Showing posts with label Matematik. Show all posts
Showing posts with label Matematik. Show all posts

Monday, November 29, 2010

Kenapa Suka Kelas Tambahan Sewaktu Zaman Belajar? : Cara Menjawab Soalan Pendidikan Islam SPM 2010


Salam semua.
Hari ini kertas Matematik SPM berlangsung. Tahniah kerana berjaya melepasi peperiksaan yang sungguh menyeronokkan itu. Dan ya, aku serius menyatakan bahawa itu seronok.

Esok adalah peperiksaan Pendidikan Islam. Apa yang membuatkan aku suka dengan kertas ini? Selain daripada boleh menulis banyak, ada beberapa perkara lain. Antaranya :
  • Kalau soalan minta 2 alasan/sebab/hujah, boleh beri sampai sepuluh tanpa rasa bersalah.
  • Lebih banyak kepada kemahiran berfikir dan rasional serta pemikiran logikal. Itu bagus.
  • Dengan pengalaman lebih 20 tahun mengajar, Mak adalah antara sebab mengapa kami adik beradik akan terbaring dengar apa yang dia tanya sebelum peperiksaan. Selalunya, soalan yang dia tanya akan keluar pada hari keesokannya. Ajaib kan?
  • Sebagai budak yang mengikuti sekolah agama Johor, apa yang dipelajari di dalam Pendidikan Islam SPM adalah asas berbanding dengan apa yang kami belajar setiap petang dari Fardhu Ain 1 hingga Darjah Khas. Mak, pengetahuan sedia ada itu sangat membantu.
  • Soalannya selalu berulang dan pembacaan lengkap adalah apa yang sangat diperlukan.

http://farm3.static.flickr.com/2489/3898985603_20ee1ab074_z.jpg
[Gambar : Layangkan sedikit ciuman buat kamu semua]

Disebabkan dahulu belajar di sekolah menengah biasa hingga ke Tingkatan 5, maka, aku sudah diasak ke kelas tambahan sejak di Tingkatan 3. Naik bas setiap hari Sabtu ke kelas tamabahan di bandar sewaktu di Tingkatan 3 dan ketika Tingkatan 4 dan 5 - kelas tambahan aku adalah sangat istimewa. Di kawasan kampung berhampiran dan diajar oleh guru yang jujurnya aku rasa sangat hebat.

Bahasa Inggeris dan Matematik (Tingkatan 3).
Dulu aku mengikuti kelas tambahan ini seorang diri. Bukanlah dalam kelas itu aku seorang, cuma dari kawasan aku, hanya aku seorang yang belajar di situ. Orang lain entah belajar di mana. Lucunya, aku seorang yang akan datang paling cepat dan akan bergegas balik paling cepat semata-mata nak kejar bas balik semula ke rumah. Kalau lambat, akan naik bas yang sampai rumah hampir malam. Sadis.

Aku teringat satu peristiwa di dalam kelas Bahasa Inggeris. Biasanya memang akan diberi lembaran kerja dan kita akan buat sebelum hantar pada guru tersebut, seorang guru Cina yang tua tetapi sangat baik hati. Penerangan dia menarik. Setiap kali awal kelas setiap minggu, dia akan memulangkan kertas jawapan minggu sebelumnya.

Cikgu : (panggil nama budak untuk pulangkan kertas)
Murid -murid : (bangun dan ambil kertas yang dipulangkan)
Cikgu : Sheikh...
Murid -murid : (saling berpandangan)
Cikgu : Sheikh, ambil kertas.
Murid-murid : Tiada siapa nama Sheikh. Kelas lain agaknya.
Cikgu : Saya ajar kelas ini sahaja.
Murid-murid : Cuba cikgu baca nama dia sampai habis.
Cikgu : Sheikh Fatimatul Zahrah, ada sini?
Murid-murid : Sheikh mana tu? Lelaki semua dah dapat kertas.
Aku : (bangun perlahan-lahan dan ke depan) Ini kertas saya.
Cikgu : Kenapa masa saya panggil awak tak bangun?
Aku : Sebab nama saya Sharifah, bukan Sheikh.
Cikgu : Oh, maaf.

http://farm3.static.flickr.com/2426/3901607109_a2f54455fb_z.jpg
[Gambar : Masa nak duduk semula di kerusi, budak-budak lain semua ejek nama aku. Sedih gila tahu?]

