku conteng.


http://distilleryimage0.instagram.com/0ade2fc45d1911e2aeda22000a1f973b_7.jpg
[Instagram aku] - Tulisan halus tu tulisan Kopi.

Selamat hujung minggu semua.

Nota Kaki : Maaf buat yang hantar email untuk #Jiwa dan #Jiwa2. Aku dah berhentikan penghantarannya. Terima kasih atas sokongan kalian selama ini.

Saturday, January 05, 2013

#21 : Ini Cerita Seorang Perempuan.


Hari terakhir dalam minggu pertama sekolah. 2013 berlalu dengan pantas. Minggu ini dengan tema warna merah disebabkan kasut yang aku suka warna merah. Mudah.

Ada orang tanya aku kenapa aku acapkali pakai aneh-aneh sahaja ke sekolah. Jujurnya, aku rasa aku normal dan biasa seperti orang lain. Yang membezakan mungkin aku gemuk sedikit, tinggi terbantut dan kulit tak cerah (walaupun aku rasa ok je). Yang lain, aku segalanya gembira walaupun orang lain kurang gembira dengan aku.

Aku bekerja dengan mereka-mereka yang aku suka, persekitaran yang membahagiakan, kawan-kawan yang bagus dan anak2 murid yang buatkan aku semangat separa gila untuk buktikan apa yang aku jangka adalah tidak sama.

Tamak sesekali tak bunuh ataupun mengurangkan jiwa aku sebagai manusia. Bahkan aku jujurnya lebih bersungguh menjadi manusia dari sebelumnya :)

Hari ini ada yang mengherdik tidak tentu hala atas sebab yang sangat kecil sampai hati luka, terhiris berdarah. Biarlah. Biarlah. Manusia itu bukan sesiapa. Kata - kata yang terhambur itu akan kekal dalam ingatan aku. Betapa manusia itu tidak pernah puas - biarkan sahaja dia tenggelam dengan gembira yang dia sendiri cipta.

Aku?
Pilih untuk hindarkan diri sahaja. Rezeki manusia bukan dipegang oleh manusia lain.

http://distilleryimage6.instagram.com/2a608fce563211e2a97322000a1fb158_7.jpg
[Instagram aku]

Dalam banyak manusia yang kita kenal, ataupun yang mungkin rasa mereka kenal kita - pastinya ada terselit rasa menyampah tidak tentu hala walaupun tidak pernah ada pertemuan, bersua muka.

Biarkan mereka. Sebab daripada kita ada sebab untuk hidup atas dunia. Walaupun mereka kata kita takut dengan perasaan kita sendiri, tetapi aku ada satu pertanyaan untuk semua. Pernahkah kau rasa diri kau kurang segala benda berbanding orang lain?

Pernah? Aku pernah.

Jadi, apa yang aku buat adalah, berdiri di hadapan cermin, tenung diri aku sendiri dan tanya, apa yang aku kisahkan dengan orang lain sedangkan Allah jadikan manusia itu sebaiknya.

Apa aku buat adalah, senyum pada diri aku dalam bayangan cermin, tepuk bahu, usap rambut dan beritahu diri sendiri bahawa aku akan mampu laksanakan banyak benda, asalkan aku berusaha, dengan redha Mak & Abah, aku tidak perlu mengalah dengan manusia.

Usaha. Usaha. Usaha.

Sebab aku tidak mahu kalah dengan perasaan kecewa. Kau yang kata kami-kami yang mahu bangkit demi diri sendiri adalah manusia yang paling rasa tidak selamat atas dunia. Sekurangnya kami tidak pernah rasakan dunia ini neraka.

Zara : Senyuman dan persahabatan yang kau agungkan rupanya sebagai satu cara kau mengambil kesempatan. Anehnya pemikiran kau. (Shafaza Zara, 5 Januari 2012)

Sunday, December 30, 2012

#20 : Ini Cerita Seorang Perempuan.


Salam.
Sejak kebelakangan ini, entah kenapa banyak benda yang membuatkan diri semakin lama semakin sesak minda. Emosi sekejap di atas, sekejap dibawah bagaikan nilai mata wang yang diniagakan secara bengong serta merta. Hah! 

Perlu diakui, benda yang dilalui sebagai dugaan, sengaja mahu menguji kesabaran yang kadangkala senipis kulit bawang, kadangkala tebal dan kukuhnya dinding pertahanan. Ah! Aneh sahaja satu demi satu dilalui, gigit bibir dan teruskan hidup baik-baik sahaja. Ternyata, nasihat yang Pali salurkan pada aku secara konsisten dulu, aku dapat gunakan tatkala dia sekarang entah hilang ke mana (Busuk, kalau kau baca ni, terima kasih yang teramat sangat sahabat).

Senyum.
Tarik nafas.

Itulah. Hidup sentiasa tidak sama walaupun kita semua melalui jalan yang serupa. Perasaan dan pengalaman yang berlainan menyebabkan kita lebih manusia daripada sebelumnya. Mungkin ianya mengubah kita ataupun memberikan dimensi baru - tapi itulah, kita semua baik-baik sahaja untuk kehidupan sendiri. Kepuasan peribadi.

Sudah menghampiri penghujung dua ribu dua belas. Kalau dahulu permulaannya dengan benda yang baik-baik sahaja, penuh kisah bahagia, penuh cerita suka - alhamdulillah, insyaALLAH, pengakhirannya masih lagi penuh rasa gembira, syukur yang teramat sangat atas segala kurnia Yang Maha Esa. Walaupun keadaannya sudah pasti tidak sama, tetapi kemanisannya berganda. Ternyata, dalam setiap ujian itu, ada nilai dan hikmah untuk manusia. 

Sekejap.
Gembira juga satu ujian kan? Makanya, aku percaya, perlu lebih berhati-hati menyusun langkah menuju ke tahun seterusnya kerana gembira itu bukan sentiasa, dan ada sahaja makhluk yang mungkin didorong oleh nafsu dan perasaan jahat untuk mencederakan hati kita semua. Ah! Aku memilih untuk mengabaikan manusia sedemikian dalam hidup kerana aku percaya, kegembiraan untuk diri sendiri, untuk memastikan diri sendiri tersenyum dengan ikhlas di hadapan cermin adalah nikmat paling cantik yang kita rasa.

Cubalah.
Berdiri di hadapan cermin.
Cuba senyum paling ikhlas untuk diri sendiri.
Tepuk bahu dan bisik pada diri, "Anda hebat kerana mampu senyum begini"
Dan itu yang aku buat sehingga kini.

Kalau ada orang yang bercakap benda buruk mengenai kita sekalipun, maafkanlah mereka. Mereka tidak mengerti banyak benda lagi atas dunia ini, sama seperti kita semua yang mungkin masih mencari erti kewujudan diri.

Kalau hati kita masih kosong walaupun banyak kegembiraan hadir di sisi, tanyalah diri kita sama ada kegembiraan itu palsu, berpura-pura ataupun kita sendiri yang tidak inginkan bahagia walaupun hanyalah dengan satu senyuman dan dihulurkan gula-gula?

http://distilleryimage11.instagram.com/d08d877a518311e28ac522000a9f141e_7.jpg
[Instagram aku : lordzara] - Obsesi dengan benda begini.

Senyum sahaja.
Walaupun bantal kau penuh basah air mata.
Selimut kau tuli dengar kau tahan makian luahan rasa.
Mereka mengerti kau manusia.

Zara : Selamat ulang tahun ke-20 buat Nano (adik aku) dan selamat ulang tahun ke-28 buat Syafiq (sepupu aku). Moga kamu berdua dikurniakan kesihatan yang baik dan sentiasa ceria.

