Monday, July 04, 2011

[Ulasan] : Cekik dan Kasino - Novel Fixi


Sebenarnya, selepas menulis mengenai Pecah, Dendam dan Kougar, sedikit sebanyak aku menerima pertanyaan tentang novel-novel keluaran Fixi yang sudah menjadi koleksi peribadi aku. Di Mukabuku, setelah aku memuatnaik gambar buku-buku yang aku beli, pastinya akan ada sahaja yang bertanya bagaimana mahu membeli. Di Twitter lagi gila sebenarnya. Aku dapat ramai pengikut (baca : follower) baru disebabkan oleh novel-novel Fixi. Ada yang siap sanggup berlumba dengan aku siapa yang habis baca dahulu ataupun yang dapat dahulu naskah novel Fixi.

Baiklah saudara Amir Muhammad, adakah aku sudah layak menjadi sebahagian tenaga kerja promosi Fixi? (tiba-tiba)

Memandangkan aku jauh dari Selangor ataupun Kuala Lumpur, aku harus akur membeli secara atas talian sahaja pilihan yang aku ada. 

Kasihan kan?

[Gambar diambil dari penulisan #WW #1 aku]

Baiklah.
Menelusuri dua novel ini, ada sesuatu yang sangat sinikal tentang apa yang melanda negara disampaikan dengan penuh tajam tanpa kita sedari. Pergolakan masyarakat, kedangkalan kita memahami hakikat sebenar dan cuba berlindung disebalik gambaran yang kita sendiri kurang pasti, akan membawa kita lebih kenal dengan diri serta pegangan kita sendiri. Betul. Kita masih manusia biasa yang mempunyai pemikiran tersendiri, tetapi kita jangan lupa, otak kita tidak akan bermakna jika kita tidak menggunakannya. Jangan jadi macam manusia degil, bodoh dan sombong - mereka percaya kepala mereka akan berubah bentuk jika terlampau banyak berfikir. Celaka kan?


http://fixi.com.my/wp-content/uploads/Cekik_400x256.jpg
[Sumber gambar]

Tahun 2020, di Bandar. Warith, pemuda berusia 16 tahun, menerima berita pembunuhan bapanya di Kampung melalui telefon. Imbas kembali Warith sewaktu kecil menonton video porno milik bapanya. 

Warith kini bersekedudukan dengan teman wanitanya Suria, yang berusia 32 tahun. Dari jendela apartment mereka, Menara Warisan Merdeka kelihatan agam.
 
Warith pulang ke Kampung dengan Suria. Di kawasan perkuburan, mereka didatangi Detektif Anthony, yang pernah mengenali Suria sewaktu sama-sama gila-gila remaja. Mereka kemudian ke tempat pembunuhan, di mana beberapa rahsia lain akan terbongkar.

CEKIK ialah hidangan pascamoden yang memeranjatkan. Ia mengajak kita merasai apa itu nafsu, apa itu kota, apa itu mi Maggi, McDonalds, khutbah, tudung dan juga liwat.

*******

Dalam CEKIK, kita dapat melihat sesuatu yang sinonim dan dekat dengan masyarakat. Tentang remaja, tentang kemahuan dan kehendak yang apabila tidak dapat dipenuhi, nafsu memberontak yang remaja lakukan ternyata boleh lari dari norma. Aneh-aneh sahaja kalau kita menolak dan mengatakan tidak, kerana ia pernah dilaporkan terjadi dalam masyarakat. Tidak, ia tidak perlu digemburkan memandangkan benda begini kalau disebutkan selalu akan dikata jalang.

Warith, seorang remaja yang tinggal bersama ayahnya yang digambarkan sebagai seorang yang kuat agama tetapi menonton cerita lucah. Ayah yang tidak pernah berikan dia kasih sayang sebenarnya, tetapi masih berikan dia makan setiap hari dengan hidangan yang sama - nasi putih, sambal ikan kembung dan kicap sikit. Dan tanpa dia sedari, ayahnya telah meliwatnya sewaktu dia cuba untuk tunjuk jagoan makan cili padi. 

Warith lari ke bandar, cuba lari dari bayangan ayahnya dan dia terjumpa dengan Suria yang menyimpannya di rumah. Wanita lanjut usia yang bekerja sebagai golongan profesional - lebih kepada hubungan kougar dan anak ikan sebenarnya dan Warith ternyata bahagia dengan pilihan dia. Mungkin, Suria adalah cinta dan kasih yang dia mahukan dalam hidup.

