Showing posts with label Kahlil Gibran. Show all posts
Showing posts with label Kahlil Gibran. Show all posts

Tuesday, August 10, 2010

Selamat Datang Ramadhan - Selamat Bekerja Dengan Rasa Cinta Mengumpul Bahagia Temanku.


Salam Ramadhan.
Alhamdulillah, Ramadhan kembali lagi.
Moga kali ini ia akan membawa nilai keberkatan yang tidak terhingga buat kita semua.

*******

Bekerja dengan rasa cinta, bererti menyatukan diri dengan diri kalian sendiri, dengan diri orang lain dan kepada Tuhan.  
Tapi bagaimanakah bekerja dengan rasa cinta itu ? 
Bagaikan menenun kain dengan benang yang ditarik dari jantungmu, seolah-olah kekasihmu yang akan memakainya kelak.

(Kahlil Gibran)

*******


 [Legasi Cinta Alisia Bab 36]
Gadis ini mahu mengucapkan selamat berpuasa kepada semua teman-teman yang dikenali.
Tidak mahu ada sesiapa yang ditangkap kerana tidak berpuasa ya?
Nanti Zara gigit siapa yang degil.

Bulan Ramadhan bulan kemuliaan.
Masa untuk menambah lebih banyak rasa cinta di dalam diri dengan melakukan ibadah dengan lebih bersungguh-sungguh. Bukan bermaksud bulan lain tidak beribadah dengan bersungguh-sungguh, tetapi bulan ini pahala dan amalan bertambah-tambah nilainya. Mari bersama-sama meraikan kedatangan bulan mulia ini dengan penuh kesyukuran.

Tahlil di sekolah.
Di sekolah tadi sudah diadakan tahlil dan 'punggah' sempena kedatangan Ramadhan. Rupa-rupanya itu tradisi sekolah yang aku bekerja sekarang ini. Budaya yang baik dan aku gemari. Dan khabarnya, ada satu lagi budaya yang telah aku amalkan selama ini bersama keluarga dan rakan-rakan juga adalah aktiviti yang diamalkan oleh sekolah sepanjang Ramadhan. Khabar gembira juga itu.

Terawih pertama
Malam ini, insyaALLAH, adalah terawih pertama untuk Ramadhan kali ini. Moga-moga ianya bukan terawih terakhir aku. Salam menyambut Ramadhan buat kamu semua wahai pengunjung Dunia Sebelah Zara.

Zara : Kali ini puasa seorang diri lagi. Puasa tidak sama lagi seperti tahun lepas, dan hanya aku yang mengerti kenapa keadaab berlainan ini membuatkan hati tidak mahu menangis lagi. Senyuman sebagai tanda kebahagiaan, tanda kekuatan kerana janji Allah tidak akan pernah salah.


Tuesday, July 13, 2010

Hidup Ini Memerlukan Tenaga Yang Bukan Sedikit Untuk Maju Ke Hadapan


Salam semua.
Kembali bertenaga selepas melakukan sesuatu yang sudah dirancang.
Walaupun ada beberapa rancangan yang tertunda, tetapi yang mahu dibuat secepat mungkin serta memerlukan tenaga kerja mahir lain sudah dilaksanakan. Alhamdulillah.



Tenaga.
Apa yang dihimpunkan sejak sekian lama menghirup kesakitan dan menitiskan darah merah pekat dari sesetengah rongga, adalah bukti diri masih bernyawa.
Ada orang mencemuh mengatakan, apalah sangat kalau setakat pernah putus cinta sekali dua.
Ada orang mencebik menyatakan, apalah sangat pernah dihina dan dilemparkan kata nista barang sekali dua.
Nah, itu kesilapan kamu wahai manusia yang tidak pernah mengharungi kepayahan.

Aku jumpa beribu jenis manusia.
Sesetengahnya akan memeluk aku sambil menangis seraya berkata, kita serupa Zara. Kami pernah melalui apa yang kamu rasa, apa yang kamu hadapi bukan sesuatu yang sia-sia. Aku, manusia beku yang kadangkala terpana dengan sentuhan lembut mereka-mereka yang memahami. Coretan yang dihantar kepada aku acapkali buat aku lebih bernafas dan ketawa lembut.

Zara yang ketawa berdekah, yang tersenyum lebar ini masih punya rasa. Anak ini masih lagi anak yang suka membaca puisi di kamar seorang diri. Masih membaca buku cerita kanak-kanak atau remaja sambil membayangkan betapa indahnya kalau dapat melalui kenangan sebegitu rupa. Gadis ini masih anak milikan keluarga. Kakinya terikat sebelah di tangan penjaga, dan laluannya ditentukan ke mana arah hala.

Hidup ini umpama lautan.
Dunia ini adalah suatu kawasasan yang penuh dengan manusia.
Maka, dalam mengayuh merentasi lautan untuk mencari destinasi, syair dan puisi yang beralun umpama kayuhan aku dalam mencari tepian yang mungkin tidak terjangkau oleh diri sendiri. Tetapi adakah aku akan mengeluh lelah lalu mengalah?

Tidak.
Kerana apa?
Aku manusia yang dididik untuk percaya, "Kerana Tuhan Untuk Manusia"

Aku pernah menjerit lantang di sebuah bukit, meriwayatkan kedukaan hati melihatkan kesakitan diri yang sering terpinggir akibat tidak punya rupa dan personaliti. Duduk diam dan biarkan alam yang memamah kesakitan merajai. Tawa dan tangis dilepaskan seiring agar diri tidak diinjak sesuka hati. 

Tetapi adakah semua manusia mengerti?
Tidak.
Kerana apa?
Diri mereka penuh hasad dengki.

Iblis.
Syaitan.
Jahanam.
Durjana.
Mengapa tinta mereka yang kamu makhluk mulia mahu pinjam dan garitkan akan mengeluarkan darah?
Membuat onar dan menimbulkan duka?
Biarkan diri menjamah lara?

