Showing posts with label Dua Perkataan. Show all posts
Showing posts with label Dua Perkataan. Show all posts

Tuesday, December 23, 2014

Terus Tulis



Ada satu ketika.
Saat semua orang sudah maju mengejar cita-cita.
Aku tertinggal di belakang, mematikan kata.
Menghumban aksara.

Ada satu ketika.
Aku lihat semua teman meneruskan perjuangan.
Ternyata aku kehilangan.
Ilham coretan.

Seringkali aku hanya menulis bila dipinta.
Disogokkan dengan tema.
Dibekalkan dengan rangka.
Supaya aku mampu melunaskan cerita.

Pernah terlintas di minda.
Barangkali aku sudah tua.
Untuk bersaing menelusuri abjad, melakar karya.
Tapi, aku tersedar atas satu perkara.

Apa yang aku mahukan selama ini hanya perkongsian.
Bukannya sanjungan.
Hatta lambakan pujian.
Bahkan yang aku dengar hanya cercaan.
Tapi, untuk siapa semua coretan?

Kan aku masih punya diri sendiri.
Yang tidak akan pernah lupa kaki atas Bumi.
Yang tidak akan alpa usap kepala dan tiup semangat pada hati.




Rumah Kecil.
1605 : 23 Disember 2014


Monday, June 02, 2014

Orang Macam Kami.


Untuk orang macam kami.
Hanya kami yang kenal sendiri.
Yang hidup punya satu niat dalam hati.
Untuk cari kegembiraan abadi.

Orang macam kami.
Tak perlukan kekayaan tidak bertepi.
Bukan sanjungan yang kami nanti.
Tapi sedikit penghargaan sebagai bukti.
Bahawa kami wujud dalam kelompok sepi.

Orang macam kami.
Bukan kisah paras rupa yang diagungi.
Bukan kisah ukuran badan rendah atau tinggi.
Yang kami mahu hanyalah paras budi.
Yang tidak akan dilupakan sampai mati.

Orang macam kami.
Tiada lagi tangisan - sudah berhenti.
Yang kami kenal cuma baiknya hati.
Yang kami tahu cuma gembirakan diri.
Supaya kesakitan itu bakal lenyap kini.

Orang macam kami.
Sedihnya cuma sesekali.
Sifat pura-pura sudah lama kami tenggelami.
Air mata sudah lama kami buang dari jadi saksi.
Supaya kami tegak berdiri.
Tabah walau apa jua cabaran dihadapi.
Supaya kami tidak tua menjadi apa yang kami disakiti.

Orang macam kami.
Memilih hidup sendiri.
Supaya kami tidak ulangi.
Kebencian yang dilemparkan buat kami.
Yang tidak pernah minta jadi begini.

Shafaza Zara.
Kajang.
2 Jun 2014.

http://a1.s6img.com/cdn/box_001/post_11/205069_11730689_lz.jpg
[Sumber gambar]



Saturday, May 10, 2014

Masih Berharap.


Barangkali, aku akan kekal begini.
Walaupun sudah jadi isteri.

Mungkin aku ditakdirkan sedemikian rupa.
Jadi cengeng bila memikirkan keluarga.

Rapuh jiwa.
Bila aku merenung diri aku tanpa keluarga.
Yang menjaga, melindungi aku sehingga dewasa.
Tidak pernah melepaskan walau seketika.

Sayu.
Setiap kali aku mendengar suara seorang ibu.
Bila pulang ke teratak, ditanya bapa - apa yang aku mahu.
Walaupun aku sudah dibawah tanggungan seorang suami yang pemalu.

Selang sehari, aku perlu dengar suara mereka.
Dengar kata-kata yang menyejukkan jiwa.
Yang memberikan aku ketenangan untuk teruskan kerjaya.
Di saat aku memberontak mengikut darah muda.

Barangkali benar.
Hati panas menggelegak boleh bikin onar.
Hanya orang tertentu boleh memagar.
Dari insan terus terbakar.

Jika punya rezeki menjadi seorang bonda.
Diizinkan oleh Maha Kuasa.
Aku masih mahu jadi anak yang bersandar pada keluarga.
Yang tidak lupa bagaimana mereka berkongsi rasa.
Bersama keluarga kecil yang sedang aku bina.

Masih berharap.
Tuhan pinjamkan aku masa.
Untuk menikmati hidup dengan mereka.
Berbakti walaupun seketika.

Pinjam sedikit.
Agar emosi aku tidak lagi terjentik.

http://thumbs.dreamstime.com/z/set-four-family-love-icons-4750155.jpg
[Sumber gambar]


Monday, March 24, 2014

Kawal Gila.


Disebabkan kami masih lagi hidup berdua, kehidupan kami lebih kepada pagi keluar pergi kerja - petang balik semula ke teratak kecil bilik tiga - malam dihabiskan dengan berbual segala benda yang terjadi di tempat kerja. Barangkali sebab kehidupan kami dari sebelum kahwin sehinggalah sekarang begitulah coraknya, jadi kawan baik kami (yang tidak dapat dipisahkan) dari dulu sampai sekarang memanglah buku dan Internet.

Dasar.

Jadi, selepas menghadiri majlis kahwin seorang kenalan di Shah Alam, kami menuju ke Big Bad Box Sale di MIECC. Dengan niat nak beli dua novel terbaru FIXI, kami terjebak dengan kotak Big Bad Box yang berharga RM 99.90. Perlahan-lahan di tengah-tengah orang lain bagaikan memunggah segala jenis buku, kami tenang-tenang pergi ke kawasan yang kami dah fikirkan masa pusing-pusing tengok keadaan buku.

