Sunday, July 29, 2012

#09 Ramadhan : Patuh Pada Pasangan.


Salam semua.
Bila aku menulis catatan hari ke 8 Ramadhan - ada yang bertanya kepada aku tentang kepatuhan kepada pasangan masing-masing. Patuh di sini, aku sendiri tak pasti sama ada dimaksudkan dengan taat setia ataupun sekadar mendengar kata. Ya, ada beza antara mendengar kata dan buat apa yang disuruh. Orang boleh cakap pada kita, tetapi mahu buat apa yang diminta itu terpulang pada individu. Betul?

Berbalik kepada persoalan yang ditanyakan itu, aku mudah sahaja berikan jawapan. Kalau pasangan itu adalah manusia yang sudah dinikahi - sudah jabat dan sentak tangan jurunikah atau Tok Kadi - makanya, taat pada suami itu sudah jadi satu tanggungjawab (untuk perkara baik tentunya). Begitu juga si suami, isteri itu sudah jadi amanah - makanya, setia sahaja pada seorang wanita yang dinikahi, manalah tahu tiba-tiba suatu hari nanti, setia itu sudah dibahagi dua, tiga atau empat. Eh.

Tapi kalau sekadar tunang atau kekasih?
Bagaimana?

http://farm5.staticflickr.com/4019/4564692792_e84bebcf79.jpg
[Sumber gambar]

Dalam pandangan peribadi aku yang banyak kelemahan ini, selagi belum ada ikatan sah, jujurnya kesetiaan dan patuh itu adalah pada ibu bapa yang begitu banyak berkorban masa duit dan tenaga untuk kita. Di sini konsepnya bukan setakat mendengar kata (kemudian keluar telinga kiri ataupun dikentut pergi, eh) tapi buat sekali apa yang disuruh (dan tentunya perkara yang baik - ada ke keluarga kita mahu kita buat jahat?).

Jadi, tak perlu dengar kata tunang atau kekasih?
Nanti putus pula kan?

Lempang nak?
Boleh sahaja kalau nak dengar kata tunang atau kekasih anda itu. Tapi janganlah sampai membelakangkan ibu bapa ataupun penjaga yang sah. Kalau semua benda buat dengan berkiblatkan tunang/kekasih sehingga apa yang ibubapa cakap pun disanggah - anak derhaka tahu? Nanti kalau nak kahwin, ibubapa itu yang kau perlukan juga. Bukan main suka hati nak kahwin lari - dan buat berita sensasi di muka hadapan akhbar dan berita utama di tivi.

Tetapi malangnya, sesetengah orang meletakkan kepatuhan mendengar kata ini lebih kepada pasangan berbanding ibu bapa. Semuanya pasangan mereka, lepas itu baru ibu bapa. Lebih takut pada pasangan masing-masing berbanding ibubapa. Bila disanggah terus kata yang mereka sedang berlatih untuk menjadi suami/isteri yang baik.

A : Kenapa kau semua nak tanya makwe kau?
B : Aku kan bakal suami dia.
A : Kau takut makwe eh?
B : Nanti makwe aku merajuk, leceh.
A : Mak bapak kau tau ke yang kau ikut ni?
B : Aku dah besar, buat apa nak tanya mak bapak aku.


Oh, dah besar eh?
Ibubapa dah tak perlu diberitahu.
Kekasih perlu dimaklumkan selalu.
Gitu.

(hentak dengan buku)

Tetapi, kalau pasangan itu mengajak atau mengingatkan ke arah kebaikan sebagai contohnya, bolehlah diikut. Benda baik kalau diajak tetapi tidak mahu - memang mengada yang amat. Kata nak jadikan sebagai pasangan kekasih awal dan akhir, cinta hati mati dan apa lagi, orang minta buat benda baik nak bantah - secara rasminya boleh terkeluar daripada senarai menantu pilihan pula nanti. Tapi kalau ibubapa minta buat arah kebaikan, buat ke tidak ni, anak-anak sekalian? #kekening

Maknya : Dari kau bergolek-golek tu, mengaji la Peah.
Peah : Letihlah Mak. Puasa kan?

 (selepas satu jam)

Maknya : Peah, dah mengaji ke belum?
Peah : Belum. Nantilah dulu Mak.
Maknya : Mengaji Peah. Kan bulan puasa ni?
Peah : Puasa sebulan la Mak.

(tiba-tiba telefon berbunyi - bukan lagu Janji Ditepati, heh!)

 Pais : Peah sayang buat apa?
Peah : Tak buat apa.
Pais : Bulan puasa ni bagus tadarus sayang.
Peah : Baik Pais.
Pais : Jom tadarus Peah.
Peah : Baik sayang.