Thursday, November 29, 2012

#19 : Ini Cerita Seorang Perempuan


01. Banyak benda yang berlaku dalam minggu ini. Banyak juga tarikh akhir menguruskan sesuatu dikejar - walaupun kalau diikutkan, bekerja dalam cuti sama sahaja pengertiannya dengan tidak bercuti. Tapi, itu belakang cerita sebab apa yang dilakukan menyeronokkan, maka, kalau benda itu dipanggil bebanan sekalipun, ianya masih bebanan yang menggembirakan. Heh!

02. Apa pun, Adam Awraq dah sampai ke tahap servis ke 50 000 km semalam - walaupun dah terlebih dua ribu daripada had yang sepatutnya. Tak sedar disebabkan khayal - ataupun terlampau sibuk dengan urusan lain, makanya, masih boleh dimaafkan barangkali. Terima kasih kepada pegawai di Perodua yang banyak membantu bila ada soalan yang diajukan setiap kali aku servis. Bagus layanan di Perodua.

03. Ada cerita gempar yang dikhabarkan pada mulanya. Aku boleh kata yang aku bersyukur punya penulis BISIK - atas kepakaran bahasa yang tinggi, motivasi yang kuat serta memahami aku - apa yang terlampau berat untuk ditanggung semalam, dapat dipermudahkan selepas berbual dengan dia. Mungkin sebab ada benda yang boleh dikongsi dengan pakar bahasa yang bagus seperti dia. 

04. Terima kasih juga buat Kopi. Ya, anda menenangkan saya yang banyak masalah sejak kebelakangan ini walaupun saya tak dapat sangat membantu dalam masalah anda. Tetapi, bak kata Kopi - berkongsi itu sudah cukup bagus. Mendengarkan (baca sebenarnya) - masalah ataupun hal-hal berkaitan kerja dia, mungkin meringankan sedikit apa yang dilalui. Sekurangnya aku tahu apa yang berlaku dan bagaimana mahu diselesaikan sesuatu perkara itu.

05. Semalam hari yang buruk. Dari pagi membawa ke sepanjang hari - sehinggalah ke malam. Terbukti, orang yang kita anggap kawan, dari bermulanya mereka sebagai manusia yang tidak dikenali, meminta bantuan kita untuk mengangkat projek mereka naik, hinggalah sudah sedikit terkenal (dengan pertanyaan sinikal Kopi dalam isu ini) - mereka sudah melupakan kawan yang kononnya dianggap sebagai kawan sekepala. Ah, tapi manusia memang hipokrit. Dalam industri yang sangat kecil pun mahu buat drama dalam hidup, memang takkan ke mana kata Kopi. Biarkan mereka, asalkan tahu apa yang mahu dilakukan. Wee hoo!

06. Walaupun persahabatan sudah tidak macam dulu (terima kasih kepada makhluk aneh bak kata SS) - yang penting, siapa yang tidak pernah meninggalkan kita dalam apa jua keadaan. Lainlah dengan mereka yang sentiasa pandang buruk orang atas sebab obsesi kan seorang yang lain. Apa pun, buat yang sentiasa bersama, dalam baik buruk, dengan pandangan jujur dalam semua perkara - keinginan untuk terus maju itu adalah sangat penting. Salute!

http://farm4.staticflickr.com/3090/4641966898_926cd156c6.jpg
[Sumber gambar] - Aku akan pastikan yang aku tidak berada di tahap kalian sebab cukuplah sekadar blog tempat aku menulis.

07. Buat yang masih baru membaca blog ini, sedikit peringatan. Disebabkan aku menulis untuk Terfaktab juga, kebanyakan tulisan aku adalah mengambil kira pandangan pembaca sana juga. Mungkin orang yang kenal (ataupun sangka dia kenal, heh!) ataupun sudah lama baca blog ini - tahu bahawa kebanyakan tulisan aku, bukan mengenai aku. Yang berkenaan aku cuma yang ada "Siri - Ini Cerita Seorang Perempuan". Yang lain adalah dari pemerhatian, pengalaman serta penceritaan dan perkongsian orang dalam hidup mereka. Jadi, terima kasih buat mereka yang menjadi inspirasi dalam penulisan aku yang layak tulis di blog sahaja.

Sekian

Nota Kaki :
(dari buku yang aku baru selesai baca)

Here she is, all mine, trying her best to give me all she can. How could I ever hurt her? But I didn’t understand then. That I could hurt somebody so badly she would never recover. That a person can, just by living, damage another human being beyond repair. — Haruki Murakami, South of the Border, West of the Sun


Wednesday, November 21, 2012

#18 : Ini Cerita Seorang Perempuan.


Alhamdulillah.
Apa yang dirancangkan, walaupun dalam keadaan sedikit tergesa-gesa dan dihimpit kesibukan serta tuntutan kerja, segalanya berjalan lancar. Muncul satu dua kekangan yang boleh bikin manusia mahu dilempar ke dinding akibat merosakkan perasaan, tetapi syukur segalanya mampu dikawal dengan mengenangkan segalanya atas hormat kepada yang lebih tua. Tidak mengapa, asalkan keluarga tahu apa yang dibuat - segala kacau bilau yang muncul boleh kita cuba pejamkan mata (walaupun ternyata geram masih bersisa).

Begitulah.
Manusia merancang, Allah yang menentukan sama ada perancangan kita akan seperti yang diharapkan atau tidak. Bila mana kita tidak mahu menjadi seperti manusia lain yang terlampau tunduk dengan adat serta budaya yang langsung tidak membawa apa-apa kebaikan bahkan kemudaratan (serta umpatan) - akan ada sahaja makhluk yang muncul untuk menjadikan segala yang dirancang sedikit terjejas dan mengakibatkan kita yang mahu lari dari kebiasaan, terjebak ke dalam laluan yang paling mahu dielakkan. Natijahnya, yang dihamburkan kemarahan bukannya mereka, tetapi kita yang berusaha mengelak - kena marah tatkala mereka semua sudah berhambus keluar tanpa tahu apa-apa.

Ajar diri untuk terima.
Itulah. Beritahu kepada diri bahawa ada manusia yang masih menjunjung adat ke tahap paling tinggi walaupun agama boleh dibuat mainan baling ke tepi. Ya, manusia yang masih pegang dengan pepatah - "Biar mati anak, jangan mati adat" - makanya, dengan orang sebegini, betapa kuatnya kita mahu hindari, dengan ada sokongan keluarga yang bagus juga - tetapi orang begitu sanggup memijak masuk, tanpa mengira sesiapa demi adat, demi budaya yang mereka pertahankan walaupun ternyata tidak membawa sedikit kebaikan pun kepada sesiapa. Hanya kegembiraan palsu dalam kenangan beku masa.

Keras suara.
Tetapkan pendirian - walaupun mungkin ada hati yang terguris tanpa sengaja. Mana mungkin membiarkan diri jadi sasaran kemarahan sahaja, padahal diri tersepit dengan desakan masyarakat yang seperti tidak kenal dengan siapa mereka berurusan. Ah, jangan lupa mereka sangat menjunjung adat sehingga akal terbejat. Orang lain juga ada yang masih nampak adat, masih pandang tinggi adat, tapi tidaklah sehingga melanggar batas apa yang tidak disuka. 

http://farm4.staticflickr.com/3343/3269017842_8f7af7c385.jpg
[Sumber gambar]

Terima kasih.
Kalau mahu disebutkan satu persatu, mana mungkin boleh dinyatakan semua. Tetapi tetap juga mahu ucapkan terima kasih kepada semua yang memberikan kerjasama - yang memahami mengapa semua ini harus dilalui dalam keadaan penuh diam, penuh sederhana - penuh dengan apa sahaja tanpa perlu kacau bilau dan segala benda yang hanya mengeruhkan keadaan serta suasana. Apakah manusia tidak layak untuk senyum ikhlas tatkala dia bahagia?

