11.11.12.
Ahad pagi.
Ruang Altamis Awraq.
Bangun pagi dengan timbunan bantal dan buku. Nampak sangat malamnya aku terlena dengan buku yang dikatakan seram tapi aku boleh tertidur hanya dengan membaca. Barangkali tahap seseorang dalam menilai itu sentiasa tidak sama - walaupun diakui ada tulisan di dalamnya yang buat imaginasi aku berlari, berpeluh membayangkan setiap aksara yang terhidang depan mata.
Telefon dipenuhi dengan pesanan entah dari siapa-siapa. Yang ditunggu, tidak pula menjelma. Barangkali itu juga yang dikatakan, masa menunggu adalah pembunuh paling kejam dengan kesakitan yang tiada belas kasihan. Bergantung kepada yang merasa, sama ada mahu terus bertahan ataupun angkat kaki dan ubati kepedihan sendiri. Bergantung pada manusia yang lihat dengan mata hati.
Terjaga hanya untuk menyelesaikan urusan yang ditunggu sejak beberapa hari. Tenaga kreatif tidak boleh kau paksa sesuka hati, tetapi bila sudah menunggu terlampau lama, boleh menyebabkan sakit hati yang bukan sedikit. Memandangkan pesanan yang diterima menjanjikan hasil yang menarik, aku tak berkira untuk bangun dan menjengah di ruang kerja. Enak, kerjanya bagus - jadi, lupakan sahaja faktanya yang dia lambat bila bekerja. Hah!
Dengan segala kontroversi yang berlaku malam tadi, aku hanya ketawa geli hati. Pembacaan aku barangkali sudah sampai di mana aku mengantuk dan hadam sahaja telan bagai tiada gigi. Kegilaan apa entah sejak kebelakangan ini - aku sudah letih barangkali untuk terus mengawal diri. Aku lepaskan sahaja keinginan aku satu demi satu - bunuh sahaja kalau ada rasa terdetik menjelma. Biarlah aku mati sendirian asalkan orang lain lebih bahagia dan suka. Sudah letih dan terlampau penat barangkali. Nyawa dan nafas aku pendek-pendek untuk habiskan sisa tahun ini.
[Flickr aku] |
Barangkali ada sebab untuk itu.
Ada alasan untuk mimpi sebegitu.
Cuma kita enggan tafsir dan mati beku.
No comments:
Post a Comment