Senyum.
Keadaan selalu berubah dengan cepat. Kadangkala hari ini kita gembira, tapi esok pula tidak selalunya cerah. Dan seperti yang aku nyatakan, bila-bila masa sahaja mungkin ada seseorang sedang memerlukan kita. Walaupun aku mungkin bukan seorang pemberi penyelesaian yang baik, aku seorang yang lebih banyak mendengar (atau membaca) dengan setia.

[Gambar]
AS : Aku geram betul bila dia asyik kacau aku semula.
Aku : Abaikan. Itu cara dia nak dapatkan perhatian kau.
AS : Dia siap tahan aku masa aku balik kerja semalam.
Aku : Eh, siap nak tahan?
AS : Dia merayu aku balik semula pada dia.
Aku : Kau nak?
AS : Tak nak. Aku tak boleh patah balik.
Aku : Kalau begitu, abaikan sahaja kewujudan dia.
AS : Tak semudah yang dikatakan. Dia telefon, SMS aku dan macam-macam lagi.
Aku : Boleh halang dia kan? Jangan jawab telefon, jangan balas SMS.
AS : Aku dah cakap dengan dia aku tak nak dia lagi.
Aku : Habis tu?
AS : Dia menangis depan aku. Ramai kawan-kawan pejabat aku tengok.
Aku : Buat drama pula.
AS : Ketua aku pun tengok, bengang aku.
Aku : Laporkan pada polis.
AS : Eh?
Aku : Minta buat sekatan dia dari datang menghampiri kau. Macam dalam televisyen tu.
AS : Di Malaysia boleh ya?
Aku : Boleh aku rasa.
AS : Dia menangis dan buat muka penuh pengharapan.
Aku : Kau cair?
AS : Kalau cair tidaklah aku begini.
Aku : Jadi apa kau nak buat sekarang?
AS : Entahlah. Kalau kau?
Aku : Abaikan. Dia akan berhenti bila dia penat.
AS : Dia bukan jenis tahu putus asa.
Aku : Manusia akan tahu penat dan malu juga.
AS : Dia dah ada orang lain. Dia dah pilih orang lain, kenapa nak datang lagi pada aku?
Aku : Mungkin pilihan dia bukan yang terbaik.
AS : Mungkin (ketawa)
Aku : Dulu siapa yang putuskan hubungan?
AS : Aku. Sebab aku tak tahan bila dia ada orang lain.
Aku : Oh. Jadi sila tabah sahaja dan abaikan dia.
AS : Kalau teringat benda ni, rasa nak menangis pula.
Aku : Eh?
*******

[Gambar : Adakah perlu memberikan bunga untuk menarik perhatian?]
Semalam ada seorang rakan mengutarakan soalan, bagaimana cara untuk menarik minta pembaca lelaki ke arah blog kita. Aku sejujurnya kurang mengetahui bagaimana caranya, disebabkan kebanyakan orang yang membaca blog aku rata-ratanya adalah perempuan, kecuali ada sesetengah lelaki yang memang rajin ke sini dan membaca tulisan aku. Tapi ini dari segi pemerhatian peribadi aku sahaja.
1. Tajuk yang menarik dan menangkap perhatian (baca : catchy)
Selalunya begini tidak kira lelaki ataupun perempuan. Tajuk yang digunakan boleh menarik perhatian (dan tidaklah perlu menggunakan perkataan yang perlu ditapis setiap kali). Dan seharusnya jalan cerita ataupun tulisan itu pastilah berkait dengan tajuk.
Contoh : Selamat Hari Hantu (ramai orang yang berminat pastinya).
2. Penulisan yang berkaitan dengan isu lelaki.
Sebagai contoh, sewaktu aku menulis mengenai tajuk hantaran perkahwinan, aku menerima banyak maklum balas daripada pembaca lelaki yang selama ini mungkin hanya baca secara senyap sahaja. Mereka menghantar pendapat melalui komentar blog, pesanan di Mukabuku dan juga Twitter serta Formspring bagi berkongsi pendapat tentang isu ini.
3. Sesuatu yang berkait rapat dengan minat lelaki.
Bola sepak, kenderaan seperti kereta, motorsikal dan sebagainya yang sering dikaitkan dengan lelaki. Pelbagai tips yang berkaitan dengan penampilan dan sebagainya serta penggunaan alatan teknologi mungkin boleh menarik minat pembaca lelaki. Kamera dan sebagainya (tetapi aku pun baca juga benda sebegini). Jadi, tulislah benda yang universal.
Senyum.
Tapi pada aku, kalau blog itu aku suka, apa sahaja yang ditulis, pasti aku akan baca.
Nota Kaki :
Esok aku sudah mula bercuti sehingga Ahad. Senyum. Semua kerja menanda telah disiapkan. Maka, hari Isnin nanti aku hanya perlu memasukkan markah ke dalam sistem. Senyum.
Zara : Aku sudah menemui cara membanteras budak meniru. Oh, mereka mungkin tidak dapat dihalang, tapi aku sudah tahu bagaimana mahu mengajar mereka akibat menipu aku. Ketawa.















