Showing posts with label Happy Sunday #HS. Show all posts
Showing posts with label Happy Sunday #HS. Show all posts

Sunday, January 20, 2013

#HS : Bagaimana Memikat Hati Bakal Mertua?


Salam.
Aku dapat soalan begini dalam Formspring dan juga FB. Jujurnya, aku bukanlah orang yang layak ditanya soalan sebegini sebab aku sendiri kurang pasti sama ada jawapan aku dapat membantu ataupun tidak. Salah satu sebab aku katakan demikian adalah bakal mertua masing-masing pastinya punya kehendak tersendiri, maka pendapat aku mungkin tidak mencapai apa yang kalian yang bertanya mahukan.

Jadi, aku mahu berkongsi pandangan peribadi dan juga apa yang aku dengar dari kursus yang aku hadiri pada hujung minggu ini. Sebarang pandangan dan tambahan pendapat, boleh kalian tulis di ruangan ulasan sebab aku pasti, yang lebih berpengalaman pastinya lebih banyak pandangan bernas mereka sendiri.

Sebelum menulis dengan lebih panjang, pastinya setiap daripada kita tahu apa kehendak bakal mertua masing-masing itu. Mungkin daripada pasangan, kita tahu serba sedikit kegemaran ataupun perkara yang kurang digemari oleh bakal mertua. Makanya, itu terpulang bagaimana mahu dilunaskan atau diselesaikan.

1. Jika bakal mertua kurang gemar dengan imej anda.

Ini senang bak kata penceramah yang aku hadiri. Kalau dia kurang gemar dengan imej kita yang kurang baik di mata dia, berubahlah mengikut apa yang dia mahukan. Sebagai contoh, mungkin pakaian kita tidak menutup aurat (setakat membungkus aurat - bak kata Puan Mulia, sobs) - makanya, kita boleh ubah imej begitu dan berusahalah menutup aurat mengikut apa yang dimahukan. Tapi, kalau anda sudah menutup aurat, sekali bakal mertua mahukan menantu yang seksi seksa - aku rasa tak perlu kot nak ikut?

Kepada yang lelaki, mungkin bakal mertua kurang gemar dengan rambut panjang, pakaian yang tidak terurus ataupun jambang serta janggut atau misai yang berselirat - anda boleh kemaskan. Masa bersanding tak perlulah ikat tocang dan sebagainya. Hormati mereka walaupun itu mungkin imej yang telah anda pelihara sejak zaman persekolahan. Ah, demi gembirakan bakal mertua, apa salahnya kan? Lepas kahwin, boleh simpan rambut panjang lagi. Eh.

2. Jika bakal mertua kurang gemar dengan bentuk fizikal anda.

Benda begini sukar mahu ditafsir sebenarnya memandangkan setiap orang memang mempunyai citarasa tersendiri. Ada yang menganggap terlampau cerah itu serupa Edward Cullen - jadi mereka tak suka sebab macam orang sakit kononnya. Ada yang gelap pun tak disukai sangat sebab kononnya nanti dapat cucu gelap, tapi bagaimana kita mahu jadi Tuhan dalam diri kita sendiri kan?

Dalam bab warna kulit, mungkinlah boleh diubah (kot?). Pakailah krim pencerah, mandi susu dan segala apa yang dijual di pasaran tu kalau perlu. Yang dikatakan terlampau cerah berkilat bagaikan Edward Cullen boleh pergi berjemur dan mendapatkan kulit yang sedikit garing bagi memenuhi permintaan bakal mertua itu. Mana tahu sebab kulit dia sawo matang, dia takut tengok kulit orang yang terlampau cerah (agaknyalah).

Ha ha ha.

Kalau bab gemuk, kurus itu pula - itu boleh diubah juga tetapi dah kalau rangka badan besar, apa yang kita semua nak buat? Dah kalau keturunan memang berbadan besar, sekecil-kecil kita pun, masih orang lihat besar. Jadi bagi yang bertanya soalan sebegini, aku cuma kata, marilah bersyukur sebab kita sihat. Nikmat sihat yang kita dapat itu lebih utama daripada asyik sibuk nak puaskan hati orang. Kalau kita berusaha, dan sampai situ sahaja kita mampu lakukan, kenapa kita tak mahu berbangga dengan pencapaian diri?