Pilih - letak dalam kotak - susun elok - tutup kotak - bawa balik.

http://distilleryimage5.ak.instagram.com/c531f7f6b1a111e3b22c1241d1e00121_8.jpg
Instagram Aku

Hujung minggu aku, selain daripada berusaha buat kerja sekolah, menguruskan rumah, pergi majlis kahwin, aku mulakan aktiviti membaca yang semakin lama semakin lambat (disebabkan suasana tempat kerja baru yang aku belum biasa lagi).

Malam tadi, selepas habis dua novel terbaru FIXI aku selesaikan, aku mula capai buku lain dalam kotak #BigBadBoxSale yang kami angkut dari MIECC. Suami aku pandang aku. Dia senyum dan usap kepala aku. Dia cakap :

"Jangan baca buku laju sangat. Habis buku sekotak tu awak kerjakan nanti kurang seminggu ni. Slow2 baca."

Ha ha ha.
Baiklah suami.
Saya cuba kawal gila saya.

Lord Zara : Aku ada jumpa satu buku yang menarik sewaktu di BBBS ni. Sesuai dengan keadaan diri ketika ini. Hahaha.

Saturday, March 22, 2014

Sembilan Belas.


Benda yang paling mana-mana perempuan (biasa) benci dengar adalah berat badan tiba-tiba meningkat tanpa disedari. Tambahan pula, dengan suara kuat diumumkan dalam satu bilik yang dihuni dengan ramain manusia lain, syukur juga lantai diperbuat daripada simen. Kalau daripada tanah, barangkali sudah digali dan sembunyikan muka.

Heh!

Itu salah satu ujian yang aku tempuhi dalam perjalanan pekerjaan di tempat baru. Barangkali dengan suasana yang menuntut aku kerja dengan tidak kira masa, aku jadi sedikit mengabaikan rejim pemakanan biasa aku disamping minda lebih memikirkan apa yang aku patut ambil sebagai makanan tambahan bagi meningkatkan daya tahan (serta memenuhi permintaan pengamal perubatan).

Benda begini adalah benda bukan rutin buat aku. Bahkan kali pertama berhadapan dengan kesukaran untuk menolak dan saling berbolak balik dengan pendirian sendiri. Aku mahu penuhi keinginan mengurangkan berat badan yang mendadak sebelum menemui pengamal perubatan pada pertemuan akan datang, tapi dalam masa yang sama aku perlu fikirkan khasiat yang bagus untuk badan. Ditambah lagi dengan kekangan masa, godaan juadah tak kira masa --- hidup tanpa nasi aku yang berjalan baik dahulu, malangnya aku tak boleh laksanakan ketika ini.

Tunggu.
Aku perlu dapatkan penimbang peribadi.
Jadi, naik turun pasaran saham (eh!) berat badan boleh diperhati.

http://shechive.files.wordpress.com/2013/09/morning-coffee-19.jpg?w=500
[Sumber gambar]

Lord Zara : Enaknya lihat orang mencicip minuman adiktif kegemaran aku. Sekarang aku hanya mampu perhati dan hidu aromanya sahaja. Dapat bau dari cawan orang sebelah pun sudah bikin aku gembira. 

Thursday, January 30, 2014

Dua Belas.


Banyak perkara yang Tuhan berikan pada kita untuk kita lihat kembali --- untuk kita mengkaji adakah kita hambaNya yang bersyukur atau sekadar terima tanpa ada rasa apa-apa. Mungkin, kita menerima dan membawanya sedaya upaya tanpa menyedari setiap daripadanya adalah ujian kecil yang kita perlu tahu keadaan diri (dengan lebih lagi).

Satu benda yang aku cuba untuk memahami dalam kehidupan yang aku lalui adalah bagaimana untuk melakukan semua benda yang diamanahkan dengan tidak menyakiti hati sesiapa walaupun aku terpaksa berperang dengan jiwa sendiri atas pilihan yang aku buat. Duduk dan perhatikan setiap satu daripadanya --- aku yakin yang aku perlu bersyukur sebab aku tak menghadapinya sendirian. Dalam erti kata lain, cabaran satu demi satu muncul, tapi Allah berikan aku seorang teman yang akan sedaya upaya bantu aku. Pasangan aku.

Melihatkan perjalanan sampai ke dua belas, buatkan aku sekali lagi terfikir bahawa, perjalanan masih panjang dan aku kena yakin bahawa semangat yang kuat diperlukan agar aku tidak kecundang dengan cabaran yang mendatang. Bila kesihatan menjadi taruhan, keselamatan diri sebagai satu permainan --- tak akan aku mahu pandang enteng dan korbankan segalanya demi untuk memuaskan keperluan orang lain semata, bukan?

http://distilleryimage1.ak.instagram.com/62edfd3287b811e3ba4f0ebe04367255_8.jpg
Instagram aku : [pautan]



Wednesday, November 20, 2013

Pelampung Hidup.