Selsema.
Tarik mukus keluar dan kita mungkin belum rasa lega.
Berdehem sakit sehingga berdengung telinga.
Bunyi nafas mendesah, naik turun - lebih sakit kepala.
Mungkin itu masih sakit dalam jiwa.

Berak.
Kadangkala sembelit - susah keluar macam nak berak.
Berapa lama mencangkung, tiada jatuh berdetak.
Duduk termenung, kadangkala sambil berborak.
Tetap menunggu sampai mahu pecah otak.
Mungkin itu yang dirasakan, rabak.

Demam.
Suhu badan panas, tengok bacaan sampai tergamam.
Sakit tekak, perit - semua makanan hanya dikemam.
Langsung apa  yang dimakan tidak dapat dihadam.
Senyap, menggigil dalam diam.
Mungkin itu yang sedang dipendam.

Zara : Kadangkala kita kena berpura-pura tidak tahu apa yang terjadi, walaupun kebenarannya sudah terbentang di hadapan mata dengan harapan supaya segalanya baik-baik sahaja. Ketap gigi, tarik nafas paling dalam dan berikan senyuman paling ikhlas demi menghadapi hidup ini. (Shafaza Zara, 21 November 2012)

Tuesday, November 06, 2012

#17 : Ini Cerita Seorang Perempuan.


Menjalani hidup yang biasa-biasa, dengan pekerjaan yang biasa-biasa, tetapi dikelilingi oleh manusia yang hebat menyebabkan aku rasa sedikit terkebelakang bila mengenangkan taraf pendidikan aku hanya sekadar apa aku dapat pada tahun 2009. Bukan tidak mahu melangkah ke peringkat lebih tinggi, tetapi mungkin masih belum punya rezeki mahu bergerak sendiri - meninggalkan identiti sebagai pelajar kampus Kerana Tuhan Untuk Manusia dan ke tempat pengajian lain. Khabarnya, perlukan sokongan yang kuat daripada institusi yang mahu dilamar. Tunggu sahaja, aku pasti akan kembali untuk meneruskan minat dan impian.

Sudah hampir tamat sesi persekolahan tahun ini. Dalam minggu terakhir ini, aku masih perlu menghadiri kursus 1Murid 1Sukan setelah aku berjaya mendapatkan pengganti untuk bertugas sebagai pengawas peperiksaan. Banyak benda yang dihadapi dalam mencari pengganti - di saat ini kita tahu mana kawan, mana cuma sekadar bersama kita untuk meminta pertolongan serta melihat kuasa kroni dan kabel serta wang dalam urusan hidup. Tidak mengapa. Yang sudah mahu menolong aku, aku sangat berterima kasih teramat sangat. Moga beliau dikurniakan kesihatan yang baik-baik sahaja kerana selalu dengan senang hati membantu kawan-kawan yang susah.

Tekanan mula dirasai mengenangkan entah apa yang aku cuba buat dalam hidup kali ini. Satu persatu bagaikan ada yang tidak kena. Ya, kebelakangan ini hidup sangat tertekan dan pengambilan kafein aku dalam keadaan tidak terkawal. Ah, jangan sampai aku tuang isi Nescafe atas meja dan sedut guna hidung! (Apa kau ingat Nescafe tu serbuk marijuana?) Aku duduk minum kopi seorang diri sambil kira rintik hujan - mengelamun memikirkan apa yang aku hadapi ini atas apa yang aku suka ataupun aku berlari mengikut keadaan semasa - entahlah. Tapi mengenangkan aku kenal diri sendiri, aku percaya dengan apa aku mahu saat ini walaupun tekanan sangat membuatkan aku hilang diri.

http://farm3.staticflickr.com/2705/4513904242_8b5c8cbde4.jpg
[Sumber gambar]

Hujung minggu semakin tidak sama. Entah, ujian datang satu demi satu. Mungkin mahu menguji sama ada aku cukup baik sebagai manusia ataupun tidak. Aku sudah terlupa betapa sakit melihatkan nama manusia yang bikin nyawa bagaikan ditarik, hati bagai dihempas tapi ya, barangkali Tuhan masih mahu lihat sama ada aku benar-benar redha atau pasrah atau apa sahaja - maka Dia hantar ujian tersebut. Ternyata, hati aku masih belum sampai satu tahap dimana ia mahu mengikut kata mulut. Tak berjaya aku pengaruhi hati sendiri dengan mendikirkan kata semangat buat diri sendiri. Ah! Hati masih macam dulu, apa sahaja yang terlintas, terus sahaja ditunjukkan di wajah. Tak pernah berjaya mahu buat yang sebaliknya. Aneh, tapi segumpal darah merah itu setakat ini sudah terlalu kebal dengan ujian jiwa. Cedera, bangkit, cedera, bangkit dan anehnya, masih mahu berfungsi dan merasai nikmat dunia. Iya, degil macam tuannya. Heh!

Perempuan lemah dengan kata manis kononnya. Entahlah. Aku sendiri tidak boleh menjawab persoalan sedemikian rupa. Aku bersama dengan orang yang menerima aku seadanya. Tiada kata gula-gula ataupun apa yang dikatakan bersalut madu dan manisan enak. Mungkin hanya ada perisa kopi barangkali yang menyebabkan adrenalin sentiasa berada di tahap paling tinggi. Oh, kadangkala turun juga bila emosi berjaya membenam tidak tentu hala. Pening kepala tentunya dengan diri sendiri, tapi itulah, bak kata Nakama semalam - Berusaha untuk berubah, untuk jadi seseorang yang bukan lagi seperti ketika ini. 

Aneh sahaja.
Belum berjaya hadam semua.

Sunday, October 14, 2012

#16 : Ini Cerita Seorang Perempuan.


Dua hari berturut-turut hujan sekejap renyai, sekejap lebat - badan dan pakaian basah - kering atas badan tanpa sempat tukar dan mandi, menjadikan tandas adalah destinasi persinggahan selepas perut yang kononnya sangat lapar memerlukan makanan dan suntikan tenaga kafein - segala yang dimakan terbuang begitu sahaja melalui mulut. Muntah - mengakhiri mihun bakso dan Nescafe Ais yang kurang 10 minit berenang dalam perut. Berenang dalam perut mangkuk tandas pula. -_-"

Dalam kesibukan menguruskan 'paintball' sempena Himpunan Guru Muda 1 Malaysia, aku dapat pesanan ringkas yang membuatkan mata terbuntang membaca sebaris ayat tersebut. Mula-mula aku ingat ada kesalahan ejaan pada pesanan tersebut, tetapi setelah ditanya buat kali kedua (Aku manusia paranoid dalam hal tertentu) - ternyata itu adalah perkara sebenar. Gembira, memanglah. Kepala serabut sementara memandangkan tiada kepastian dalam pesanan tersebut. Makanya, aku biarkan sahaja terlebih dahulu. Heh! Senang betul aku memastikan kepala aku kosong supaya tumpuan aku pada acara 'paintball' tidak terjejas. Sejak tahun 2007, aku belajar bahawa kerjaya dan hal peribadi aku tidak boleh bercampur. Supaya pemikiran itu lebih jelas - dan tiada emosi yang terlibat dalam hal kerjaya. 

http://farm6.staticflickr.com/5182/5588985647_17422feb03.jpg
[Sumber gambar]

Pagi tadi, bangun dalam keadaan sakit-sakit seluruh badan serta mengenangkan minggu yang sibuk melampau akan bermula, aku periksa Tumblr peribadi. Oh, ada pesanan ringkas yang ditinggalkan dengan sedikit arahan yang comel - ditandatangani dengan muka senyum. Permulaan indah dan baik-baik sahaja dan buatkan aku bertekad - persetankan kesihatan dan kesakitan badan : Hidup perlu diteruskan demi sebuah senyuman daripada semua orang yang aku sayang.