Tapi tidak mengapa.
Keputusan aku antara yang cemerlang dalam kelas itu (sambil angkat kening)
Senyum sinis.
(Tiba-tiba kau riak kenapa Zara?)

Matematik Tambahan dan Kimia (Tingkatan 4 dan 5)
Agak terlewat masuk ke kelas tambahan. Sudah separuh Tingkatan 4 aku rasa. Ini antara cikgu terbaik pernah aku jumpa sepanjang hidup aku. Dia boleh mengajar semua benda kecuali Biologi. Ya, dia mengaku benda ini sendiri. Berilah dia apa-apa mata pelajaran, kecuali Biologi, dia akan dapat tolong kami semua.

Matematik Tambahan
Aku masuk ke kelas cikgu ini dalam keadaan keputusan aku selalunya nilai tunggal ataupun tidak pernah melepasi 20 markah. Gila kau, nilai tunggal adalah 0 hingga 9 (tidaklah sampai dapat 0 kan?) - masa ini memang malu nak pergi sekolah, tapi semua orang pun serupa, semakin banyak belajar semakin rasa diri bengap amat. Kerja sekolah selalu tidak dapat disiapkan sebab tak tahu buat. Bila pergi kelas tambahan, bawa buku, tunjuk pada cikgu ini.

Cikgu : Kau belajar peringkat universiti ke?
Aku : Eh, tidaklah.
Cikgu : Mana dapat soalan ni semua?
Aku : Cikgu sekolah punya.
Cikgu : Dahsyat betul.

Dan cikgu inilah penyelamat setiap kali ada kerja sekolah dan sebagainya. Cara dia mengajar memang menarik dan kami ini lebih seperti kawan kepada dia. Cara yang digunakan mudah dan jujurnya, belajar dengan dia, Matematik Tambahan dirasakan amat menyeronokkan. Sungguh menyeronokkan. dan bila habis SPM, tidak ke kelas dia, adalah rasa sungguh bosan. Bila masuk matrikulasi, ada cuti sahaja, pergi belajar dengan dia. Senyum.

Kimia.
Cikgu ini memang terbaik. Cikgu yang sama mengajar Matematik Tambahan. Dia mengajar untuk buat kita ingat apa yang dia ajar sampai mati aku rasa (sebab apa yang dia ajar masih melekat dalam kepala aku). Buku Nota Kimia aku ada dua bahagian. Satu yang diajar di sekolah dan satu lagi apa yang diajar di kelas tambahan oleh cikgu tersebut. Senyum.

Dia mengajar dengan pantas dan bila aku pergi ke sekolah, apa yang diajar oleh guru di hadapan sebenarnya adalah pengulangan atau pengukuhan apa yang aku belajar di kelas tambahan. Enak bukan? Belajar benda yang sama dalam cara dan pendekatan yang menarik. Dan ya, Kimia itu memang menarik. Ada sesiapa nak kata payah gila? (sambil genggam penumbuk)

http://farm3.static.flickr.com/2534/4007172782_e35e09dcf2_z.jpg
[Gambar : Kimia itu macam mata pelajaran Posyen yang Severus Snape ajar. Boleh?]

Dan kalau terlepas sekalipun peluang ke kelas cikgu ini, aku sanggup ganti pada waktu lain walaupun terpaksa belajar dengan entah sesiapa punya kumpulan.

