Salam semua.
Terima kasih atas doa yang kalian titipkan buat aku.
Terima kasih atas tiupan semangat yang dikirim pada angin bayu.
Mari kita ikuti pengalaman aku hari ini.
7.10 pagi
Sudah tiba di Jabatan Tenaga Kerja Muar.
Temuduga aku bermula jam 7.30 pagi.
Ditakdirkan aku masuk ke Bilik Temuduga 1 - yang merupakan neraka bagi sesiapa yang masuk.
Sesi setiap orang tidak akan kurang daripada tiga puluh minit.
Dan aku manusia terakhir untuk sesi 7.30 pagi (aku masaku jam 11.30 hingga 12.00 tengah hari)
Manusia ke-9, walhal calon-calon untuk sesi 10.30 pagi sudah menunggu.
Alahai.
Penemuduga aku kelihatan seperti ini, aku bukan macam perempuan itu.
Aku calon terakhir, manusia ke-9 untuk Bilik Temuduga Satu melangkah masuk selepas mengucapkan salam. Meletakkan fail di atas meja penemuduga dan berdiri di tepi kerusi hingga dipersilakan duduk. Tas tangan aku letakkan di tepi kerusi dan pandang tepat pada penemuduga sambil tersenyum.
Penemuduga : Cikgu, ini nota ke? (sambil unjuk buku lakaran aku)
Aku : Eh, maaf Tuan Haji.
Penemuduga : Buat nota juga cikgu?
Aku : Saya percaya pada persediaan sebelum buat sesuatu.
Penemuduga : (senyum) Bagus cikgu.
Aku letak buku lakaran yang mempunyai nota di bawah berdekatan dengan tas tangan. Menghadap muka penemuduga yang sedang menyemak butiran aku. Sambil itu dia berceloteh bertanyakan apa yang terkandung di dalam fail peribadi aku.
Penemuduga : Ini gambar cikgu dalam kad pengenalan?
Aku : Ya saya.
Penemuduga : Lain dari gambar pasport.
Aku : Itu waktu saya umur 18 tahun, gambar pasport umur 22.
Penemuduga : Yang depan saya ni pun lain.
Aku : Hari ini saya pakai cermin mata.
Selesai dengan pengenalan yang agak santai (walaupun khabarnya calon-calon lain sebelum aku tidak dapat peluang begini) sesi menghentam dan merisik pengetahuan bermula. Soalan pertama sudah cukup sakit.
Penemuduga : Cikgu mengajar di sekolah dalam Felda kan?
Aku : Ya saya.
Penemuduga : Apa nama penuh FELDA cikgu?
Aku : Ha?
Baiklah, soalan pertama sudah buat aku pitam. Macam-macam aku teka, F untuk apa, E untuk apa, L untuk apa, D untuk apa, dan A untuk apa. Itu soalan pertama yang buat aku gelak-gelak kasar di dalam bilik yang sepatutnya dikategorikan sebagai bilik maut dengan soalan.
Penemuduga : Cikgu, cikgu datang temuduga untuk jawatan apa?
Aku : PPPS Gred DG41.
Penemuduga : Apa itu?
Aku : Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41.
Penemuduga : Apa tugas sebagai guru ya?
Aku : (mulakan aksi menggoreng)
Pelbagai aspek sudah aku sentuh. Banyak tentang dasar dan sebagainya, Memang menyentuh jiwa juga soalan-soalan yang diberikan. Seperti tidak mahu meluluskan orang sahaja, tapi aku dengan senyuman terukir di wajah menjawab setiap soalan yang diberikan tanpa mengubah lukisan wajah.
Penemuduga : Cikgu, dah berapa lama menjawat jawatan sekarang ini?
Aku : Alhamdulillah, lebih kurang enam bulan sejak 26 Oktober 2009.
Penemuduga : Mengapa memilih menjadi guru sedangkan kalau ikut keputusan peperiksaan cikgu layak memilih bidang lain?
Aku : (sudah menyusun ayat dalam kepala)
NKRA (National Key Result Area - Bidang Keberhasilan Utama Negara)
Penemuduga : Cikgu, apa dia NKRA?
Aku : National Key Result Area atau Bidang Keberhasilan Utama Negara. Diperkenalkan pada 27 Julai 2009 oleh Perdana Menteri kita dan mempunyai enam teras.
Penemuduga : Amboi cikgu. Baru tanya apa maksud NKRA, dah jawab semua.
Aku : (sengih)
Penemuduga : Berikan enam teras tersebut termasuk pecahan teras bagi teras ketiga.
Aku : (menghuraikan setiap satu)
PIPP - Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
Penemuduga : Apa yang cikgu tahu tentang PIPP?
Aku : Pelan Induk Pembangunan Pendidikan.
Penemuduga : Bila diperkenalkan?
Aku : Tahun 2006 hingga 2010
Penemuduga : Boleh berikan saya teras-teras di dalamnya?
Aku : (sebut enam-enam ikut turutan)
Penemuduga : Sila pilih satu untuk dihuraikan lebih mendalam.
Aku : Teras kelima iaitu memartabatkan profesion keguruan.