Keluar dari kamar peribadi usai Subuh dan rutin pagi - terus sahaja diserang dengan soalan bertubi-tubi dari Ketua Keluarga Hebat. Tercengang-cengang aku seawal jam tujuh pagi dengan soalan yang pelbagai. Jangan tanya mengapa begini - rutin hidup kami adalah sebagai pendidik di sekolah tinggi, jadi soalan umpama 'paintball marker' laras automatik bukanlah satu benda ajaib. Diasak dengan pertanyaan (serta kenyataan dan pengumuman yang memeranjatkan) - aku duduk termangu di sofa merah di dapur. Kepala macam dicurah dengan bahan kimia makmal tak organik zaman universiti dulu - terlampau banyak yang perlu dihadam.

KKH : Tak payah jaga peperiksaan tahun ni.
Aku : Nama naik kan?
KKH : Pergilah cari ganti.
Aku : Along dah cari dari hari tu.
KKH : Carilah lagi lepas nama dah keluar nanti.
Aku : Memang nak buat dari hari tu kan?
KKH : Kena buat juga kali ni. Tegas sedikit.
Aku : -_-"

(Tuang isi kepala dalam blog)

Jadi, bagi mengelakkan kepala semakin bercelaru, sebelah tangan menggunakan aplikasi WhatsApp, sebelah tangan lagi menggunakan telefon rumah untuk berbicara dengan isteri kesayangan orang lain (teman wanita yang sudah berkahwin itu) - mohon berbual dengan dia, mendapatkan pandangan tentang apa yang aku hadapi saat ini. Dia ketawa besar apabila mendengarkan apa aku lalui - dan walaupun suara dia kedengaran sangat ceria seperti sudah melahirkan bayi (padahal bulan Februari 2013 nanti) - aku tahu, dia merasai kegusaran yang aku hadapi.

Awek : Aku dah pilih satu ruang ya?
Aku : Ruang?
Awek : Ya. Satu untuk aku.
Aku : Baik.

Di akhir perbualan yang panjang dengan beberapa kata sepakat dicapai, dia dengan nada serius walaupun ketawa (bagaimana mahu terang ini) - berjanji dua perkara yang membuatkan aku sedikit lega. Ya, sedikit lega walaupun otak aku masih lagi boleh tahan gila memikirkan banyak benda. Jari masih lincah menari di telefon - di aplikasi WhatsApp - membincangkan banyak benda yang disebabkan oleh jarak, kesibukan serta masa - sangat berterima kasih kepada Internet yang menyambungkan banyak benda.

(Tuang isi kepada dalam blog lagi)

Kepala pening. Dengan rasa mual mahu muntah lagi - berserabut dengan perkara yang menggembirakan tetapi memerlukan lebih banyak daya tumpuan serta jarum jam yang berdetik lebih laju daripada biasa. Entah, jadual aku penuh bagaikan mahu gila - banyak perkara yang aku mahu selesaikan dengan kemas tanpa tergesa-gesa. Tetapi bagi yang kenal aku, pastinya sikap kelam kabut itu masih ada. Hahaha.

Jadi, aku tanyakan dengan kawan aku bagaimana mahu uruskan benda yang aku sendiri tak tahu - dan sangat memerlukan orang membantu disebabkan aku sedang berebut waktu dengan diri sendiri dan kerja aku. Ya, padan muka juga sebab sentiasa sibuk dan terlupakan diri sendiri juga ada hidup. Heh!

Dia : Apple ada Google Task? Kalau ada, boleh sync je.
Aku : Tak tahu. Ada ke?
Dia : Mana tahu. Tak pernah guna Apple.
Aku : Nak buat macam mana tu?
Dia : Google docs rasanya ada pada iOs tapi kena install juga.
Aku : Good docs - Google docs ni ke?
Dia : Google docs rasanya dah tukar nama Google Drive. Google Task pun ada.
Aku : Google Drive ada ni.
Dia : Yang tu la.
Aku : Baik. Install sekarang.

(Muat turun dan gunakan laju-laju)

Dia : Tapi Google Drive takde Task.
Aku : Dah tu nak guna apa?
Dia : Em, tak tahu.
Aku : Google Task?
Dia : Ada ke?
Aku : GTask eh?
Dia : Saya guna yang tu.
Aku : Jadi guna yang tu la eh?
Dia : GTask tak dapat share.

(dengan perbualan panjang berjela tentang benda teknologi - aplikasi sana sini)

Dia : Try open Drive. Login guna Gmail acc. Patutnya ada satu folder dah share.
Aku : Aaa, ada!
Dia : Ok, GTask buang. Apa-apa Task atau List update dalam ni. Aci? Tapi lemahnya kena ada Internet.
Aku : Hahaha. Tu la kan?
Dia : Tapi rasanya boleh make file available offline. At least boleh baca.
Aku : Sila buat. Bukan saya tahu.
Dia : Cet! Awak boleh buat file tu available offline.
Aku : iPad ni boleh je online. Maaflah. Pagi-pagi ni otak saya RAM cuma 256 sahaja.
Dia : Susah eh nak faham? At least laju sikit kalau nak baca kalau offline. Tu je.
Aku : Oh, faham.

[Sumber gambar]

Jadi lepas jumpa cara yang sesuai untuk komunikasi disamping menguruskan banyak benda ini - otak sudah semakin tenang tetapi ada benda yang lebih penting mahu dipastikan memandangkan jadual aku sepanjang Oktober adalah padat tidak tentu hala. Tidak termasuk bulan November yang sudah mula diisi setiap hujung minggunya. Jadi, marilah kita berusaha agar ada ruang untuk diri sendiri - kalau tidak pastinya kena bahan dan dimarahi nanti.

Benda paling penting untuk tengah hari ini adalah : masak asam pedas seperti yang Puan Mulia sudah ingatkan berkali-kali pagi tadi sebelum dia pulang ke kampung bersama Ketua Keluarga Hebat. Ya, pergi masak, pergi masak benda yang kau kurang mahir lagi! 

Zara :  True life is lived when tiny changes occur - Lev Tolstoy

Tuesday, October 09, 2012

#15 : Ini Cerita Seorang Perempuan


Hidup sejak kebelakangan ini penuh sangat dengan cerita. Ada yang manis, ada yang pahit serta ada juga yang tanpa rasa. Mahu kata tawar, itu masih satu rasa. Tapi begitulah aku percaya, manusia melalui apa yang mereka perlu lalui - sama ada mahu ataupun tidak. Aku memilih untuk terus berjuang dalam kehidupan aku walaupun ternyata benda ini sedikit sebanyak memakan kekuatan diri. Tidak mengapa, terus, bangkit dan pertahankan apa yang aku miliki.

Ternyata dalam menulis - walaupun sekadar blog picisan (serta digelar sampah - ya, aku tahu kalian baca) - ada juga yang membenci. Entah apa dalam diri manusia begini, aku mampu senyum sahaja. Walaupun bukan daripada pemerhatian aku sendiri - dan diberitahu oleh kawan-kawan yang aku suka, ternyata orang begitu ketandusan kasih sayang - mungkin petanda suatu ketika dahulu sering dibuli ataupun mereka sendiri sebenarnya kaki pembuli - yang akhirnya, setelah dewasa - menjadikan Internet sebagai ruang untuk mencari masalah dengan orang lain. Aneh tapi doakan yang baik sahaja untuk mereka. 

