Tuesday, September 24, 2013

Kerana Mereka.


Salam.
Aku rasa, sampai sekarang aku boleh hadap apa sahaja dalam hidup, adalah disebabkan aku punya mereka yang sangat kuat sebagai penyangga kehidupan aku. Kuat macam mana sekalipun orang pandang aku (mungkin), aku selalu mengingatkan diri aku --- dua manusia yang tidak pernah tinggalkan aku sejak aku wujud dalam dunia.

Ya.
Mak dan Abah.
Puan Mulia dan Ketua Keluarga Hebat.

Sekarang ada suami.
Jadi, ada tiga kini.

Tapi sekarang ini, aku hanya mahu berkongsi tentang yang lebih dekat dengan hati. Yang kena dengan situasi aku, emosi aku saat ini. Barangkali, terlampau banyak benda yang aku mahu fikirkan dalam satu masa, berkadar langsung dengan emosi serta suasana dari aku mula bekerja, aku fikir, bila dinilai kembali, kawan aku yang paling akrab adalah Emak. Sejak aku tamat pengajian dan memulakan kerja, aku duduk dengan keluarga. Sampai aku dah kahwin dan berjauhan dengan suami atas tuntutan kerja. Hidup aku, ada Emak sentiasa.

Anak emak.
Kawan aku pernah kata aku anak emak. Jujurnya, kita semua adalah anak kepada emak kita kan? Apa sahaja yang kita lakukan mesti akan terlintas pemikiran tentang emak sendiri. Kalau tak banyak, sedikit sudah tentu. Jadi, setiap kali aku mahu lakukan sesuatu, aku mesti teringatkan emak. Terfikirkan bagaimana reaksi emak kalau emak dapat tahu dan sebagainya. Dalam beberapa situasi, kalau aku rasa Emak akan benci perkara tersebut, aku akan tinggalkan sahaja. Biar pun aku sendiri akan rasa kecewa. Mudah.

Dengan Mak, aku banyak cerita benda.
Dari hal sekolah, membawa kepada hampir setiap benda yang aku rasa boleh bercakap dengan dia. Mak pun ke sekolah bersama aku, pulang bersama, hidup bawah satu bumbung yang sama, jadi dengan Mak sahajalah aku boleh bercakap selain Abah (sesekali dengan adik beradik yang pulang dan suami bila hujung minggu). Selainnya, hanya mereka. 

Jadi, bila berbual dengan Mak malam tadi, tentang benda yang dekat dengan hati, aku tekankan kaki aku ke lantai, kepal tangan dengan kuat, tahan air mata dari mengalir dan cuba berlagak tenang sedaya upaya yang aku boleh. Ya, aku anak yang sedemikian rupa. Yang sejak dahulunya memang berfikiran dangkal (mengikut ukuran pemikiran orang lain) --- memandangkan pada aku, kegembiraan aku bergantung kepada kegembiraan Mak dan Abah aku. Menyakiti mereka, umpama menyakiti aku secara langsung.

Ya.
Naif eh?
Peduli pula aku.

Membuatkan mereka tersentuh, mengalirkan air mata --- kau bakal berhadapan dengan aku yang kalau amarahnya tidak terkawal, mungkin aku bukan lagi anak yang berikan senyuman paling cantik (walaupun hati dicarik-carik) pada kau. Mudah sahaja. Mudah berurusan dengan aku, memandangkan, aku punya wanita paling mulia di mata aku di jiwa aku.

"Mak, kalau orang tak suka kita camne?"
"Kita jangan tak suka orang"

"Kalau orang tetap tak suka kita?"
"Mungkin kita ada rasa tak suka pada orang. Bersihkan jiwa dari ada rasa macam tu pada orang lain"

"Tapi kalau kita takde benci pada orang, tapi orang benci juga pada kita?"
"Itu ujian Allah pada kita. Nak tahu sejauh mana sabar kita"

"Sabar pun ada had juga Mak"
"Mak tahu. Tapi, benda begini kita tak boleh jangka. Allah buat sesuatu kan bersebab. Banyakkan istighfar. Doa. Solat hajat. Moga Allah tunjukkan cara"
Itu Mak.
Tatkala aku separa mamai dipenuhi dengan darah muda, panas menggelegak dan rasa mahu marah semata, dia ada untuk beritahu aku bahawa segala perasaan itu boleh dikawal dengan senjata yang bertunjangkan agama. Doa. Amalan-amalan mulia. Baik wajib, sunat segala. Supaya, anak yang setiap kali ada bersama dia ini mampu kawal marah (walaupun seringkali hampir jadi pengganas jalan raya).

Senyum.
Dalam segala urusan, ada kata-kata Emak buatkan aku lebih menghargai apa yang aku cuba buat dan lakukan. Mungkin dengan didikan yang garang, yang buat aku sering tertanya-tanya dahulu, mengapa, mengapa, mengapa --- kini aku dapat jawapan yang aku dambakan.

Setiap apa yang Mak dan Abah lakukan ada justifikasi mereka sendiri yang tidak perlu diberitahu kepada anak-anak dalam bentuk lisan. Satu hari, mereka akan mengerti. Dan kini, aku mengerti setiap tindak tanduk yang mereka lakukan (sekurangnya).

Mak.
Terima kasih atas segala.
Sekurangnya, malam tadi, sewaktu letak kepala atas bantal, Along boleh atur semula banyak benda dalam kepala. Apa yang dicari hari ini, dikutip demi masa hadapan yang lebih baik bukan untuk keperluan sendirian semata. Bukan sekadar mencari di mana hilangnya jiwa --- tapi mengukuhkan diri agar tabah menghadapi apa sahaja. 

Senyum.
Terima kasih, Mak.
Selamanya Puan Mulia.

http://distilleryimage0.ak.instagram.com/4b82debebaaa11e2aa0322000a1fa408_7.jpg
[Instagram aku] : Gambar masa bertunang sahaja yang aku ada sewaktu menulis ini.

Nota Kaki :
Bila segalanya tidak seperti yang kita fikirkan, rancangkan --- jangan pernah berputus asa. Biar kalah mencuba daripada duduk diam dan pujuk diri untuk pasrah. (Shafaza Zara, 23 September 2013)

1 comment:

takky said...

sejuk ye tgk muka puan mulia....
sedap je mate nie memandang....