Dia kata, senyum gunakan akal.
Gunakan akal disebabkan dengan siapa kita senyum, garis senyuman itu bergantung kepada ikhlas hati yang memberikannya. Mungkin juga ada yang tersenyum sampai ke telinga hanya disebabkan melihatkan seseorang yang membuatkan hati tercopot gembira. Ada juga yang ukir senyuman sinis melihatkan manusia yang wujud di depan mata mereka. Semuanya bergantung bukan?
Kepada siapa kita lontarkan senyuman.
Senyum.
Gambar : Perasaan memerlukan adalah perasaan yang bagus. Kalau kamu suka, tunjukkan ia. |
Cuaca yang tidak menentu menjadikan perasaan juga tidak menentu. Entah betul atau tidak, bila payung dibuka untuk mengelakkan hujan, entah bagaimana terik mentari pula yang memancar. Peluh menitik bukan lagi sesuatu yang aneh. Solekan tidak tanggal ibarat geisha yang mahu menari sebagai satu tanda kebudayaan dan bukannya wang, lelaki atau sake semata. Aneh, manusia disekeliling menarikan tarian pincang sebagai satu tanda penghargaan kepada alam.
Itu mungkin satu cerita lain.
Cerita disebalik satu jasad yang sedang menghitung detik kematian.
Setiap kali nafas mendesah, ketika itu dada berombak dan berlari kencang.
Nafas dilepaskan, ombak bagaikan menghempas ke tepian dan reda.
Dia hanya pemerhati sebuah drama kehidupan.
Itu cerita lain.
Sekarang.
Dia pasti.
Gambar : Kadangkala orang yang kuat adalah manusia yang paling mudah untuk kecewa dan terluka. Berikan layanan terbaik kepada mereka, kerana kita harus tahu dan percaya bahawa perasaan itu sesuatu yang rapuh. |
Ingat lagi tulisan aku tentang ini?
Anehnya manusia, kita tidak akan berubah kalau kita tidak bergerak.
Tidak kira sekuat mana kita katakan kita sudah berusaha, selagi itu hanya kata-kata, malangnya, tidak ada apa yang akan berubah. Tidak, itu bukannya sesuatu yang pelik kerana tiada siapa akan dapat mengubah nasib seseorang manusia itu kecuali dia sendiri yang mengubahnya.
Itu fakta.
D : Aku masih dengan dia.
Aku : Jadi?
D : Lama aku fikir, dia buat begitu sebab dia cinta aku sangat-sangat.
Aku : Jadi kalau kita cinta orang, kita tunjukkan dengan pukul orang tu?
D : Bukanlah sepenuhnya begitu.
Aku : Habis tu apa kau maksudkan?
D : Dia mungkin rasa tak selamat sebab aku kerja dan bergaul dengan ramai orang. Berbanding dengan dia yang masih remaja, sedang belajar lagi.
Aku : Itu justifikasi kau?
D : Aku akui kerja aku memang jumpa ramai orang, mungkin itu antara penyebab dia bertindak ganas. Akibat kurang senang barangkali.
Aku : Kalau kau cakap begitu.
D : Kau macam tak suka.
Aku : Sebab kau kata kau nak tinggalkan dia hari tu.
D : Tapi aku terlampau sayangkan dia.
Aku : Terpulang pada kau.
D : Kau tahu?
Aku : Apa dia?
D : Aku paling benci kau kata terpulang.
Aku : Sebab apa?
D : Sebab itu antara tanda kau mengalah ataupun dah putus asa nak tolong aku.
Aku : (ketawa) Kenapa aku nak tolong kau?
D : Apa maksud kau?
Aku : Kenapa aku nak tolong kau bila kau sendiri tak nak tolong diri kau?
D : Aku tak faham.
Aku : Jangan sampai kali berikutnya aku dengar berita pasal kau dari surat khabar atau berita ya?
D : Kenapa kau kata begitu?
Aku : Sedaya upaya aku tolong fikirkan cara kau boleh lari dari cengkaman manusia yang main pukul kau sesuka hati, tapi kau masih nak berpihak pada dia. Jadi, apa yang tinggal pada aku untuk beritahu kau? Tiada langsung, cuma aku boleh doa agar kau dapat cari apa kau mahukan.
D : Cara kau macam nak tinggalkan aku.
Aku : (ketawa) Kau kan kata memukul itu salah satu cara tunjukkan cinta? Aku tak cinta kau, aku tak pukul kau.