Ada ketikanya dalam gembira, menikmati hidup kita perlu duduk sejenak dan melihatkan kembali rentetan perjalanan yang membawa kepada siapa kita hari ini. Adakah kegembiraan yang subur dalam hati itu adalah kisah duka yang kita telan dan kemam dan berlagak kuat pada dunia? Adakah kebahagiaan itu kita bina atas kesakitan orang ataupun hinaan manusia yang bikin kita bangkit dan sedar bahawa hidup ini terlampau banyak kesakitan yang perlu kita sembuhkan luka?

Benar.
Gembira itu ada bayaran yang kita lunaskan dalam meminjam nikmat bahagia. Semuanya atas pinjaman Yang Maha Esa. Sedikit sebanyak itu adalah sesuatu yang kita tak seharusnya terlupa. Barangkali, dengan melihatkan apa yang telah dipinjamkan, kita bersedia untuk memberi balik tanpa penuh kesal atau berduka bila tiba masa. Menyedari hakikat segalanya ada cagaran dalam dunia, menikmati kebahagiaan secara sederhana dan hidup dengan senyap tanpa memikirkan kesakitan yang menjalar dalam setiap urat saraf, kita memikirkan yang kita masih bernyawa, itu sudah cukup buat kita sujud syukur pada Maha Pencipta.

Sesak.
Kita dalam apa jua keadaan sekalipun, anehnya masih perlukan orang lain sebagai tempat bersandar. Apatah lagi bila kita dalam kepayahan, kita mencari tempat berpaut. Hatta jauh mana kita pergi, kita masih melihat ada tempat untuk kita kembali. Menjadi anak kecil yang sentiasa memerlukan tangan untuk melintas jalan. Genggaman ayah-bonda, dengan jari-jari mereka memegang kita utuh, menjaga keselamatan kita, kenyataan itu sesungguhnya bagaikan kita sedang lemas di lautan dan mengharapkan seseorang melemparkan pelampung untuk kita berpaut.

Ya.
Sesungguhnya, kasih sayang keluarga adalah harta paling berharga dalam dunia. Barangkali ada yang menjadikan wang dan harta sebagai kiblat kebahagiaan dalam dunia, tetapi, jangan terlupa bahawa jika kita punya segalanya sekalipun, tanpa keluarga, kita bukan sesiapa. Membuatkan keluarga kita bangga dengan sedikit pencapaian kita (walaupun seringkali mereka tidak akan ucapkan dengan kata-kata), ternyata, ia adalah simbol bahawa mereka adalah penyelamat, tempat bergantung paling utama tatkala semua manusia barangkali sudah meninggalkan kita.

Keluarga.
Dalam ketawa kita menahan sebak di dada, menanggung semua kesakitan sendirian, akan muncul mereka dengan kata-kata paling dalam, paling menyentuh hati dalam diam, memberitahu kita dalam gelak dan senyuman mesra --- meyakinkan kita bahawa segalanya bakal baik-baik sahaja walaupun seluruh alam menghukum dan tidak pernah mesra. Baik dari segi rupa mahupun kedudukan harta benda, mereka masih lagi manusia yang tidak tegar melihatkan kita melarat menderita. 

Tangisan.
Jadi, bagaimana rasa mereka yang meletupkan pelampung hidup mereka sendiri? Melepaskan segalanya demi kepuasan peribadi walaupun hakikatnya itulah antara yang bakal menyelamatkan, mengangkat mereka apabila mereka jatuh terduduk, tenggelam dengan kesalahan sendiri?

http://farm8.staticflickr.com/7032/6838456423_6eb94f49ee_z.jpg
[Sumber gambar]

*******

"Kau memang"
"Memang apa?"

"Manusia yang paling sambil lewa"
"Maksudnya?"

"Kau tahu risiko dan kau masih ambil juga"
"Sebab masa itu langsung tak nampak apa yang bakal cedera"

"Sekarang?"
"Aku ada tempat berpaut yang orang lain tak ada"

"Siapa?"
"Keluarga"


Wednesday, November 13, 2013

Sedikit Lagi.


“My girlfriend told me that she’s happy with the service. Thanks a lot for the great hospitality. We might come here again. Till then”

    Delisha tersenyum bila dia terbaca mesej dalam akaun milik teman lelakinya. Nampaknya gerak hati, rasa yang terdetik di dalam hati tidak menipu. Puas dia mencari sebab mengapa sejak kebelakangan ini Andy baik-baik sahaja, rupanya Andy kembali bermain kayu tiga. Cuma siapa gerangan wanita yang sanggup terbang jauh menemui lelaki itu sahaja yang harus ditanya.

    Delisha pandang semula paparan komputer riba. Tidak sia-sia dia menolong Andy menempah rumah penginapan ke destinasi seterusnya. Tuhan itu Maha Kaya – sekejap sahaja jika mahu ditunjukkan sama ada Andy adalah bakal menjadi suami ataupun perlu ditinggal pergi. Pantas jari Delisha menekan butang “PrtSc” di papan kekunci. Setiap satu perbualan boleh menjadi bukti jika Andy mahu berdolak dalik nanti. Dia tersenyum, hati lega tetapi anehnya, tiada sekelumit pun air mata.

[Sumber gambar]

Wednesday, October 30, 2013

Lakaran Hidup.


Semakin menuju ke penghujung tahun 2013, banyak benda yang berlaku. Banyak benda yang dilalui, diatur satu demi satu. Sama ada mengikut perancangan ataupun tidak, itu diterima seadanya sebab hakikat manusia hanya mampu merancang tetapi Allah lebih Maha Perancang daripada kita semua.

http://distilleryimage9.ak.instagram.com/d9f77bca405911e3ab0222000ab5be36_8.jpg
Hasil lakaran aneh aku.