Dah. Senyum cepat.

Kalau dia tak suka benda fizikal yang dikurniakan Allah, macam mata besar sangat, mata sepet sangat, hidung kembang, hidung kecil, hidung besar, dahi luas, pendek, tinggi dan lain lagi - takkan kalian nak pergi buat pembedahan pula? Dah kira berdosa mengubah kejadian Allah kan?

3. Jika bakal mertua tidak gemar dengan kerjaya anda.

Mesti ada sebab kenapa mereka tak suka. Jadi, dapatkan punca dahulu. Kenapa tak suka. Mungkin mereka ada sejarah tersendiri kenapa mereka tak gemar benda begitu. Kalau pekerjaan anda halal dan mampu untuk meneruskan kehidupan selepas berkahwin serta ada usaha memajukan diri, aku rasa benda begitu dah mencukupi. Tapi, kalau bakal mertua anda merasakan sebaliknya, sedapkanlah hati anda bahawa dia mencari yang terbaik untuk anaknya. Ya, siapa tak mahu yang bagus untuk anak masing-masing kan?

Jadi, anda boleh mulakan mencari pekerjaan lain ataupun berusaha memajukan diri dengan menyambung pelajaran (jika bakal mertua bising dengan kelulusan akademik anda) - jika ia masih dalam kemampuan anda, dipersilakan untuk menyedapkan hati bakal mertua sebelum anda dengan rasminya menjadi menantu mereka.

4. Jika bakal mertua tidak gemar anda tanpa sebab.

Ini paling payah. Tak tahu punca bagaimana nak selesaikan pula kan? Cubalah risik, tanya pada pasangan anda, apa yang bakal mertua tak berkenan sangat dengan anda. Mungkin anda bukan bakal menantu pilihan, dia dah ada orang lain mahu dijodohkan dengan anaknya. Mungkin juga dia malu anda tidak setaraf untuk dia bawa ke majlis-majlis besar dan sebagainya. Cubalah tanya, mungkin itu dapat membantu anda mendapatkan sebab dan alasan mengapa dia tidak menyukai anda.

Kata Ustaz penceramah semalam, kalau orang tak menyukai kita tanpa sebab ataupun alasan tersendiri, mungkin kita ada masalah dalam diri yang perlu diselesaikan ataupun orang begitu yang ada masalah dalam hati dan pemikirannya. Tapi untuk bersangka baik, marilah kita muhasabah diri sendiri sebab mesti kita ada sesuatu yang tidak disukai oleh mereka.

Selain itu, jangan buruk sangka dengan bakal mertua. Dengan setakat pandangan pertama, sessekali bertemu, sudah tentu kitabtak boleh melabel mereka bagaimana. Selain itu, menerima kekurangan mereka, kelebihan mereka adalah perlu. Siapalah kita berbanding orang lain? Sudah tentu melayani mereka sebagaimana melayani kedua ibu bapa adalah digalakkan. Lebih-lebih lagi jika mereka sudah menjadi mentua kita nanti.

Bagus ceramah tu semalam/div>

http://farm6.staticflickr.com/5171/5388758551_557a318464.jpg
[Sumber gambar]

Tapi bak kata Puan Mulia pada aku, kalau suatu hari nanti aku punya bakal mertua - aku mesti berusaha agar aku diterima oleh mereka seadanya, menghormati mereka sebagaimana aku menghormati keluarga aku sendiri serta berdoa agar mereka menerima aku, mengalukan aku ke dalam keluarga mereka. Banyak perkara yang aku perlu sentiasa belajar sebab setiap orang tidak sama dan walaupun susah atau senang, aku yang perlu hadapinya sendiri nanti, tanpa campur tangan dia lagi.

Sedih pula bila teringat apa Puan Mulia cakap.
Sobs.

