Showing posts with label Varicella. Show all posts
Showing posts with label Varicella. Show all posts

Tuesday, October 13, 2009

Kadangkala Anda Akan Ketawa Bila Mendengar Jenaka Lucah : Setuju Atau Tidak Setuju?

Kadangkala hati yang sedang gundah gulana akibat penempatan tugas sebagai guru sering dihiburkan dengan telatah sahabat-sahabat yang sama-sama mengira hari bila keputusan bakal diumumkan. Dikhabarkan, insyaALLAH, 16 Oktober ini sudah boleh dilihat keputusannya walaupun ada kawan yang sudah menerima surat dan kebanyakkannya yang dihantar ke Sabah dan Sarawak.

Bila mendengar ada calon-calon yang gagal ujian INSAK dan temuduga, kami semakin pening. Hati semakin gundah gulana dan doa semakin kuat dipanjatkan pada Yang Maha Esa agar rezeki dipermudahkan. Selalu terfikir mengenai ujian yang menentukan masa depan itu.

http://i285.photobucket.com/albums/ll43/BUTTERFLY-7_2008/christmas_merry_santa_jokes_funny_y.jpg
(Gambar penghargaan di SINI)

Acapkali sering tertawa bila mengenangkan set soalan yang dijawab dan set yang dihadapi oleh kawan-kawan atau saudara mara. Mari kita lihat bagaimana anda akan menjawab antara soalan yang menjadi persoalan dalam ujian ini.

1 - Kadangkala anda akan ketawa apabila mendengar jenaka lucah. 
A -Setuju
B - Tidak setuju


2 - Anda menemui seorang kanak-kanak yang tersesat di dalam pasar raya. Apakah yang bakal anda lakukan?
A - Pergi ke kaunter dan menyerahkan kanak-kanak tersebut.
B - Mencari ibu bapa kanak-kanak tersebut di dalam pasar raya.


3 - Jika anda diberi satu peket mi segera,bagaimana caranya akan anda masak mi tersebut?
A - Gunakan perencah sedia ada.
B - Sediakan sendiri perencah.

Mungkin terdapat justifikasi tertentu bila menjawab soalan-soalan di atas. Entah, aku kurang pasti mengenai hal tersebut. Hati sekarang sedang meronta mahu bekerja dan menyemai bakti setia buat keluarga.

Zara : Abang yang berseragam biru-putih-merah, sila datang ke rumah dengan membawa surat secepat mungkin untuk mengubati hati yang berdegup laju dan jantung yang mengepam saluran darah. Mangsa ayam bintik ini sudah tidak dapat menahan ketakutan.

Monday, October 12, 2009

Hati, Langit, Payung Dan Aku

Hati selalu berasa runsing jika melihat langit sebelum keluar setiap pagi.
Adakah ini langit yang sama sedang ditatap oleh dia?
Adakah saat ini langit itu bakal membawa bahagia atau sengsara?

Selalu terfikir wajarkah membawa payung atau tidak?
Sebenarnya hati dan minda sudah lama mengetahui iaitu tetap akan membawa payung...



Manusia belajar melalui pengalaman yang telah berlalu, kekalahan dan kesalahan boleh dielakkan jika dapat bertahan pada waktu itu. Tiada istilah kekalahan jika dapat bertahan dengan beban ketika itu. 

Mungkin kerana inilah, payung yang aku fikir membawa kebahagiaan dan kemenangan adalah beban yang lebih berat dari sangkaan aku.

Zara : Usai melihat mentari hari ini, aku mengimpikan Bumi disirami hujan yang membasahi setiap inci tanah dengan kasih sayang. Hati sedang kering dan pipi sudah tidak pandai untuk basah lagi. Terima  kasih anggota tubuh badan yang sanggup bekerja demi menghargai sebuah nyawa.

Sunday, October 11, 2009

Varicella : Bintik Ayam Merah Jambu Dan Ada Apa Dalam Balang Itu Sayang?

Aku terima panggilan telefon dari teman wanita yang kini isteri orang.

B : Zara, aku dapat tahu kamu kena bintik ayam yang berwarna merah jambu itu?
Aku : Ya, dan memang sangat sakit. Sila panggil aku Aiden. Emosi aku kurang stabil.

http://www.geocities.com/wela/ChickenPoxBabyCartoon.jpg
B : Bila sakit tukar nama ke sayang? Jangan begitu. Kamu masih kekasih aku.