(terus Peah *bukan nama sebenar* berlari ke bilik air, berwudu' dan capai Al-Quran)

Amboi Peah!
Ibu menyuruh buat lambat dan leceh. Si Pais telefon laju je berlari bilik air dan buat apa yang Pais suruh kan? Heh! Bagi sesetengah orang - mungkin bagus. Ya la, kata ibubapa dah tak makan dek akal, dapat lelaki baik macam Pais - nak juga si Peah tersebut mendengar kata. Macam dinyatakan sebelum ini, benda baik mungkin tidak mengapa, tapi kalau sampai tidak mendengar kata ibu bapa? Isk.

Selain itu, dengan lambakan laman sosial dan sumber yang mudah dicapai oleh setiap orang ditambah lagi sesetengah orang memang suka Google nama sendiri (pusing anak mata) - kadar ketakutan kepada pasangan berbanding ibubapa adalah tinggi - terutama budak-budak sekolah yang sudah ber-"papa-mama" di dalam kelas hatta baru Tingkatan Satu. Kemain Papa-Mama, padahal duit sekolah pun "Mak-Bapak" di rumah yang beri. Heh.

Kalau yang dewasa sedikit (ataupun perasan dewasa) - laman sosial itu dikatanya mampu membawa sial (kesan buruk katanya) - jadi, Facebook, Foursquare, Twitter dan segala macam benda haruslah disembunyikan daripada pengetahuan tunang/kekasih kalau pergi ke tempat-tempat yang mencurigakan. Kalau check-in di masjid semasa solat Jumaat/terawikh siap minta tag. Baru nampak soleh sedikit di mata pasangan masing-masing. Tapi kalau keluar dengan kawan-kawan, berpeleseran - takut lebih. Ya la, sesetengah ibu bapa tiada Facebook. Kalau ada pakcik dan makcik yang suka sibuk-sibuk pun, habis sudah di block. Eh.

B : Kau kalau nak check in, jangan tag aku sekali.
A : Kenapa?
B : Nanti makwe aku tau aku keluar.
A : Apa masalah kau?
B : Aku cakap dengan dia yang aku lepak rumah je malam ni.
A : Takut betul kau dengan makwe.
B : Bukan takut, sayang je.

Ceh!
Kalau dinding Mukabuku atau susur masa Twitter, sedaya upaya tidak mahu ada orang lain yang conteng ataupun berkicau bersama. Takut sangat kalau pasangan atau tunang tengok. Kalau orang mengacau, bolehlah marah. Tapi kalau sekadar kawan lama bertanya khabar pun nak sentap, kau dah kenapa kan? Aneh betul kelakuan mahu mengongkong tidak tentu hala.

Pais : Siapa yang like gambar awak tu Peah?
Peah : Kawan lama saya.
Pais : Kawan mana?
Peah : Kawan tadika saya.
Pais : Kemain dia komen kata awak cantik la apa.
Peah : Dah dulu masa tadika saya selekeh.
Pais : Unfriend je la dia.
Peah : Kenapa pula?
Pais : Sibuk je nak like dan komen gambar makwe orang.

Sebab itu agaknya Aliff Aziz buat lagu - "Jangan Ganggu Pacarku"
Heh!

[Sumber gambar]

Apa pun, letakkan kepatuhan dan kesetiaan itu di tempat yang sebetulnya. Jangan main redah tidak tentu hala sehingga mampu merosakkan jiwa dan hati masing-masing. Bukankah hati kita semua adalah rumah terbaik? Di situlah kita berlindung, memujuk perasaan dan mampu berdiri megah atas dunia. Kalau ia rosak nanti bagaimana?

Zara : Kemaafan bukanlah selalunya bermakna kita mahukan seseorang itu kembali dalam hidup kita, itu mungkin bermaksud kita sudah bersedia melepaskan kesakitan dan penderitaan itu pergi dan berterima kasih atas kenangan serta pelajaran. (Shafaza Zara, 29 Julai 2012)

4 comments:

zacky786 said...

setia pada yang satu :) heh!

Admin said...

kalau yang baik2 tu ikutlah.
tapi kalau yg bertanduk tu persetan sahaja (:

Perhimpunan Bersih Tidak Haram

Drunbella Khoo said...

Patuh ke arah kebaikan, itu bagus :)

Putih Kemerahan said...

kalau cakap ibu bapa yang besarkan dia pun dia boleh buat tak endah , tak mustahil satu hari nanti dia boleh jugak buat perkara yang sama dengan suami dia nanti . just opinion . :')