Salam Awal Muharram semua.
Semoga yang terbaik menjadi milik kalian semua. Alhamdulillah, salah satu benda yang aku hajati, sudah termakbul malam tadi. Terjaga akibat bunyi daripada pesanan Gmail, tidur malam yang kurang lena akibat sesuatu, buatkan aku mampu tersenyum sedikit - demi mengelakkan topeng yang aku pakai semalam terkoyak. Kali pertama pakai topeng - terimalah hakikat penulis ini sungguhlah naif. Eh. Lebih tentang ini boleh dibaca di sini - Cetusan Marga Zara.
Baiklah.
Berbalik kepada tajuk di atas, itu persoalan yang sering diajukan oleh golongan wanita yang ternyata memeningnkan kepala akibat jawapan yang sering mereka adakan (heh!) atau terima membuatkan mereka sendiri tidak berpuas hati. Bahkan secara jujurnya, enggan meluangkan sedikit masa untuk membaca keadaan ataupun situasi dengan harapan lelaki, ya, lelaki di luar sana untuk memahami betapa mereka sudah berusaha sedaya upaya untuk kenal lelaki. Mencari jawapan sendirian dan akhirnya, menyalahkan diri sendiri (bagus sedikit kalau begini) ataupun berakhir dengan pergaduhan disebabkan, mereka merasakan mereka lemah dan harap lelaki untuk beritahu mereka, apa yang mereka perlu tahu.
[Sumber gambar]- Beginikah yang kamu takutkan? Ha ha ha. |
Jadi, mari kita gunakan beberapa soalan yang diajukan di Mukabuku kepada aku. Setiap satunya berkaitan antara satu sama lain aku rasa, jadi aku harap aku dapat berikan pendapat aku kepada gadis-gadis yang bertanya. Sebelum itu, perlu diingatkan ini adalah pendapat peribadi. Kalau tidak puas hati dan mahu memaki, boleh tulis dalam ruangan komentar. Aku terima semua kecuali yang mahu promosi benda. Heh.
01. Apa topik yg makwe boleh buka untuk dapat perhatian pakwenya? Topik yang tak menampakkan perempuan tu bimbo.
Baiklah.
Perempuan di luar sana, adakah anda tahu apa yang diminati oleh pasangan anda? Anda tahu apa yang menarik minat mereka (selain anda, mungkin) - hobi, ataupun apa sahaja? Bolehkah kita bersama dengan seseorang dengan hanya sebelah pihak sahaja yang mengetahui dengan mendalam pasangannya, manakal pihak satu lagi hanya sekadar tahu permukaan dengan alasan, minat kami tidak sama?
Perlukah bersama sebab ada persamaan?
Bukankah perbezaan yang menjadikan ianya lebih menarik?
Kenapa tak nak turunkan sedikit ego (maaf bagi yang mungkin terasa), untuk luangkan sedikit masa membaca apa yang dia suka? Tak salah untuk tahu dan mulakan perbualan itu dengan dia. Dia mungkin nak kongsi dengan awak benda yang dia suka, tapi awak pernah tunjukkan minat atau tidak?
Ya.
Perempuan memang banyak bercakap. Tetapi wahai kawan-kawanku sekalian, sesekali kita perlu biarkan komunikasi dua hala itu berlaku. Kalau hanya satu pihak sahaja yang bercakap dan hanya satu pihak menadah telinga mendengar serta kita menolak dia tatkala dia mulakan sesuatu yang kita tidak faham, alangkah sedihnya kerana komunikasi kurang berkesan sudah wujud dalam keadaan itu.
Sebagai contoh (peribadi), aku seorang yang banyak menulis, membaca, mendengar benda yang aku senang dan hidup aku sering berputar antara tempat kerja dan rumah sahaja. Manakala si dia, membaca juga merupakan suatu kegemaran - tetapi dia lebih banyak membaca artikel di Internet ataupun majalah. Bahan bacaan dia dan aku tidak sama, dan hobi aku menulis blog manakala dia boleh habiskan masa berjam-jam untuk bermain Starcrafts 2. Jadi, apa benda yang boleh dijadikan pemula perbualan dari dua dunia yang berbeza?