Tetapi, dengan satu panggilan telefon yang diterima tatkala sedang masak mi segera dengan dua biji telur sambil memikirkan sama ada mi itu sudah kembang atau belum, membawa kita tentang perkaitan antara Warith (dan berapa lama dia sendiri tidak mengetahui yang namanya salah), Suria, Detektif Anthony yang pernah menonton porno bersama Suria sewaktu zaman sekolah dan juga ayahnya, yang mati dicekik di surau berhampiran rumah mereka. Siapa pembunuhnya?

Dan dalam CEKIK juga aku mula jumpa beberapa perkataan baru yang ternyata, menambah lagi koleksi istilah untuk aku gunakan dalam menulis di dalam blog ini. Betul, kalau dulu aku suka menjalankan uji kaji dengan menulis perkataan yang aku suka walaupun kalian tidak faham makna, dan aku mahu kembali menulis dengan gaya sedemikian rupa.

CEKIK membuatkan loceng minda berdering. Ada sesuatu yang kita kena lihat pada anak muda, remaja kita. Kalau kita terlupa dan sengaja alpa, kita sama-sama menempah neraka.


http://fixi.com.my/wp-content/uploads/kasino-a_397x297.jpg
[Sumber gambar - Ini edisi yang aku punya disebabkan aku beli secara atas talian]

http://fixi.com.my/wp-content/uploads/kasino-coverb1.jpg
[Sumber gambar - Ini khabarnya untuk yang dijual di kedai-kedai buku]

Mohd Narcissus Yussof ialah seorang usahawan Bumiputera yang pantang dicabar.  Dia berkebolehan, kacak serta selesa dengan gaya hidup yang mewah dan hedonis. Tetapi dirinya kini tersepit.

Apabila negeri di mana dia berniaga diambil alih oleh Pakatan Rakyat, sumber kewangannya tergugat.  Lebih parah, dia kini terhutang RM3.8 juta kepada kerajaan negeri.  Dia ada hanya 2 minggu untuk melangsaikannya atau padah, dihadapkan ke badan pencegah rasuah.

Mohd Narcissus harus beradu dengan masa untuk menyelamatkan reputasi. Antara ikhtiarnya ialah dengan mencuba nasib di gelanggang judi antarabangsa.  Nasib dunianya yang selama ini bergantung kepada tampuk kuasa politik semakin menghimpit.  Di medan KASINO sebegini, kemuliaan hanyalah dari kemenangan
.

*******

Disebabkan minat yang melampau, aku pernah hantar juga tulisan sepanjang tiga ratus patah perkataan demi mendapatkan naskah KASINO secara percuma. Malangnya, tiada rezeki aku disitu dan itu sebenarnya tidak menghalang aku untuk mendapatkan naskah ini secara atas talian.

Mengikuti baris demi baris karya Saifullizan Tahir ini sebenarnya membuatkan kau tersenyum dan tangan akan pantas mahu menggunakan enjin carian - Google contohnya. Kenapa? Sebab setiap kali dipaparkan watak Narcissus dan segala jenama yang dipakainya (termasuk dengan gundik dan segala watak lain dalam itu), harus diakui, jenama yang belum pernah didengari juga aku temui. Nasib baik ada terselit jenama ZARA. Ketawa.

Novel Saifullizan Tahir yang dengan terperanjatnya aku, bila dia mengikuti aku di Twitter (sebelum aku sempat mencari dia) dan bertanya sama ada aku sudah terima naskah KASINO atau belum - aku ketawa sendirian sambil mengangguk setuju, ya, hidup ini adalah satu perjudian. Cerita ini dalam sesetengah bahagian amat dekat di hati, memandangkan, Saifullizan Tahir menggambarkan Mohd Narcissus Yussof dibesarkan di Johor dan bersekolah agama di sana. Ya, aku sebahagian daripada hasil keluaran sekolah agama petang-petang juga.

Narcissus adalah satu potret usahawan, ahli perniagaan dan arkitek yang tidak pernah meninggalkan solat - sentiasa berusaha menunaikan ibadah fardu itu walau di mana sahaja dia berada, termasuk ketika dia sakit tetapi wain merah tetap menjadi minuman yang menyegarkan minda. Arak dan perempuan menjadi kegemaran Narcissus yang berusaha dan percaya dia bukan bodoh tetapi orang lain yang bodoh. 