Sunday, November 27, 2011

Benarkah Lelaki Sukar Untuk Difahami?




Salam Awal Muharram semua.
Semoga yang terbaik menjadi milik kalian semua. Alhamdulillah, salah satu benda yang aku hajati, sudah termakbul malam tadi. Terjaga akibat bunyi daripada pesanan Gmail, tidur malam yang kurang lena akibat sesuatu, buatkan aku mampu tersenyum sedikit - demi mengelakkan topeng yang aku pakai semalam terkoyak. Kali pertama pakai topeng - terimalah hakikat penulis ini sungguhlah naif. Eh. Lebih tentang ini boleh dibaca di sini - Cetusan Marga Zara

Baiklah.
Berbalik kepada tajuk di atas, itu persoalan yang sering diajukan oleh golongan wanita yang ternyata memeningnkan kepala akibat jawapan yang sering mereka adakan (heh!) atau terima membuatkan mereka sendiri tidak berpuas hati. Bahkan secara jujurnya, enggan meluangkan sedikit masa untuk membaca keadaan ataupun situasi dengan harapan lelaki, ya, lelaki di luar sana untuk memahami betapa mereka sudah berusaha sedaya upaya untuk kenal lelaki. Mencari jawapan sendirian dan akhirnya, menyalahkan diri sendiri (bagus sedikit kalau begini) ataupun berakhir dengan pergaduhan disebabkan, mereka merasakan mereka lemah dan harap lelaki untuk beritahu mereka, apa yang mereka perlu tahu. 

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgW5ogtPNk44lAE0I57S-N3bm0JEp5bBeDk26vXzXzXOC4JcXiZ8F5FBpCrX86ZEWLxcsiNGMjZH1a6mUf4IOnMzjT69SJI47vEc4ybKqQrFbQJLGn-IqJg6IUZO1og6YwrPKvHcIKTSZU/s1600/tumblr_lbhiecN6l91qaji9uo1_500.jpg
[Sumber gambar]- Beginikah yang kamu takutkan? Ha ha ha.

Jadi, mari kita gunakan beberapa soalan yang diajukan di Mukabuku kepada aku. Setiap satunya berkaitan antara satu sama lain aku rasa, jadi aku harap aku dapat berikan pendapat aku kepada gadis-gadis yang bertanya. Sebelum itu, perlu diingatkan ini adalah pendapat peribadi. Kalau tidak puas hati dan mahu memaki, boleh tulis dalam ruangan komentar. Aku terima semua kecuali yang mahu promosi benda. Heh.

01. Apa topik yg makwe boleh buka untuk dapat perhatian pakwenya? Topik yang tak menampakkan perempuan tu bimbo.
Baiklah.
Perempuan di luar sana, adakah anda tahu apa yang diminati oleh pasangan anda? Anda tahu apa yang menarik minat mereka (selain anda, mungkin) - hobi, ataupun apa sahaja? Bolehkah kita bersama dengan seseorang dengan hanya sebelah pihak sahaja yang mengetahui dengan mendalam pasangannya, manakal pihak satu lagi hanya sekadar tahu permukaan dengan alasan, minat kami tidak sama?

Perlukah bersama sebab ada persamaan?
Bukankah perbezaan yang menjadikan ianya lebih menarik?
Kenapa tak nak turunkan sedikit ego (maaf bagi yang mungkin terasa), untuk luangkan sedikit masa membaca apa yang dia suka? Tak salah untuk tahu dan mulakan perbualan itu dengan dia. Dia mungkin nak kongsi dengan awak benda yang dia suka, tapi awak pernah tunjukkan minat atau tidak?

Ya.
Perempuan memang banyak bercakap. Tetapi wahai kawan-kawanku sekalian, sesekali kita perlu biarkan komunikasi dua hala itu berlaku. Kalau hanya satu pihak sahaja yang bercakap dan hanya satu pihak menadah telinga mendengar serta kita menolak dia tatkala dia mulakan sesuatu yang kita tidak faham, alangkah sedihnya kerana komunikasi kurang berkesan sudah wujud dalam keadaan itu.