Dah lima bulan menjadi seorang isteri.
Aku rasa banyak benda belajar dengan hakikat bahawa suami tiada di sisi setiap hari. Sesetengah orang mungkin beruntung jumpa pasangan masing-masing setiap hari. Tapi bagi aku yang jumpa hanya pada hujung minggu, sekurangnya aku bersyukur bahawa ada orang yang mungkin sebulan sekali atau setahun sekali baru jumpa pasangan mereka.

Duduk jauh sebenarnya mengajar hidup berdikari seperti masa belum berkahwin dulu. Ke sana sini sendirian, cuma barangkali kali ini, jika penat, sakit badan --- kita boleh merungut sesekali. Kalau dulu, merungut dengan dinding sahaja. Walaupun dinding bukannya ada respon apa.

http://distilleryimage5.ak.instagram.com/3bb13e9e3e2c11e3a6b122000a9f3070_8.jpg
Kegemaran masing-masing bila ada waktu terluang.

Selain menonton filem yang dimuat-turun bersama, berbual tentang segala benda yang seminggu dikumpul (walaupun ada sahaja berhubung guna Twitter, iMessage, LINE, dll) tapi aku paling suka berbual berhadapan. Aku boleh tengok mimik muka. Ya, aku memang begini. Kalau berbual dengan kawan-kawan sekalipun, kalau boleh nak tengok muka. Skype pun jadi. Ha ha ha.

Oh ya, kami sukakan warna dan melakar apa sahaja. Aku kadangkala dengan warna-warna merepek seperti di atas. Kadangkala lukis benda yang aku nampak sana sini walaupun aku bukannya orang seni. Sengaja luangkan masa dengan mewarna bersama sebab kalau aku membaca, nanti ada orang kacau. (angkat kening) Ha ha ha.

Banyak benda nak cerita tapi aku rasa, keadaan sekarang semakin sukar. Banyak mata yang memerhati, banyak yang jadi tukang sampai tak bertauliah kepada orang lain. 

Susah.

Tuesday, October 08, 2013

Tajam Kejam.


Bila kau sangka segalanya baik sahaja.
Mungkin ada sesuatu berlaku tanpa diduga.
Yang kau sayang bersumpah setia.
Kasihnya sudah beralih jiwa.


Kejam!
Itu kau jeritkan sambil tangan digenggam.
Terhunus senjata yang kau asah tajam.
Pisau berkilat kau tikam-tikam.
Tembus ke dasar, terbenam.
Jeritan lantang kesakitan terus terdiam.Tenggelam.
Kau bayangkan bagaimana dia kau tanam.
Tendang masuk lubang paling dalam.
Enggan kau mawarkan, najis kau siram.
Lalu hilangkan diri dalam kepekatan malam.


Tapi, itu semua khayalan.
Walau hati sakit, kau masih ambil ringan.
Apalah sangat dengan satu pengkhianatan?
Dia curang, kau bebas pilih haluan.
Tinggalkan dia dan terus berjalan.
Tiada maki, tiada tangisan.


Hadapan khalayak kau senyum nampak gigi.
Apabila keseorangan, kau termenung sepi.
Kuatkah kau mahu hadapi?
Bila kasih sayang sudah dikhianati?
Oleh manusia paling kau percayai?
Ditikam tepat di dada kiri.
Oleh teman konon sejati.


Shafaza Zara
1102-1130 | 07102013

http://distilleryimage0.ak.instagram.com/43532b622eff11e392af22000ae912ea_8.jpg
[Instagram aku]


Thursday, October 03, 2013

Cabaran Tiga.


Apa makanan atau minuman paling menarik dalam dunia?

Pada aku, yang kita berkongsi dengan orang yang kita sayang, suka, cinta adalah yang paling sedap.

Macam kita makan dengan keluarga. Walaupun hidangan itu mungkin tidak istimewa pada pandangan mata orang lain, tetapi bagi kita sekeluarga --- itu mungkin syurga kita. Barangkali kenangan serta masa yang dihabiskan bersama di meja itu lebih berharga dari segalanya.

Begitu juga dengan minuman adiktif yang selama ini dihirup sendirian tidak kira apa situasi. Gembira pun belasah, sedih lagilah minum hingga lupa hidup adalah asbab dipinjamkan nyawa.

Minum bersama dengan seseorang yang bawa dimensi baru dalam hidup, nilainya lebih tinggi daripada sekadar pesan-minum pandang luar-tekan gajet-hirup lagi- bayar dan pergi.

Sebagaimana, adiktifnya minuman ini dalam kehidupan, begitu jugalah kehadiran awak dalam diri saya. Bahkan barangkali lebih daripada itu.

Ya, betul.
Kalau ada awak dan kopi, saya akan pilih awak.

Kenapa?

Sebab awak boleh buatkan saya kopi, tapi kopi tak boleh buat awak.

Heh!

http://distilleryimage8.ak.instagram.com/7ac7a7e42bb211e3b1b522000ab5aa6c_7.jpg
[Instagram aku]

Tuesday, September 24, 2013

Kerana Mereka.


Salam.
Aku rasa, sampai sekarang aku boleh hadap apa sahaja dalam hidup, adalah disebabkan aku punya mereka yang sangat kuat sebagai penyangga kehidupan aku. Kuat macam mana sekalipun orang pandang aku (mungkin), aku selalu mengingatkan diri aku --- dua manusia yang tidak pernah tinggalkan aku sejak aku wujud dalam dunia.