Fizik.
Ini salah seorang yang genius juga. Aku datang jumpa cikgu ini di rumahnya (Mak bawa tentunya) untuk menghadiri kelas tambahan. Mula-mula dia mahu ajar secara beramai-ramai, tapi bila dia tengok asa dan konsep aku lemah, dia suruh aku belajar seorang diri di rumah dia. Ya, macam tenaga pengajar peribadi. Sumpah, memang dia ada sentuhan ajaib.

Senyum.
Dan kejayaan itu tentunya tidak akan datang bergolek. Cikgu ini punya anak yang ramai dan agak kecil pada waktu itu. Kadangkala, sewaktu aku sedang buat latihan di meja di ruang tamu, dia akan berkejar tengok anak dia yang sedang bermain di luar rumah. Peristiwa ini selalu berlaku dan aku teringat apa yang aku selalu lakukan sewaktu belajar.

Cikgu : (sedang keluar melihatkan anak dia yang bermain di laman)
Aku : (sedang buat latihan selepas dia menerangkan konsep)

  • Anak kecil dia dalam buaian bergerak-gerak, merengek -  Aku : henjut buaian sambil sebelah tangan menulis
  • Anak kecil dia menangis - Aku : Tolong berikan susu menggunakan botol.
  • Anak dia bocor lampin - Aku : Tolong gantikan lampin. (Pernah sekali, semasa dalam buaian, lampin bocor, air kencing menitis, memang sadis, tapi aku berani cakap berbaloi buat itu semua disebabkan ilmu itu tidak dapat dibeli)
Si kecil itu sudah besar sekarang ini.
Kalaulah dia tahu kakak ini yang pernah gantikan lampin dia sewaktu kecil dulu, apa dia akan fikir agaknya?
Ketawa.

Yang menariknya, semua guru di atas tidak mementingkan wang semata-mata. Aku rasa pusat tuisyen dulu bukan berlandaskan wang seperti hari ini. Untuk mata pelajaran Matematik Tambahan dan Kimia dulu, aku hanya perlu bayar tidak jejak RM 50 untuk kedua-duanya (itu pun cikgu itu tidak mahu wang sebenarnya).

http://farm3.static.flickr.com/2720/4114805150_48e7d5661e_z.jpg
 [Gambar : Orang selalu kata guru ibarat lilin kan?]

Jangan salah anggap.
Aku tetap menganggap semua guru adalah terbaik. Guru yang mengajar di sekolah juga hebat dan sedikit tambahan daripada luar yang membantu murid (orang yang lemah macam aku) adalah amat digalakkan. Tidak menidakkan kemampuan guru sekolah kerana yang mengajar itu semuanya adalah guru juga.

Senyum.
Mata pelajaran apa yang kamu pernah hadiri kelas tambahan dulu?

Nota Kaki :
1. Hujan lebat.
2. Banyak benda yang dibuat hari ini. Pembelajaran tidak berhenti.
3. Mengantuk, tapi tidak dapat tidur.
4. Aku sudah punya Tumblr (sekadar mengisi masa bosan)

Zara : Senyuman ini tidak pernah palsu dan air mata yang mengalir juga bukan buatan. Terasa seperti sedang melakukan benda yang tidak sepatutnya, tetapi demi kegembiraan yang sementara, aku berdoa agar kegembiraan itu tidak akan terbang selamanya.

Friday, November 26, 2010

Hanya Matematik Tambahan SPM Yang Tidak Mengkhianati Perut Aku Semasa Menjawab Peperiksaan Percubaan : Soalan Latihan Menepati Ramalan


Salam semua.
Bertemu dalam edisi bercorak peperiksaan sempena kedatangan SPM 2010. Oh, aku tersenyum girang apabila ada bekas murid yang masih mengingati aku dan kebetulan membaca blog ini. Disebabkan kalian adalah bekas murid, maka tidaklah aku segan sangat. Lebih-lebih lagi kalian mengenali aku pada tahun 2007, sewaktu menjadi guru praktikal. Senyum.

