Kalaulah ada mesin masa dalam kehidupan nyata ini, pastinya manusia akan gunakan sehingga melebihi had sama seperti sesetengah daripada kita menggunakan Twitter. Kita akan dengan tidak sabar (serta tamak) mahu melihat apa akan terjadi pada masa akan datang ataupun kembali ke zaman silam semata-mata untuk mendapatkan kembali apa yang kita sudah terlepas dari genggaman. Celaka badan bila terlampau mendambakan sesuatu yang tidak dapat ditunaikan secara nyata dan tinggal impian gila.
Gambar : Manusia lebih dekat mencintai manusia yang membenci mereka, dibandingkan dengan manusia lain yang memuja dan mendambakan mereka lebih daripada dibayangkan. (Shafaza Zara, 2011) |
Setiap daripada manusia yang melalui kekecewaan dan mainan perasaan pastilah pernah terlintas mahu memutarkan masa dan kembali kepada saat mereka memulakan sesuatu yang indah tetapi berakhir dengan kisah celaka yang lebih mengundang air mata dan kata-kata kesat semata. Mungkin tidak diluahkan kepada si pembuat onar, tetapi dalam imaginasi liar dan marah, bayangan pembunuhan tanpa ditangkap menjadi wayang hampir setiap malam apabila cinta yang dipertahankan musnah di tangan manusia lain ataupun si dia yang dipuja sepenuh jiwa.
Satu demi satu babak yang dibayangkan muncul di kaca mata.
Bagaimana segalanya dilakukan dengan terperinci, disusun bagaikan mengarahkan sebuah filem seram berdurasi satu setengah jam. Sempurna tanpa satu cacat cela dengan watak utamanya hanya berdua dan pengakhiran yang nyata, pengkhianat akan mati di tangan pencerita walaupun entah berapa kali jalan cerita berubah. Pastinya, mati itu adalah tujuan walaupun hakikatnya bangun dan menangis mengenangkan betapa celakanya manusia yang mengkhianati sesuatu yang indah dan dirai.
Tetapi, itu kalau kita di pihak yang merasai kegagalan yang amat sangat.
Kita di sebelah tembok yang menahan kesakitan bagaikan ditembak.
Kita di bahagian yang menadah diri dengan tikaman bertubi kenyataan kejam.
Itu kalau kita di situ.
Tetapi bagaimana di pihak yang mungkin merasa kesal akan perbuatan mereka?
[sumber : Tiub Awak - Kembali Ke Disember]
Mungkinkah ada pihak yang merasa kesal dengan perbuatan mereka mengkhianati percintaan dan memusnahkan harapan di sebelah pihak lagi? Terdapat juga kemungkinan tidur malam mereka dihantui oleh bagaimana mereka didendami sehingga menjadi mata panda tidak dapat tidur akibat dosa silam yang menghantui. Kita tidak dapat menolak kemungkinan begini walaupun sesetengah daripada kita akan menyatakan "padan muka" sebab pernah mengecewakan hati manusia lain.
Kawan : Kenapa mesin masa macam cerita Doraemon tak wujud dalam dunia ini?
Aku : Kenapa?
Kawan : Aku nak balik ke masa lampau.
Aku : Masa yang mana?
Kawan : Masa aku menyerahkan kasih sayang dan kepercayaan aku kepada si dia.
Aku : Ada benda yang kau nak ubah?
Kawan : Aku tak akan menerima huluran kasih sayang itu semua.
Aku : Malangnya kita tak boleh mengubah benda yang berlalu. Kita belajar dan mulakan hidup baru serta ambil yang lama sebagai satu bentuk pelajaran yang istimewa.
Kawan : Istimewa apanya kalau kita gagal dalam bercinta?
Aku : Istimewanya kita ada pengajaran dalam hidup.
Kawan : Dengan memulakan percintaan baru bulan Disember dulu, aku kehilangan hampir segalanya dalam hidup aku selepas kehilangan dia awal Februari.
Aku : Maksudnya?
Kawan : Kawan baik, pendengar setia, tempat meluahkan, tempat bergurau senda hilang begitu sahaja. Alangkah baiknya kalau aku terus kekal bersama dia sebagai kawan sahaja.
Aku : Sebab itu aku kata, benda itu akan jadi pengajaran supaya ianya tak berulang lagi.
Kawan : Hidup aku jadi jahanam.
Aku : Sesetengah orang hanya layak jadi kawan sahaja kan?
Kawan : Mungkinlah. Tapi semua orang memang mahu bahagia kan?
Aku : Thomas pernah berkata, kebahagiaan itu seperti mengejar rama-rama. Kalau kita terlalu sibuk mengejarnya, dia akan lari daripada kita. Tapi bila kita berhenti dan alihkan perhatian kita pada perkara lain, ia akan datang hinggap di bahu kita.
Kawan : Kau selalu berada di kedudukan mengalah, tetapi kau tak mempertahankan sekuat kau berbicara.
Aku : (ketawa) Kenapa hal aku yang kau bangkitkan?
Kawan : Sebab kau tegar melepaskan hak kau berkali-kali.
Aku : (ketawa) Aku berada di kedudukan yang terpaksa melepaskan dengan rela hati walaupun aku tahu aku hadapi kesakitan sendirian. Benda mudah, aku tidak mahu bertelagah dengan wanita lain. Kepercayaan itu bagaikan sebuah tembikar, sekali jatuh dan pecah, kalaupun kau dapat mencantumkan ia kembali, pastinya tidak akan serupa dengan yang asal.