Diam.
Kayuhan mencari destinasi yang abadi harus diteruskan.
Cabaran dan dugaan dilalui dengan senyuman.
Jangan pernah kelihatan tangisan.
Simpan keluhan.
Keluarkan jeritan kemenangan.

Nota Kaki :
1. Perbualan dengan seorang sahabat sudah jadi seperti makanan ruji. Ah, kalau dia sudah mula sibuk semula selepas ini, dengan siapa lagi aku mahu melampiaskan ceritera diri?
2. Kehidupan di sekolah semakin hari semakin menyeronokkan. Aku sesungguhnya menikmati setiap inci kegembiraan.
3. Buat yang menghantar komentar dan ulasan, hampir kesemuanya aku sudah benarkan penyiarannya kecuali entah mana yang meracau mencarut segala itu, aku tapis dan buang ke tepi.

Zara : Hari ini menulis dua buah puisi yang lebih kepada coretan peribadi. Sangat penuh emosi sehingga aku tidak sanggup untuk berfikir. Adakah benar kata Kahlil Gibran? Puisi itu sebenarnya lagu yang muncul dari luka yang berdarah atau mulut yang tersenyum. Entahlah.

Sunday, July 11, 2010

Lagu Yang Muncul Daripada Luka Yang Berdarah Atau Mulut Yang Tersenyum


Diam.
Tenang.
Ulitan bayang.
Sejuta percikan.
Bayangan perlipan.
Damai.


Puisi bukanlah pendapat yang dinyatakan. Ia adalah lagu yang muncul daripada luka yang berdarah atau mulut yang tersenyum.
(Kahlil Gibran)

Orang yang dah janji dengan aku nak balik cuti musim panas, sila balik dengan cepat. 27 Julai lama lagi tahu? Eh, hari ini berapa hari bulan? Sebelas ke? Cepat balik ya wahai pengamal perubatan. Aku sudah simpan kerusi itu untuk kamu.

Sepet tak jadi balik kampus petang ini. Dia balik esok pagi. Masa dia balik esok agaknya aku di sekolah. Jadi, mari doakan si Sepet selamat pulang ke universiti dia esok.

B sudah dimasukkan ke hospital. Menunggu saat melahirkan. Bayi pertama. Harapnya Jejaka yang menunggu di luar akan lebih tabah dan kuat. Eh, sila masuk ke dalam wahai Jejaka. Temani isteri kamu.

Hazami Bahrin Daniel pula macam sudah berhenti menulis blog. Mungkin bapa kepada 3 orang anak itu perlu dipaksa untuk menulis semula. Ketawa.

Nota Kaki :
Tiada rasa mahu menulis.

Zara : Ada sesuatu yang mengusik jiwa sejak dari tadi. Moga ia perkara yang baik.

Thursday, June 24, 2010

Tangan Menggigil, Kepala Berpusing | Kembali Ketagih Semula Pada Dadah Perangsang Aroma


Salam.
Sejak aku menamatkan pengajian, aku berusaha untuk meninggalkan tabiat yang aku amalkan sejak di zaman matrikulasi. Tabiat yang semakin menjadi-jadi bila aku di tahun akhir pengajian. Tidak diambil sehari, aku mula menggigil dan pening kepala. Mengambilnya sekali sehari sudah buat diri aku kenal dan aku pantas mahu mengambil buat kali kedua menjelang dinihari. 

Entah berapa bulan aku ambil untuk mengubati ketagihan ini. Aku minum bijirin, aku ambil minuman kesihatan, aku tutup bahagian pembancuh yang aku beli khas atas dasar ketagihan aku. Aku mencuba segalanya untuk berhenti walaupun hakikatnya, aku ada minum sekali sekala sebagai atas dasar suka, dan bukan ketagihan lagi.

Cuma, akhir-akhir ini entah mengapa, aku sudah kembali kepada kegiatan lama ini kembali. Aromanya yang nikmat memang buat aku terpikat. Aku tidak melayan kata-kata yang menyatakan aku serupa orang tua apabila menikmati secangkir hidangan yang aku suka. Waktu pengambilan aku juga berubah. Seawal pagi, aku mula menikmatinya. Panas dan buat aku bertenaga untuk memulakan hari yang indah.

http://media-files.gather.com/images/d740/d702/d744/d224/d96/f3/full.jpg

Kerana ketagihan ini, aku pernah bercadang untuk menjadi seorang barista suatu ketika dulu. Ya, panggil aku manusia pelik sekalipun, aku merasakan kenikmatan yang aku kecapi tidak menghalang aku dari menikmati dunia yang indah. Ah, kedengaran dangkal pemikiran aku bukan? Hanya disebabkan oleh secawan kopi.

Aku sangat jelas dengan kesannya terhadap diri aku. Sangat jelas dan disebabkan itulah, aku pernah berusaha untuk mengelakkan diri dari terus ketagih. Aku ganti dengan soya, aku ganti dengan mana-mana bijirin dan aku hanya mampu bertahan lebih kurang enam bulan sahaja. Nampaknya, aku perlu memulakan semula usaha untuk mengekang diri dari terus terjebak jauh.

Kopi memang enak.
Aku boleh minum hampir setiap jenis kopi walaupun dahulunya aku manusia yang tidak menggemarinya. 
Gila bukan?
Senyum.

Walaupun aku sudah minum air lebih 2 liter setiap hari, kadar pengambilan kopi aku menjadi terkawal pula. Cuma, setiap hari mesti ada secawan buat aku. 


"Jika cinta tidak dapat mengembalikan engkau kepada ku dalam kehidupan ini, pastilah cinta akan menyatukan kita dalam kehidupan yang akan datang." (Kahlil Gibran). 

Nota Kaki :
1. Kepenatan akibat sekolah dan mengajar kelas tambahan sampai petang.
2. Mahu senyum dengan lebih gigih.
3. Sudah memohon cuti hari Isnin minggu depan untuk ke Johor Bahru.
4. Suka bila budak cuba membuat aku sentap, sebab aku lebih sarkastik.
5. Pelajar Tingkatan 3 belanja aku ABC lagi, tapi aku bayar semula pada dia. Segan.