Penemuduga : Sila terangkan.
Aku : Dewasa ini ramai yang memandang enteng kerjaya guru.
Penemuduga : Apa perkataan yang cikgu guna?
Aku : Enteng, macam pandang rendah maksudnya.
Penemuduga : (senyum)
Aku : (sambung meghurai dengan mendalam)
Teori pembelajaran.
MEB (Model Ekonomi Baru)
Tonggak Dua Belas
Pedagogi yang aku laksanakan di dalam kelas.
Pendekatan bersama pelajar dalam belajar.
Konsep Gabung-Jalin (nasib baik sudah telefon Abah pagi tadi)
Nama-nama menteri Kabinet, Menteri-menteri Besar.
KPI (Key Performance Indicator - Bidang Pengukuran Prestas)
GPS (Gred Purata Sekolah - cara pengiraan)
Headcount (TOV, ATR, ETR)
Penemuduga : Cikgu dulu ambil Kimia kan?
Aku : Ya, saya.
Penemuduga : Walaupun cikgu dah ajar macam-macam sekarang ini, boleh cikgu beritahu saya, bagaimana pemanasan global boleh terjadi?
Aku : Ini salah satu cabang daripada Kimia Alam Sekitar yang saya pelajari (mula menggoreng teori)
Setelah beberapa minit.
Penemuduga : Cikgu, kalau manusia bernafas, apa yang dikeluarkan?
Aku : Karbon dioksida
Penemuduga : Siapa yang serap karbon dioksida?
Aku : Tumbuhan, pokok-pokok.
Penemuduga : Jadi, alam sekitar kita tidak seimbang?
Aku : Hakikatnya tidak. Mana boleh melahirkan begitu ramai manusia tetapi tidak menanam semula pokok-pokok yang ditebang kan?
Penemuduga : (senyum)
Eh, fakta kan yang aku berikan itu?
Ketawa sendirian bila memikirkan betapa aku sungguh gila seperti itu dalam situasi genting.
Penemuduga : Saya ada satus soalan bonus untuk cikgu. Dapat jawab cikgu boleh kahwin. Kalau Johor siapa ketua agama Islam?
Aku : Sultan.
Penemuduga : Bagus. Kalau Melaka?
Aku : Yang Dipertua Negeri Melaka.
Penemuduga : Cikgu tak boleh kahwin.
Aku : Eh, kenapa?
Penemuduga : Yang Di Pertuan Agong jawapannya cikgu.
Aku : Baik. Eh, saya orang Johor, kalau kahwin di Johor juga Tuan Haji. (Ayat aku keji ke?)
Penemuduga : (ketawa)
Dan aku jadi senang hati walaupun debaran makin kencang dirasai sambil mata menjeling jam tangan. Bila mahu berakhir? Sudah hampir tiga puluh minit aku di dalam bilik yang sejuk itu sambil mengukir senyuman tidak henti-henti. Ya, aku kalau gementar memang kegilaan makin menjadi-jadi gembira di hati.
Penemuduga : Cikgu, sampai sini sahaja sesi kita.
Aku : Ya, baik. Terima kasih Tuan Haji.
Penemuduga : Sama-sama cikgu. Cikgu, saya kagum dengan awak.
Aku : Eh, kenapa?
Penemuduga : You're a very jovial teacher (Awak guru yang penuh sikap humor dan menggembirakan). Awak satu-satunya calon guru yang tidak sentap, emosi terkawal dan tidak mengalah bila diajukan pertanyaan.
Aku : Terima kasih Tuan Haji.
Aku menerima pujian itu dengan senang hati sambil tersenyum lebar keluar dari bilik temuduga. Berlainan sungguh reaksi aku dengan lapan orang sebelumnya. Soalan-soalan berbentuk fakta yang membunuh itu bukan sesuatu yang akan mematikan senyuman aku buat masa ini. Ah, apalah sangat soalan-soalan yang ditanya dengan cabaran yang aku terima penuh hinaan di dunia maya kan? Ketawa.
Alhamdulillah, walaupun penuh dengan rintangan, aku berjaya melaluinya dengan tabah. Keputusan mungkin akan diumumkan dalam masa tiga bulan. Doakan aku berjaya agar aku mampu melangkah ke peringkat yang seterusnya. Induksi dan BTN, sila tunggu kehadiran aku ya?
Nota kaki :
1. Bercadang untuk menyambung Legasi Cinta Alisia Bab 18.
2. Sudah membeli sabun mandi yang baru.
3. Membuat persediaan untuk ke Mersing pada 7 hingga 9 Mei ini.
4. Terkilan tidak dapat mengiringi pelajar ke pertandingan catur peringkat negeri di Kulai. Jatuh pada tarikh yang sama perlu ke kursus di Mersing.
Zara : Terima kasih atas sokongan, kasih sayang yang kalian curahkan buat aku. Terima kasih atas doa dan semangat yang kamu berikan. Terharu dengan surat elektronik, Twitter, pesanan di Mukabuku dan sebagainya yang aku terima. Kalian tetap di hati ini.