Friday, May 06, 2011

Ini Untuk Puan Mulia Yang Hebat.


Dia aku panggil Emak.
Kadangkala dalam coretan ringkas aku buat manusia yang pernah dan masih melalui cabaran membesarkan anak yang tidak semenggah ini, aku gelarkan dia Bonda. Tetapi di kalangan pembaca, aku masih lagi menggelarkan wanita paling dikasihi di dunia itu sebagai Puan Mulia, sebagai satu tanda penghargaan aku pada dia yang menjadi sumber tenaga.

Bulan ini bulan lima dalam takwim manusia. Puan Mulia ini sememangnya jaguh dalam bulan lima. Nah, mengapa aku nyatakan demikian?
1. Tanggal tiga haribulan lima, Puan Mulia dilahirkan ke dunia (tahun ini sudah genap jubli perak sama seperti pemilik rusuk kirinya)
2. Sejak tahun satu sembilan lapan enam, Puan Mulia sudah menjadi seorang pendidik bangsa. Maka, enam belas bulan lima, dia pasti diraikan juga oleh anak murid, pelajar di sekolah.
3. Ada satu hari dalam bulan lima yang dipilih secara khusus untuk sambutan hari ibu (walaupun sejujurnya setiap hari kita wajar mengingatinya), maka Puan Mulia sebagai seorang bonda, pasti sahaja termasuk dalam kiraan itu.

Senang kata, bulan lima adalah bulan di mana Puan Mulia diraikan berkali-kali.
Oh, dengki. (tiba-tiba)

Gambar : Sekadar hiasan tentunya. Puan Mulia kurang gemar gambarnya diambil dan dia pernah berikan sedikit teguran kepada aku supaya gambar dia tidak dimuatkan sesuka hati ke Internet.

Buat Puan Mulia, sempena sambutan hari kelahiran ke lima puluh tahun dan wajah serta saiz badan yang sering disangka anak remaja, beerti usia semakin meningkat dan semoga dengan kelanjutan usia itu menjadi satu rahmat buat kamu wanita yang melahirkan anak nakal ini. Banyak pastinya yang sudah dilalui oleh kamu wahai bonda yang dikasihi. Hari-hari yang telah berlalu, dengan harapan ia dapat dijadikan renungan dan pengajaran buat kita semua.

Yang baik, manis, terbaik akan kekal menjadi ingatan dan kenangan.
Yang buruk, pahit, menyedihkan menjadi pengajaran.
Yang tawarnya?
Tidak pernah ada.

Mungkin, itu yang sebaiknya untuk kita bersama menjadikan ia satu muhasabah sebagai panduan untuk menelusuri hari-hari yang bakal mendatang. Semoga Puan Mulia (dan termasuk kami semua), mempunyai kehidupan yang lebih cemerlang pada hari ini dan masa akan datang berbanding dengan kehidupan silam yang telah ditinggalkan.

Gambar : Agak-agak kalau kau tulis sebegini rupa sekalipun, dapatkah kau membayar apa yang pernah dicurahkan oleh wanita yang mengandung dan melahirkan kau ke dunia? Mustahil kalau kau kata ya. Mustahi amat wahai si derhaka.

Ibu merupakan kata tersejuk yang dilantunkan oleh bibir – bibir manusia.
Dan “Ibuku” merupakan sebutan terindah.
Kata yang semerbak cinta dan impian, manis dan syahdu yang memancar dari kedalaman jiwa.

Ibu adalah segalanya. Ibu adalah penegas kita dilaka lara, impian kita dalam rengsa, rujukan kita di kala nista.
Ibu adalah mata air cinta, kemuliaan, kebahagiaan dan toleransi. Siapa pun yang kehilangan ibunya, ia akan kehilangan sehelai jiwa suci yang senantiasa
merestui dan memberkatinya.

Alam semesta selalu berbincang dalam bahasa ibu. Matahari sebagai ibu bumi yang menyusuinya melalui panasnya.
Matahari tak akan pernah meninggalkan bumi sampai malam merebahkannya dalam lentera ombak, syahdu tembang beburungan dan sesungaian.

Bumi adalah ibu pepohonan dan bebungaan. Bumi menumbuhkan, menjaga dan membesarkannya. Pepohonan
dan bebungaan adalah ibu yang tulus memelihara bebuahan dan bebijian.

Ibu adalah jiwa keabadian bagi semua wujud.
Penuh cinta dan kedamaian.