Berkaitan dengan cara menjawab soalan Matematik SPM yang aku kongsi semalam, aku menerima beberapa cadangan dan perkongsian ilmu juga. Terima kasih atas pandangan yang diberikan. Ada juga yang bertanyakan, bagaimana mereka melalui peperiksaan tersebut. Terima kasih. Beliau yang beku ini sangat terharu (Ya adik-adik, walaupun kak ini tidak terkenal, beliau masih ada perasaan lagi).

Tinggalkan sebentar tentang peperiksaan sebenar SPM, aku teringat bagaimana aku melalui peperiksaan percubaan SPM yang menjadi titik tolak kenapa aku perlu berusaha dengan gigih dalam mencapai apa yang aku mahukan dalam hidup ketika itu.
  • Dalam bilik aku ada poster besar UTM, yang dihasilkan oleh kartunis Lat. Poster itu lebih banyak berkisarkan tentang kursus-kursus yang ditawarkan di UTM dan dari situlah aku sudah memasang impian, aku mahu belajar di sana.
  • Semasa peperiksaan percubaan, setiap kertas yang aku ambil, aku terpaksa habiskan secepat mungkin disebabkan mengalami sakit perut yang teramat sangat. Gila kan? Orang lain bertungkus lumus dalam dewan, aku pula bertungkus lumus membuang di dalam tandas. 
  • Cuma kertas Matematik Tambahan sahaja yang aku tidak sempat keluar dewan untuk buang air besar. Ketawa. Gila ke? Mana sempat nak bernafas, apatah lagi nak membuang yang ambil masa lama? Sengsara!
http://farm3.static.flickr.com/2743/4464370637_97327aeec5.jpg
[Gambar : Kertas tandas pun boleh menangis bila setiap kertas yang aku lalui harus masuk ke tandas. Kecuali Matematik Tambahan 1 dan Matematik Tambahan 2 sahaja yang tak sempat]

  • Selain itu, semasa menjawab soalan Matematik Tambahan, kepala aku berdengung dan sentiasa terngiang lagu Daniel Bedingfield sebab malam sebelumnya aku mengulangkaji sambil dengar lagu itu. Sumpah, sangat menganggu tumpuan. Sejak dari itu, kalau aku mahu mendengar lagu sekalipun, aku akan dengar lagu yang aku tidak boleh menyanyi bersama-sama.
 http://farm2.static.flickr.com/1360/5102711887_ace67829d1.jpg
 [Gambar : Aku perlukan muzik semasa buat latihan Matematik untuk kekal berjaga dan fokus. Lagu-lagu pilihan aku sejak peristiwa tersebut adalah lagu-lagu yang aku tidak akan terikut-ikut liriknya. Contohnya, lagu Jepun, Korea, Mandarin, Latin]

  • Soalan percubaan Matematik Tambahan aku hampir serupa dengan latihan yang aku buat di kelas tambahan luar. Memang seronok yang amat ketika itu disebabkan di kelas tambahan, kami diasak dengan soalan yang menimbun serta jalan kerja ringkas tetapi mendapat jawapan tepat. Tujuh orang daripada kami yang pergi ke kelas tambahan yang sama tersengih semasa keluar.
  • Aku dapat anugerah Tokoh Maulidur Rasul (kategori Pelajar Harapan Sekolah). Aku hampir pulangkan semula anugerah itu kepada sekolah disebabkan oleh mulut cabul seorang kawan sekelas yang menyatakan "apa guna dapat anugerah itu kalau tak dapat keputusan baik?". Alhasilnya, dia telan balik kata-kata dia sebab aku dapat keputusan lebih baik dari dia. (sambil jeling-jeling angkat kening)
  • Disebabkan dulu kita gunakan keputusan percubaan untuk memohon masuk ke matrikulasi, aku cuba untuk minta tambahan 2 markah lagi pada cikgu Matematik Tambahan demi memastikan aku dapat A2. Tapi jawapan beliau membuatkan aku berputus asa.
Aku : Cikgu, nak tambah markah lagi 2 boleh?
Cikgu : Kenapa?
Aku : Sebab saya nak mohon matrikulasi. Jadi, kalau boleh dapat A2 untuk mata pelajaran ini, baik juga.
Cikgu : Kalau awak berani sebut lagi sekali minta markah, saya potong 5 markah. Boleh?
Aku : Oh, jangan. Terima kasih cikgu.

