Ridhwan Saidi menghidangkan kita semua dengan karya terbaru beliau yang bertajuk Mautopia. Ridhwan Saidi yang sebelum ini telah menghasilkan Cekik dan Amerika (yang aku sampai sekarang tak sempat nak ulas - tetapi sangat sukakan watak Mursyid) serta menulis Luwak Dan Kretek dalam Kopi - membuatkan sesiapa yang bakal membaca Mautopia tertunggu-tunggu apa lagi kejutan dalam tulisan beliau. Kalau mahu katakan Ridhwan sebagai genius baru penulisan (bagi pembaca macam aku) - jujurnya dia layak. Dan beliau memang bijak sebenarnya, sekejap kau akan, oh! dan sekejap lagi eh! dan gelak sendirian walaupun ada beberapa ketika kau mahu gigit tengkuk orang sebab geram.
"Tiada yang betul selain kebetulan"
Sharifah jatuh cinta dan putus cinta ketika berusia sepuluh tahun. Kekasihnya seorang pelakon teater cilik telah terpilih untuk bermastautin di Amerika. Enam tahun kemudian Sharifah ditangkap khalwat berdua-duaan. Sharifah dan pasangan bukan mahramnya telah dihukum di hadapan perhimpunan. Sharifah kesal dan mula berubah, di kala kekasih pertamanya pulang dari Amerika dengan satu rahsia.
Ismail berusia seratus tiga puluh dua tahun tinggal seorang diri di dalam sebuah rumah api. Di usia remaja, Ismail dan dua rakan pengakapnya Jason dan Prakash telah beradvencer ke puncak bukit Famosa. Mereka menemui sebuah perkampungan nelayan Yawa-Kotti di sebalik bukit, kawasan larangan Guru Besar.
MAUTOPIA adalah sebuah advencer distopik mengenai cinta terlarang, tanggapan dan manipulasi yang berlegar-legar di sekitar pohon oak ditumbuhi orkid, piramid kaca dan keluli, renjatan taser, bot berkuasa solar, kek cawan, rumah modular, ikan pari masak asam pedas dan sut manusoid.
Ismail berusia seratus tiga puluh dua tahun tinggal seorang diri di dalam sebuah rumah api. Di usia remaja, Ismail dan dua rakan pengakapnya Jason dan Prakash telah beradvencer ke puncak bukit Famosa. Mereka menemui sebuah perkampungan nelayan Yawa-Kotti di sebalik bukit, kawasan larangan Guru Besar.
MAUTOPIA adalah sebuah advencer distopik mengenai cinta terlarang, tanggapan dan manipulasi yang berlegar-legar di sekitar pohon oak ditumbuhi orkid, piramid kaca dan keluli, renjatan taser, bot berkuasa solar, kek cawan, rumah modular, ikan pari masak asam pedas dan sut manusoid.
[Flickr aku] : Mautopia - Epal - Ahli sukan - MSSD Ledang 2012 |
Dalam halaman pertama dalam Mautopia, Ridhwan sudah berjaya mengikat hati pembacanya untuk meneruskan pembacaan hingga ke muka surat terakhir tanpa mahu curi-curi lihat pengakhirannya. Dalam halaman pertama, kita diperkenalkan dengan watak Sharifah (heh! sama dengan nama pertama aku) - yang merasai cinta pertama (kononnya) dengan budak lelaki yang mengucup bibirnya sewaktu pementasan sekolah pada usia sepuluh tahun. Malangnya (bertuah pada mereka) - budak lelaki itu bersama keluarganya berhijrah ke Amerika dan Sharifah datang bulan buat kali pertama.
Penceritaan Mautopia berlatar belakangkan Bukit Famosa. Bukit Famosa digambarkan sebagai komuniti masyarakat yang teratur dibawah kuasa Guru Besar dan setiap keluarga, dijaga oleh doktorga (doktor keluarga?) yang bersuara robotik. Doktorga bagi setiap keluarga ini akan menguruskan keluarga yang dijaga dari pelbagai aspek - kesihatan sehinggalah ke masakan. Makanan rasmi di Bukit Famosa adalah asam pedas ikan pari (yang aku sudah tidak boleh mahu hadam lagi selepas apa yang digambarkan dalam ini).
Sharifah pada mulanya seorang yang tidak menutup aurat dan selepas mendengar ceramah yang disampaikan oleh "bintang tivi bertuduh labuh" - dia menukar pandangan dia dan tidak lagi memakai plastik transparen bewarna merah jambu untuk menutup diri (mengingatkan aku pada baju hujan dan juga jubah yang biasa kita berikan pada orang yang tidak menutup aurat di masjid-masjid). Oh ya, nama Sharifah dalam Mautopia adalah Sharifah Alia Syed Warith. Buat pembaca Cekik - masih ingat nama Syed Warith? Dalam Amerika juga, Ridhwan menyelitkan nama tersebut. Oh gurubesarku!