- Mulakan dengan sesuatu yang ringkas. Biasanya si dia akan bertanya khabar dan apa yang aku buat di tempat kerja ataupun di rumah. Ya, ini kebiasaan dia yang buat aku sering geram juga. Geram disebabkan ini biasanya ditanya oleh perempuan - tapi dia yang akan bertanya. Dan walaupun sedemikian, aku senang untuk gunakan situasi yang sama bertanyakan hal dia.
- Disebabkan dia perlu masak sendiri, aku akan tanya apa yang dia perlu masak dan sebagainya. Selain itu, disebabkan aku tahu dia sukakan Starcrafts 2, aku akan tanya juga sama ada dia perlukan ruang untuk bermain atau tidak. Selain itu, dia juga suka menonton siri drama ataupun filem yang dimuat-turun, jadi, pertanyaan itu sebenarnya bukan satu bentuk sarkastik atau sindiran - tetapi lebih kepada kita mengambil tahu apa yang dia suka. Betul tak sayang? Eh.
- Selain itu, kalau si dia berkongsi benda yang dia suka - teknologi terbaru, gadget, fesyen, hatta permainan komputer yang aku sendiri kurang mengerti - aku akan cuba cari sendiri apakah benda yang dia perkatakan. Tetapi yang baiknya tentang dia adalah, kalau dia sedang khusyuk membaca sambil berbual dengan aku, dia akan berikan aku pautan bahan yang sedang dia baca. Maka, aku dapat memahami lebih mendalam dan tahu bagaimana mahu memberikan reaksi kepada dia. Bukankah perkongsian itu adalah lebih baik dalam mana-mana hubungan manusia? Er, berkongsi pasangan, aku tiada ulasan mendalam.
Dan aku sendiri percaya, hidup manusia bukanlah atas satu garisan tegak semata-mata. Pastinya setiap daripada kita mempunyai cerita berbeza setiap hari, kalaupun tidak melibatkan kita, pasti orang lain. Maka, berkongsi, berbual tentang apa sahaja tetapi janganlah sampai menyentuh perkara yang membuatkan pasangan anda rasa mati (baca : turn off).
02. Pasangan saya dah tahu saya macam mana, apa yang saya tak suka dan saya suka. Masalahnya, saya tak boleh terima apa yang dia suka - memang langsung tak kena dengan saya. Jadi, setiap kali dia bercakap benda yang dia suka, saya cepat bosan.
[Sumber gambar] |
Satu perkara yang aku faham dalam perhubungan (tidak kira percintaan, persahabatan, kekeluargaan dan sebagainya) adalah jangan mementingkan diri sendiri. Ya, sikap jual ikan (baca : selfish) itu perlu dalam situasi tertentu, tetapi dalam cubaan kau memahami manusia di sekeliling, janganlah mementingkan diri sendiri hingga orang yang kau sayang itu terluka.
Apakah kau sanggup setiap kali dia terpaksa tahan muka dan terima sahaja perbuatan kau yang tak suka benda yang dia suka?
Adakah dengan buat dia sedemikian kau rasa gembira?
Adakah dengan mementingkan diri sendiri, kau rasa kau dilayan seperti orang yang berkuasa?