Gambar : Kalau kamu berdua banyak menghabiskan masa bertengkar, bergaduh dan bercakaran antara satu sama lain berbanding dengan bergembira dan saling menghargai antara satu sama lain, mungkin lebih baik jika kamu berdua tidak bersama dan tidak pernah bertemu. |
Sesetengah orang merasakan perkara sebegitu tidak bernilai dalam kehidupan mereka. Terlalu sombong dan megah menyatakan mereka tegar menjalani kehidupan sendirian. Barangkali mereka alpa, mana mungkin manusia bisa hidup sendirian? Kehidupan dalam masyarakat, bukankah kita menjalinkan suatu bentuk perhubungan yang boleh ditafsirkan sebagai persahabatan? Manusia ini aneh barangkali, hanya mencari tatkala memerlukan, meninggalkan apabila telah cukup segalanya atau telah menemui yang baru.
Pada aku, persahabatan antara perkara yang melengkapkan diri aku, asas dalam kehidupan aku sendiri. Aku diajar, setiap persahabatan itu perlu dihargai, disayangi serta dibajai. Mana mungkin suatu persahabatan itu kekal utuh tanpa kasih sayang antara hati-hati mereka yang terikat di dalamnya?.
Hati dan perasaan manusia amat kompleks - bukan untuk dipandang enteng dan mudah. Sombong amat mereka yang mendabik dada menyatakan diri mereka telah lengkap dengan pakej sempurna tanpa memerlukan persahabatan. Jika suatu persahabatan itu tidak dibajai, disirami dengan baik, bagaimana ukhuwah itu bisa mampu bertahan?. Jika ditanam anak benih tanpa melalui proses sedemikian, mustahil ia akan terjaga dengan sendirinya. Kita sendiri harus membajai, merawatnya dengan penuh kasih sayang agar benih yang disemai membuahkan hasil nanti.
Dalam menongkah arus globalisasi begini, di mana pemikiran manusia yang terkadang bertukar dangkal, dengan memilih sahabat yang betul-betul memahami serta mampu membimbing serta mengawasi kita dilihat amat perlu. Bahkan, ianya boleh dilihat sebagai suatu mekanisme dalam kita mengharungi cabaran kehidupan. Sahabat yang baik adalah sahabat yang akan menolong serta membantu kita bukan?. Sahabat yang akan berlaku jujur terhadap diri kita. Sahabat yang akan berkata benar dalam apa jua cara dalam memastikan kita dan dia berada di paksi yang sebenar - di paksi yang diredhaiNya.
Dalam menongkah arus globalisasi begini, di mana pemikiran manusia yang terkadang bertukar dangkal, dengan memilih sahabat yang betul-betul memahami serta mampu membimbing serta mengawasi kita dilihat amat perlu. Bahkan, ianya boleh dilihat sebagai suatu mekanisme dalam kita mengharungi cabaran kehidupan. Sahabat yang baik adalah sahabat yang akan menolong serta membantu kita bukan?. Sahabat yang akan berlaku jujur terhadap diri kita. Sahabat yang akan berkata benar dalam apa jua cara dalam memastikan kita dan dia berada di paksi yang sebenar - di paksi yang diredhaiNya.
Sahabat begitu yang aku rasakan aku perlu dalam hidup ini. Alhamdulillah, sesetengah daripada mereka telah aku temui dan kami masih lagi bersama. Sahabat yang tidak pernah melupakan, malahan sering mengingatkan apa yang aku terlupa. Ukhwah itu indah jika kita bertemu dan berpisah kerana Allah. Buat D, kau telah memilih jalan hidup kau sendiri.
Nota Kaki :
1. Sering tiada bekalan elektrik sejak akhir-akhir ini merencatkan penulisan aku secara terus ke kamar maya. Anehnya, nota tulisan bertimbun sehingga tadi aku terpaksa menepis tangan sendiri jangan menconteng dinding biru.
2. Mana bisa menolak kewujudan keluarga dalam diri, gilakah kau?
3. Oh, boleh sahaja terus mengundi di sini.
Zara : Kadangkala bila kita terlampau mengalah demi menjaga hati manusia lain, kita sendiri menanggung kesakitan yang lebih daripada sepatutnya.
7 comments:
saya masih belum jumpa sahabat seperti itu...
ade pun, dia berada amat jauh dari sini....
sedang berada di negara org...
:)
tak paham betui la orang camni..
Sayang, hati sendiri kena jaga juga. Ok?
salam kak zara..sy akan berangkat ke Bangkok pada hari Rabu..depart kt LCCT..doakan perjalanan kami selamat..~:)
"aku tak cinta kau, aku tak pukul kau"
hambekkkk! :D
anda dibuli? sila dail talian nur..:-)
Post a Comment