Sumpah.
Terus insaf.
Itulah cikgu yang kenalkan aku dengan erti kesusahan yang amat dahsyat. Kerja sekolah serta latihan yang diberikan selalunya akan buat aku mengalirkan air mata dan menunggu dengan tidak sabar ke kelas tambahan disebabkan soalan-soalan yang sukar. Guru kelas tambahan aku sekalipun pernah terkejut dengan soalan yang dikemukakan. Dia kata tahap universiti.

Kerana Matematik Tambahan jugalah, aku pernah sembunyikan soalan latihan di dalam baju dan berlari mencari guru Matematik lain di bilik guru disebabkan tidak mahu berdiri di atas kerusi. Apa kau gila kena berdiri atas kerusi makmal yang bulat itu? Ya, bangku makmal. Hukuman dia mula-mula berdiri, lepas berdiri tepi kerusi, pusingan kedua akan berdiri atas bangku, akhir sekali berdiri atas meja. Pitam.

http://farm5.static.flickr.com/4139/4928020792_164ae85f68_z.jpg
[Gambar : Aku bagi alasan kononnya mahu ke tandas, tapi aku ke bilik guru bagi mencari guru lain untuk menyelesaikan soalan tersebut. Bila pusingan kedua masuk, aku cepat-cepat angkat tangan untuk jawab soalan. Ha ha ha]

Memang sukar.
Tapi bila peperiksaan SPM sebenar muncul, kami boleh ketawa tengok soalan.
Gila kan?

Baiklah.
Itu serba sedikit apa yang boleh dikongsi dengan kalian semua.
Senyum.

Nota Kaki :
1. Perubahan hormon aku nampaknya sangat mendadak selepas kursus renang tempoh hari. Kitaran sudah menjadi tidak sekata. 
2. Sudah selesai masak untuk juadah keluarga.
3. Mengalami keletihan terlampau yang membuatkan aku sering tertidur di depan Sean. Alahai.

Zara : Benar kata orang. Sepuluh saat pertama adalah detik di mana kita menilai yang terbaik untuk terus kekal menikmati perjalanan seterusnya. Kalaupun perjalan selepas itu kurang menarik atau tidak memberangsangkan, sekurang-kurangnya kita akan mengingati detik sepuluh saat yang menggembirakan.

Thursday, November 25, 2010

Cara Menjawab Soalan Matematik SPM 2010 : Soalan Ramalan Atau Soalan Bocor?


Salam semua.
Aku betul-betul terlupa, hari ini, 25 November 2010 adalah kertas peperiksaan Sejarah untuk SPM dan juga STPM. Patutlah semalam ramai yang mencari cara menjawab sejarah SPM, sebab aku ada menulis tentang ini di dalam penulisan ini. Kalau ada pesanan yang berguna, baguslah. Senyum.

Oh ya, Sejarah memang antara mata pelajaran yang semua orang sanggup buat apa sahaja untuk lulus. Sebab kaedahnya mudah sahaja. Satu lagi yang semua orang suka mahu lulus dengan cemerlang adalah Matematik (tapi kalau aku, aku suka semua cemerlang).

http://s3prod.weheartit.netdna-cdn.com/images/4464956/tumblr_laij3hprfM1qct8pbo1_500_large.jpg?1287450461
[Gambar : Saya cintakan Matematik]

Major : Kimia
Minor : Matematik
Dan aku sebenarnya sangat sukakan Matematik dari sekolah lagi. Ya, Matematik. Bukan Matematik Tambahan yang keluar air mata darah untuk jawab satu soalan pun (Oh, teringat zaman dahulu, ini insyaALLAH akan ditulis jika punya kesempatan).

