Showing posts with label Merdeka. Show all posts
Showing posts with label Merdeka. Show all posts

Tuesday, August 31, 2010

31 Ogos 2010 - Selamat Hari Kemerdekaan Ke-53 : 1 Malaysia Menjana Transformasi | Perarakan


Salam semua.
Salam!

Salam sejahtera.
Salam sejahtera!

Salam 1 Malaysia.
Malaysia 1.

Baiklah, itu cara bagaimana kita harus menjawab apabila seseorang menghulurkan ucapan sedemikian di dalam majlis. Protokol sedemikian diajar di kem yang aku sertai serta menjadi jurulatih. Oh, bercakap mengenai jurulatih, dua minggu selepas raya, aku akan terlibat lagi menjadi jurulatih untuk sebuah program peringkat kebangsaan. Masih di dalam kawasan Parlimen aku. 

Tertarik dengan tema hari kemerdekaan tahun ini, aku mahu mengulas lebih lanjut tetapi disebabkan masa kurang mengizinkan, insyaALLAH aku akan menulis nanti. Mahu bersiap untuk menyertai perarakan (ke beratur sebenarnya?) sempena hari kemerdekaan di Dataran Ledang. Semua guru wajib ke sini hari ini. Kali pertama menyambutnya sebagai guru rasmi. Senyum.


Hari ini kena berarak memakai baju ini.
Baju batik sekolah sempena Hari Guru 2010.

Kena berada di dataran jam 7 pagi. Jumpa kalian semua nanti. Mungkin akan membuat laporan secara langsung menggunakan Twitter dan Mukabuku sahaja nanti. Jaga diri kamu semua. Apakah erti Merdeka bagi kamu semua?


[Aksara Keraian]

- BILA CINTA BERKIBAR DI HATI ( Anuar Kamaruddin )
- BELAHAN JIWA AISHAH MERDEKA ( Shafaza Zara Syed Yusof )
- PUISI LAUNGAN KERAMAT ANAK MERDEKA ( Nazrul Aziz )

Zara : Masih menerima ucapan sempena ulang tahun aku lagi. Eh, sudah dua hari lepas tahu? Senyum. Terima kasih atas ingatan yang tidak terhingga.


Monday, August 30, 2010

Ramadhan #20 : Apa Erti Merdeka Bagi Kita Semua? Kesinambungan Lagu Dan Tautan Buku Sejarah?


Merdeka!
Merdeka!
Merdeka!

Sana sini orang melaung Merdeka sambil menjual bendera.
Hujung sana orang menjerit-jerit sambil kibarkan bendera.
Hujung sini, penjual memperdagangkan pelbagai lagi cenderamata sempena Merdeka.

Itu sahajakah erti merdeka?
Anak-anak muda keluar berjanji dengan pasangan mahu lihat bunga api bersama.
Mahu menonton persembahan penuh ceria.
Mengira bilangan cahaya limpah di lantai tarian berwarna.
Menogok minuman sambil laga-laga gelas dan kepala.

Adakah merdeka itu maksudnya terbang bebas seperti burung?


Dia ini meraikan hari konvokesyen. Maafkan beliau dengan aksi ini yang menjadikan semua junior mahu meniru. -_-" Dan ini dikira sebagai suatu peristiwa bersejarah. Maksud aku, istiadat konvokesyen, bukan aksi lompatan.

Adakah merdeka itu hanya bebas daripada penjajah sahaja?
Tentu sekali tidak.
Jumud kalau yang menyatakan bebas dan merdeka itu hanya bebas daripada penjajah.
Pasti ada silap di mana-mana sewaktu dia belajar Sejarah.

Dan, kenapa kita belajar Sejarah?
Adakah disebabkan kita disogokkan dengan lagu patriotik berunsurkan Kemerdekaan sepanjang masa?
Ah, aku sukakan lagu patriotik dan aku juga cintakan Sejarah.
Tetapi mengapa kita melalui segalanya?

Ini tanah kita dilahirkan.
Ini tanah kita dibesarkan.
Ini tanah kita mencari ilmu, memburu impian.
Ini tanah kita mencari rezeki, memperjuangkan kelangsungan sebuah kehidupan.
Dan ini juga mungkin tanah di mana kita akan disemadikan.