Zara : Akan berusaha menyiapkan Legasi Cinta Alisia Bab 26. Maaf buat yang menunggu, aku perlu memberikan komitmen yang lebih kepada pekerjaan hakiki aku. Maaf yang teramat sangat, tulus dari aku.

[Edisi Kenangan] : Dunia Ini Tiada Yang Percuma. Kamu Cium Sedikit Atau Banyak, Tetap Perlu Dibayar.


Salam semua.
Malam ini terlampau menjaga kesihatan. Sakit yang dialami semakin mencengkam dan walaupun aku cuba untuk menguatkan diri, aku harus terima yang menyeksa diri untuk kelihatan mengikut etika akhirnya memakan diri aku sekali lagi hari ini. Esok pasti akan melalui sekali lagi edisi yang menakutkan tetapi aku tahu aku harus terima dengan terbuka demi tugas. Adakah aku dibenarkan untuk memakai but esok? Aku harap boleh.

Menerima surat elektronik yang panjang lebar dari teman wanita tersayang, B yang menerangkan secara terperinci keadaan dirinya yang sedang menghitung hari untuk melahirkan anak pertama. Moga semuanya selamat buat mereka berdua dan aku pasti Jejaka akan bersorak gembira kerana renangannya berjaya menembusi cabaran biologi terbesar pembentukan manusia. Ketawa.

Teringat sesuatu yang disebut dalam surat elektronik itu yang mengimbau kenangan bersama. Dahulu pernah menulis juga mengenai ini, tetapi buat pembaca baru, mungkin ada yang mahu mengetahui apa yang pernah berlaku, kenangan persahabatan kami bersama suatu ketika dahulu.

B : Sayang, kamu betul!
Aku : Apa dia?
B : Memang tiada yang percuma di dunia ini. *teresak-esak*
Aku : Kenapa ni?
B : Aku cium sedikit sahaja, tapi tetap kena bayar banyak.
Aku : Kamu cium apa?
B : Ala, yang pernah kita cakap dulu, kamu tak ingat?
Aku : Oh, yang itu ke?

[Tiba-tiba teringat budak kecil yang sentiasa rela mencium dan dicium ini]

Kenangan mengusik minda aku.

Aku dengan B menghabiskan masa bersama.
Melihat telatah manusia serta objek di sekeliling membuatkan kami hargai alam ini.
Ya, agak ilmiah aktiviti itu.
Kami panggil sebagai kegiatan ilmu alam.

Aku suka lihat matahari.
B suka tengok pokok.
Aku suka tengok bulan.
B suka tengok aku yang tengok bulan.
Kami suka menonton perlawanan bola sepak.

Aku duduk di sebelah B.
Pandangan aku tebarkan di segenap kotak ini.
B menumpukan pandangannya ke hadapan.
Dia suka penumpuan.
Teknik yang bagus untuk melihat sesuatu.

B : Zara, aku nak tanya kau sikit boleh?
Aku : Apa dia?
B: Kalau aku cium yang biru tu, agak-agak kau berapa aku kena bayar?
Zara : Kalau badan jenis macam tu, murah je aku rasa. Tengok kat mana kau bawa dia lepas kau cium dia lah.
B : Macam tu ke? Kalau aku cium yang hitam itu? Badan dia nampak sedap.
Zara : Kalau yang itu, aku rasa tak mahal juga. B, kalau kau ada niat, ada duit, kau cium je. Tapi aku tak nak ikut.
B : Kenapa? Kau takut kena bayar ke?
Zara : Bukan sebab bayar. Tapi sebab aku sayang diri aku. Sebab tu, aku selalu ikat diri aku macam ni. Kau ikat diri kau jugalah.
B : Aku ikatlah sekejap lagi. Aku teringin sangat nak cium yang warna perak tu. Kau agak-agak, mampu ke aku bayar dia nanti?
Zara : Entahlah B. Mahu kering juga kalau kau nak cium dia. Aku takut kalau kau cium dia, kau yang terpelanting dulu.
B : Ganas betul kan? Aku tak nak cium dia lah.
Aku : Sudahlah B. Kau penagih ciuman juga ke?
B : Aku banyak baca blog kau lah ni.
Aku : Amboi...salah aku juga?


Selingan : Ada orang puji gambar ini cantik. Aku terharu.
"Setitis airmata menyatukan aku dengan mereka yang patah hati. Seulas senyum menjadi sebuah tanda kebahagiaan ku dalam keberadaan. Aku merasa lebih baik jika aku mati dalam hasrat dan kerinduan dari jika aku hidup menjemukan dan putus asa." (Kahlil Gibran)

B : Zara, kamu ada lagi tak ni?
Aku : Ada. Aku cuma teringat kisah dulu.*ketawa*
B : Aku sedih. Sedikit pun kena bayar banyak.
Aku : Kamu cium siapa punya?
B : Jejaka punya.
Aku : Nasib baik Jejaka punya, kalau orang lain punya?
B : Orang lain punya memang mati aku nak bayar.

Eh, kamu ingat kami berbual tentang apa?
Biru = Kancil.
Hitam = Jazz
Perak = CRV
Jejaka punya = Civic

Nota Kaki :
1. Piala Dunia yang sedang berlangsung menjadi medan menukar pendapat bersama B. Ah, wanita itu punya minat yang sama dengan aku. Sukakan bola sepak dan anehnya, Jejaka tidak begitu gemarkannya. Cuma kebelakangan ini, akibat menanti B yang bersengkang mata menonton perlawanan, lelaki itu sudah menukar minatnya.
2. Kurang menggunakan Twitter malam ini disebabkan aku menonton sesuatu yang lebih bermakna dan mengusik jiwa.
3. Meluahkan sesuatu pada orang yang tidak menyedari perasaan yang kita pendam adalah sesuatu yang bakal menjadi sia-sia bukan? Adakah pendapat itu benar?
4. Berdoa secara bersungguh-sungguh agar aku mampu melunaskan tanggungjawab dengan baik esok.
5. Sangat berharap agar England akan menang malam ini. Begitu juga dengan Jerman. Senyum.