Seperti kata M - Mereka tak punya kuasa, tak punya apa-apa, yang mereka ada hanya laman sosial untuk melontarkan kata hina dan cela. Terima kasih M sebab beritahu aku tentang benda begini, tapi aku rasa, bila L minta kau tidak hiraukan mereka, itu yang kau patut buat. Sebab aku tidak rasa terjejas, dan kau, walaupun seringkali memilih untuk kekal jadi bayangan - kita berdua tahu, perkara begini tidak perlu dilayan. Manusia bongkak akan ditelan tanah juga suatu hari nanti. Ya benar, mereka masih manusia.

[Sumber gambar]

Alhamdulillah. Benda yang dirancang berjalan dengan baik walaupun diakui manusia macam aku kelam kabut (tengok sahaja diwarisi daripada siapa, heh!) apabila mendapat perkhabaran teratak keluarga bakal dikunjungi oleh keluarga lain. Sudah tentu banyak benda yang mahu dilaksanakan tetapi tuntutan kerja serta kekangan waktu menyebabkan ala kadar sahaja - tetapi aku harap para tetamu yang datang berkunjung berpuas hati dengan apa yang dihidangkan serta layanan kami sekeluarga. 

Kita sebagai manusia kadangkala terlupa (ya, aku sendiri selalu begini) - tentang kenyataan bahawa hidup dalam masyarakat ada benda yang walaupun kita enggan ambil tahu dan peduli, kita harus sahaja ambil berat supaya tidaklah tercanguk bila diberitakan sesuatu perkara.

Apa pun, kehidupan sibuk sudah bermula lagi. Jaga diri semua :)

Monday, September 17, 2012

#14 : Ini Cerita Seorang Perempuan.


Siapa sangka disebalik kepenatan ke sana ke mari - dengan pekerjaan yang menuntut lebih daripada dua puluh empat jam, hujung minggu pertama dan kedua dapat diluang bagi menikmati sedikit hidup seperti manusia biasa. Kepenatan hilang sekelip mata apabila melihat senyuman bahagia dan wajah yang menenangkan atma. Ah, kalau mahu marah sekalipun, itu tanda mahu bermanja. Heh!

Itu menjadikan sesuatu itu lebih istimewa. Dihidangkan dengan kegembiraan yang sendiri sahaja rasa serta syukur sahaja - teknologi mampu memudahkan urusan yang sukar dicapai sekelip mata. Sekurang-kurangnya, aku tahu bahawa segalanya berjalan dengan baik tanpa perlu campur tangan orang lain yang hanya pandai menilai dan meneka tetapi tidak tahu apa yang berlaku disebalik cerita. Lebih gembira demikian aku rasa.

Menjalani kehidupan yang lebih baik dengan senyuman tanpa perlu mengetapkan bibir menahan sebak ataupun kecewa - jujurnya aku rasa bahawa apa yang aku lalui kali ini janggal tanpa terima kasih buat mereka yang meninggalkan kesan yang bukan sedikit sepanjang aku melalui apa sahaja. Ya, teman baik - teman rapat atau sesiapa sahaja (ternyata orang macam aku pun ada orang benci sehingga sanggup menulis beberapa tulisan untuk menghentam) aku. Nah! Senyum sahaja, bukankah hidup sudah baik-baik sahaja?

[Sumber gambar] - Untuk awak, selamat tinggal dan selamat memilih jalan hidup sendiri. Saya hanya mampu mendoakan yang terbaik untuk awak kerana awak adalah salah seorang teman akrab yang saya ada selama beberapa tahun ini.

Sudah tiba masa untuk awak berhenti dari paksa diri.
Berhenti daripada berusaha untuk belajar sesuatu yang bukan penting bagi awak.
Terima kasih atas usaha.

Saturday, July 07, 2012

#13 : Ini Cerita Seorang Perempuan


#01 - Panggilan telefon suara ceria Si Archie malam tadi yang berjaya tiba di Sabah seorang diri buat aku cemburu. Bukan Si Archie tak pernah melancong sebelum ini - hatta aku percaya masa dia belajar di Sydney dulu, dia dah banyak melancong ke sana ke mari. Cuma kali ini, suara yang ceria - ditambah dengan kenyataan aku sedang bergelut dengan kerja yang tidak habis-habis memanglah membantutkan harapan serta keinginan untuk berjalan. Jadi, mohon Archie yang sedang menjauhkan diri dengan kerja dan benda-benda alam maya ini semoga selamat berjalan di sana.

[Sumber gambar]
"Masa orang lain sedang bertunang, berkahwin (hatta bercerai) - aku masih di sini. Terperangkap di tengah-tengah kerja aku sendiri." 

Dari status Twitter aku pagi tadi.
While others are getting engaged, married (and even divorced) - I'm still here, stuck in the middle of my works. :) - Shafaza Zara, 7 Julai 2012.


#02 - Selain itu, salah seorang daripada penulis/pelukis Terfaktab akan melangsungkan ikatan pertunangan pada hari ini, jadi sedikit sebanyak aku yang bertungkus lumus kerja boleh terfikirkan sesuatu. Sebab ahli Terfaktab tu sebaya aku, makanya rasa cemburu dengan tidak sengaja. Bukan cemburu dalam erti kata perasaan yang bukan-bukan itu, tapi dia berjaya mendahului kami semua dalam tahap mencari bahagia. Sebagai kawan, tentunya aku gembira. Tahniah!

#03 - Bukan hanya kawan di Terfaktab, bahkan sepupu aku sendiri - seorang lelaki akan bernikah minggu hadapan pada usia 23 tahun. Jadi, sebagai sepupu yang berusia 25 tahun, aku kagum dengan keberanian dia untuk menjadi ketua keluarga dalam usia yang aku anggap cukup muda. Aku sendiri umur 25 tahun masih mencari tapak dalam hidup, dalam soal jodoh - tapi dia bahkan lebih baik daripada aku. Tahniah buat sepupu. 

#04 - Aku manusia yang percaya pada ketentuan Allah. Sebab aku sendiri sudah hadapi banyak perkara dalam hidup yang membuatkan aku sedar, betapa kuat aku berusaha sekalipun, tapi tidak diizinkan oleh Allah, aku tetap akan kecundang juga. Memang usaha itu penting, tapi sejauh mana aku untuk melawan benda yang sudah tertulis di atas sana?

#05 - Bila aku sudah berhenti berharap dan belajar untuk buka buku baru, mulakan hidup baru dengan apa sahaja yang ada dalam hidup - timbul lagi dugaan satu persatu. Mengapa mesti membunuh hasrat yang aku bina dalam diam tanpa perlu kau rabakkan jiwa aku dengan sebaris kata? Kadangkala itu yang aku mahu menyumpah sialan pada manusia yang hanya pakai topeng manusia, tapi bertubuh binatang - mereka fikir manusia hanya satu pameran yang boleh dilawati dan singgah bila mereka suka.

 #06 - Dalam perkara lain, aku akan bergerak ke Pesta Buku Selangor esok (8 Julai 2012). Bas terus ke TBS memandangkan aku malas mahu memandu dan ya, kalau terus ke Shah Alam sekalipun - waktu perjalanannya sama dengan waktu aku tiba di TBS. Buat apa? Hah!