Dan ya, aku belajar Matematik dengan cikgu-cikgu yang sangat menarik. Sungguh.
  • Tingkatan 1 - Aku lupa aku belajar dengan siapa. Gila kan?
  • Tingkatan 2 dan 3 - Aku belajar dengan cikgu yang akan habiskan mengajar sebelum Julai di mana dia akan dapat buat ulangkaji dan latihan secara berganda dan sangat berhasil. Anak-anak murid dia biasanya akan dapat jawab tidak kira apa soalan sekalipun hasil kegigihan dia yang suruh kami beli satu buku dengan beribu-ribu soalan yang digunapakai dari Tingkatan 2 hingga 3. Dia percaya asas yang kukuh adalah seperti mana kita buat bangunan. Kalau bawah dah goyang, nak sampai atas akan jatuh menjunam.
  • Tingkatan 4 - Cikgu yang sama macam Tingkatan 3 (tapi sekejap sahaja).
  • Tingkatan 4 dan 5 - Cikgu ini memang menarik. Cara dia mengajar dan menarik perhatian di dalam kelas adalah faktor penting kenapa semua orang suka Matematik. Oh, dia juga buat kelas tambahan  berbayar Matematik di rumah dia (kawan-kawan dan adik-adik aku pergi, aku tak pernah).
Ada peristiwa penting yang berlaku semasa Tingkatan 3 yang membuatkan aku semakin gilakan Matematik lebih dari yang aku tanamkan dalam diri. Ini disebabkan oleh mulut seorang kawan aku masa peperiksaan setengah tahun yang buat aku berubah secara drastik.

"Apalah kau ni. Kertas lain yang lebih susah kau boleh dapat A, tapi Matematik kau lagi bodoh dari Matematik aku. Dapat B je ke?"

Ada rasa nak bunuh orang?
Kena bodoh dengan orang yang ternyata lebih teruk dari aku, cuma Matematik dia akan sentiasa dapat A.
Akibat tercabar, aku belajar secara menggila demi Matematik yang aku cinta, dan bila keputusan percubaan dan PMR keluar, aku gosok slip peperiksaan itu di muka dia. Puas!

http://i606.photobucket.com/albums/tt144/maclisa/danbo%20robots/201007100849.jpg
[Gambar : Tiba-tiba rasa nak lukis muka orang sebab tak puas hati. Ya, itu kegemaran aku]

Baiklah.
Tiada soalan ramalan atau soalan bocor.
Sebab aku percaya, untuk dapat menjawab soalan Matematik, apa yang kau perlukan adalah latihan yang sangat mencukupi. Bila latihan dapat buat dengan banyak dan tekun, bila diberi apa sahaja soalan, tidak kira bagaimana dipusing, pasti boleh jawab. Tapi tidak mengapa, aku kongsikan bagaimana aku menjawab Matematik SPM waktu tahun 2003 dahulu.

Anda sedia?
Tarik nafas.

http://www.gundammodelkits.com/wp-content/uploads/2010/08/IMG-4753.jpg
[Gambar : Rumus, formula adalah perkara paling penting]

