Masa.
Suatu bentuk pengkhianatan yang langsung tidak boleh dimaafkan. Menjalani kehidupan dan memerhatikan kehidupan dalam diam serta memanjatkan doa kesyukuran dapat mendengarkan suatu perkhabaran rupanya adalah balasan dosa silam. Dosa kerana tidak pernah mahu menunggu dan terbang meninggalkan. Hanyut terbang bersama salju tebal dan meninggalkan kepingan putih yang tidak berguguran. Menanti hiba penuh ketidakpastian dan hanya bersandarkan kepada pengamatan rakan. Ternyata, yang dikejar tidak kesampaian, yang dilepaskan membunuh kesepian.
Masa.
Kalau beberapa bulan sahaja biarkan diri berkalang membodohkan masa, mungkin apa yang ada hari ini tidak secelaka yang dirasakan tatkala membuka mata. Nasib baik kepingan elektronik hitam legam itu tiada butang dan hanya punya lapisan nipis tempat melarikan jemari yang semakin renta. Jari menari dan butang hijau ditekan. Seperti yang pertama, kali kedua menghantar juga tiada jawapan diterima. Menunggu dengan tabah walaupun kesihatan diri yang menjadi taruhan kali ini. Masih tiada. Gempa berlalu dan ternyata tiada khabar berita. Biarlah.
Masa.
Kepingan otak yang berceraian tatkala sakit merampas pundak kuasa dirasakan semula. Ubat yang mengalir dalam tubuh serta air yang melalui tekak menggunakan tiub membuatkan mata terjaga. Hidung merah, kepala berdenyut tanda tidak membenarkan diri bangkit dari ranjang yang penuh duka. Digagahkan juga diri membaca coretan seorang teman. Di akhir ayat, tertancap satu perkhabaran yang merobek duka lebih dari kenyataan bahawa diri kehilangan seorang pengongsi perasaan. Lebih sakit dari fakta gempa skala 8.9 Ritcher yang memusnahkan.
[Gambar : Jam yang musnah adalah lebih menyenangkan. Sekurang-kurangnya kita tidak akan tersedar daripada mimpi buruk yang lebih enak dari kenyataan realiti yang kejam]
Masa.
Itu bukan kayu pengukur berapa banyak yang telah dikongsikan secara rahsia dalam erti kata, aku kenal kau, kau kenal aku, kita bersama demi satu persahabatan yang akhirnya kau khianati juga. Apakah perkongsian ilham dan pencambahan minda itu hanya satu bentuk pencurian sel neuron yang dibenarkan? Kau mungkin tiada mesin pengesan yang dapat melihat amigdala (baca : amygdala). Itu satu bahagian dalam otak yang merembeskan hormon dan memautkan kepada perasaan. Bahagian ini akan bertindak tanpa sedar sebelum seseorang dapat mengawalnya - dalam kes ini mungkin seseorang yang disukai. Tidak perlu melihat fizikal secara teliti, bahkan mengesan kewujudannya sahaja sudah boleh membuatkan adrenalin berlari.
Aneh?
Kau : Aku fikir kau kenal dia lebih lama.
Dia : Aku mungkin kenal dia.
Kau : Aku ingat kau kenal dia lebih rapat.
Dia : Aku pun sangka begitu juga. Ternyata tidak.
Kau : Bukankah kalian berkongsi coretan?
Dia : (ketawa) Celaka nasib badan. Hasil kerja kami sudah jadi bahan jajaan.
Kau : Bukankah baik dapat disebarkan?
Dia : Kami tidak pernah dapat penghargaan.
Kau : Itukah yang dikejarkan?
Dia : Tidak. Kami hanya buat secara gabungan.
Kau : Jadi apa yang buat kau nanar seperti kehilangan?
Dia : Aku hantar pesanan.
Kau : Tiada jawapan?
Dia : (ketawa) Sudah semestinya tiada jawapan. Aku juga biarkan burung biru berkicauan.
Kau : Juga tiada sebarang balasan?
Dia : (ketawa) Kau sudah tahu jawapan.
Kau : Dia mungkin sibuk - melunaskan keperluan diri sebelum kembali berdiri tegak di bumi sendiri.
Dia : (ketawa) Itu sudah tidak membawa sebarang erti.
Kau : Kenapa bunyi seperti berjauh hati?