Monday, June 18, 2012

30 Perkara Wanita Perlu Ada Dan Tahu Menjelang Usia 30.


Aku tak sangka pula status yang aku letakkan di Mukabuku awal pagi Isnin (18 Jun 2012) menarik perhatian ramai kawan-kawan dan pembaca. Mungkin disebabkan aku agak sibuk dan bahan bacaan aku terhad bulan ini (salahkan kewangan meruncing dan juga masa aku) - aku hanya baca semua benda yang aku simpan dan tanda sejak sebulan lepas. Mungkin ada yang boleh dikira lama, tapi bagi aku yang suka membaca - mengulangi pembacaan bukanlah sesuatu yang sukar. Bahkan aku suka.

Jadi, seseorang ada berkongsi dengan aku artikel tentang "Turning 30: 30 Things Every Woman Should Have And Should Know" pada aku. Artikel itu boleh dikatakan agak terkenal buat beberapa lama dan telah dikongsikan oleh ramai orang. Jadi, aku mencari artikel asal (lebih kurang tahun 2007) dan aku jumpa ini (baca)

Oh anda boleh baca apa yang aku pautkan itu pastinya boleh dijadikan panduan (sekurang-kurangnya bahan bacaan santai untuk mereka-mereka yang macam aku : sudah hampir dengan usia 30 walaupun ya, aku 25 pun belum). Heh! Persediaan itu penting ya para pembaca sekalian? (tepukan gemuruh)

[Sumber gambar]

Jadi, selepas apa yang aku baca dalam artikel berkenaan termasuk beberapa bahan berkaitan serta duduk termenung berfikir sekejap, menyorot kembali apa yang aku lakukan dalam hidup hampir 25 tahun ini, aku buat sendiri senarai yang lebih kurang sama dengan apa yang aku mahukan dalam hidup aku sebelum berusia 30 tahun.

01 - Bila dalam artikel itu menyatakan yang aku patut ada seorang teman lelaki lama yang mampu mengingatkan aku apa yang aku lalui dan sejauh mana aku telah pergi, aku hanya boleh ketawa dan tersenyum sendiri. Ya, ada wujud manusia begini dalam hidup aku - sebagai penanda aras tahap kematangan aku (mungkin) dengan melihatkan masa silam dan masa kini aku.

02 - Pengetahuan tentang kenderaan : Aku rasa yang ini, kebanyakan perempuan mungkin terlepas pandang. Kita pandu kereta ke sana ke mari dan hantar ke pusat selenggara kereta bila tiba waktu yang sesuai tanpa mahu bertanya kepada mekanik atau pegawainya tentang apa yang terjadi pada kereta kita. Aku mungkin pernah begini, jadi aku berazam untuk lebih tahu - tidak hanya terhad bagaiman mahu memeriksa tayar, minyak hitam, tarikh luput tayar dan minyak brek rupanya perlu diganti setiap kali 20 ribu km ya? 

03 - Jatuh cinta tanpa menyakiti diri sendiri : Ini setakat ini aku tak tahu. Sebab aku mungkin sudah lali dengan sakit ataupun terfaktab banyak mengajar aku sesuatu yang pahit itu bukanlah derita yang berpanjangan.

04 - Ada hobi tersendiri : Hobi yang bukan disebabkan oleh orang lain mempunyai kegemaran serupa. Sekurang-kurangnya aku tahu yang aku suka menulis dan membuat aktiviti luar, benda yang menjadikan aku lupa dengan masalah dan tenggelam dengan kegemaran aku.

05 - Beli sesuatu yang mahal amat : Aku punya kereta sendiri. Ini boleh dikira sebagai mahal kan? Mahal di luar keterbasan otak suatu ketika dahulu. Sekarang ini (mungkin menjelang usia 30 tahun) - aku memburu sebuah rumah sendiri - sebagai bukti kerja keras mungkin. Beli iPad boleh dikira tak? Eh.

06 - Menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi : Aku pernah menolak tawaran belajar sampai 3 kali, dan kini aku memburu peluang, ruang dan masa untuk belajar sebagai pelajar sarjana. Masih dalam pertimbangan, aku berharap benda ini akan tercapai sebelum usia aku 30 tahun. Mana tahu mampu menyambung ke peringkat Doktor Falsafah kan? Amin!

07 - Kawan-kawan yang boleh dipercayai : Aku rasa semua orang melalui fasa di mana kawan yang rapat dengan kita mula jauh seorang demi seorang disebabkan perkahwinan, jarak dan apa sahaja. Setakat ini, aku masih ada beberapa lagi yang rapat, dan aku harap, menjelang usia 30 tahun, mereka tetap ada. 

08 - Bagaimana untuk hidup sendiri : (ketawa) Sebenarnya, aku sudah lama terfikir benda ini. Adakah aku mampu untuk hidup seorang diri tanpa seseorang yang aku boleh panggil suami. Mungkin agak menakutkan bagi sesetengah orang, tapi aku mungkin sudah buat sedikit persediaan. Terlalu awal? Entah.

09 - Pekerjaan yang menggembirakan : Tahun ini masuk tahun ketiga aku berkhidmat. Sudah tentu aku sentiasa mencari bagaimana untuk menjadikan kehidupan aku lebih baik, pekerjaan aku kurang tekanan dan sebagainya. Eh, aku kena berkhidmat selama 36 tahun tahu? Jadi, aku perlu sediakan kekuatan mental dan fizikal supaya sentiasa menjadi pujaan anak murid. Haruslah ratu sangat kan? *petir*

10 - Bagaimana untuk menggunakan kasut tinggi : Ini kelemahan aku. Macam mana nak pakai aku sendiri pun tak faham. Memang kebanyakan kasut aku tinggi (dah kau hobbit merangkap bonsai, apa kau nak bising kan perempuan?) - aku masih belum ada keberanian untuk menyarungkan kasut tinggi runcing ke kaki aku. Penakut sangat.

Banyak lagi sebenarnya nak cukupkan 30. Tapi aku malas nak tulis semua, sebab tak semua benda aku boleh luahkan. Nanti orang meluat dan tuduh aku 'kekwat' kan? Mana nak letak muka yang kurang comel ini ya? Eh.

Kalian boleh teruskan pembacaan dengan tekun di sini.

Zara : Dan kalau nak tanya aku, boleh sahaja tanya di sini. Nanti aku jawab.

Sunday, June 17, 2012

#12 : Ini Cerita Seorang Perempuan.


Hari yang sepatutnya menggembirakan bertukar jadi satu hari penuh dengan neraka. Neraka dunia yang setiap kali berlaku, setiap kali itulah aku tahan air mata agar tidak tumpah dan sabar dengan karenah yang pelbagai rasa. Memang sepatutnya aku simpan dan tahan sahaja, tapi kuat manakah aku mahu kemam segala kesakitan selama bertahun-tahun dari kecil hingga aku dewasa kini? Benda yang sama berulang setiap kali dan aku tersepit lagi di antara manusia-manusia yang aku sayang.

Dari berlapan, kami pernah bertujuh, pernah berenam dan sehingga aku pergi dan kembali semula sejak sekian lama, kami kembali berempat di bawah satu bumbung yang sama. Kadangkala kami hidup baik-baik sahaja seperti manusia lain. Kadangkala hidup berantakan - penuh drama gila hingga aku dan si kecil kurung diri dalam bilik tanpa mahu mendengarkan apa yang berlaku - himpitan kebisingan yang pada aku dan si kecil itu tidak perlu - mungkin sahaja aku sudah jadi seperti si kecil ataupun entah apa - aku menjadi manusia yang kurang emosi, gunakan logik akal dan kurangkan drama dalam hidup aku yang tidak sempurna.

