Salam semua.
Sekarang semua lepasan SPM yang menerima tawaran untuk menghadiri temuduga sibuk mencari maklumat bagi membuat persediaan duduk berdepan dengan siri soalan yang menimbun serta mungkin sedikit menakutkan, walaupun sebenarnya tidak ada apa yang perlu ditakutkan. Jawapan semua dah boleh dibaca, tapi soalan apa yang akan ditanya sahaja yang tidak akan diketahui sehinggalah duduk di kerusi panas itu kan?
Ketawa.
Kerjaya.
Setiap orang mengimpikan kerjaya pilihan masing-masing. Tipulah kalau manusia tiada impian dalam hidup. Tiada hala tuju dan sentiasa mengikut ke mana ara angin bertiup. Kendatipun, benda itu akan membuatkan manusia sedemikian tersentak apabila angin yang bertiup, bayu yang menghembus, terberhenti dan menyebabkan mereka terjatuh ke bawah. Kesakitan itu bahkan akan menyedarkan mereka bahawa manusia tanpa arah hanya akan menjadi penunggang atau penumpang yang tidak diperlukan.
Sakit?
![]() |
| Gambar : Pernahkah kita luangkan sedikit masa, sejenak barangkali untuk memikirkan apa kehendak dan keperluan kita? |
Bila melihatkan ada dikalangan manusia yang aku kenal sedang bertungkus lumus mahu meneruskan pengajian dan memilih bidang yang mereka mahukan, aku ketawa riang melihatkan suatu ketika dahulu aku pernah berhadapan dengan perkara sedemikian. Berbincang kononnya dengan kaunselor (yang mana aku tidak bersetuju langsung), dengan keluarga dan melihat kepada beberapa faktor lain yang membawa kepada siapa aku hari ini.
Siapa yang dapat menyangkal, memenuhi impian dan membuat pilihan berdasarkan apa yang dimahukan adalah yang menjadi kehendak setiap manusia. Kita memilih untuk melunaskan apa yang kita mahukan, maka, semoga diakhirnya kita akan menemui apa yang dipanggil kepuasan. Minat dalam bidang Kimia, dapat belajar tentang Kimia dan menjadi ahli kimia, itu akan menjadi kepuasan dan kegembiraan manusia yang mempunyai minat sedemikian rupa. Tapi bagaimana kalau kemahuan kita mendapat tentangan manusia disekeliling kita? Keluarga contohnya?
Aku adalah anak yang pernah melalui sebahagian daripada itu. Tamat SPM, aku ke sekolah untuk mengambil keputusan peperiksaan dan mendapatkan khidmat kaunselor seperti yang disyorkan oleh beberapa orang dan berakhir dengan aku buat keputusan mengikut permintaan keluarga. Aneh kan?
Aku : Saya nak ambil pendidikan (masa ni nak isi BPG)
Kaunselor : Tak payahlah.
Aku : Eh, kenapa cikgu?
Kaunselor : Tak payah ambil pendidikan. Dengan keputusan yang awak dapat, membazir jadi cikgu. Ambil benda lain.
Aku : Saya ada isi matrikulasi juga hari tu.
Kaunselor : Kalau dapat UPU atau matrikulasi, pergi sahaja. Tak payah ambil pendidikan. Jadi cikgu, membazirkan masa depan awak sahaja.
Aku : Eh?
Satu pendapat yang aku rasa kurang sesuai. Sampai sekarang aku kalau ternampak kaunselor tersebut, aku akan tersenyum sinis dan nipis. Ya, aku sekarang seorang guru dan aku merasakan, hidup aku lebih baik daripada apa yang sepatutnya. Seorang guru bahkan patut memartabatkan profesion keguruan, tetapi dengan ayat yang pernah dia lontarkan pada tahun 2004, aku ternyata merasakan aneh, masih ada manusia yang sedemikian rupa. Ah, mungkinlah masa itu pendapat dia masih kurang matang.
Ya, aku cuba positifkan diri.
Eh?