Ya.
Mak dan Abah.
Puan Mulia dan Ketua Keluarga Hebat.

Sekarang ada suami.
Jadi, ada tiga kini.

Tapi sekarang ini, aku hanya mahu berkongsi tentang yang lebih dekat dengan hati. Yang kena dengan situasi aku, emosi aku saat ini. Barangkali, terlampau banyak benda yang aku mahu fikirkan dalam satu masa, berkadar langsung dengan emosi serta suasana dari aku mula bekerja, aku fikir, bila dinilai kembali, kawan aku yang paling akrab adalah Emak. Sejak aku tamat pengajian dan memulakan kerja, aku duduk dengan keluarga. Sampai aku dah kahwin dan berjauhan dengan suami atas tuntutan kerja. Hidup aku, ada Emak sentiasa.

Anak emak.
Kawan aku pernah kata aku anak emak. Jujurnya, kita semua adalah anak kepada emak kita kan? Apa sahaja yang kita lakukan mesti akan terlintas pemikiran tentang emak sendiri. Kalau tak banyak, sedikit sudah tentu. Jadi, setiap kali aku mahu lakukan sesuatu, aku mesti teringatkan emak. Terfikirkan bagaimana reaksi emak kalau emak dapat tahu dan sebagainya. Dalam beberapa situasi, kalau aku rasa Emak akan benci perkara tersebut, aku akan tinggalkan sahaja. Biar pun aku sendiri akan rasa kecewa. Mudah.

Dengan Mak, aku banyak cerita benda.
Dari hal sekolah, membawa kepada hampir setiap benda yang aku rasa boleh bercakap dengan dia. Mak pun ke sekolah bersama aku, pulang bersama, hidup bawah satu bumbung yang sama, jadi dengan Mak sahajalah aku boleh bercakap selain Abah (sesekali dengan adik beradik yang pulang dan suami bila hujung minggu). Selainnya, hanya mereka. 

Jadi, bila berbual dengan Mak malam tadi, tentang benda yang dekat dengan hati, aku tekankan kaki aku ke lantai, kepal tangan dengan kuat, tahan air mata dari mengalir dan cuba berlagak tenang sedaya upaya yang aku boleh. Ya, aku anak yang sedemikian rupa. Yang sejak dahulunya memang berfikiran dangkal (mengikut ukuran pemikiran orang lain) --- memandangkan pada aku, kegembiraan aku bergantung kepada kegembiraan Mak dan Abah aku. Menyakiti mereka, umpama menyakiti aku secara langsung.

Ya.
Naif eh?
Peduli pula aku.

Membuatkan mereka tersentuh, mengalirkan air mata --- kau bakal berhadapan dengan aku yang kalau amarahnya tidak terkawal, mungkin aku bukan lagi anak yang berikan senyuman paling cantik (walaupun hati dicarik-carik) pada kau. Mudah sahaja. Mudah berurusan dengan aku, memandangkan, aku punya wanita paling mulia di mata aku di jiwa aku.

"Mak, kalau orang tak suka kita camne?"
"Kita jangan tak suka orang"

"Kalau orang tetap tak suka kita?"
"Mungkin kita ada rasa tak suka pada orang. Bersihkan jiwa dari ada rasa macam tu pada orang lain"

"Tapi kalau kita takde benci pada orang, tapi orang benci juga pada kita?"
"Itu ujian Allah pada kita. Nak tahu sejauh mana sabar kita"

"Sabar pun ada had juga Mak"
"Mak tahu. Tapi, benda begini kita tak boleh jangka. Allah buat sesuatu kan bersebab. Banyakkan istighfar. Doa. Solat hajat. Moga Allah tunjukkan cara"
Itu Mak.
Tatkala aku separa mamai dipenuhi dengan darah muda, panas menggelegak dan rasa mahu marah semata, dia ada untuk beritahu aku bahawa segala perasaan itu boleh dikawal dengan senjata yang bertunjangkan agama. Doa. Amalan-amalan mulia. Baik wajib, sunat segala. Supaya, anak yang setiap kali ada bersama dia ini mampu kawal marah (walaupun seringkali hampir jadi pengganas jalan raya).

Senyum.
Dalam segala urusan, ada kata-kata Emak buatkan aku lebih menghargai apa yang aku cuba buat dan lakukan. Mungkin dengan didikan yang garang, yang buat aku sering tertanya-tanya dahulu, mengapa, mengapa, mengapa --- kini aku dapat jawapan yang aku dambakan.

Setiap apa yang Mak dan Abah lakukan ada justifikasi mereka sendiri yang tidak perlu diberitahu kepada anak-anak dalam bentuk lisan. Satu hari, mereka akan mengerti. Dan kini, aku mengerti setiap tindak tanduk yang mereka lakukan (sekurangnya).

Mak.
Terima kasih atas segala.
Sekurangnya, malam tadi, sewaktu letak kepala atas bantal, Along boleh atur semula banyak benda dalam kepala. Apa yang dicari hari ini, dikutip demi masa hadapan yang lebih baik bukan untuk keperluan sendirian semata. Bukan sekadar mencari di mana hilangnya jiwa --- tapi mengukuhkan diri agar tabah menghadapi apa sahaja. 