Ada Dolly.
Ada Salmah.
Ada Mageedah.
Dan jangan lupa, ada Anwar Ibrahim dan juga Bik Mama.

Kita juga dibawa mengenali Narcissus yang menjadikan kasino sebagai gelanggang dia mendapatkan semula duit sebanyak RM 3.8 juta dalam masa empat belas hari. Kemewahan yang dia tidak mahu tinggalkan, dengan tangan sentiasa menekan Beri Hitam (baca : Blackberry). Dan politik juga seperti yang kita selalu dengar itu tentunya. Kita baca dan ketawa sebab apa yang ditulis sebenarnya cerita nyata yang ramai orang tidak mahu terima.

Dan, seperti juga dalam ulasan sebelum ini, kalau masih ada yang bising-bising dan kata novel-novel Fixi tidak sesuai untuk dibaca, aku cadangkan kalian baca sahaja dahulu. Ini memberikan pendapat dan salakan omongan kosong, ternyata tidak membantu. Sudahlah statistik membaca dikalangan rakyat Malaysia aku sering tertanya-tanya siapakah yang menjadi golongan yang ditanya. Kalau aku boleh membaca lima belas buah buku sebulan, mana satu rakyat Malaysia yang membaca hanya satu atau dua buah buku setahun itu? Memang menyakitkan hati betul.

Dan, itu sahaja buat kali ini.
Ada ciretan ringkas aku di Terfaktab sempena minggu perkahwinan.
Boleh baca kalau sudi.
Noktah.

Nota Kaki :
Entah bagaimana aku boleh terlibat dengan manusia-manusia yang tidak pernah kenal erti puas dalam hidup. Apa lagi yang mahu mereka jilat agaknya atas dunia ini. Hinggap dari satu pundak ke satu pundak lain, aku tertanya-tanya, apa lohongan hitam mereka sudah tepu dengan dosa?

Zara : Yang bertanya dengan aku apa maksud "lubang kunyit" dalam penulisan sebelum ini, aku ketawa sahaja sendiri. Gali maknanya kalau kamu tidak sedar bahawa ianya dicanang kuat dalam media sebelum ini - kalau kamu bacalah.

13 comments:

Anonymous said...

Cekik membawa konsep surreal dalam penulisannya.

♛ LORD ZARA 札拉 ♛ said...

@Lucifer

SETUJU!

:)

L said...

Aku pergi Pesta Buku dan beli semua.
Semua sebab kau asyik bising pasal buku2 ni.

Kalau design aku untuk client tak siap lepas ni nak salahkan kau boleh tak Shafaza? Yeah! I'll put the blame on you babe. Yeay!

BTW, CEKIK is full of inspirational. Sodomy, oh sodomy. And I can't imagine Warith did sex with his own mummy. And that father actually raped Suria at the mimbar!

Suck tragedy but awesome novel.

I should ask Amir Muhammad read this anyway. LOL!

Unknown said...

kedua2 buku yang best! jlan cerita yg mantap. suke peulisan kasino yang detail

Lyla Ibrahim said...

I like Narcissus...
He's really something...
Kasino ni novel yg sgt sesuai utk shopaholics...
heh...

Syamims B said...

Aku dengar cerita ada adegan lucah dalam buku Cekik. Harus dibaca secepat mungkin!

takky said...

agak2 cerite dia berbeza sikit ke kalau kulit depan buku berbeza??

yusuf mujahidin ™ said...

salam cikgu

minat juge nak baca buku2 ni. tp masa tkde.

dah start baca, tah bile nak dihabiskan..hehehe


**alasan

Namie Xa'adea said...

Saya sangat jeles dengan review yang anda buat untuk Kasino. Saya pun dah review tapi versi phailed!!!

Anyway, will get in touch with other 4 novels from #fixi, tapi pelan2 kayuh punya version.

nota kaki : saya gembira (read : bangga gila) kerana Kasino saya versi beli online punya!! gempak siottt!!

z said...

perh! membuka minda sungguh novel die..style habih :)

snow queen said...

macam best je novel nie...:)

KizZ said...

Uih..Mantap..semua novel ada.Kiz baru habis baca Pecah.Yang lain-lain,belum kesempatan.Mungkin kalau tangan sebelah zara rasa ringan nak bagi pinjam leh la..hihi..

www.kizgarden.blogspot.com

Alin Marlini said...

tertarik dgn kasino sbnrnya