Dan Merdeka daripada anasir luar adalah salah satu yang perlu dijaga.
Bukan setakat fizikal, tetapi pemikiran juga.
Nah, aku tidak menuding jari ke arah sesiapa.
Dan aku juga tidak akan jumud menilai justifikasi manusia.
Semua ada akal, semua boleh fikir, tapi adakah akarnya sama?

Jadi, apakah merdeka bagi anda semua?
Adakah merdeka bila tiba 31 Ogos sahaja?
Adakah merdeka apabila nyanyian patriotik berkumandang tiada henti juga?
Ataupun merdeka disebabkan bercuti, maka tidak perlu ke sekolah ataupun kerja?

Dan aku tinggalkan tapak kaki di salah satu tempat percutian di Malaysia.
Menikmati saat bahagia bersama keluarga.

Zara : Terima kasih kerana sudi membaca nukilan cerpen aku wahai teman semua. Pautannya ada aku letakkan di bahagian kanan blog. Maaf kalau tidak sempurna ataupun sebaik mana.



Tuesday, August 24, 2010

Petronas Merdeka 2010 - Kereta Buruk | Kekuatan Sebenar Kita Terletak Pada Hati | Kemerdekaan Ke-53


Salam semua.
Sekadar ingin berkongsi dengan kamu semua tentang iklan yang aku temui tadi. Aku jujurnya jarang meletakkan video di blog, tetapi ini sesuatu yang membuatkan aku teruja. Ya, aku dan iklan amat tidak dapat dipisahkan. Hari itu orang bercakap tentang 'Keropok Moni', aku sanggup menunggu di hadapan televisyen untuk menonton sendiri iklan tersebut.

Hari Kemerdekaan.
Antara yang memeriahkan Hari Kemerdekaan saban tahun adalah iklan yang disiarkan di kaca televisyen. Kalau Allahyarham Yasmin Ahmad ada lagi, pasti iklan beliau yang menjadi kegemaran aku. Sentiasa menantikan saat setiap peristiwa dan perayaan penting negara, semata-mata untuk menonton iklan arahan beliau. Dan hari ini, aku jumpa suatu iklan sempena Hari Kebangsaan yang akan disambut untuk kali ke 53 tahun ini.



Agency: Leo Burnett Malaysia
Film Director: Hafiz Ibrahim
Creative Directors: Tan Yew Leong/ Ali Muhamad
Art Director: Tan Yew Leong
Copywriter: Sheikh Azraai Azmi
Production Company: Chilli Peppers
Senior Producer: Michelle Fung
Other credits: Mohd Effendy Harjoh, Raja Affandi Jamaludin


Sekalung tahniah buat mereka semua yang menerbitkan serta mengarah iklan ini. Menyentuh jiwa dan jujurnya, aku menyukai pesanan di akhir iklan ini. Kekuatan sebenar kita terletak pada hati.

Enggan mahu mengomel panjang, sama-sama kita hayati iklan ini. Walaupun mungkin tidak terlalu menyentuh hati seperti karya Allahyarham Yasmin Ahmad (Ya, aku memang peminat karya-karya Allahyarham), tetapi masih ada pesanan yang kita boleh ambil pengajaran.

Tahukah anda bahawa Tan Yew Leong adalah suami kepada Allahyarham Yasmin Ahmad?

Zara : Aku menyukai iklan Merdeka dan perayaan di Malaysia. Bagaimana dengan kamu semua? Adakah menyukai iklan juga?


Tuesday, September 01, 2009

Belajar Bercakap Dengan Dinding Batu Berwarna Biru Selepas Merah Jambu




Aku mahu lenyap dari titisan air mata.
Dia yang menemani membuatkan aku menjadi lebih tabah walaupun kedegilan hati masih menguasai. Tabahlah sang kekasih atas sikap aku yang kadangkala membuat kamu terluka. Aku acapkali berubah menjadi sesuatu yang lebih keji. Kalau kamu terluka, maafkan diri ini. Maafkan hati ini. Hati sedang bergoncang merindui kamu - tangan mahu menggapai, malangnya tidak kesampaian. Kepala bergoyang dipenuhi air dan angin serta udara.