Senyum.
Terima kasih, Mak.
Selamanya Puan Mulia.

http://distilleryimage0.ak.instagram.com/4b82debebaaa11e2aa0322000a1fa408_7.jpg
[Instagram aku] : Gambar masa bertunang sahaja yang aku ada sewaktu menulis ini.

Nota Kaki :
Bila segalanya tidak seperti yang kita fikirkan, rancangkan --- jangan pernah berputus asa. Biar kalah mencuba daripada duduk diam dan pujuk diri untuk pasrah. (Shafaza Zara, 23 September 2013)

Sunday, September 22, 2013

Demi Amanah.


Salam.
Aku baru balik dari kursus selama 5 hari 4 malam. Kursus CPD (Continuing Profesionalisme Developement). Kalau kau tanya aku tentang pengisian kursus, tentunya aku akan kata menarik (walaupun ada beberapa gaya penyampaiannya buat aku sedikit tepu). Keseluruhannya bagus cuma tempat adalah paling teruk pernah aku pergi.

Kau nak kata aku berkira?
Memilih?

Aku beritahu sebab dan selepas tu, kau boleh kata apa sahaja (lagi).

  1. Dalam bubur sarapan pagi ada lipas berenang.
  2. Masa masuk, cadar berhabuk, dan bilik air sangat berlumut.
  3. Hanya hari pertama sahaja bilik dikemas. Sehingga hari terakhir, tiada pengemasan.
  4. Lauk ikan keli ada telur lalat.
  5. Ikan goreng busuk --- digoreng garing dengan tepung demi hilang busuk, kot.
  6. Barang aku hilang dalam dewan seminar. 
  7. Tuala yang disediakan pihak hotel tak berganti sampai hari terakhir. Takpe.

Dengan pelbagai keadaan fizikal di atas, aku jujurnya lebih senang dengan kursus seminggu sebelum ini di Pangkor. Aku tidur 5 hari 4 malam dalam khemah dengan cuaca hujan lebat, air masuk khemah, tapi masih gembira. Makan beratur panjang dengan peserta hampir 300 orang (mungkin lebih) hanya di kantin tapi makanannya lazat. Penat macam nak mati buat aktiviti --- bertampal dengan koyok segala tapi masih sedap. Masih nikmat berbanding duduk dalam dewan tetapi dengan keadaan fizikal di atas.

Heh.

Tapi, itu bukan perkara pangkal yang aku mahu ceritakan.
Jauh menyimpang aku ni.

Bila pergi kursus ni, aku sedar banyak benda.
Aku terkenang diri aku yang dulu.
Yang masih belajar dalam cari siapa aku.
Dalam konteks seorang guru.

Dilahirkan dan dibesarkan oleh guru.
Dididik oleh pelbagai jenis guru di sekolah.
Diberikan pelbagai maklumat, ilmu di pengajian lebih tinggi.
Aku rasa aku jumpa pelbagai jenis tenaga pengajar.

Dan satu pun tidak pernah buat aku benci dengan istilah belajar.
Langsung tidak pernah.

Kalau pun dulu aku sering gagal Matematik Tambahan, Fizik, Biologi, Sejarah --- tapi seorang di kalangan guru aku tak pernah panggil aku bodoh. Benda yang aku rasa menjadikan siapa aku hari ini adalah tidak pernah guru aku panggil aku bodoh. Walaupun ada sahaja budak lain, kawan dan bukan kawan yang panggil aku bodoh sebab selalu angkut huruf G --- aku tenang sahaja dan anggap itu cabaran. Aku lulus semua sekali mata pelajaran di atas dan daripada 4 yang aku nyatakan di atas, hanya Biologi aku cukup-cukup makan. C6. Yang lagi tiga, aku dapat A1 (Sejarah) dan A2 (Fizik dan Matematik Tambahan).
 
Semuanya sebab cikgu.

Jadi, bila ditanya, dibandingbeza dengan pelbagai kerjaya lain, ada orang tanya kenapa aku duduk dalam kerjaya ni. Kerjaya yang orang sekarang pandang rendah dan sebagainya. Mungkin tahap dan nilai guru sekarang dilihat tidak sama dengan zaman kegemilangan satu masa dulu. Entah.

Jawapan aku mudah.
Demi kegembiraan.

Aku gembira dengan kerjaya aku. Aku sentiasa merasakan hidup memerlukan kegembiraan --- jadi sebagai seorang guru, aku merasakan bahawa kegembiraan itu adalah perlu. Semangat yang pernah ditanyakan oleh seorang pensyarah aku dulu --- masih aku rasakan dalam hati. setiap hari, bekerja melihatkan mereka yang duduk depan mata aku, aku sentiasa mengenangkan diri aku yang suatu ketika dahulu pernah duduk di situ. Bagaimana guru-guru aku melayan aku, aku sedaya upaya mahu buat perkara yang sama untuk anak-anak dihadapan aku.

Demi senyuman.
Aku akan kuatkan usaha.
Untuk jadi yang unggul dalam membawa rasa cinta.
Kepada ilmu, buat mereka.

Ini adalah amanah.
Amanah yang dititipkan buat aku.
Sekuat mana cabaran yang aku hadapi dalam kerjaya ini, aku tak mahu tumbang dihadapan mereka yang aku harus kelihatan kuat sentiasa. Yang aku mahu pamerkan rasa kuat dan bangga akan sedikit perubahan yang mungkin aku dapat rasa.

http://distilleryimage8.ak.instagram.com/ae6c810c21d811e3b4cc22000a1fbe13_7.jpg
[Instagram aku] : Beritahu diri sendiri bahawa kerja adalah amanah. Senyum dan teruskan usaha.

