Sunday, May 01, 2011

Dan Separuh Nafas Mendesah Pergi


Aneh.
Dia akan jadi manusia yang terakhir tahu setiap benda tentang manusia itu. Manusia yang entah mengapa dengannya, walaupun tidak pernah bersua bisa membuatkan jantung berdebar hingga mahu terkeluar daripada kawasan sepatutnya. Degilnya hati yang sebenarnya tidak pernah berpaling daripada memerhatikan dalam diam seorang manusia pendiam. Dia tahu, dia hanya mampu perhatikan manusia itu dari kejauhan demi jarak yang dia sendiri tidak pernah masukkan dalam pengiraan.

Buat seketika, dia sangka semuanya akan berjalan baik seperti yang pernah dia lihat manusia itu merencana. Pastinya dia tidak berada dalam apa sahaja bentuk rancangan manusia pendiam itu. Hatinya lebih kepada menyukai sesuatu tetapi tidak pernah mampu meluahkan kegemaran. Satu persatu kekuatan dia cuma jalinkan supaya dia tidak kalah sebelum berjuang.

Gambar : Kadangkala dia sedar bahawa dia mencuba dalam diam yang akhirnya memakan dia kembali secara perlahan, tanpa manusia pendiam itu ketahuan.

Sekali cubaan dilakukan.
Detikan yang buat dirinya panas, berpeluh bagaikan mahu gila hanya punya balasan dari si kenit yang dia sendiri tidak kenal siapa. Hanya suara comel sahaja kedengaran di hujung talian. Dia ketawa riang menyembunyikan kegusaran hati yang sebelumnya bagaikan membahan kekuatan diri yang dihimpun selama berhari-hari dan berjam-jam.
Ketawa.

Cubaan kali kedua dilancarkan.
Kali ini suara berbeza tetapi jawapan tetap sama. Manusia pendiam itu berpergian tetapi tiada siapa tahu bila dia akan pulang ke sarang seperti yang dimahukan. Kali kedua juga memujuk hati bahawa kedegilan sendiri tidak punya harga sebab sendiri yang mencari mati. Anehnya, dia manusia yang biasanya akan mencuba sebanyak tiga kali demi kepuasan kendiri hanya menggeleng kepala apabila hati bertanyakan, bila mahu mencuba untuk kali ketiga.

Dan suatu ketika, apabila hati terdetik untuk mencuba buat kali ketiga, jawapan yang entah bagaimana timbul setelah beberapa lama menunggu membuatkan dia terduduk. Ah! Dia terlewat lagi kini. Dia menjadi manusia akhir yang tahu bahawa manusia pendiam sudah meninggalkan ibu pertiwi sekali lagi. Kali ini, dia dapat jawapan terus dengan membaca daripada manusia itu tanpa ada pengantaraan insan lain. Dia ketawa, ketawa kuat sehingga hampir merembeskan air mata yang dia sendiri tidak tahu untuk apa.
Dia manusia pelik.

Dia sering tanya dirinya sendiri, apa yang dia mahukan dari manusia pendiam yang langsung tidak tahu apa yang tersirat dalam hatinya. Termenung lima saat, dia sendiri tidak punya jawapan yang mampu dihebahkan pada dunia. Dunia tidak akan mengerti bahawa saat metamorfosis dia tidak akan kunjung tiba kerana dia sendiri masih menjadi penyimpan rahsia terbesar beberapa makhluk bernyawa termasuklah dirinya sendiri.
Senyap sunyi.

Desiran angin tiba di sisi.
Membawa hujan yang dia sukai.
Seperti selalunya dia akan berlari dan tegak berdiri.
Membiarkan hujan membasahi diri.
Sembunyikan segala keresahan hati.
Air mata mengalir dapat bersembunyi.
Tiada siapa lihat, tiada siapa perhati.
Dia pelakon terbaik pentas duniawi.

Gambar : Kata orang, kalau kita menyukai dan mencintai seseorang, pastikan mereka tahu perasaan kita. Tiada yang lebih teruk atau buruk daripada cinta yang tidak dikongsi.

Dia benci dengan diri sendiri yang penakut mahu mengejar bahagia. Dendangan lagu Empat Musim beralun lembut di dalam kamar dia yang sederhana. Lagu itu berulangkali tanpa henti sementara dia cuma menterjemahkan apa yang berlaku sebenarnya dalam hidup.  Tangan pantas menukar lagu apabila dia sudah tidak mampu mengira lagi. Tidak, dia tidak mampu untuk buat keputusan drastik yang bakal meragut segalanya pergi, lebih baik sahaja dia ketawa dan senyum pada diri sendiri.

Soba Ni Iru Ne?
Koko Ni Iru Yo?

Itu cuma sebahagian daripada fragmen hidup yang tidak sempurna.
Satu kisah yang terselit dicelah senyuman ikhlas yang terukir buat dunia.
Jeritan kesal tidak akan pernah bergema.
Dia tahu ini cuma satu babak drama.
Langkah yang canggung tanpa irama.
Angin lalu lagi dan awan terbuka.
Dia lihat matahari jenguk wajah bercahaya.
Dia berlalu tanpa seguris kilatan kecewa.
Hanya beberapa detik ketawa.
Sebelum hitam segala.
Gelap gelita.

Nota Kaki :
1. Ini hanya tulisan sia-sia cuma. Menulis dalam keadaan mata tidak mampu dibuka.
2. Melunaskan keperluan diri dan cuba memberikan sedikit kepuasan kepada kehendak.
3. Jadual bulan lima sudah mula terisi tetapi masih belum lengkap lagi.

Zara : Jangan sampai menjadi terlalu bergantung dan mengharap kerana setiap orang juga perlukan ruang untuk diri masing-masing, tidak kira apakah hubungan antara kalian dengan manusia lain secara seluruhnya. Buatkan diri sendiri diperlukan dan bukannya satu gangguan.

4 comments:

Melda Mohd said...

Nama pun manusia. Dengan apa yang dia ada, dia sering alpa.

♛ LORD ZARA 札拉 ♛ said...

@Melda Mohd

mungkin juga :')

Cik Bambam said...

"Dia pelakon terbaik pentas duniawi.'

NICE QUOTE!

kite semua pelakon kat dunia nie kan.. :)

ANISRAHIM said...

dia akan terus memerhati, sampai satu masa dia, bile dia dah letih, dia sendiri akan cari jalan untuk berhenti memerhati dan abik tahu segala hal tentang si pendiam.

kehadirannya dijadikan satu mimpi,dan perginya juga adalah satu mimpi.