("Ibu" - Karya Kahlil Gibran)

Sengaja aku berkongsi apa yang pernah dicoretkan oleh Kahlil Gibran tentang wanita yang bergelar sebagai seorang ibu. Tidak kisah dengan apa panggilan sekalipun, siapa pun dia, wanita itu yang pernah bertarung nyawa untuk mengandung dan melahirkan kita semua. Nah, sekarang, izinkan aku menggunakan panggilan biasa aku kepada Puan Mulia. Dia yang setiap kali aku terpandang, akan aku sebut, "Mak"

Mak.
Terlampau banyak budi Mak pada Along yang Along mungkin telah balas dengan menyakiti, mengguriskan hati Mak, kasih sayang Mak Along telah balas dengan kata-kata dan suara yang tinggi sedangkan Along sendiri tahu dan mengerti bahawa alangkah menyebutkan sekadar perkataan "huh" sudah menjadi suatu larangan Allah. Mak, betapa celakanya anak ini kan? Tapi Mak tak pernah membuang anak ini walaupun jelas sudah anak ini mungkin sudah menyakitkan hati Mak.

Mak.
Bukan sahaja pendidik dan guru di sekolah, bahkan Mak juga cikgu di rumah. Didikan dan asuhan serta nasihat Mak kadangkala Along ambil ringan dan abaikan. Bahkan sebenarnya, dengan berkat usaha dan doa Mak dalam mengasuh dan mendidik Along itulah, Along boleh dikatakan berjaya kini. Tatkala Mak memilihkan laluan hidup yang sesuai dengan apa yang Mak rasa sesuai dengan Along dan Along bertegang urat untuk mendapatkan pilihan Along, ternyata pilihan Mak jugalah yang membawa kepada siapa Along hari ini. Ya, seorang guru seperti Mak dan Abah.

Mak.
Kepayahan dianggap mudah, keselesaan dan kemudahan sanggup diabaikan serta dilupakan sewaktu mengandungkan Along, kesakitan yang langsung Along tidak dapat gambarkan sanggup Mak lalui ketika melahirkan Along (walaupun pernah menonton sekali video melahirkan bayi pun Along sudah ngeri dan trauma sehingga kini), titik peluh basah kering demi mencari rezeki untuk membesarkan Along serta adik-adik lain, tidak pernah Along mendengar Mak mengadu penat, atau letih dan tidak pernah juga Mak mengadu sakit. Alahai, kalau Mak katakan sakit pun pastinya sudah tidak tertanggung lagi penderitaan dan kesakitan itu bukan?

Mak.
Pakar masak terhebat yang sentiasa membuatkan Along duduk dan tidak pernah merungut di depan rezeki. Aneh pula kalau lihat adik-adik mengomel apa yang dimasak oleh Mak sedangkan Along masukkan sahaja makanan terhidang tanpa banyak bunyi. Sesedap atau sehebat mana pun makanan yang disediakan di luar, pastinya tidak dapat menandingi kehebatan Mak. Pernah sekali, lauk yang sudah di mulut, mahu dimasukkan mengisi perut sanggup Mak keluarkan melihatkan Along belum menjamahnya. Mak, Along jujurnya belum pasti akan menjadi wanita sebagus Mak jika punya keluarga sendiri.

Mak.
Abah dan Mak pernah katakan pada Along suatu ketika dahulu bahawa hanya pelajaran, pendidikan sahaja yang mampu mengubah nasib Along. Masa depan Along. Along bukan selama-lamanya akan berada di bawah jagaan Mak dan Abah. Mak dan Abah hanya dapat memberikan Along pendidikan supaya Along boleh memilih jalan dan kehidupan yang Along mahukan. Harta, simpanan yang dikumpul dan ditabung sejak kecil lagi Mak mulakan untuk Along, sanggup dikeluarkan dan dilaburkan semata-mata untuk memberikan peluang pelajaran dan pendidikan kepada Along. Dan ya, Mak kata, duit boleh diberikan, yang penting adalah belajar dan buat yang terbaik demi masa depan. Sebab tiada siapa yang boleh tolong Along kalau Along gagal dan tidak berjaya. Betul, walaupun Allah dapat menolong, tetapi yang kena berusaha untuk mengubah nasib diri, adalah tanggungjawab sendiri.

Mak.
Tatkala Along merenung kembali segala apa yang pernah Mak curahkan buat Along (di atas ini sekelumit cuma), Along sangat bersyukur dilahirkan dalam keluarga ini dan menjadi puteri sulung, cahaya mata pertama hasil pernikahan Mak dan Abah. Walaupun kadangkala Along merungut dan terdetik mengapa Mak tidak seperti ibu-ibu kalangan kawan-kawan Along yang lain, Along sedar bahawa Along hanya punya satu Mak di dunia ini. Mak yang sentiasa bersama dengan Along dan walaupun kita berdua adalah manusia yang jarang menunjukkan emosi, Along sudah dapat kenal pasti yang kita berdua punya ciri-ciri yang serupa. Tentunya bukan dari segi luarannya.

Gambar : Mak, adakah Along mampu untuk menjadi seorang ibu kepada manusia lain suatu hari nanti?

Mak.
Ini sedikit bekal yang Mak titipkan kepada Along dan adik-adik sejak kami pandai mengaji. Sedikit bekalan yang Mak kata jangan dilupakan selepas menunaikan solat. Along mohon untuk berkongsi titipan Mak ini sebagai pengingat diri sendiri, dengan harapan Along tidak menjadi anak derhaka.