Sebagai contoh (peribadi), aku seorang yang banyak menulis, membaca, mendengar benda yang aku senang dan hidup aku sering berputar antara tempat kerja dan rumah sahaja. Manakala si dia, membaca juga merupakan suatu kegemaran - tetapi dia lebih banyak membaca artikel di Internet ataupun majalah. Bahan bacaan dia dan aku tidak sama, dan hobi aku menulis blog manakala dia boleh habiskan masa berjam-jam untuk bermain Starcrafts 2. Jadi, apa benda yang boleh dijadikan pemula perbualan dari dua dunia yang berbeza?

  • Mulakan dengan sesuatu yang ringkas. Biasanya si dia akan bertanya khabar dan apa yang aku buat di tempat kerja ataupun di rumah. Ya, ini kebiasaan dia yang buat aku sering geram juga. Geram disebabkan ini biasanya ditanya oleh perempuan - tapi dia yang akan bertanya. Dan walaupun sedemikian, aku senang untuk gunakan situasi yang sama bertanyakan hal dia.
  • Disebabkan dia perlu masak sendiri, aku akan tanya apa yang dia perlu masak dan sebagainya. Selain itu, disebabkan aku tahu dia sukakan Starcrafts 2, aku akan tanya juga sama ada dia perlukan ruang untuk bermain atau tidak. Selain itu, dia juga suka menonton siri drama ataupun filem yang dimuat-turun, jadi, pertanyaan itu sebenarnya bukan satu bentuk sarkastik atau sindiran - tetapi lebih kepada kita mengambil tahu apa yang dia suka. Betul tak sayang? Eh.
  • Selain itu, kalau si dia berkongsi benda yang dia suka - teknologi terbaru, gadget, fesyen, hatta permainan komputer yang aku sendiri kurang mengerti -  aku akan cuba cari sendiri apakah benda yang dia perkatakan. Tetapi yang baiknya tentang dia adalah, kalau dia sedang khusyuk membaca sambil berbual dengan aku, dia akan berikan aku pautan bahan yang sedang dia baca. Maka, aku dapat memahami lebih mendalam dan tahu bagaimana mahu memberikan reaksi kepada dia. Bukankah perkongsian itu adalah lebih baik dalam mana-mana hubungan manusia? Er, berkongsi pasangan, aku tiada ulasan mendalam.

Dan aku sendiri percaya, hidup manusia bukanlah atas satu garisan tegak semata-mata. Pastinya setiap daripada kita mempunyai cerita berbeza setiap hari, kalaupun tidak melibatkan kita, pasti orang lain. Maka, berkongsi, berbual tentang apa sahaja tetapi janganlah sampai menyentuh perkara yang membuatkan pasangan anda rasa mati (baca : turn off).

02. Pasangan saya dah tahu saya macam mana, apa yang saya tak suka dan saya suka. Masalahnya, saya tak boleh terima apa yang dia suka - memang langsung tak kena dengan saya. Jadi, setiap kali dia bercakap benda yang dia suka, saya cepat bosan.

http://data.whicdn.com/images/4574051/tumblr_la9v7jFI791qaecyko1_500_large.png
[Sumber gambar]

Satu perkara yang aku faham dalam perhubungan (tidak kira percintaan, persahabatan, kekeluargaan dan sebagainya) adalah jangan mementingkan diri sendiri. Ya, sikap jual ikan (baca : selfish) itu perlu dalam situasi tertentu, tetapi dalam cubaan kau memahami manusia di sekeliling, janganlah mementingkan diri sendiri hingga orang yang kau sayang itu terluka.

Apakah kau sanggup setiap kali dia terpaksa tahan muka dan terima sahaja perbuatan kau yang tak suka benda yang dia suka?
Adakah dengan buat dia sedemikian kau rasa gembira?
Adakah dengan mementingkan diri sendiri, kau rasa kau dilayan seperti orang yang berkuasa?

