Hari ini sudah 1 Februari.
Semakin lama semakin pendek masa yang dipinjamkan untuk berada dibawah jagaan mereka yang melahirkan, membesarkan serta mendidik sehingga sekarang ini dan aku percaya mereka tidak akan menolak untuk terus bersama kerana hubungan itu akan sentiasa ada dan aku tidak akan pernah lari dari mereka. Sudah tentu, doa untuk terus kekal dalam lingkungan yang sama situasi yang sama sentiasa aku pohonkan dari Yang Maha Esa.
Bila mana masa semakin suntuk, aku cuba untuk hargai setiap detik yang dilalui. Mungkin aku kurang pandai untuk tunjukkan secara terang-terangan, tetapi disebalik setiap tindakan, aku cuba beritahu mereka bahawa aku masih lagi kepunyaan mereka dan sentiasa akan menjadi kepunyaan mereka walaupun hakikat itu mungkin akan berubah apabila masa itu tiba. Ternyata, aku seorang yang tidak dapat membayangkan segala apa yang diberitahu oleh guru sewaktu sekolah agama dahulu - aku perlu (akan) hadapi dalam masa yang bakal ditentukan lagi.
Sudah tentu aku sangat berterima kasih dengan mereka. Memberikan aku peluang untuk memilih jalan dalam hidup aku sendiri buat pertama kali - memberikan kepercayaan yang bukannya mudah, alangkah memilih kursus pengajian juga ditentukan - tetapi kali ini, keputusan yang bakal mengubah kehidupan aku sepenuhnya (?) - tetapi aku harap aku kekal sama - diberikan ruang untuk aku memilih, menentukan apa aku mahukan, dengan mengambil kira perasaan aku.
Ternyata, celaka sungguh pemikiran aku suatu masa dahulu - tatkala kawan-kawan masa zaman persekolahan dan pengajian dapat berkongsi semua benda dengan ibubapa mereka dan aku berasa sedikit kecewa kenapa aku tidak boleh melakukan sedemikian (maaf Abah Emak) - sudah ditebus dengan sejak aku mula bekerja dan aku mampu berbicara dengan lebih baik dengan mereka. Benda yang memang sepatutnya dibualkan pada usia yang seharusnya boleh dibincangkan dengan secara terbuka (nampaknya aku bergerak menerusi zaman, orang lain yang lebih maju dari aku dahulu). Eh.
[Instagram aku] |
Dipinjamkan aku banyak benda dari aku lahir ke dunia sehinggalah sudah berusia 25 tahun ini - tiada kata yang mampu diucapkan selain Alhamdulillah, memberikan aku peluang yang bukan sedikit untuk belajar dan terus belajar tentang semua benda yang wujud atas dunia. Mengenali, berkenalan, dikenali dan sebagainya - sehingga mendapatkan persetujuan daripada mereka yang membesarkan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.
Bongkaknya manusia kalau mereka boleh kata yang mereka mampu hidup tanpa manusia lain. Sekurangnya, kalau aku dulu pernah jadi 'lone wolf' di zaman pengajian, aku tidak pernah menolak kepentingan manusia lain dalam hidup aku. Bagaimana aku mampu untuk belajar tanpa pensyarah? Bagaimana aku mampu untuk makan tanpa peniaga makanan? Bagaimana aku mampu untuk membuat salinan buku tanpa ada mesian pencetak yang dipunyai oleh manusia juga?
Nah!
Mana boleh lakukan sedemikian rupa. Begitu juga apabila aku mula memikirkan, apakah aku mampu untuk terus hidup sendirian tatkala satu demi satu perjalanan cerita menemui noktah sebelum sempat bermula. Adakah senyuman masih boleh diteruskan tatkala anak-anak rakan sudah mula menemui aku dan memanggil aku cikgu? Adakah senyuman masih boleh terukir tatkala anak-anak kepada anak murid aku juga memanggil aku cikgu? Heh!
Sukar untuk aku bayangkan untuk melalui usia sedemikian rupa - walaupun banyak perancangan dalam kepala sekiranya aku perlu melalui itu semua. Hello, kalau Plan A tidak berjaya, kita ada sampai plan Z. Kalau Plan Z tidak berjaya, kita boleh buat Plan macam nombor pendaftaran kenderaan.
Apa pun, Februari sudah tiba.
Semoga yang baik-baik sahaja untuk kita semua.
Jaga diri.
3 comments:
:)
tak sabar.
selamat berusaha di Februari...
helo februari!
be nice to us :)
Post a Comment