  • Rumus atau formula - Ini perkara yang semua orang tahu dalam Matematik. Biasanya disediakan di muka hadapan sebelum soalan. Bak kata cikgu aku, kalau ada berjuta formula sekalipun, tapi tak tahu nak gunakan di mana, adalah tidak berguna. Maka, biasakan diri menggunakan (senang cerita, memasukkan formula dalam soalan). Ini amatlah berguna ketika peperiksaan.
  • Kalkulator - Jangan lupa bawa. Nak masuk peperiksaan Matematik tak bawa kalkulator? Lawak amat kecuali kau genius Matematik. Dan ya, kenali kalkulator kau, tahu kelebihan agar cara mengira lebih pantas dah mudah. (Nota : Zaman aku dulu cuma boleh bawa Casio 350, tapi aku bawa sekali Casio 570 disebabkan cikgu tuisyen aku suruh. Fungsi 570 sangat bagus sampai Matematik kertas 1 aku tak perlu guna banyak pengiraan manual. Ketawa)
  • Kertas 2 - Beri jalan pengiraan dengan lengkap. Anggaplah pemeriksa kertas itu seorang yang tidak tahu apa-apa. Kalau ada kaedah pengiraan untuk 1 + 2 = 3 sekalipun, tunjuklah. Mana tahu boleh dapat 1 markah kan?
  • Kertas 1 - Jangan membazir terlalu banyak masa untuk buat jalan kerja, sebab kertas 1 adalah kertas objektif. Kalau kau boleh siap dengan cepat menggunakan kaedah pengiraan pantas dan pintas, ayuh, buat sahaja. Yang penting adalah jawapan (dan disinilah kebolehan kau menggunakan kalkulator ditagih)
  • Graf - Biasanya kertas Matematik mesti ada graf kan? Pastikan paksi (baca : axis) adalah betul, lengkap. Jangan cincai sebab markah yang kau akan dapat adalah cincai juga.
Dan ya, sebelum kamu semua tiba-tiba rasa tertekan (ada lagi beberapa hari sebelum peperiksaan pada hari Isnin 29 November ini), ada masa lagi untuk melakukan beberapa perkara seperti :
  • Riadah - Ya, aku tahu mungkin ada yang tidak gemar, tetapi riadah sedikit akan dapat mengurangkan tekanan belajar.
  • Latihan akhir - Soalan ramalan, peperiksaan-peperiksaan tahun lepas, soalan percubaan dan pelbagai lagi adalah membantu bagi mengukuhkan ingatan.
  • Tidur - Yang berkualiti dan cukup adalah perlu. Jangan sampai tidak tidur langsung ataupun tidur sahaja tak sudah-sudah. Pensyarah aku pernah menceritakan, seorang bekas pelajar dia pernah tidak tidur selama 3 hari sebelum peperiksaan, dan ia berakhir dengan jeritan di dalam dewan sebelum pelajar itu keluar berlari sambil mengangkat kainnya keliling masjid (di bawahnya dewan peperiksaan).
  • Jaga kesihatan - Sudah tentu. Kalau kesihatan kurang memberangsangkan, apa kau ingat kau boleh jawab peperiksaan dengan baik? Agak mustahil di situ.
  • ... dan pelbagai lagi sebenarnya.
Apa pun, selamat menjawab bagi semua calon SPM.
Bagi pembaca blog aku pula, kadangkala kita kena baca benda sebegini demi sebuah nostalgia dan memori bukan?
Oh ya, apa tips yang kalian buat pula?

http://s3prod.weheartit.netdna-cdn.com/images/4365297/tumblr_l9q1nzwvam1qagx9bo1_500_large.jpg?1287006083
[Gambar : Saya cintakan awak Matematik]

Nota Kaki :
1. Hari itu ada dengar di radio ada pemanggil yang membakar dan merebus formula Matematik dan minum semata-mata untuk lulus lepas dengar gurauan cikgu dia. Oh, gila lurus bendul, tetapi dia berjaya. Eh, kamu semua janganlah begitu. Takut keracunan.
2. Adik-adik asyik membuat rancangan nak keluar beriadah, tetapi Bonda dan Abah pula sekolah. Tiada siapa mahu menjaga Nenda di rumah pula.
3. Belum ada kesempatan berlatih mengayuh lagi. Alahai.

Zara : Bila alpa dan ada yang mengingatkan, itu sudah menjadi amat bermakna. Sahabat terbaik, sahabat-pijak-kepala sudah kembali. Alhamdulillah, tidak sia-sia aku menunggu sahabat itu kembali. Yang pasti, dia adalah penasihat terbaik diri ini dalam kenal apa sebenarnya sepak terajang duniawi.