Sebagai contoh, kalau si dia sangat sukakan kereta, walaupun kau mungkin tak tahu apa jenis kereta, kapasiti enjin yang dia sedang cakap dengan penuh bersemangat, salahkah kau pinjamkan telinga untuk mendengar? Perempuan, tolong jangan mementingkan diri sendiri dengan anggapan, lelaki perlu mendengar, perempuan perlu bercakap. Kadangkala, lelaki ada sesuatu yang mahu mereka kongsikan dan keengganan kau mahu mendengar dengan kenyataan, "saya tak faham apa yang awak sampaikan, saya tak minat benda itu, saya rasa tak mengerti, awak tak ada benda lain nak cakap" - semua itu hanya akan mengakibatkan dia enggan mahu cakap apa-apa lagi dengan kau. Dia akan duduk sahaja dengar apa yang kau mahu cakap, berikan reaksi kerana dia faham kau dan kau rasa gembira sebab dia jadi lelaki yang mendengar.

Tapi, adakah dia gembira?
Aku lebih suka kalau pasangan aku bercakap. Aku sendiri memang banyak bercakap dan kalau dia ada sesuatu yang dia mahu perkatakan, aku akan berikan dia peluang. Sebab, bila dia berkongsi benda yang dia suka, benda yang terlintas dalam fikiran dia - itu adalah suatu peluang yang jangan dipersiakan. Betapa menariknya lelaki yang mampu bercakap dengan pasangan dia tentang apa sahaja dan tidak tertumpu kepada satu perkara sahaja. Apakah kau ingat, bila bercinta, hanya perlu bercakap tentant soal hati, jiwa dan cinta semata-mata? Banyak benda lain termasuk mungkin juga cuaca.

03. Saya suka benda tu, dia tak suka. Bila dia tak suka, kami bertengkar dan setiap kali, saya memang tak pujuk. Sebab saya pernah beritahu dia yang saya tak pandai memujuk. Lagipun, kalau lelaki merajuk, bukankah mereka yang kena pujuk hati sendiri? Kita yang perempuan ini barulah layak dipujuk lelaki kan?
Phui!
Adakah setiap kali perempuan merajuk, lelaki kena pujuk? Lelaki merajuk, maka mereka yang pujuk hati sendiri? Kegilaan apakah ini? Jadi, apa gunanya hubungan? Sedapnya jadi perempuan kalau begitu. Buat hal, bikin masalah, mulakan pertengkaran dan mengharapkan si lelaki terima apa sahaja yang kau buat? UNTUNGLAH!

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiOKI-Pqnd3XZmSpO7Tc4xw3aMXNNYVWV4MUYATKuN9LdpOW_UJaXN7W3Cci-Btt6vH6jL0KoQlCK5q4XaSU2X1hg7evR1A2k4vnLn0k96K1hZfUq2aM9gxtcM9zWZfG60Seod6SVrBGgv1/s1600/1.png
[Sumber gambar] - Setiap kali lelaki nak kena buat macam ni? Kepala otak anda.

Mungkin lelaki itu berkecil hati dengan kau. Dia merajuk (dan aku tak anggap lelaki merajuk mengada-ngada, disebabkan dia juga manusia yang punya perasaan) dan dengan harapan, kau datang pujuk dia dengan mengucapkan maaf ataupun apa sahaja yang sesuai. Bercakap baik-baik dengan dia. Itu sahaja. Tapi apa yang selalunya terjadi adalah, bila lelaki merajuk, yang perempuan nak sentap tidak tentu hala. Pemutusnya, lelaki itu juga yang kena memujuk kau semula dan bagaimana dengan hati dia? Tiada harga ke?

Jangan jadi manusia berlagak yang mementingkan diri sendiri ya? Jadi seorang yang memahami manusia lain. Kalau nak kata diri tak pandai memujuk, tak memahami pasangan, tak tahu kehendak dia - bolehkah kau berhenti sekejap dan renung kembali apa yang kau perlu lakukan? Pernahkah kau belajar apa yang dia suka?