Dia : Aku sangka aku kenal dia. Aku sangka dia adalah kawan yang sempurna. Ternyata, aku sedang menyemarakkan dosa silam yang tiada ampun dan penuh noda.
Kau : Apa maksudnya?
Dia : (ketawa) Biarlah hidup berkalang noda.
Kau : Jangan terlalu bermetafora.
Dia : Sudah tiada sebarang erti lagi menghidup sisa nyawa di dunia.
Kau : Jangan pernah binasa.
Dia : Biar aku hilang ditelan masa.
[Gambar : Orang selalu kata masa akan mengubati. Tidak kira ia luka, bengkak, calar, emosi ataupun hubungan sekalipun, masa akan mengubati semuanya. Tetapi apakah masa boleh mengubati kematian jiwa?]
Masa.
Cukuplah pengkhianatan demi pengkhianatan dirasai. Pentas lakonan semakin lama semakin retak. Kekuatan mahu beraksi dengan mencekalkan hati sudah menjadi goyah. Tangan berpaut pada pasak kuat dengan tabah. Kalau ranap sebuah jasad, hati dan jiwa tidak mahu ikut musnah. Biar ia melompat dari satu jasad bernyawa ke satu jasad seterusnya. Tidak rela membiarkan bahagian paling beerti yang membentuk sifat manusiawi hilang begitu sahaja setelah terlampau banyak yang dikorbankan untuk terus bangkit bernyawa.
Masa.
Berapa lama lagi kau akan ada?
Nota Kaki :
1. Maaf, aku sedang mengalami selsema dan demam akibat perubahan suhu badan secara mendadak. Benda ini sudah aku awasi sejak di matrikulasi, tapi nampaknya ia kembali menjengukkan diri.
2. Ketawa riang hilang dan terbang mendapat suatu perkhabaran penuh pengkhianatan. Rasa tercemar serta merta sebuah persahabatan tetapi terus diselindungkan disebalik senyuman.
3. Tisu sudah habis dua kotak besar dan ubat berlari masuk ke dalam rongga. Aku tak mahu badan penuh dengan dadah selagi aku masih mampu bernyawa.
Zara : Otak sebelah kiri aku ternyata mahu menggerakkan otak kanan yang sudah lama tidak digunakan. Ah, adakah kamu tahu bahawa otak sebelah kiri adalah yang terbaik dalam menentukan jantina sama ada lelaki atau perempuan? Dalam erti kata lain, kalau kau mahu orang mengenalpasti sama ada kau mempunyai ciri feminin atau maskulin, duduk sahaja di depan kawasan kiri penglihatan mereka. Ha ha ha.
11 comments:
masa merumitkan lagi keadaan.
Samada entry ni byk bahasa puitis atau kurang faham dgn dialog. -_-"
apa yang terjadi di burung biru?
aku dah lama tak ikuti time line.
Nice. Penggunaan bahasa yang agak tinggi tahapnya.Best2..Zara xnak tulis novel ke?:)
zara dah boleh buat novel, t KAMI beli. :)
maaf..dina hanya faham 30% sahaja dari keseluruhan coretan ne..
sumpah..penuh dengan puitis yang membuatkan dina blur..
tapi rasanya coretan ni cukup bermakna dan sesuai dengan keadaan dina sekarang.
cik zara...semoga cepat sembuh yer..
sy cuba memahami tapi xdapat..apakah??
kawan mana yg mengkhianatimu???
meskipun aku kurang mengerti akan pengisian ini...
namun tanpa aku sedar yg air mata ini seperti mahu turun membasahi pipi...
bila kufikirkan kembali....
adakah bahagia bila masa boleh diputarkan kembali??
melihat saat2 nan indah itu buat sekali lagi...
hanya diri yang mampu menjawab persoalan ini...
namun tidak jua aku pasti akan diri ini...
untuk mencari realiti yang pasti itu disisi....
mungkin semuanya hanyalah mimpi??
mungkin mimpi....
sakitkan bila sahabat mengkhianati kita... sahabat yg kita percaya lak tu, hmmm hidup ni penuh dgn sesuatu yg x diduga.
masa tidak mampu menyembuh luka di hati sbb hati ni maseh sakit kerna khianat, kerna tiada kejujuran:) x mampu utk menyembuh kannya
agak pening nak faham. brrr...
kurang faham, cuba faham tapi kalau komen, kedengaran macam salah faham. jadi,
moga cepat sembuh dari selsema..:P
Post a Comment