Apa yang aku hadapi hujung minggu ini, buat aku berbelah bagi.
Dengan keputusan yang aku buat secara peribadi.
Adakah demi kepuasan sendiri.
Ataupun sekadar berusaha sepenuh hati.
 
Nota Kaki :
Nanti aku kongsi sedikit ilmu yang didapati dari kursus itu yang aku rasa sesuai untuk kalian di sini.

Tuesday, September 03, 2013

Tinggal Persoalan.


Diam.
September sudah muncul.

Harga bahan bakar melonjak naik.
Dengan harapan harga diri manusia masih kekal tinggi, baik.

Ada seorang kenalan bertanyakan soalan malam tadi. Tatkala sibuk bersama dengan rakyat Malaysia lain mengisi tangki minyak masing-masing (aku isi sebab esok nak pergi sekolah dan tangki itu tak boleh tidak penuh) --- persoalan yang dihadapi barangkali boleh menyebabkan seseorang naik minyak.

DR : Sibuk ke?
Aku : Tak sangat. Kenapa?

DR : Nak tanya pendapat.
Aku : Silakan.

DR : Kau kenal dengan AS kan?
Aku : Kau punya tunang dulu tu ke?

DR : Bekas tunang.
Aku : Ya, tahu. Tahu.

DR : Ada orang mengaku dia dah empat tahun bercinta dengan AS.
Aku : Oh, ye ke?

DR : Ya. Dan aku bersama AS selama lima tahun. Apa maksudnya tu?
Aku : Maksudnya kau tak payah hiraukan dia lagi.

DR : Bukan. Maksudnya dia menipu aku selama ni.
Aku : Hello. Masa dengan kau pun, dia ada skandal dengan dua orang lain kan? Kau nak bukti apa lagi?

DR : Aku sakit hati.
Aku : Sakit hati tu aku faham. Yang aku tak faham, kau cakap pasal dia lagi dah kenapa?

DR : Sebab aku rasa dikhianati sangat.
Aku : Selama ni pun dia khianat semua orang. Bukan kau seorang. Keluarga kau. Keluarga dia.

DR : Benci betul aku.
Aku : Sudahlah. Kau dah nak kahwin lagi dua minggu. Abaikan dia. 

DR : Kalau aku jumpa dia, aku nak pukul dia dengan penyapu.
Aku : Kenapa kau tak nak sedut guna vacum je?

[Sumber gambar]

Menipu dan terus menipu.
Berani datang balik dan cuba untuk pujuk rayu.
Bolehkah kau berhenti dan jujur beritahu.
Kenapa kau teruskan drama yang sudah layu.
Berhenti dari tuding jari sambil tersedu.
Lakonan kau serupa kayu.

Nota Kaki : Hidup itu menarik dan perancangan Allah itu cantik. (Shafaza Zara, 29 Ogos 2013)

Monday, August 19, 2013

Perkara Mudah.


Perkara paling mudah untuk mengatasi apabila orang tidak menyukai kau tanpa sebab adalah dengan tidak menghiraukan mereka dan biarkan mereka dalam kehidupan mereka yang menyedihkan itu.

Kau nak hidup sentiasa gembira kan?
Jadi, abaikan mereka dan hidup dalam dunia kau sendiri diam-diam.

Mereka?
Anggap sahaja setiap manusia tidak pernah sempurna.
Itu angan yang tidak akan menjadi nyata.

Kau?
Lebih baik teruskan usaha.
Menjadi diri sendiri yang kau suka.
Tanpa perlu hidup bergantung dengan mereka.

http://farm8.staticflickr.com/7346/9413524738_c07df16aea.jpg
Flickr : Hidup di alam sana baik-baik, Udan.

Wednesday, July 24, 2013

Laluan Diri.


Salam.
Salah satu benda yang aku belajar setelah mendirikan rumah tangga adalah setiap keputusan yang aku mahu lakukan --- aku sudah tidak boleh mementingkan diri sendiri. Kalau sebelum ini, segala keinginan aku, aku akan pastikan dipenuhi dengan berusaha sedaya upaya tanpa mengira bagaimana cara, sekarang ini aku perlu lebih banyak tenangkan diri fikirkan dari banyak segi.

Ya.
Setiap daripada kita mana ada yang serupa. Aku orang yang tidak obses dengan diri sendiri. Sentiasa merasakan diri aku wujud sebab masih ada orang mahu bercakap dengan aku, jadi kalau tiada orang berbual dengan aku --- aku fikir aku adalah manusia yang mati. Aneh bukan? Tapi begitulah aku memandang komunikasi dan disebabkan itulah, aku bersyukur dengan kenyataan klon manusia adalah haram. Tak nak aku ada seorang lagi yang serupa dengan aku --- penuh cacat cela aku sendiri.

Hah!

http://farm6.staticflickr.com/5336/9245875273_525eb2309c.jpg
[Sumber gambar]

Kau mungkin pernah terfikir mahu melarikan diri daripada semua orang. Tinggalkan segala benda yang menyakitkan dan membunuh perasaan kacau bilau. Tenangkan diri daripada semua gangguan demi teruskan kehidupan. Tapi, pernahkah kau merasakan yang kau perlu kekal berdiri di tempat ini dan hadapi segalanya dengan muka penuh yakin demi memburu bahagia?

