Tuesday, July 26, 2011

Bila Kita Tidak Boleh Berpatah Balik


Dalam hidup kita, sedikit sebanyak ada benda yang kita enggan mahu menoleh semula. Jangan kata menoleh, mahu menjengah kembali hanya sekadar untuk mengambil pengajaran sekalipun, kita jadi enggan tak enggan sahaja. Kenapa? Mungkin ada sekelumit rasa kesal yang terpalit setiap kali kita melihatkan sesuatu itu.

Aneh.
Setiap dari kita pastinya pernah terfikir untuk memadam kesilapan lalu. Kesilapan, sama ada berpunca dari sendiri atau orang lain. Sengaja atau tidak sengaja, kita mahu segalanya hilang, musnah supaya kita tidak perlu menangisi sesuatu yang menyesakkan minda setiap kali mahu melelapkan mata. Tidak juga sewaktu diri sedang diulit mimpi indah, kita terjaga dengan penuh resah. Gelisah. Sumpah diri, rasa celaka.

Manusia itu kan berbeza.
Setiap dari perasaan kita juga tidak sama.
Satu tahap, kita mungkin pernah luahkan perasaan tanpa sedar, ikut gila.
Tidak kira perasaan marah, sedih, kecewa dan mungkin juga rasa cinta dan suka.
Tetapi, kita menyedari bahawa, benda sedemikian sepatutnya tidak boleh diluah begitu sahaja.
Adakah kita boleh berpatah balik dan padam segala?
Kebiasaannya tidak, tetapi tidak mustahil ya.

[Sumber Gambar]

Kita hantar pesanan ringkas pada seseorang.
Entah bagaimana, kurang dari 30 saat selepas itu kita rasa itu bukan yang terbaik.
Apa yang harus kita nyatakan?
Tersalah menghantar pesanan?
Padahal sudah ternyata ada nama dia dalam ayat kita.
Boleh dipadamkah kesalahan itu?

Kita mungkin berkicauan di burung biru Twitter.
Kelajuan garis masa yang acapkali kita mungkin tidak terkejar membuatkan kita terfikir, apa yang ditulis boleh dipadam jika kurang dari 4 saat kita terhantar dengan salah ejaan dan sebagainya. Tetapi jangan lupa, ada orang lebih laju dari kita. Pantas. Kita padam dengan laju, tetapi masih ada yang tangkas menyimpannya. Nah, itu kalau sekadar kesalahan ejaan. Tapi kalau sudah terluahkan perasaan?
Sila lap peluh itu.

Banyak benda yang kita boleh berpatah balik.
Tetapi adakah jika diberi peluang segalanya akan bertukar baik?
Adakah segalanya akan kembali seperti asal bagaikan tidak terusik?
Ataupun hanya dipandang sepi sebagaimana taik?
Itu tidak pelik.
Jelik.

Pepatah Melayu ada menyatakan - "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, buruk padahnya" dan aku mahu menambah, terlajak terbabas tertekan minyak, habis remuk Adam Awraq kesayangan jiwa. Baiklah, itu cerita lain sebenarnya.

Dan, bukan benda baru apabila manusia sering mengeluh, "kalaulah, kalaulah, kalaulah" - segala macam kalau dengan diiringi ayat penuh penyesalan sebenarnya, cuma sesetengah orang enggan mahu mengaku kebenaran yang sudah terhidang di hadapan mata. Penyesalan enggan diterima tetapi mahu disanggah dengan sedaya upaya supaya segalanya dapat dimiliki semula. Kembali pada sediakala.

Tidak.
Kalau kembali pun mungkin tidak akan sama.
Pasangan bercerai, rujuk semula.
Pasangan bercinta, berpisah dan kembali bersama.
Kereta remuk, kembali pulih diguna.
Perasaan lain dan sebagainya tidak akan sama.
Bergantung kepada keadaan - sama ada akan jadi lebih buruk atau bahagia.

Dan seperti biasa, hidup kita, kita yang tentukan. Mungkin satu peringkat kita sedang menyimpan perasaan pada seseorang dan kita terluah kepadanya tanpa disedari. Adakah kita boleh berpatah balik dan menyatakan bahawa ayat yang terkeluar itu adalah di luar sedar? Kita hanya sekadar hanyut dengan perasaan yang tidak dapat dikawal?

Itu kalau cinta.
Kalau perkara lain seperti penceraian dan sebagainya?
Keputusan lain, yang berat serta mampu mengubah hidup manusia?

"Ah, jaga-jaga Cik Salmah" (bak kata Sharif Dol dalam Seniman Bujang Lapok)

Nota Kaki :
Kesibukan dan aku sedang kembali ke landasan semangat seperti yang dahulunya. Kembali menulis seawal pagi dan meninggalkan sedikit titipan buat mereka yang aku sayangi.

Zara : Aneh sahaja bila menyedari yang aku mungkin sudah terjebak ke dalam kancah sesuatu yang aku sedaya upaya mahu menghindari. Doa aku moga benda yang dirasakan hanya satu ilusi kerana jika ia benar, ia mungkin boleh buat senyum kembali. Jika tersalah, pastinya ada atma yang terluka lagi.

7 comments:

shahirahkhairudin said...

dalam panjang panjang isi, paling tertarik dengan yang hujung sekali.

moga zara baik baik saja. berani berhadapan dengan cabaran hidup. berani ambil risiko. life is about taking risk kan. tapi.. ah ! zara memang berani pun. pesen pesen metal iron ni.

PENCONTENG said...

Perasaan 'asing' yang cuba dihindari tu tetap akan bertamu juga bila tiba masanya kak zara.

love this one! dekat di hati.

good day kak zara <3!

anyss said...

Assalamualaikum,
Bukan semua perkara boleh patah balik @ delate sahaja, ada perkara 9walaupun buat kebaikan) akhirnya kita rasa menyesal lakukan begitu. Biarpun niat kita baik 9apatah lagi kalau niat tak baik), ada masa kesannya tak sama seperti yang kita harapkan.

Sebab itulah orang kata, Pengalaman buatkan kita lebih matang.

AziE said...

Kalaulah...kalaulah...kalaulah. Makanya aku redha dengan apa yang telah berlalu.

Sofia Nin said...

part twitter macam terkena, dah lama tulis salah kata cepat cepat edit. nak padam punya laju tapi dia dah display dulu.

Saya Orang Natoi said...

topik terbaek.kadang2 nak bergurau tp bila dibaca lain plk bunyinya.tapi xpe.mintak maaf mungkin penyelesaian terbaek at least untuk aku.

Intan Asyieda said...

love this!
ye betul.. bila kita toleh ke belakang.. imbau kembali ape yg kita buat dulu mesti banyak perasaan yg datang.. even, hepi bahgia dan mungkin jugak sedih.. timbul penyesalan..

'kalau kembali pun mungkin tak kan sama'.. masa lalu tu tak penting, yg penting diri kita sekarang.. cane kita nak corakkan kehidupan kita lepas nie.. walaupun kekadang masa silam tu datang, its oke.. pengalaman mematangkan seseorang rite..