Sebagai contoh, kalau si dia sangat sukakan kereta, walaupun kau mungkin tak tahu apa jenis kereta, kapasiti enjin yang dia sedang cakap dengan penuh bersemangat, salahkah kau pinjamkan telinga untuk mendengar? Perempuan, tolong jangan mementingkan diri sendiri dengan anggapan, lelaki perlu mendengar, perempuan perlu bercakap. Kadangkala, lelaki ada sesuatu yang mahu mereka kongsikan dan keengganan kau mahu mendengar dengan kenyataan, "saya tak faham apa yang awak sampaikan, saya tak minat benda itu, saya rasa tak mengerti, awak tak ada benda lain nak cakap" - semua itu hanya akan mengakibatkan dia enggan mahu cakap apa-apa lagi dengan kau. Dia akan duduk sahaja dengar apa yang kau mahu cakap, berikan reaksi kerana dia faham kau dan kau rasa gembira sebab dia jadi lelaki yang mendengar.
Tapi, adakah dia gembira?
Aku lebih suka kalau pasangan aku bercakap. Aku sendiri memang banyak bercakap dan kalau dia ada sesuatu yang dia mahu perkatakan, aku akan berikan dia peluang. Sebab, bila dia berkongsi benda yang dia suka, benda yang terlintas dalam fikiran dia - itu adalah suatu peluang yang jangan dipersiakan. Betapa menariknya lelaki yang mampu bercakap dengan pasangan dia tentang apa sahaja dan tidak tertumpu kepada satu perkara sahaja. Apakah kau ingat, bila bercinta, hanya perlu bercakap tentant soal hati, jiwa dan cinta semata-mata? Banyak benda lain termasuk mungkin juga cuaca.
03. Saya suka benda tu, dia tak suka. Bila dia tak suka, kami bertengkar dan setiap kali, saya memang tak pujuk. Sebab saya pernah beritahu dia yang saya tak pandai memujuk. Lagipun, kalau lelaki merajuk, bukankah mereka yang kena pujuk hati sendiri? Kita yang perempuan ini barulah layak dipujuk lelaki kan?
Phui!
Adakah setiap kali perempuan merajuk, lelaki kena pujuk? Lelaki merajuk, maka mereka yang pujuk hati sendiri? Kegilaan apakah ini? Jadi, apa gunanya hubungan? Sedapnya jadi perempuan kalau begitu. Buat hal, bikin masalah, mulakan pertengkaran dan mengharapkan si lelaki terima apa sahaja yang kau buat? UNTUNGLAH!
[Sumber gambar] - Setiap kali lelaki nak kena buat macam ni? Kepala otak anda. |
Mungkin lelaki itu berkecil hati dengan kau. Dia merajuk (dan aku tak anggap lelaki merajuk mengada-ngada, disebabkan dia juga manusia yang punya perasaan) dan dengan harapan, kau datang pujuk dia dengan mengucapkan maaf ataupun apa sahaja yang sesuai. Bercakap baik-baik dengan dia. Itu sahaja. Tapi apa yang selalunya terjadi adalah, bila lelaki merajuk, yang perempuan nak sentap tidak tentu hala. Pemutusnya, lelaki itu juga yang kena memujuk kau semula dan bagaimana dengan hati dia? Tiada harga ke?
Jangan jadi manusia berlagak yang mementingkan diri sendiri ya? Jadi seorang yang memahami manusia lain. Kalau nak kata diri tak pandai memujuk, tak memahami pasangan, tak tahu kehendak dia - bolehkah kau berhenti sekejap dan renung kembali apa yang kau perlu lakukan? Pernahkah kau belajar apa yang dia suka?
Aku banyak baca artikel tentang bagaimana hubungan manusia, tak terhad kepada pasangan cinta semata-mata. Tak tahulah mungkin aku jumpa manusia yg ramai setiap hari ataupun apa, tapi setiap hari aku akan cuba membaca sesuatu hasil carian Google tentang manusia. Sebab bila aku membaca, baru aku dapat lihat kelemahan diri aku (bahagian yang aku tak suka tentang diri sendiri) dalam cara aku berkomunikasi dengan orang ataupun bagaimana aku perlu menghadapi si dia - adakah aku melayan dia dengan sewajarnya bagaimana dia tahan dan sabar dengan karenah aku?. Selain itu, sumber daripada buku juga membantu aku sedikit sebanyak seperti yang aku pernah tulis di sini.