Tambahan :
England sudah layak. Jerman juga sudah layak, malahan akan bertemu sesama sendiri selepas ini.

Zara : Sedang memikirkan kata-kata ini berulangkali. Rasa mahu menghantarnya pada seorang teman yang sedang bergolak jiwanya, tetapi aku sendiri kurang pasti. Oh, maksud aku, kata-kata yang dikarang oleh Kahlil Gibran di atas.

Wednesday, June 23, 2010

Janganlah Buang Kucing Di Hadapan Rumah Aku

 
Salam semua.
Hari ini hujan sepanjang hari. Oh, di Festival Sains peringkat daerah tadi hujan lebat mencurah-curah. Banyak pertandingan melibatkan tenaga matahari terpaksa digantikan dengan cahaya mentol jingga. Walaupun tidak sebagus menggunakan cahaya matahari, tetapi kereta solar, bot solar masih boleh bergerak. Terjumpa ramai kawan-kawan yang mengikuti kursus dan kem bersama di festival. Apa lagi, sesi bergosip secara gigih dan mengkritik setiap peserta yang hadir menjadi agenda wajib kami. Oh, bukan dengan perempuan ya? Tetapi semuanya adalah guru-guru lelaki. Oh, sebab pertandingan banyak melibatkan aspek teknikal, maka ramai guru pengiring adalah lelaki.


Aku pasti semua peserta tadi mahukan hari yang cerah dan terik seperti ini.
Senyum.

Pulang ke rumah tadi, terdengar bunyi suara kucing. Aneh juga disebabkan rumah aku memang tiada haiwan peliharaan. Eh, adakah itu yang membuat aku sedikit kasar? Abaikan. Mencari disekeliling kawasan, akhirnya terjumpa seekor anak kucing kecil sedang mengiau perlahan. Kurus dan tiada kelibat ibunya. Eh, siapa yang buang kucing di rumah aku ini? Bukankah lebih baik membuang anak ikan? Ketawa. Gila.

Aku jujurnya seorang manusia yang tidak begitu menggemari kucing. Aku suka lihat dari jauh, gembira dengan telatahnya, memberikan minuman atau makanan. Tetapi untuk memegang, atau apa sahaja yang melibatkan sentuhan dengan kucing, aku menjadi manusia paling penakut. Pakcik aku selalu terkejut jika aku makan bersama dengannya di rumah nenek disebabkan aku akan menjerit bila ada kucing yang menggesel kaki aku. Eh, aku takut. Betul.

Ada orang kata pada aku, disebabkan sifat aku yang tidak berapa gemarkan kucing kerana takut apabila bersentuhan dengan kucing, itu mungkin salah satu aku kurang kelihatan seperti seorang perempuan. Maksudnya, aku kurang nilai perempuan bila tidak menyukai kucing. Betulkah?


"Aku ingin mencintai mu dengan sederhana, seperti kata yang tak sempat diucapkan kayu kepada api yang menjadikannya abu. Aku ingin mencintai mu dengan sederhana, seperti isyarat yang tak sempat dikirimkan awan kepada hujan yang menjadikannya tiada..." (Kahlil Gibran)

Nota Kaki :
1. Mahu berehat sekejap.
2. Cedera semula.

Zara : Segalanya sudah bertambah baik dan aku semakin tabah dalam menghitung waktu sebagai manusia yang lebih senang menjawab pertanyaan jodoh dengan senyuman sinis.

Suka Bila Orang Mengutuk Aku Bila Aku Sakit | Mana Kad Pengenalan Kamu Manusia Tanpa Nama?


Tidak disangka.
Kesakitan dan penderitaan aku adalah kegembiraan orang lain.
Tapi kalau setakat guna 'Anonymous' seperti dalam penulisan ini, aku hanya ketawa.


Sudah lama tidak menonton kartun ini. Lambat pula Sabtu nak muncul.
Buat manusia tanpa identiti yang menulis itu, aku memang tidak akan padam ulasan sesiapa.
Kata demokrasi kan?

Disebabkan aku telah bertenaga semula, mari aku jawab apa yang kau luahkan di ruangan komentar. Bukan apa, walaupun kaki aku kejang sewaktu berbual dengan teman aku tadi, ternampak ulasan kau buat aku ketawa berdekah-dekah. Kira hiburan di malam hari buat aku yang sakit ini. Sungguh! (sambil buat tangan konon-konon sedang angkat sumpah)

1. "baru sakit sikit, belum mati lagi. tu pun nak kecoh.pundek la."
 Eh, kalau mati, boleh tulis blog mesti perkara ajaib. Boleh masuk keajaiban dunia, publisiti meluas dan sebagainya. Lagi satu, ada perkataan yang aku tak faham dalam ayat kau tu. Ayat terakhir tu, apa maksudnya?

2. "lagi satu, ko yg pakai baju merah tu? memang gemok dr kecik ke? sampai skang gemok kan? kesian."
 Aku jujurnya, pelik bila orang kata mereka aksihan dengan tubuh badan aku. Aku suka dengan diri aku, aku jaga diri aku dengan baik walaupun kecederaan tidak dapat dielakkan. Tetapi, entahlah. Mari bersangka baik dan jawab soalan orang ini. Ya, aku yang pakai baju merah itu. Memang aku gemuk dari kecil. Ya, sampai sekarang juga aku masih gemuk. Kasihan kah?