Sejak kecil, aku sering lihat benda yang sama. Benda yang pernah buat aku terfikir semua benda yang aku lalui (dan perlu aku lalui pada masa akan datang hanyalah penipuan). Mana ada istilah bahagia wujud - mana ada istilah kasih sayang pada manusia, mana ada kisah gembira yang semua orang tayang di kaca televisyen ataupun di layar perak, hatta dalam buku cerita. Pada aku, semuanya itu dongeng yang maha sempurna. Kegembiraan bukan milik aku - dan tiada siapa pun tahu bahawa aku melatih diri aku senyum setiap kali kesakitan, kesedihan mendatang dalam jiwa aku - hidup aku yang caca marba. 

Tapi, sampai bila aku nak menolak benda yang dituntut oleh agama? Macam Pali cakap pada aku, apa benda sekalipun, aku kena balik pada agama. Sudah tentu. Sebab bila aku pernah tak percaya akan wujudnya institusi keluarga, aku cari sebab paling kukuh untuk aku percaya pada benda yang disuruh oleh agama. Lagi pula, sebagai budak yang habiskan pengajian sampai Darjah Khas di sekolah agama Johor (sebenarnya, tak ada kaitan dengan sekolah kan?) kalau benda begitu pun aku tak dapat nak didik diri aku - mungkin lebih baik aku tampar diri sendiri kan?

[Sumber gambar]

Betapa sakit aku hadap benda begini seorang diri - aku tahu yang Pali akan ada untuk aku (selain daripada Allah tentunya - kena tulis ini, nanti ada orang kata aku tak ingat Tuhan bila ada masalah). Seorang sahabat baik yang aku jujurnya tak kisah nak kongsi semua benda dengan dia. Ya, kadangkala benda ini mungkin kedengaran sangat peribadi, tapi dengan siapa lagi aku mahu kongsi kesakitan - sekurang-kurangnya, dia akan cadangkan aku beberapa penyelesaian (dan dia sangat tahu yang aku lebih banyak gunakan logikal berbanding dengan emosi macam sesetengah perempuan lain).

Berbual dengan Pali (guna Skype sebenarnya) - buatkan aku lepaskan segala masalah yang bertimpa dan aku hadap seorang diri saat ini. Mungkin sesetengah orang akan mengecam aku dengan apa yang aku lakukan, tapi aku percaya, dengan berkongsi, buka sedikit ruang untuk dengar, tahu pendapat lain sekurang-kurangkan, buatkan aku lega. Dengar pendapat (walaupun mungkin aku tak buat pada masa sekarang) - aku tahu yang aku ada pilihan (mungkin) yang lebih baik pada masa akan datang. Benda yang selama ini membuatkan aku tersepit, terperangkap tanpa jalan penyelesaian - dengan buka ruang bicara dengan sahabat yang jujur - dalam erti kata, dia akan berikan pendapat dia tanpe menyebelahi mana-mana pihak, aku rasa hidup aku lebih bermakna.

Dan soalan terakhir dia pada aku tadi adalah "Kau nak tukar jantina?". Motif sangat tanya aku soalan macam tu kan?

Wednesday, June 13, 2012

#11 : Ini Cerita Seorang Perempuan


Perempuan bising kembali lagi. Tiada lagi puisi tiada cerita, tiada senandung indah untuk manusia disekeliling barangkali bila senyuman direnggut oleh kehilangan tenaga dan beberapa lagi benda yang buatkan dia hanya  tahu bahawa kerja memberikan kepuasan (dan walaupun sakit dengan tekanan - dia masih mampu ukirkan hiasan mata setiap pagi untuk bekerja) - oh jangan lupa senyuman manis demi mengelakkan jantung sakit dan tekanan darah mencanak naik.

Jadi, apa sahaja perkhabaran agaknya?

01 - Dua minggu lepas, berat badan kembali kepada berat badan unggul. Sibuk dengan kerja macam orang gila dan bertugas untuk cabaran (beberapa aktiviti luar) - berat badan jatuh dengan menarik hati sekali tengok penimbang. Dan untuk beberapa lama, berat badan itu buat diri sendiri tersenyum dan mengerti betapa kesukaran menahan nafsu terhadap sesuatu mampu memberikan keputusan yang menggembirakan. Tetapi celakanya, sejak akhir-akhir ini, cuaca panas melampau dan itu menaikkan nafsu makan (walaupun nasi masih lagi pantang tentunya). Usai mandi, timbang berat badan dan adakah usaha setahun setengah ini akan sia-sia? 

Gila!
Julai sudah hampir tiba dan badan perlu kembali semula ke berat badan unggul untuk aktiviti yang ditunggu sejak sekian lama. Bolehkah dalam masa kurang seminggu dua dengan kesibukan ini untuk kembali bekerja kuat dan menurunkan berat badan semula?

[Sumber gambar] - Ya, aku memang sayang badan aku tetapi bila ia menghalang aku untuk melakukan aktiviti yang aku suka, maka, aku perlu buat sesuatu demi kasih sayang aku pada mereka. (menangis)

02 - Untuk benda yang aku hitung hari sejak dua bulan lepas, dan bertambah keterujaan sejak awal minggu ini, aku terpaksa lepaskan demi memenuhi tanggungjawab dalam pekerjaan aku. Kecewa sudah pasti dan separuh hari aku tadi aku asyik terbayang-bayang dan mengajar diri aku untuk menilai keputusan yang aku buat dengan melepaskan apa yang aku mahukan sudah tentunya akan ada hikmah yang aku mungkin tidak nampak (buat masa ini). Jadi, selamat tinggal Perlis dan Kedah. Tiada rezeki untuk aku menjejakkan kaki ke dua buah negeri seperti yang dirancangkan atas dasar tugasan lain yang mendadak muncul.

Kenapa aku bising sangat sebab Perlis dan Kedah ini? Mudah sahaja, aku mahu bertemu dengan manusia tertentu yang membantu aku selama ini (selain daripada berkhidmat dalam tugasan aku di sana) tetapi ya, aku perlu diamkan dan redha sahaja. Nasib baik aku masih belum menghubungi mereka.

03 - Surat yang aku terima pagi tadi di sekolah buatkan keterujaan aku dalam perkara nombor 02 tadi melonjak ke tahap gembira. Tetapi malangnya, orang tua-tua benar dalam menyampaikan kata-kata hikmah. Ada benda yang kita tidak boleh terlalu gembira kerana ia mungkin akan lenyap tanpa kita dapat jangka. Panggilan telefon yang aku terima pada waktu tengah hari menjadikan surat yang aku terima pada waktu pagi sebagai pilihan yang aku perlu tolak. Malangnya, bukan setakat surat itu aku harus tolak, tetapi aku perlu melupakan hasrat ke Perlis dan Kedah juga.

Tetapi, aku sudah beritahu diri sendiri bahawa panggilan telefon itu mungkin akan membantu keyakinan diri aku lebih daripada tahap sekarang ini (sudah tentunya dengan tugasan yang aku patut sedar nilai berbanding dengan apa yang aku mungkin lepaskan) - jadi aku bercadang untuk menghargai apa yang aku dapat walaupun ada benda yang aku perlu lupakan. Benda baik kadangkala kita kena faham bila perlu dikorbankan.

04 - Aku merahkan beberapa jari dan ketawa dengan kebodohan sendiri. Untuk apa aku mengoles inai di jari tatkala tekanan yang aku hadapi tidak berkurangan, bahkan merencatkan apa yang aku susun atur demi mencari kegembiraan yang nyata? Aneh.

Bukankah aku sendiri juga aneh?