[Sumber gambar] - Adakah kau mahu seseorang yang berada di samping kau makan hati dan bertahan untuk melayan segala perbuatan kau, kerana dia masih lagi punya rasa cinta? Apa akan terjadi kalau dia sudah penat dan tawar hati? |
Lelaki dan perempuan sama sahaja.
Kedua-duanya punya rasa cinta, rasa manusia.
Jadi, kalau kau mahu memahami seseorang itu, fahami diri kau sendiri. Fahami orang disekeliling kau. Kalau kau sendiri tidak suka dikhianati, disakiti, jangan buat perkara sedemikian pada orang lain. Susahkan untuk buat perkara sedemikian? Jangan setiap kali ada masalah, kau akan guna kenyataan bahawa - dia lelaki, kau perempuan. Melontarkan tuduhan lelaki adalah kompleks adalah satu kenyataan yang sama pedihnya bila lelaki mengatakan benda yang sama pada perempuan.
Benar.
Cuba kau sebagai perempuan, lelaki kata - "Eleh, perempuan ni asyik nak merajuk. Sentap tak menyudah. Susah nak faham perempuan, asyik nak mengamuk macam datang bulan" - apa yang kau rasa?
Fikirkan.
Itu sahaja buat kali ini.
Nota Kaki :
1. Peringatan - ini adalah tulisan bercorak peribadi, menjawab persoalan yang dikemukakan oleh beberapa orang.
2. Buat yang memberitahu aku setiap kali mereka mahu mengambil gambar dalam tulisan aku, perlu diperjelaskan bahawa aku sudah meletakkan sumber gambar dibawah setiap daripadanya. Jadi kalau kau ambil dan letak dalam tulisan kau, jangan jadi serupa lanun dan tidak berikan penghargaan sewajarnya kepada tuan punya gambar tersebut. Bukan aku, tapi tuan punya berkenaan.
Zara : Banyak yang dipelajari dengan membaca. Ya, aku tamak bila tiba soal membaca kerana aku tahu, semakin banyak aku membaca, semakin banyak benda yang aku jumpa, dan semakin jahil rupanya aku yang kekurangan ilmu. Maka, dengan membaca, aku belajar lebih banyak dalam menampung pengetahuan kau yang sempit.
8 comments:
senang cerita senang bha maw fhm lelaki ni hohoho
haha, he is complicated.. n i love complicated things.. post ni best! like!
ada kata2 yang tak tau mana sumbernya, "perempuan itu bukan untuk difahami, tapi untuk disayangi.."
tapi ini tidak diaplikasi kepada lelaki. dan tak tahu kenapa.
adakah kerana lelaki bukan untuk disayangi sebab tak faham perempuan?
perempuan semacam itu perlu ditujukan lesung batu di dahi layaknya.
:-p
trust simple for love..dan jadi diri sndiri dah..itu kunci cintaaa..euww~ bhahaha :P
kbai! :P
belajar la memahami. "eleh..lelaki ni asyik nak kita je yang mula dulu. ."
makin penat kalau nk jaga hati dia'-saya kecewa
Kalau kata XX tuh complicated, rasanya XY lagi complicated. bahasa mudah.
senang cerita lelaki thought pompuan nie complicated. pompuan thought lelaki ni complicated... but complicated tu yg 1 keistimewaan..=)
01. perempuan mmg byk bercakap tp bg kes aku - laki tuh lg byk ckp drp aku ;)
02. laki itu mmg sgt menarik - dia suka bercerita apa saje perkara - aku sgt suka dgr cerita-ceritanye
03. yg ni aku kalah - bila laki itu merajuk, aku penting diri sendre. selalu aku termenung ttg apa perlu aku buat jk laki itu merajuk :P
ya.mungkin aku belum cukup memahami diri sendre.
nice post. I like!
Post a Comment