3. "ko nak delete ni nanti kan? so, aku bleh kutuk2 kau lagi kan? nampak kau banyak kawan2 dgn blog2 sampah, cam blog kau gak neh. sampah la beb. lagu je nak sedap, ko tengok ke bola sepak?"
 Padam? Aku kalau padam ulasan orang pun secara terhormat. Macam mana padam secara terhormat? Satu, kalau orang promosi benda yang tidak kena mengena yang dia letak hampir di setiap ruang komentar aku. Dua, orang yang menjaja perkara pelik untuk menunjukkan dirinya kononnya tersangat istimewa sampai sanggup gunakan setiap blog yang aku letak di dalam Terowong sebagai tempat melunaskan nafsu meninggalkan komen 'membina' yang aku rasa tidak perlu.

Aku kawan dengan blog sampah? Sejak bila pula? Semua blog yang aku singgah, baca dan meninggalkan ulasan adalah blog yang aku suka. Jangan main suka mengatakan blog orang lain sampah, blog aku sampah tanpa meninggalkan pengenalan pada diri sendiri. Kalau blog aku blog sampah, kenapa kau datang baca ya? Aku percaya kau laju-laju mahu baca blog aku sampai terlupa untuk membawa kad pengenalan, sebab itu kau guna 'Anonymous'. Betulkan?

Lagu memang menarik. Ya, aku menonton Piala Dunia. Kenapa? Nak suruh aku sokong pasukan mana? Adakah kamu penjudi bola sepak? Nak ajak aku bertaruh ke? Maaf, aku tak minat.


"Tubuh mempunyai keinginan yang tidak kita ketahui. Mereka dipisahkan kerana alasan duniawi dan dipisahkan di hujung bumi. Namun jiwa tetap ada di tangan cinta, teruslah hidup sampai kematian datang dan menyeret mereka kepada Tuhan..." (Kahlil Gibran)
Nota Kaki :
1. Keadaan sudah pulih seperti biasa. Mendengar suara kawan itu buat aku lega. Sekurang-kurangnya penantian sejak semalam sudah berhasil.
2. Mengantuk, mahu berehat.
3. Ada dua perlawanan serentak malam ini. Alahai.

Zara : Terima kasih pada mereka yang mendoakan kesejahteraan aku. Buat kawan yang memberi nasihat secara berterusan di Twitter, sila rehat wahai teman. Kamu juga harus jaga diri sementara aku yang rapuh ini membina semula diri.

Sunday, May 23, 2010

Cikgu, Soalan Nombor Enam Macam Mana Nak Buat? - Awak Ada Tengok Jam Tak?

Salam hujung minggu semua.
Sejuk yang teramat sangat kesan daripada hujan semalaman masih dirasai.
Enaknya kalau dapat terus bergulung dan berguling di atas ranjang.
Tetapi mengenangkan Bonda yang pasti menjeling tajam, diri ini digagahkan juga bangun.

Oh, matahari dunia sudah memancar gagah.
Mentari milik sendiri belum menunjukkan wajah.
Nah, pasti akan tunggu dia dengan tabah.
Senyum.

Malam tadi, tatkala enak menikmati ranjang biru disamping senyuman terukir walaupun kesakitan terhempap tangan kiri (buat yang mendengar suara menahan kesakitan itu semalam, sila jangan beritahu orang ya?), aku menerima satu panggilan telefon.


Sila teka, muka apakah ini?
Mengantuk, bengang, jiwa kacau?

Pemanggil : Assalamualaikum.
Aku : Waalaikummussalam. Siapa ni?
Pemanggil : Cikgu Zara ke? Saya ni T.
Aku : Oh, awak. Kenapa ya?
T : Cikgu, nak tanya, soalan nombor enam macam mana nak buat?
Aku : Awak ada tengok jam tak?
T : Ada, kenapa cikgu? Cikgu dah tidur ke?
Aku : Tak, cikgu tengah main teng-teng kat laman rumah.
T : Lawaklah cikgu ni. Macam mana nak buat cikgu?
Aku : Awak boleh cakap dengan saya soalan apa tak? Sebab saya tak hafal buku teks.
T : Oh, baik cikgu.

Agak sarkastik jawapan aku kan?
Maaflah ya anak muridku. Aku memang boleh jawab panggilan, tolong selesaikan jawapan dan sebagainya tetapi jam tiga pagi? Sila fikirkan yang cikgu kamu ini perlukan rehat seperti manusia lain juga ya? Walaupun jawapan yang dikehendaki sudah aku beri malam tadi, kesannya otak aku berdengung pagi ini akibat kekurangan tidur. Pitam.

Nota Kaki :
1. Mengantuk.
2. Kesejukkan.
3. Bengang dengan sesuatu.
4. Marah dengan diri sendiri.
5. Rindukan seseorang.
6. Terkejut dengan satu pesanan ringkas malam tadi. Kamu masih wujud?

Zara : Dan lalu tertidur dengan doa bagi kekasih di dalam hatimu dan sebuah gita puji pada bibirmu. (Kahlil Gibran)

[Pertandingan] Tekan sini untuk mengetahui lebih lanjut tentang syarat penyertaan.(Tarikh Tutup : 31 Mei)

Lima Tahun Yang Lepas, Siapa Yang Berguling Bila Disuruh Jadi Guru? - Ayat Abah Makan Dalam


Salam.
Hari Guru sudah hampir seminggu disambut.
Tetapi aku tetap mahu menulis mengenai itu.
Ketawa.

Pulang dari sekolah tempoh hari, Abah sudah tiba di rumah. Oh, sekolah Abah memang pulang awal disebabkan dua sesi, manakala sekolah aku dan Mak punya satu sesi sahaja. Abah ketawa geli hati tengok aku keluar masuk mengambil hadiah yang aku dapat dari dalam kereta.


Sebahagian daripada apa yang aku terima.