Sunday, April 22, 2012

#10 : Ini Cerita Seorang Perempuan


Bila mengulang-tonton sebuah drama Korea yang bertajuk "9 Ends 2 Out" - entah kenapa, aku melihat diri sendiri yang sejak kebelakangan ini menempuhi beberapa perkara yang menjadikan hidup sedikit kelam kabut. Sesuatu dalam drama itu membuatkan aku terpaku, dan mengalirkan air mata tanpa aku sedari. Mungkin aku tenggelam dengan penceritaan atau aku merasai sendiri penderitaan yang ditanggung oleh watak Nan Hee. Mungkin salah satu daripadanya.

Perbualan aku dengan seorang kawan (lebih tepat, seorang sahabat) pagi tadi membuatkan air mata bergenang di tubir mata. Mungkinkah sebab dia membaca terlampau banyak tentang aku, tentang siapa aku di mata dia, berbanding orang lain yang mungkin tinggal serumah tetapi tidak kenal siapa aku - tapi dia ketahui aku lebih dari sekadar manusia yang senyum palsu bila berhadapan dengan kamera dan dunia. Ketikan kamera dan aku sebati - adunannya gambar kenangan beku masa yang aku sendiri tak mengerti akan keluar dan ternyata, dari sinaran mata, kita mampu baca manusia. Dan aku, kalah dalam soal itu, bila orang boleh lihat aku begitu tekun dan dalam.

Kalah.
Tetapi untuk menang dalam masa yang sama, tidak susah.

Kenyataan.
Tapi pernyataan disanggah dengan tiada persetujuan.

Mungkin benar kata dia. Saat ini aku tidak perlukan pisau untuk menghiris sesuatu agar terluka dan membiarkan ianya sembuh sendiri dengan masa. Ini bukan masa melihat sama ada kesakitan itu akan sembuh dan hilang walaupun berusaha bagai separuh gila.

Saat ini aku perlukan sepucuk pistol. Sama ada aku pegang, tarik picu di kepala atau buang begitu sahaja tanpa melakukan apa-apa. Tarik picu, ledakkan semua dan mati untuk bangkit semula. Ataupun aku boleh buang pistol tersebut, kekalkan diri dalam keadaan semasa dan hadam segala yang datang tanpa mengubah apa-apa disebabkan aku selesa untuk biarkan diri tenggelam dalam sebuah seksaan yang nyata, aku nampak dan aku rasa - dan ajaibnya, aku selesa dan redha.

 "Sebab aku kenal kau macam mana. Aku kenal kau masa kau positif, semangat kau. Aku pernah tengok mata kau masa kau betul-betul semangat untuk buat satu benda. Tapi kau jangan lupa, masa kita lepak sama-sama, aku tengok mata kau lain. Mulut kau positif, tapi dalaman kau? Aku tak tahu macam mana nak cakap, tapi kalau kau betul-betul bersemangat, aku boleh rasakan semangat kau"

Mungkin sahaja aku gila.
Kita lihat sahaja.

Zara : Awak bunuh saya lagi. Kali ini dengan kadar yang sangat perlahan sehingga menarik nafas pun saya perlu gunakan seluruh kekuatan. (Shafaza Zara, 22 April 2012)

Tuesday, April 10, 2012

#09 : Ini Cerita Seorang Perempuan


Kau, kau dan kau.
Aku lakarkan ini bukan untuk buat kau terpukau.

Kau tahu dulu kenapa aku belajar bersungguh gila?
Sebab aku nak duduk sama tinggi, sama paras dengan kau semua.

Kau tahu dulu kenapa aku senyum sentiasa?
Sebab hinaan kau semua buat aku kuat dalam derita.

Kau tahu dulu kenapa aku bercampur dengan semua manusia?
Sebab aku tidak tahu aku kepunyaan siapa.

Kau tahu dulu kenapa aku budak yang tidak kenal erti bahagia?
Sebab aku tinggal bawah bayangan kau semua yang mendabik dada.

Kau tahu dulu kenapa aku budak gemuk yang kau hina?
Sebab aku akur, aku tidak menonjol cantik jelita.

Kau tahu dulu kenapa aku tenggelam dalam membaca?
Sebab buku tidak pernah mengecewakan aku macam kau semua.

Kau tahu dulu aku membesar bagaimana?
Aku membesar dengan meyakinkan diri aku depan cermin dan ketawa.

Kau tahu apa perasaan aku bila dapat keputusan peperiksaan?
Aku senyum dalam hati sebab sekurangnya kehodohan aku hilang tanpa kesan.

Kau tahu kenapa aku ikutkan sahaja gerak tarian kalian?
Sebab aku rasakan itu yang dipanggil persahabatan.

Kau tahu kenapa aku hormatkan kau semua walaupun dilayan sedemikian rupa?
Sebab pada aku, kau semua adalah manusia.

Kau tahu kenapa aku menangis sendiri bila aku jadi siapa aku kini?
Sebab aku tahu kau mengejek hidup aku yang kononnya sepi.

Kau tahu kenapa aku senyum sahaja bila kau hina kerjaya yang aku suka?
Sebab aku tahu, kalian kata si bodoh dan hodoh berdiri atas dunia.

Kau tahu kenapa aku boleh ketap bibir dan ketawa?
Sebab aku jumpa alasan untuk berdiri dan berbangga.

Sekurang-kurangnya aku sudah ada jalan cerita.
Yang aku bina sendiri walaupun berduka.

Kau semua memang layak dapat tempat atas dunia.
Sebab kau semua malaikat dalam dunia yang kau sendiri cipta.
Dan aku mungkin cebisan yang kau tidak pandang walau sebelah mata.

Tetapi aku harus akui yang aku tidak kecewa.
Bahkan terima kasih atas sebuah cerita.
Yang panjang tetapi sudah temui jalan penamatnya.

Persetankan cerita yang membawa celaka.
Aku manusia yang akan terus kekalkan watak yang kau cipta.
Penurut dalam semua aturan tanpa bicara.


http://farm4.staticflickr.com/3356/3275704573_420b4bf8d2.jpg
[Sumber gambar]

Bila cikgu bertanya kenapa aku tidak menghadiri majlis perkahwinan seorang teman, aku hanya termangu dan tutup perasaan dengan ketawa. Itu kawan sejak sekian lama dan cikgu bukan baru kenal kami setahun dua. Pertanyaan dia aku jawab dengan gelengan dan senyuman sambil mulut menyatakan aku tidak dijemput untuk meraikan hari bahagia dan gembira.

Kalaupun pengantin tidak mengundang, rakan lain yang hadir juga langsung tiada menitipkan pesanan mahu ke sana. Ah, mereka akan lagi gembira tanpa manusia hodoh yang kekal dalam sarungnya.

Maaf cikgu. 
Aku bukan bukan pelakon hebat depan kamu.
Tiada niat buat kamu tertipu.
Tapi pastinya, cikgu tidak mahu lihat anak kuat ini menangis sendu.
Sekurangnya, aku rasa begitu.

Buat persahabatan yang sejak tukar kain seragam sekolah, itu adalah 'hadiah' tidak ternilai.
'Manisnya' pasti mekar bagaikan teratai.
Kalaupun tidak layu di tengah tasik, pastinya akan teruk dikitai.

Jujur aku kata pada Puan Mulia.
Aku tidak akan datang bila tidak dijemput.
Tidak mengapa, anggap sahaja mereka terlupa kali ini.
Mana tahu mereka akan jemput kalau mereka berkahwin lagi.
Ha ha ha.

Zara : Berbuat baik dengan mereka yang tidak menyukai kita bukanlah sesuatu yang palsu atau berpura-pura. Itu mungkin bermakna kita sudah jadi semakin matang untuk bertolak ansur dan toleransi dengan sikap mereka yang tidak pernah menganggap kita manusia. (Shafaza Zara, 10 April 2012)