Friday, March 09, 2012

Maaf.


Ada orang dengan mudah memohon maaf.
Maaf itu senang meluncur dari bibir basahnya, dan kita senang sahaja menerima permintaan maaf itu dengan hati terbuka. Ya, kalau kesalahannya ringan, manusia biasa mulutnya sama ringan jua meminta maaf. Celakanya, perbuatan itu juga ringan diulang kembali. Nah, jahanam harta benda dengan wujudnya manusia begini. Untunglah kalau cuma harta benda, tapi kalau maruah?

Anus dan labia minora boleh dijual belikah?
Ini bukan perdagangan yang bikin hati manusia gembira.
Ini hal besar-besar yang melibatkan banyak mata dan telinga.
Ini masalah yang bisa menggoncang dunia.
Boleh menjadikan setinggi gunung dosa.
Sebagai syarat diseret ke neraka.

Ada orang yang mulutnya payah meminta maaf.
Walaupun ternyata itu kesalahannya, dia yang bikin khilaf.
Padanya, mustahil dia menundukkan wajah, merendahkan badan meminta maaf atas kesilapan, pantang segala leluhur kalau dia mula meminta maaf. Dia sahaja yang betul, dia sahaja yang benar, dia sahaja yang hebat dan mulia. Orang lain semuanya hanya golongan hina. 
Mungkin dia rasa dia dewa.

[Sumber gambar]

Ada orang yang kau boleh kira berapa kali dia minta maaf.
Dia hanya akan mengaku salah bila kau mula membentak, merajuk atau apa sahaja. Kalau tidak, walau bagaimana salah dia sekalipun, dia akan buat muka yang suci kononnya. Tidak akan ada sesuatu yang membolehkan dia ucapkan dahulu. Tiada langsung. Pada dia, dia akan ucap bila dia rasa dia perlu, tetapi malangnya, dia tidak pernah nampak yang dia perlu minta maaf, walaupun keperluan itu ada. Jenis ini lagi bikin rasa mahu membunuh orang dengan sekuat tenaga.

Dia geram dengan manusia yang layak dihumban sahaja ke neraka, dia rasa begitu walaupun dia tahu, mungkin dia bukan yang selayaknya berkata-kata. Manusia itu muncul tatkala dia sudah memulakan hidup baru yang lebih baik walaupun dia tahu, mungkin dia lebih berjaya daripada sebelumnya. Kegagalan, kekecewaan menjadikan dia lebih cekal, lebih tabah menghadapi apa sahaja. Manusia itu datang, mahu menceroboh sesuatu yang sangat halus, sangat dalam pada diri seorang manusia. Dia mahu menghentam, tapi dia sedar dia bukan Tuhan.

Bukan dia tidak beritahu yang dia sudah lama maafkan manusia itu walaupun tiada sekelumit permohonan maaf tatkala dia terpaksa menerajui hidupnya semula. Dia kemudi kembali hidup tanpa arah pedoman sebelum dia akhirnya jumpa apa yang dia mahukan dan dia berada dalam landasan yang dia suka. Mungkin manusia itu terlalu angkuh atau adakah hatinya sendiri sudah menjadi ampuh?

Ya, manusia itu mungkin yang pertama. Manusia itu mungkin yang pernah merasai hidup, merasai betapa dangkalnya dia memainkan peranan berat setelah dia selama itu tidak pernah berdua. Manusia itu yang kenal dirinya yang polos tanpa secalit warna sehingga dia sudah tahu membezakan mana cantik, mana buruknya yang tidak boleh ditunjukkan pada dunia. Cuma, bila manusia itu sudah memberikan dia senyuman selebar padang bola, manusia itu juga yang merenggut dan merobek senyuman serta menikam jantung, luka paling dalam pernah dia rasa. Dia tahu dia mungkin belum pulih sepenuhnya, tapi dia masih tegar berdiri, bangga sebab dia masih bernyawa.

Ya, dia sayang manusia itu.
Sebab teramat sayang, maka dia membawa diri dan berlalu.
Bukan sebab dia penat menunggu.
Cuma dia tahu, yang kehadiran dia tidak lagi perlu.
Dia sedar dia sudah pilih tepat saat dan waktu.

Maaf.
Maaf.
Maaf.

Zara : Kau mungkin rasa diri kau tidak berharga pada seseorang, tetapi mana tahu yang kau adalah sangat bernilai bagi manusia lain yang pandai menghargai? Kau perlu tahu nilai diri dan jangan lupa hakikat itu. (Shafaza Zara, 9 Mac 2012)

3 comments:

kechixx said...

comel sgt header;)

Fatimah Ali said...

maaf tu dah macam nasik. bila dah lapar, makan. dan kenyang.

ali said...

lawalah blog !!! nampak cantik sangat. sesuai sangat dengan buku2 review tu semua... :)

http://alibasyir.blogspot.com/2012/03/digi-wwwow-awards-2012-hah.html