Laluan hidup ini, kau yang perlu pilih.
Untuk hapus perasaan sedih.
Untuk sembuh dan cepat pulih.
Ubati perasaan pedih.

Mengapa mesti lihat prejudis manusia?
Mereka tidak mengerti apa yang kau rasa.
Kau dan mereka tidak berada dalam kasut serupa.
Enyah sahaja perasaan kurang senang dengan mereka.
Kau pilih jalan yang kurang dosa.
Yang bawa gembira.

Kalau kau sendiri tidak mahu teruskan.
Tiada siapa akan bantu buat perubahan.
Ingat janji Tuhan.

:)


Thursday, April 04, 2013

Kegemaran Baru.


Sejak dah makin pandai guna aplikasi tu, semakin meriah pula aku rasa penggunaan pelekat yang digunakan. Selalunya dia cemburu dengan pelekat yang aku gunakan. Tapi, jawapan yang diberikan dalam bentuk pelekat biasanya dah tepat dengan situasi --- ala, yang percuma pun comel apa?


http://distilleryimage10.s3.amazonaws.com/dba60c949a1811e2978222000aa80103_7.jpg
Instagram aku

Dah pandai beliau beli woit!

Monday, April 01, 2013

Permulaan April.


Malam tadi luangkan sedikit masa berbual dengan Kopi. Walaupun talian telefon boleh tahan macam haram disebabkan syarikat komunikasi yang Kopi gunakan (telahan aku), maka, redha sahaja kalau tiba-tiba terputus talian. Disebabkan sepanjang hari sibuk dengan urusan sendiri, urusan keluarga - tiada istilah tidur petang sepuluh minit semalam. Menunggu dia pulang kelas malam dan berbual dengan kantuk yang tebal (tapi gembira)

Jadi, masa sedang berbual, dari duduk, aku bercadang mahu baring disebabkan hari ini sepatutnya sudah mula bersekolah (tetapi aku tidak menghadiri atas sebab urusan keluarga yang baru diterima) - makanya, sewaktu berbual, aku berguling sesuka hati keletihan. Masa ni Kopi sedang bercakap tentang apa entah, aku pun tak pasti. Tapi aku mengajuk apa yang dia selalu sebut, "Sodalah". Ha ha ha.

Tiba-tiba :

A : Aduh!
Kopi : Kenapa?
A : Telefon jatuh atas muka.
Kopi : (ketawa) Siapa suruh buat akrobatik?
A : Mana ada akrobatik, nak baring je sebab letih.
Kopi : (masih ketawa) Asyik tiru sodalah, asyik "k" kan kita, tulah tau? Tulah.
A : Ceh!


Rasa nak pengsan sebab sakit -_-"

http://distilleryimage7.s3.amazonaws.com/8585569899e711e2adc122000a1f9ace_7.jpg
30.03.2013 - Selamat pengantin baru sepupu tersayang :) | Instagram aku



Wednesday, March 27, 2013

Pesanan Pagi.


Setiap pagi mesti ada pesanan. Sama ada dari dia atau aku. Masing-masing akan minta maaf kalau tertidur awal dan sebelah pihak lagi menunggu sehingga tertidur juga.

Minggu lepas, aku yang sentiasa hantar.
Hari ini, dia pula yang hantar.

[Sumber gambar]


Monday, March 25, 2013

Ingat Lupa.


Hidup ini kadangkala cantik sehingga kita terlupa akan ada waktunya ia akan berubah wajah sekelip mata. Terlampau asyik dan khayal menikmati suatu benda acapkali buat kita lupa bahawa satu saat nanti kita juga akan lenyap dan luput dari atas dunia. Yang tinggal barangkali hanya kenangan dan nama kita. Itu pun kalau ada yang mahu ingatlah :)

http://distilleryimage11.s3.amazonaws.com/3e6c25d48f0611e2a61722000a1f9d6d_7.jpg
[Instagram aku]



 Orang di ladang epal pernah kata - "Petiklah seberapa banyak epal yang ada di sini. Semuanya manis"

Ternyata --- di antara yang manis, rangup, ada juga yang masam dan langsung tidak boleh dikunyah serta dimamah. Masam sampai kita lemparkan sahaja ke bawah pohon - ditinggalkan dan cari lain yang manis. Sangat mengingatkan aku kepads kehidupan itu sendiri. Kadangkala hidup kita penuh dengan benda manis, --- indah belaka dengan perkara gembira dan kita melaluinya dengan penuh suka. Segala yang dilalui, dihadapi --- dijadikan kenangan, kerana ia benda yang menarik untuk diingatkan.

Tetapi adakala dalam hidup --- ada benda yang pahit, masam, kelat hingga kita tak boleh telan. Mahu dihadam tetapi kita juga akan sengsara sendiri. Jalan terbaik, kita tinggalkan - belajar sesuatu daripadanya, pandang ke hadapan dan teruskan kehidupan. :)

Jadi, untuk mereka-mereka yang pernah muncul sebagai dugaan dan cabaran dalam hidup aku, aku  mahu katakan terima kasih kerana pernah wujud, mencabar aku hingga tahap aku berada sekarang ini. Walaupun sakit, payah, jatuh dan rebah,

--- anak ini akan tetap bangun semula walaupun payah.