Tuesday, October 25, 2011

[Ulasan] : Ngeri dan Zombijaya - Novel Fixi





Terima kasih kepada Buku Fixi.
Ketagihan aku terhadap buku dapat dilunaskan dengan jayanya. Ya, ketagih aku pada buku sama dengan ketagihan aku pada Nescafe. Rangsangan adrenalin dari kafein itu sama tahapnya dengan buku. Inzal. Ya, boleh inzal kalau dapat membaca. Itu adalah kenapa dalam beg aku pastinya ada sebuah buku ke mana sahaja aku pergi. Lupakanlah teknologi di mana semua orang nak baca buku elektronik ( baca : e-book), aku lebih suka pegang buku secara fizikal. Sudah semestinya mencium buku tersebut - bau kertas buku adalah nikmat. Fetish buku? Diam.


Sebagai orang yang ketagih kepada buku, dapat (ya, dapat) Ngeri dan Zombijaya dalam tangan adalah seperti dapat hadiah. Mudah untuk belikan orang macam aku hadiah, buku sudah cukup. Oh, buku yang bertajuk "The Gift" oleh Cecilia Ahern aku sudah ada. Jadi, jangan terfikir mahu buat lawak dengan berikan buku itu dengan kata, ini kan hadiah? Satu salinan bagi sebuah buku sudah cukup. Eh, di mana aku tadi? Ya, ulasan buku-buku dari Fixi ini.

*******

http://fixi.com.my/wp-content/uploads/97896710384513-e1316108217739.jpg
[Sumber gambar]

Joanne, Samuel dan Rehan tiga sekawan mahasiswa filem yang bercita-cita besar untuk maju sehingga ke Hollywood. Kegilaan mereka: menghasilkan skrip-skrip yang menampilkan pembunuhan sadis.

Skrip-skrip mereka selalunya ditolak oleh profesor, yang merasakan ceritanya tak berasaskan logik. Namun, segalanya berubah menjadi menggerunkan apabila berlaku siri pembunuhan sebenar yang mirip skrip-skrip mereka.

Trio itu saling mencurigai. Apabila pembunuhan semakin mendekati persekitaran universiti, keadaan bertukar cemas. Adakah pembunuh NGERI itu sememangnya salah seorang daripada mereka?

*******

NGERI adalah hasil garapan Gina Yap Lai Yoong. Kisah di dalam Ngeri membawa kita menelusuri kehidupan pelajar kolej dan sedikit cabaran yang biasanya kita hadapi dalam melayan karenah demi memuaskan hati pensyarah ataupun tutor di kolej atau universiti.

Dan ya, kisah di dalam Ngeri membuatkan aku terfikir, jika ia benar-benar berlaku, alangkah menakutkan. Setiap adegan di dalam skrip yang dibuat oleh Samuel dilaksanakan secara realiti oleh pembunuh sebenar dan ya, secara jujurnya, dalam rancangan pembunuhan yang kita biasa tonton di televisyen - belum ada pembunuhan sedemikian rupa. Mungkin ada kalau aku terlepas beberapa episod, tetapi kalau betul-betul diadaptasi, pastinya akan jadi episod menarik dalam siri sedemikian. Criminal Minds sebagai contohnya. 

Kalau Pecah oleh Nizambakeri lebih kepada sesuatu untuk CSI, Ngeri boleh menjadi satu episod pembunuhan panjang dan berterusan oleh penjenayah bersiri yang tidak sama corak pembunuhannya. Pastinya Dr. Reid dalam Criminal Minds pening kepala. Hotch mungkin terpaksa mengerah semua ahli pasukannya membuat profil penjenayah sadis sedemikian rupa. Pembunuhan anak penjual  burger dalam peti sejuk, mat rempit yang menang kejuaraan ala Pinochio, pencarian harta karun dengan mayat dipotong-potong kepada beberapa bahagian, dan akhir sekali profesor mereka menjadi mangsa.