Abah : Apa cerita kat sekolah tadi?
Aku : Macam-macam. Ada anugerah, ada sukan, ada jamuan.
Abah : Banyak dapat hadiah?
Aku : Adalah juga.
Abah : Suka?
Aku : Sukalah juga.
Abah : Lima tahun lepas suruh ambil pendidikan, berguling tak nak. Bila dapat sambut hari guru, suka dapat hadiah.
Aku : Eh, itu cerita dulu.
Abah : Dulu nak sangat jadi jurutera.
Aku : Eh, kalau jadi jurutera pun ada hari yang sambut.
Abah : Hari apa?
Aku : Hari pekerja.
Abah : Tu cikgu pun sambut.
Aku : Abah cemburu dapat hadiah sikit kan?
Abah : Dah tua, hadiah pun sikit. Tapi yang mahal-mahal punya.
Aku : Tapi Abah tak dapat macam ni kan?
Abah : Yang mana?
Aku : Ni.


Hadiah paling besar dan menarik aku dapat.

Abah : Eleh, kalau guna pun, Along kena guna kat rumah kan?
Aku : Ceh!

Ceh!
Abah sindir aku dengan tajam. Ketawa.
Memang lima tahun yang lepas aku berguling tatkala Emak mahu aku memilih bidang perguruan dari satu hingga lapan. Sudahlah matrikulasi dipilih oleh Emak, aku mahu buat pilihan sendiri untuk ke universiti. Sejak di Tingkatan Lima, aku sudah memasang impian mahu ke UTM. Tak mahu yang lain, aku tetap mahukan UTM. Jadi, pemilihan ke universiti selepas matrikulasi memang UTM sahaja terbayang di kepala aku.

Mak : Ambil pendidikan.
Aku : Eh, kenapa? Along budak Fizikal, nak ambil kejuruteraan.
Mak : Ambil pendidikan.
Aku : Along nak masuk UTM. Nak ambil pendidikan.
Mak : UTM ada pendidikan tak?
Aku : Itu kan universiti yang penuh dengan kursus kejuruteraan
Mak : Cuba tengok dulu.
Aku : Alamak, ada!
Mak : Baguslah. Pilih UTM, Pendidikan yang pertama. Bahagian apa yang Along mahu, pilih. Nak Kimia sangat, ambil Kimia. 
Aku : Baik.

Dan, setelah lima tahun, aku sudah menjadi seorang guru. Minat yang aku pupuk sendirian sejak di Tahun Satu disebabkan aku dibenarkan memilih kimia sebagai teras pembelajaran aku. Gembira yang amat sebab aku mendengar kata mereka suatu ketika dulu. 

Eh, kalau mereka tiba-tiba mereka menyediakan bakal suami buat aku bagaimana pula? Oh tidak! Mereka dahulu pun bukan diaturkan oleh keluarga, maka aku pasti mereka tidak akan buat begitu pada aku (moga-moga). Ketawa.

Nota Kaki :
1. Sampai ke hari Khamis, masih ada pelajar yang letak hadiah buat aku di atas meja atau berikan terus di dalam kelas. Tersipu-sipu menerima pemberian mereka.
2. Walaupun sejuk melanda hingga ke tulang hitam, hati bercahaya atas suntikan semangat Empunya Marga. Sayang, aku rindu kamu!
3. Belum memulakan menulis Legasi Cinta Alisia. Alahai.

Zara : Memasuki dunia tanpa musim tempat kau dapat tertawa, tapi tak seluruh gelak tawamu, dan menangis, tapi tak sehabis semua air matamu.(Kahlil Gibran)

[Pertandingan] Tekan sini untuk mengetahui lebih lanjut tentang syarat penyertaan.(Tarikh Tutup : 31 Mei)

Tuesday, May 18, 2010

Simpan Otak Dalam Karung Hitam. Bakar. Abu Lepaskan Ke Longkang - Aku Remaja Bermasalah?

Simpan otak dalam karung hitam.
Bakar.
Abu lepaskan ke longkang.
Aliran air mengalir perlahan.
Tersumbat.
Berhenti.
Membusuk.
Sendiri.


*Muka penghujung remaja, awal belia bermasalah ke?*

Teringat tentang apa yang berlaku hujung minggu lepas.
Memang membuatkan aku punya emosi yang berbaur warnanya. Kejadian yang berlaku di sekolah tatkala aku bertugas malam disebabkan punya program di sekolah membuatkan aku tertanya-tanya adakah aku kelihatan sebagai seorang remaja bermasalah. Eh, remaja kah aku?
Bukan belia ke?
Ketawa.

Malam. Aku sedang berjalan sendirian ke arah dewan untuk memeriksa pelajar sementara menunggu rakan datang semula ke sekolah. Dia pulang sebentar ke rumah atas urusan peribadi. Aku ditahan dan disergah oleh seorang fasilitator yang bertugas.

Fasilitator : Awak nak pergi mana tu? Kenapa tak masuk dewan?
Aku : Saya cikgu sekolah ini.
Fasilitator : Cikgu ke?
Aku : Ya, saya cikgu.
Fasilitator : Oh, maaf cikgu.
Aku : Tak mengapa. 

Sebentar.
Aku kelihatan seperti seorang pelajar ke?
Ketawa.

*******

Sedutan Legasi Cinta Alisia Bab 22 (masih dalam garapan)

Sesetengah orang merasakan perkara sebegitu tidak bernilai dalam kehidupan mereka. Terlalu sombong dan megah menyatakan mereka tegar menjalani kehidupan sendirian. Barangkali mereka alpa, mana mungkin manusia bisa hidup sendirian? Kehidupan dalam masyarakat, bukankah kita menjalinkan suatu bentuk perhubungan yang boleh ditafsirkan sebagai persahabatan? Manusia ini aneh barangkali, hanya mencari tatkala memerlukan, meninggalkan apabila telah cukup segalanya atau telah menemui yang baru.

Pada aku, persahabatan antara perkara yang melengkapkan diri aku, asas dalam kehidupan aku sendiri. Aku diajar, setiap persahabatan itu perlu dihargai, disayangi serta dibajai. Mana mungkin suatu persahabatan itu kekal utuh tanpa kasih sayang antara hati-hati mereka yang terikat di dalamnya? Hati dan perasaan manusia amat kompleks - bukan untuk dipandang enteng dan mudah. Sombong amat mereka yang mendabik dada menyatakan diri mereka telah lengkap dengan pakej sempurna tanpa memerlukan persahabatan.

