Tuesday, November 06, 2012

#17 : Ini Cerita Seorang Perempuan.


Menjalani hidup yang biasa-biasa, dengan pekerjaan yang biasa-biasa, tetapi dikelilingi oleh manusia yang hebat menyebabkan aku rasa sedikit terkebelakang bila mengenangkan taraf pendidikan aku hanya sekadar apa aku dapat pada tahun 2009. Bukan tidak mahu melangkah ke peringkat lebih tinggi, tetapi mungkin masih belum punya rezeki mahu bergerak sendiri - meninggalkan identiti sebagai pelajar kampus Kerana Tuhan Untuk Manusia dan ke tempat pengajian lain. Khabarnya, perlukan sokongan yang kuat daripada institusi yang mahu dilamar. Tunggu sahaja, aku pasti akan kembali untuk meneruskan minat dan impian.

Sudah hampir tamat sesi persekolahan tahun ini. Dalam minggu terakhir ini, aku masih perlu menghadiri kursus 1Murid 1Sukan setelah aku berjaya mendapatkan pengganti untuk bertugas sebagai pengawas peperiksaan. Banyak benda yang dihadapi dalam mencari pengganti - di saat ini kita tahu mana kawan, mana cuma sekadar bersama kita untuk meminta pertolongan serta melihat kuasa kroni dan kabel serta wang dalam urusan hidup. Tidak mengapa. Yang sudah mahu menolong aku, aku sangat berterima kasih teramat sangat. Moga beliau dikurniakan kesihatan yang baik-baik sahaja kerana selalu dengan senang hati membantu kawan-kawan yang susah.

Tekanan mula dirasai mengenangkan entah apa yang aku cuba buat dalam hidup kali ini. Satu persatu bagaikan ada yang tidak kena. Ya, kebelakangan ini hidup sangat tertekan dan pengambilan kafein aku dalam keadaan tidak terkawal. Ah, jangan sampai aku tuang isi Nescafe atas meja dan sedut guna hidung! (Apa kau ingat Nescafe tu serbuk marijuana?) Aku duduk minum kopi seorang diri sambil kira rintik hujan - mengelamun memikirkan apa yang aku hadapi ini atas apa yang aku suka ataupun aku berlari mengikut keadaan semasa - entahlah. Tapi mengenangkan aku kenal diri sendiri, aku percaya dengan apa aku mahu saat ini walaupun tekanan sangat membuatkan aku hilang diri.

http://farm3.staticflickr.com/2705/4513904242_8b5c8cbde4.jpg
[Sumber gambar]

Hujung minggu semakin tidak sama. Entah, ujian datang satu demi satu. Mungkin mahu menguji sama ada aku cukup baik sebagai manusia ataupun tidak. Aku sudah terlupa betapa sakit melihatkan nama manusia yang bikin nyawa bagaikan ditarik, hati bagai dihempas tapi ya, barangkali Tuhan masih mahu lihat sama ada aku benar-benar redha atau pasrah atau apa sahaja - maka Dia hantar ujian tersebut. Ternyata, hati aku masih belum sampai satu tahap dimana ia mahu mengikut kata mulut. Tak berjaya aku pengaruhi hati sendiri dengan mendikirkan kata semangat buat diri sendiri. Ah! Hati masih macam dulu, apa sahaja yang terlintas, terus sahaja ditunjukkan di wajah. Tak pernah berjaya mahu buat yang sebaliknya. Aneh, tapi segumpal darah merah itu setakat ini sudah terlalu kebal dengan ujian jiwa. Cedera, bangkit, cedera, bangkit dan anehnya, masih mahu berfungsi dan merasai nikmat dunia. Iya, degil macam tuannya. Heh!

Perempuan lemah dengan kata manis kononnya. Entahlah. Aku sendiri tidak boleh menjawab persoalan sedemikian rupa. Aku bersama dengan orang yang menerima aku seadanya. Tiada kata gula-gula ataupun apa yang dikatakan bersalut madu dan manisan enak. Mungkin hanya ada perisa kopi barangkali yang menyebabkan adrenalin sentiasa berada di tahap paling tinggi. Oh, kadangkala turun juga bila emosi berjaya membenam tidak tentu hala. Pening kepala tentunya dengan diri sendiri, tapi itulah, bak kata Nakama semalam - Berusaha untuk berubah, untuk jadi seseorang yang bukan lagi seperti ketika ini. 

Aneh sahaja.
Belum berjaya hadam semua.

2 comments:

Cik bunga mawar said...

saya suka entry ni, sangat mendalam...

*kita sedang berada dikondisi yang sama tapi dalam situasi yang mungkin sedikit berbeza.

takky said...

inilah kak z yg saya kenal....
always motivated when prob come...
rindu dgn entri mcm nie...
pape pun...
chaiyok kak z...
smoge kak berjaya tempuh ujian2 yg sedang dan akan berlaku nanti...
^O^