Aku : Ya, aku harap begitu juga. Bagaimana hidup kamu?
B : Maksud kamu selepas kahwin?
Aku : Atau kamu sudah bercerai tanpa pengetahuan aku?
B : Mulut sungguh keji ya?
Aku : *gelak kecil* Jadi bagaimana?
B : Sungguh menggembirakan dan Jejaka memang sangat baik. Semalam dia bercerita tentang kawan dia yang mengingatkan aku pada kamu.
Aku : Apa dia?
B : Hati dalam balang (sila tekan untuk pembacaan lanjut) - aku percaya kamu masih ingat tentang itu.
Aku : Oh ya, aku masih ingat lagi. *gelak*
B : Jejaka beritahu yang kekasih kawan dia berikan bintang yang dilipat dalam balang sebagai kejutan di pagi hari. Jejaka tanya, apa aku akan beri pada dia.
Aku : Sudahnya, apa yang kamu cakap?
B : Aku senyap sahaja tapi pagi ini aku sudah letakkan sesuatu dalam balang buat dia.
Aku : Apa dia?
B : Aku letak jeruk sahaja. Senang.
Aku : *ketawa* Aku harap yang manis untuk buat dia tertawa.

http://baby411.typepad.com/.a/6a00d834b8c97353ef010536ccd518970c-800wi
(gambar penghargaan di SINI)

Zara : Selamat Ulang Tahun buat penulis blog yang aku panggil Jambu - Kriell. Sungguh rindu mendengar suara kamu tadi! Terima kasih dan semoga panjang umur, murah rezeki dan sentiasa gembira.

Saturday, October 10, 2009

Varicella - Namamu Indah Tetapi Kamu Membunuh Hidup Aku Secara Perlahan Penuh Kesengsaraan Duniawi!

Nama seperti seorang wanita yang anggun dan bisa membuat sesiapa sahaja tertawan dengan kelembutan namanya. Ah, ada apa dengan nama? Tinggalkan dia untuk membentuk satu kafarah atas perbuatan makhluk lain yang berjalan di atas bumi yang semakin tua? Kehadiran kamu lebih mengerikan dari si penghisap roh yang aku baca dalam siri kegemaran aku. Sekurang-kurangnya Dementor itu hanya mencium sekali sahaja.

http://pe.elmstreet-online.com/shop1/catalog/images/NC49100_Dementor.jpg
(Gambar penghargaan di SINI)

Acapkali aku gemar menikmati hujan yang membasahi bumi tetapi dek kerana kau Varicella, kamu buat aku mengurung niat, memasungkan diri dalam bilik kotak empat persegi - meredhakan diri berbaring dijilat kesejukkan pagi. Demi apa Varicella? Demi ketahanan tubuh yang dimamah oleh kamu yang durjana! Ah, kamu datang tanpa diundang, tetapi kehadiranmu mengulit setiap inci organ terbesar manusia.

http://www.nih.gov/news/research_matters/october2006/images/shingles_l.jpg
(Gambar penghargaan di SINI)

Aku lihat seorang demi seorang saudara sedarah dagingku kau mamah dengan kejam dan mereka menderita berminggu lamanya. Menahan kesakitan sehingga tidur malam yang seharusnya lena telah kamu renggut dengan pembiakan kamu yang tidak terkawal gilanya. Selama berminggu aku melakukan yang terbaik untuk mengelakkan diri bertemu kamu, tetapi akhirnya kamu lekat juga di tubuh aku!

Kali pertama aku lihat diri yang selalu gagah dalam apa jua keadaan yang menimpa tewas menyungkur Bumi. Bumi yang semakin kehilangan tanda pengenalan diri. Tubuh yang dahagakan tidur yang lena sudah mula diganggu mimpi ngeri, selalu yang tiada siapa mahu dihiasi! Lupakan tentang selera menjamah juadah kerana apa yang terhidang sudah bukan sesuatu yang bisa diletakkan di tunas rasa lagi! Terlalu banyak yang kamu renggut dari aku durjana!

Kalau sepasang kekasih melaungkan "Makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena", itu yang aku hadapi setelah dilewati kamu. Jangan kata mandi tidak basah, hatta menyentuh air mahu membasahi tubuh juga dikatakan satu larangan kerana engkau yang hidup menggila dalam salur darah aku ketika ini! Sakit tidak terperi! Bila engkau mula membiak, tiada apa yang dapat menahan kamu lagi. Berikan aku dadah terbaik juga tidak dapat mengurangkan kesakitan ini.


Bintik-bintik merah jambu yang kamu hasilkan demi menunjukkan kamu menguasai wilayah tubuh aku sudah mula bertambah. Habiskan hidangan terbaik dari aku yang sudah hidup selama dua puluh dua tahun di atas Bumi ini. Hinggapi aku sekali ini tetapi sila pergi tanpa meninggalkan kesan yang bisa merobekkan hati dan jantung aku selepas dua minggu dari sekarang.

Jika semalam aku masih bisa duduk, tetapi malam tadi sudah kamu renggut dari aku.
Jika semalam aku masih boleh bersandar, tetapi itu sudah kamu rampas dari aku.
Jika semalam aku masih boleh berbaring selesa, malam tadi kamu memaksa aku terjaga.
Kini pilihan terakhir aku hanya meniarap dan jika itu pun kamu kuasai, aku hanya mampu berdiri.



Zara dan Aiden : Terima kasih atas doa yang kalian utuskan buat aku. Maaf, keadaan diri bertambah lemah, minda  bertambah kusut, emosi semakin terganggu. Aku cuba menceriakan diri dengan melewati rumah-rumah kalian yang sentiasa memberangsangkan nyawa aku menghirup nikmat Tuhan Yang Maha Esa. Moga aku tabah, moga ini menjadikan aku lebih kenal diri aku sebagai seorang manusia biasa.


::Tanda pengenalan terbaru aku di dunia maya ini::