Kawan : Ah, kau.
Aku : (ketawa) Sekurang-kurangnya kau mahu kembali ke waktu dulu dan membaiki segala kesilapan.
Kawan : Kau tak nak?
Aku : Rasa kesal tidak perlu dilibatkan kalau mahu memulakan hidup baru sebab kita akan ada sedikit rasa mahu berpaling dan menikmati semula musim yang kita tinggalkan. Aku tak mahu benda begitu jadi pada aku sebab aku sendiri yang melalui hidup aku.
Kawan : Tapi bila aku tengok masa dulu, aku nak kembali semula.
Aku : Itu normal. Kita mengenang masa lalu itu sesuatu yang normal, cuma janganlah terlampau terbawa-bawa hingga memakan diri.
Kawan : Pelik.
Aku : Apa yang pelik?
Kawan : Kau pelik.
Aku : (ketawa) Kenapa beritahu aku benda yang aku tahu?
Kawan : Kau satu-satunya orang yang beritahu aku normal untuk mengenang kisah lalu.
Aku : Tapi dengan syarat.
Kawan : Tahu. Cuma kau satu-satunya orang yang tak membangkang aku lihat ke belakang.
Aku : (ketawa) Memang aku manusia aneh.
Persahabatan dan percintaan dipisahkan oleh garis yang cukup halus. Kita kadangkala terlajak menganggap persahabatan dan perkenalan terlampau lama itu akan membawa kepada percintaan walaupun hakikatnya tidak. Ada di antara kita yang mungkin berkenalan lama, sehingga membuahkan bibit percintaan walaupun akhirnya terlerai dan kembali semula kepada persahabatan. Itu dikira bernasib baik. Ada yang hilang kedua-duanya sekali. Persahabatan dan percintaan - kedua-duanya tidak dapat dikekalkan. Yang bercinta dengan sahabat baik hingga mendirikan perkahwinan juga ada. Kan takdir manusia itu lain-lain bukan?
Senyum.
Diam.
Masa untuk cari ketenangan dan duduk perhatian gelagat manusia di dunia sebelah sana. Menyelami dasar perkara yang lebih menghiburkan jiwa daripada menghadapi makhluk yang dahagakan sesuatu yang tidak dapat disajikan demi satu kepuasan berlebihan. Tidak. Bukan pramusaji segala benda enak dalam dunia. Kau terasa, kau makan dalam sendiri, aku tidak mampu buat apa-apa.
Gambar : Kadangkala kita tak menyedari betapa kita perlukan manusia itu sehinggalah kita nampak dia bersama dengan orang lain dan hati kita berdetak tidak senang. (Shafaza Zara, 2011) |
Kalau kau membebel lagi dengan diri sendiri demi mahu mencari mesin masa dan kembali ke masa lalu ataupu ke masa hadapan, tanya balik kepada diri sendiri beberapa perkara berikut :
1. Apa yang mahu dilakukan?
2. Kalau itu satu-satunya saat bahagia, apakah mahu dihentikan senyuman dan cipta satu kenangan?
3. Kalau saat itu masa celaka, apakah mahu dimatikan waktu baik pada masa sekarang?
4. Apakah dengan melihat benda demikian akan memberikan yang terbaik buat diri?
Kalau kau dapat jawab semua soalan dengan baik sekalipun, aku hanya mahu beritahu satu perkara.
Kita TIADA mesin masa.
TIADA.
Noktah.
Nota Kaki :
Tahukah kau bahawa sesuatu benda itu boleh disangkal mudah oleh minda tetapi kedegilan hati terhadap sesuatu perkara ibarat mencungkil kotoran degil dicelah sisip kaca makmal? Macam celaka bila terpaksa tarik sehelai fiber optik semata-mata mahu disusupkan ke salur. Begitulah lebih kurang perumpamaannya.
Zara : Melepaskan seseorang atau sesuatu itu lebih mudah sebenarnya daripada membuang segala memori dan kenangan sewaktu bersama, kerana apabila seseorang atau sesuatu itu pergi, yang tinggal pada kita hanyalah kenangan. Ya, masa membekukan itu sahaja buat kita.
7 comments:
cool
zara,aku suka ayat ini dan boleh aku simpan kan???
...kebahagiaan itu seperti mengejar rama-rama. Kalau kita terlalu sibuk mengejarnya, dia akan lari daripada kita. Tapi bila kita berhenti dan alihkan perhatian kita pada perkara lain, ia akan datang hinggap di bahu kita.....
http://norhafiszahahmad.blogspot.com/2011/05/iklan-mencari-housemate-di-ttdi-jaya.html
keistimewaan blog ini ialah aku xbole buat benda lain (dgr lagu etc) selain membaca entri2 dgn khusyuk. kalau x, aku xpaham.
ni bahasa melayu lagi tinggi dari level stpm
:D
setiap benda da hikmahnya.xguna nk guna min masa untuk membetulkan segal kesilapan, kerana setiap kesalahan mematangkan
kalau lah ada kan...hurmmm
hebat na.. ayat2 tersusun rapi.. saya nak smpi tahap ni.. mau2 kene skola balik..hye new here.. :)
Post a Comment