Masuk ke matrikulasi dan menjalani kehidupan di sana. Bila hampir ke penghujungnya, tiba masa untuk menentukan hala tuju kerjaya. Sebagai budak yang entah kenapa tersampuk dengan kehebatan UTM sejak daripada Tingkatan 5, aku menetapkan, aku mesti mengambil bidang kejuruteraan di sana. Tidak kira, aku mesti mengabulkan impian aku masuk ke UTM. Tapi ternyata, Bonda lebih mahukan aku menjadi pendidik dengan sasaran, perempuan yang mengambil kejuruteraan akan sukar bersaing dalam pasaran kerja, lebih-lebih lagi yang aku mahukan adalah kejuruteraan kimia gas dan petroleum. Perbualan antara aku dan Bonda boleh dilihat di sini. Ala, masa Abah berikan ayat makan dalam pada aku dulu.
Ketawa.
![]() |
| Gambar : Sukar juga mahu mencapai cita-cita. Banyak menempuh onak dan ranjau kan? Eh! |
Melihatkan apa yang aku lalui, aku ketawa besar apabila ada orang yang menjadikan sasaran impian menggunung sebagai salah satu sebab mahu mengikuti jurusan yang mereka mahukan. Ya, itu ketawa ikhlas sebab mereka tahu dan berjaya memburu apa yang mereka mahukan dalam hidup. Yang mahu menjadi doktor, mengambil jurusan perubatan dan kini kalau mahu bertemu mereka, haruslah ke hospital disebabkan kekangan waktu untuk berjumpa dan sebagainya. Kawan-kawan lain yang berjaya mencapai apa mereka mahukan juga ada.
Senyum.
Cuma, ada juga yang tidak dapat apa yang mereka mahukan. Atas dasar pasaran kerja yang menghimpit, ternyata, jurusan yang mereka ambil dengan membanting nyawa sewaktu di pusat pengajian tidak dapat digunakan. Salah satu pilihan yang ada adalah dengan menyambung pengajian dan cuba mendapatkan yang lebih baik tentunya. Tetapi, akibat pasaran kerja, ada yang terpaksa kerja dengan apa sahaja yang mereka terpaksa dapatkan demi kelangsungan hidup. Ah, bukan aku tak bisa dengar orang kata, "Tak boleh memilih kerja sekarang ni. Asalkan ada kerja dah cukup".
Kan?
Ada sahaja.
Tetapi yang menyakitkan apabila ada orang yang memasuki bidang perguruan sebagai langkah terakhir selepas mereka tidak dapat apa-apa pekerjaan. Kerjaya sebagai guru dipilih sebagai kononnya paling senang mahu mendapatkan pekerjaan dan kerjanya konon mudah. Tiada hati mahu bekerja sebagai seorang guru, tetapi memilih kerjaya ini hanya disebabkan sudah tidak dapat apa yang dimahukan. Kerja hanya disebabkan duit, bukan impian ataupun keinginan mahu mendidik anak bangsa.
Getir.
Sakit melihatkan senario sedemikian berlaku di hadapan mata. Jadi apabila aku lihat perbualan mengenai pemilihan menjadi guru di hadapan mata aku, aku hanya kulum kata-kata dan paparkan senyuman penuh pura-pura di hadapan semua orang.
Budak : Tak nak jadi cikgu.
Orang tua : Jadilah. Senang dapat kerja.
Budak : Jadi cikgu bukan impian saya.
Orang tua : Sekarang bukan kira impian, sekarang pasal kerja.
Budak : Kawan-kawan lain semua ambil akaun, ekonomi, perniagaan, kejuruteraan.
Orang tua : Jangan degil. Nanti habis belajar tiada kerja.
Budak : Jadi cikgu nanti terkongkong.
Orang tua : Kenapa?
Budak : Jadi cikgu semua tak boleh buat. Jadi skema.
Orang tua : Mana ada?
Budak : Jadi cikgu mana boleh pakai seluar jeans semua.
Orang tua : Itu yang kau fikir?
Apa yang aku fikir?
Tak payahlah jadi cikgu kalau berfikiran jumud begitu.
Noktah.
Nota Kaki :
Ada orang kata aku dah jadi hamba kerja. Macam betul pula sebab aku sekarang bekerja dari Isnin hingga Ahad. Gila kan?
Zara : Belum jumpa apa yang aku mahukan. Tunggu sahaja masa yang sesuai.




