Jika suatu persahabatan itu tidak dibajai, disirami dengan baik, bagaimana ukhuwah itu bisa mampu bertahan?. Jika ditanam anak benih tanpa melalui proses sedemikian, mustahil ia akan terjaga dengan sendirinya. Kita sendiri harus membajai, merawatnya dengan penuh kasih sayang agar benih yang disemai membuahkan hasil nanti.

Dalam menongkah arus globalisasi begini, di mana pemikiran manusia yang terkadang bertukar dangkal, dengan memilih sahabat yang betul-betul memahami serta mampu membimbing serta mengawasi kita dilihat amat perlu. Bahkan, ianya boleh dilihat sebagai suatu mekanisme dalam kita mengharungi cabaran kehidupan.
Sahabat yang baik adalah sahabat yang akan menolong serta membantu kita bukan?. Sahabat yang akan berlaku jujur terhadap diri kita. Sahabat yang akan berkata benar dalam apa jua cara dalam memastikan kita dan dia berada di paksi yang sebenar - di paksi yang diredhaiNya. Sahabat begitu yang aku rasakan aku perlu dalam hidup ini.

Alhamdulillah, sesetengah daripada mereka telah aku temui dan kami masih lagi bersama. Sahabat yang tidak pernah melupakan, malahan sering mengingatkan apa yang aku terlupa. Ukhwah itu indah jika kita bertemu dan berpisah kerana Allah.

"Jika manusia kehilangan sahabatnya, dia akan melihat sekitarnya dan akan melihat sahabat-sahabatnya datang dan menghiburnya. Akan tetapi, apabila hati manusia kehilangan kedamaiannya, dimanakah dia akan menemukannya? Bagaimanakah dia akan boleh memperolehinya kembali?"
(Kahlil Gibran)

Nota Kaki :
1. Sedang berusaha untuk menyiapkan Legasi Cinta Alisia.
2. Tersenyum membaca sesuatu yang dititipkan khas buat aku.
3. Hasil karya sang pencinta tidak terlawan oleh aku yang masih bertatih, melompat-lompat di belakang dia.
4. Titip doa pada Yang Maha Esa, biarkan aku sentisa jadi milik Empunya Marga.

Zara : Kalau kau temui insan yang sentiasa mengukir senyuman bila bicara tentang kau pada dunia, usaplah kepalanya, hinggapkan sebuah ciuman di bibir yang basah dan peluklah tubuhnya yang dambakan pelukan kasih sayang serta bisikkan kata cinta.

Cikgu, Saya Datang Meminang Cikgu Sebagai Hadiah Hari Guru Boleh?


Salam semua.
Apa khabar kalian semua?
Oh, aku masih dalam keadaan otak masuk air.
Menunggu memang satu penyeksaan tetapi ia sesuatu yang membahagiakan.
Sungguh.

Teringat pada perbualan dengan teman wanita suatu ketika dulu.

"Aku rasa aku kosong", kata B.

Aku : Aku rasa kosong bukan satu masalah.

B : Kenapa terlalu positif sejak akhir-akhir ini?

Aku : Hidup aku dipenuhi manusia terbaik.

B : Siapa?

Aku : Ramai, antaranya adalah mereka yang membaca ini.

B : Empunya Marga itu siapa? Bunga Jiwa itu siapa?

Aku : Orang yang sama, Pemilik Jiwa manusia beku ini.

*******

Semalam, sedang aku duduk di dalam dewan ketika majlis persembahan pelajar sambil menulis di Twitter dan Mukabuku, salah seorang anak murid aku galak mengusik. Aku memang mengajar kelas dia. Tatkala majlis anugerah berlangsung, dia yang menjerit kuat nama aku. Aku senyum sahaja, teletah anak murid ini kadangkala mencuit hati juga.

Murid : Cikgu, saya takde hadiah untuk cikgu.

Aku : Tak mengapa. Tak penting pun. Awak cakap Selamat Hari Guru pun dah cukup.

Murid : Apa kata saya datang rumah cikgu?

Aku : Datang rumah saya? Kenapa?

Murid : Alang-alang datang hantar hadiah, biar saya datang hantar rombongan meminang cikgu terus, sebagai hadiah hari guru.

Aku : Ceh!

*******
Bila mendengar perutusan serta ucapan yang berjela-jela sebelum tiba saat yang dinanti iaitu ikrar dan nyanyian lagu dengan bersemangat, sempat bermain-main di belakang dengan rakan-rakan di barisan aku. Oh, jangan tiru aksi kami yang nakal ini. Beri perhatian di dalam dewan ya? Ketawa.


Pisau : Liyana
Pen hitam : Fahrina
Kit Kat : Zara


Oh, ini barang dalam poket kecil beg aku ini.
Entah apa-apa sahaja yang aku letak dalam beg sekolah.

"Tubuh mempunyai keinginan yang tidak kita ketahui. Mereka dipisahkan kerana alasan duniawi dan dipisahkan di hujung bumi. Namun jiwa tetap ada di tangan cinta, teruslah hidup sampai kematian datang dan menyeret mereka kepada Tuhan..."
(Kahlil Gibran)

Nota Kaki :
1. Sudah melampiaskan rindu pada seseorang walaupun hanya sekeping pesanan ringkas.
2. Senyum bila bicara dengan seorang bapa tadi. Terima kasih kerana sudi mendengar luahan anak dara yang sedang tidak teratur otaknya ini.
3. Bakal memulakan garapan baru bila punya masa nanti.
4. Sibuk menyusun kertas peperiksaan.

Zara : Empunya Marga muncul dan membuatkan aku tersenyum sendirian. Oh, hari ini pepriksaan Tingkatan Empat dan Lima sudah bermula. 