"Ya Allah wahai Tuhan kami, ampunkanlah segala dosa kami dan dosa kedua-dua ibu bapa kami, dan rahmatilah mereka sebagaimana mereka mengasihani kami semasa kami kecil. Kami terlalu banyak terhutang budi kepada mereka.

Ya Allah, jadikanlah kami anak-anak daripada orang-orang soleh yang mendoakan keampunan ibu bapa kami, jadikanlah mereka sebagai anak kunci bagi membuka pintu syurgaMu dan janganlah Engkau jadikan mereka anak kunci ke nerakaMu. Teguhkanlah iman mereka Ya Allah. Jauhkan mereka daripada seksaanMu.

Perkenankanlah doa kami ini dan jadikan doa ini merupakan doa anak yang soleh yang Engkau janjikan akan diperkenankan"

Mungkin ini sahaja.
Ini sahaja yang dapat Along coretkan buat Mak.
Terima kasih atas segalanya Mak. Mak adalah orang yang Along sayang dan cinta setiap masa (dan begitu juga dengan Abah tentunya).

Mak.
Selamat ulang tahun kelahiran ke lima puluh.
Selamat hari guru yang kita bakal sambut bersama.
Selamat hari ibu (walaupun kita sentiasa raikannya setiap hari).

Mak.
Mak adalah Bonda terbaik.
Mak adalah Puan Mulia yang hebat.
Semoga yang terbaik sentiasa menjadi milik Mak.
Amin.

**********

Selingan :
Selain untuk penulisan peribadi dan insyaALLAH bakal diberikan kepada Puan Mulia, aku menulis ini sekadar mahu memeriahkan pertandingan yang dianjurkan oleh seorang penulis blog yang telah aku kenali sejak sekian lama, Joegrimjow. Joe, ulang tahun mak kamu juga sama dengan Puan Mulia, dalam bulan lima ini kan? Oh ya, selain itu, Faridzulasyraf.com (Joe juga sebenarnya) dan Abang Ilham ataupun lebih dikenali dengan nama Denaihati.com telah bermurah hati untuk menaja pertandingan sempena hari ibu nanti.

Nota Kaki :
1. Sejak kebelakangan ini, sudah lama tidak memandu ke sekolah membawa Mak lagi disebabkan masing-masing sibuk dengan urusan sekolah.
2. Dapat mendapatkan sesuatu yang dimahukan oleh Mak sempena ulang tahun beliau, Ya Allah, betapa aku sangat gembira melihat senyuman di wajah mendamaikan, yang dibawah telapak kakinya terdapat syurga.
3. Mak tidak mempunyai rangkaian sosial seperti Mukabuku. Jadi, dia tidak boleh mengundi aku untuk #DIGIWWWOW. Kalau kalian mahu mengundi, silakan ya di sini

Zara : Walaupun manusia boleh menyatakan dengan harta kekayaan mereka mampu membuat apa sahaja, aku dengan rendah dirinya mahu bertanya, apakah mereka mampu membeli seorang ibu dan menjaganya sehingga tua renta?

11 comments:

NAA said...

selamat ulang tahun juga.

tiba2 aku rindu kat mama kat rumah. ;]

p/s: jubli perak @ jubli emas kak zara? aku konfius. ;p

LynnAiza said...

tuching oh kalau kasik mak bca ni..huhu..
nice one kak!;p

s.a.m.y said...

Blogger mulia bicara soal puan mulia... nanti jemput singgah datang blog saya ya... :)

misz aisya said...

salam akak! lama sungguh tak ziarah blog akak. sori, bz lately..nway, ade perubahan pde header blog..huhu..

semoga puan mulia kita semua mendapat ganjaran terbaik drpd Allah...~amin~

Eyzan Encha said...

1. bonda kita sebaya, cuma bonda saya tua sehari dari puan mulia.
2. 3hb mei tetap hari bsejarah buat bonda saya sebab itu ulang tahun perkahwinannya.
3. Sambutan hari Ibu buat bonda.

so, setiap kali sambut bufday, kami buat pakej 3 in 1. hehee (^_^)

hans said...

selamat ulang tahun pada makcik ibunya zara

shafinaz (: said...

:')

Anonymous said...

hari ulang tahun perkahwinan mama dan abah saya sama dengan tarikh lahir saya, which is 30.7. jadi, kalau saya wish kat diaorng, diaorng akan wish kat saya balik. :) anyway, kak zara selamat hari guru ye (saje wish awal2. saya ingt sangat tarikh hari guru. saya pn bakal jadi guru 1 hari nnt, insya allah... :P) semoga menjadi guru yg terbaik dan berjaya dunia akhirat. insya allah.. :)
-ericca-

zeta belweil said...

best2...selamat hari ibu :)

Zeta’s Collection

joegrimjow said...

thx u
keputusan pukul 12 nanti hari ni ya
jangan lupa tengok2 =)

Anonymous said...

Tahniah Tahniah!!