Di Bukit Famosa - setiap mereka perlu "tontonyang" (setelah beberapa kali jumpa perkataan ini, baru aku tahu ia merujuk kepada apa) yang perlu dilaksanakan beberapa kali setiap hari dengan menghadap tivi yang memaparkan - kesalahan dan hukuman yang dilaksanakan di Amerika (kononnya). Amerika dianggap sebagai tempat para selebriti, bidadari dan menjadi impian dari setiap penghuni Bukit Famosa untuk ke sana.
Dalam bahagian permulaan, kita disajikan dengan Sharifah yang sudah mula mengikut ajaran agama - dengan tidak mahu bercinta dan sebagainya. Tetapi malangnya, dia ditangkap khalwat kerana duduk berdua dengan Hamzah (atas laporan Aminah) - dan menjalani hukuman yang ditetapkan oleh Ustaz sekolah dan di hadapan khalayak di perhimpunan. Dan hukuman yang dijalankan buat aku tidak mahu (lagi) untuk menjamah kek cawan coklat. (Ridhwan Saidi nak kena cubit agaknya sebab habis makanan kegemaran aku, aku tak boleh nak makan lagi selepas baca Mautopia).
Dan selepas kejadian tersebut, kekasih pertama Sharifah, si pelakon itu pulang. Watak Farisi digambarkan sebagai budak yang terselamat dari ke Amerika, jatuh ke dalam lautan berwarna merah dan berjaya diselamatkan oleh Ismail (yang kalian akan habiskan baca pengembaraannya bersama lagi dua kawannya Prakash dan Jason - konsep 1 Malaysia?). Ini bahagian yang menarik - Bukit Famosa mencari Amerika sebagai tempat yang abadi, syurga dunia tetapi sebaliknya bagi penduduk Amerika yang menganggap Bukit Famosa adalah tempat yang mahu mereka tuju. Tapi, apakah itu realiti ataupun hanya mainan minda?
Oh ya, tentang sut manusoid (manusia + android? - sebab keluar suara robotik) - dan didalam sut itu adalah kerengga, aku terfikirkan apakah Ridhwan sangat sukakan serangga atau haiwan. Dalam Cekik, dia menggunakan kucing (yang agak abnormal) - dalam Amerika - siapa sangka di pengakhiran cerita, kau macam, "Hey! Takkan watak utama sebenarnya lipas?" - di dalam Mautopia, Ridhwan menggunakan kerengga. Sama ada mahu digambarkan kerengga sebagai haiwan yang rajin, dan disebalik kerajinan itu ada terselit sifat kejam dan membunuh (siapa yang tak berair mata lepas kena gigit kerengga, beritahu sedikit) - hanya Ridhwan sahaja yang tahu. Dan aku pastinya bukan peminat kerengga, kecuali memasang impian mahu pinggang seramping kerengga. Phui!
Bagaimana dengan cinta Sharifah dan Farisi? Adakah percintaan mereka membawa kepada pengakhiran yang baik ataupun tidak? Kita boleh lihat hukuman yang dikenakan bagi mereka yang tidak mematuhi larangpantang (peraturan? hukum?) Guru Besar di Bukit Famosa. Dalam aspek ini, aku secara jujurnya, merasakan bahawa Ridhwan sedang menyindir halus golongan serbanitas yang menghukum membabi buta dengan kefahaman ortodoks tanpa menyiasat satu perkara dengan mendalam. Dan peristiwa di "Amerika" - perbezaan pakaian kelabu dan putih - satu benda normal pada manusia (secara sinikal) yang membezakan kasta dan taraf hidup masyarakat. Walaupun, Jason dan Prakash dihukum secara luar tabii.
Mautopia - kalau di mata pembaca novel yang tidak tahu apa-apa dan mengharapkan kau boleh hadam, baca sahaja tanpa perlu berfikir, kau akan kalah di aksara-aksara Ridhwan Saidi. Ya, kau akan kalah sebab pemahaman jalan cerita, menggunakan bahasa yang tidaklah terlampau tinggi, tapi kau perlu teliti. Aku sejak kali pertama baca Cekik, diikuti oleh Amerika, Luwak dan Kretek dan Mautopia - aku tidak mahu kalah pada Ridhwan Saidi. Tidak mahu kalah dalam erti kata - "Cerita apa ini?" - tidak. Jadi, aku ambil masa, baca dan hadam secara perlahan-lahan demi menikmati Mautopia. Sudah tentunya tanpa kek cawan coklat ataupun ikan pari masak asam pedas.
Terima kasih Ridhwan Saidi yang sudi turunkan tandatangan buat aku - pada Mautopia, tapi terlupa untuk buat benda yang sama pada KOPI. Kecewa.
Zara : Ada lebih 7 buah buku lagi yang sedang beratur untuk dihadam isinya.
7 comments:
saya pun nak cubit ridhwan saidi jugak, ermgghhhh.
owh, mataku berpinar masa baca ulasan ini...
cerita yang twisted sehingga ke pengakhiran cerita tp disampaikan dengan kemas
cerita yang twisted sampai pengakhiran..tp disampaikan dgn kemas..
cerita yang twisted hingga ke pengakhiran tp disampaikan dengan kemas
wah! zara memang rajin membaca!
personally, aku lebih suka amerika daripada mautopia.
mautopia bikin aku tak mahu makan ikan untuk seminggu!
cibs.
Post a Comment