Aku banyak baca artikel tentang bagaimana hubungan manusia, tak terhad kepada pasangan cinta semata-mata. Tak tahulah mungkin aku jumpa manusia yg ramai setiap hari ataupun apa, tapi setiap hari aku akan cuba membaca sesuatu hasil carian Google tentang manusia. Sebab bila aku membaca, baru aku dapat lihat kelemahan diri aku (bahagian yang aku tak suka tentang diri sendiri) dalam cara aku berkomunikasi dengan orang ataupun bagaimana aku perlu menghadapi si dia - adakah aku melayan dia dengan sewajarnya bagaimana dia tahan dan sabar dengan karenah aku?. Selain itu, sumber daripada buku juga membantu aku sedikit sebanyak seperti yang aku pernah tulis di sini.

http://27.media.tumblr.com/tumblr_l9lpklmQ4y1qaecyko1_500.png
[Sumber gambar] - Adakah kau mahu seseorang yang berada di samping kau makan hati dan bertahan untuk melayan segala perbuatan kau, kerana dia masih lagi punya rasa cinta? Apa akan terjadi kalau dia sudah penat dan tawar hati?

Lelaki dan perempuan sama sahaja.
Kedua-duanya punya rasa cinta, rasa manusia.
Jadi, kalau kau mahu memahami seseorang itu, fahami diri kau sendiri. Fahami orang disekeliling kau. Kalau kau sendiri tidak suka dikhianati, disakiti, jangan buat perkara sedemikian pada orang lain. Susahkan untuk buat perkara sedemikian? Jangan setiap kali ada masalah, kau akan guna kenyataan bahawa - dia lelaki, kau perempuan. Melontarkan tuduhan lelaki adalah kompleks adalah satu kenyataan yang sama pedihnya bila lelaki mengatakan benda yang sama pada perempuan.

Benar.
Cuba kau sebagai perempuan, lelaki kata - "Eleh, perempuan ni asyik nak merajuk. Sentap tak menyudah. Susah nak faham perempuan, asyik nak mengamuk macam datang bulan" - apa yang kau rasa? 

Fikirkan.
Itu sahaja buat kali ini.

Nota Kaki :
1. Peringatan - ini adalah tulisan bercorak peribadi, menjawab persoalan yang dikemukakan oleh beberapa orang.
2. Buat yang memberitahu aku setiap kali mereka mahu mengambil gambar dalam tulisan aku, perlu diperjelaskan bahawa aku sudah meletakkan sumber gambar dibawah setiap daripadanya. Jadi kalau kau ambil dan letak dalam tulisan kau, jangan jadi serupa lanun dan tidak berikan penghargaan sewajarnya kepada tuan punya gambar tersebut. Bukan aku, tapi tuan punya berkenaan.

Zara : Banyak yang dipelajari dengan membaca. Ya, aku tamak bila tiba soal membaca kerana aku tahu, semakin banyak aku membaca, semakin banyak benda yang aku jumpa, dan semakin jahil rupanya aku yang kekurangan ilmu. Maka, dengan membaca, aku belajar lebih banyak dalam menampung pengetahuan kau yang sempit.


Sunday, July 24, 2011

#HS #03 : Awak Tahu Erti Harapan?


Suatu ketika dahulu, harapan pernah membukit.
Tinggi dengan niat mahu mencucuk langit.
Tapi sebelum segalanya bermula, datang sakit.
Akhirnya, impian itu hilang laju bagai pelesit.

http://farm5.static.flickr.com/4032/4401451339_b80fca2bff.jpg
[Sumber Gambar]

Kadangkala bila kita terlampau baik dengan orang, kita dituduh memberikan harapan pada orang lain. Membiarkan seseorang meletakkan harapan tanpa kita jangka dan akhirnya, apabila segalanya terbongkar, kita yang dipersalahkan kenapa menjadi terlampau baik dengan orang.

Dan ya, apabila Abah cakap mengenai sesuatu pagi tadi, aku hanya mampu gelak kuat sahaja. Abah, ketahuilah bahawa tiada sesiapa, diulangi, tiada sesiapa pun pernah menaruh harapan pada anakmu ini Abah. Puteri sulung yang sering dicemuh kawan-kawan sebagai makhluk yang tidak berperasaan ini memang tiada siapa yang sudi mahu ketuk pintu hati.

