Thursday, August 11, 2011

#11 #Ramadhan : #ST #06 - Kasih Sayang Umpama Dadah


Ada sahaja bunyi rengekan sepanjang malam.
Manusia seperti aku yang sudah terbiasa tidur tidak kena gaya merasakan itu bukan sesuatu yang asing walaupun ternyata, ia bukan sebahagian daripada kerjaya. Kagum dan hormat aku berikan pada para petugas yang bekerja sepanjang hari dan malam demi memastikan kesihatan dan juga nyawa manusia lain dalam keadaan sejahtera. 

Sekurang-kurangnya beban derita terhapus sekelumit ya?
Biarlah kesakitan itu digantikan dengan senyuman ceria.
Sedikit gembira.

[Sumber gambar]

Setiap kali aku melangkah masuk ke hospital, tidak kira sebagai pesakit, pelawat ataupun sekadar suka-suka menderma darah setiap tiga bulan - aku menjadikan kegemaran melihat persekitaran sebagai satu perkara yang aku buat. Di hospital sebenarnya kita akan lihat pelbagai riak wajah manusia, ragam dan segalanya tentang manusia itu sendiri. Benda yang mengajar aku menjadi lebih manusia sebenarnya.

Sedih.
Sakit.
Marah.
Gembira.
Sayu.
Suka.
Semua perasaan bercampur baur.

Dari riak rupa manusia - pesakit, jururawat, pelawat mahupun doktor dan juga tukang bersih, semuanya meletakkan pelbagai sifat manusia itu sendiri. Mungkin kita tidak sedar. Mungkin kita enggan menoleh sekalipun. Tapi itulah manusia. Wajah sayu, mata redup, rintihan hiba dan termenung jauh seseorang itu mencerminkan pelbagai rasa.

Ya.
Manusia perlukan kasih sayang.
Kasih sayang daripada manusia sekeliling dia. 
Tetapi kasih sayang itu sebenarnya lebih beerti kalau dia pandai sayang diri sendiri juga.
Benar.

Ada orang bertanyakan aku dalam perbualan malam tadi sewaktu usai aku berpusing-pusing tidak tentu hala di luar wad. Adakah aku pernah dikecewakan dalam hidup? Jawapannya pasti sahaja pernah. Bukan setakat oleh manusia yang bergelar bekas kekasih, malahan peperiksaan dan juga diri sendiri. Ya, daripada sikap sendiri juga boleh membuatkan kita kecewa.

Jadi, soalan seterusnya yang dilontarkan adalah sama ada aku menyimpan perasaan dendam dan benci pada manusia-manusia yang pernah mengkhianati aku. Jawapannya mudah. Senang. Tidak pernah. Ya, tiada sekelumit perasaan benci atau sakit hati aku pada mereka. Dendam, benci bukan sifat manusia beku ini. Hati aku tidak mahu ada perasaan begini. Enggan aku biarkan segumpal darah bernama hati ini menjadi tanah yang subur untuk iblis dan syaitan bermaharajalela dan membajai dengan sifat tercela. Sudahlah aku manusia yang tidak sempurna. Untuk menambah celaka?
Tidak mungkin!

Dan untuk menuduh dengan penuh biadap bahawa Tuhan itu tidak adil apabila bahagia menghilang daripada genggaman kamu, adalah sesuatu yang aku pandang manusia sebelah mata. Tuhan itu Maha Adil. Kalau satu kasih sayang direnggut daripada kamu, masih banyak lagi kasih sayang di sekeliling yang patut kamu buka mata. Kenapa bila kegembiraan itu musnah, kamu menuduh Tuhan tidak adil? Tidak sayang kamu? Apakah masa kamu bahagia, kamu mengingati Dia? Sebagaimana kamu mengingati manusia yang kamu sayang sepenuh jiwa itu?

Sebutir demi sebutir dadah aku lihat orang di sebelah, di hadapan dan belakang telan satu persatu. Manusia yang sakit menjadikan ubat itu teman setia. Kasih sayang mereka pada ubat dipupuk agar dengan sedikit kudrat, mereka mampu sembuh seperti sediakala. Biarlah ditelan, dimamah, dipaksa masuk melalui pelbagai rongga, mereka rela kerana mereka mahu bahagia. Menikmati kesihatan yang dikurniakan oleh Yang Maha Bijaksana.

Sampai satu peringkat barangkali, keperluan kepada dadah itu mencengkam dan sangat diperlukan.
Ketagihan mungkin menular.
Keperluan mungkin berpanjangan.
Seperti juga kasih sayang.
Kan?

Kasih sayang itu umpama dadah.
Sedikit mungkin baik.
Sedikit mungkin berkurangan.
Di tahap biasa, kita gembira.
Di tahap biasa, mungkin tidak lagi bermakna.
Bila banyak, mungkin akan lebih baik.
Bila banyak, mungkin akan membawa kemudaratan.

Bukankah benda baik haruslah diambil dalam kuantiti sederhana supaya ia tidak akan membawa celaka apabila berlebihan?

Nota Kaki :
1. Menulis daripada Hospital Pakar Sultanah Fatimah sahaja ini.
2. Puan Mulia sudah berbalut kaki kanan. Ini ujian buat kami semua lagi.
3. Terima kasih pada mereka yang mendoakan kebahagiaan dan kegembiraan kami sekeluarga di sini.

Zara : Pemenang sebenar dalam hidup ini adalah mereka yang melalui cabaran demi cabaran tetapi tidak pernah merungut kesakitan bahkan melihat cabaran itu sebagai suatu bentuk kesenangan hidup yang berpanjangan. Kekuatan itu tidak akan menjelma tiba-tiba. (Shafaza Zara, 2011)

4 comments:

en_me said...

salam ramadhan dan selamat berpuasa cik zara tewwww.. ehehe

keet said...

hm..ksh syg yg bak dadah ni sbbkn ketagihan la ea..makin amik, makin melekat, makin x bole lupa, x bole tggl..kalau x kena cara, mmg mudarat..hu

Unknown said...

mohon copy entry..untuk tatapan kekasih hati..thanks..^^,

Anonymous said...

Terima kasih banyak untuk entry ini, kak zara.
Saya tak tahu nak kata apa lagi. Kak zara betul. Saya menyesal.

Love,
Syiqa