Ada debaran, dan bagi penggemar cerita misteri dan suka berteka-teki dengan diri sendiri, silakan membacanya untuk mengetahui siapakah sebenarnya pembunuh yang cukup terancang ini. Dan ya, seperti juga Jerat yang ditulis oleh wanita, tiada adegan senggama di dalam ini. Cukup dengan senggama minda aku rasa. Lebih inzal dan ya, sesuai diletak di rak perpustakaan sekolah.

Oh, Gina sangat mesra di Twitter. Jadi kalau mahu bertanya apa-apa kepada dia, boleh cari dia di sana juga.

*******

http://fixi.com.my/wp-content/uploads/97896710384752-e1318519799631.jpg
[Sumber gambar]

Selamat datang ke Malaysia. Negara yang kaya dengan adat ketimuran. Tetapi apakah yang akan berlaku jika rakyat kita tiba-tiba dikelilingi zombi?

Kalendar lama bertukar baru. Aliff baru mengajak Sofia berkahwin. Ana bakal memulakan hari pertama sebagai cikgu. Kamarul akan bertanding dalam program TV realiti. Dan Nipis seronok di dalam dunianya sendiri.

Mereka tidak tahu yang suasana mereka kenali bakal berakhir. Aman-damai menjadi kacau-bilau. Tamadun hancur. Rutin harian berubah. Semua perlu mengadaptasi dalam dunia baru ini.

Berapa orangkah yang akan mati? Adakah yang mati akan kekal mati? Dan apakah yang menunggu mereka di Putrajaya nanti? Selamat datang ke ZOMBIJAYA.

*******

Kalau hari itu aku ditebak dengan soalan di Mukabuku, apakah itu Twitterjaya (komuniti di Twitter sebenarnya), sekarang kita ada Zombijaya. Maka satu kawasan yang dipenuhi oleh zombi. Lupakan seketika ketawa dan gelak besar semasa menonton Zombi Kampung Pisang kerana Zombijaya ini membuatkan kau akan duduk tekun membaca sambil membayangkan suasana. Lagu yang sesuai dipasang adalah lagu Thriller oleh Michael Jackson ataupun Geli Mat (?). Baiklah, tak lawak, tapi ini keadaan di mana suatu tempat yang aman damai, secara tiba-tiba merebak wabak zombi.

Dalam Zombijaya, tidak dinyatakan dengan jelas bagaimana wabak zombi ini boleh muncul, tetapi aku rasakan ia bermula apabila Aliff digigit oleh anjing liar. Sepatutnya juga wabak itu hanya pada Aliff sahaja, tetapi akibat dia bersenggama (ya, dalam ini Zombijaya ada) dengan Ana, dan Ana juga bersenggama dengan Kamarul, maka wabak ini tersebar antara mereka berdua. Tetapi Kamarul tidak terjangkit. Aneh. Adakah disebabkan dia makan Viagra?

Aliff yang mula nampak dan teringin akan daging segar sentiasa - menggigit ketuanya dalam satu acara lintas langsung yang dipesongkan secara halus dengan kegiatan homoseksual dan suasana politik kita. Ya, Zombijaya adalah satu karya sinikal yang kalau kau mengambil tahu hal semasa, kau akan tahu ia menggambarkan suasana apa.

Ana pula, sebagai orang kedua yang menggigit tengkuk (leher) Ali, anak muridnya yang bergaduh disebabkan pensel dan seterusnya menggigit punggung guru besar dan menjangkitkan wabak ini ke seluruh sekolah. Sanjiv yang terkejut, menyelamatkan diri dan dia antara watak yang kekal hingga ke hampir-hampir penghujung cerita. 

Kamarul - dengan program realiti , menyindir secara halus dengan kebanjiranrancangan sedemikian rupa di kalangan kita semua. Rancangan realiti yang sepatutnya disertai oleh kamarul sebelum dia berhajat untuk berpatah balik semula ke Kuala Lumpur selepas tercetusnya kejadian zombi adalah 'Emperor Kelakar'. Rasa macam loceng berdering di telinga?