Dan aku lebih suka hidup begini.
Manusia beku yang dikatakan berjiwa mati.

Dan harapan adalah bahasa paling utama di dunia.

Nota Kaki :
Esok entah apa yang menanti. Aku tak mahu fikir apa-apa.

Zara : Sesuatu terjadi dikatakan ada hikmah disebaliknya. Jadi, apakah kejadian baru-baru ini mengundang hikmah yang bukan sedikit nikmatnya? Entahlah.

Sunday, July 17, 2011

#HS #02 : Kadangkala Kita Benci Mimpi


Setiap orang bermimpi.
Mempunyai impian yang kadangkala kita sendiri tidak dapat pastikan hinggalah kita terjaga dari tidur dan cuba menggapainya, ia hilang begitu sahaja. Ya, hidup ini memang aneh dan menyimpan pelbagai persoalan. Kita yang perlu merungkainya walaupun acapkali kita bertindak menjauhkan diri dengan alasan - sakit kecewa itu bukan sedikit atau ringan tanggungannya.

http://farm3.static.flickr.com/2002/2385441378_0b11259a78.jpg
[Sumber gambar - Salahkah bermimpi?]

Kita dihidangkan dengan sajian penuh nikmat daripada dapur yang dikatakan lazat.
Kita hidu bau aroma hidangan dengan penuh semangat.
Tapi, bila saat mahu mencuba, kita liat.
Kita takut hidup jadi palat.
Lihat?

Satu tahap dalam kehidupan kita, pastinya kita mengharapkan mimpi-mimpi yang datang dalam lena kita menjadi kenyataan. Sudah tentunya, mimpi itu mimpi yang baik, mimpi yang membuatkan kita terjaga dari tidur dengan senyuman penuh di wajah walaupun kurang lima minit selepas itu kita mula mengukir wajah duka. Benda yang kita harapkan menjadi realiti rupanya fantasi akibat hormon yang saling berperang tatkala kita kepenatan seharian dan terlena di ranjang sendirian.

A : Saya suka awak.
B : Betul ke?
A : Betul, saya sangat suka awak. Cinta awak itu lebih tepat.
B : Sebenarnya saya juga cinta awak - dan saya harap kita dapat berkongsi rasa ini.
A : Ternyata, saya juga mengimpikan benda yang sama.
B : Terima kasih kerana benarkan saya bahagia.

[Sumber gambar]

Dan, kita terjaga hanya untuk menyedari perbualan penuh bahagia itu hanya satu cebisan mimpi yang menyentak tidur dari terus berpanjangan. Penggera berbunyi mematikan lamunan dan muka diraup - meninggalkan ranjang sambil terkenangkan mimpi sewaktu mengosongkan usus besar yang bekerja sepanjang hari sebelumnya. 

Kita layak bermimpi. Setiap orang layak punya impian masing-masing. Setiap dari kita mengimpikan sesuatu yang baik dalam hidup. Apa yang kita perlukan untuk mengejar mimpi dan impian tersebut? Kita perlu memahami apakah sebenarnya impian tersebut dan bekerja keras untuk mendapatkannya. Ingat satu benda iaitu selagi kita percaya bahawa tiada benda yang mustahil, kita akan berjaya.


Salahkah kita untuk bermimpi?
Tidak.


Impian kita ibarat mimpi indah yang kita mahukan dalam menyempurnakan hidup kita. Impian itu bagaikan bintang yang walaupun kelihatan mustahil untuk kita sentuh dan pegang, tetapi jika kita mengikutinya dan kekal berada di landasan yang betul, tidak mustahil kita akan berjaya menggapainya.

Dan aku mungkin sedang bermimpi saat ini.
Satu pinta aku, jangan kejutkan aku dari mimpi ini - ia mungkin akan jadi pengakhiran paling menyakitkan hati.
Aneh, aku masih suka mimpi siang hari.
Ketawa geli hati.