Aku berundur dengan iringan semangat dan jiwa yang merdeka.
Aku mengalah bukan kerana aku kalah tetapi lebih kepada menghormati mereka yang aku sayang. Pergi dan mungkin akan kembali. Jika aku tidak kembali ke sini tatkala semboyan merdeka menjeritkan namaku, sila cari aku di dataran cinta yang masih membara.

Kental sebuah semangat. Ajari aku manusia yang bijaksana. Aku mencari erti merdeka dalam diri seorang hamba yang diikat oleh Tuannya. Keajaiban adalah milik Tuhan, bukan aku yang bisa meleraikan ikatan yang tidak bisa terungkai dengan air mata darah sekalipun.

Zara : Salam Merdeka buat semua. Jari masih mahu mengetuk papan kekunci walaupun hari ini tidak patut dicemari emosi yang tidak terkawal. Aku sudah belajar ke tahap belajar bercakap dengan dinding batu berwarna biru.

Monday, August 31, 2009

Ulang Tahun Ke-52 Malaysia. Salam Kemerdekaan 1Malaysia Dari Tinta Pencinta.


Sudah 52 tahun kita mengecap nikmat kemerdekaan. Kemerdekaan negara tercinta. Semua insan di dalam Malaysia yang bertuah ini menikmati erti kemerdekaan, berkongsi rasa sesuatu yang kita gelar sebagai perpaduan.

1Malaysia.
Gagasan yang membawa kepada memupuk erti perpaduan yang lebih erat dikalangan kita membuatkan aku tersenyum. Ini sudah menjadi amalan sejak dulu lagi. Mungkin terdapat segelintir masyarakat yang memandang sepi perkara ini, tetapi aku akui, aku sudah terbiasa dikelilingi dengan mereka yang berbilang bangsa semenjak zaman persekolahan hingga universiti.



Ini kami yang menganggotai Sekretariat Pencegahan Rasuah.
Berbilang bangsa dan agama. Bukan tertakluk pada satu golongan sahaja. Malahan, bidang pengajian juga berlainan.




Berkongsi rasa, memulakan sesuatu yang indah dan bertapak dengan payah telah kami hadapi bersama. Ibarat sebuah kampung yang mahu diteroka, kami telah melalui segalanya dalam membentuk sesuatu yang dipandang mulia oleh masyarakat. Bahkan, ianya banyak membantu dalam temuduga yang aku hadiri dalam mencari pekerjaan yang sesuai dengan jiwa.



Ikatan yang terjalin tidak memungkinkan kami goyah kerana hati yang bertaut mesra membuatkan kami saling percaya. Kepercayaan sangat penting dalam memupuk kerjasama yang membentuk perpaduan. Kami bersama sehingga kini walaupun semakin jauh terpisah. Mengenali hati budi dan budaya menjadikan kami saling menghormati diri dan agama.



Mereka mengajar aku nilai persahabatan tanpa perlu ada diskriminasi dan pengasingan yang berbentuk ortodoks yang mungkin dilabel sesetengah orang. Persahabatan itu indah, tidak perlu dibajai dengan racun pemusnah.



Kami.
...dan mungkin juga menjadi kamu. Siapa yang lebih tahu?




Ingatlah, bukan sesuatu yang murah mereka terdahulu telah membayar. Yang tinggal kini bukan setakat sesuatu yang digelar sejarah. Kamu mungkin menolak untuk mengerti apakah yang tersurat disebalik yang tersirat, tetapi mungkinkah apa yang diingini bakal menjadi realiti tanpa niat dan janji terhadap pertiwi?

Kalau kamu tidak mengerti, bangkitlah segera. Bukan sebagai apa, tetapi sebagai satu bangsa yang merdeka! Jangan jadi manusia yang sombong dan alpa. Jangan biar minda meneroka sesuatu yang sia-sia bila kamu diperlukan lebih di tempat yang sepatutnya.

Kerana kita Rakyat Malaysia!
Kerana Tuhan Untuk Manusia.

Zara : Salam Kemerdekaan buat semua pengunjung Dunia Sebelah Zara!