Nak aku menulis bagaimana keadaan sewaktu pergolakan dalam Zombijaya? Tidak perlu rasanya, kerana lebih baik kalau kamu baca sahaja tetapi sesuatu yang aku suka dalam Zombijaya, setiap adegan diceritakan dengan teliti dan diselitkan dengan unsur semasa secara sarkastik pun ya. Secebis mengenai Twitter - di mana berita kematian disebar sesuka hati tanpa tahu hujung pangkal dan kebenaran dan apabila kehadiran zombi di war-war di Twitter, orang meragui kesahihan berita. 

Nipis muncul sebagai seorang yang longgar skru otaknya, tetapi dia mampu bertahan dengan pelbagai cara. Di saat genting dan huru hara, manusia akan diuji dengan pelbagai perkara. Yang baik, mungkin jadi celaka, yang jahat, mungkin akan lebih baik - tetapi tidak mustahil akan ada yang jadi lebih kejam dan sadis demi kelangsungan hidup dan juga nafsu yang bermaharajalela.

Sedikit cetusan dan aku sudah berteka-teki dengan penulisnya, Adib Zaini di Twitter - siapakah watak terakhir yang muncul dengan sebaris ayat penuh tanda tanya. Kesan melecur di badan watak tersebut, aku mungkin boleh mengagak, tetapi biar aku simpan sahaja.  Aku perlu mengulang baca aku rasa demi mencari jawapan dan ya, aku baca novel setebal 307 halaman ini dalam masa kurang daripada 3 jam. Ah, aku memang begini kan? Nikmat buku itu aku perah sehingga ke akhirnya.

*******

Baiklah.
Mungkin setakat itu sahaja.
Kalau kamu berminat untuk mendapatkan buku di atas, boleh sahaja layari laman sesawang Buku Fixi dan dengan pembelian secara atas talian, kamu boleh mendapatkan beg Fixi dengan pembelian lebih RM 50. Er, aku tiada beg tersebut. 

http://fixi.com.my/wp-content/uploads/beg.jpg
[Sumber gambar]

Jadi, dapatkanlah sekarang.
Oh ya, kalau nak beli di Uya Distro juga boleh. Tapi tiada beg di atas. 

Nota Kaki :
1. Kitab Terfaktab sudah ada cetakan kedua. Segera hubungi Lejen Press dan Uya Distro untuk membuat tempahan.
2. Novel Amerika karya Ridhwan Saidi juga menarik. Mahu aku buat ulasan juga?
3. Oh, perlukah aku beritahu yang aku ada semua novel-novel keluaran Fixi ini? Ya, semuanya. 

Zara : Ada orang sedang berjauh hati. Adakah hati itu perlu sama dengan suhu di mana kamu berada sekarang ini? 

8 comments:

ahmad said...

ada dua orang yang ditinggalkan semasa kebakaran, dan seorang sudah mati

Tieah Madian said...

Samalah.. Memula kata nak beg, tapi tak dapat pun beg fixi.. Gggrrrrrrrrrrrrrrrr.. Padahal dah beli lebih 50.. 100 lebih kot.. Ngee :)

Alamak, malas baca ulasan dulu, sebab buku tak habis baca.. Bila lah punya masa nak baca ni!!! Geram..

perjalanan pulang said...

dah lama pulak tak baca buku

Lyla Ibrahim said...

saya sangat suka pengakhiran cerita Zombijaya..
lama juga berfikir siapa orang itu..
cerita ini membuatkan pembaca selalu berfikir..
huhu..

Ngeri pun menarik..
saya selalu terfikir yang hanya lelaki mampu berfikir seganas itu...
clearly I was wrong..
hehe...

Anis Azalea said...

dah ada 5 buku setakat ni. sabar..kena tengok bajet

Unknown said...

kene beli nie

ARMZ said...

Nak review tentang Amerika, tak sempat ke Uya nak beli, haha. Jadi mahu sedikit ulasan (baca:racun) untuk mempercepatkan proses membeli buku.

Anonymous said...

X boleh blah bile sye bce review awk pasal zombijaya.. Yg part si ali tergigit punggung cikgu besar.. Wahahaha...