Nota Kaki :
Makan durian dalam kuantiti tidak terkawal menyebabkan otak aku berkecamuk. Keluar mengayuh sebentar hari ini sebelum bekerja pada hujung minggu yang ceria.

Zara : Sesuatu yang sangat menarik mengenai mimpi adalah ia sebenarnya satu sempadan antara lena dan jaga, dan kita kadangkala tidak dapat mengasingkan antara realiti dan fantasi dan kita tidak tahu sama itu adalah sekadar mimpi atau sebaliknya hingga kita tersedar dan lihat mana sebenarnya kita berada.

Sunday, July 10, 2011

#HS #01 : Walaupun Pahit, Kita Telan Juga.


Dalam hidup, tidak semua yang kita mahukan akan menjadi milik kita. Selalunya, apa yang diidamkan adalah sesuatu yang sukar didapati dan memerlukan usaha yang berlipat kali ganda.

Bagi yang masih setia meneruskan perjuangan, tahniah diucapkan.
Buat yang mengalah sebelum memulakan langkah, terima kasih hanya kerana mampu bersuara gah.
Bagaimanapun, yang berjuang tapi kecundang, terima kasih kerana membanting tulang.
Itu yang mungkin diri kita mahu ucapkan buat kita, si pemilik tubuh.

http://farm5.static.flickr.com/4047/4633330151_7df7f2b990.jpg
[Sumber gambar]
Ya.
Dalam hidup ini, apa yang paling penting bukanlah berapa lama kita hidup, tetapi berapa bermaknakah hidup kita. Kalau hidup kita panjang tetapi tidak berguna, pastinya tidak ada sesuatu pun yang mahu dikenangkan. Ternyata, memilih kesenangan bukanlah sesuatu yang mudah - bahkan barangkali menempah rengsa yang tidak berkesudahan.

Kawan : Aku trauma untuk memulakan hidup baru.
Aku : Kenapa?
Kawan : Setiap kali aku mulakan hidup baru, cinta baru juga akan menyusul dan itu membuatkan aku akan teringat kembali, betapa kecewanya aku dengan cinta lama.
Aku : Jatuh cinta bolehkah dihindarkan?
Kawan : Jatuh cinta kan sama macam kemalangan? Boleh ambil langkah berjaga-jaga.
Aku : Tetapi, seringkali dalam berjaga-jaga, muncul juga sesuatu yang tidak diduga.
Kawan : Itukan sudah ditakdirkan.
Aku : Begitu juga dengan jodoh, jatuh cinta dan sebagainya.
Kawan : Aku tak mahu lagi jadi optimis.
Aku : Kau boleh jadi pesimis kalau mahu.
Kawan : Ah, celakanya hidup.
Aku : Kita selalunya akan salahkan sesuatu, atas semua yang berlaku.
Kawan : Aku benci dengan segala kesengsaraan, kepahitan hidup.
Aku : Walaupun pahit, kita telan juga kan?
Kawan : Ya ke?
Aku : Contohnya ubat. Ubat pahit, tetapi kita telan juga.
Kawan : Sebab ubat menolong kita cepat sembuh - usaha kita.
Aku : Sama dengan kita telan kesengsaraan. Ia tolong kita lupakan lama dan mulakan yang baru. Boleh?


Hidup kan ada sentiasa naik turun.
Macam pasaran saham.
Macam roda.
Macam harga minyak, harga ayam, harga sayuran dan sebagainya.
Dan juga mungkin berat badan.

Sentiasa ada perumpamaan. Sentiasa ada jalan untuk menyelesaikan segala masalah. Apa salahnya kita bukakan minda dan telan sedikit kepahitan agar apa yang kita rasa dihujungnya adalah kemanisan sebuah kehidupan?

Nota Kaki :
Kalau kau tak pernah belajar apa itu sejarah, jangan pernah duduk mengongoi, merengek tidak tentu hala.

Zara : Dalam kesibukan dunia, susahkah kau mahu berhenti sebentar dan bertanyakan khabar? Kesombongan kau ada bayarannya. Mungkin bukan hari ini, tetapi akan datang. Tiada siapa yang tahu.