Monday, May 17, 2010

Penerima Anugerah Guru Wanita Popular Dan Guru Baru Wanita Popular 2010 Adalah Milikku


Salam semua.
Upacara Hari Guru telah berjalan dengan gilang gemilang siang tadi.
Aku masih keletihan akibat sesuatu saat ini.
Tinggalkan kalian dengan gambar ini sahaja.
Maaf.


17 Mei 2010
Penerima Anugerah Guru Wanita Popular.
Penerima Anugerah Guru Baru Wanita Popular.
Tapi kalah di tangan Guru Lelaki Paling Kacak yang berjaya menggondol Guru Paling Popular 2010.
-_-"

*******

Bila orang bertanya tentang hati dan sebagainya, aku cuma mampu merenung jauh dan ketawa. Apa yang mereka fahami tentang hati aku? Aku akui, hanya sesetengah daripada sahabat aku yang benar-benar memahami apa yang tersirat dan tersurat dalam hati ini. Hampir bertahun keseorangan tanpa seseorang istimewa, banyak mengajar aku apa yang dinamakan sebagai kehidupan itu sendiri. Terlalu banyak yang dilalui, kebanyakannya keseorangan atau hanya bersama teman-teman seperjuangan, aku harus akur yang hidup aku dalam gelanggang dunia ini terlalu naif tetapi istimewa.

Apakah aku terlalu tamak? Kehidupan itu telah indah dengan sendirinya. Apakah aku kurang bersyukur? Aku ingin menganggap semua yang berlaku adalah satu ujian, sama ada aku akan tabah atau tidak dalam menjalani sesuatu yang dipanggil kehidupan.

Apa perlu aku merungut sendiri?. Aku melalui kegembiraan sebagai penghujung remaja yang bakal menginjak ke usia dewasa dalam beberapa bulan sahaja lagi, insyaALLAH. Aku melalui kehidupan yang indah dan ceria bersama keluarga, teman-teman kuliah, suasana dan persekitaran di mana aku merasakan di situ tempat di mana aku sesuai berada.

Cinta? Mengapa aku sering diajukan pernyataan tersebut? Pemikiran manusia masih dangkal barangkali. Pertanyaan begitu membuat aku mengingati apa yang pernah ku baca, lupa di mana coretan itu, tetapi dari Kahlil Gibran, beliau pernah menyatakan, "Jangan kau kira cinta yang datang dari keakraban yang lama, cinta adalah anak kecocokan jiwa dan jika itu tidak pernah ada, cinta tidak akan tercipta".

Hidup ini adalah mimpi buat diri aku. Aku menjalani kehidupan yang aku impikan, melanjutkan pelajaran ke tempat yang aku inginkan, apa yang aku ingin gapai, syukur kepada Yang Maha Esa, Dia telah memudahkan segala urusan aku. Aku di kelilingi oleh manusia-manusia yang memahami serta mengerti apa yang perlu dikobankan dalam menjalani sesuatu impian.

Cinta itu penawar. Benar barangkali cinta itu penawar. Kerana asakan cinta, manusia menjadi kuat, menjadi lebih tabah dalam menjalani kehidupan. Sesuatu yang indah, apa perlu lagi kita merosakkan dengan sikap yang tiada ertinya dalam kehidupan kita sendiri?. Hidup ini bukan hanya ada kita, tetapi, masyarakat serta semua komponen yang tidak harus kita lupakan.

Ampuh sekali kata-kata masyarakat terhadap nilai kehidupan seseorang itu. Itu sikap manusia, yang paling penting, bagi diriku, ambil sahaja yang membina, yang positif. Yang meruntuhkan itu, tidak perlu walaupun sedikit. Sikap yang negatif akan meracuni diri, itu adalah pasti.

Pernah aku menyatakan, aku bukan manusia yang dianugerahi kecantikan tetapi dibidas oleh seorang sahabat. Dia menyatakan aku cantik, dalam apa yang Tuhan telah jadikan. Nah! Aku terpempan dengan kata-kata itu, benar katanya. Manusia ini dijadikan dengan sebaik-baiknya, mengapa aku harus merungut lagi?

Cinta itu mengubah tingkah laku kita. Cinta itu barang kali telah merubah sikap aku sendiri. Aku menjadi manusia yang lebih bijak dalam menilai perasaan, pandangan serta harapan yang telah disandarkan kepada aku. Mungkin disebabkan cinta pertama yang telah kecundang, aku rebah seketika, ianya lebih kepada aku menilai diri ini. Cinta yang aku pertahankan terkulai, apakah daripada kesilapan aku atau si dia?

 Aku mahu mengurangkan menuding jari, barangkali ia berpunca daripadaku, siapa tahu aku bakal diuji begini tatkala gembira?. Jadi, apabila ianya terjadi sedemikian rupa, sepotong kata-kata daripada bapa telah menjadikan aku bertambah dewasa. Air mata menjadi terlalu murah pada waktu itu.

Apa yang bapa pesan padaku? - "Jika cinta itu datang kerana Yang Maha Esa, jika aku kehilangannya sekalipun, nescaya dia akan kembali. tetapi, jika cinta yang datang adalah kerana hawa nafsu, mungkin aku akan bersedih buat sementara, itu lumrah, tetapi aku akan belajar untuk melupakan dengan cepat dan tidak akan merasakannya lagi". Pesanan bapa sentiasa menjadi azimat buat diriku kini.

*******

Nota Kaki :
1. Sedang menenangkan pemikiran yang berkecamuk kerana sesuatu.
2. Gembira dengan apa yang aku lakukan sekarang.
3. Kesakitan dan kepahitan sedang aku hadam dengan perlahan.
4. Sedang merindukan seseorang sambil menzahirkan diri kerana aku terlalu percaya pada takdir yang tercipta.

Zara : Senyum sendirian melihat beberapa kepingan kenangan beku masa. Itu antara mengapa aku terus kekal tabah di dalam dunia yang semakin tua ini. Tegarkah hati, kuatkah iman? Aku cuma mampu berdoa dan berusaha serta istiqamah dalam apa jua yang aku lakukan.